Wednesday, December 30, 2015

Tuk Tuk Dia Kutuk Pintu Hatiku Bab 8

Bab 8

            “Aii… Mak termenung jauh nampak? Teringat buah hati ke?” usik Liya. Dia meletakkan bakul kosong di tepi. Dia baru saja selesai menyidai baju di luar. Cuaca elok sekarang ni. Panas terik pulak tu. Time ni kalau sidai baju mesti cepat kering. Matanya tiba-tiba melihat beberapa periuk yang ada di sinki. Dia bergegas mendekati sinki. Dia mula membasuh.

            Hajah Salmiah mengeluh kuat. Dia sempat menjeling bila mendengar usikan Liya. “Hang berdua memang suka usik mak kan! Dua-dua sama saja.”

            “Dah kembar mesti perangai sama, betul tak?”

            Hajah Salmiah terus bangun dan mendekati Liya yang sedang sibuk membasuh. “ Mak rasa rugi la.”

            Liya menoleh. “Rugi apa mak?”

            “Mak rasa rugi kalau Adli tu tak jadi menantu mak. Orangnya baik, sopan santun, cakap tu lembut saja, hormat orang tua dan ada pelajaran pulak tu. Kalaulah Adli tu tak ada girlfriend, sekarang jugak mak pinangkan Adli untuk hang. Bulan depan terus nikah, senang cerita.”

            Liya ketawa terbahak-bahak. Pili air ditutup agar tidak membazir. Liya meletakkan periuk semula dan berdiri berhadapan emaknya. “Mak ni dah macam desperate sangat. Liya okey saja. Adli tu dah ada girlfriend, mak. Takkan mak nak rosakkan hubungan depa. Kita takkan bahagia kalau kita bina hubungan itu berlandaskan air mata orang lain, mak! Mak sendiri pernah cakap kan. Lagipun, belum ada mana-mana lelaki yang berjaya ketuk pintu hati Liya. Yang ketuk tu tak berbunyi langsung.“ ujur Liya dengan lembut.

            “Macam mana nak berbunyi kalau hang bina pintu konkrit dalam hati hang tu.” Perli Hajah Salmiah. Ada riak wajah hampa.

            Liya hanya mampu tersenyum. Aku tahu niat mak baik tapi aku tak bersedia lagi untuk semua tu. Dia belum ada keyakinan. Cukuplah sekali diriku dikecewakan. Yang penting kini, aku nak tumpu perhatian dalam business aku. Aku nak majukan lagi. “Mak, Liya rasa Liya nak beli baka lembu jenis droughmaster. Yang ada baka Kedah Kelantan, kalau ada banyak pilihan mesti ramai nak beli nanti.” Liya menyambung semula kerjanya.

            “Apa benda droughmaster tu?” Dahi sedikit berkerut.  

            “Aaaa…. Lembu tu asal dari Australia. Kacukan antara Shorthorn dan Brahman. Warna merah. Yang penting tahan panas. Maklumlah cuaca kat sini kan panas terik. Yang lebih penting lagi, subur dan cepat beranak. Rezeki Liya bertambah la, mak. Bayangkanlah ….. wah, banyak duit masuk nanti.” Liya mula berangan-angan. Semakin lebar bibir Liya.

            Hajah Salmiah mengetap bibir rapat menaham geram. “Tak abis-abis dengan lembu dia. Senang-senang hang kahwin saja dengan lembu hang tu.” Perli Hajah Salmiah.

            “Boleh ke mak? Esok Liya terus bawa jumpa tok kadi.”

            “Hish budak bertuah ni?” Suara Hajah Salmiah mula meninggi. Boleh kena darah tinggi kalau aku cakap dengan Liya ni? Sengaja nak buat aku naik angin.

            “Just kidding, mak!” Liya menutup pili air. Dah pun selesai membasuh. Tangan yang basah dilap kat kain putih yang tersangkut di dinding. “Mak, sat gi Liya nak keluar jap dengan Zaiton. Kami nak pi kenduri sepupu Lah kat kampung sebelah tu.” Beritahu Liya

            “Balik nanti singgah sat kat kedai Mak Yah. Belikan bawang putih sikit. Dah habis. Aaaa…. Cabai kering sekali tau. Jangan banyak sangat tau.”

            “Ya, mak!” jawab Liya sebelum melangkah masuk ke dalam biliknya.

            Sepuluh minta kemudian Liya keluar dari biliknya. Dia sudah bersiap nak pergi kenduri.

            “Liya!”

            Langkah Liya terhenti dan menoleh bila mendengar suara ibunya.

            “Hang nak pi mana?”

            “La …. Tadi Liya dah bagitau mak kan, Liya nak pi kenduri sepupu Lah.”

            “Hang nak pakai baju kurung ni. Dah tak ada baju kurung lain ka hang nak pakai Liya. Baju kurung raya tahun lepas kan ada. Tukarlah. Malu orang tengok nanti. “ Hajah Salmiah melihat anaknya dari atas ke bawah. Baju raya tahun bila dia pakai? Dah lusuh.

            “Ala….. Mak! Pi makan ja, nak makan lawa-lawa buat pa. Lagipun baju kurung ni tak payah nak sterika. Terus pakai ja, senang kerja. ”  Liya membelek baju kurung cotton berwarna merah. Ok saja, aku tengok.

            “Eeee…. Pemalas betul.” Hajah Salmiah membuat mimic muka. Dia dah tak tahu cakap apa lagi. Sepatutnya sebagai seorang wanita, dia kena jaga penampilan diri. Kena tahu fasion jugak. Baru sedap mata orang pandang. Sejak Liya bela lembu dan kambing, Liya tak ambil berat tentang penampilan diri dia. Pakai baju main redah saja. Tudung pulak, pakai ikut style dia saja. Aku tengok pun berserabut.

            “Oklah, mak! Liya dah lambat ni. Nak kena ambik Zaiton, kalau lambat nanti dia dok pot pet pot pet 24 jam nanti. Pi dulu mak.” Sebelum pergi terlebih dulu Liya hulurkan tangan untuk salam.
            “Bawa motor tu baik-baik. Ingat tau belikan barang yang mak pesan tu.” Pesan Hajah Salmiah.

            “Roger, mak!” Liya menghidupkan enjin motor dan kemudian memakai topi keledar. Dia melambai tangan beberapa kali sebelum motor bergerak meninggalkan perkarangan rumah.


                                                *********************

            Beg pakaian dimasukkan ke bonet kereta sebelum ditutup. Langkah Hazri terhenti mendengar deringan telefon dalam kereta Adli. Hazri bergerak mencari. Dia membuka pintu pemandu dan mengambil telefon Adli. “Hish… boleh pulak letak phone dalam kereta. Sassy girl? Siapa sassy girl ni?” Dia membaca nama yang tertera di skrin telefon. Tiba-tiba telefon itu terdiam dan beberapa saat kemudian telefon itu berbunyi lagi.  “Adli! Oooo…. Adli! Ada call.” Jerit Hazri memanggil Adli.

            “Apa!” Bergegas Adli keluar menyarungkan selipar seraya mengunci pintu rumah dan kemudian berjalan mendekati Hazri.

            “Ada call.”

            “Siapa?”

            “Sassy girl!” beritahu Hazri.

            Adli mengeluh. “Biarlah. Dah sampai KL nanti aku call dia balik.” Kepala digaru beberapa kali mengenangkan bencana yang akan menimpa sebaik saja tiba di KL. Hampir kusut rambut Adli.

            “Siapa Sassy girl tu? Aaaa… aku tahu, girlfriend baru kau kan.” Teka Adli sambil tersengih.

            “Hish…. Cousin aku la. Nama dia Zalika.”

            “Kenapa kau letak sassy girl?”

            “Sebab perangai dia sassy. Ini mesti dia dah tahu pasal hal aku dan Rita. Kalau dia dah start cakap, jangan harap dapat celah.” Di wajah Adli sudah terpancar wajah resah. Kalau Zalika masuk campur makin kecoh hal aku nanti. Macamlah aku tak kenal perangai sepupu yang seorang tu. 

            “Bunyi macam scary saja.”

            “Memang scary! Lebih menakutkan dari kau. Oklah, aku dah nak kena bertolak ni. Takut lewat pulak nak sampai. “ Sempat lagi Adli melirik mata ke arah jam tangan berjenama Rolex di tangan. Dah pukul 2.00 petang. “Aaaa… kirim salam kat mak ayah kau. Next week aku datang.” Tangan dihulurkan untuk bersalaman. Dia terus melangkah masuk ke dalam perut kereta.

            “Drive elok-elok. Dah sampai sms aku.” Pesan Hazri sebelum kereta Volkswagen Polo bergerak. Tangan dilambai sehingga kereta itu hilang dari pandangan.


                                                ****************************

`           “Itulah aku dah banyak kali suruh hang tukar motor baru tapi tak nak. Nak guna motor buruk ni jugak. Banyak saja duit tapi berkira nak mampus. Kalah Haji Bakhil dalam filem labu labi tu. Nasib baiklah buat perangai bila kita dah habis makan kat kenduri sepupu Lah. Kalau tak, kebulurlah kita tadi.”

            Liya yang sedang menolak motor tiba-tiba berhenti. Dia menoleh.“Hang ni, Ton! Tak habis-habis nak pot pet pot pet. Dari tadi sampai sekarang tak henti-henti. Disebabkan mulut hang la motor aku buat hal. Nak tahu pasai pa? Sebab hang tak henti-henti kutuk dia. Buruklah! Lambatlah! Dia kecik hati tau dak!Sebelum ni tak ada masalah pun, elok saja. Itulah aku suruh hang pi dengan laki hang, hang tak nak sebab family mertua hang pi lambat sikit. Nak ikut aku sangat.” Liya yang sejak tadi diamkan diri terus meletup. Dahlah panas, aku jugak yang tolak motor ni. Si Zaiton ni tak habis-habis komplen motor aku, sakit telinga aku. Bukan nak tolong, panaskan darah aku lagi adalah.

            “Hang salahkan aku ke Liya?” Wajah Zaiton terus berubah nak menangis. Semakin keruh.

            Liya menundukkan kepala beberapa saat. Inilah susah kalau cakap dengan orang tengah mengandung. Sensitif betul! Tak boleh naik cuit langsung, mulalah nak menangis. “Aku tak marah kat hang, Ton! Sorry!” ucap Liya. Dia mengalah. Sapa betul atau salah, itu tak penting. Kalau Zaiton teriak, mampuslah aku nak kena pujuk nanti. Dahlah tengah panas sekarang ni. “Dah nak sampai kat kedai motor Zam tu. Hang tu mengandung! Payung tu pegang betul-betul!” Liya membetulkan payung yang dipegang Zaiton yang sudah senget ke tepi.

            “Takkanlah aku nak payung sorang, mesti hang panas jugak.” Zaiton rasa bersalah.

            “Aku ni dah biasa. Dah kerja aku hari-hari kena panas. Hang tu mengandung, kena ingat tu. Kalau demam, hang dengan baby susah nanti.” Pesan Liya.Liya menolak semula motor. Kini badannya sedang bermandi dengan peluh. Terasa peluh sedang mengalir di wajahnya.

            Liya dan Zaiton terkejut bila bunyi hon yang dibunyikan beberapa kali. Dua buah motor berhenti di hadapan mereka.

            “Kasihan. Motor rosak ke? Nak aku tolong? Aaaa…. Tak mau la, bazir tenaga saja tolong. Tak ada faedah pun. “ Ali tersengih.
            “Betul tu! Buat malu saja. Siapa nak kawan dengan perempuan plastik macam ni?” Fuad mencelah. Dia ketawa kecil.

            Liya mengeluh kecil sebelum bersuara. Dia memandang lelaki yang berkulit hitam manis itu. “Hang nak apa,Ali? Kalau hang tak nak tolong, baik hang blah. Tak ingin aku minta tolong kat hang!”

            “Amboi! Sombong! Hang dengar tak, Fuad?”

            “Dengar, Bro! Jelas!”

            “Itulah orang cakap bodoh sombong! Sapa yang susah la ni, dia kan!”

            Zaiton mengetap bibir. “Apa masalah hang, Ali? Apa hang tak puas hati kat Liya? Oooo…. Aku tahu sebab time sekolah dulu Liya tolak cinta hang kan sebab tu hang dendam kat Liya sampai la ni kan! Kenal A B C pun tak betul lagi, ada hati nak bercinta.”

            “Hang jaga mulut hang baik-baik, Ton!” Tiba-tiba Ali tersentap bila kisah lama diusik. Memang dulu dia sukakan Liya tapi Liya tolak cintanya kerana Muaz. Maklumlah time tu Muaz pelajar contoh kat sekolah. Aku ni budak nakal kat sekolah. Memang tak sesuai dengan Liya. Tapi sekarang tengoklah apa Muaz buat kat hang? Dia tinggalkan hang sebab hang cacat. Baru padan muka hang. Hang rasa apa aku rasa.

            “Hang nak buat apa dengan mulut aku ni?Buatlah kalau hang berani!” cabar Zaiton dengan berani.

            “Hang ingat aku tak berani? Tunggu!” Ali ingin turun dari motor tapi dihalang oleh Muaz.

            “Hang nak buat apa? Hang dah gila ka? Bapak dia bekas ketua balai polis, hang nak masuk lokap ka?”tegah Muaz.

            Ali mengetap bibir seraya merenung Zaiton yang tersenyum sinis ke arah merea berdua. Tangan digenggam erat. “Jom, blah! Malas nak layan perempuan gila ni” Ali terus memecut laju meninggalkan mereka diekori Fuad dari belakang.

            “Takutlah tu!”

            “Eee…. Ton, hang ni mulut memang tak ada insurans!”

            “Aku tak takut la dengan mamat rempit macam Ali tu! Sebab bapak dia ketua kampung, dia ingat kita kena takut dengan dia. Sorrylah! Hello! Berani ke dia nak buat apa-apa kat aku? Dia kena ingat, bapak aku bekas ketua balai. Abang Long aku ASP polis! Abang ngah aku Major tentera. Kak Lang aku lawyer. Aaa….cuma aku ni saja melencong kot lain jadi surirumahtangga. ”  Zaiton tersengih.

            Liya mengelengkan kepala beberapa kali melihat perangai Zaiton. Memang patutlah hang jadi juara pidato setiap tahun, tiada sapa dapat bangkang cakap hang. Macam manalah Ghani hadap dengan perangai hang 24 jam. Tak dapat aku bayangkan.

            Sekali lagi Liya dan Zaiton terkejut bila mendengar bunyi hon kereta.

            “Motor rosak ke?” tanya Adli sebaik saja menurunkan cermin kereta dan kepala dikeluarkan sedikit.

            “Ya.”

            “Biar saya tolong!”

            “Eh…. Tak payah! Kedai nak repair motor dekat saja. Tu aaa….” Liya menunjukkan kedai yang terletak tak jauh dari mereka berdiri. Dia tak susahkan orang lain. Dia lebih suka berdikari.

            “Betul ke tak nak saya tolong!” tanya Adli untuk kepastian.

            “Betul!. Awak dah nak balik ke?”

            “Ya! Ada banyak benda tak settle kat KL. Aaa… kalau macam tu, saya minta diri dulu.” Adli tersenyum.

            Senyuman Adli dibalas dengan senyuman.

            “Sampai hati tak perkenalkan aku kat mamat tu?” Zaiton bersuara. Dari tadi Zaiton hanya mendiamkan diri menanti dirinya diperkenalkan oleh Liya.

            “Tak payah nak kenalkan pun, nanti hang dapat kenal jugak.” Liya menolak semula motor agar tiba di destinasinya. Tumpuan hanya satu, rumah kedai berwarna coklat tu.  Kalau macam ni, bila nak sampai. Asyik ada saja orang nak ganggu. Baju aku dah basah lencun. Kalau diperah entah-entah boleh penuh satu baldi.

            “Kenapa suara dia macam tu? Dah macam suara Sallem jer! Memang asli ke?”

            “Dia sakit tekak la.” Jawab Liya.

            “Aku rasa kalau dia potong rambut bagi pandek lepas tu buang janggut dengan misai, confirm handsome. Tapi kan …. Aku tengok mamat tu macam ada masalah saja. Mata tu kuyu macam tak cukup tidur. Rasanya masalah apa? Abang hang ada cerita tak?” Zaiton masih tak berhenti-henti bercakap.

            Liya menghembus nafas perlahan-lahan. Sabar jerlah! Bateri apa Ton ni guna, tak reti-reti nak berhenti. Asyik pot pet pot pet. Sejak mengandung kali ketiga semakin menjadi-jadi. Nak tegur, nanti merajuk pulak. Aduh, tahan jalah! Motor ditolak perlahan-lahan. Dibiarkan saja Zaiton membebel seorang diri.