Bab 1
PINTU
bilik diketuk beberapa kali. Suasana masih sunyi.
“Ira,
bangun lekas! Jom sahur! Nanti lewat pulak,” panggil Darifa. Dia berdiri
di luar bilik tidur Zahira. Ketukan pintu semakin kuat.
Beberapa
saat kemudian, pintu bilik dibuka perlahan-lahan.
“Dah
pukul berapa, Kak Rifa?” tanya Zahira. Hanya separuh kelopak mata dibuka. Mata
masih terasa berat. Ikutkan hati memang malas nak bangun.
“Pukul
5! Jom!” ajak Darifa.
“Pukul
5! Awal lagi! Bagi Ira lima minit tidur sekejap!” kata Zahira pada teman
serumahnya.
Sepantas
kilat, Darifa memegang tangan kanan Zahira.
“Tak
baik lewatkan waktu bersahur. Jom, makan! Akak dah siap hidang semua pun. Ada
ke pulak nak tidur balik? Jom!” Darifa terus menarik Zahira keluar dari
bilik. Mereka berdua berjalan ke ruang dapur.
Dengan
malasnya, Zahira duduk di kerusi. Kelopak mata ditutup semula seraya menongkat
dagu di meja makan.
“Ya
Allah! Boleh pulak dia
tidur! Pergi basuh muka cepat!” arah Darifa. Dia pula mencedok nasi ke pinggan.
Masih panas lagi.
Zahira
bangun perlahan-lahan berjalan menuju ke singki dapur. Pili air dibuka dan dia
terus membasuh muka dia di situ.
“Bertuah
betul anak dara ini, boleh pulak
dia basuh muka kat situ. Takkanlah nanti Ira dah kahwin Afiz, nak buat macam tu
jugak.” Darifa menegur. Dia
mengangkat dua pinggan nasi ke atas meja. Punggung dilabuhkan dengan perlahan
di kerusi.
“Kalau
dah kahwin, dah tentu kena basuh muka kat bilik air. Takkan nak basuh kat
singki kot. Ala… dah kahwin nanti, pandai-pandailah!” jawab Zahira dengan
ketawa. Wajahnya terus segar. Hilang terus mengantuk selepas membasuh muka.
Kemudian dia terus duduk di kerusi yang berhadapan dengan Darifa.
Darifa
turut sama ketawa. Dia memandang wanita berambut panjang yang melepasi bahu
itu. Hampir dua tahun Zahira menyewa di rumahnya. Zahira muda dua tahun darinya
dan dia sudah menganggap Zahira seperti adiknya sendiri.
“Ayam
masak merah ni, Kak Rifa baru masak tadi ke?” tanya Zahira. Dia melihat mangkuk
ayam masak merah.
“Akak
tak tahu nak masak apa tadi, jadi akak masak saja ayam masak merah,” jawab
Darifa. Dia menolak mangkuk ayam masak merah agar dekat dengan pinggan Zahira.
Dia tahu ayam masak merah memang kegemaran Zahira.
“Kak
Rifa, lain kali tak payahlah susah payah masak lauk lain. Lauk malam tadi pun
ada lagi,” kata Zahira. Rasa bersalah pun ada. Segan pun ada. Iyalah, sepanjang
bulan Ramadan dia jarang menolong Darifa di dapur. Balik saja kerja, makanan
untuk berbuka puasa sudah siap terhidang. Bangun sahur pula, semuanya sudah
tersedia. Dia bertuah kerana dapat tuan rumah seperti Darifa.
“Ala,
kalau tak habis lagi, kita boleh
makan masa buka puasa. Tak ada masalah,” ujar Darifa. Dia terus mengangkat
tangan dan membaca doa makan.
Zahira
turut sama membaca doa.
Mereka
terus makan sebelum habis masa sahur.
PULANG SAJA dari sekolah, Darifa segera mandi dan menunaikan solat
zohor. Selepas itu dia menyapu sampah dan mengemas rumah. Itulah rutin harian
Darifa setiap hari.
Kemudian
Darifa pergi ke dapur dan mengeluarkan bahan-bahan dari peti sejuk. Melihat
lauk ayam masak merah masih banyak lagi, dia membuat keputusan untuk masak nasi
tomato dan acar timun. Resipi mudah saja hari ini.
Tepat
pukul 6 petang, kedengaran suara Zahira memberi salam.
“Assalamualaikum
Kak Rifa, sorry! Traffic jam! Ada apa-apa Ira boleh tolong tak?” tanya Zahira. Dia terus hampiri Darifa yang
sedang memasukkan puding jagung yang sudah siap ke dalam peti sejuk.
“Waalaikummusalam.
Semua dah siap! Air saja, akak tak buat lagi!” jawab Darifa. Dia menutup semula
pintu peti sejuk.
“Okey!
Air biar Ira yang buat. Kak Rifa, jangan buat pulak. Satu hari memasak,
mesti Kak Rifa penat,” kata Zahira.
“Akak
masak simple saja hari ini. Tak penat pun! Dah… Mesti Ira penat kan!
Pergi mandi lepas tu solat lekas. Dah pukul 6 ni.” Darifa tersenyum.
“Bagi
Ira masa 30 minit okey!” beritahu Zahira. Dia terus masuk ke dalam biliknya.
Selepas
tiga puluh minit, Zahira masuk semula ke dapur.
“Kak
Rifa, hari ini kita minum air laici. Boleh
kan?” tanya Zahira.
“Asalkan
air, akak minum saja,” jawab Darifa. Dia tersenyum lagi. Wajahnya tak pernah
lekang dengan senyuman.
“Kak
Fifa, betul ke tak nak ikut Ira balik kampung? Jomlah raya sama-sama. Lagipun
abang dengan kakak, dia orang balik raya rumah mentua masing-masing. Tahun ini,
Ira raya dengan mak ayah saja. Jomlah! Lagi seminggu kan nak raya! Takkanlah
Kak Rifa nak raya seorang diri lagi tahun ini,” pujuk Zahira lagi. Ini kali
ketiga dia memujuk Darifa pulang berhari raya bersama keluarga di Ipoh. Dia
kasihan apabila setiap tahun Darifa akan berhari raya seorang diri di sini.
Mula-mula menyewa di rumah Darifa, dia tak tahu yang Darifa anak yatim piatu.
Sejak kecil lagi Darifa dibesarkan di rumah anak-anak yatim.
“Akak
dah biasa beraya seorang diri. Tak ada masalah. Janganlah risau,” jawab Darifa.
Berhari raya seorang diri bukanlah perkara baru bagi dia. Dia sudah biasa.
Kalau dulu, tiap kali hari raya, dia akan pulang ke rumah anak-anak yatim yang
dia pernah tinggal selama 18 tahun. Dia akan menyambut hari raya di sana
bersama-sama dengan ibu angkatnya yang merupakan pengetua rumah anak-anak yatim
itu. Tetapi sudah 6 tahun rumah anak-anak yatim itu ditutup selepas ibu
angkatnya, Umi Kalsom meninggal dunia kerana serangan jantung. Pemergian wanita
yang sudah dianggap seperti ibu kandung sendiri memberi kesan mendalam dalam
lubuk hatinya. Dia hilang tempat bergantung dan juga teman yang sentiasa
berkongsi kisah suka duka hidup dia. Memang sedih dan pedih hati ini namun dia
reda. Dia bersyukur sangat-sangat ditemukan dengan wanita yang baik dan berhati
mulia seperti Umi Kalsom. Sampai ke akhir nyawa, dia takkan lupakan budi baik
dan jasa Umi Kalsom membesarkan dia. Setiap kali sembahyang, dia selalu berdoa
untuk ibu angkatnya itu.
“Macam
mana tak risau! Satu taman ni mana ada orang tiap kali raya! Bahaya Kak Rifa
duduk seorang diri. Kak Tina pun balik raya kat rumah famili suami dia kat
Pahang,” kata Zahira.
“Bahaya
apanya! Semua pintu tingkap, akak kunci. Rumah ini ada CCTV depan belakang.
Selamat! Dah enam tahun akak raya seorang diri. No problemlah!” Darifa
faham niat baik Zahira. Dia lebih selesa beraya seorang diri. Memanglah sedih
tetapi dia terima nasib dirinya yang sebatang kara. Iyalah, semua orang
menyambut hari raya dengan keluarga masing-masing.
Zahira
terus mengeluh.
“Terima kasih sebab pelawa akak. Don’t worry about me, okey! Ala hari raya ketiga, Ira dah balik sini kan!” tambah Darifa lagi. Masih lagi tersenyum. Dia tak mahu Zahira risau memikirkan pasal dia.
Bab 2
ZAHIRA TAK berhenti-henti berceloteh di dalam perut
kereta milik Afiz. Dalam masa yang sama, dia gembira dengan kedatangan
tunangnya. Sepanjang bulan Ramadan, baru hari ini mereka dapat berjumpa.
Masing-masing sibuk dengan kerja. Dia di Melaka manakala Afiz pula di Kuala
Lumpur.
“I
bukannya apa, I tak sampai hati nak biar Kak Rifa beraya seorang diri. Semua
orang beraya dengan mak ayah, adik-beradik dan suami. Ada kampung halaman nak
balik tapi Kak Rifa …” kata Zahira dalam masa yang sama mengeluh.
“Masa
mula-mula pindah, I tak tahu pun Kak Rifa anak yatim piatu. Memang pelik masa
tu sebab Kak Rifa tak pernah cerita pun pasal keluarga dia. Kat rumah pun, satu
gambar famili pun tak ada. I ingatkan Kak Rifa tak rapat dengan keluarga dia.
Sebab itu, I tak tanya! Takut nanti Kak Rifa terasa. Raya ke-4, I balik Melaka. I tanyalah, raya kat kampung macam
mana? Kak Rifa terus tersenyum dan jawab raya kat sini. Lepas tu baru Kak Rifa
cerita yang dia anak yatim piatu. Masa tu jugak I menangis. Menyesal I tak tanya hari itu. So tahun
ni, I
cadang nak bawa Kak Rifa raya sama-sama kat kampung. Tapi Kak Rifa tetap nak
raya kat sini,” cerita Zahira pada tunangnya.
“Mungkin Kak Rifa selesa berhari
raya kat rumah sendiri kot!” Afiz yang sedang memandu bersuara.
“Betul cakap you tu tapi sampai bila
Kak Rifa nak raya seorang diri?”
“I tengok Kak Rifa tu jenis independent.
Mungkin disebabkan selama ini dia hidup seorang diri, dia tak bergantung hidup
dengan sesiapa pun. Bila dia sedih ke, bila dia gembira ke, bila dia susah ke,
bila dia senang ke, dia tak ada orang nak share semua tu!” kata Afiz.
Sudah beberapa kali dia jumpa dengan Darifa, orangnya tinggi lampai dan berkulit kuning langsat.
Peramah dan sering tersenyum malah Zahira cepat rapat dengan Darifa walaupun
baru kenal. Dia bersyukur sebab tunangnya mempunyai tuan rumah yang baik
seperti Darifa.
Sekurang-kurangnya dia tak bimbang mengingatkan Zahira seorang diri di Melaka.
“Sedihnya bila you cakap macam tu!
Rasa macam nak menangis! Kalaulah I
di tempat Kak Rifa …” kata Zahira dengan nada sedih. Dia tak dapat membayangkan
jika itu berlaku.
“Apa kata you minta tolong mak you?
Kalau mak you ajak, mesti Kak Rifa serba salah nak tolak.” Tiba-tiba Afiz
mendapat idea.
“Ya tak ya jugak! Bijak jugak
tunang I
ni.” Zahira menoleh melihat
Afiz yang ada di sebelahnya. Senyuman meleret. Nanti dia akan suruh ibunya
hubungi Darifa.
“You ada tak saudara mara lelaki
yang sebaya Kak Rifa yang masih single?” kata Zahira secara tiba-tiba.
“Buat apa? You nak kenalkan dengan
Kak Rifa ke? Rasa-rasa tak ada. Sepupu I kan ramai perempuan.”
“Kawan-kawan ke? Kawan ofis ke?”
tanya Zahira lagi.
“Kawan-kawan I semuanya dah kahwin! I seorang saja tak kahwin lagi. Kawan
ofis pulak, rasanya tak ada yang sesuai dengan Kak Rifa. Hmm…
Abang sepupu you, Abang Lut single lagi kan?” tanya Afiz.
Zahira mengeluh perlahan.
“Memang Abang Lut single lagi
tapi rasanya tak sesuai dengan Kak Rifa. Bukannya apa, Abang Luf tu…” Zahira
mengeluh sekali lagi. Rasanya sepupunya itu tak termasuk dalam senarai dia.
“Kenapa? Abang Lut still tak
dapat lupa bekas tunang dia ke? Bukan ke Erin tu dah kahwin? Ada anak seorang?”
soal Afiz bertubi-tubi. Wajah nampak terkejut.
“Dah tiga tahun tapi Abang Lut masih
tak dapat lupakan Erin tu! Apa yang special sangat Erin tu, I pun tak tahu. Muka cantik tapi kalau
jenis tak setia, tak guna jugak! Abang Lut sanggup pergi New York
semata-mata nak pujuk Erin balik walaupun dah tahu Erin tu dah ada lelaki lain.
I rasa
bengang sangat-sangat bila I ingat tu. Perempuan curang macam tu pun, Abang Lut
tetap nak jugak. Macamlah tak ada perempuan lain kat Malaysia ni!”
Zahira kurang senang setiap kali nama Erina diungkit. Dia masih belum dapat
memaafkan Erina walaupun dulunya mereka berdua berkawan baik.
“Okey! Stop talking about this
topic! Kita dah sampai. You cakap tadi you nak beli apa?” Afiz segera
menukar topik perbualan. Isu mengenai Erina memang sensitif. Terus saja mood
tunangnya berubah. Kereta Honda CRV membelok masuk ke Dataran Pahlawan Melaka
Megamall.
Zahira diam membisu.
Bab 3
PAGI Ahad, Darifa sibuk menyiapkan kuih raya. Tinggal
beberapa hari lagi bulan Ramadan akan berakhir. Hari ini dia hendak membuat
biskut cornflakes. Beberapa hari yang lepas, dia sudah menyiapkan biskut
Mazola, biskut sarang semut, tart nenas gulung dan cornflakes madu untuk
hari raya nanti. Kuih raya ni dia akan bagi pada Zahira untuk dibawa pulang ke
kampung. Dekat Kak Tina pun sama. Lagipun dia seorang saja beraya kat rumah,
takkan habis makan kuih raya yang dia buat ini.
“Buat kuih raya lagi?” Zahira
menegur sebaik saja keluar dari bilik tidurnya. Dia melihat Darifa yang sudah berada di dapur seawal
begini.
“Ini last kuih raya akak
buat. Nanti Ira bawa balik kampung ya. Akak buat banyak,” jawab Darifa. Tangannya pantas menceduk adunan
menjadi ketulan kecil dan disalutkan pula dengan cornflakes yang telah
diramas kasar. Kemudian dia terus letak di dulang pembakar. Diulang beberapa
kali sehingga adunan habis.
Mata Zahira bergerak ke arah rak
almari. Dia melihat pelbagai balang kuih raya tersusun di situ. Zahira mengeluh
perlahan. Dia memang tak sampai hati nak biar Darifa beraya seorang diri. Mesti sedih
teramat sangat beraya seorang diri. Kalau dia lah, dengar takbir raya, mesti
meleleh air mata ini. Dia terus duduk bersila di lantai dapur.
“Kak Rifa! Nak tanya sikit, sebelum
ini Kak Rifa ada boyfriend tak?” tanya Zahira. Wajah begitu serius.
Tangan Darifa terus berhenti dan memandang tepat
wajah Zahira yang duduk di hadapannya.
“Curious nak tahu ke?” soal Darifa pula.
Zahira mengangguk kepala dengan
laju, teruja nak tahu.
“Panjang ceritanya,” ujar Darifa.
“Panjang mana pun, Ira sanggup
dengar. Cerita lah, Kak Rifa!” Zahira merengek nak tahu.
“Hmm… Kiranya ini first
love akak lah. Masa akak sekolah kat MRSM, akak ada suka kat budak lelaki
ni. Kami satu kelas. Dialah orang yang paling rapat dengan akak. Orangnya baik,
handsome, peramah, caring! Dahlah pandai, dia aktif bersukan!
Peminat perempuan dah tentulah ramai. Sebab dia terlalu baik sangat kat akak,
perasaan ni dah mula rasa lain. Akak rasa dia sukakan akak. Dalam masa yang
sama akak pun sukakan dia. Jadi satu
hari akak plan nak luahkan perasaan ini. Kebetulan hari lahir dia dah
nak dekat. Akak belilah hadiah kat dia. Masa akak nak bagi hadiah tu kat dia,
akak terdengar perbualan dia dengan kawan baik dia.” Darifa berhenti bercerita beberapa saat dan
memandang Zahira. Dia tersenyum kelat.
“Dia cakap dia kawan dengan akak
sebab kasihan. Maklumlah akak ni anak yatim piatu. Tak ramai kawan pulak.
Bila kawan dia usik yang dia sukakan akak, dia terus melenting. Dia cakap akak
ni tak sesuai dengan dia. Beza kami macam langit dan bumi. Mustahillah dia
sukakan anak yatim piatu yang tak ada mak ayah macam akak ini. Famili dia mesti
tak suka,” tambah Darifa
lagi. Ketika itu memang dia rasa dirinya kecil sangat-sangat.
Kedua-dua tangan Zahira dikepal
rapat selepas mendengar cerita Darifa.
Rasa panas hati.
“Dia dengan kawan dia terkejut bila
sedar yang akak ada di situ. Akak pun terus tak jadi bagi hadiah tu. Semalaman
akak menangis. Maklumlah first love! Selepas itu memang akak tak
pedulikan dia langsung. Akak focus study saja, maklumlah lagi beberapa
bulan nak SPM.”
“Budak lelaki tu tak minta maaf kat
akak ke?” Akhirnya Zahira membuka mulut.
“Tak. Dia nampak akak saja, dia
mengelak. Maklumlah… dah buat salah. Selama tu dia hanya berpura-pura baik
dengan akak. Selepas tu, akak dapat tahu dia bercinta dengan budak kelas
sebelah. Mereka berdua tu memang secocok. Yang penting, setaraf. Tapi bila akak
fikirkan balik, kami masa tu umur 17 tahun, tak hairanlah kalau dia berfikiran
sama macam orang lain. Hakikatnya akak ni sebatang kara,” ujar Darifa. Ada nada sayu. Memang ketika itu,
dia sedih. Maklumlah pertama kali dia mula sayangkan seseorang. Apa boleh buat, siapa boleh menidakkan cinta monyet! Mainan
emosi yang akan singgah di minda remaja. Dia turut sama mengalaminya.
Zahira mengemam bibirnya. Mulalah
hatinya diselubungi dengan awan hitam.
“Next! Ini kisah cinta akak
masa study kat USM Penang. Dia senior akak. Orangnya manis dan peramah.
Ringan tulang dan selalu tolong akak sepanjang akak belajar. Dia tahu akak anak
yatim piatu. Dia tak kisah pun dan terima akak seadanya. Hubungan kami bertahan
dua tahun saja.”
“Kenapa?”
“Sebab famili dia tak suka akak.
Alasan dia orang, akak ni tak ada mak ayah. Asal usul pun tak jelas. Kami break
up demi kebaikan diri masing-masing.” Sekali lagi, Darifa tersenyum kelat. Walaupun pahit
rasanya, dia terima jika jodoh dia tak ada.
“Kalau betul-betullah dia ikhlas
cintakan Kak Fifa, dia akan fight sampai famili dia terima akak. Ini
tak, belum apa-apa lagi dah mengalah.” Zahira bersuara. Dia memang tak puas
hati.
“Akak faham kedudukan dia. Dia anak
tunggal. Keutamaan dia semestinya ibu bapa dia. Kami berpisah dengan cara yang
baik. Dah tak ada jodoh kami,” tambah Darifa dengan tenang.
“Lepas habis belajar, akak tak contact
dia ke?”
“Tak. Dia dah kahwin pun dengan
wanita pilihan famili dia. Dah ada anak seorang.” Darifa memandang Zahira.
Zahira mengeluh perlahan.
“Selepas tu…” Zahira ingin tahu lagi
kisah cinta Darifa.
“Selepas tu habislah. The end!
Akak single sampai sekarang. Akak happy dengan hidup akak. Ada
rumah sendiri, ada kereta sendiri! Akak suka dengan kerja akak sekarang ni,”
jawab Darifa.
Sambil bercerita pasal kisah hidupnya, tangannya ligat menggentel adunan
biskut. Sekejap saja adunan bancuhan tadi sudah habis.
“Akak tak nak kahwin ke? Hidup ada
suami dan anak-anak?” tanya Zahira lagi.
“Kahwin? Siapa tak nak kahwin? Siapa
tak nak ada keluarga? Ada suami dan anak-anak. Impian akak nak ada keluarga
ramai. Biar riuh rendah rumah ni. Bila akak masak, ada orang nak makan. Kalau boleh, meja makan ni biar penuh dengan
makanan.” Darifa tersenyum
lebar menceritakan impian dia sejak kecil lagi. Selama ini dia hidup seorang
diri, rasa sunyi dan jiwanya kosong.
“Tapi akak sedar kekurangan diri
akak, Ira. Siapalah nak terima akak ni jadi menantu dia orang. Siapa mak ayah
akak pun, akak tak tahu. Umur akak baru 5 bulan masa AJK masjid jumpa akak.
Hanya tinggal surat dan rantai tangan ni saja. Selebihnya akak memang tak tahu.
Dalam surat itu, hanya tulis nama akak dan tarikh lahir akak saja,” cerita
Darifa lagi. Dia menunjukkan rantai tangan yang dipakainya di tangan kanannya.
Arwah ibu angkatnya memberikan rantai tangan itu kepadanya pada sambutan
harijadinya yang ke-16. Disertakan juga surat yang ada bersamanya di saat dia
dijumpai. Hanya tertulis nama dan hari kelahiran. Itu saja.
“Akak pernah tak terfikir nak cari
keluarga akak?” soal Zahira.
“Pernah tapi buat apa akak nak cari
mereka sedangkan mereka yang buang akak dari hidup mereka? Kalau mereka
betul-betul sayangkan akak, mereka takkan buat akak macam ni,” jawab Darifa dengan nada sedih di hujungnya. Masa
kecil dulu, dia pernah terfikir kenapa ibu bapanya buang dia. Kenapa dia tak
ada ibu bapa macam orang lain? Benci sangat ke kat dia sehingga sanggup buang
dia di luar masjid? Tiap kali dia berfikir begitu, hati ini terlalu sedih.
Mulalah menangis tak henti-henti. Setelah dia meningkat dewasa, dia membuang
semua tu jauh-jauh. Dia focus pada dirinya. Dia berjanji untuk belajar
bersungguh-sungguh demi masa depannya sendiri. Tiada siapa dapat membantu
melainkan dirinya sendiri.
Zahira terdiam. Kata-kata Darifa ada benarnya. Kenapa pula kita nak
terhegeh-hegeh mencari sedangkan dia orang yang buang kita? Dia memahami apa
yang bermain di fikiran Darifa.
Tiba-tiba telefon pintar Zahira
berbunyi. Dia segera menjawab. Sejak dari tadi dia memang menanti panggilan
ini. Penting! Kerana terlalu khusyuk mendengar cerita Darifa, dia terus terlupa.
“Helo! Waalaikumussalam, mak!
Sihat. Ada! Kak Rifa tengah buat kuih raya. Nak cakap dengan Kak Rifa? Boleh… Sekejap ya!” Zahira melirik
matanya pada Darifa.
Dihulurkan telefon pintarnya pada Darifa.
Darifa segera bangun dan
berjalan ke singki. Dibasuh tangannya kemudian dilap pada tuala kecil di dapur.
Dia terus mengambil telefon pintar itu dari tangan Zahira.
“Waalaikumussalam, Mak Munah.
Dah nak habis buat kuih raya, tinggal bakar saja. Mak Munah sihat? Saya pun
sihat, alhamdullilah. Hmm… Ya, baiklah Mak Munah. Saya balik dengan Ira
nanti. Kirim salam kat Pak Udin,” jawab Darifa. Zahira hanya mendengar perbualan
Darifa dengan ibunya. Sebaik saja panggilan ditamatkan, pandangan Darifa beralih arah pada Zahira. Ini mesti
kerja Zahira.
“Mak nak sangat Kak Rifa ikut Ira
balik. Lagipun raya kat kampung Ira best tau! Bila lagi Kak Rifa nak
rasa feeling balik kampung? Ala… Melaka dengan Ipoh, 4 jam lebih saja.
Apa-apa pun Kak Rifa dah setuju dengan mak, tak baik tau mungkir janji time
puasa ni,” pujuk Zahira. Dia gembira kerana plan dia berjaya. Akhirnya Darifa setuju beraya bersama keluarganya di
kampung.
Darifa terdiam. Dirinya masih berbelah
bahagi. Lagipun dia sudah biasa beraya seorang diri di rumah ini. Dia akui
rumah ini adalah comfort zone bagi dirinya.
“Kak Rifa, kita balik kampung 4 hari
saja. Raya ke-3, kita dah balik,” beritahu Zahira.
“Hmm… Yalah!” Darifa tersenyum. Betul jugak apa
Zahira cakapkan tadi, bila lagi dia nak rasa suasana balik kampung? Suasana
malam raya? Setiap ahli keluarga mesti sibuk dengan tugas masing-masing. Dia
hanya dapat lihat semua itu di skrin TV saja. Dia sepatutnya berterima kasih
pada Zahira sekeluarga kerana mempelawanya berhari raya dengan mereka.
“Okey! Esok, Kak Rifa jangan masak
tau. Kita buka puasa kat luar. Ira belanja. Kita makan makanan Thai. Ira dah booking
restoran tu. Ingat… esok Kak Rifa cuti masak. So ada apa lagi yang Ira boleh tolong?”
“Tak ada apa-apa. Dah nak siap pun.
Tinggal bakar saja kat oven,” jawab Darifa. Dia bagi telefon milik Zahira
semula. Kemudian dia melihat ke arah oven yang sudah dipanaskan. Dulang
pembakar diangkat dan dimasukkan ke dalam oven.
Zahira membantu Darifa mengemas seraya menunggu biskut cornflakes
masak.
Bab 4
DARIFA BERLALU
keluar dari tandas perempuan restoran itu. Rasa lega selepas membuang air. Tak
sangka restoran yang Zahira bawa, makanannya sedap-sedap belaka.
Langkah diatur ke meja. Darifa
melihat Zahira sedang bercakap dengan seorang lelaki. Oleh kerana lelaki itu membelakangi Darifa, sukar untuk dia
mengenal pasti siapa orangnya.
Sejurus lelaki itu beredar keluar
dari restoran itu, Darifa mempercepatkan langkah menghampiri Zahira.
“Siapa tu? Kawan Ira ke?” tanya
Darifa.
“Itu sepupu Ira. Tak tahu pulak
yang dia ada projek kat Melaka,” jawab Zahira. Terkejut tadi apabila ditegur
abang sepupunya. Fresh orange dalam gelas diminum sehingga habis.
“Oh…” Darifa tarik pinggan berisi
buah epal di hadapannya dan diambil sepotong lalu disuap ke mulut. Manis!
“Pelik! Memang pelik!” Zahira
bersuara.
“Apa yang peliknya?” Darifa menoleh.
“Dulu dia kerja kat KL, sekarang ni
dia kerja kat JB. Kebetulan syarikat baru dia tu ada projek kat Melaka. Projek
tu dua tahun baru habis,” cerita Zahira.
“Apa yang peliknya?” Dahi Darifa
berkerut. Tak ada salahnya kalau tukar tempat kerja. Selalunya sebab nak tukar
angin, nak cari pengalaman baru, kadang-kala sebab nak gaji lebih lagi. Bagi
dia, memang perkara normal kalau tukar tempat kerja.
“Begini! Abang sepupu Ira ni dulunya
ada tunang. Dia orang dah nak kahwin tapi tunang dia tiba-tiba kahwin dengan
orang lain kat New York. Abang sepupu Ira dah macam orang gila lepas dapat tahu
pasal hal ini. Dia tak dapat terima yang tunang kesayangan dia dah kahwin.
Sanggup pergi New York semata-mata nak pujuk tunang dia terima dia semula.
Sepatutnya dia maki hamun tunang dia tu, terbaliklah pulak. Yang buat
kami semua geram, mereka berdua jalin hubungan balik tanpa pengetahuan sesiapa
pun sedangkan ex-tunang dia tu masih isteri orang. Dah setahun mereka
berdua berbaik. Ira dapat tahu pun baru-baru ini. Itu pun bff Ira yang
beritahu. Kalau tak, Ira tak tahu menahu langsung.” Air muka Zahira bertukar
merah apabila menceritakan kisah abang sepupunya itu. Nasihat dan teguran tak
diendahkan langsung sehinggakan Mak Long dan Pak Long dah malas nak ambil tahu.
“Maksud Ira, abang sepupu Ira tu ada
hubungan dengan isteri orang?” soal Darifa. Wajah jelas terkejut. Tangan kanan
diletakkan pada mulutnya.
“Ya! Cinta punya pasal! Terus lupa halal
haram! Yang buat kami semua sakit hati, abang sepupu Ira tu tetap anggap
dirinya tak salah. Geram betul!” cerita Zahira lagi seraya menyisir rambutnya
yang menutupi sebelah wajahnya.
“Habis tu, kenapa Ira pelik bila
abang sepupu Ira tu tukar kerja kat JB?” tanya Darifa.
“Ex-tunang dia tu dah balik
Malaysia tahun lepas dan menetap kat KL. Sejak itu mereka berdua kerap
berhubung dan berjumpa. Dah macam belangkas mereka berdua tu. Bila tadi abang
sepupu Ira cakap dia kerja kat JB sekarang ni, Ira rasa pelik. Boleh ke berjauhan dengan ex-tunang
dia tu?” Bibir Zahira terus senget.
“Sayang dan cinta itu kadang-kadang
buat orang buta,” kata Darifa.
“Tetapi kena ada hadnya, Kak Rifa!
Otak ni kena fikir jugak, baik buruk sesuatu perkara tu. Jangan ikutkan
hati dan perasaan sangat. Kena fikir jugak orang sekeliling kita ni.
Sikap pentingkan diri sendiri hanya akan mengundang musibah satu hari nanti,”
tegas Zahira. Awal-awal lagi dialah orang pertama yang membangkang hubungan
abang sepupunya dan Erina. Persahabatan dia dan Erina terus putus kerana
kecurangan Erina.
“Suami ex-tunang abang sepupu
Ira, tahu tak pasal hubungan dia orang ni?”
“Dah tentu tak tahu! Kalau tahu, dah
lama abang sepupu Ira tu kena belasah. Okeylah, stop cakap pasal dia
orang. Tambah stres saja. Jom, Kak Rifa! Baik kita gerak sekarang, nanti kita
singgah kat masjid sembahyang maghrib dengan tarawih sekali. Surau kat restoran
ni dah penuh. Takut tak sempat kita nak sembahyang,” kata Zahira. Dia terus
bangun.
Darifa turut sama bangun. Kerana begitu asyik mendengar cerita abang sepupu Zahira, boleh pulak dia terlupa pasal solat. Dia segera bergegas mengekori Zahira yang sudah mula melangkah keluar dari restoran itu.
Bab
5
HARI ini Darifa menyiapkan
baju rayanya. Hanya tinggal nak jahit butang saja. Setiap kali hari raya, dia
menjahit baju raya sendiri. Setakat baju kurung biasa, dia memang tiada masalah
nak menjahit. Lagipun baju kurung yang dipakainya hari-hari ke sekolah, semuanya
dijahit sendiri.
Kedengaran ada orang memberi salam.
Darifa bergegas bangun dari kerusi dan
melihat ke arah tingkap. Tertanya-tanya siapa yang datang pada petang ini. Ada
seorang wanita memakai dress berwarna ungu berdiri di luar pagar
rumahnya.
Tudung segera dicapai, Darifa bergegas keluar seraya membetulkan
tudung bawal yang disarungkan di kepalanya. Dia membuka pintu dan mendekati
wanita berambut panjang melepasi bahu itu.
“Waalaikumussalam. Ya, cik
cari siapa?” tanya Darifa.
Dia memang tak kenal dengan wanita ini. Cari orang ke cari rumah?
“I nak cari Zahira Fairuz. Dia ada
tak?” tanya wanita itu.
“Oh… cari Ira rupanya. Sepatutnya time
begini Ira dah balik. Ada call Ira tak?” Giliran Darifa pula menyoal. Yang pelik tu, Zahira
tak ada beritahu pun yang ada kawan nak datang.
Wanita itu terdiam.
Darifa mula rasa pelik. Renungan mata masih
pada wanita itu.
Tiba-tiba kedengaran bunyi hon
kereta, Darifa
melihat ke arah kereta Toyota Vios milik Zahira yang berhenti di belakang
kereta Honda Civic milik Erina.
“Tu, Ira dah balik!” beritahu Darifa. Dia tersenyum. Tepat pada masanya
Zahira balik.
Zahira keluar dari perut keretanya
dengan wajah bengang. Dihempas pintu kereta dengan kuat.
Darifa mula rasa pelik dengan reaksi yang
ditunjukkan Zahira.
“Erin! Apa you buat kat sini? Macam
mana you tahu rumah I?” marah Zahira saat menghampiri Erina.
Darifa terkejut apabila mendengar nama itu.
Dia menoleh ke wanita yang
berdiri di hadapannya ketika ini. Ini ke Erina? Ex-tunang abang sepupu
Zahira!
“Juju beritahu I,” jawab Erina.
Zahira mendengus kuat. Tak guna
punya Juju! Tunggulah nasib Juju selepas ini. Dia, Erina dan Juju merupakan
sahabat baik di bangku sekolah lagi.
“Ira, you jangan marahkan Juju pulak.
I yang merayu kat Juju supaya bagi alamat rumah you kat Melaka. I terdesak
sekarang ni. Dah sebulan I tak dapat contact Lut. I pergi rumah dia tapi
rumahnya kosong. Bila I pergi ofis dia, dia orang cakap Lut dah berhenti kerja.
Ira, you rapat dengan Lut, kan? You mesti tahu mana Lut sekarang ni…” Erina
merayu. Dia mengharapkan Zahira tahu di mana Lutfan berada.
“Rapat? Itu dulu! You tahu hubungan
I dengan Abang Lut renggang sebab you. You dah lupa ke? You rasa I tahu ke kat
mana Abang Lut sekarang ini? Kalau I tahu pun, I takkan beritahu you. Memang
patut pun you berdua break up!” marah Zahira. Dalam masa yang sama, dia
merahsiakan di mana abang sepupunya berada dari pengetahuan Erina
“Ira!” Erina terkejut apabila Zahira
bercakap sebegitu.
“Err… Ira, akak rasa baik
berbincang kat dalam rumah. Apa kata jiran-jiran nanti…” Darifa bersuara. Dia bimbang jika
jiran-jiran di sekeliling rumah melihat apa yang berlaku.
Zahira terdiam beberapa saat dan
terus membuka pintu pagar. Dia menonong masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan
Erina.
“Jemputlah masuk!” kata Darifa pada Erina.
Erina hanya mampu tersenyum kelat
pada Darifa. Dia berjalan masuk ke dalam rumah.
Selepas melihat mereka berdua masuk,
Darifa
mengeluh perlahan. Dia menoleh
ke kiri dan kanan. Bimbang jika ada jiran-jiran dia menyaksikan apa yang
berlaku. Maklumlah waktu petang begini ramai yang baru balik bekerja. Dalam
masa yang sama, dia melihat ke arah rumahnya. Mesti dah nak start perang
dunia kat dalam tu!
DI
RUANG tamu, Zahira mencekak pinggang seraya berdiri
merenung Erina yang sudah duduk di sofa. Dia melihat Darifa yang baru masuk dan terus berjalan
masuk ke dalam bilik. Dia tahu Darifa
memberi ruang untuk dia dan Erina bercakap.
Pandangan mata Zahira kembali ke
arah Erina.
“Dah berpisah, kenapa nak cari Abang
Lut lagi? Memang patut pun korang berpisah. Ini demi kebaikan kedua-dua
pihak.” Zahira bersuara.
“But I still love him, Ira!” jawab
Erina.
“Love? Erin, you tu dah ada
suami. Dah lupa ke? Fikir suami dan anak you tu! You kena ingat balik… you yang
curang dulu. You kahwin dengan Ilham walaupun masa tu you masih tunang Abang
Lut. I tak sangka tergamak you buat macam tu kat Abang Lut. Kalau I tahulah
begini jadinya, I takkan kenalkan you dengan Abang Lut. I menyesal
sangat-sangat. I malu ada kawan macam you. Kononnya pergi New York nak sambung study
tapi rupa-rupanya ada jantan lain tengah tunggu kat sana.” Zahira mengungkit
semula apa yang berlaku tiga tahun yang lalu.
“I mengaku silap I, Ira,” kata Erina
dengan suara perlahan. Mata terus redup.
“Tahu diri tu silap tapi kenapa you
hubungi Abang Lut selepas balik Malaysia? Hubungan you dan Abang Lut dah
berakhir tiga tahun lepas.”
“I masih sayang dan cintakan Lut.”
“Cinta? Sayang? Memang I tak faham.
Bukan ke cinta dan sayang tu patut dekat suami you, Ilham? You tamak, Erin!
Sana nak, sini pun nak! Ingat sikit, you tu perempuan bukannya lelaki. Kalau
lelaki bolehlah kahwin sampai
empat!”
“Ira, I datang sini nak cari Lut
bukannya nak dengar sindiran you! I yakin Lut akan cari I balik cuma sekarang
ni mesti dia tengah marah lagi sebab I tak setuju dengan plan
dia.” Wajah Erina semakin merah. Dia ada hal lebih penting lagi dari mendengar
sindiran Zahira.
“Plan apa?” Dahi Zahira
berkerut.
“Lut nak I minta cerai kat Ilham dan
kahwin dengan dia,” jawab Erina. Fikirannya kusut. Hatinya berbelah bahagi.
“Apa? Abang Lut ni dah gila ke?
Hilang akal? You pun sama! Sama-sama gila! Ini salah you sebab bagi harapan kat
Abang Lut. Semua ni takkan jadi kalau you tak cari Abang Lut semula.” Suara
Zahira terus tinggi kerana terkejut. Tak sangka sampai begitu sekali perangai
abang sepupunya itu sehingga sanggup nak meruntuhkan rumah tangga orang.
“Sekarang, I nak you keluar dari
sini. I malas nak ambil tahu pasal you berdua. You berdua nak buat apa pun,
buatlah! I don’t want to know anymore. Now, get out!” tambah Zahira
lagi. Semakin Erina ada di depan mata, semakin dia hilang sabar. Tangan Erina
ditarik supaya bangun.
“Tapi… tapi… Lut …” Erina
terpinga-pinga apabila tubuhnya ditolak sehingga ke pintu.
“I tak nak tahu pasal you berdua
lagi, faham! Lepas ni, jangan contact I lagi,” kata Zahira sebelum
menghempas pintu rumah dengan kuat. Dia mengurut dada berulang kali. Kemarahan
yang membara cuba ditenangkan. Nafas dihembus keluar berkali-kali.
“Gila! Mereka berdua ni memang dah
gila.” Zahira bercakap seorang
diri. Kemudian dia melihat ke luar
tingkap, kereta milik Erina sudah bergerak pergi. Lega rasa apabila Erina sudah
balik. Mulut ni asyik nak mengeluarkan perkataan yang tak sepatutnya. Mujurlah
dia ingat yang hari ini dia berpuasa. Kalau tak, memang berdarah telinga Erina
mendengar kata-kata berapi darinya.
No comments:
Post a Comment