Monday, July 6, 2020

Duniaku Ada Kamu - Bab 4


-->
Bab 4

            Mariam menoleh ke sebelah tempat memandu. Yang jelas kemarahan di wajah Harissa masih belum hilang. Sebelum keluar tadi, Harissa dan Puan Heliza bergaduh besar di ruang tamu sehinggakan Puan Hani hilang sabar dan jerkah mereka berdua.

            “Mak Su! Mak Su okey ke? Saya minta maaf. Disebabkan saya Mak Su bergaduh dengan Mak Lang….” Mariam bersuara. Dia rasa bersalah dengan apa yang berlaku.

            “ Mariam! Mariam tak salah pun. Yang salah tu, Kak Lang! Tak habis-habis nak menangkan Husna selepas apa yang dah berlaku lepas tu tuduh Mariam puncanya. Manalah Mak Su tak geram.” Harissa yang sedang memandu mengetap bibir. Sakit hati setiap kali ingat semula apa yang terjadi.

            Mariam mengeluh perlahan. “ Mak Su, apa kata kita report polis pasal Husna? Saya tak sedap hati la. Entah-entah lelaki itu ada niat tak baik kat Husna. Sekarang ni banyak sangat kes jenayah. Saya takut la kalau lelaki tu tipu Husna.” Kata Mariam. Nampak wajah risau. Kalau tengok berita kat  TV, terlalu banyak kes jenayah yang melibatkan wanita. Dia bimbang jika sesuatu tak elok berlaku pada Husna. Selepas solat saja, dia tak pernah lupa untuk berdoa keselamatan Husna.

            “Report polis? Buat aper? Kita sendiri nampak kan, Husna dengan relanya masuk dalam kereta itu. Memang sah Husna kenal lelaki tu.  Dah , tak payah fikir sangat pasal Husna tu!”

            “ Tapi…..” Mariam masih cuba untuk pujuk Harissa. Dia pernah cakap pasal hal ini kat Badrul. Reaksi Badrul pun sama seperti Harissa. Nampak sangat Badrul masih marahkan Husna. Fikiran Mariam tak pernah berhenti fikirkan Husna. Dia benar-benar bimbang keselamatan Husna di luar sana.

            “Dah tak payah cakap pasal Husna, sekarang Mariam kena fikir pasal Omar. Mak Su dah tahu mesti Omar nak jumpa sebab nak Mariam batalkan pertunangan ni kan. Mak Su rasa baik Mariam berterus –terang pasal perasaan Mariam tu kat Omar. Selagi Mariam tak cakap, Omar tak tahu.”

            “ Omar cintakan Husna. Bagi Omar, Mariam ni hanya kawan saja. Tak lebih dari itu. Mariam tahu Omar sangat sayang dan cintakan Husna. Cinta Omar tu tulus dan ikhlas.”

            “Habis tu cinta Mariam tu macam mana? Nak simpan sampai mati?”

            Mariam terdiam.

            “Mariam! Sesekali tu kena yakin pada diri sendiri. Luahkan saja perasaan tu? Mana tahu, perasaan Omar berubah bila dapat tahu. Cubalah…” Harissa cuba yakinkan Mariam. Dia mahu Mariam berani. Mariam yang dia kenal selama ini seorang yang selalu dahulukan orang lain dari dirinya sendiri.

            Kali ini Mariam masih terdiam. Kata-kata Harissa benar-benar buat hatinya berbelah bahagi.

            “Aaa….. Dah sampai.” Harissa berhentikan kereta BMW miliknya sebaik saja tiba di restoran Nasi Kandar. “ Mak Su tunggu Mariam kat café kegemaran Mak Su hujung sana.” Beritahu Harissa.

            “Ya! Dah habis nanti, Mariam pergi sana.” Kata Mariam. Pintu kereta terus dibuka. Mariam keluar seraya membetulkan tudung putih yang dipakainya. Pintu ditutup rapat. Dia memberi isyarat tangan supaya mak ciknya bergerak pergi.

            Kereta BMW berwarna putih itu bergerak perlahan-lahan meninggalkan Mariam.

            Mariam menarik nafas dan dihembus perlahan-lahan sebelum memulakan langkahnya untuk berjumpa dengan Omar.

                                    ***************************************

            Setapak melangkah masuk  ke dalam restaurant itu, Mariam sudah nampak kelibat Omar yang duduk di meja yang terletak di sudut yang jauh dari orang ramai.

            Mariam mengeluh kuat. Dia sambung semula langkahnya dekati Omar.

            “Omar!” tegur Mariam.

            Belum sempat Mariam duduk, Omar sudah bersuara.

            “Macam mana? Auntie Hidayah setuju tak cancel pertunangan ni?” tanya Omar.

            Mariam duduk dulu sebelum jawab soalan Omar. Nampak sangat Omar tak sabar-sabar.

            “ Mak tetap nak teruskan pertunangan ni.” Beritahu Mariam.

            Omar meraup wajahnya dengan kasar. Dia sudah tak tentu arah. Fikirannya kini berserabut. Nak fikirkan pasal Husna la lepas tu ibunya sendiri la tambah pula dengan pertunangan ni. “ Kau cubalah pujuk lagi Auntie Hidayah.” 

            “Aku dah cuba, Omar. Masalah sekarang ni mak kau, Auntie Nabila ! Selagi Auntie Nabila tak cancel pertunangan ini, selagi itulah mak aku tak setuju. Kau pujuklah mak kau dulu.”

            “Masalahnya mak aku tak nak cancel. Kau nak aku buat apa lagi?” Omar terus tinggikan suaranya pada Mariam.

            Mariam terdiam.

            Omar tersedar selepas melihat perubahan wajah Mariam.  Dia terlalu ikutkan perasaan sebentar tadi . “Sorry, Mariam! Sorry! Aku minta maaf sangat-sangat. Aku tak patut tinggikan suara aku kat kau. Kau tak buat salah apa-apa pun kat aku. Disebabkan aku dan Husna, kau terlibat sama dalam masalah ini.”  Omar minta maaf. Kepala ditundukkan sedikit ke lantai.

            “Tak aper, aku faham! Kau mesti tertekan sekarang ni.” Mariam bersuara. Dia faham keadaan Omar sekarang ini. Mariam pandang Omar. Dia dapat lihat kekusutan dan keresahan dari mata Omar. Mariam rasa kasihan lihat keadaan Omar, terpaksa hadapi semua ni seorang diri. Kenapalah Husna sanggup buat Omar macam ni? Husna tak fikir ke akibatnya? Husna tak sayang lagi ke kat Omar? Tiba-tiba Mariam teringat kata-kata Harissa tadi. Patut ke dia berterus terang pasal perasaannya? Hatinya masih berbelah bahagi. Dipandang Omar sekali lagi. Digenggam kedua-dua tangan. Apa pun yang terjadi, dia kena berani luahkan perasaan dia.

            “Omar……” Mariam bersuara.

            “ Mariam, kau kena tolong aku. Aku… aku tak boleh hidup tanpa Husna. Kau tahu kan aku terlalu cinta dan sayangkan Husna. Aku nak habiskan sisa-sisa hidup hanya dengan Husna seorang. Impian aku hanya nak hidup bahagia bersama Husna sepanjang hayat aku. Aku hanya akan kahwin dengan Husna seorang saja. Kau tahu kan….?” Omar bersuara secara tiba-tiba. Pandangan matanya bertaut dengan Mariam. Tubir mata mula berair. Air mata menitis membasahi pipi. Hidupnya gelap tanpa Husna sekarang ini. Omar gosok dadanya perlahan-lahan. Betapa sakit dan pedih hatinya.

            Mariam tergamam. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Dia benar-benar terkejut apabila melihat Omar menangis.  Hasratnya untuk meluahkan perasaan terus terbantu.

            “Aku tak boleh bertunang dan kahwin dengan kau, Mariam. Kau BFF aku. Mustahil aku akan sayang dan cintakan kau sepertimana aku cintakan Husna.” Tambah Omar lagi.

            Mariam terus terdiam membisu. Kata-kata Omar buatkan Mariam kembali pada realiti. Ada benarnya cakap Omar tu. Dia dah lama kenal Omar. Omar adalah lelaki yang setia. Kalau Omar dah mula cintakan seseorang itu, Omar akan cinta sampai mati.

            “Mariam, kau kena tolong aku. Kau kena pujuk Auntie Hidayah sampai pertunangan ni cancel. Aku pun akan cuba pujuk ibu aku. Aku yakin Husna akan balik. Beberapa hari lagi Husna akan balik, aku yakin. Aku tak nak Husna sedih bila dapat tahu kita bertunang. Mesti aku ada buat sesuatu yang buat Husna marah, bila kemarahan Husna reda, Husna akan balik. Percayalah cakap aku. Beberapa hari lagi Husna akan balik.” Kata Omar. Dia yakin masalah yang melanda hanya sementara. Selepas Husna balik, semua ni pasti akan kembali pada sedia kali.

            Mariam angguk kepala perlahan-lahan. “ Aku akan cuba pujuk mak lagi. Kau jangan risau.”

            “Terima kasih. Kau memang sahabat baik aku, Mariam. Aku nak gerak sekarang ini. Aku nak jumpa kawan baik Husna yang tinggal di USJ. Dia mesti tahu Husna kat mana.” Tergesa-gesa Omar bangun. Dia akan cari Husna sampai dapat.

            “Julia ke?” kata Mariam. Malam tadi, dia ada hubungi beberapa kawan baik Husna yang dia kenal. Pasti ada antara mereka tahu di mana Husna berada.

            “Ya.”

            “Aku dah call Julia tapi Julia tak tahu Husna kat mana….”

            Omar terdiam beberapa saat. “ Aku baru teringat Husna ada kawan masa dia modeling hari tu. Sally nama dia. Aku pergi jumpa dia. Sally mesti tahu.” Kata Omar. Wajah nampak ceria. Dengan cepat, Omar berlari tinggalkan Mariam.

            Mariam masih duduk di situ. Pandangannya masih melihat ke arah kelibat Omar yang sudah hilang dari pandangan matanya.

                                    *********************************

            Pintu kaca café ditolak dengan perlahan-lahan.  Mariam bimbang Harissa menanti dirinya terlalu lama di situ.

            Sebaik saja melangkah masuk, sudah kedengaran suara Harissa. Langkah dipercepatkan dekati Harissa yang sedang bergaduh dengan seseorang. Suara Harissa saja sudah menarik perhatian pelanggan dalam café itu.

            “Mak su! Apa halnya ni?” tanya Harissa. Dia terkejut lihat rambut Harissa basah malah pakaian Harissa juga turut sama basah seperti terkena air.

            “Dia ni…..” Dengan wajah bengis, Harissa terus tunding jari ke arah lelaki yang berkulit sawo matang yang berdiri di hadapan Harissa. “ Tengok ni Mak Su basah kuyup sebab dia ni lah…. Dia sengaja tumpahkan ice latte  ni kat Mak Su.” Cerita Harissa dalam keadaan marah.

            “I tak sengaja la. You tak faham ke, hah?” balas lelaki yang berkulit sawo matang itu. Wajah lelaki itu turut sama tegang.

            “Macamlah aku nak percaya cakap kau, hah! Kau memang sengaja tumpahkan air ni kat aku, betul tak?” Harissa masih belum mengalah. Dia tak peduli langsung pandangan pelanggan di café itu.

            “Cik! Encik! Kita boleh selesaikan dengan cara baik kan! Tak elok bergaduh macam ini.” Pengurus café itu cuba tenangkan keadaan yang tegang sekarang ni.

            “Masalahnya hati dia ni memang busuk sejak dulu lagi…”  tambah Harissa lagi. Jari telunjuk masih dituju ke arah lelaki berkulit sawo matang itu.

            “Mak Su! Cukuplah tu! Jangan bergaduh lagi. Tengok tu ramai orang tengok Mak Su sekarang ni.” Mariam pegang tangan mak ciknya. Dia tak mahu masalah bertambah besar.

            Harissa menoleh melihat Mariam.

            “Argh… Mak Su tak peduli. Hari ini jugak Mak Su kena ajar lelaki ni.” Kata Harissa. Dia melihat semula lelaki itu. “ Aku tak tahu kenapa kau suka sangat cari pasal dengan aku? Apa masalah kau, hah?” marah Harissa. Mata sudah merah menyala.  

            “Ishhh…. Ini yang malas ni bila bercakap dengan orang perempuan! Tak reti bahasa betul! Suka hati you lah nak fikir apa-apa pun. I malas nak layan. Tak ada faedah pun layan perempuan gila macam you ni.” Kata lelaki berkulit sawo matang itu sebelum melangkah pergi tinggalkan Harissa.

            “Apa! Gila!” Semakin mendidih darah Harissa mendengarnya. Dia cuba mengejar lelaki itu tetapi lengannya ditarik. Harissa menoleh.

            “Mak Su! Sudah! Sudahlah tu! Istighfar banyak-banyak. Buang rasa marah tu.” Nasihat Mariam. Dia mahu Harissa bertenang. Dulu mak ciknya tak seperti ini pun, lepas bercerai sikap panas baran tiba-tiba saja ada. Cepat melenting ! Cepat naik angin! Kalau mak ciknya naik hantu, memang susah nak kawal.

            “ Kita duduk dulu, Mak Su!” pujuk Mariam lagi. Ditarik lembut lengan Harissa perlahan-lahan.

            Dada Harissa masih berombak laju.

            “Encik, one fresh orange please?” oder Mariam pada pengurus café itu.

            Dengan cepat, pengurus itu berlalu pergi.

            Harissa terus duduk di sofa café itu. Wajah masih lagi nampak tegang. Nafas ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Mata dipejam beberapa saat. Dia cuba redakan kemarahan dia tadi.

            Mariam hanya diam memerhati. Dia tak berani bersuara.

            Kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Harissa kembali bertenang.

            Pelayan wanita datang dan letakkan gelas fresh orange di meja.

            “Terima kasih!” ucap Mariam dengan senyuman. Diambil gelas itu dan diberikan pada Harissa.

            Harissa hirup air itu hingga habis.

            “Mak Su dah okey?”

            Gelas yang kosong itu diletakkan semula atas meja. “Dah okey!” jawab Harissa.

            Mariam segera keluar sapu tangan yang ada dalam bag tangannya dan dihulurkan pada mak ciknya.

            Harissa segera lap mukanya. Rasa melekit. Dilap pula rambutnya yang masih basah. Ditarik sedikit rambutnya dan dihidu. Berbau latte! Dia hanya mampu mengetap bibir. Balik nanti terpaksalah shampoo rambut ni! Argh…. kenapa mesti dia jumpa lelaki tu kat sini . Spoil mood betul!

            “Lelaki tadi! Mak su kenal ke?” tanya Mariam.

            “ Kenapa sekejap sangat jumpa Omar? Omar mana?” soal Harissa bertubi-tubi. Dia cuba elakkan diri dari menjawab soalan Mariam tadi.

            Diperhatikan reaksi  mak ciknya, Mariam tahu Harissa cuba mengelak.

            “Omar dah balik. Dia nak pergi jumpa kawan Husna yang sama-sama modeling dulu tu.” Jawab Mariam.

            Harissa geleng kepala. “ Itu seorang lagi, jenis tak dapat terima kenyataan. Masih berharap. Dah terang-terang Husna tu tinggalkan dia.” Bebel Harissa. Tiba-tiba dia teringat bekas suaminya. “ Hmm… Maklumlah cinta tu buta. Mak Su pun dulu macam tu jugak.” Harissa mengeluh.

            Mariam terdiam. Jodoh itu rahsia Allah Taala. Allah Taala yang mengatur segala-galanya. Allah Talla juga yang mengatur bila kita bertemu, bila kita berkahwin dan juga bila kita berpisah. Mariam percaya satu hari nanti Harissa yang bertemu dengan lelaki yang baik.

            “So Mariam sempat tak buat apa Mak Su suruh tu?” tanya Harissa.

            Mariam geleng kepala beberapa kali.

            Harissa hanya diam memerhati. Dia sudah jangka semua itu.  

            “Petang ni ke Mak Su bertolak balik Langkawi?”  tanya Mariam secara tiba-tiba.

            “Ya. Mak Su bertolak petang ni. Lepas solat Zohur, Mak Su tolak balik. Mak Su bermalam kat Kuala Perlis. Esok pagi Mak Su naik Langkawi Ro Ro feri, dah bawa kereta kan!” jawab Harissa.

            “Tak best la kalau Mak Su tak ada.”

            “Itulah dah banyak kali Mak Su ajak datang ke resort Mak Su kat Langkawi tu, dah tujuh tahun tapi sekali pun Mariam tak pernah datang kan….”

            “Kalau Mariam pergi sana, siapa nak jaga mak dan arwah ayah masa itu. Insya Allah, satu hari nanti Mariam tetap akan jejakkan kaki di resort Mak Su.” Mariam tersenyum. Sudah banyak kali Harissa ajak pergi tetapi dia tak sanggup tinggalkan arwah ayah yang tengah sakit masa itu. Sekarang pula kesihatan mak bertambah merosot.

            “Ikut suka Mariam lah…. Nak datang, beritahu jer kat Mak Su. Resort Mak Su 24 jam terbuka untuk Mariam.” Harissa tersenyum.

            Mariam turut sama tersenyum melihat mak ciknya.

1 comment:

michelle said...

ayo segera bergabung dengan kami hanya dengan minimal deposit 20.000
dapatkan bonus rollingan dana refferal ditunggu apa lagi
segera bergabung dengan kami di i*o*n*n*q*q :-* (f) (f) (f)

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...