Wednesday, August 10, 2011

Siapa Orang Gajiku? Bab 1


BAB 1

            Aina membetulkan kedudukan rambut palsu berwarna blonde yang dipakainya sebelum melangkah keluar dari balai tiba di KLIA. Dia tersenyum apabila memandang dirinya disebalik pintu kaca yang berada di hadapanya. Dia masih berdiri tegak di situ. Baju gaun separas lutut tanpa lengan berwarna hitam direnunganya. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. “Jika aku berpakaian seperti ini, confirm Pak Man tak kenal aku!” Aina ketawa di dalam hati. Untuk sentuhan akhir, Aina mengeluarkan cermin mata hitam dari beg tangan Gucci miliknya.  Fuh, aku dah nampak macam selebriti Hollywood pulak.  Paris Hilton ke?
            Gelagat Aina menarik perhatian penumpang dari penerbangan Switzerland yang bersamanya. Mereka hanya mampu tersenyum dan menggelengkan kepalanya apabila melihat telatah Aina yang mencuri perhatian mereka. Kebanyakkan dari mereka sudah pun keluar dari balai tiba. Aina segera melangkah apabila sedar hanya dirinya yang masih tidak bergerak keluar dari situ.
            Tiba-tiba saja ada tubuh yang melanggarnya dari belakang. Dirinya hampir sahaja melayang akibat perlanggaran itu. Beg tangannya terlepas dari tangannya. Aina berpaling dan merenung lelaki itu.Aina geram. Wajahnya berkerut melihat lelaki itu. Matanya merenung lelaki itu dari atas sehingga bawah di sebalik cermin mata hitam yang dipakainya. Dirinya tergamam seketika. Ini manusia ke? Rambut lelaki itu panjang melepasi bahu malah kusut seolah-olah tidak disikat. Wajahnya penuh dengan jambang. Hish….mesti dah berapa tahun tak cukur? Lelaki ni baru balik dari bertapa ke? Dah macam manusia zaman purba pulak?
            “Next time, kalau nak berjalan guna mata bukannya hidung.” Sergah lelaki itu secara tiba-tiba. Dia terus berlalu pergi meninggalkan Aina.
            Bibir Aina terketar-ketar . Tangan kanannya diangkat dan diarahkan tepat pada lelaki itu. “Ehh….aku pulak yang kena marah! Kau yang langgar aku tadi. Hish…tak ada budi bahasa langsung. Sepatutnya dia minta maaf tetapi lain pulak jadinya. Orang Utan!” Aina membebel seorang dirinya. Aina mengambil beg tangan yang berada di lantai dengan kasar. Bibirnya masih berkumit-kumit menyumpah lelaki itu. Dia masih tidak puas hati dengan apa yang berlaku tadi.

                                    *********************************

            “Man! Mana Aina?” soal Datin Sharifah Mawar apabila Pak Man melangkah masuk ke ruang tamu dan menghampiri dirnya. Datin Sharifah Mawar menutup Malajah Wanita yang dibacanya dan diletakkan di sisinya. Dia menanti jawapan dari pemandu yang sudah 20 tahun berkhidmat dengan keluarganya.
            “Tak ada, Datin! Hampir 3 jam, saya tunggu Cik Aina. Saya ada tanya di kaunter pertanyaan. Mereka kata pernerbangan dari Switzerland sudah tiba 3 jam yang lalu. Setiap orang yang keluar dari balai tiba saya perhatikan tetapi Cik Aina tak ada.” Beritahu Pak Mana.
            “Apa!: Datin Sharifah Mawar meninggikan suaranya lantas bangun dari Sofa. Matanya merah menyala. Sakit hatinya apabila mengingatkan perangai anak bongsunya itu. Pasti Aina nak elakkan diri dari aku. “Betul ke kau dah perhatikan setiap orang yang keluar dari situ atau ada kau terlepas pandang ?”
            “Betul, Datin! Walaupun sudah 5 tahun Cik Aina berada di sana, saya masih belum lupa wajah Cik Aina.” Pak Man menundukkan kepalanya. Dia serba salah untuk memandang majikannya itu.
            “Mana budak ni pergi, hah?”
            “Man! Kamu mesti dah lapar kan! Pergi ke dapur, makan dahulu.” Tan Sri Syed Abu Bakar tiba-tiba berada di situ.
            ‘Baiklah, Tan Sri!” jawab Pak Man. Segera langkahnya diatur meninggalkan dua orang majikannya. Sebelum kemarahan Datin Sharifah Mawar meletup, lebih baik aku beredar dari sini. Siapa yang tak kenal dengan sikap Datin Sharifah Mawar.
            “Abah! Aina, dia sengaja nak elakkan diri dari Mawar! Sampai hati Aina buat Mawar macam ni! Dia sudah lupa ke Mawar ni mamanya..” Datin Sharifah Mawar mengadu pada ayahnya.
            Tan Sri Syed Abu  Bakar tersenyum sinis sebaik sahaja mendengar kata-kata yang keluar di mulut anak tunggalnya itu.
            “Kenapa abah tersenyum ni? Mawar serius la, abah!” Datin Sharifah Mawar mengetap bibirnya apabila kata-katanya tidak diendahkan.
            “Macam mana Aina nak balik kalau dia tahu sebaik sahaja dia melangkah masuk ke rumah ni, soalan pertama yang Mawar akan ditanya ialah….Bila Aina nak kahwin? Mama dah uruskan pertemuaan Aina dengan anak kawan mama. Aina mesti pergi!” Tan Sri Syed Abu Bakar mengajuk percakapan anaknya.
            ‘Abah! Mawar buat semua ni untuk kebaikkan Aina. Tahun ni umurnya sudah 30 tahun! Dah tahap kritikal. Mawar tak mahu anak Mawar jadi andartu. Kawan-kawan mawar dah ada cucu. Mawar malu, abah.”
            “Kenapa pula Mawar nak cemburu dengan mereka? Dah jodoh anak mereka lebih awal dari Aril dan Aina. Mawar, jodoh ni bukan di tangan kita. Itu semua ditetapkan oleh Allah S.W.T. Mawar kena ingat semua itu. Abah yakin satu hari nanti mereka akan berjumpa dengan pasangan mereka masing-masing tetapi bukan sekarang.” Nasihat Tan Sri Syed Abu Bakar. Sudah berbuih-buih air liurnya menasihati Mawar namun tidak dipedulikannya.
            “Jika tak berusaha, bila nak jumpa jodohnya! Semua ini memerlukan usaha. Tahun ni Mawar akan pastikan Aril dan Aina berkahwin. Jika Aina bersembunyi  di dalam lubang cacing sekalipun, Mawar akan cari sampai jumpa. Abah tengoklah.”
            Tan Sri Syed Abu Bakar hanya mampu melepaskan keluhan. Nasihat kita bukannya nak didengar, dia saja yang betul . Badannya direbahkan pada sofa empuk. Dia sudah mati akal untuk menasihati Mawar.
            “Asssalamualaikum!” Syed Aril melangkah masuk ke dalam rumahnya sambil membuka tie di lehernya.
            “Waalaikumussalam.” Jawab Tan Sri Syed Abu Bakar. “Awal hari ni balik, Aril.”
            “Aril sengaja balik awal sebab hari ni kan Aina balik. Aina mana, atuk?” soal Aril. Matanya memerhati segenap sudut rumah itu. Dia tak sabar untuk berjumpa dengannya. Kali terakhir dia berjumpa Aina semasa dia melawat Aina di Switzerland 6 bulan lepas.
            “Hilang!” jawab Datin Sharifah bagi pihak ayahnya.
            “Hilang!” Aril terkejut. “Apa maksud mama?”
            “Aril pasti ke Aina balik hari ini?”
            “Ya! Aril dah pun check nama Aina. Pernerbangan tiba pukul 3.00 petang tadi. Mustahil Aina tak naik pernerbangan tu. Mama dah call Aina ke?”
            “Dia off handphone dia. Mama tahu dia sengaja tak mahu jumpa mama.”
Nada suara Datin Sharifah Mawar sedih.
            “ Mama tahu kan, kenapa Aina cuba elakkan diri dari mama.”
            “Oooo..Sekarang ini Aril nak salahkan mama pulak ke? Apa yang mama buat semuanya salah. “
            “Memang tak salah jika seorang ibu itu mahu melihat anaknya bahagia tetapi sikap mama tu kadang-kala buat kami rimas. Cukuplah mama! Jangan cuba nak atur hidup kami lagi.”
            “Sekarang ni Aril pula nak ajar mama ke?’ Nada suara Datin Sharifah Mawar meningggi. Sakit hatinya apabila niatnya telah disalah ertikan.
            “Bukan itu maksud Aril, Mawar. Biarlah Aril dan Aina memilih pasangan mereka sendiri. Kita sekadar lihat saja.” Tan Sri Syed Abu Bakar mencelah. Kasihan pula melihat Aril.
            “Abah pun sama seperti Aril. Tak pernah nak memahami niat murni Mawar. Aril dan Aina anak Mawar. Mawar tahu yang mana satu baik untuk mereka. Abah ingat Mawar lakukan semua ini untuk kepentingan Mawar ke? Ini semua untuk masa depan mereka berdua.”
            “Aril! Atuk sudah tak tahu bahasa apa atuk nak cakap lagi supaya mama Aril ni faham! Mahu orang ikut telunjuk dia saja. Aril! Bila Aina call nanti, beritahu Aina tak payah balik ke rumah ni lagi. Balik pun, kusutkan kepala saja.”
            “Abah!” Datin Sharifah Mawar merenung ayahnya. Bukannya nak berpihak pada aku,asyik menyebelahi cucu dia saja.
            Aril hanya mampu tersenyum melihat gelagat atuknya.
            “Abah jangan nak ajar Aina buat perkara yang bukan-bukan! Aril, malam ni ikut mama pergi jumpa Raja Zehra. Anaknya Mimi baru saja balik dari US. Aril mesti ikut mama.” Arah Datin Sharifah Mawar merenung wajah bujur anak lelakinya itu.
            “Mama! Aril letih la. Malam ni Aril kena jumpa client . Lain kali sajalah.” Aril membuat mimic muka. Aaaa…patutlah Aina tak mahu balik, dia sudah tahu nasibnya seperti aku nanti.
            “Aril!”
            “Aril kan dah janji nak jumpa client. Kalau Aril tak mahu, biar abah ikut. Teman Mawar jumpa si Mimi tu bagi pihak Aril.”
            Datin Sharifah berpaling dan melihat ayahnya. “Abah pertemuan ni untuk Aril dan Mimi. Nama abah tak ada dalam guest list.”
            “Amboi, siap ada guest list lagi. Ni pertemuan jodoh ke atau perjumpaan dengan Perdana Menteri.”
            “Abah!”
            “Aril naik dulu. Nak sembahyang Asar.” Aril bersuara secara tiba-tiba. Inilah masanya untuk aku cabut lari sebelum mama berleter lagi. Langkah diatur laju menuju ke anak tangga.
            “Aril! Aril! Mama tak abis cakap lagi.” Datin Sharifah meninggikan suaranya. Panggilannya tidak diendahkan oleh Aril.
            “Aril nak sembahyang tak boleh ke? Berdosa kalau cuba nak melengahkan orang yang ingin menunaikan ibadat.” Tan Sri Syed Abu Bakar tersenyum sinis.
            “Abah!” Datin Sharifah merenung ayahnya tanpa berkelip-kelip. Setiap kali bercakap dengan abah, sakit hati yang aku dapat. Aina, mama akan cari Aina sampai dapat. Tunggu.

                                    **************************
           
            Rina segera menanggalkan kasut tinggi yang dipakainya sebelum melangkah masuk ke rumah ibu saudaranya. Dia bergeges datang ke sini apabila menerima panggilan dari neneknya tentang kepulangan Haikal, sepupunya yang telah menghilangkan diri selama 6 bulan selepas Sofea melarikan diri semasa hari pernikahan mereka. Ke mana Haikal menghilang, tiada siapa yang tahu.
            “Nenek, mana Abang Haikal?” soal Rina selepas bersalaman dengan neneknya, Tengku Fauziah.
            “Selepas balik, dia terus berkurung dalam bilik. Puas kami ketuk tetapi tak dibukanya pun. Jika Rina lihat Haikal sekarang ni, dah macam orang lain. Seperti mayat hidup. Nenek kasihan pada Mak Long Rina tu. Bila dah balik, begini pula jadinya. Makan minum pun tidak. Apa nak jadi dengan Haikal ni? Kenapa dia masih tidak mahu melupakan Sofea? Dah tak ada jodoh. Terima dengan hati yang terbuka. Anggap ia sebagai dugaan.” Tengku Fauziah menarik nafas panjang.
            “Bersabarlah, nenek. Tak lama lagi Abang Haikal akan kembali seperti biasa. Biar saja masa mengubati lukanya.” Rina memegang erat tangan Tengku Fauziah.
            ‘Rina ke? Mak Long ingat siapa yang datang hari ini! Hari ni tak mengajar ke?” soal Tengku Fazira. Wajahnya pucat lesi.
            “Rina mengajar sesi pagi , Mak Long! Bila nenek call Rina, terus Rina datang ke sini.” Rina bangun dan bersalaman dengan mak saudaranya. Dia mencium lembut tangan wanita itu.
            “Jadi Rina dah tahu Haikal dah balik!”
            Rina hanya mampu menganggukkan kepalanya.
            “Mak Long sudah bingung apabila memikirkan Haikal. Kenapa nasib Haikal seperti ini? Apa salah Haikal sehingga Sofea bertindak seperti itu, hah? Jika tak suka, berterus-terang saja. Kenapa mesti pada hari pernikahan nak buat perangai? Perempuan tak kenang budi.” Tengku Fazira melepaskan kemarahan yang terpendam dalam hatinya selama ini. Mungkin Haikal terlalu mencintai Sofea sehingga  ia memakan dirinya sendiri. Cinta itu memang buta. Perasaannya semakin sebak.
            “Zira, perkara yang sudah berlalu kita lupakan sahaja. Yang penting sekarang ni adalah Haikal. Kita mesti fikirkan macam mana jalan untuk mengubati Haikal. Kita tak boleh biarkan dia seperti itu. Jangan biarkan dia terlalu mengikut perasaan, padah jadinya nanti.” Nasihat Tengku Fauziah.
            “Betul tu, Mak Long! Sekarang ni Abang Haikal yang perlu kita utamakan. Kita tak boleh biarkan Abang Haikal hanyut dengan perasaannya. Abang Haikal perlu terima hakikat yang  Kak Sofea tidak mencintainya lagi.”
            “Rina, bagaimana Rina tahu Sofea tidak mencintai Haikal lagi? Rina ada jumpa dengan Sofea ke?” soal Tengku Fauziah secara tiba-tiba. Apa yang dia tahu Sofea menghilangkan diri sehingga sekarang tanpa berita. Tiada siapa tahu kenapa Sofea membuat keputusan untuk melarikan diri.
            “Aaaa…..” Rina terkejut. Aku terlepas cakap ke? Dia sedar nenek dan Mak Long sedang memerhati dirinya dan sedang menanti jawapan darinya. “Bukan….Maksud Rina, tinggalkan Abang Haikal. Ya, itu maksud Rina tadi.” Jawab Rina secara tiba-tiba. Harap-harap nenek dan Mak Long terima alasan aku ni. Fuh…kalau mereka tahu Kak Sofea tinggalkan Abang Haikal disebabkan oleh lelaki lain. Bergegar rumah ini jadinya.
            “Oooo…Mak Long ingat Rina tahu kenapa Sofea tinggalkan Haikal. Suspen Mak Long dibuatnya.” Wajahnya yang serius terus berubah.
            Rina tersenyum. Nasib baik aku pandai cover line. Hmm..mungkinkah Abang Haikal dah jumpa Sofea  sebab itu keadaan Abang Haikal seperti ini. Rina menggaru kepalanya tidak gatal.
            Tengku Fauziah memerhati gelagat cucunya.Dia dapat menghidu sesuatu dari gelagat Rina. Pasti Rina tahu sesuatu tentang Sofea.

                        *************************************************.

            Aril menutup pintu kereta BMW 5 Series miliknya. Langkahnya diatur kemas memasuki McDonald . Matanya meliar mencari seseorang.
            “Abang!” jerit Aina bila melihat Aril sedang mencari dirinya. Tangannya melambai-lambai ke arah Aril.
            “Di sini rupanya dia bersembunyi. Aina tahu tak, disebabkan Aina. Kelam kabut rumah dibuatnya. Mama tak berhenti-henti berleter. Yang menjadi mangsanya abang dan atuk. Aina tak kasihan ke dengan kami berdua.” Bebel Aril sebaik sahaja melabuhkan punggungnya.
            “Abang ni macam mama la. Apa kata abang order dulu selepas tu Aina akan dengar syarahan dari abang. “
            “Hish budak ni! Abang dah kenyang.Abang dah makan dengan client abang tadi. Selepas dapat call dari Aina, abang terus datang ke sini.”
            “Aina bukannya tak nak balik. Aina rindu kat mama dan atuk tetapi  Aina tak tahan dengan perangai mama tu. Suka sangat atur hidup kita berdua. Kahwin! Kahwin! Itu saja yang mama tahu. Semasa Aina di sana, setiap kali mama call. Perkara pertama yang akan di soal oleh mama!”
            “Kamu ni bila nak berkahwin, hah!” kata Aina dan Aril serentak. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak. Ayat itu dah sebati dalam dirinya mereka. Dah jadi trademark mama sekarang ni.
            “Abang kahwin la! Bila abang dah kahwin, mesti mama akan diam sekejap.” Pujuk Aina.
            “Oooo…Aina nak jadikan abang sebagai kambing hitam ke? No…Sorry!” Aril menggelengkan kepalanya beberapa kali.
            “Habis tu, sekarang ni macam mana?”
            “Kita tunggu dan lihat episode seterusnya.”
            “Abang ingat kisah hidup kita ni drama ke?” Aina mengambil kentang dihadapannya dan mengunyahnya perlahan-lahan.
            “Kisah hidup kita ni memang dah jadi drama pun. Telenovela pun boleh jugak.”
            “Atuk sihat ke?” Aina tiba-tiba teringatkan atuknya.
            “Sihat. Hmm…..apa rancangan Aina selepas ni? Kalau tak mahu balik ke rumah, Aina nak tinggal di mana?” soal Aril. Matanya tepat merenung anak mata adiknya.
            “Itu abang jangan risau. Aina dah sewa apartment milik kawan Aina di Bangsar.”
            “Lega sikit hati abang mendengarnya. Ingatkan malam ni Aina nak tidur di sini. Maklumlah MCD di sni buka 24 jam.”
            “Itu kalau tiada plan lain.”
            “Sekarang ni Aina dah jadi Dr. Sharifah  Aina Aishah..Apa Aina nak buat selepas ini? Nak jadi pakar psikologi ke? “ soal Aril . Dia ingin tahu perancangan Aina selepas ini.
            “Hmmm..sementara waktu ni, Aina nak berehat sekejap. 2 atau 3 bulan ke?”
            “Apa! Sekarang ni Aina perlu fikir tentang masa depan Aina. Tahun ni umur Aina dah pun 30 tahun, takkan masih nak menjadi penggangur  lagi. Kalau Aina malas nak cari kerja, kerja saja kat syarikat abang.”
            “Tak mahulah. Aina nak berdikari dan berdiri atas usaha Aina sendiri. Aina tak nak bergantung pada orang lain. Seperti abang cakap, umur Aina dah 30 tahun. So dah tiba masanya Aina pilih jalan yang terbaik untuk diri Aina. You know I can do it, right.”
            “Yeah, I know.”
            “Aaa….Abang kena rahsiakan hal ni dari mama. Nombor telefon Aina yang baru tu, abang save saja nama orang lain supaya mama tak syak sesuatu. Aina yakin mama mesti selongkar handphone abang nanti.” Ujar Aina. Dia kenal sangat dengan sikap ibunya.
            “Abang tahu.” Dengan pantas tangan kanan Aril menarik pipi kiri Aina.
            “Sakit la, Abang!” Aina menepis tangan Aril yang menarik pipinya. Sejak kecil lagi, Aril suka menarik pipinya. Hubungannya dengan Aril memang akrab. Apa saja yang dilakukanya, Aril akan menyokongnya. “Malu la orang tengok. Abang ingat Aina ni budak kecil lagi ke?” Aina menggosok pipinya beberapa kali. Dia mencebik bibirnya sebagai tanda protes.
            Aril tersenym lebar sehingga menampakkan barisan giginya yang putih dan teratur.

                                    ************************************

            “Rina” Rina berpaling apabila mendengar namanya dipanggil. Dia merenung wanita yang sedang berjalan menghampiri dirinya. “Kak Aina!” Rina terkejut besar. Dia tak sangka akan berjumpa lagi dengan Aina. Mereka berkenalan sewaktu dia menyertai program pertukaran pelajar di Switzerland.
            “Tak sangka kita boleh berjumpa di sini. Rina, apa khabar?” Aina mengatur langkah menghampiri Rina yang sedang berdiri di tepi kereta Suzuki Vitara.
            “Sihat! Kak Rina , sihat ke? Bila Kak Rina balik ke Malaysia?” Aina bersalaman dengan Aina. Senyuman tidak lekang di bibirnya.
            “Pagi tadi. Rina tinggal di sini juga ke?” soal Aina. Dia tak menjangka akan berjumpa Rina di tempat pakir kereta di aparment yang baru disewanya tadi. Kuala Lumpur ni memang kecil.
            “Ya. Kak Aina pun tinggal di sini juga ke?”
            “Ya!” Aina tersenyum lebar. “Baru balik dari kerja ke?”
            “Tak. Rina baru balik dari rumah auntie. Ada hal sikit. Rina gembira sebab dapat berjumpa dengan Kak Aina lagi. Selama ini kita hanya berhubungan dengan facebook saja tetapi kenapa hari itu Kak Aina tak beritahu Rina yang Kak Rina nak balik minggu ni? “
            “Kepulangan kak ke Malaysia tak dirancang. Tiba-tiba hati kak terdektik untuk balik ke sini. Mungkin sebab kak terlalu rindukan Malaysia.” Aina ketawa.
            “Hish….kita dari tadi asyik berborak di sini. Jom, kak Aina. Kita berbual kat rumah Rina. Boleh la kita berborak panjang sikit.” Ajak Rina. Dia sudah anggap Aina seperti kakaknya sendiri. Semasa di Switzerland, hubungan mereka memang rapat. Dia senang berkawan dengan Aina. Dia seorang yang sporting dan open minded.
            “Ok! “ ringkas jawapan yang keluar dari bibir Aina.

Wednesday, June 8, 2011

Satu Dua Tiga 41

BAB 41

            Langkah Alisa terhenti apabila melintas bilik ibunya. Dahinya berkerut. Langkah diundur beberapa tapak. Pintu bilik itu direnungnya. Perlahan-lahan tangan kanannya memegang simbol pintu bilik itu. Keinginannya untuk tahu apa yang berlaku disebalik pintu semakin menebal. Aku harus lakukannya. Simbol pintu itu dipulasnya. Bagus! Tak berkunci. Pintu itu terbuka sedikit.
            “Angah!” tegur Alina. Dia bergegas menghampiri Alisa.
            Alisa terkejut apabila disergah oleh Alina.
            “What are you doing here?” soal Alina sambil tangannya memegang mug berisi kopi yang dibancuhnya di dapur. Nada suaranya separuh berbisik. Dia bimbang jika suaranya mengganggu ibu dan abah yang sedang tidur.
            “Shisss…jangan menyibuk. Pergi masuk bilik.” Arah Alisa menolak pintu bilik itu. Kehadiran Alina tidak diendahkannya.
            “Angah dah gila ke? Ceroboh bilik ibu macam ni. Apa kata ibu dan abah nanti? Angah!” Alina menghalang Alisa dari masuk ke dalam bilik itu.
            “Hish…. Ke tepi! Jangan masuk campur. Angah perlu buktikan sesuatu.”
            “Buktikan apa? Angah dah lupa ke pesan Along?”
            “Kalau Acu takut sangat kat Along, anggap saja Acu tak nampak semua ni!”
            “Angah!” Bibir Alina terketar-ketar. Angah ni memang degil.
            “Tepi!” Alisa menarik tangan Alina supaya memberi laluan padanya. Dia terus masuk ke bilik itu perlahan-lahan. Langkahnya diatur dengan berhati-hati agar kehadirannya tidak disedari oleh penghuni bilik itu. Inilah pertama kali dia menjejaki ke dalam bilik ini. Luasnya bilik ini. Alisa terpegun dengan hiasan dalaman bilik itu.
            Alina mengeluh dengan kuat.Dia serba salah. Ingin masuk atau tidak! Tetapi aku tak boleh biarkan Angah masuk begitu saja. Entah apa Angah akan buat nanti. Alina terus melangkah masuk. Maaf ye ibu, abah! “Angah!” panggil Alina dengan nada suara perlahan.
            Langkah Alisa terhenti dan badannya tiba-tiba menjadi kaku. Matanya tepat melihat ke arah pasangan yang sedang tidur nyenyek di atas katil. Mereka tidur sekatil! Matanya bulat membesar apabila lelaki itu tiba-tiba sahaja memeluk ibunya. Semakin erat. Badan mereka berdua bersentuhan. Namun tiada apa-apa reaksi dari ibu! Bibir Alisa terketar-ketar. Dia ingin bersuara tetapi tiba-tiba sahaja mulutnya terasa berat. Pelukan itu semakin erat. Mata Alisa tidak berkelip. Dia masih terkejut dengan apa yang dilihatnya.
            “Angah! Jom la keluar! Angah ni suka cari masalah.” Kata Alisa dengan nada suara perlahan. Dia melihat Alisa kaku berdiri. Wajah Alisa pucat lesi. Nampak hantu ke? “Angah!”
            Perlahan-lahan Alisa memalingkan kepalanya, tangan kanannya diarahkan pada pasangan yang tidak menyedari kehadiran mereka berdua.
            “Apa!” Alina melihat ke arah yang ditunjukkan oleh Alisa. Tiba-tiba dia menutup mulutnya dengan kedua-dua belah tangannya. Dia tergamam melihat apa yang berlaku di depan matanya. Alina terus memegang lengan Alisa. “Get out, now!” nada suara Alisa separuh berbisik namun tegas. Alina menarik Alisa keluar. Alisa hanya mengikut sahaja. Pintu bilik itu ditutup semula.
            Selepas beberapa saat, pintu bilik ditutup. Munirah membuka matanya secara tiba-tiba. Bibirnya terketar-ketar menahan geram. Suka ambil kesempatan! Dia geram apabila Kadir memeluknya secara tiba-tiba lebih-lebih di hadapan anak-anaknya. Apa kata mereka nanti? Munirah malu dengan apa yang berlaku! Dengan pantas, Munirah mencubit lengan Kadir yang berada dipinggangnya.
            Kadir menjerit kesakitan. “Sakit la, sayang!” Kadir menggosak kesan merah di lengannya.
            Sebaik saja pinggangnya dilepaskan, Munirah segera bangun. Wajahnya merah padam menahan merah. Dia tak suka orang mengambil kesempatan ke atasnya. “Lelaki gatal! Suka ambil kesempatan. Kenapa tadi awak tak kunci pintu? Awak orang yang last masuk tadi.” Marah Munirah. Sewaktu dia ingin mengambil selimut dan bantal di dalam almari, tiba-tiba dia terdengar suara Alisa dan Alina di luar. Dia terkejut melihat pintu bilik terbuka sedikit. Dia yakin Alisa ingin masuk ke biliknya. Pantas Munirah mengatur langkah menuju ke katil dan terus tidur di sebelah Kadir. Nasib baik waktu itu Kadir sudah tidur namun sangkaannya meleset, dia terkejut apabila Kadir memeluknya. Badannya dan badan Kadir bersentuhan. Jantungnya berdegup kencang tetapi dia tak boleh buat apa-apa. Alisa sudah pun masuk. Matanya dipejam erat.
            “Selama 25 tahun ni, abang tak pernah pun kunci bilik abang semasa tidur. Abang tak nampak pun ada apa-apa masalah.” Kadir tersenyum. Pasti Munirah sebab aku memeluknya tadi.
            “Apa! Awak nampak kan Alisa masuk ke dalam bilik tadi! Tak mustahil  Alisa akan masuk lagi kalau awak tak kunci pintu lagi. Awak nak mereka tahu ke?”
            “Abang tak kisah kalau Alisa selalu masuk ke dalam bilik kita! Apa salahnya. Alisa kan anak kita.Kalau Alisa nampak apa-apa pun, mesti Alisa tak kisah.Kan lebih baik jika awak tidur di sini”  Kadir menepuk katilnya beberapa kali sambil tersengih.
            “Munirah malas nak bercakap dengan awak. Buang masa.” Munirah terus berjalan ke arah pintu dan menguncinya. Dia mengambil selimut dan bantal di dalam almari. Mulutnya terkumit-kumit berkata sesuatu tetapi tidak dengari oleh Kadir. Kita ni serius, dia main-main pulak. Kalau aku tidur di sebelah kau, kau mesti akan ambil kesempatan. Kau ingat aku tak tahu ke! Ahhh…esok pasti Alisa dan Alina melihat aku dengan pandangan yang pelik. Macam mana aku nak berhadapan dengan mereka berdua nanti?
           
                                                **************************

            Alisa meletakkan kedua-dua tapak tangan di mukanya. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Dia masih tidak dapat melupakan apa yang berlaku malam tadi. Semalaman dia tidak dapat tidur. Adakah ibu telah menerima lelaki itu di dalam hidupnya? Keluhan berat dilepaskan. Secawan air tea yang ada di hadapannya tidak diendahkan.
            “Itulah, lain kali jangan suka hati terjah masuk bilik orang. Kan dah nampak sesuatu yang kita tak patut nampak.” Tegur Alina. Dia terus melabuhkan punggungnya di kerusi yang bersebelahan Alisa.
            “Jangan ungkit tentang perkara tu lagi. Meremang bulu roma Angah bila teringat perkara semalam. Dah tua masih berlagak seperti orang muda. Eeee….” Alisa memcebikkan bibirnya. Siap peluk lagi.
            “Takkan suami nak peluk isteri sendiri tak boleh. Kan romantic macam tu. Takkan nak romantic bila muda saja, kalau dah tua pun boleh romantic lagi.” Usik Alina. Dia sengaja ingin mengusik Alisa.
            “Acu kan nampak….”
            “Nampak apa?” soal Aleya secara tiba-tiba. Dia berdiri di belakang Alina.
            “Aaaa…..” Wajah Alisa pucat dengan kehadiran Aleya. Along dah dengar kea pa yang aku cakap dengan Acu tadi? Kalau la Along tahu, teruk aku dimarahi nanti.
            Alina hanya diam membisu. Dia segera minum air tea yang berada di atas meja. Teruklah kalau Along tahu!
            “Angah dan Acu nampak apa?” soal Aleya lagi. Dia hairan apabila pertanyaannya tidak dijawab.
            “semalam kami nampak tahi bintang!” Bohong Alisa. “Kan Acu kan!” Alisa berpaling ke arah Alina untuk menyokong jawapannya.
            “Ya! Besar pulak tu. Rugi Along tak tengok sekali semalam.” Kata Alina bersungguh-sungguh.
            “Tahi bintang. I’m not interested.” Dahi Aleya berkerut. Semalam kan hujan, ada tahi bintang ke? Dia pelik dengan kelakuan adik kembarnya. Macam ada sesuatu yang disorok oleh mereka dari aku? Aleya merenung mereka berdua.
            Alina berdehem beberapa kali. Tahi bintang! Angah ingat Along percaya ke? Alina melirikan matanya ke arah lain.
            Alisa membetulkan tudung yang dipakainya. Renungan Aleya tidak diendahkannya. Pasti Along syak sesuatu! Eee….macam mana ni?
            “Di sini rupanya anak-anak ibu berkumpul. Puas ibu cari kamu bertiga. Ni pulut sri muka yang Kak Munah buat pagi tadi. Makanlah.” Munirah menghampiri anak-anaknya. Pinggan yang berisi pulut sri muka diletakkan di atas meja.
            “Thanks, ibu!” ucap Aleya sambil tersenyum sehingga menampakkan barisan gigi putih yang teratur.
            Munirah membalas senyuman Aleya terhadapnya. Pandangannya dialih ke arah Alina yang tersengih melihatnya. Munirah gelabah. Pasti mengenai hal semalam. Pandangannya pula dialih pada Alisa. Alisa merenungnya dengan tajam. Wajahnya serius. “Aaaa….ibu nak keluar sekejap dengan Kak Munah. Nak beli perkakas dapur di Jusco. Kamu bertiga ada nak pesan apa-apa tak? “ nada suara Munirah bergetar.
            “Tak ada kot!” jawab Aleya. Dia melihat adik-adiknya yang masih diam membisu. Apa kena Angah dan Acu hari ini?
            “Baiklah. Kalau ada, call ibu ye.” Munirah tersenyum. Dia berjalan masuk ke dalam rumah. Dia mengeluh lega selepas meninggalkan anak-anaknya.
            “Apa keputusan Angah tentang syarikat itu? Along dah tengok documentation tu. Perfect. Semua dah siap.” Kata Aleya.
            “Angah tak mahu terhutang budi pada dia. Angah akan buka syarikat guaman Angah dengan usaha Angah sendiri. Angah tak perlukan bantuan dari sesiapa pun.”
            “It’s up to you! Keputusan di tangan Angah.” Aleya mencapai kuih pulut sri muka dan dikunyahnya perlahan-lahan.
            “Angah ni pentingkan diri sendiri. Angah tak kasihan ke pada staff yang telah diupah oleh Abang Zahari. Mereka mesti ada keluarga untuk ditanggung.” Alina bersuara.
            “Itu bukan masalah Angah! Mereka yang mulakan semua itu so mereka jugalah yang perlu selesaikan semua tu.”
            Alina menarik muka masam. Degil! Kata dia saja yang betul. Tak pernah teringin nak mengalah. Along dan Angah sama saja.
            “Hmm….Betul ke Dr. Nazri bertugas di hospital yang sama dengan Acu?” soal Aleya.
            “Ya ke? Itulah jodoh.” Alisa tersenyum.
            Kebetulan, OK! Angah, jangan nak buat andaian yang bukan-bukan. Kami hanya kawan.” Tegas Alina. Dia tahu maksud di sebalik senyuman Alisa padanya.
            “Itu kata Acu bukannya Dr. Nazri. Sekali imbas kami tengok, dah tahu. He’s in love with you. Betul tak, Along!”
            “Ya!” Aleya tersengih. “Jika Acu suka pada Dr. Nazri, kami tak ada halangan. Dia lelaki baik. Along percaya dia dapat membahagiakan Acu.”
            “Along!” suara Alina separuh meninggi. Dia geram. “Along! Angah! Jangan lupa janji kita. Janji yang kita takkan berkahwin dan akan menjaga ibu sehingga ke akhir hayat. Acu tak lupa semua itu.” Wajah Alina serius. Janji itu telah dibuat semasa mereka berusia 15 tahun. Janji itu masih dipegangnya sehingga kini. Sebab itulah dia bersama Aleya dan Alisa tidak mempunyai teman lelaki. Apa yang terjadi pada ibu menyebabkan kami tidak percaya kepada lelaki.  Kami takut disakiti dan dikecewakan oleh insan bernama lelaki.  Janji itu masih dingati.
            Serentak Aleya dan Alisa ketawa apabila Alisa mengungkit kembali tentang janji mereka itu. Aleya melirik matanya pada Alisa yang ketawa terbahak-bahak.
            “Acu, janji tu tak boleh dipakai lagi. Jika Acu ingin berkahwin dengan Dr. Nazri, kami tak ada halangan. Just go on!” kata Alisa.
            “Apa!” Dahi Alina berkerut. Aku tak faham.
            “Ya. Kami tak ada apa-apa masalah. Mengenai janji yang pernah dibuat oleh kita bertiga pada 10 tahun dulu adalah tidak berasas. Just forget about it.” Aleya tersengih.
            “Tapi ….” Alina masih tidak berpuas hati.
            “Lupakan saja janji itu.” Tegas Aleya.
            Alina merenung Aleya. Jika memang benar, Along dan Angah melupai janji itu tetapi kenapa sehingga sekarang mereka berdua tiada teman lelaki. Tiada mana-mana lelaki pernah mendekati mereka berdua.
            “Good morning, girls!” ucap Iskandar yang melangkah menghampiri mereka bertiga yang bersarapan pagi di balkoni.
            “Abang Is! Good morning.” Alina tersenyum dengan kehadiran lelaki itu. Aleya memalingkan mukanya ke arah lain manakala Alisa membuat mimic muka. Kehadiran lelaki itu tidak disukai oleh mereka berdua.
            “Lina!” Iskandar tersengih. Dia memegang sejambak bunga ros pink dan patung teddy bear berwarna pink. Matanya tepat melihat dua orang wanita yang duduk di meja itu. Mana satu Aleya ni?
            Alina sedar akan maksud disebalik pandangan Iskandar. Pasti Abang Is tak tahu mana satu Along! “Abang Is, yang bertudung coklat tu.” Beritahu Alina.
            Aleya tersentak apabila Alina memberitahu pada Iskandar. Matanya bulat merenung Alina. Sakit hatinya bila Alina menyebelahi lelaki itu.
            “Terima kasih, Lina!” ucap Iskandar. Dia segera mendekati Aleya. Matanya bercahaya.
            Aleya tidak mempedulikan kehadiran lelaki itu. Dia terus bangun. Dia perlu segera pergi dari situ. Rimas! Apa yang lelaki ini mahu dari aku? Dia tak faham bahasa lagi ke? Aku dah cakap, tak mahu! Tak mahu la.
            “Aleya! Please, dengar dulu apa yang Is nak cakap!”  Iskandar menghalang Aleya dari berlalu dari situ.
            “Tengku, nak apa lagi!” Aleya meninggikan suaranya.Dia sudah hilang sabar dengan perangai anak tiri Auntie Maria.
            “Beri Is, 2 minit saja! Ada sesuatu yang Is nak beritahu Aleya.”
            Alisa dan Alina hanya menjadi pemerhati. Mereka sedang menanti apa yang akan berlaku seterusnya.
            “30 saat!” kata Aleya.
            “Baiklah! Is takkan akan cepat berputus asa. Is akan berusaha sepenuhnya agar hati Aleya menerima cinta Is. Aleya tunggu ye! Take this!” kata Iskandar dengan cepat. Dengan pantas dia memberi sejambak bunga dan teddy bear itu pada Aleya yang tercengang dengan kata-katanya sebentar tad.
            Aleya tergamam. Matanya terkebil-kebil melihat Iskandar.
            Iskandar mengenyitkan sebelah matanya. “Love you!” ucap Iskandar sebelum melangkah pergi. Senyuman terukir di bibirnya. Hatinya sudah puas. Selepas ini, dia akan menjalankan plan yang seterusnya. Dia berikrar akan memiliki cinta Aleya.
            “Wow…romantiknya, Abang Is.” Puji Alina. Dia kagum dengan keberanian Iskandar. Dia berpaling pada Aleya yang masih kaku tidak bergerak.
            “Sekejap lagi ribut El Nino akan tiba.” Kata Alisa. Dia sedar akan perubahan air muka Aleya. Macho jugak Si Alien tu tapi Along ni jenis yang keras hati. Untuk mencairkan hatinya, Alien tu perlu banyak berusaha. Barulah ada hasilnya. Baiklah, aku akan menanti drama yang seterusnya. Alisa tersengih.
            “Dia ….Dia ingat dia siapa?” jerit Aleya secara tiba-tiba. Matanya merah menyala menahan marah. Aleya merenung jambangan bunga dan teddy bear yang berada di tangannya. Api kemarahannya bertambah membara. Kau ingat kau dapat memiliki aku dengan memberi semua ini ke?
            Alisa dan Alina terdiam. Mereka terkejut dengan jeritan Aleya. Selama ini Aleya akan bertenang walau apa yang terjadi namun kehadiran Iskandar mampu menggugat ketenangan Aleya.
            Aleya merenung jambangan bunga itu. “ Kau ingat aku akan terima kau ke?” Jambangan bunga itu terus dilemparkan ke lantai dengan kasar. Kelompak bunga itu bertaburan di atas lantai.
            Alina menelan air liurnya. Memang betul cakap Angah, ribut El Nino dah datang. Air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Hmm….betul tu. Along bila naik angin, orang disekeliling langsung dia tak ambil peduli. Kasihan nasib bunga ros yang tak berdosa tu. Alina menggelengkan kepalanya perlahan-lahan.
            Pandangan Aleya dialihkan pula pada teddy bear berwarna pink itu. Dia menggenggam erat kepala teddy bear itu. “Kau ingat aku akan suka kau ke, hah!” Aleya terus membaling teddy bear itu ke arah kolam air terjun yang berhampiran dengan balkoni itu. Teddy bear itu melayang ke udara dan akhirnya jatuh tepat ke dalam kolam itu. Hatinya puas melihat teddy bear itu terapung di dalam kolam itu. Dia segera mengatur langkah dan bibir terkumit-kumit membebel sesuatu tetapi tidak didengari oleh Alisa dan Alina.
            Keluhan dilepaskan dengan kuat. “kasihan, teddy bear tu. Apa yang akan terjadi seterusnya?”
            “Kita tunggu dan lihat sajalah.” Jawab Alisa dengan selamba. Matanya tepat melihat pinggan yang berisi kuih pulut sri muka itu. Hampir meleleh air liurnya melihat kuih itu. Perlahan-lahan tangannya bergerak untuk mengambil kuih itu namun tangan Alina lebih pantas.
            Alina menarik pinggan kuih itu dekat padanya. “No! Angah dah lupa ke janji Angah semalam? Kan nak diet.”
            “Satu je, please.” Alisa merayu. Dia membuat mimic muka kasihan pada adiknya.
            “No! Mulai sekarang, Angah kena jaga pemakanan Angah. Angah dah lupa berat Angah dah naik 2kg. Senaman tak mahu. Mulut tu asyik kunyah 24 jam saja. Mulai hari ini, Angah mesti dengar cakap Acu!” tegas Alina.
            Alisa menjeling matanya pada Alina. Tak dapatlah aku merasa pulut sri muka ni hari ni? Kenapa la Acu cuti hari ini? Susah betul hidup aku macam ni. Alina mengeluh dengan kuat.
            Alina tersengih. Dia mengambil pulut sri muka itu dan mengunyahnya perlahan-lahan.
            Sejak dari tadi, mereka bertiga tidak sedar ada mata yang sedang memerhati mereka dari tingkat atas. Kadir tersenyum apabila melihat telatah anak-anaknya. Mulai sekarang, hidupnya tidak akan keseorangan dan kesunyian lagi.

                                    ***********************************

            Munirah mengeluarkan barang dapur yang dibelinya sebentar tadi. Satu persatu barang itu dimasukkan ke dalam almari.
            “Sayang!”
            Munirah mengetap bibirnya apabila mendengar suara itu. Dia rimas dengan kehadiran lelaki itu. Apa lagi yang dia mahu dari aku? Munirah meneruskan kembali kerjanya, kehadiran suaminya itu tidak diendahkan.
            “Sayang, dengar tak abang panggil ni!” Kadir mendekati Munirah. Dia hairan bila tiada reaksi dari Munirah. Dia merenung tepat pada wajah Munirah yang berada di sisinya.
            Ada apa?”
            “Amboi garangnya! Sayang, masih marahkan abang tentang hal semalam ke?”
            Munirah menoleh. Dia menjeling pada Kadir yang sedang merenung manja padanya. “Awak! Lain kali panggil Munirah bukannya sayang. Awak tak malu ke kalau orang dengarnya. Kita ni dah tua bukannya muda lagi. Awak faham tak?” tegas Munirah.
            “Abang tak nampak pun apa masalahnya! Ini tandanya abang sayang pada sayang.” Kadir tersengih. Kadir meletakkan kepalanya pada bahu Munirah dengan manja.
            Munirah terkejut dan segera bergerak beberapa langkah. “Awak jangan nak menggatal di sini. Lebih baik awak beritahu apa tujuan awak nak jumpa Munirah. Jangan bazirkan masa Munirah.” Kata Munirah. Dia tahu ada sesuatu yang ingin diberitahu oleh Kadir padanya. Kadir seperti teragak-agak untuk memberitahunya.
            “Aaa…Baiklah! Nak bermanja sikit pun tak boleh. Rupanya sayang ni garang jugak. Dalam diam-diam, berisi. Patutlah Aleya dan Alisa garang, rupanya ikut gen ibunya.”
            “Awak jangan nak melencong ke tempat lain pulak! Tell me now.”
            “OK! Tan Sri Johari dan isterinya jemput abang dan sayang ke Majlis Ulang Tahun Perkahwinan mereka pada malam esok di Hotel Pacific.”
            “Kalau awak nak pergi, awak pergilah seorang.”
            “Kenapa? Mereka jemput kita berdua. Lagipun sayang kan isteri abang. Sayang kena teman abang! Apa kata orang nanti bila abang pergi seorang?” Kadir terkejut dengan jawapan Munirah. Peluang perlu digunakannya. Inilah masanya dia memperkenalkan Munirah pada rakan seperniagaannya.
            “Jawapan Munirah adalah tidak! Awak tak faham ke? Itu masalah awak.” Munirah masih bertegas. Dia tetap dengan pendiriannya.
            “Tak baik menolak pelawaan orang!” pujuk Kadir. Dia sedar sejak kebelakangan ini perangai Munirah banyak berubah. Susah didekati. Munirah seolah-olah sedang membina banteng supaya dirinya tidak didekati. Sikapnya juga dingin.
            “Itu bukan masalah Munirah.” Wajah Munirah bersahaja.
            “Please!” Kadir mencapai tangan Munirah. Dia menggenggam erat tangan
            “Lepaslah!” Munirah terkejut apabila Kadir memegang tangannya secara tiba-tiba. Dia cuba menarik tangannya namun gagal. “Let me go!” Munirah meronta dengan kuat.
            “Aaaa….Acu menggangu ke?”
            Serentak mereka berdua menoleh dan terkejut dengan kehadiran Alina di dapur. Mata Alina terkebil memandang mereka berdua.
            “Abah dan ibu bergaduh ke?” soal Alina.
            “Taklah!” jawab Kadir dan terus mencium tangan Munirah yang dipegangnya tadi. “Abah tengah pujuk ibu ikut abah pergi ke Majlis Ulang Tahun Perkahwinan kawan abah.”
            Alina tersenyum melihat adegan itu. “Kenapa? Ibu tak mahu ikut abah ke?” soal Alina. Tangannya membuka peti sejuk dan mengambil 2 biji buah epal untuk dimakannya. Pintu peti sejuk itu ditutupnya.
            Munirah menjeling pada Kadir yang sedang mengambil kesempatan. Semakin hari kelakuannya semakin berani. Munirah bersabar. Selepas Alina pergi, siaplah.
            “Ya! Ibu suruh abah pergi seorang.” Kadir mengadu pada Alina. Matanya melirik pada Munirah yang bermasam muka.
            “Rugilah kalau ibu tak pergi. Ibu ikut saja abah. Sehingga bila ibu nak terperuk kat rumah ni? Ibu nak jadi macam Along dan Angah ke? Pergilah, ibu! Sekurang-kurangnya di sana nanti ibu akan berjumpa dengan ramai orang. Plus, ibu boleh cari kawan untuk dibuat teman berbual.”
            “dengar tu! Acu suruh pergi! Nak pergi tak?”
            “Baiklah.” Munirah mengalah. Jika aku menolak, pasti Alina rasa ada sesuatu tak kena. Dia ni tahu macam mana nak ambil kesempatan. Sakit hati aku dibuatnya.
            “Awak tak boleh mungkiri janji! Acu dah jadi saksi.” Kadir tersenyum lebar. Dia menarik Munirah supaya dekat padanya. Munirah hanya mengikut rentaknya. Mungkin kerana kehadiran Alina, Munirah terpaksa beralah.
            Alina hanya tersenyum melihat gelagat ibu bapanya. Dia gembira melihat mereka seperti ini tetapi kenapa dia dapat merasakan ada sesuatu yang tak kena. Aaa…mungkin perasaan aku saja kot!

                                    **************************************
            “Checkmate!” kata Aleya. Dia ketawa melihat wajah Alisa. Mesti Angah bengang kat aku lagi. Siapa suruh dia challenge aku main chess?
            Alisa mencebikkan bibirnya. “Tak boleh ke Along beri peluang pada Angah untuk menang? Sekali pun tak apa!” Alisa merunggut.  Matanya tepat merenung catur putih miliknya.
            “Angah! Jika Along beri  peluang pada Angah untuk menang, itu tak adil namanya. Jika Angah ingin menang, Angah mesti berusaha. Usaha itu tangga kejayaan.”
            Alisa membuka mimic muka. “Kalau macam tu, seumur hidup Angah jangan harap la Angah dapat kalahkan Along. Sejak di bangku sekolah dan University, Along join kelab catur. Juara catur lagi. Tak ada harapan la Angah nak menang.”
            Aleya ketawa kecil mendengar kata-kata Alisa. Sejak kecil lagi, permainan catur adalah hobinya. Dia sukakan permainan yang mencabar dan menduga minda. Dia tak pernah kalah pada sesiapapun.
            “Main chess lagi. Angah tak pernah serik ke? Buang masa je kalau berlawan dengan Along! Jangan harap Along beri peluang untuk kita menang.” Alina tiba-tiba mencelah. Dia mendekati mereka berdua. Puas aku mencari mereka berdua ni. Rupa-rupanya mereka berada di sini.
            “Along! Angah! Acu! Tengah buat apa tu?” tegur Kadir.
            Serentak mereka bertiga berpaling apabila dipanggil. Alina tersenyum melihat Kadir yang berjalan ke arah mereka bertiga.
            “Dia dah datang!” kata Alisa dengan nada perli. Hish…ke mana saja kami pergi mesti dia ada. Rimas! Aku tahu la ini rumah kau!
            Aleya mengalihkan pandangannya ke arah lain. Dia kurang senang dengan kehadiran lelaki itu.
            “Main catur!” jawab Alina.
            “Catur!”
            “Ya, abah! Along ni juara catur. Untuk pengetahuan abah, Along tak pernah kalah pada sesiapa pun.” Terang Alina.
            “Betul ke? Hmm…kalau abah nak berlawan dengan Along, boleh tak? Dulu abah pernah juga masuk kelab catur sewaktu di universiti. Hmmm..rasanya dah 20 tahun, abah tak bermain chess. Boleh tak, Along?” soal Kadir. Dia cuba untuk menyesuaikan dirinya.
            “Leya tak berminat. Dato’ main saja dengan Acu.” Aleya terus bangun.
            “Kenapa? Along takut kalah pada abah ke?” kata Kadir secara tiba-tiba.
            Aleya berpaling. Renungannya tepat pada lelaki yang memakai t-shirt  polo berwarna biru itu. Dia mengetap bibirnya. Apa! Aku takut! Nur Aleya tak pernah takut pada sesiapa. Dia sengaja nak mencabar maruah aku. Aleya terus duduk. “Baiklah!” tegas Aleya. Wajahnya serius.
            Alisa tersenyum. Suasana menjadi semakin menarik.
            Alina menelan air liurnya. Kelat! Biar betul abah nak berlawan dengan Along! Aduh, parah macam ni.
            “Untuk menjadikan perlawanan ini lebih menarik, apa kata kita buat pertaruhan! Jika Along menang, Along boleh minta apa saja dari abah!” kata kadir sambil tersenyum. Dia harap Aleya akan masuk ke dalam perangakapnya.
            Aleya mengecilkan matanya. Betul ke apa yang aku dengar ni? Apa saja? Intersting! “Baiklah! Tetapi Dato’ mesti pegang pada janji! Angah dan Acu menjadi saksi. Jika Leya menang, apa sahaja kehendak ibu, Dato’ mesti bersetuju termasuklah penceraian antara ibu dan Dato’. Dato’ mesti bersetuju.” Kata Aleya.
            “Along!” Alina terkejut dengan permintaan Aleya. Dah gila ke Along ni?
Kenapa Along mesti campur tangan dalam rumahtangga ibu?
            Kadir menganggukkan kepalanya beberapa kali. Aku dah agak! “Baiklah, abah setuju. Hmmm….Jika abah menang, Along mesti berkerja di syarikat abah sebagai pengarah urusan. Angah pula, mesti berkerja di firma guaman yang abah telah tubuhkan untuk Angah.” Kadir menyatakan permintaannya.
            “Baiklah!” Aleya terus bersetuju. Senyuman terukir di bibirnya. Aku mesti menang. Aku nak bekerja di syarikat kau, jangan nak bermimpi di siang hari.
            “What! Apa kaitan Angah dalam pertaruhan ini? Along, tak boleh bersetuju begitu sahaja. Ini berkaitan dengan masa depan Angah!” Alisa terkejut besar. Dia mula gelabah.
            “Angah! Belive in me, okay! Along akan menang. Jangan risau.” Kata Aleya. Dia cuba untuk menenangkan Alisa yang sudah panic.
            Alisa mengeluh kuat. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal itu beberapa kali. Sekarang ini nasib aku di tangan Along! Biarlah Along menang.
            “Can we start now?” kata Kadir. Dia memang Aleya yang bersahaja.
            “Sure!” jawab Aleya denga yakin.
           
                        *********************************************

            “Checkmate!” kata Kadir. Senyuman terukir di bibirnya. Buah caturnya telah mengepung buah catur milik Aleya.
            Wajah Aleya pucat lesi. Dia tak percaya dengan apa yang berlaku. Lidahnya kelu berkata-kata.Matanya terkebil-lebil melihat papan catur itu. Hanya beberapa minit, dia sudah kalah. Dato’ Kadir bijak mengatur strategi. Inilah pertama kali, dia kalah dalam permainan catur.
            “Along! Apa dah jadi ni? Macam mana Along boleh kalah? Macam mana dengan kita?” Alisa memegang bahu Aleya dan menggoncang bahu Aleya beberapa kali. Dia tak percaya dengan apa yang berlaku.
            “Macam mana lagi? Angah kena kerja la.” Alina ketawa terbahak-bahak. Dia lucu melihat wajah kembarnya yang pucat lesi. Dia sendiri pun tak menyangka abah akan menang. Along telah memandang rendah pada kemampuan abah.
            “Along!” Alisa merenggek. Dia masih tak berpuas hati dengan apa yang berlaku.
            “Janji tetap janji kan!” kata Kadir. Dia tahu mesti Aleya dan Alisa tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku.
            Aleya mengetap bibirnya menahan geram. Matanya tepat merenung lelaki itu. Dahinya berkerut. Mesti ada sesuatu tentang lelaki ini aku tak tahu.
            “Main catur ke? Hmm…mesti Tuan Kadir menang kan!” kata Mak Munah secara tiba-tiba. Dia membawa dulang yang berisi gelas fresh orange. Dia berjalan mendekati mereka berempat.
            “macam mana Mak Munah tahu?” soal Alina hairan.
            Mak Munah meletakkan satu persatu gelas itu pada mereka. “Kamu tak tahu ke Tuan Kadir ni juara catur. Dia tak pernah kalah pada sesiapa pun. Hmm…Tuan Kadir pernah mewakili sekolah, universiti, negeri dan Malaysia dalam permaina catur ni. Hmm…nama jolokan Tuan Kadir ialah….hmm…Raja Putih Asia. Di dalam bilik bacaan, penuh dengan piala sehingga Mak Munah tak tahu nak letak di mana” Beritahu Mak Munah. Dia terus berlalu pergi.
            “White King!” Mata Aleya bulat. Dia pernah dengar nama itu. Dia adalah lagenda dalam dunia percaturan. White King adalah satu-satunya wakil Asia yang pernah menjuarai pertandingan catur dunia pada tahun 1981 dan 1982. Dia dapat mengalahkan pihak lawan dalam masa 2 minit sahaja. Biar betul lelaki yang berada di hadapan aku ni adalah lagenda white king. Mustahil.
            “White King? Siapa White King?” soal Alina ingin tahu. Dari riak wajah Aleya, dia seperti tahu sesuatu.
            “Don’t tell me that you…you…” nada suara Aleya bergetar. Jari telunjuknya tepat pada Kadir.
            “Absolutely correct!” jawab Kadir. Dia tahu apa yang ingin ditanya oleh Aleya.
            “Along! Beritahulah kami, siapa White King tu?” giliran Alisa pula bertanya.
            “Just google it.” Aleya terus bangun dan berlalu meninggalkan mereka. Dia malas untuk menjawab soalan adiknya. Kedua-dua belah tangannya digenggam erat. Dia geram. Aku ni benar-benar bodoh. Tanpa aku sedar, aku dah masuk ke dalam perangkap lelaki itu.  Patutlah dia kemukakan syarat tu sebab dia tahu dia akan menang. Ahh…bencinya…. Jeritan Aleya mengejutkan mereka bertiga.
            Alisa merenung lelaki itu. Aku tak pernah nampak Along macam tu. Apa yang berlaku? Ahhh…terpaksalah aku kerja Isnin ni! Malang betul nasib aku.
            Kadir hanya tersenyum. Dia geli hati melihat gelagar Aleya.

CERPEN : CINTA SEHALA (KARYASENI)

  𝐊𝐎𝐌𝐏𝐈𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍 - 𝐍𝐎𝐒𝐓𝐀𝐋𝐆𝐈𝐀 - 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐡𝐞𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 . Kami kumpulkan kary...