Sunday, June 21, 2020

Duniaku Ada Kamu - Bab 3


Bab 3

            Mariam tersenyum melihat mangkuk bubur ayam yang licin. Dia berasa syukur sebab kesihatan ibunya semakin baik. Diberikan gelas air masak pula. Dia betulkan posisi duduknya di sebelah Puan Hidayah.

            Puan Hidayah tersenyum dan minum sehingga habis. Dihulurkan gelas itu semula pada Mariam. “Terima kasih!” ucap Puan Hidayah dengan senyuman lebar. Pandangan matanya tepat pada jari manis Mariam.

            “Cincin mana?” soal Puan Hidayah. Dia hairan melihat cincin pertunangan semalam tiada di jari manis Mariam.

            “Mak, puas semalaman saya fikir. Saya tak setuju dengan pertunangan ni. Terlalu terburu-buru. Omar pun tak setuju. Lagipun saya tak nak bergaduh dengan Husna. Saya tak nak Husna cakap yang saya rampas Omar dari dia.” Kata Mariam. Lagipun semalam Omar ada telefon dan merayu agar pertunangan ini dibatalkan.

            Puan Hidayah capai tangan Mariam dan diusap perlahan-lahan. Dilihat wajah wanita yang begitu manis bertudung litup itu. Sejak kecil lagi, Mariam selalu beralah dengan Husna. Apa saja yang Husna buat, Mariam diamkan saja. Mariam selalu pentingkan Husna dari segala-galanya namun Husna tak pernah nampak semua itu. Dia sendiri tak tahu kenapa Husna begitu bencikan Mariam sedangkan dia dan arwah suaminya sayangkan semua anak-anaknya dan Mariam sama rata. Tiada pilih kasih pun.

            “Mariam! Mak tak pernah minta apa-apa selama ini dari Mariam kan! Sekarang ini cuma satu jer mak minta, mak nak Mariam setuju pertunangan ini.”

            “Tapi ……” Mariam serba salah jadinya.

            “Pasal Husna, Mariam ketepikan saja. Kalau betul Husna sayangkan Omar, dia takkan tinggalkan Omar.” kata Puan Hidayah. Setiap kali fikirkan Husna, rasa mendidih darah dalam badan ni. Perangai Husna sering kali menyusahkan semua orang.

            “Tapi mak, Husna dan Omar dah lama bercinta. Husna masih sayangkan Omar. Mungkin Husna tak bersedia nak berkahwin lagi.”

            Puan Hidayah mendengus. “ Kalaulah dia betul-betul sayang, dia takkan lari dengan lelaki lain. Husna tu anak mak. Mak masak dengan perangai Husna tu. Lelaki macam Omar tu tak sesuai dengan style hidup adik kamu tu, Mariam.”

            “Tapi mak , Omar cintakan Husna. Mustahil Omar akan cintakan saya.” Tambah Mariam lagi. Walaupun dia cintakan Omar tapi dia tahu mustahil bagi dia untuk buat Omar cintakan dia.

            Tangan Mariam digenggam lembut. “ Mariam! Mak yakin satu hari nanti Omar akan cintakan Mariam. Anak mak ni baik orangnya. Lemah lembut! Penyayang! Rajin! Pandai memasak! Cantik pulak tu. Mustahil la Omar takkan jatuh cinta dengan Mariam.” Puan Hidayah tersenyum. Dia cuba yakinkan Mariam untuk setuju. “ Lagipun satu, Mariam tahukan mak, Auntie Nabila dan arwah mama Mariam kawan baik kan! Dah berpuluh-puluh tahun kami berkawan sejak zaman kami sekolah menengah lagi. Mak tak nak disebabkan Husna, hubungan persahabatan kami tu putus macam tu saja. Kalau boleh mak nak hubungan persahabatan kami kekal sampai bila-bila sebab itu mak harap sangat Mariam setuju dengan permintaan Auntie Nabila. Boleh kan?” Dipandang wajah Mariam dengan seribu harapan.

            Kata-kata Puan Hidayah buatkan Mariam terdiam. Dia terhutang budi dengan Puan Hidayah dan Tuan Salim. Kalau tak kerana mereka, pasti dia membesar di rumah anak-anak yatim. Puan Hidayah dan Tuan Salim besarkan dia seperti anak kandung sendiri. Sebab itu dia dah berjanji dengan diri sendiri selagi dia bernyawa dia akan balas jasa baik mereka berdua. Dia sanggup buat apa saja demi mereka berdua. Sekarang ni dah masuk 4 tahun, Tuan Salim meninggal dunia dan kini hanya tinggal Puan Hidayah seorang saja. Takkanlah dia tergamak nak tolak permintaan Puan Hidayah. Dipandang wajah Puan Hidayah yang sedang menanti jawapan darinya.

            “Baiklah, mak! Saya setuju.” Jawab Mariam.

            “Terima kasih, Mariam! Terima kasih banyak-banyak!” Dia terus peluk tubuh Mariam seerat-eratnya.

            Mariam cuba tersenyum. Digosok belakang badan Puan Hidayah dengan penuh kasih sayang. Dia berjanji dia takkan buat Puan Hidayah susah hati. Dia akan turut saja apa kemahuan Puan Hidayah.

                                                **************************

            Puan Nabila menoleh apabila pintu bilik tidurnya dibuka.  Dia sedang bersiap sedia untuk keluar berjumpa kawannya.

            “Ibu, we need to talk!” tegas Omar.

            Puan Nabila mengeluh. “Keputusan ibu muktamad dan takkan berubah. Kalau Husna balik pun, ibu takkan terima dia. Ibu takkan terima balik perempuan yang conteng arang di muka keluarga kita.” Wajah Puan Nabila serius.

            “Ibu, ini soal hati dan perasaan. Mustahil Omar akan kahwin dengan Mariam. Kami berdua hanya kawan baik saja.” Omar merayu. Wajahnya nampak berserabut sekarang ini. Fikirkan Husna yang sudah hilang entah ke mana lepas tu pertunangan dia dan Mariam pula. Boleh jadi gila kalau macam ni.

            “Omar! Belajarlah terima Mariam. Mariam tu budak baik. Pilihan seorang ibu tak pernah salah. Apa ibu buat ni demi kebaikan kamu jugak. Ibu nak lihat Omar bahagia hingga ke anak cucu.” Melihat keadaan anak bongsunya yang tak terurus itu,  Puan Nabila rasa kasihan dengan nasib yang menimpa Omar. Dipegang tangan Omar dengan lembut.  “Terimalah Mariam yer….” Pujuk Puan Nabila dengan lembut.

            “Ibu, Omar cintakan Husna. Omar nak kahwin dengan Husna. Kenapa Ibu susah sangat nak faham? Hidup Omar takkan gembira dan bahagia tanpa Husna!” Suara Omar terus tinggi.

            Kata-kata dari Omar buatkan Puan Nabila lepaskan tangan Omar dengan kuat. Wajah keibuan tadi terus bertukar bengis. 

            “Husna! Husna! Husna! Ibu dah muak dengar nama itu. Kamu ni dah kenapa, hah? Lepas apa Husna tu buat, kamu masih cintakan perempuan tak guna tu…”

            “Ibu!”

            “Perempuan macam tu hanya akan bawa masalah dalam hidup kamu, Omar. Tengok, baru nak bertunang dah buat perangai. Ini belum kahwin lagi, entah-entah masa nikah nanti pun dia lari jugak. Omar tak fikir ke semua tu? Tak serik-serik lagi ke? Setuju atau tak, kamu kena kahwin dengan Mariam jugak. Hujung tahun ni kamu berdua kena kahwin. Jangan jadi anak derhaka, Omar.” Puan Nabila memberi amran. Langkah terus dipercepatkan keluar. Bercakap dengan Omar hanya buat darahnya mendidih saja.

            Omar meraup wajahnya beberapa kali. Kemudian dia menjerit sekuat hati melepaskan rasa tak puas hati. Fikirannya benar-benar bercelaru.

                                                ***************************

            Mariam keluar dari biliknya. Pintu bilik ditutup rapat. Langkah diatur menuju ke tangga. Sudah pukul 11.30 pagi, dia perlu siapkan makan tengahhari. Mariam tersenyum apabila selisih dengan Puan Heliza.

            “Puaslah hati kau sekarang ni! Kau dah dapat apa kau nak kan….”

            Langkah Mariam terhenti dan menoleh pandang Puan Heliza.

            “Apa Mak Lang cakap ni?” tanya Mariam dengan wajah terpinga-pinga. Yang jelas wajah Puan Heliza nampak tak puas hati.

            “Kau tak payah la nak berlakon depan aku, Mariam! Dari dulu lagi kau memang nak sangat apa saja benda milik Husna kan! Sekarang kau dah bertunang dengan Omar, puaslah hati kau kan….” Marah Puan Heliza. Sejak mula-mula kakaknya ambil Mariam jadi anak angkat, dia memang tak sukakan Mariam. Alasan kakaknya nak ambil Mariam jadi anak angkat supaya Husna ada peneman tapi tengoklah apa yang dah jadi. Dia dah jangka semua ini akan terjadi. Kehadiran Mariam hanya porak perandakan keluarga kakaknya. Husna sering mengadu padanya apa Mariam telah buat sepanjang Mariam tinggal di situ.  Disebabkan Mariam, semua ahli keluarga Husna membenci Husna.

            “Mak Lang! Saya tak minta pun semua ni terjadi. Saya tak nak bertunang dengan Omar pun.” Jelas Mariam. Dirinya benar-benar tersepit. Dirinya juga mangsa keadaan.

            “Arghhhh….. Semua tu alasan. Hey, Mariam! Dengar sini baik-baik! Kau kena ingat, kau tu anak angkat. Kakak aku tu kutip kau sebab kasihan. Kalau tak kerana kakak aku, kau dah merempat kat rumah anak-anak yatim tu. Sedarlah diri tu sikit, sini bukan family kau pun. Kau kena ingat, kau tu menumpang rumah orang. Perangai tu jagalah sikit.  Muka tu memang tak tahu malu langsung. Tahu nak rampas hak orang saja.” Marah Puan Heliza. Dia terus berjalan tinggalkan Mariam dan masuk ke dalam bilik tetamu. Pintu bilik tetamu ditutup dengan kuat.

            Mariam mengetap bibirnya. Dia cuba menahan diri dari menangis tetapi butiran halus menitis membasahi pipi. Dengan segera dia lap air matanya. Ini bukanlah pertama kali dia dimarahi Puan Heliza. Sejak kecil lagi kalau Puan Heliza datang rumah, pasti dirinya akan dimarah dan dihina Puan Heliza. Dia sendiri tak tahu apa salahnya sedangkan dia tak pernah pun sakiti hati Puan Heliza.

            Kepala ditundukkan sedikit. Dilap air matanya sekali lagi. Ditarik nafas dan dihembus perlahan-lahan. Dia cuba tenangkan dirinya. Dia tak mahu orang tahu apa yang terjadi tadi lebih-lebih lagi mak ciknya, Harissa. Kalaulah Harissa tahu, pasti Harissa dan Puan Heliza bergaduh teruk. Dia tak nak itu semua berlaku lebih-lebih lagi suasana di rumah ini masih tegang selepas apa yang berlaku pada hari pertunangan Husna.

            Baru saja setapak melangkah, telefon pintarnya berbunyi. Ada mesej. Mariam terus buka dan baca.  Mesej dari Omar.

            Mariam, jumpa esok kat tempat biasa pukul 9 pagi.

            Keluhan kuat dilepaskan. Dia sudah tahu agenda Omar ingin berjumpa dengannya. Ini mesti pasal pertunangan mereka. Satu lagi hal yang buat otaknya berserabut. Serba salah jadinya. Dengan pantas jari-jemarinya membalas mesej Omar. Diteruskan langkahnya menuju ke dapur. Pasti Harissa sedang sibuk memasak di dapur.

           

Thursday, June 11, 2020

Calon Menantu Cikgu Hawa- Bab 5


Bab 5

            Talia masih menongkat dagunya sementara menunggu kedatangan Mona dan Meera. Sudah 10 minit dia menunggu kedatangan mereka.  Mereka bertiga sudah berjanji breakfast di Café kegemaran mereka di Cyberjaya. Cawan air berisi air latte tidak disentuhnya lagi.

            “Talia…. Sorry la, kami lambat. Susah nak dapat parking tadi.” Meera terus tepuk belakang Talia dengan perlahan.

            “Hmmm…..” kata Talia melihat langsung ke arah Meera dan Mona.

            Meera dan Mona berpandangan antara satu sama lain.  Rasa pelik dengan reaksi Talia. Mereka berdua terus tarik kerusi dan duduk.

            “ Kau dah kenapa? Ada masalah ke?” tanya Mona.

            Talia mengeluh. Dia tak tahu bagaimana nak mula bercerita.

            “Kau ingat dengan mengeluh, kami berdua tahu masalah kau ke?” kata Meera. “ Share la masalah kau tu….”

            “Korang tahu kan, nenek aku datang baru-baru ni. Rupa-rupanya nenek aku datang ada sebab. Nenek aku dah janji dengan kawan dia untuk jadikan aku calon cucu menantu kawan dia…. Dia tak tanya aku langsung, terus jer dia setuju.”

            “Handsome tak bakal suami kau? Ada gambar tak?” Meera mencelah.

            “Kau ni, Meera! Bagilah Talia habis cerita dulu.” Tegur  Mona.

            Meera tersengih. “Sorry….”

            “Kawan nenek aku ni nama dia Datin Maimun. Anak dia Cikgu Hawa ni nak cari menantu untuk anak sulung dia, Amir!  Sebenarnya Cikgu Hawa ni dah ada calon menantu pilihan sendiri tapi Datin Maimun dan mak mentua Cikgu Hawa ni tak setuju. Sebab mereka ada calon sendiri, so aku ni calon bagi pihak Datin Maimun.” Cerita Talia.

            Mona dan Meera begitu khusyuk mendengarnya.

            “ Jadinya Cikgu Hawa cadang dia nak jumpa semua calon-calon menantu anaknya. Seminggu aku kena stay kat Sg. Petani. Kebetulan mak ayah dan nenek aku pergi umrah kan masa tu.  Aku stay kat sana bukan untuk saja-saja, ada ujian kat sana. Contohnya ujian memasak la, ujian menjahit la…. Hmmm…. Macam-macam lagilah.  Yang akan jadi pengadil Cikgu Hawa, suami dia Cikgu Din dan adik Cikgu Hawa, Puan Aini. Final decision datangnya dari Amir.”

            “Weiii….. Dah macam nak masuk pertandingan la pulak!” Meera menyampuk.

            “Kannn…..” kata Talia. Masa dia dengar dari Tok Ma Midah, dia sendiri speechless.

            “ Aku dengar saja , aku dapat rasa akan jadi pertumpahan darah nanti masa hari tu. Mesti semua calon-calon berusaha apa saja nak dapatkan recognition dari Cikgu Hawa. ” Kata Mona.

            “ Mak ayah kau cakap apa pasal hal ni?” tanya Meera.

            “Dah tentu mereka bantah. Almost jugak mereka nak bergaduh dengan nenek aku . Mula-mula tu memang aku tak setuju sebab tu mak ayah aku turut sama tak setuju. Tapi korang kenal kan nenek aku macam mana, so better aku mengalah. So aku setuju, aku pujuk mak ayah aku dan mereka hormat keputusan aku. Lagipun terus-terang aku cakap, aku setuju sebab nak jaga hati  nenek aku. Dan aku tak berharap sangat pun dipilih, Cikgu Hawa tu mesti pilih menantu pilihan dia….”

            “ Ehhh…. Kau jangan ambil mudah dalam hal ni, kalau Cikgu Hawa tu tiba-tiba ubah fikiran dan pilih kau jadi isteri anak dia, macam mana? Kau jangan lupa final decision datang dari anak dia.” Kata Mona.

            “Betul tu! Kau tu ada rupa jugak. Sekali imbas orang tengok, muka kau seiras macam pelakon Thailand tu, Yaya Urassaya. Cuma kau tu kurang ketinggian sikit saja….”

            Mona ketawa apabila mendengarnya.

            “Kau ni Meera suka kutuk pasal ketinggian aku. Tinggi aku 156 cm tu, kira tinggi jugak tau….” Balas Talia. 

            “ Enough cakap pasal ketinggian sekarang ni, so apa plan kau masa pergi sana nanti. Apa-apa pun kau kena plan something, sebabnya tak mustahil kalau Cikga Hawa dan Amir tu pilih kau.” Kata Mona.

            “Wei… Korang jangan cakap macam tu. Aku dengar saja dah takut. Aku tak nak kahwin lagi. Aku ada impian . Banyak benda aku tak buat lagi.” Wajah Talia berubah takut. Dia tak pernah terfikir nak kahwin pun.

            “ Betul cakap, Mona tu! Kau tu pandai masak! Pandai menjahit! Pandai mengait! Pandai bercucuk tanam! Bertukang pun kau ada skill. Tambah pulak yang kau baik, sopan santun, penyayang, peramah, pandai jaga hati orang tua dan yang penting kau tu tak kuat melawan.”  Meera mencelah.

            “Tambah pulak dengan penampilan kau yang biasa saja. Kau mana pakai baju seksi-seksi macam kami ni. Rambut tu warna hitam saja, panjang lepas bahu. Dah macam perempuan melayu terakhir.” Tambah Mona. Talia memang berbeza dengan mereka. Jarang pakai skirt pendek dan gaun pandek. Baju ketat-ketat pun, Talia tak pernah pakai. Talia nampak selesa dengan seluar jeans dan baju t-shirt oversize. Kalau Talia berbaju kurung, memang terserlah keayuan dia.

            “ Wei, ketaq lutut aku ni bila hampa cakap macam tu….” Keluar terus loghat utara Talia.

            “Kalau macam tu, kita oder makanan dulu. Perut aku dah lapar ni. Lepas dah makan, kita fikir apa nak buat….” Kata Meera. Dia sudah usap perutnya.

            “Aku dah tak lalu nak makan la….” Talia mengeluh panjang.

            “ Talia, kau kena makan jugak supaya otak kau tu berfungsi sepenuhnya. Kau nak kahwin ke dengan Amir tu…..”

            ‘Tak nakkkkk……” jawab Talia apabila Mona cakap macam tu.

            Meera tersengih. Dia pandang ke sekeliling café itu dengan tujuan mencari waiter. Tiba-tiba pandangannya tepat ke arah lelaki yang sedang bancuh air. “ Wei, girlssss…… Ada hot guy la. Aku tak pernah nampak barista handsome macam tu. Pekerja baru agaknya. Sebelum ini tak pernah nampak pun.” Kata Meera. Mereka bertiga sering lepak di café itu.

            Mona turut sama melihat. “ Memang handsome la.”

            Talia mengeluh dan geleng kepala beberapa kali. Dia tak peduli langsung. Dia terus angkat tangan dan panggil waiter yang berdekatan dengan mereka. “Adik! Nak oder!” beritahu Talia dengan senyuman.

            Waiter lelaki itu dekati mereka bertiga.

            “Akak nak big breakfast lepas tu tambah air latte lagi.” Oder Talia. Dia menoleh melihat Meera dan Mona. “ Weiii…. Cepatlah oder. Adik ni tengah tunggu oder korang la.” Kata Talia. Bibir bawah digigit apabila pandangan Mona dan Meera masih ke arah barista itu. Kebetulan barista itu dekat saja dengan meja mereka. Talia turut sama melihat barista itu. Memang handsome pun. Dia melihat hanya sekali imbas… “ Mona! Meera!” Talia terus tinggikan suaranya.

            Mona dan Meera terkejut.

            “Oder cepat, tadi cakap lapar kan!” Jeling Talia.

            “Yalah! Yalah!” kata Mona.

            Mona dan Meera terus oder makanan dan minuman mereka. Kemudian pandangan mereka berdua semula kepada barista tadi.

            “Gatal dua-dua orang ni!” kata Talia. Dia sambung semula minum air latte. Dahi berkerut apabila air itu sudah sejuk.

                                                ***********************

            Tiba-tiba saja Meera tepuk tangan selepas makan, kemudian dia terus meneguk air rose tea. “ Weiii…. Aku dah dapat idea, confirm mesti Cikgu Hawa takkan pilih kau jadi menantu anaknya.”

            “Apa dia?” tanya Talia. Tak sabar nak tahu idea kawan baiknya itu.

            Mona turut sama mendengar.

            “Soalan aku, senaraikan ciri-cari menantu yang tak disukai ibu mentua?” soal Meera. Dia tersenyum.

            “Kurang ajar!” jawab Mona.

            “Pemalas! Tak pandai memasak!” jawab Talia pula.

            “ Seksi! Gedik!” tambah Meera.

            “ Kuat melawan!” tambah Talia lagi.

            “Correct! Kau ambil semua tu, kau letak dalam diri kau…. Confirm sehari saja kau kat sana, Cikgu Hawa mesti halau kau balik sebab tak tahan dengan perangai kau.” Meera petik jarinya.

            Talia cengang beberapa saat. “ Kau nak aku berlakon tipu mereka ke?” Mata Talia terkebil-kebil pandang Meera.

            “Kau ni biar betul, Meera! Kalau mak ayah dan nenek Talia tahu macam mana? Kalau family Cikgu Hawa tahu, nanti jadi masalah besar pulak.” Mona kurang setuju.

            “Itu saja jalan yang ada, Mona.” Kata Meera.

            Mona geleng kepala. Dia dapat rasakan pasti ribut akan melanda sekiranya hal sebenar terbongkar.

            “Betul cakap Meera tu, Mona! Aku tak nak kahwin, aku masih muda lagi. Aku tak nak terikat dengan sesiapa pun. Hidup aku biar aku sendiri tentukan. Nak jadi apa selepas tu, aku akan tanggung akibatnya. Yang penting, bila Amir tu dah buat pilihan antara dua calon tu, aku dah selamat.” Talia dah mula bayangkan jika itu terjadi. Memang dia happy sangat-sangat.

            “ Tapi kau boleh berlakon ke? Kau pasti ke kau boleh tipu family Cikgu Hawa tu?” Mona masih ragu-ragu pasal rancangan ini.

            “Mona! Aku ni pelakon. Dalam masa tiga minggu ni, aku boleh ajar Talia berlakon. Lagipun, aku free.  Shooting untuk filem lambat lagi nak start.  Masa yang ada tu, aku boleh ajar Talia jadi watak antagonis yang pasti buat Cikgu Hawa benci dan meluat tengok muka Talia….” 

            “Kau memang bijak, Meera! Aku harap tahun ni kau menang pelakon wanita filem terbaik Anugerah Bintang Popular nanti.” Puji Talia.

            Dahi Mona masih berkerut. Dirinya masih kurang yakin yang rancangan itu. Pandangannya beralih semula ke arah Talia dan Meera.

Wednesday, June 10, 2020

Calon Menantu Cikgu Hawa - Bab 4


Bab 4

Encik Wahid terus duduk di sofa di ruang tamu tingkat atas. Dia baru saja lepas bercakap dengan ibunya. Yang jelas, ibunya masih dengan keputusan yang sama.

“Abang! Abang dah pujuk mak ke? Mak cakap apa? Talia tak jadi pergi sana kan?” tanya Puan Eton bertubi-tubi.

Encik Wahid mengeluh kuat.

Dari reaksi suaminya itu, Puan Eton sudah dapat baca. “ Mak tetap nak suruh Talia pergi sana jugak ke!”

“ Ya. Mak cakap dia dah janji dengan Auntie Maimun, dia tak mahu nanti Auntie Maimun cakap dia mungkin janji pulak.”

“Habis tu Talia macam mana, abang? Takkanlah masa kita nak pi umrah nanti, Talia kena habiskan masa dia kat sana…. Talia tak kenal pun dengan mereka tu.”

“ Eton nak abang buat apa lagi? Abang ni dah puas cakap dengan mak tapi sikit pun mak tak dengar cakap abang.  Degil! Sekarang ni keputusan terletak di tangan Talia.”

“Kalau macam tu biar Eton pulak cakap dengan mak!” kata Puan Eton.

“ Mak!”

Langkah Puan Eton terhenti apabila dengar suara Talia. Dia baru saja ingin melangkah menuruni anak tangga.

“Mak! Talia dah fikir masak-masak. Talia setuju dengan permintaan Tok ma. Lagipun Talia tak nak mak ayah bergaduh dengan Tok ma pasal hal ini.” Beritahu Talia. Dia sanggup mengalah asalkan ibu bapanya tidak bermasam muka dengan neneknya.

“Tapi…..”

“ Mak! Jangan bimbang. Ada dua orang lagi calon  kan! Belum tentu Talia terpilih. Kalau Talia pergi sana, mak ayah tak payah bimbang lagi bila pergi umrah . Sebelum ni kan mak ayah risau sebab Talia seorang diri kat sini.” Talia mencelah cakap ibunya.

“Talia betul-betul ke dah fikir masak-masak?” tanya Encik Wahid inginkan kepastian.

“Ya, ayah! Seminggu saja kan Talia kat Sungai Petani. Lagipun dah tentu Cikgu Hawa tu pilih calon menantu pilihan dia.” Talia cuba sedapkan perasaan ibu bapanya.

“Kalau itu keputusan Talia, ayah ikut saja.”

Puan Eton menoleh. “Tapi abang……” Puan Eton tetap kurang setuju.

“ Talia dah buat keputusan. Hari itu, Eton jugak yang suruh abang hormat apa saja keputusan anak-anak kan. So sekarang ni, abang hormat keputusan Talia.” Encik Wahid terus bangun dan tinggalkan isteri dan anaknya.

Puan Eton tercengang.

Talia pegang tangan ibunya. “ Don’t worry! Everything will be fine. Trust me!” kata Talia. Dimaniskan wajahnya dengan senyuman. Hakikatnya hatinya sedang memberontak sebenarnya.

                                    **************************

Talia hulurkan tangan untuk bersalaman dengan neneknya.

Tok Ma Midah menggengam erat tangan cucunya. “ Aku nak cakap sikit ni…. Kalau boleh tu, aku nak hang terpilih jadi menantu Hawa . Untung tau kalau dapat jadi isteri Amir. Sebelum hang nak pi sana nanti, hang prepare siap-siap. Yang penting, jangan malu muka aku…” kata Tok Ma Midah.

Talia hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata neneknya.

“Mak masuk cepat! Nanti lewat pulak nak sampai Alor Setar. Bulan depan kan mak nak datang lagi, lain kali la sembang.” Encik Wahid bersuara. Pintu kereta dibuka dengan segera.

“Yalah! Yalah! Kalut betul hang ni.”

“Nanti sampai lewat, mak jugak asyik berleteq tak henti-henti.” Bebel Encik Wahid.

Tok Ma Midah terus masuk ke dalam perut kereta.

Dengan cepat Encik Wahid masuk ke dalam perut kereta. Mukriz sudah berada di tempat pemandu.

Talia dan Puan Eton melambai tangan beberapa kali apabila kereta Toyota Camry itu meluncur keluar dari perkarangan rumah.

“ Hari tu cakap tunjuk muka saja, kali ini cakap suruh jadi menantu Hawa tu. Mak pening dengan perangai nenek Talia yang seorang itu.” Puan Eton bersuara. Dia dengar tadi.

“Biarlah, mak! Asalkan Tok Ma tak merajuk dengan kita. Hmm… Mak pernah jumpa Cikgu Hawa ke? Orangnya macam mana?”

“Hmm….. Sekali jer mak jumpa dia. Itupun dua tahun lepas, masa tu mak ikut ayah kamu pergi reunion sekolah dia kat Alor Setar. Hawa itu guru besar , suami dia pula pengetua. Mereka suami isteri tu sama-sama satu sekolah dengan ayah kamu. Hawa tu nampak macam sombong sikit, muka serius sentiasa, tak bercakap dengan sesiapa pun masa itu . Suami Hawa , Din tu peramah pulak orangnya. Cakap non stop. Bagi pandangan mak, Hawa tu nampak macam cerewet sikit. Hmmm… Bukan sikit tapi rasanya sama level macam nenek Talia la. Perfectionist sangat. Dapat mak mentua macam tu merana jiwa raga. Contoh terdekat…. Mak ni.” Puan Eton tunjukkan tangan ke dirinya sendiri.

Talia gelak dengan kuat. Dia dan ibu berjalan masuk ke dalam rumah bersama-sama.

“Mak cakap serius, Talia.”

“Mak, don’t worry! Talia takkan terpilih pun. Dah memang confirm Cikgu Hawa pilih menantu pilihan dia. Percayalah…”

“Betul ke? Tapi Talia jangan lupa, pilihan tu boleh diubah.”

“Mak ni, ke situ pulak! Jomlah masuk.  Talia tak sembahyang Zohur lagi, mak pun tak sembahyang lagi kan…” Talia paut lengan ibunya.

Puan Eton geleng kepala beberapa kali. Hakikatnya dia risaukan Talia. Dibuatnya dia orang berkenaan dengan Talia, huru hara jadinya nanti.



DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...