Bab
4
HAIL keluar dari bilik air.
Rasa segar selepas mandi. Pagi ini dia bertungkus lumus menebas sehingga 1
hektar. Ayahnya turut sama membantu.
“Esok hang ada kursus kan? Baju
dengan seluaq hang muat lagi ka?” soal Mak Doyah apabila melihat kelibat Hail.
“ Muat lagi la, mak! Berat Hail
bukannya lebih dari 100 kg.” Wajah Hail terus bertukar masam. Mood terus
berubah selepas ibunya berkata sebegitu. Memang terasa! Gemuk sangat ke dia
sampai baju pun tak muat?
“ Macam mana hang tahu? Hang timbang
ke berat badan hang tu? Mak yang tengok hang hari-hari, mak tau la.” Tambah Mak
Doyah. Dia bercakap perkara benar. Iyalah sejak balik sini, asyik makan lepas
tu tak buat apa-apa cuma beberapa hari ini Hail rajin menebas tanah bapa
mertuanya yang seberang jalan. Takkan la nak pergi kursus pakai baju ketat kot!
Muncung terus mulut Hail. Langkah
diteruskan ke biliknya. Dia malas nak melayan kerenah ibunya. Lagi lama dia di
situ semakin kecik hati ni.
Sebaik saja pintu bilik ditutup, Hail
berhenti di almari pakaian.
“Betul ka aku ni gemuk sangat?
Rasanya macam berisi sikit saja. Kalau rumah ni ada penimbang, dah lama aku
timbang!” Hail mula meragui dirinya.
Pintu almari terus dibuka.
Baju t-shirt berjenama miliknya dulu
diambil. Ditanggalkan t-shirt lusuh yang dipakainya tadi.
Apabila dia cuba memakai t-shirt
berjenama itu, rasa begitu susah sekali. Dipaksa jugak pakai. Ketat! Dia
melihat perutnya yang buncit itu. Cermin almari terus didekati. Dirinya sendiri
terkejut melihat tubuhnya sekarang ini.
“Rasanya ini baju yang lama. Ada
baju lain lagi!” Hail masih cuba menindakkan apa yang dia nampak di sebalik
cermin itu. Dia terus membuka baju dan mula selongkar almari pakaian dia.
Dikeluarkan t-shirt lain pula! Dia cuba sekali lagi. Hakikatnya tetap sama!
Ketat! Rasa tak selesa. Sekali lagi dia melihat dirinya di cermin.
“Hang dah gemuk, Hail! Terima la
hakikat! Apa mak cakap tu betul! ” Hail
bercakap seorang diri. Dia terus buang t-shirt yang dipakainya itu ke tepi.
“Nampaknya petang ni aku kena keluaq
pi pekan beli baju baru! Kalau t-shirt pun tak muat, dah tentu seluaq pun
tak muat. Tapi aku ada ke duit nak beli? Takkan nak pinjam kat ayah lagi? Dah
banyak duit aku pinjam dari ayah! Rasa segan la pulak! Pinjam kat mak? Nak cari
nahas namanya. Duti tak dapat tapi sakit hati yang dapat. Hmm… takkan nak
pinjam dengan Along? Angah? Baik tak payah, kalau kakak-kakak ipar tahu, mereka
berdua tu mesti bagitau mak! Nampaknya bertambah hutang aku kat ayah lagi.” Hail
menarik nafas dan menghembus perlahan-lahan.
***********************************
SELEPAS solat Asar, Hail
membonceng motorsikal Honda EX5 milik ayahnya. Sejak menetap semula di kampung,
dia tak pernah lagi jejakkan kaki di pekan Pendang ini. Asyik duduk di rumah
kerana malu. Iyalah dulunya dia berpangkat besar. Ada kereta besar! Dari hujung
rambut sehingga hujung kaki semuanya berjenama. Tinggal pun dekat apartment
mewah. Melancong sana sini. Maklum la bila senang, tak ingat dunia. Bila
syarikat dia bangkrupt, dia hilang semuanya dalam sekelip mata. Teman wanita
pun lari. Kawan-kawan baik pun mula menjauhkan diri. Dari situ boleh lihat
siapa kawan sejati. Itu la semasa senang dulu, tak reti nak bersyukur pada
Allah Ta’ala. Asyik seronok saja. Bila sudah jatuh tersungkur baru teringat
pada Allah Ta’ala.
Dari rumahnya hendak ke pekan
Pendang hanya mengambil masa selama 20 minit. Tibanya di destinasi yang ingin
dituju, dia terus letak motorsikal di hadapan supermarket . Hail berjalan masuk
dan mencari bahagian pakaian lelaki. Dia mula mencari dan memilih. Yang penting
harga mesti murah. Dia mulakan misi mencari. Dia mencari warna yang sesuai dan
juga selesa untuk dipakai.
Selesai saja urusan memilih, Hail
berjalan ke kaunter. Dia hanya ambil sehelai t-shirt, sehelai kemeja dan
sepasang seluar. Dia pinjam RM 100 saja.
“RM 120!” kata juruwang perempuan.
“Apa! Eh, bukan ka seluaq tu
lepas diskaun RM 39.” Tanya Hail dengan wajah terkejut. Sebelum dia datang
kaunter ,dia sudah kira semuanya. Jumlah yang sepatutnya bawah RM 100. Macam
mana boleh terlebih? Dia melihat duit yang ada di tangannya. Memang tak cukup
kalau nak bayar.
“Ini seluaq lain. Abang
tersalah ambil ni. Yang lepas diskaun RM 39, sebelah dia saja. Seluaq ni
tak dak diskaun.” Tambah juruwang itu lagi.
Hail mengeluh perlahan. Dia sudah
berkenanan dengan seluar ni. Terpaksa la pilih semula.
Tiba-tiba duit di tangan Hail
diambil, Hail terkejut melihat Akifah.
“Ini RM 120!” kata Akifah. Ditambah
baki wang Hail yang tak cukup tadi. Kebetulan dia nampak Hail masuk ke sini,
dia terus ekori dan perhatikan gerak-geri Hail. Terang-terang, Hail tidak
menyedari langsung kehadiran dia di situ.
Jururawang itu terus mengambil wang.
Hail terpinga-pinga dengan apa yang
berlaku. Takkan la dia nak biarkan Akifah bayar lagi. Semiskin-miskin dia pun,
ada maruah diri. Berhutang dengan perempuan, dah tentu rasa malu. Dia menoleh
ke arah juruwang itu.
Hail kaku apabila juruwang itu
menghulurkan bag plastik dan resit kat dia. Ikutkan hati dia mahu cancel
tetapi apa pulak kata Akifah nanti. Serba salah jadinya.
Dengan lemah, Hail mengambil bag
plastik dan resit. Wajah berona merah.
“Nanti balik rumah, saya bayaq balik.”
Hail bersuara. Dia bertentang mata dengan Akifah yang masih memakai uniform
jururawat.
“It’s okey! Tak bayar balik pun tak
apa! Ala … RM 20 saja.” Jawab Akifah dengan mesra. Rasa nak gugur jantung ini
mendengar suara Hail. Selalunya payah sangat nak dengar.
“Mana boleh macam tu! Dah hutang
kena la bayaq. Balik rumah nanti saya bayaq, saya bawa duit
cukup-cukup saja tadi.” Tegas Hail.
“Hmm… Kalau macam tu, teman saya
makan ais kacang ke cendol ke? Nak tak?
Abang Hail teman saya makan ja, kiranya hutang terus langsai.” ajak Akifah. Dia
menggunakan peluang ini untuk rapat dengan Hail. Hati berdebar sakan.
“Maaf, saya ada hal lepas ini. Apa-apa
pun terima kasih sebab tolong saya tadi, saya akan bayaq balik duit awak
hari ini jugak. Saya tak suka hutang lama-lama dengan orang. Aaa.. Saya minta
diri dulu.” Cepat-cepat Hail menolak ajakkan Akifah. Dia hargai pertolongan
Akifah tetapi lebih baik dia jauhkan diri. Dia tak mahu ada orang kampung
nampak mereka berdua kat sini. Tak pasal-pasal ada gossip pulak. Lebih baik dia
angkat kaki.
Air muka Akifah berubah. Dia segera
mengekori Hail yang sudah keluar dari supermarket. Mulut ingin menyatakan
sesuatu namun lidahnya kelu untuk meneruskan kata-kata kerana Hail jelas
tergesa-gesa cuba melarikan diri dari dia.
Hail menghidupkan enjin motorsikal
dengan segera selepas memakai helmet. Dia sempat melirik ke arah Akifah yang
berdiri tidak jauh dari motorsikal.
“Assalammualaikum!” kata Hail
sebelum meninggalkan Akifah. Dia tak menoleh ke belakang langsung. Motorsikal
itu bergerak memasuki jalan besar.
Apabila lampu trafik bertukar merah,
Hail menghentikan motorsikal. Dalam hati dia mengeluh. Sejak dia selamatkan
Akifah yang terjatuh dalam parit bulan lepas, dia dapat merasakan seperti
Akifah cuba mengorat dia. Perasaan dia saja ke? Atau dia yang salah faham!
Hatinya mula berteka-teki. Apa yang dia rasa sekarang ini, dia rasa tak selesa
tiap kali Akifah ada.
Bunyi hon kereta mengejutkan Hail.
Kereta Honda Civic berhenti di
sebelah Hail. Cermin kereta diturunkan.
Wajah bertukar keruh sebaik saja
bertentang mata dengan pemilik kenderaan itu.
“Aik …. Motor dah downgrade ka?
Mana perginya motor Benelli hang? Oh ya, dah jual sebab dah tak ada kerja!
Kasihan kat hang, terpaksa naik motor kapcai pak hang!” sindir Yusri. Diakhiri
kata-katanya dengan ketawa.
Hail mengetap bibir. Setiap kali
jumpa Yusri memang menyakitkan hati betul. Dia tak tahu apa masalah Yusri
sebenarnya. Tahu cari gaduh dengan orang saja. Kata kat orang tak ada kerja, Yusri
pun tak kerja jugak. Tahu habiskan duit mak ayah saja. Mentang-mentang la anak
ketua kampung. Berlagak nak mampus.
Apabila lampu trafik bertukar hijau,
kereta Honda Civic terus memecut laju.
Hail menggelengkan kepala dengan
perangai Yusri. Sejak dari bangku sekolah sehinggalah sekarang, perangai masih
kebudak-budakkan. Motorsikalnya bergerak perlahan-lahan pulang ke rumah.
No comments:
Post a Comment