Bab
5
HUJUNG minggu sudah tiba,
Akifah melabuhkan punggungnya di sofa. Semua kerja rumah sudah selesai dibuat.
Dia bosan hari ini kerana Elma pulang ke kampung. Dia melihat sekeliling ruang
tamu. Mulut sekejap bergerak ke kiri, sekejap pula bergerak ke kanan.
“Kalau aku ada boyfriend,
boleh jugak keluar dating. Eee… Abang Hail ni jual mahal betul? Orang
sukakan dia tapi dia larikan diri pulak!” Mulut Akifah terus muncung. Geram
dengan perangai Hail. Seperti yang diduga, keesokkan harinya sampul surat
berisi wang RM20 ada di cermin keretanya. Memang susah betul nak dekat dengan
lelaki yang berjaya mencuri hatinya. Apa perlu dia buat supaya Hail mengerti
perasaan dia.
“Aku tak patut buang masa macam ini,
aku kena fikir macam mana nak tambat hati Abang Hail!” Akifah bercakap seorang
diri. Otak ligat memikirkan idea.
Tiba-tiba Akifah mendapat idea, dia
melihat jam dinding di ruang tamu. Semakin meleret senyuman dia. Masa yang
begitu tepat sekali melancarkan plan dia. Rambut lurus yang separas bahu diikat
dengan rapi.
Laju kaki Akifah melangkah di dapur.
Peti sejuk dibuka. Dia melihat barang-barang yang ada di dalamnya. Dia tahu apa
yang dia nak masak sekejap lagi.
“Kalau Abang Hail rasa masakkan aku
ni, mesti Abang Hail jatuh cinta gila-gila kat aku! Hasil tangan aku tak pernah
menghampakan!” Semangat Akifah
berkobar-kobar. Dikeluarkan semua bahan-bahan yang ingin digunakan untuk
memasak.
Sambil memasak, Akifah tersenyum
seorang diri. Semakin meleret senyuman dia apabila membayangkan Hail memuji
masakkan dia. Dia ketawa kecil. Dipercepatkan proses memasak.
Selesai memasak, Akifah mengemas
dapur. Dia berjalan ke arah tingkap. Pandangan mata ke arah rumah Mak Endon
yang sebelah rumah sewanya. Tiada motorsikal dan kereta di garaj. Ini bermakna,
Mak Endon ada di kedai runcit. Kalau la Mak Endon nampak dia bawa makanan pergi
rumah Mak Doyah, mesti kecoh.
Akifah berjalan masuk ke biliknya
menukar baju. Dia perlu pakai baju yang elok sikit. Jangan terlalu cantik
sangat nanti apa kata Mak Doyah dengan Pak Yunus. Biar pakaian tu casual! Dia
rasa tak sabar nak jumpa Hail. Teruja pun ada! Senyuman kegembiraan Akifah
memang tidak dapat disembunyikan.
***************************
MAK DOYAH begitu sibuk
memasak menyiapkan makanan tengahhari. Dia menoleh apabila kedengaran ada orang
memberi salam.
“Waalaikumussalam!” jawab Mak Doyah.
Dia melihat ke arah pintu dapur. Kelihatan Akifah berdiri di depan pintu dapur.
“Aaa…. Akifah! Masuk la! Masuk!
Masuk!” pelawa Mak Doyah lagi.
“Nak bagi lauk kat Mak Doyah. Tadi
masak ayam parprik banyak, terlupa pulak yang Elma balik esok.” Kata Akifah.
Dia meletakkan bekas makanan di atas meja.
“
Nanti hang seorang la makan kat rumah?” kata Mak Doyah. Dia dekati
Akifah.
“Ya.” Jawab Akifah.
“Mana best makan seorang,
hari ini makan sekali dengan family Mak Doyah! Ramai-ramai makan baru
seronok!”
“Segan la, Mak Doyah!” Akifah
tersipu-sipu malu. Nampaknya rancangan dia menjadi.
“Segan? Awat nak segan pulak? Macam
la hang tak kenal dengan laki dan anak Mak Doyah. Makan saja dengan kami.” Kata
Mak Doyah.
“Baiklah! Ada apa-apa saya boleh
tolong?” tanya Akifah. Dah orang jemput makan, takkan la nak goyang kaki saja.
“Aaa… Basuh beras tu! Mak Doyah tak
sempat nak basuh tadi.” Mak Doyah yang sedang memotong bawang merah menoleh ke
arah Akifah.
Akifah terus saja membasuh beras.
Selesai saja kerjanya, Akifah terus bawa bekas beras tadi masuk ke dalam rice
cooker. Dia terus menekan butang ‘cook’ pada rice cooker itu.
Mak Doyah sempat menoleh dan
tersenyum melihat telatah Akifah yang jelas tak kekok berada di dapur.
“Elma balik bila?” Mak Doyah memulakan
perbualan mereka berdua.
“Esok petang!” jawab Akifah.
“ Tak takut ka tidur seorang?”
“Takut la jugak, Mak Doyah. Nak
balik kampung, jauh sangat! Hujung minggu kalau nak balik kampung, memang tak berbaloi.
Sehari saja dah habis masa kat jalan, kalau pergi balik pulak, sudah tentu
ambil masa dua hari. Kalau ada cuti panjang saja, baru saya balik kampung kat
Muar.” Kata Akifah. Kalau negeri Johor
dengan negeri Kedah dekat, sudah lama dia balik. Cemburu rasanya tiap kali Elma
balik kampung kat Ipoh.
“Kalau Mak Doyah tak ada anak teruna
kat rumah ni, boleh jugak Mak Doyah ajak hang bermalam kat sini.” Kata Mak
Doyah.
Akifah tersenyum. Dia faham maksud
Mak Doyah.
“Mak, sat gi …..” Hail yang baru
muncul di dapur dengan tuala di bahu terus kaku apabila melihat kehadiran
Akifah di situ.
Wajah Akifah berubah gembira melihat
kemunculan Hail.
“Sat gi apanya?” tanya Mak Doyah
semula. Pelik apabila Hail bercakap separuh saja. Dia menyedari Hail terkejut
melihat Akifah.
“Aaa…. Akifah makan tengahhari
dengan kita hari ini! Tadi hang cakap apa? Sat gi apa?” tambah Mak Doyah lagi.
“Sat gi pukul 5 petang, orang yang
nak pasang bumbung warung mai. Ayah suruh habaq kat mak! Buat aiq!”
Hail menyampaikan pesanan ayahnya. Dari pagi lagi, dia dan Pak Yunus perbaiki
warung itu. Selepas bumbung baru dipasang, kerja mengecat akan dilaksanakan
pula. Tanpa melihat Akifah, dia terus masuk ke dalam bilik air untuk mandi.
Akifah perhatikan gerak-geri Hail
sehinggalah Hail masuk ke dalam bilik air. Dia terkejut apabila Mak Doyah
memanggil dia.
“ Aaa… Akifah, hang tolong Mak Doyah
kupas nenas n! Hang tahu kan buang kulit nenas ni?” Sebiji buah nenas diberikan
pada Akifah. Mak Doyah tersenyum. Hari ini dia akan masak gulai nenas ketam.
“Dah tentu tahu!” jawab Akifah. Dia
terus mengambil pisau dan papan pemotong.
Mak Doyah tersenyum melihat Akifah.
Begitu senang Akifah membuang kulit nenas itu. Bertuahnya kalau dapat menantu
macam Akifah ni! Rajin pulak tu! Kalau la Hail ni ada kerja, dah tentu dia
pinangkan Akifah ni untuk Hail. Dia mengeluh perlahan.
***********************************
PETANG ITU, Akifah menolong
Mak Doyah menyiapkan minum petang. Sambil membuat kerja, dia berborak dengan
Mak Doyah. Ada saja kisah dikongsi bersama. Maklum la Mak Doyah dulu pernah
bekerja sebagai jururawat di hospital swasta. Antara mereka berdua ada
persamaan. Kiranya mereka berdua serasi.
“Amboi! Riuh rendahnya!” Pak Yunus
bersuara selepas memasuki ruang dapur. Dia melihat isterinya begitu rancak
berbual sambil membuat karipap.
“Dah ada teman berbual, dah tentu
riuh rendah. Depa dah sampai ka? Berapa orang?” tanya Mak Doyah.
“Baru saja sampai! Lima orang! Nanti
dah siap, bagitau abang! Nanti abang suruh Hail mai ambil.” Kata Pak Yunus
sebelum berlalu pergi.
“ Akifah, hang bancuh aiq
kopi sat. Mak Doyah nak goreng karipap.” Arah Mak Doyah.
Akifah terus berhenti membuat karipap.
Dia bangun dan terus mencapai teko. Dengan segera dia membancuh air.
Sepuluh minit kemudian, Hail masuk
ke dapur.
“Mak dah siap ka?” tanya Hail.
“Dah siap dah!” jawab Mak Doyah.
Hail melihat dulang sudah siap
dengan air dan kuih. Semasa Hail mengangkat dulang itu, pinggan karipap hampir
saja terjatuh tapi Akifah sempat selamatkan.
“Kuih karipap ni biar saya yang
bawa!” kata Akifah.
“It’s okey! Saya boleh angkat, letak
balik pinggan tu!” tegas Hail,
“Biar la Akifah tolong, kalau jatuh
sekali lagi, depa tu nanti nak makan apa! Mak buat cukup-cukup saja.” Tegur Mak
Doyah.
Pandangan mata Akifah bertemu dengan
mata Hail. Dia hanya mampu tersenyum seraya mengangkat pinggan karipap yang ada
di tangannya.
“Yalah!” kata Hail sebelum bergerak
pergi. Dia malas nak bergaduh dengan ibunya.
Akifah tersenyum dan terus mengekori
Hail. Dia segera memakai seliper.
“Kursus yang Abang Hail pergi hari
tu macam mana? Okey tak?” tanya Akifah. Dia cuba memulakan perbualan antara
mereka berdua.
“Hmm… Okey!” ringkas jawapan Hail.
Dia malas nak melayan.
“ Ramai tak orang?” tanya Akifah
lagi.
“Boleh la!” jawab Hail tanpa
perasaan.
Mulut Akifah terus senget. Nampak
sangat Hail malas nak bercakap dengan dia. Kecik hati pun ada seolah-olah dia
terhegeh-hegeh nak cakap dengan Hail.
“Akifah! Terima kasih tolong bawa.
Letak kat atas meja tu!” kata Pak Yunus sebaik saja Hail dan Akifah mendekati
dia.
Akifah tersenyum. Dia terus letak
pinggan berisi karipap itu di atas meja empat segi yang terletak tak jauh dari
warung. Mata dikerling pada Hail. Kot-kot Hail nak ucapkan terima kasih!
Sangkaan dia meleset sama sekali. Sikit pun Hail tak peduli pasal dia.
“Akifah! Mai lekas makan!” Tiba-tiba
Mak Doyah memanggil dari pangkin kayu.
Akifah menoleh dan mempercepatkan
langkah mendekati Mak Doyah. Minuman dan kuih sudah terhidang kat situ.
“Makan! Mesti hang lapar kan!” kata
Mak Doyah. Cawan air berisi air nescafe diberikan pada Akifah. Tanpa bantuan
Akifah tadi, mustahil dia dapat siapkan karipap secepat ini.
Karipap diambil dan terus dimasukkan
ke dalam mulut. Akifah mengunyah perlahan-lahan.
“Sedapnya! Mak Doyah kena bagi saya
resipi ni!” puji Akifah dengan mata bulat membesar.
Mak Doyah ketawa kecil dengan
telatah Akifah.
“Tak patut betul? Panggil Akifah
seorang saja!” kata Pak Yunus sebaik saja menghampiri pangkin kayu.
“ Dah tua pun nak kena panggil lagi
ke? Faham-faham la sendiri, rumah sendiri kot!” jawab Mak Doyah.
“Mak Doyah hang ni kalau bab
menjawab memang champion.” Sindir Pak Yunus.
Akifah ketawa kecil.
Mak Doyah menjeling ke arah
suaminya.
“ Lama ke kalau pasang bumbung
baru?” tanya Akifah.
“Hari ini saja dah boleh siap!
Lagipun esok Hail dah start nak cat.” Jawab Pak Yunus.
“Larat ke Hail nak cat warung tu
seorang? Upah orang kan senang!” kata Mak Doyah.
“Abang pun tolong jugak!”
“Biar betul abang nak tolong? Nanti
sekerat jalan kerja, yang habiskan Hail seorang jugak!” Mak Doyah tak percaya
yang suaminya akan menolong.
“Saya boleh tolong mengecat! Esok
cuti!” Akifah menawarkan diri untuk membantu. Lagipun esok dia tak ada apa-apa
nak buat. Yang paling penting, inilah peluang mendekati Hail. Dirinya masih
tidak berputus asa untuk menawan hati Hail.
“Lagi ramai, lagi baguih! Cepat
habis kerja!” kata Pak Yunus sebelum makan karipap.
Mak Doyah menggelengkan kepala.
Nampak sangat suaminya mengambil kesempatan dengan kebaikkan Akifah.
No comments:
Post a Comment