Sunday, August 28, 2022

Kali Kedua Melihatmu - Kombo D' Ladies! Ilham Santai Publication

 


Kali Kedua Melihatmu Bab 1-5

 

Bab 1

 

 

            PINTU bilik diketuk beberapa kali. Suasana masih sunyi.

            “Ira, bangun lekas! Jom sahur! Nanti lewat pulak,” panggil Darifa. Dia berdiri di luar bilik tidur Zahira. Ketukan pintu semakin kuat.

            Beberapa saat kemudian, pintu bilik dibuka perlahan-lahan.

            “Dah pukul berapa, Kak Rifa?” tanya Zahira. Hanya separuh kelopak mata dibuka. Mata masih terasa berat. Ikutkan hati memang malas nak bangun.

            “Pukul 5! Jom!” ajak Darifa.

            “Pukul 5! Awal lagi! Bagi Ira lima minit tidur sekejap!” kata Zahira pada teman serumahnya.

            Sepantas kilat, Darifa memegang tangan kanan Zahira.

            “Tak baik lewatkan waktu bersahur. Jom, makan! Akak dah siap hidang semua pun. Ada ke pulak nak tidur balik? Jom!” Darifa terus menarik Zahira keluar dari bilik. Mereka berdua berjalan ke ruang dapur.

            Dengan malasnya, Zahira duduk di kerusi. Kelopak mata ditutup semula seraya menongkat dagu di meja makan.

            “Ya Allah! Boleh pulak dia tidur! Pergi basuh muka cepat!” arah Darifa. Dia pula mencedok nasi ke pinggan. Masih panas lagi.

            Zahira bangun perlahan-lahan berjalan menuju ke singki dapur. Pili air dibuka dan dia terus membasuh muka dia di situ.

            “Bertuah betul anak dara ini, boleh pulak dia basuh muka kat situ. Takkanlah nanti Ira dah kahwin Afiz, nak buat macam tu jugak.”  Darifa menegur. Dia mengangkat dua pinggan nasi ke atas meja. Punggung dilabuhkan dengan perlahan di kerusi.

            “Kalau dah kahwin, dah tentu kena basuh muka kat bilik air. Takkan nak basuh kat singki kot. Ala… dah kahwin nanti, pandai-pandailah!” jawab Zahira dengan ketawa. Wajahnya terus segar. Hilang terus mengantuk selepas membasuh muka. Kemudian dia terus duduk di kerusi yang berhadapan dengan Darifa.

            Darifa turut sama ketawa. Dia memandang wanita berambut panjang yang melepasi bahu itu. Hampir dua tahun Zahira menyewa di rumahnya. Zahira muda dua tahun darinya dan dia sudah menganggap Zahira seperti adiknya sendiri.

            “Ayam masak merah ni, Kak Rifa baru masak tadi ke?” tanya Zahira. Dia melihat mangkuk ayam masak merah.

            “Akak tak tahu nak masak apa tadi, jadi akak masak saja ayam masak merah,” jawab Darifa. Dia menolak mangkuk ayam masak merah agar dekat dengan pinggan Zahira. Dia tahu ayam masak merah memang kegemaran Zahira.

            “Kak Rifa, lain kali tak payahlah susah payah masak lauk lain. Lauk malam tadi pun ada lagi,” kata Zahira. Rasa bersalah pun ada. Segan pun ada. Iyalah, sepanjang bulan Ramadan dia jarang menolong Darifa di dapur. Balik saja kerja, makanan untuk berbuka puasa sudah siap terhidang. Bangun sahur pula, semuanya sudah tersedia. Dia bertuah kerana dapat tuan rumah seperti Darifa.

            “Ala, kalau tak habis lagi, kita boleh makan masa buka puasa. Tak ada masalah,” ujar Darifa. Dia terus mengangkat tangan dan membaca doa makan.

            Zahira turut sama membaca doa.

            Mereka terus makan sebelum habis masa sahur.

 

 

PULANG SAJA dari sekolah, Darifa segera mandi dan menunaikan solat zohor. Selepas itu dia menyapu sampah dan mengemas rumah. Itulah rutin harian Darifa setiap hari.

            Kemudian Darifa pergi ke dapur dan mengeluarkan bahan-bahan dari peti sejuk. Melihat lauk ayam masak merah masih banyak lagi, dia membuat keputusan untuk masak nasi tomato dan acar timun. Resipi mudah saja hari ini.

            Tepat pukul 6 petang, kedengaran suara Zahira memberi salam.

            “Assalamualaikum Kak Rifa, sorry! Traffic jam! Ada apa-apa Ira boleh tolong tak?” tanya Zahira. Dia terus hampiri Darifa yang sedang memasukkan puding jagung yang sudah siap ke dalam peti sejuk.

            Waalaikummusalam. Semua dah siap! Air saja, akak tak buat lagi!” jawab Darifa. Dia menutup semula pintu peti sejuk.

            “Okey! Air biar Ira yang buat. Kak Rifa, jangan buat pulak. Satu hari memasak, mesti Kak Rifa penat,” kata Zahira.

            “Akak masak simple saja hari ini. Tak penat pun! Dah… Mesti Ira penat kan! Pergi mandi lepas tu solat lekas. Dah pukul 6 ni.” Darifa tersenyum.

            “Bagi Ira masa 30 minit okey!” beritahu Zahira. Dia terus masuk ke dalam biliknya.

            Selepas tiga puluh minit, Zahira masuk semula ke dapur.

            “Kak Rifa, hari ini kita minum air laici. Boleh kan?” tanya Zahira.

            “Asalkan air, akak minum saja,” jawab Darifa. Dia tersenyum lagi. Wajahnya tak pernah lekang dengan senyuman.

            “Kak Fifa, betul ke tak nak ikut Ira balik kampung? Jomlah raya sama-sama. Lagipun abang dengan kakak, dia orang balik raya rumah mentua masing-masing. Tahun ini, Ira raya dengan mak ayah saja. Jomlah! Lagi seminggu kan nak raya! Takkanlah Kak Rifa nak raya seorang diri lagi tahun ini,” pujuk Zahira lagi. Ini kali ketiga dia memujuk Darifa pulang berhari raya bersama keluarga di Ipoh. Dia kasihan apabila setiap tahun Darifa akan berhari raya seorang diri di sini. Mula-mula menyewa di rumah Darifa, dia tak tahu yang Darifa anak yatim piatu. Sejak kecil lagi Darifa dibesarkan di rumah anak-anak yatim.

            “Akak dah biasa beraya seorang diri. Tak ada masalah. Janganlah risau,” jawab Darifa. Berhari raya seorang diri bukanlah perkara baru bagi dia. Dia sudah biasa. Kalau dulu, tiap kali hari raya, dia akan pulang ke rumah anak-anak yatim yang dia pernah tinggal selama 18 tahun. Dia akan menyambut hari raya di sana bersama-sama dengan ibu angkatnya yang merupakan pengetua rumah anak-anak yatim itu. Tetapi sudah 6 tahun rumah anak-anak yatim itu ditutup selepas ibu angkatnya, Umi Kalsom meninggal dunia kerana serangan jantung. Pemergian wanita yang sudah dianggap seperti ibu kandung sendiri memberi kesan mendalam dalam lubuk hatinya. Dia hilang tempat bergantung dan juga teman yang sentiasa berkongsi kisah suka duka hidup dia. Memang sedih dan pedih hati ini namun dia reda. Dia bersyukur sangat-sangat ditemukan dengan wanita yang baik dan berhati mulia seperti Umi Kalsom. Sampai ke akhir nyawa, dia takkan lupakan budi baik dan jasa Umi Kalsom membesarkan dia. Setiap kali sembahyang, dia selalu berdoa untuk ibu angkatnya itu.

            “Macam mana tak risau! Satu taman ni mana ada orang tiap kali raya! Bahaya Kak Rifa duduk seorang diri. Kak Tina pun balik raya kat rumah famili suami dia kat Pahang,” kata Zahira.

            “Bahaya apanya! Semua pintu tingkap, akak kunci. Rumah ini ada CCTV depan belakang. Selamat! Dah enam tahun akak raya seorang diri. No problemlah!” Darifa faham niat baik Zahira. Dia lebih selesa beraya seorang diri. Memanglah sedih tetapi dia terima nasib dirinya yang sebatang kara. Iyalah, semua orang menyambut hari raya dengan keluarga masing-masing.

            Zahira terus mengeluh.

            “Terima kasih sebab pelawa akak. Don’t worry about me, okey! Ala hari raya ketiga, Ira dah balik sini kan!” tambah Darifa lagi. Masih lagi tersenyum. Dia tak mahu Zahira risau memikirkan pasal dia.

 

Bab 2

 

ZAHIRA TAK berhenti-henti berceloteh di dalam perut kereta milik Afiz. Dalam masa yang sama, dia gembira dengan kedatangan tunangnya. Sepanjang bulan Ramadan, baru hari ini mereka dapat berjumpa. Masing-masing sibuk dengan kerja. Dia di Melaka manakala Afiz pula di Kuala Lumpur.

            “I bukannya apa, I tak sampai hati nak biar Kak Rifa beraya seorang diri. Semua orang beraya dengan mak ayah, adik-beradik dan suami. Ada kampung halaman nak balik tapi Kak Rifa …” kata Zahira dalam masa yang sama mengeluh.

            “Masa mula-mula pindah, I tak tahu pun Kak Rifa anak yatim piatu. Memang pelik masa tu sebab Kak Rifa tak pernah cerita pun pasal keluarga dia. Kat rumah pun, satu gambar famili pun tak ada. I ingatkan Kak Rifa tak rapat dengan keluarga dia. Sebab itu, I tak tanya! Takut nanti Kak Rifa terasa.  Raya ke-4, I balik Melaka. I tanyalah, raya kat kampung macam mana? Kak Rifa terus tersenyum dan jawab raya kat sini. Lepas tu baru Kak Rifa cerita yang dia anak yatim piatu. Masa tu jugak I menangis. Menyesal I tak tanya hari itu. So tahun ni, I cadang nak bawa Kak Rifa raya sama-sama kat kampung. Tapi Kak Rifa tetap nak raya kat sini,” cerita Zahira pada tunangnya.

            “Mungkin Kak Rifa selesa berhari raya kat rumah sendiri kot!” Afiz yang sedang memandu bersuara.

            “Betul cakap you tu tapi sampai bila Kak Rifa nak raya seorang diri?”

            I tengok Kak Rifa tu jenis independent. Mungkin disebabkan selama ini dia hidup seorang diri, dia tak bergantung hidup dengan sesiapa pun. Bila dia sedih ke, bila dia gembira ke, bila dia susah ke, bila dia senang ke, dia tak ada orang nak share semua tu!” kata Afiz. Sudah beberapa kali dia jumpa dengan Darifa, orangnya tinggi lampai dan berkulit kuning langsat. Peramah dan sering tersenyum malah Zahira cepat rapat dengan Darifa walaupun baru kenal. Dia bersyukur sebab tunangnya mempunyai tuan rumah yang baik seperti Darifa. Sekurang-kurangnya dia tak bimbang mengingatkan Zahira seorang diri di Melaka.

            “Sedihnya bila you cakap macam tu! Rasa macam nak menangis! Kalaulah I di tempat Kak Rifa …” kata Zahira dengan nada sedih. Dia tak dapat membayangkan jika itu berlaku.

            “Apa kata you minta tolong mak you? Kalau mak you ajak, mesti Kak Rifa serba salah nak tolak.” Tiba-tiba Afiz mendapat idea.

            “Ya tak ya jugak! Bijak jugak tunang I ni.” Zahira menoleh melihat Afiz yang ada di sebelahnya. Senyuman meleret. Nanti dia akan suruh ibunya hubungi Darifa.

            “You ada tak saudara mara lelaki yang sebaya Kak Rifa yang masih single?” kata Zahira secara tiba-tiba.

            “Buat apa? You nak kenalkan dengan Kak Rifa ke? Rasa-rasa tak ada. Sepupu I kan ramai perempuan.”

            “Kawan-kawan ke? Kawan ofis ke?” tanya Zahira lagi.

            “Kawan-kawan I semuanya dah kahwin! I seorang saja tak kahwin lagi. Kawan ofis pulak, rasanya tak ada yang sesuai dengan Kak Rifa. Hmm… Abang sepupu you, Abang Lut single lagi kan?” tanya Afiz.

            Zahira mengeluh perlahan.

            “Memang Abang Lut single lagi tapi rasanya tak sesuai dengan Kak Rifa. Bukannya apa, Abang Luf tu…” Zahira mengeluh sekali lagi. Rasanya sepupunya itu tak termasuk dalam senarai dia.

            “Kenapa? Abang Lut still tak dapat lupa bekas tunang dia ke? Bukan ke Erin tu dah kahwin? Ada anak seorang?” soal Afiz bertubi-tubi. Wajah nampak terkejut.

            “Dah tiga tahun tapi Abang Lut masih tak dapat lupakan Erin tu! Apa yang special sangat Erin tu, I pun tak tahu. Muka cantik tapi kalau jenis tak setia, tak guna jugak! Abang Lut sanggup pergi New York semata-mata nak pujuk Erin balik walaupun dah tahu Erin tu dah ada lelaki lain. I rasa bengang sangat-sangat bila I ingat tu. Perempuan curang macam tu pun, Abang Lut tetap nak jugak. Macamlah tak ada perempuan lain kat Malaysia ni!” Zahira kurang senang setiap kali nama Erina diungkit. Dia masih belum dapat memaafkan Erina walaupun dulunya mereka berdua berkawan baik.

            “Okey! Stop talking about this topic! Kita dah sampai. You cakap tadi you nak beli apa?” Afiz segera menukar topik perbualan. Isu mengenai Erina memang sensitif. Terus saja mood tunangnya berubah. Kereta Honda CRV membelok masuk ke Dataran Pahlawan Melaka Megamall.

            Zahira diam membisu.

 

 

 

Bab 3

 

            PAGI Ahad, Darifa sibuk menyiapkan kuih raya. Tinggal beberapa hari lagi bulan Ramadan akan berakhir. Hari ini dia hendak membuat biskut cornflakes. Beberapa hari yang lepas, dia sudah menyiapkan biskut Mazola, biskut sarang semut, tart nenas gulung dan cornflakes madu untuk hari raya nanti. Kuih raya ni dia akan bagi pada Zahira untuk dibawa pulang ke kampung. Dekat Kak Tina pun sama. Lagipun dia seorang saja beraya kat rumah, takkan habis makan kuih raya yang dia buat ini.

            “Buat kuih raya lagi?” Zahira menegur sebaik saja keluar dari bilik tidurnya. Dia melihat Darifa yang sudah berada di dapur seawal begini.

            “Ini last kuih raya akak buat. Nanti Ira bawa balik kampung ya. Akak buat banyak,” jawab Darifa. Tangannya pantas menceduk adunan menjadi ketulan kecil dan disalutkan pula dengan cornflakes yang telah diramas kasar. Kemudian dia terus letak di dulang pembakar. Diulang beberapa kali sehingga adunan habis.

            Mata Zahira bergerak ke arah rak almari. Dia melihat pelbagai balang kuih raya tersusun di situ. Zahira mengeluh perlahan. Dia memang tak sampai hati nak biar Darifa beraya seorang diri. Mesti sedih teramat sangat beraya seorang diri. Kalau dia lah, dengar takbir raya, mesti meleleh air mata ini. Dia terus duduk bersila di lantai dapur.

            “Kak Rifa! Nak tanya sikit, sebelum ini Kak Rifa ada boyfriend tak?” tanya Zahira. Wajah begitu serius. 

            Tangan Darifa terus berhenti dan memandang tepat wajah Zahira yang duduk di hadapannya.

            Curious nak tahu ke?” soal Darifa pula.

            Zahira mengangguk kepala dengan laju, teruja nak tahu.

            “Panjang ceritanya,” ujar Darifa.

            “Panjang mana pun, Ira sanggup dengar. Cerita lah, Kak Rifa!” Zahira merengek nak tahu.

            Hmm… Kiranya ini first love akak lah. Masa akak sekolah kat MRSM, akak ada suka kat budak lelaki ni. Kami satu kelas. Dialah orang yang paling rapat dengan akak. Orangnya baik, handsome, peramah, caring! Dahlah pandai, dia aktif bersukan! Peminat perempuan dah tentulah ramai. Sebab dia terlalu baik sangat kat akak, perasaan ni dah mula rasa lain. Akak rasa dia sukakan akak. Dalam masa yang sama akak pun sukakan dia.  Jadi satu hari akak plan nak luahkan perasaan ini. Kebetulan hari lahir dia dah nak dekat. Akak belilah hadiah kat dia. Masa akak nak bagi hadiah tu kat dia, akak terdengar perbualan dia dengan kawan baik dia.” Darifa berhenti bercerita beberapa saat dan memandang Zahira. Dia tersenyum kelat.

            “Dia cakap dia kawan dengan akak sebab kasihan. Maklumlah akak ni anak yatim piatu. Tak ramai kawan pulak. Bila kawan dia usik yang dia sukakan akak, dia terus melenting. Dia cakap akak ni tak sesuai dengan dia. Beza kami macam langit dan bumi. Mustahillah dia sukakan anak yatim piatu yang tak ada mak ayah macam akak ini. Famili dia mesti tak suka,” tambah Darifa lagi. Ketika itu memang dia rasa dirinya kecil sangat-sangat.

            Kedua-dua tangan Zahira dikepal rapat selepas mendengar cerita Darifa. Rasa panas hati.

            “Dia dengan kawan dia terkejut bila sedar yang akak ada di situ. Akak pun terus tak jadi bagi hadiah tu. Semalaman akak menangis. Maklumlah first love! Selepas itu memang akak tak pedulikan dia langsung. Akak focus study saja, maklumlah lagi beberapa bulan nak SPM.”

            “Budak lelaki tu tak minta maaf kat akak ke?” Akhirnya Zahira membuka mulut.

            “Tak. Dia nampak akak saja, dia mengelak. Maklumlah… dah buat salah. Selama tu dia hanya berpura-pura baik dengan akak. Selepas tu, akak dapat tahu dia bercinta dengan budak kelas sebelah. Mereka berdua tu memang secocok. Yang penting, setaraf. Tapi bila akak fikirkan balik, kami masa tu umur 17 tahun, tak hairanlah kalau dia berfikiran sama macam orang lain. Hakikatnya akak ni sebatang kara,” ujar Darifa. Ada nada sayu. Memang ketika itu, dia sedih. Maklumlah pertama kali dia mula sayangkan seseorang. Apa boleh buat, siapa boleh menidakkan cinta monyet! Mainan emosi yang akan singgah di minda remaja. Dia turut sama mengalaminya.

            Zahira mengemam bibirnya. Mulalah hatinya diselubungi dengan awan hitam.

            Next! Ini kisah cinta akak masa study kat USM Penang. Dia senior akak. Orangnya manis dan peramah. Ringan tulang dan selalu tolong akak sepanjang akak belajar. Dia tahu akak anak yatim piatu. Dia tak kisah pun dan terima akak seadanya. Hubungan kami bertahan dua tahun saja.”

            “Kenapa?”

            “Sebab famili dia tak suka akak. Alasan dia orang, akak ni tak ada mak ayah. Asal usul pun tak jelas. Kami break up demi kebaikan diri masing-masing.” Sekali lagi, Darifa tersenyum kelat. Walaupun pahit rasanya, dia terima jika jodoh dia tak ada.

            “Kalau betul-betullah dia ikhlas cintakan Kak Fifa, dia akan fight sampai famili dia terima akak. Ini tak, belum apa-apa lagi dah mengalah.” Zahira bersuara. Dia memang tak puas hati.

            “Akak faham kedudukan dia. Dia anak tunggal. Keutamaan dia semestinya ibu bapa dia. Kami berpisah dengan cara yang baik. Dah tak ada jodoh kami,” tambah Darifa dengan tenang.

            “Lepas habis belajar, akak tak contact dia ke?”

            “Tak. Dia dah kahwin pun dengan wanita pilihan famili dia. Dah ada anak seorang.” Darifa memandang Zahira.

            Zahira mengeluh perlahan.

            “Selepas tu…” Zahira ingin tahu lagi kisah cinta Darifa.

            “Selepas tu habislah. The end! Akak single sampai sekarang. Akak happy dengan hidup akak. Ada rumah sendiri, ada kereta sendiri! Akak suka dengan kerja akak sekarang ni,” jawab Darifa. Sambil bercerita pasal kisah hidupnya, tangannya ligat menggentel adunan biskut. Sekejap saja adunan bancuhan tadi sudah habis.

            “Akak tak nak kahwin ke? Hidup ada suami dan anak-anak?” tanya Zahira lagi.

            “Kahwin? Siapa tak nak kahwin? Siapa tak nak ada keluarga? Ada suami dan anak-anak. Impian akak nak ada keluarga ramai. Biar riuh rendah rumah ni. Bila akak masak, ada orang nak makan. Kalau boleh, meja makan ni biar penuh dengan makanan.” Darifa tersenyum lebar menceritakan impian dia sejak kecil lagi. Selama ini dia hidup seorang diri, rasa sunyi dan jiwanya kosong.

            “Tapi akak sedar kekurangan diri akak, Ira. Siapalah nak terima akak ni jadi menantu dia orang. Siapa mak ayah akak pun, akak tak tahu. Umur akak baru 5 bulan masa AJK masjid jumpa akak. Hanya tinggal surat dan rantai tangan ni saja. Selebihnya akak memang tak tahu. Dalam surat itu, hanya tulis nama akak dan tarikh lahir akak saja,” cerita Darifa lagi. Dia menunjukkan rantai tangan yang dipakainya di tangan kanannya. Arwah ibu angkatnya memberikan rantai tangan itu kepadanya pada sambutan harijadinya yang ke-16. Disertakan juga surat yang ada bersamanya di saat dia dijumpai. Hanya tertulis nama dan hari kelahiran. Itu saja.

            “Akak pernah tak terfikir nak cari keluarga akak?” soal Zahira.

            “Pernah tapi buat apa akak nak cari mereka sedangkan mereka yang buang akak dari hidup mereka? Kalau mereka betul-betul sayangkan akak, mereka takkan buat akak macam ni,” jawab Darifa dengan nada sedih di hujungnya. Masa kecil dulu, dia pernah terfikir kenapa ibu bapanya buang dia. Kenapa dia tak ada ibu bapa macam orang lain? Benci sangat ke kat dia sehingga sanggup buang dia di luar masjid? Tiap kali dia berfikir begitu, hati ini terlalu sedih. Mulalah menangis tak henti-henti. Setelah dia meningkat dewasa, dia membuang semua tu jauh-jauh. Dia focus pada dirinya. Dia berjanji untuk belajar bersungguh-sungguh demi masa depannya sendiri. Tiada siapa dapat membantu melainkan dirinya sendiri.

            Zahira terdiam. Kata-kata Darifa ada benarnya. Kenapa pula kita nak terhegeh-hegeh mencari sedangkan dia orang yang buang kita? Dia memahami apa yang bermain di fikiran Darifa.

            Tiba-tiba telefon pintar Zahira berbunyi. Dia segera menjawab. Sejak dari tadi dia memang menanti panggilan ini. Penting! Kerana terlalu khusyuk mendengar cerita Darifa, dia terus terlupa.

            “Helo! Waalaikumussalam, mak! Sihat. Ada! Kak Rifa tengah buat kuih raya. Nak cakap dengan Kak Rifa? Boleh… Sekejap ya!” Zahira melirik matanya pada Darifa. Dihulurkan telefon pintarnya pada Darifa.

            Darifa segera bangun dan berjalan ke singki. Dibasuh tangannya kemudian dilap pada tuala kecil di dapur. Dia terus mengambil telefon pintar itu dari tangan Zahira.

            Waalaikumussalam, Mak Munah. Dah nak habis buat kuih raya, tinggal bakar saja. Mak Munah sihat? Saya pun sihat, alhamdullilah. Hmm… Ya, baiklah Mak Munah. Saya balik dengan Ira nanti. Kirim salam kat Pak Udin,” jawab Darifa. Zahira hanya mendengar perbualan Darifa dengan ibunya. Sebaik saja panggilan ditamatkan, pandangan Darifa beralih arah pada Zahira. Ini mesti kerja Zahira.

            “Mak nak sangat Kak Rifa ikut Ira balik. Lagipun raya kat kampung Ira best tau! Bila lagi Kak Rifa nak rasa feeling balik kampung? Ala… Melaka dengan Ipoh, 4 jam lebih saja. Apa-apa pun Kak Rifa dah setuju dengan mak, tak baik tau mungkir janji time puasa ni,” pujuk Zahira. Dia gembira kerana plan dia berjaya. Akhirnya Darifa setuju beraya bersama keluarganya di kampung.

            Darifa terdiam. Dirinya masih berbelah bahagi. Lagipun dia sudah biasa beraya seorang diri di rumah ini. Dia akui rumah ini adalah comfort zone bagi dirinya.

            “Kak Rifa, kita balik kampung 4 hari saja. Raya ke-3, kita dah balik,” beritahu Zahira.

            Hmm… Yalah!” Darifa tersenyum. Betul jugak apa Zahira cakapkan tadi, bila lagi dia nak rasa suasana balik kampung? Suasana malam raya? Setiap ahli keluarga mesti sibuk dengan tugas masing-masing. Dia hanya dapat lihat semua itu di skrin TV saja. Dia sepatutnya berterima kasih pada Zahira sekeluarga kerana mempelawanya berhari raya dengan mereka.

            “Okey! Esok, Kak Rifa jangan masak tau. Kita buka puasa kat luar. Ira belanja. Kita makan makanan Thai. Ira dah booking restoran tu. Ingat… esok Kak Rifa cuti masak. So ada apa lagi yang Ira boleh tolong?”

            “Tak ada apa-apa. Dah nak siap pun. Tinggal bakar saja kat oven,” jawab Darifa. Dia bagi telefon milik Zahira semula. Kemudian dia melihat ke arah oven yang sudah dipanaskan. Dulang pembakar diangkat dan dimasukkan ke dalam oven.

            Zahira membantu Darifa mengemas seraya menunggu biskut cornflakes masak.

              

Bab 4

 

 

DARIFA BERLALU keluar dari tandas perempuan restoran itu. Rasa lega selepas membuang air. Tak sangka restoran yang Zahira bawa, makanannya sedap-sedap belaka.

            Langkah diatur ke meja. Darifa melihat Zahira sedang bercakap dengan seorang lelaki. Oleh kerana lelaki itu membelakangi Darifa, sukar untuk dia mengenal pasti siapa orangnya.

            Sejurus lelaki itu beredar keluar dari restoran itu, Darifa mempercepatkan langkah menghampiri Zahira.

            “Siapa tu? Kawan Ira ke?” tanya Darifa.

            “Itu sepupu Ira. Tak tahu pulak yang dia ada projek kat Melaka,” jawab Zahira. Terkejut tadi apabila ditegur abang sepupunya. Fresh orange dalam gelas diminum sehingga habis.

            “Oh…” Darifa tarik pinggan berisi buah epal di hadapannya dan diambil sepotong lalu disuap ke mulut. Manis!

            “Pelik! Memang pelik!” Zahira bersuara.

            “Apa yang peliknya?” Darifa menoleh.

            “Dulu dia kerja kat KL, sekarang ni dia kerja kat JB. Kebetulan syarikat baru dia tu ada projek kat Melaka. Projek tu dua tahun baru habis,” cerita Zahira.

            “Apa yang peliknya?” Dahi Darifa berkerut. Tak ada salahnya kalau tukar tempat kerja. Selalunya sebab nak tukar angin, nak cari pengalaman baru, kadang-kala sebab nak gaji lebih lagi. Bagi dia, memang perkara normal kalau tukar tempat kerja.

            “Begini! Abang sepupu Ira ni dulunya ada tunang. Dia orang dah nak kahwin tapi tunang dia tiba-tiba kahwin dengan orang lain kat New York. Abang sepupu Ira dah macam orang gila lepas dapat tahu pasal hal ini. Dia tak dapat terima yang tunang kesayangan dia dah kahwin. Sanggup pergi New York semata-mata nak pujuk tunang dia terima dia semula. Sepatutnya dia maki hamun tunang dia tu, terbaliklah pulak. Yang buat kami semua geram, mereka berdua jalin hubungan balik tanpa pengetahuan sesiapa pun sedangkan ex-tunang dia tu masih isteri orang. Dah setahun mereka berdua berbaik. Ira dapat tahu pun baru-baru ini. Itu pun bff Ira yang beritahu. Kalau tak, Ira tak tahu menahu langsung.” Air muka Zahira bertukar merah apabila menceritakan kisah abang sepupunya itu. Nasihat dan teguran tak diendahkan langsung sehinggakan Mak Long dan Pak Long dah malas nak ambil tahu.

            “Maksud Ira, abang sepupu Ira tu ada hubungan dengan isteri orang?” soal Darifa. Wajah jelas terkejut. Tangan kanan diletakkan pada mulutnya.

            “Ya! Cinta punya pasal! Terus lupa halal haram! Yang buat kami semua sakit hati, abang sepupu Ira tu tetap anggap dirinya tak salah. Geram betul!” cerita Zahira lagi seraya menyisir rambutnya yang menutupi sebelah wajahnya.

            “Habis tu, kenapa Ira pelik bila abang sepupu Ira tu tukar kerja kat JB?” tanya Darifa.

            Ex-tunang dia tu dah balik Malaysia tahun lepas dan menetap kat KL. Sejak itu mereka berdua kerap berhubung dan berjumpa. Dah macam belangkas mereka berdua tu. Bila tadi abang sepupu Ira cakap dia kerja kat JB sekarang ni, Ira rasa pelik. Boleh ke berjauhan dengan ex-tunang dia tu?”  Bibir Zahira terus senget.

            “Sayang dan cinta itu kadang-kadang buat orang buta,” kata Darifa.

            “Tetapi kena ada hadnya, Kak Rifa! Otak ni kena fikir jugak, baik buruk sesuatu perkara tu. Jangan ikutkan hati dan perasaan sangat. Kena fikir jugak orang sekeliling kita ni. Sikap pentingkan diri sendiri hanya akan mengundang musibah satu hari nanti,” tegas Zahira. Awal-awal lagi dialah orang pertama yang membangkang hubungan abang sepupunya dan Erina. Persahabatan dia dan Erina terus putus kerana kecurangan Erina.

            “Suami ex-tunang abang sepupu Ira, tahu tak pasal hubungan dia orang ni?”

            “Dah tentu tak tahu! Kalau tahu, dah lama abang sepupu Ira tu kena belasah. Okeylah, stop cakap pasal dia orang. Tambah stres saja. Jom, Kak Rifa! Baik kita gerak sekarang, nanti kita singgah kat masjid sembahyang maghrib dengan tarawih sekali. Surau kat restoran ni dah penuh. Takut tak sempat kita nak sembahyang,” kata Zahira. Dia terus bangun.

            Darifa turut sama bangun. Kerana begitu asyik mendengar cerita abang sepupu Zahira, boleh pulak dia terlupa pasal solat. Dia segera bergegas mengekori Zahira yang sudah mula melangkah keluar dari restoran itu.



 

Bab 5

 

 

            HARI ini Darifa menyiapkan baju rayanya. Hanya tinggal nak jahit butang saja. Setiap kali hari raya, dia menjahit baju raya sendiri. Setakat baju kurung biasa, dia memang tiada masalah nak menjahit. Lagipun baju kurung yang dipakainya hari-hari ke sekolah, semuanya dijahit sendiri.

            Kedengaran ada orang memberi salam.

            Darifa bergegas bangun dari kerusi dan melihat ke arah tingkap. Tertanya-tanya siapa yang datang pada petang ini. Ada seorang wanita memakai dress berwarna ungu berdiri di luar pagar rumahnya.

            Tudung segera dicapai, Darifa bergegas keluar seraya membetulkan tudung bawal yang disarungkan di kepalanya. Dia membuka pintu dan mendekati wanita berambut panjang melepasi bahu itu.

            Waalaikumussalam. Ya, cik cari siapa?” tanya Darifa. Dia memang tak kenal dengan wanita ini. Cari orang ke cari rumah?

            “I nak cari Zahira Fairuz. Dia ada tak?” tanya wanita itu.

            “Oh… cari Ira rupanya. Sepatutnya time begini Ira dah balik. Ada call Ira tak?” Giliran Darifa pula menyoal. Yang pelik tu, Zahira tak ada beritahu pun yang ada kawan nak datang.

            Wanita itu terdiam.

            Darifa mula rasa pelik. Renungan mata masih pada wanita itu.

            Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta, Darifa melihat ke arah kereta Toyota Vios milik Zahira yang berhenti di belakang kereta Honda Civic milik Erina.

            “Tu, Ira dah balik!” beritahu Darifa. Dia tersenyum. Tepat pada masanya Zahira balik.

            Zahira keluar dari perut keretanya dengan wajah bengang. Dihempas pintu kereta dengan kuat.

            Darifa mula rasa pelik dengan reaksi yang ditunjukkan Zahira.

            “Erin! Apa you buat kat sini? Macam mana you tahu rumah I?” marah Zahira saat menghampiri Erina.

            Darifa terkejut apabila mendengar nama itu. Dia menoleh ke wanita yang berdiri di hadapannya ketika ini. Ini ke Erina? Ex-tunang abang sepupu Zahira!

            “Juju beritahu I,” jawab Erina.

            Zahira mendengus kuat. Tak guna punya Juju! Tunggulah nasib Juju selepas ini. Dia, Erina dan Juju merupakan sahabat baik di bangku sekolah lagi.

            “Ira, you jangan marahkan Juju pulak. I yang merayu kat Juju supaya bagi alamat rumah you kat Melaka. I terdesak sekarang ni. Dah sebulan I tak dapat contact Lut. I pergi rumah dia tapi rumahnya kosong. Bila I pergi ofis dia, dia orang cakap Lut dah berhenti kerja. Ira, you rapat dengan Lut, kan? You mesti tahu mana Lut sekarang ni…” Erina merayu. Dia mengharapkan Zahira tahu di mana Lutfan berada.

            “Rapat? Itu dulu! You tahu hubungan I dengan Abang Lut renggang sebab you. You dah lupa ke? You rasa I tahu ke kat mana Abang Lut sekarang ini? Kalau I tahu pun, I takkan beritahu you. Memang patut pun you berdua break up!” marah Zahira. Dalam masa yang sama, dia merahsiakan di mana abang sepupunya berada dari pengetahuan Erina

            “Ira!” Erina terkejut apabila Zahira bercakap sebegitu.

            Err… Ira, akak rasa baik berbincang kat dalam rumah. Apa kata jiran-jiran nanti…” Darifa bersuara. Dia bimbang jika jiran-jiran di sekeliling rumah melihat apa yang berlaku.

            Zahira terdiam beberapa saat dan terus membuka pintu pagar. Dia menonong masuk ke dalam rumah tanpa mempedulikan Erina.

            “Jemputlah masuk!” kata Darifa pada Erina.

            Erina hanya mampu tersenyum kelat pada Darifa. Dia berjalan masuk ke dalam rumah.

            Selepas melihat mereka berdua masuk, Darifa mengeluh perlahan. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Bimbang jika ada jiran-jiran dia menyaksikan apa yang berlaku. Maklumlah waktu petang begini ramai yang baru balik bekerja. Dalam masa yang sama, dia melihat ke arah rumahnya. Mesti dah nak start perang dunia kat dalam tu!

 

 

DI RUANG tamu, Zahira mencekak pinggang seraya berdiri merenung Erina yang sudah duduk di sofa. Dia melihat Darifa yang baru masuk dan terus berjalan masuk ke dalam bilik. Dia tahu Darifa memberi ruang untuk dia dan Erina bercakap.

            Pandangan mata Zahira kembali ke arah Erina.

            “Dah berpisah, kenapa nak cari Abang Lut lagi? Memang patut pun korang berpisah. Ini demi kebaikan kedua-dua pihak.” Zahira bersuara.

            But I still love him, Ira!” jawab Erina.

            Love? Erin, you tu dah ada suami. Dah lupa ke? Fikir suami dan anak you tu! You kena ingat balik… you yang curang dulu. You kahwin dengan Ilham walaupun masa tu you masih tunang Abang Lut. I tak sangka tergamak you buat macam tu kat Abang Lut. Kalau I tahulah begini jadinya, I takkan kenalkan you dengan Abang Lut. I menyesal sangat-sangat. I malu ada kawan macam you. Kononnya pergi New York nak sambung study tapi rupa-rupanya ada jantan lain tengah tunggu kat sana.” Zahira mengungkit semula apa yang berlaku tiga tahun yang lalu.

            “I mengaku silap I, Ira,” kata Erina dengan suara perlahan. Mata terus redup.

            “Tahu diri tu silap tapi kenapa you hubungi Abang Lut selepas balik Malaysia? Hubungan you dan Abang Lut dah berakhir tiga tahun lepas.”

            “I masih sayang dan cintakan Lut.”

            “Cinta? Sayang? Memang I tak faham. Bukan ke cinta dan sayang tu patut dekat suami you, Ilham? You tamak, Erin! Sana nak, sini pun nak! Ingat sikit, you tu perempuan bukannya lelaki. Kalau lelaki bolehlah kahwin sampai empat!”

            “Ira, I datang sini nak cari Lut bukannya nak dengar sindiran you! I yakin Lut akan cari I balik cuma sekarang ni mesti dia tengah marah lagi sebab I tak setuju dengan plan dia.” Wajah Erina semakin merah. Dia ada hal lebih penting lagi dari mendengar sindiran Zahira.

            Plan apa?” Dahi Zahira berkerut.

            “Lut nak I minta cerai kat Ilham dan kahwin dengan dia,” jawab Erina. Fikirannya kusut. Hatinya berbelah bahagi.

            “Apa? Abang Lut ni dah gila ke? Hilang akal? You pun sama! Sama-sama gila! Ini salah you sebab bagi harapan kat Abang Lut. Semua ni takkan jadi kalau you tak cari Abang Lut semula.” Suara Zahira terus tinggi kerana terkejut. Tak sangka sampai begitu sekali perangai abang sepupunya itu sehingga sanggup nak meruntuhkan rumah tangga orang.

            “Sekarang, I nak you keluar dari sini. I malas nak ambil tahu pasal you berdua. You berdua nak buat apa pun, buatlah! I don’t want to know anymore. Now, get out!” tambah Zahira lagi. Semakin Erina ada di depan mata, semakin dia hilang sabar. Tangan Erina ditarik supaya bangun.

            “Tapi… tapi… Lut …” Erina terpinga-pinga apabila tubuhnya ditolak sehingga ke pintu.

            “I tak nak tahu pasal you berdua lagi, faham! Lepas ni, jangan contact I lagi,” kata Zahira sebelum menghempas pintu rumah dengan kuat. Dia mengurut dada berulang kali. Kemarahan yang membara cuba ditenangkan. Nafas dihembus keluar berkali-kali.

            “Gila! Mereka berdua ni memang dah gila.”  Zahira bercakap seorang diri.  Kemudian dia melihat ke luar tingkap, kereta milik Erina sudah bergerak pergi. Lega rasa apabila Erina sudah balik. Mulut ni asyik nak mengeluarkan perkataan yang tak sepatutnya. Mujurlah dia ingat yang hari ini dia berpuasa. Kalau tak, memang berdarah telinga Erina mendengar kata-kata berapi darinya.




 

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...