Sunday, June 21, 2020

Duniaku Ada Kamu - Bab 3


Bab 3

            Mariam tersenyum melihat mangkuk bubur ayam yang licin. Dia berasa syukur sebab kesihatan ibunya semakin baik. Diberikan gelas air masak pula. Dia betulkan posisi duduknya di sebelah Puan Hidayah.

            Puan Hidayah tersenyum dan minum sehingga habis. Dihulurkan gelas itu semula pada Mariam. “Terima kasih!” ucap Puan Hidayah dengan senyuman lebar. Pandangan matanya tepat pada jari manis Mariam.

            “Cincin mana?” soal Puan Hidayah. Dia hairan melihat cincin pertunangan semalam tiada di jari manis Mariam.

            “Mak, puas semalaman saya fikir. Saya tak setuju dengan pertunangan ni. Terlalu terburu-buru. Omar pun tak setuju. Lagipun saya tak nak bergaduh dengan Husna. Saya tak nak Husna cakap yang saya rampas Omar dari dia.” Kata Mariam. Lagipun semalam Omar ada telefon dan merayu agar pertunangan ini dibatalkan.

            Puan Hidayah capai tangan Mariam dan diusap perlahan-lahan. Dilihat wajah wanita yang begitu manis bertudung litup itu. Sejak kecil lagi, Mariam selalu beralah dengan Husna. Apa saja yang Husna buat, Mariam diamkan saja. Mariam selalu pentingkan Husna dari segala-galanya namun Husna tak pernah nampak semua itu. Dia sendiri tak tahu kenapa Husna begitu bencikan Mariam sedangkan dia dan arwah suaminya sayangkan semua anak-anaknya dan Mariam sama rata. Tiada pilih kasih pun.

            “Mariam! Mak tak pernah minta apa-apa selama ini dari Mariam kan! Sekarang ini cuma satu jer mak minta, mak nak Mariam setuju pertunangan ini.”

            “Tapi ……” Mariam serba salah jadinya.

            “Pasal Husna, Mariam ketepikan saja. Kalau betul Husna sayangkan Omar, dia takkan tinggalkan Omar.” kata Puan Hidayah. Setiap kali fikirkan Husna, rasa mendidih darah dalam badan ni. Perangai Husna sering kali menyusahkan semua orang.

            “Tapi mak, Husna dan Omar dah lama bercinta. Husna masih sayangkan Omar. Mungkin Husna tak bersedia nak berkahwin lagi.”

            Puan Hidayah mendengus. “ Kalaulah dia betul-betul sayang, dia takkan lari dengan lelaki lain. Husna tu anak mak. Mak masak dengan perangai Husna tu. Lelaki macam Omar tu tak sesuai dengan style hidup adik kamu tu, Mariam.”

            “Tapi mak , Omar cintakan Husna. Mustahil Omar akan cintakan saya.” Tambah Mariam lagi. Walaupun dia cintakan Omar tapi dia tahu mustahil bagi dia untuk buat Omar cintakan dia.

            Tangan Mariam digenggam lembut. “ Mariam! Mak yakin satu hari nanti Omar akan cintakan Mariam. Anak mak ni baik orangnya. Lemah lembut! Penyayang! Rajin! Pandai memasak! Cantik pulak tu. Mustahil la Omar takkan jatuh cinta dengan Mariam.” Puan Hidayah tersenyum. Dia cuba yakinkan Mariam untuk setuju. “ Lagipun satu, Mariam tahukan mak, Auntie Nabila dan arwah mama Mariam kawan baik kan! Dah berpuluh-puluh tahun kami berkawan sejak zaman kami sekolah menengah lagi. Mak tak nak disebabkan Husna, hubungan persahabatan kami tu putus macam tu saja. Kalau boleh mak nak hubungan persahabatan kami kekal sampai bila-bila sebab itu mak harap sangat Mariam setuju dengan permintaan Auntie Nabila. Boleh kan?” Dipandang wajah Mariam dengan seribu harapan.

            Kata-kata Puan Hidayah buatkan Mariam terdiam. Dia terhutang budi dengan Puan Hidayah dan Tuan Salim. Kalau tak kerana mereka, pasti dia membesar di rumah anak-anak yatim. Puan Hidayah dan Tuan Salim besarkan dia seperti anak kandung sendiri. Sebab itu dia dah berjanji dengan diri sendiri selagi dia bernyawa dia akan balas jasa baik mereka berdua. Dia sanggup buat apa saja demi mereka berdua. Sekarang ni dah masuk 4 tahun, Tuan Salim meninggal dunia dan kini hanya tinggal Puan Hidayah seorang saja. Takkanlah dia tergamak nak tolak permintaan Puan Hidayah. Dipandang wajah Puan Hidayah yang sedang menanti jawapan darinya.

            “Baiklah, mak! Saya setuju.” Jawab Mariam.

            “Terima kasih, Mariam! Terima kasih banyak-banyak!” Dia terus peluk tubuh Mariam seerat-eratnya.

            Mariam cuba tersenyum. Digosok belakang badan Puan Hidayah dengan penuh kasih sayang. Dia berjanji dia takkan buat Puan Hidayah susah hati. Dia akan turut saja apa kemahuan Puan Hidayah.

                                                **************************

            Puan Nabila menoleh apabila pintu bilik tidurnya dibuka.  Dia sedang bersiap sedia untuk keluar berjumpa kawannya.

            “Ibu, we need to talk!” tegas Omar.

            Puan Nabila mengeluh. “Keputusan ibu muktamad dan takkan berubah. Kalau Husna balik pun, ibu takkan terima dia. Ibu takkan terima balik perempuan yang conteng arang di muka keluarga kita.” Wajah Puan Nabila serius.

            “Ibu, ini soal hati dan perasaan. Mustahil Omar akan kahwin dengan Mariam. Kami berdua hanya kawan baik saja.” Omar merayu. Wajahnya nampak berserabut sekarang ini. Fikirkan Husna yang sudah hilang entah ke mana lepas tu pertunangan dia dan Mariam pula. Boleh jadi gila kalau macam ni.

            “Omar! Belajarlah terima Mariam. Mariam tu budak baik. Pilihan seorang ibu tak pernah salah. Apa ibu buat ni demi kebaikan kamu jugak. Ibu nak lihat Omar bahagia hingga ke anak cucu.” Melihat keadaan anak bongsunya yang tak terurus itu,  Puan Nabila rasa kasihan dengan nasib yang menimpa Omar. Dipegang tangan Omar dengan lembut.  “Terimalah Mariam yer….” Pujuk Puan Nabila dengan lembut.

            “Ibu, Omar cintakan Husna. Omar nak kahwin dengan Husna. Kenapa Ibu susah sangat nak faham? Hidup Omar takkan gembira dan bahagia tanpa Husna!” Suara Omar terus tinggi.

            Kata-kata dari Omar buatkan Puan Nabila lepaskan tangan Omar dengan kuat. Wajah keibuan tadi terus bertukar bengis. 

            “Husna! Husna! Husna! Ibu dah muak dengar nama itu. Kamu ni dah kenapa, hah? Lepas apa Husna tu buat, kamu masih cintakan perempuan tak guna tu…”

            “Ibu!”

            “Perempuan macam tu hanya akan bawa masalah dalam hidup kamu, Omar. Tengok, baru nak bertunang dah buat perangai. Ini belum kahwin lagi, entah-entah masa nikah nanti pun dia lari jugak. Omar tak fikir ke semua tu? Tak serik-serik lagi ke? Setuju atau tak, kamu kena kahwin dengan Mariam jugak. Hujung tahun ni kamu berdua kena kahwin. Jangan jadi anak derhaka, Omar.” Puan Nabila memberi amran. Langkah terus dipercepatkan keluar. Bercakap dengan Omar hanya buat darahnya mendidih saja.

            Omar meraup wajahnya beberapa kali. Kemudian dia menjerit sekuat hati melepaskan rasa tak puas hati. Fikirannya benar-benar bercelaru.

                                                ***************************

            Mariam keluar dari biliknya. Pintu bilik ditutup rapat. Langkah diatur menuju ke tangga. Sudah pukul 11.30 pagi, dia perlu siapkan makan tengahhari. Mariam tersenyum apabila selisih dengan Puan Heliza.

            “Puaslah hati kau sekarang ni! Kau dah dapat apa kau nak kan….”

            Langkah Mariam terhenti dan menoleh pandang Puan Heliza.

            “Apa Mak Lang cakap ni?” tanya Mariam dengan wajah terpinga-pinga. Yang jelas wajah Puan Heliza nampak tak puas hati.

            “Kau tak payah la nak berlakon depan aku, Mariam! Dari dulu lagi kau memang nak sangat apa saja benda milik Husna kan! Sekarang kau dah bertunang dengan Omar, puaslah hati kau kan….” Marah Puan Heliza. Sejak mula-mula kakaknya ambil Mariam jadi anak angkat, dia memang tak sukakan Mariam. Alasan kakaknya nak ambil Mariam jadi anak angkat supaya Husna ada peneman tapi tengoklah apa yang dah jadi. Dia dah jangka semua ini akan terjadi. Kehadiran Mariam hanya porak perandakan keluarga kakaknya. Husna sering mengadu padanya apa Mariam telah buat sepanjang Mariam tinggal di situ.  Disebabkan Mariam, semua ahli keluarga Husna membenci Husna.

            “Mak Lang! Saya tak minta pun semua ni terjadi. Saya tak nak bertunang dengan Omar pun.” Jelas Mariam. Dirinya benar-benar tersepit. Dirinya juga mangsa keadaan.

            “Arghhhh….. Semua tu alasan. Hey, Mariam! Dengar sini baik-baik! Kau kena ingat, kau tu anak angkat. Kakak aku tu kutip kau sebab kasihan. Kalau tak kerana kakak aku, kau dah merempat kat rumah anak-anak yatim tu. Sedarlah diri tu sikit, sini bukan family kau pun. Kau kena ingat, kau tu menumpang rumah orang. Perangai tu jagalah sikit.  Muka tu memang tak tahu malu langsung. Tahu nak rampas hak orang saja.” Marah Puan Heliza. Dia terus berjalan tinggalkan Mariam dan masuk ke dalam bilik tetamu. Pintu bilik tetamu ditutup dengan kuat.

            Mariam mengetap bibirnya. Dia cuba menahan diri dari menangis tetapi butiran halus menitis membasahi pipi. Dengan segera dia lap air matanya. Ini bukanlah pertama kali dia dimarahi Puan Heliza. Sejak kecil lagi kalau Puan Heliza datang rumah, pasti dirinya akan dimarah dan dihina Puan Heliza. Dia sendiri tak tahu apa salahnya sedangkan dia tak pernah pun sakiti hati Puan Heliza.

            Kepala ditundukkan sedikit. Dilap air matanya sekali lagi. Ditarik nafas dan dihembus perlahan-lahan. Dia cuba tenangkan dirinya. Dia tak mahu orang tahu apa yang terjadi tadi lebih-lebih lagi mak ciknya, Harissa. Kalaulah Harissa tahu, pasti Harissa dan Puan Heliza bergaduh teruk. Dia tak nak itu semua berlaku lebih-lebih lagi suasana di rumah ini masih tegang selepas apa yang berlaku pada hari pertunangan Husna.

            Baru saja setapak melangkah, telefon pintarnya berbunyi. Ada mesej. Mariam terus buka dan baca.  Mesej dari Omar.

            Mariam, jumpa esok kat tempat biasa pukul 9 pagi.

            Keluhan kuat dilepaskan. Dia sudah tahu agenda Omar ingin berjumpa dengannya. Ini mesti pasal pertunangan mereka. Satu lagi hal yang buat otaknya berserabut. Serba salah jadinya. Dengan pantas jari-jemarinya membalas mesej Omar. Diteruskan langkahnya menuju ke dapur. Pasti Harissa sedang sibuk memasak di dapur.

           

1 comment:

michelle said...

IONQQ**COM
agen terbesar dan terpercaya di indonesia
segera daftar dan bergabung bersama kami.
Whatshapp : +85515373217 :-* (f)

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...