Sunday, November 12, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 3



Bab 3

            HARI Sabtu begini, Dina meluangkan masa bermain dengan anak saudara dia Eiyad yang berusia lima tahun. Dia menendang bola ke arah Eiyad.

            Eiyad cuba menendang semula tapi terlepas.

            Dina ketawa dengan gelagat Eiyad. Jika dia ada masa terluang, dia habiskan masa berasa Eiyad. Maklum la abang dia busy. Bukan mudah nak bahagikan masa jadi ayah dan doktor ni! Selalunya dia, Eiman dan ibu yang bergilir-gilir jaga Eiyad.

            “Sepak lagi! Okey! Okey! Goal!” kata Dina dan terus melompat selepas Eiyad berjaya masukkan gol.

            Eiyad berlari ke arah Dina dan memeluk kaki Dina.

            “ Amboi, seronok main dengan Mak Lang ke?” Darina keluar dan melihat Dina dan Eiyad sedang bermain di halaman rumah. Dia cuti hari ini.

            “Seronok!” jawab Eiyad dan kemudian berlari hampiri Darina.

            Darina mengangkat Eiyad dan terus dukung.

            “ Eiyad nak ikut Mak Ngah pergi shopping tak?” tanya Darina.

            “Nak! Nak! Eiyad …. Eiyad nak beli mainan.” Jawab Eiyad. Dia tersengih.

            “ Hari tu Mak Lang dah belikan kereta bomba, ni nak beli apa lagi?” Mulut Dina terus senget.

            “Eiyad nak aeroplane pulak. Eiyad nak jadi pilot.” Tambah Eiyad lagi.

            “Sekejap nak jadi polis, sekejap nak jadi bomba, sekarang ni nak jadi pilot pulak. Pendirian tak pernah tetap.” Balas Dina.

            Muncung terus mulut Eiyad.

            “Kamu ni Dina, dengan budak-budak pun nak berkira! Biarlah! Eiyad nak apa saja, Mak Ngah sanggup belikan. Anak saudara Mak Ngah kan comel!”

            “Jangan manja lebih-lebih sangat, nanti jadi auntie boy!” kata Dina. Sepatutnya jadi mama boy tapi bertukar jadi auntie boy.

            Darina ketawa. Hakikatnya Dina yang suka manjakan Eiyad.

            “Jom la ikut kami sekali, klinik Dina tutup kan hari ini?” Darina bersuara.

            “Boleh jugak! Dah lama tak keluar shopping dengan Kak Darina.” Dina tersenyum.

            “Aaaa…. Kat sini kamu rupanya, Darina!” Puan Dariah muncul.

            “Ada apa ibu?” tanya Darina.

            “Hari ini teman ibu pergi majlis kahwin kawan ibu.” Suara Puan Dariah seperti memberi arahan.

            “Bukan ke ibu pergi dengan ayah?” Dina mencelah. Setahu dia itu plan ibunya.

            “Tak boleh ke ibu ajak kakak kamu teman ibu!” kata Puan Dariah. Sempat lagi menjeling.

            Dina mengecilkan anak matanya. Something wrong! Macam ada udang di sebalik batu saja.

            “ Darina dah janji nak keluar dengan Eiyad. Kami nak pergi shopping.” Jawab Darina.

            “Lain kali pun boleh pergi. Teman ibu sekejap saja.” Pujuk Puan Dariah.

            Darina serba salah jadinya. Dia melihat Eiyad. Dia sudah pun janji.

            “ Eiyad nak pergi shopping dengan Mak Ngah kan?” Dina bertanya pada Eiyad.

            “Mak Ngah janji nak beli aeroplane! Eiyad nak Aeroplane.” Eiyad bersuara. Dia terus memeluk leher Darina dan enggan lepaskan.

            “ Tengok Eiyad nak pergi dengan Kak Darina. Dah lama Eiyad tak keluar dengan Kak Darina. Biar Dina saja yang teman ibu. Boleh kan?” Dina tersenyum. Cuba memancing reaksi dari ibunya. Dia dah tahu pasti ibunya takkan bawa dia.

            Puan Dariah terus mendengus kuat dan berlalu pergi dengan wajah masam.

            “Mesti ada sebab kenapa ibu beriya-iya sangat nak Kak Darina temankan! Mesti plan nak kenalkan Kak Darina dengan anak kawan ibu lagi. Macam la Dina tak tahu.” Dina mengetap bibir. Ibunya sikit pun tak pernah insaf selepas apa yang terjadi kat Kak Darina dua tahun lepas.

            “Dah! Dah! Biarlah! Jangan nak cari gaduh dengan ibu pulak. Pergi bersiap cepat.” Tegas Darina. Dia memegang bahu adiknya supaya bertenang. Dalam masa yang sama dia bersyukur sebab ada Dina yang sentiasa menyebelahi dia. Kalau dia, dia sendiri tak tahu bagaimana nak menolak ajakkan ibunya.

            “ Kak Darina ni baik sangat.” Balas Dina. Sebab itu ibunya berani buat apa saja kat kakaknya.

                                                            ******************

            DINA mempercepatkan langkahnya ke dapur. Macam mana dia terlupa bekas minuman Eiyad? Mujur la tak gerak lagi. Darina dan Eiyad sudah pun ada di dalam kereta. Langkah Dina terhenti sebaik saja menjejakkan kaki di dapur. Dia melihat ibunya sedang bercakap dengan seseorang tanpa menyedari kehadiran dia.

            Puan Dariah menoleh selepas mematikan talian. Dia terkejut dengan kehadiran Dina. Wajah jelas gelisah.

            “ Ibu tetap jugak tak berubah. Selepas apa yang jadi dua tahun lepas, ibu tetap jugak tak serik- serik. Ibu dah lupa ke apa lelaki pilihan ibu yang kononnya baik tu dah buat kat Kak Darina? Sebab lelaki pilihan ibu tu, kita satu family tanggung malu. Hari akad nikah lelaki itu tinggalkan Kak Darina semata-mata nak kejar bekas girlfriend nak berhijarah ke Paris. Kak Darina sedih sangat-sangat masa tu. Menangis tak henti-henti bila dapat tahu apa yang berlaku. Tak cukup lagi ke ibu buat hidup Kak Darina merana? Sekarang ni ibu nak kenal Kak Darina dengan siapa pulak? Lelaki mana yang ibu yakin sangat yang takkan ulang perkara yang sama kat Kak Darina? Siapa lelaki tu?” marah Dina. Hilang terus sabarnya.

            “Mikail tu lain dari Joe. Ibu dah jumpa. Ibu dah siasat. Family dia datang dari keluarga yang baik-baik. Dia ada buka klinik sendiri kat Melaka. Orangnya baik, peramah, sopan santun dan penyayang. Ibu yakin Mikail itu akan jadi suami dan bapa yang baik. Percayalah. Dina boleh tolong ibu kan?” terang Puan Dariah. Tiba-tiba dia dapat idea untuk pujuk Darina melalui Dina.

            Dina mendengus kuat. Doktor lagi, tak habis-habis nak menantu semuanya doktor. Anak-anak dah jadi doktor pun tak cukup lagi ke? Kenapa obsess sangat dengan doktor ni? Nak dia tolong? Silap orang la.

            “Tolong? Dina nak tolong? Tolong musnahkan masa depan kakak sendiri!” sindir Dina.

            “Kalau tak nak tolong, tak payah tolong. Sikit-sikit nak persoalkan niat ibu cari jodoh kat anak sendiri. Semua yang ibu buat demi kebaikan anak-anak ibu. kamu semua saja tak tahu nak hargai.” Puan Dariah pula yang hilang sabar. Bercakap dengan Dina sering kali menaikkan darahnya.

            “ Yalah tu!” Dina sikit pun tak percaya. Macam dia tak tahu sikap ibunya yang suka menunjuk-nunjuk kat kawan. Bangga bercerita yang anak-anak semuanya doktor. Kalau dapat menantu doktor, semakin kembang hidung ibunya nak menjaja cerita.

            “ Kamu apa tahu, tahu nak tentang ibu saja! Semua lelaki ibu kenalkan untuk kamu, kamu takutkan mereka. Kalau begini la sampai ke tua la kamu tak kahwin.” Puan Dariah terus melangkah keluar. Dia malas nak bergaduh dengan Dina.

            “ Tak habis-habis nak jodohkan orang.” Jawab Dina. Dia mengambil bekas minuman Eiyad.

 


 

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 9

  Bab 9             SAMBIL berjalan ke dapur, Widad mengikat rambutnya menjadi tocang satu. Dibetulkan rambutnya agar tersisir rapi. Dia m...