Saturday, October 19, 2024

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 6

 

Bab 6

            USAI solat Subuh, Atan terus menuju ke dapur. Dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasak pagi ini. Untuk menjimatkan masa, dia menyediakan bahan-bahan sejak malam tadi. Pagi ini dia akan terus saja memasak.

            Atan memasak mee goreng untuk sarapan pagi. Mudah dan cepat. Dia terus memasukkan mee goreng yang sudah siap itu ke dalam pinggan. Mug air kopi sudah pun disediakan. Tak seminit duduk di kerusi, Atan teringat sesuatu

            “Alamak, nasi tak masak lagi.” Kata Atan dan kemudian terus bangun. Dia segera memasak nasi untuk dibawa ke kebun untuk makan tengahhari. Setiap hari dia akan bawa bekal untuk makan tengahhari di sana. Lauk pulak simple saja. Lauk gulai kepala ikan dan sayur kubis goreng. Malam tadi dia sudah masak dan dipanaskan pagi ini. Itu rutin harian dia setiap hari. Namun sejak kebelakangan ini, dia terpaksa keluar awal rumah disebabkan mahu mengelak dari terserempak dengan Widad.

            Selesai saja memasak nasi, Atan duduk semula di kerusi. Dia menadah tangan untuk membaca doa makan. Dirinya sudah biasa makan seorang diri. Kadang-kadang itu Mak Esah dan Pak Walid ada panggil makan bersama-sama.

            Habis makan, Atan segera mengemas dapur. Bekalan untuk makan tengahhari sudah pun siap disediakan. Dia terus memasukkan bekas makanan ke dalam bag. Anak mata melirik ke arah jam dinding. Dah lewat!

            Atan bergegas menuju ke biliknya. Sepantas kilat dia menukar baju dan bersiap sedia untuk pergi ke kebun pisang.

            Apabila melalui ruang tamu, langkah Atan terhenti. Dia melihat ke arah frame gambar Mak Wan. Atan tersenyum meratapi wajah Mak Wan. Dia sayangkan Mak Wan lebih dari ibu kandungnya sendiri. Tak sangka Mak Wan pergi buat selama-lamanya. Rasa jugak terkilan kerana tidak jumpa Mak Wan untuk kali terakhir.

            “Esok cuti, boleh la aku pergi ziarah kubur Mak Wan.” Kata Atan. Dia meneruskan langkahnya keluar melalu pintu depan rumah. Selalunya dia kerap keluar melalui pintu dapur tetapi kini pintu dapur sudah tidak selamat untuk dirinya. Kedudukan pintu dapur rumahnya begitu dekat dengan bilik Widad.

            Dengan penuh berhati-hati, Atan membuka pintu rumahnya. Dalam hati dia mengeluh, apalah nasib badan, gaya nak keluar rumah sendiri pun dah macam pencuri.

            Dia melihat suasana gelap mula cerah. Sinaran matahari mula menyinari langit gelap itu. Ada senyuman di bibir Atan. Bagi dia pemandangan ketika ini begitu indah sekali. Pemandangan beralih ke arah bilik Widad, nasib baik masih gelap lagi tetapi tiba-tiba saja bilik Widad cerah.

            Tubuh Atan terus mengeras. Dia terus menyorok di sebalik dinding rumahnya. Jantungnya berdegup laju.

            “Selagi Widad ada kat sini, hidup aku takkan aman.” Atan bersuara dengan nada perlahan. Dia menjengukkan kepala untuk melihat apa yang berlaku. Hanya lampu bilik Widad terbuka. Tanpa melengahkan masa, Atan hampiri basikalnya dan terus naik. Selaju mungkin dia mengayuh basikal sehingga ke jalan besar. Dia kembali mengayuh basikal seperti biasa setelah jauh dari rumahnya. Nafas ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Nyaman betul! Dia sukakan suasana begini. Sekelip mata dia lupa pasal Widad.

                                                            ******************

            Pak Walid mengambil kasut boot getah yang ada di atas rak. Dia terus memakainya dan bersiap sedia pergi ke kebun. Lagipun Atan dan Wafiy sudah pun pergi. Kerana cuaca nampak elok pagi, memang sesuai untuk menanam anak pokok pisang nangka.

            “Jom ayah!” ajak Widad. Dia berdiri di sebelah Pak Walid. Kasut boot bertumit tinggi terus dipakai oleh Widad.

            Dahi Pak Walid berkerut melihat pemakaian Widad. Berseluar jeans, tshirt putih dan kemeja bercorak petak biru yang tidak dibutangkan tetapi hujungnya diikat dipinggang. Ada topi cowboy kat kepala Widad lagi.

            “Nak ke mana ni?” tanya Pak Walid.

            “Pergi kebun la. Saya tunggu dalam kereta.” Jawab Widad. Dia berjalan laju ke arah kereta Isuzu D Max milik ayahnya. Sebelum ayahnya melarang pergi, dia cepat-cepat masuk ke dalam kereta.

            Mulut Pak Walid melopong luas. Macam tak percaya pun ada.

            “ Ni abang tertinggal topi kebun kat dapur.” Kata Mak Esah apabila menghampiri suaminya. Dia menghulurkan topi kebun itu.

            “ Widad tu tiba-tiba nak ikut abang pergi kebun. Dah buang tabiat agaknya.” Beritahu Pak Walid sebaik mengambil topi kebun dan dipakainya di kepala.

            Mak Esah menggelengkan kepala. Patut la tadi selepas sarapan pagi, Widad kelam kabut masuk ke bilik tanpa menolong dia di dapur.

            “Apa yang nak dihairan kan, abang! Perangai Widad tu kita tak boleh di duga. Abang sabar saja la. Hari itu abang jugak suruh saya bersabar kan, hari ini giliran abang pulak bersabar. Saya nak sidai baju, banyak lagi kerja saya nak kena buat kat rumah ini.” Balas Mak Esah. Dia cuba menahan ketawa. Biar suaminya rasa pulak apa yang dia rasa, hari itu bila dia mengadu perangai Widad, suaminya asyik suruh bersabar. Hari ini giliran suaminya merasai semua itu.

            Pak Walid melihat Mak Esah yang sudah meninggalkan dia. Sempat lagi dia mengeluh kuat. Langkah diatur perlahan-lahan menuju ke kereta Isuzu D Max itu.

            “ Sebelum ini kamu tak pernah nak pergi kebun, kenapa tiba-tiba nak pergi?” tanya Pak Walid sebaik saja masuk. Dia terus memakai tali pinggang.

            “Tak salah kan kalau saya pergi, saya kan share partner ayah. Lagipun 10 hektar tanah yang baru beli tu, saya tak pernah tengok lagi. Nak kena jugak tahu.” Jawab Widad.

            “Iyalah. Ayah sikit pun tak percaya cakap kamu. Ni mesti ada udang di sebalik batu kan?” tambah Pak Walid. Dia terus menghidupkan enjin kereta. Niat sebenar Widad ada di dalam genggaman dia. Mesti Atan terkejut dengan kedatangan Widad.

            “ Bukan ada udang di sebalik batu tapi sambil menyelam minum air.” Balas Widad. Dia tersengih. Sikit pun tak rasa malu.

            “ Ayah bagi kamu warning awal-awal, Widad. Hari ini kami ada banyak kerja nak buat. Jangan buat hal. Kalau tak, ayah halau kamu balik. Yang penting, jangan kamu kacau Atan. Faham!” tegas Pak Walid dengan wajah serius.

            Widad hanya diam membisu dan memandang ke arah luar tingkap.

            Pak Walid menggelengkan setelah melihat reaksi anak sulungnya itu. Nampak sangat amaran dia tadi seperti mencurah air di daun keladi. Kaki terus menekan pedal minyak. Kereta Isuzu D Max bergerak meninggalkan perkarangan rumah.

                                                            *******************

            Tibanya di kebun pisang, Widad segera turun sebaik saja kereta berhenti. Mata dia seperti helang mencari kelibat Atan di sekitar kebun itu.

            “Kak Widad, kenapa datang sini?” tanya Wafiy. Dia yang ketika itu sedang mengira bilangan anak pisang terus berhenti setelah menyedari kedatangan kakaknya bersama ayahnya.

            Pertanyaan Wafiy dibalas dengan jelingan tajam oleh Widad. Nampak sangat Wafiy tidak mengalu-alukan kedatangan dia di sini.

            “Kakak kamu nak tolong kita tanam anak pisang. Lagi ramai orang tolong, lagi cepat kita siap kerja.” Pak Walid bersuara dan menghampiri mereka berdua.

            “Apa! Boleh percaya nak tolong? Reti ke nak tanam pokok? Tanam pokok pun tak pernah.” Sindir Wafiy dengan renungan mata ke arah Widad. Awal-awal lagi dia tahu niat kakaknya datang ke kebun ini.

            “ Ala, setakat tanam pokok apa la sangat. Pejam mata pun boleh tanam.” Balas Widad. Sakit hati mendengar kata Wafiy seolah-olah memperlekehkan dirinya.

            “Dah jangan nak bergaduh kat sini pulak. Banyak kerja lagi nak buat.” Pak Walid mencelah sebelum perbalahan anak-anaknyai tu berpanjangan.

            Widad dan Wafiy terdiam.

            Pak Walid berjalan ke arah pondok. Dia perlu bersiap sedia untuk membuat kerja.

            Widad ingin mengambil peluang untuk mencari Atan namun tangannya sempat dipegang oleh Wafiy.

            “Ayah! Kak Widad nak curi tulang!” jerit Wafiy sekuat hati. Biar ayahnya tahu. Kemudian dia tersenyum ke arah Widad. Jangan harap Widad akan terlepas dari pandangan matanya. Genggaman tangan Wafiy semakin erat.

            Widad mengetap bibir. Yang jelas wajahnya bengang. Tak guna punya Wafiy.

            “ Widad, datang sini. Nak tolong kan, buat cara nak tolong atau ayah hantar kamu balik rumah.” Pak Walid mencekak pinggang memberi amaran. Dia menggunakan isyarat tangan memegang Widad supaya datang ke arahnya.

            “Yalah! Yalah!” jawab Widad. Dia menarik tangannya dengan kasar dari pegangan adiknya. Lepas ini tahu la nasib Wafiy. Dengan wajah masam, dia mendekati ayahnya.

            Wafiy mengekori dari belakang untuk memastikan Widad tidak melarikan diri. Kalaulah Atan ada telefon, dah lama dia mesej beritahu kedatangan kakaknya. Tadi Atan cakap nak pergi tengok pagar di hujung sana kerana takut babi hutan masuk sekali lagi makan pokok pisang yang telah ditanam. Sejak kebelakangan ini, babi hutan kerap menerjah masuk ke kebun mereka.

            “ Pergi pakai sarung tangan, nanti angkat anak-anak pisang dekat wheel barrow tu.” Pak Walid memberi arahan.

            Widad menuruti arahan ayahnya. Dia memakai sarung tangan malah matanya tetap melirik ke pelbagai arah mencari Atan. Mana pulak Atan ni pergi? Takkan la Atan tak ada di sini. Sia-sia saja dia datang kalau macam ini.

 

             

           

           

Sunday, January 14, 2024

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

 

Bab 5

            SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga petang. Itulah kerja mereka berdua setiap hari kecuali hari Khamis.

            “Wafiy, bulan ini homestay kita full setiap hujung minggu kan?” tanya Atan setelah masuk ke dalam ofis mereka yang terletak berhampiran dengan homestay. Dia terus membuka suis kipas dan lampu.

            “ Ya. Full. Alhamdulilah, tahun ini rezeki melimpah-limpah. Boleh minta bonus sikit kat ayah.” Jawab Wafiy. Dia ketawa kecil. Tingkap ofis dibuka agar udara luar masuk.

            “Amin. Bulan depan cuti sekolah dah start mesti full homestay ini.” Atan tersenyum. Setiap kali cuti sekolah sememangnya homestay sini sentiasa penuh. Maklum la di belakang homestay ini ada anak sungai yang cantik dan juga cetek. Selamat terutama sekali untuk kanak-kanak bermandi-manda. Selalunya guests yang datang pasti akan datang sekali lagi ke sini.

            “ Itu pun sudah ada orang booking.” Beritahu Wafiy.

            “Ya ke? Lagi pantas, iyalah siapa cepat, dialah yang dapat. Wafiy, saya nak pergi sapu sampah kat belakang homestay. Kalau ada apa-apa, cari saya kat sana.” Kata Atan. Dia terus keluar. Sebelum itu, dia pergi ke belakang ofis untuk mengambil penyapu dan penyodok.

            Langkah diatur menuju ke belakang homestay. Atan melihat daun-daun kering bertaburan di atas tanah. Bunyi air sungai begitu jelas sekali. Dia tersenyum. Sememangnya dia sukakan suasana begini. Nyaman dan tenang.

            Tanpa membuang masa, Atan segera menyapu. Dalam masa yang sama dia baru teringat pesanan Pak Walid supaya mengubah pasu bunga kertas di homestay Mawar yang menganggu laluan jalan.

            Selesai melakukan tugasnya, Atan menyimpan semula penyapu dan penyodok di belakang ofis. Dia meneruskan langkah ke homestay Mawar.

            “Abang Atan, saya dah ubah pasu bunga yang ayah pesan tadi.” Beritahu Wafiy yang ketika itu sedang menyiram pokok-pokok bunga yang ada homestay Mawar.

            “Kalau dah settle, saya ……….” Belum sempat Atan menghabiskan kata-katanya, dia terkejut mendengar bunyi loceng basikal.

            Dahi Wafiy berkerut melihat Widad mengayuh basikal dengan laju memasuki perkarangan homestay.

            “Assalammualaikum……..” Widad memberi salam. Dia terus brek basikalnya secara tiba-tiba di tepi Atan. Pandangan mata Widad tepat ke arah Atan. Sikit pun dia tak pandang adiknya. 

            “Waalaikumussalam.” Jawab Atan dengan nada perlahan. Dia memandang ke arah lain. Kenapa pulak Widad singgah sini? Aduh, leceh la. Air muka Atan menunjukkan rasa tak selesa. Dia sengaja mengundur dua tapak ke belakang agar menjauhi Widad. Dia cuba bertenang. Otak mula ligat memikirkan jalan untuk melarikan diri.

            Wafiy menggelengkan kepala melihat perangai Widad yang tidak menghiraukan langsung kewujudan dia di situ. Dengan sengajanya, Wafiy menyiram air dekat kakaknya.

            “Apa ni? Basah la.” Widad terkejut apabila dirinya dibasahi dengan air. Mata dia beralih ke arah Wafiy yang memegang paip air.

            “Opsss…. Sorry, tak sengaja. Ingatkan pokok tadi.” Balas Wafiy. Dia tersengih.

            “Sengaja kan!” marah Widad. Mata sudah terjegil besar.

            “Aaa….. Kenapa tiba-tiba datang sini?” tanya Wafiy. Dia menyedari perubahan wajah Atan apabila kakaknya muncul.

            Excuse me, dah lupa ke siapa investor homestay ni?” jawab Widad.

            Bibir Wafiy terus muncung. Dah tentu la dia tahu kakaknya ada share terbesar dalam perniagaan family mereka. Kiranya kakaknya bos besar jugak la selepas ayah dia.

            Pandangan Widad berubah ke arah Atan. Air muka berubah semanis gula. Dia segera turun dari basikal.

            “Awak! Tadi saya pergi warung Mak Intan, Mak Intan suruh bagi awak laksa.” Beritahu Widad. Dia menghulurkan bag plastik pada Atan.

            “Aaa…. Terima kasih.” Kata Atan selepas mengambil bag plastik itu dari Widad.

            “Sama-sama kasih.” Jawab Widad. Dia tersenyum meleret.

            “ Saya minta diri dulu. Ada banyak kerja tak siap lagi.” Kata Atan. Dia mengambil peluang ini untuk meloloskan diri. Kaki melangkah laju menuju ke ofis.

            Widad terpingga-pingga apabila Atan pergi begitu saja. Dia ingin memanggil Atan tetapi Wafiy terlebih dulu bersuara.

            “Aaa…. Dah hantar kan, pergi la balik.” Wafiy menyuruh kakaknya segera pulang ke rumah.

            “Amboi, halau nampak! Aaa…. Ofis tu aku tak tengok lagi. Aku nak pergi tengok.” Kata Widad. Baru saja beberapa bulan ofis itu siap. Lagipun dia yang memberikan cadangan supaya ofis dibina untuk memudahkan urusan pendaftaran guests yang datang.

            Wafiy mengeluh kuat. Dia melihat kakaknya berjalan laju menuju ke ofis.

            “ Sorry la Abang Atan. Dah cuba tapi Kak Widad tu tak makan saman.” Wafiy bercakap seorang diri. Dia menyambung semula menyiram pokok bunga yang ada di situ.

                                                ***************************

            Bag plastik berisi laksa itu dihidu oleh Atan. Bau laksa saja sudah buat perutnya bergelora. Laksa hasil tangan Mak Intan memang sedap. Dia selalu makan kat situ.

            Kemudian dia meletakkan bag plastik itu di atas meja. Selepas dia selesaikan kerja nanti baru dia makan.

            “Laa…. Kenapa tak makan?”

            Atan terkejut dengan kehadiran Widad di dalam ofis itu.

            “ Ada banyak kerja nak buat.” Ringkas jawapan yang keluar dari mulut Atan. Aduh, kenapa pulak Widad ada kat sini pulak? Dia sempat melirik mata ke luar tingkap mencari Wafiy untuk menolong dia. Ternyata Wafiy sedang menyiram pokok bunga. Dia ingin keluar  dari situ namun Widad menghalang laluan Atan. Masa itu Atan berharap sangat kalau ofis ada dua pintu keluar, ada peluang dia melarikan diri.

            “Mana boleh macam itu? Masa bekerja dengan masa berehat mesti la seimbang. Kesihatan kena jaga. Macam mana?  Dah ada ofis, selesa kan? Urusan semuanya mudah, betul tak? Tak payah la asyik nak ulang alik bila ada guests nak check in.” kata Widad. Dia memang sengaja berdiri di depan pintu ofis itu.

            Atan hanya mampu tersenyum mengiyakan kata-kata Widad. Rasa kekok apabila Widad ada di depan mata.

            “ Awak suka makan apa lagi? Mak Intan cakap awak suka makan laksa. Selain laksa, awak suka makan apa lagi?” tanya Widad. Dia tetap cuba berbual dengan Atan. Tadi semasa dia makan di warung Mak Intan, macam-macam gossip Mak Intan bercerita pasal dia termasuk la pasal Atan. Mak Intan jugak beritahu yang Mak Intan cuba korek asal usul Atan tetapi Atan pandai mengelak dari menjawab pertanyaan Mak Intan.

            “ Saya makan apa saja asalkan halal.” Jawab Atan.

            “Ya ke? Saya pun suka makan apa saja asalkan halal. Tak sangka kita ada kesamaan.” Widad menepuk tangan secara tiba-tiba dengan wajah ceria.

            Dahi Atan berkerut. Dah kenapa Widad ni? Dah macam monyet pun ada.

            “Kalau macam tu malam ini jom makan satay kat pekan? Dengar-dengar satay kat situ sedap. Wafiy ada beritahu baru-baru ini. Jom la.” Ajak Widad. Dia mengambil peluang ini untuk keluar berdua dengan Atan.

            “Maaf, saya tak suka makan kat luar.”

            “Kalau macam tu, saya beli bawa balik lepas tu kita makan sama-sama.” Widad masih tidak putus asa. Apa pun alasan Atan, dia mencari jalan agar dapat keluar dating dengan Atan.

            Atan cuba menahan geram. Dah orang tak nak, tetap jugak nak paksa.

            Tiba-tiba bahu Widad dicuit dari belakang, dia menoleh.

            “Apa!” marah Widad apabila bertentang mata dengan Wafiy. Kacau daun saja!

            “Mak call. Nak cakap dengan Kak Widad.” Beritahu Wafiy. Telefon pintar yang ada di tangannya dihulur dekat kakaknya.

            “Nanti la aku call balik.” Jawab Widad. Ada benda lagi penting yang dia kena buat dari menjawab panggilan ibunya.

            Wafiy menarik tubuh kakaknya agar jauh sedikit dari pintu. Dia meletakkan telefon pintarnya di tangan Widad.

            “Nak mak datang sini ke atau nak jawab call mak sekarang?” ugut Wafiy.

            “Yalah! Yalah!” Widad mengalah. Jika ibunya datang pasti ribut yang akan datang. Dia menjawab panggilan itu dengan lemah.

            Wafiy memandang ke arah Atan dan memberi isyarat mata supaya beredar dari situ sementara dia mengalih perhatian Widad.

            Atan memahami isyarat yang diberi oleh Wafiy. Dengan segera dia keluar dari ofis setelah melihat Widad sibuk menjawab panggilan Mak Esah. Dia melangkah laju pergi ke belakang homestay.

            Sebaik saja berhenti berlari, Atan memegang dadanya. Jantungnya berdegup laju. Dia menoleh ke belakang. Tiada sesiapa pun. Bimbang jika dirinya dikejar Widad.

            “Tahap tak faham Widad ini semakin menjadi-jadi. Macam aku tak tahu helah dia! Ini mesti dia nak cari peluang nak korek rahsia aku. Arghhh…. Stress!” Atan bercakap seorang diri. Sejak dulu lagi, Widad cuba tahu pasal diri dia. Ada saja macam-macam soalan ditanya oleh Widad. Tahap menyibuk Widad boleh tahan jugak. Nasib baik Wafiy tak macam tu. Dia berharap sangat Widad pergi KL secepat mungkin.

                                                            *******************

            Pintu kereta Nissan Almera ditutup sebaik saja Widad keluar dari perut kereta. Dia dan ibunya baru saja pulang dari rumah adik ibunya di Kulim, Kedah,

            “Patutnya mak call dulu Mak Su sebelum pergi. Tengok, sia-sia saja kita pergi tapi Mak Su tak ada. Mak Su satu family pergi bercuti kat Langkawi.” Widad bersuara. Tadi ibunya beriya-iya suruh dia balik dari homestay semata-mata mahu teman pergi rumah ibu saudaranya.

            “Mana mak tahu. Dua hari lepas, mak ada call Mak Su kamu tapi Mak Su kamu tak cakap pun nak pergi bercuti.” Jawab Mak Esah. Dia berjalan menuju ke pintu rumah. Hakikatnya dia tak plan pun nak pergi rumah adiknya tetapi disebabkan dia mahu Widad balik rumah dengan segera terpaksa dia buat plan mengejut.

            “Bazir masa, bazir minyak, alih-alih Mak Su tak ada.” Widad tak habis-habis lagi mengungkit.

            “ Kamu ni berkira sangat. Nak buat macam mana, tak ada rezeki nak jumpa Mak Su kamu. Lagipun Mak Su kamu memang nak sangat jumpa kamu.” Mak Esah membela dirinya.

            Mulut Widad terus senget ke tepi.

            “Aaa… Petang ini teman mak pergi pasar malam kat hujung kampung.” Beritahu Mak Esah.

            “ Apa! Mak ajak la ayah, kan senang!” Widad menolak.

            “Eh! Eh! Kita ajak dia, dia pas pulak kat ayah dia. Oooo….dengan mak sendiri, berkira sangat-sangat, kalau pasal Atan, kamu sanggup buat apa saja.” Sindir Mak Esah. Dia menjeling ke arah Widad sambil berjalan bersama-sama.

            “Kenapa? Jealous ke? Tak payah nak jealous sangat, mak dah ada ayah kot.” Kata Widad. Dia tersengih.

            “Tak kuasa nak jealous.” Balas Mak Esah. Dia menanggalkan kasut dan mula mencari kunci rumah di dalam bag tangannya.

            “ Mak apa nama penuh Atan?” tanya Widad secara tiba-tiba.

            Mak Esah menoleh melihat Widad. Kunci rumah sudah ada di tangan.

            “Atan la.” Jawab Mak Esah. Dia cepat-cepat membuka pintu rumah. Tak mahu dirinya diajukan soalan lagi.

            “ Mustahil la mak tak tahu. Saya rasa Atan tu hanya nama panggilan saja. Takkan la tak ada nama Mohd ke, Ahmad ke atau pun Ali ke? Bin tu …. Mesti bin nama bapak dia kan! Tipu sangat la kalau mak ayah tak tahu.” Widad memerhatikan gelagat Mak Esah. Dah mula ibunya gelabah kalau dia cuba bertanya pasal Atan.

            “Nak tahu sangat, kamu tanya sendiri dekat Atan tu.” Balas Mak Esah. Pintu besi sudah pun dibuka kini hanya tinggal pintu rumah saja. Dia mahu melarikan diri dari Widad. Salah diri sendiri juga sebab tiba-tiba petik nama Atan.

            “ Ingat senang, mulut Atan tu kan ada emas. Lepas tu kan, Atan anak kawan Mak Wan yang mana satu? Seingat saya lepas Mak Wan berhenti jadi orang gaji kat KL, Mak Wan terus tinggal kat kampung ni.” Jawab Widad. Dalam masa yang sama, dia teringatkan wajah ibu saudaranya itu. Dia rapat dengan kakak ayahnya sejak kecil lagi. Selepas balik dari KL, kesihatan Mak Wan semakin merosot dan meninggal dunia selepas disahkan menghidap barah hati. Kemudian rumah Mak Wan diduduki oleh Atan sehingga sekarang.

            “Mak Wan kamu banyak kawan. Kalau mak beritahu pun, kamu takkan kenal. Alamak, dah nak hujan. Baju tak ambil lagi kat ampaian.” Kata Mak Esah secara tiba-tiba. Di saat pintu rumah dibuka, Mak Esah berjalan laju masuk ke dalam rumah.

            Widad melihat ke arah langit.

            “ Hujan apa bendanya, langit cerah kot. Ini mesti takut aku tanya lebih-lebih pasal Atan.” Widad bercakap seorang diri. Macam la dia tak tahu taktik ibunya.

             

           

Drawing Challenge 03

 


Tuesday, January 2, 2024

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 4

 

Bab 4

            PAGI INI, Widad melihat wajahnya di meja solek. Awal pagi lagi dia sudah memakai mekap semata-mata untuk kelihatan cantik. Dia sempat lagi membetulkan rambut agar lebih diikat rapat. Untuk mendekati Atan, dia perlu lebih peka dan cepat. Jika lambat, dia pasti terlepas peluang.

            Sesekali mata Widad melihat ke arah tingkap yang terbuka sejak solat Subuh tadi, dengan cara ini dia dapat mengintip pergerakkan Atan. 

            “Apa pun terjadi, aku akan mengorat Atan sampai dapat. Mak asyik provoke aku sangat. Ini Widad la, tiada mana-mana lelaki yang akan terlepas dari genggaman aku.” Tekad Widad. Sejauh mana Atan berlari, dia akan mengejar.

            Kedengaran bunyi pintu dapur rumah Atan dibuka, Widad segera berlari keluar dari bilik tidurnya. Dia menuruni anak tangga begitu cepat sekali.

            Apabila melalui ruang dapur, Widad melihat ibunya ada di situ.

            “Cantik-cantik ni nak ke mana?” Mak Esah bersuara. Pelik melihat penampilan

            “Rahsia.” Jawab Widad. Dia mempercepatkan langkah ke luar rumah. Dengan tergesa-gesa dia memakai seliper kerana takut Atan berlalu pergi. Kedengaran suara ibunya memanggil namanya namun Widad tidak endah langsung.

            “Atan!” panggil Widad.

            Atan terkejut melihat kedatangan Widad. Mula gelisah. Dia terus mengunci pintu rumahnya. Tak sangka seawal pagi ini Widad akan datang ke rumahnya.

            “Nak pergi kerja ke? Awalnya!” soal Widad.

            “Aaaa….Ada banyak kerja nak buat.” Jawab Atan dengan acuh tak acuh. Dengan pantas, dia memakai kasut. Secepat mungkin, dia mahu pergi kerja.

            “ Ya ke banyak kerja? Atau awak sebenarnya nak lari dari seseorang.” Kata Widad. Dia cuba tersenyum. Dia tahu Atan mahu mengelakkan diri darinya tapi dia tak peduli semua itu.

            Atan diam membisu. Dia berjalan ke basikalnya.

            Widad mengekori Atan.

            “Awak free tak hari Sabtu ni? Jom kita tengok wayang. Saya dah lama tak tengok wayang kat Malaysia.” Ajak Widad.

            “Maaf. Saya sibuk. Lagipun saya tak minat nak tengok wayang. Awak ajak saja Wafiy.” Jawab Atan dengan nada dingin. Apa hal pulak nak ajak tengok wayang ni! Argh… sabar saja la.

            “Kalau tak nak tengok wayang, awak suka apa?” tanya Widad. Sememangnya dia sudah agak ajakkan dia tadi akan ditolak oleh Atan.

            “ Saya lebih suka kalau tiada orang ganggu hidup saya.” Jawab Atan dengan sejujurnya. Dia terus naik basikalnya dan mengunyuh laju meninggalkan Widad.

            Mulut Widad terus muncung. Dia melihat kelibat Atan sudah pun hilang dari pandangan dia.

            “Saya lebih suka kalau tiada orang ganggu hidup saya.” Widad mengajuk semula kata-kata Atan sebentar tadi.

            “Ada aku kisah! Lagi tak suka la, aku tetap akan ganggu.” Kata Widad. Takkan sesekali dia mengundur, maklum la hati ini hati waja.

                                                ************************

            Dari pintu dapur, Mak Esah memerhatikan gelagat Widad dan Atan berbual. Cuba saja menahan sabar. Keluhan kuat dilepaskan.

            “Pagi-pagi dah mengeluh kuat, kenapa ni?” tanya Pak Walid. Dia mendekati isterinya yang begitu asyik melihat ke luar rumah. Ada benda menarik ke pagi-pagi ini kat luar?

            “Tengok tu anak dara kita!” Mak Esah menjuih bibirnya.

            Pak Walid turut sama melihat ke luar. Dia melihat Widad berborak dengan Atan.

            “Aik! Awalnya Widad bangun.” Kata Pak Walid. Dia melihat ke arah jam dinding dapur yang menunjukkan pukul 6.50 pagi.

            “ Bangun awal bersebab, tu aaaa…. Nak kejar Atan! Aduh apa nak jadi dengan Widad ni, makin dilarang makin menjadi-jadi perangai tu. Mulut ni dah berbuih- buih cakap, sikit pun Widad tak dengar.” Mak Esah mengadu.

            “ Biarlah. Macam la awak tak kenal dengan perangai anak sendiri. Awak tu jangan peduli sangat. Buat tak tahu saja. Dah kerja kat KL nanti, mesti Widad akan jumpa lelaki lain yang nak dikejar. Dah ada boyfriend kat KL nanti Widad akan lupa pasal Atan. Percayalah. Tu… tengok tu bukan main laju lagi Atan tu mengayuh basikal, mesti nak lari dari Widad.” Pak Walid kelihatan tenang. Dalam masa yang sama dia menggelengkan kepala setelah melihat gelagat Atan yang memecut laju mengayuh menuju ke jalan.

            “Bagus la kalau macam tu.”

            “Tapi awak jangan asyik provoke Widad tu. Macam la awak tak tahu, Widad tu pantang dicabar. Yang jadi mangsanya Atan tu.” Tambah Pak Walid lagi.

            “Yalah! Yalah!” Mak Esah mendengar nasihat suaminya.

            “ Aaa…. Sarapan dah siap ke belum? Abang nak pergi kebun awal hari ini. Atan pun dah pergi.” Tanya Pak Walid.

            “Alamak, tak siap lagi. Sekejap saya siapkan.” Kata Mak Esah. Sebab Widad, dia terlupa. Dia bergegas ke dapur dan menyambung semula kerjanya menyiapkan sarapan pagi.

                                                            ***************

            Widad mengayuh basikal menuju ke warung Mak Intan di simpang jalan untuk. Lagipun dia sudah berjanji dengan Mak Intan hari ini.

            Bunyi hon beberapa kali menyebabkan dahi Widad berkerut.

            “Malaun mana pulak yang tekan hon ni, hah! Ingat dia seorang ada hon.” Marah Widad. Dia terus berhenti mengayuh dan menoleh ke belakang.

            Kereta Honda City berhenti betul-betul di tepi basikal Widad.

            Widad mengetap bibir. Mahu saja dia nak maki hamun pemilik kereta ini. Agak-agak la nak bunyikan hon macam tu sekali, ini jalan kampung kot! Geram sangat-sangat.

            Cermin kereta Honda City diturunkan.

            “ Laaa…. Cik Selebriti kampung ini rupa-rupanya. Memang betul la kau dah balik Malaysia.” Kata pemandu kereta itu sambil tersenyum.

            Mulut Widad terus herot ke kiri. Tak sangka boleh jumpa dengan bekas suami Chempaka, Marzuki. Menyampah betul! Kecik betul kampung ini.

            “ Bertahun-tahun duduk kat London, kenapa tiba-tiba balik sini? Dah bosan ke duduk sana?” Nada suara Marzuki seperti menyindir.

            “ Bukan bosan, aku nak ubah angin. Lagipun ini kampung halaman aku, sudah tentu aku akan balik. Aaa….. Kau tak kerja ke hari ini?” jawab Widad.

            “ Aku bos la. Nak masuk pukul berapa pun, itu hak aku.” Jawab Marzuki dengan megahnya.

            Mulut Widad sedikit bergerak. Berlagaknya. Setakat ada kedai repair motor saja, sudah bongkak macam ini. Mindset macam ini la yang akan rosak business sendiri. Apa jenis manusia Si Marzuki. Mentang-mentang la kedai repair motor kat pekan tu bapak Marzuki punya.

            “ Mak Intan beritahu aku, Mikail sakit. Kau dah tengok anak kau ke belum?” Tiba-tiba Widad teringat pasal Mikail.

            “ Ala…. Biasa la budak-budak kalau bab sakit ini. Dah bawa pergi klinik nanti, baik la. Lagipun Mikail tu ada mak, pandai-pandai la mak dia jaga. Aku dah bagi duit setiap bulan kot.” Jawab Marzuki dengan wajah rasa tak bersalah.

            Mendengar saja jawapan Marzuki, darah Widad terus mendidih.

            “ Senang-senang saja kau nak lepas tangan. Eh, duit bukan segala-galanya. Tahu tak? Mungkin Mikail tu demam sebab nak jumpa kau. Dah berpisah tak semestinya kau putuskan hubungan dengan anak kandung kau sendiri. Jadilah bapa yang bertanggungjawab.” Tanpa berfikir panjang Widad terus menasihati Marzuki. Bengang pun ada.

            Air muka Marzuki berubah setelah mendengar kata-kata Widad.

            “Argh! Ada hati nak nasihat orang. Kau apa tahu, anak pun tak ada.” Marah Marzuki. Dengan wajah marah, dia menekan pedal minyak. Kereta Honda City itu bergerak laju meninggalkan Widad.

            Widad mengetap bibir. Dia menggenggam kedua-dua tangannya menahan marah. Tak guna betul Marzuki.

            Tanpa membuang masa, Widad menyambung semula mengayuh basikalnya sehingga ke simpang jalan kampung.

            “Kenapa muka masam ini?” tegur Mak Intan apabila menyedari kedatangan Widad di warungnya.

            “Tadi jumpa Marzuki, saya tegur dia sebab tak jenguk Mikail sakit. Terus saja Marzuki tu melenting.” Cerita Widad pada Mak Intan.

            “ Marzuki memang macam tu, tak boleh ditegur langsung. Dia saja betul. Nanti jumpa Marzuki tu, kamu buat tak tahu saja. Buang masa saja.” Kata Mak Intan. Dia sudah masak dengan perangai bekas menantunya itu. Keras kepala dan pentingkan diri sendiri. Dia sendiri tak tahu macam mana Hana boleh kahwin dengan Marzuki tu.

            “Aaa…. Mikail macam mana? Dah okey ke?” tanya Widad.

            “ Lepas dah jumpa doktor, dah okey. Malam tadi tidur pun dah nyenyak.” Jawab Mak Intan.

            “Bagus la kalau macam tu.” Kata Widad selepas mendengarnya.

            “Aaaa…. Duduk la. Hari ini Mak Intan masak laksa lebih sedap dari hari sebelumnya semata-mata sebab kamu datang. Air nak air apa?”

            “Air sirap limau satu.” Jawab Widad. Dia terus duduk di kerusi.

            “Tunggu sekejap yer….” Kata Mak Intan. Dia terus masuk ke dapur.

            Lima minit kemudian Mak Intan datang membawa makanan dan minuman untuk Widad.

            “Wah, bau saja dah tahu mesti sedap. Tetap sama macam dulu.” Widad bersuara sebaik saja mangkuk laksa diletakkan di hadapannya.

            “Makan dulu sebelum puji.” Mak Intan menggelengkan kepala dan terus duduk berhadapan dengan Widad.

            Widad tersengih. Dia mengangkat tangan membaca doa makan sebelum makan.

            Mak Intan berborak sambil menemani Widad makan. Lagipun warung dia tidak dibuka lagi. Dia sengaja menyuruh Widad datang awal sebab ingin berbual dengan Widad dengan lebih lama.

            Selesai saja makan, Widad membasuh mangkuk dan cawan di ruang dapur walaupun ditegah oleh Mak Intan.

            “Ala… Mak Intan, setakat basuh apa la sangat. Lagipun Mak Intan dah belanja makan.” Kata Widad. Selepas menutup pili air, dia mendekati Mak Intan yang sedang membungkus laksa.

            “Aaaa…. Nanti kamu singgah homestay ayah kamu tak?”

            “Kenapa?”

            “Hari itu Atan ada tolong Mak Intan perbaiki meja-meja kat warung ini. Mak Intan nak bagi duit tapi Atan tak nak. Nanti kamu tolong bagi laksa ini kat Atan. Masa begini selalunya Atan kat homestay kan.” Cerita Mak Intan.

            Of course saya boleh hantar.” Ada segaris senyuman di bibir Widad. Peluang ada depan mata, dia mesti rebut. Ada alasan untuk dia berjumpa dengan Atan.

            “Aaa…. Yang tiga bungkus lagi ini untuk mak ayah dan adik kamu.” Beritahu Mak Intan. Dia menyerahkan dua bag plastik pada Widad.

            “Berapa Mak Intan?” tanya Widad sebaik saja mengambil bag plastik dari Mak Intan.

            Free!”

            “Eh! Eh! Mana boleh macam tu? Tadi pun free, takkan la yang ni pun nak free.” Kata Widad. Rasa segan jika semuanya percuma.

            “ Hari ini saja, lain kali kamu datang kamu bayar la.” Jawab Mak Intan.

            “Yalah! Next time, Widad bayar tau. Terima kasih banyak-banyak, Mak Intan. Widad doakan rezeki Mak Intan melimpah-limpah setiap hari. Amin! Okeylah, Widad gerak dulu. Bye!” kata Widad selepas bersalaman dengan Mak Intan. Dia terus meletakkan bag plastik itu ke dalam bakul basikal. Dia melambai tangan dekat Mak Intan sebelum mengayuh meninggalkan warung itu. Kaki mengayuh laju menuju ke homestay dengan senyuman hingga ke telinga. Tak sabar nak jumpa Atan.

           

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 6

  Bab 6             USAI solat Subuh, Atan terus menuju ke dapur. Dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan bahan-bahan untuk dimasak pagi ...