Saturday, November 26, 2022

PA Aku Ratu Sejuk Beku - Bab 10

 


Bab 10

 

            SENYUMAN Adriana lebar apabila pintu lif terbuka di tingkat 19. Dia membetulkan rambutnya sebelum melangkah keluar. Diangkat bag kertas yang berisi makanan dan minuman yang dibelinya tadi. Hari ini dia akan pastikan Aziz tiada lagi alasan nak menolak ajakkan dia makan bersama. Lagipun dia tahu Diana tiada sebab ada hal di Pahang. Inilah peluang dia untuk berdua dengan pujaan hati dia.

            Pintu utama ditolak. Suasana sunyi sepi dan kosong.

            Wajah Adriana berubah.

            Langkah dipercepatkan.

            Adriana segera membuka pintu bilik ofis Aziz. Mata dia meliar mencari Aziz setiap sudut namun tiada.

            Kerana bengang, Adriana terus menjerit sekuat hati. Harapan dia musnah sama sekali. Mana pulak Aziz pergi?

            Bag kertas dihempas dengan kasar di lantai.

            Telefon pintar segera dikeluarkan dari bag tangan. Dia hubungi seseorang.

            Mama! Mama tahu tak mana Abang Aziz pergi mana? Adriana kat ofis dia tapi tak ada sesiapa pun.”

            Kamu ni tak ada kerja lain ke, hah? Mama malu dengan perangai kamu, asyik sangat terkejar-kejar Si Aziz tu!”

            Mama ni kan! Suka sangat marah-marah! Adriana tanya saja maybe mama tahu.” Wajah Adriana terus masam.

            Argh! Mama ni bukan PA si Aziz tu so mama tak tahu. Mama banyak kerja nak buat ni!” Datin Annisa terus tamatkan panggilan.

            Mama! Mama!” jerit Adriana. Sakit hati setiap kali cakap dengan ibunya. Adriana mengetap bibir. Otaknya ligat berfikir di mana Aziz pergi. Dia terus hubungi Aziz namun seperti selalu Aziz takkan jawab panggilan dia. Namun Adriana takkan putus asa, dia akan hubungi Aziz sehingga dapat.

 

                                    *******************************************

            KEDATANGAN Datin Ida dan Aziz di AB hotel disambut mesra oleh pekerja-pekerja di situ. Hari ini lunch, ibunya mengajak dia makan di AB hotel malah dalam masa yang sama dia berkenalan dengan pekerja-pekerja AB hotel serta meninjau keadaan AB hotel.

            Walaupun rasa janggal, Aziz cuba tersenyum. Kehadiran dia dan ibunya menarik perhatian orang di situ. Disambut seperti orang kenamaan.  Dia sempat menoleh melihat Azhar dengan dahi berkerut.

            Azhar hanya tersenyum dan mengekori dari belakang.

            Mereka bertiga dibawa ke restoran hotel itu. Bilik makan disediakan khas untuk mereka bertiga.

            Sebaik saja hanya tinggal mereka bertiga, Aziz menghela nafas lega.

            Macam mana? Okey tak hotel kita ni?” Datin Ida bersuara. Dia ingin tahu pendapat anak tunggalnya itu.

            Okey! Very nice hotel! Yang penting sekali, location strategik.” kata Aziz.

            Datin Ida tersenyum.

            Dengaq-dengaq nak beli resort kat Pulau Langkawi, betui ka?” tanya Azhar.

            Resort?” Wajah Aziz jelas terkejut.

            Baru dalam perancangan, insya Allah kalau ada rezeki, ada la tu.” jawab Datin Ida. Semua itu masih dalam perancangan. Bunyi vibrate telefon dari arah Aziz menyebabkan dahi Datin Ida berkerut. Dari dalam kereta lagi, telefon pintar Aziz berbunyi.

            Awat tak jawab call tu? Dari tadi dok bunyi.” Datin Ida memandang tepat ke arah Aziz.

            Dengan lemah, Aziz mengeluarkan telefon pintar dari poket seluarnya. Ditunjukkan ke arah Datin Ida.

            Datin Ida mengetap bibir melihat nama yang tertera di skrin telefon Aziz.

            Adriana! Eee…. Mummy tak suka la Adriana tu asyik kacau hang. Mummy takut kalau satu hari hang tersangkut dengan Adriana tu. Dah la lawa lepas tu seksi pulak tu. Tak hairan la kalau hang terjatuh cinta dengan janda tu.” Datin Ida membuat mimik muka tak suka. Dalam diam dia sebenarnya susah hati, jika satu hari betul-betul Aziz sukakan Adriana tu. Hidupnya pasti gelap gelita.

            Mummy! Barbie doll macam Adriana tu bukan taste Aziz la. Asyik nak melawa saja. Tak mahu la dapat isteri macam Adriana tu. Hidup boleh bankrupt. Maintenance tinggi! Kalau boleh Aziz nak isteri yang serba sederhana saja, aman damai hidup Aziz!”

            Hang ni kan asyik nak hidup aman damai memanjang. Aaa… Hang dah ada calon ka? Mummy tak kisah. Mummy setuju saja sapa pilihan hang kecuali Adriana tu! Kalau hang kahwin cepat-cepat, mummy tak la risau sangat. Mummy pun nak hidup aman damai jugak.” Datin Ida tersengih.

            Calon? Mana ada? Duit pun tak ada. Nak sara anak orang ni kena ada duit jugak, mummy! Kalau ada anak nanti, banyak duit nak guna!” jawab Aziz. Dia masih belum terfikir nak mencari calon isteri. Hidup dia sekarang ni pun tunggang terbalik, ada hati nak kahwin. Apa-apa pun, dia kena stabil dulu. Masalahnya tiada lagi wanita yang mampu buat dirinya jatuh cinta.

            Apa! Duit tak ada? Hang tu anak mummy! Anak Datin Ida! Semuanya akan jadi milik hang jugak. AB Group! Ni hotel ni pun milik hang! Perempuan mana yang bodoh tolak hang, hah? Hang petik jari saja, berderet perempuan beratur nakkan hang! Anak mummy ni handsome lepas tu baik pulak tu! Sapa yang tak mahu!” Mata Datin Ida terus bulat. Anak tunggalnya itu tak ada cacat cela langsung.

            Betul tu!” Azhar bersuara menyokong kata-kata Datin Ida.

            Aziz memandang Azhar dan Datin Ida. Dua-dua orang ni sama saja. Dua kali lima! Semuanya itu bukan hasil penat lelah dia pun. Dia tak berhak miliki semua itu. Dia lebih suka usaha sendiri.

            Baru saja Aziz nak membuka mulut, pintu bilik terbuka. Pelayan wanita masuk dengan membawa minuman. Aziz membuat keputusan untuk diamkan diri saja.

           

                                    ******************************************

            BUNYI ombak menghempas pantai buatkan hati Aziz tenang. Kelopak mata ditutup rapat. Yang jelas senyuman terukir di wajah Aziz. Dia memang sukakan pantai. Kalau boleh, dia nak buat rumah tepi pantai. Hari-hari dia akan habiskan masanya tepi pantai. Itu impian dia. Mungkin disebabkan dia anak pulau sebab itu dia lebih sukakan pantai dan laut.

            Mak cik Ida balik dulu. Ada hal katanya. Mak cik Ida cakap lagi, tak payah balik ofis dan suruh Abang Aziz round hotel ini.” beritahu Azhar. Dia berdiri di sebelah Aziz.

            Kelopak mata Aziz dibuka perlahan-lahan.

            Cantik kan pemandangan kat sini! Mak cik Ida buat pilihan tepat beli hotel ini.”

            Azhar, aku rasa aku tak mampu nak handle AB Group. Business ni terlalu besar. Aku ni tak ada apa-apa pengalaman pun. Aku takut kalau aku buat silap, lain pulak jadinya.”

            Laaa… Abang Aziz! Awat cakap lagu tu? Belum cuba lagi, dah nak putus asa. Azhar percaya Abang Aziz boleh. Sapa nak ambil alih AB Group kalau bukan Abang Aziz.”

            Tapi aku…..”

            Abang Aziz pernah cakap kan satu hari nanti Abang Aziz nak buka agensi perlancongan sendiri. Itu pun business jugak kan! Apa kata abang ambik peluang ni timba pengalaman, semua tu akan berguna jugak satu hari nanti.”

            Amboi! Amboi! Bab nasihat aku nombor satu! Azhar tu, kenapa tak mahu sambung belajar? Mak Eton cakap result SPM Azhar bagus. Dapat tawaran sambung belajar tapi tolak! Kenapa?”

            Seraya tersengih Azhar garu kepalanya berkali-kali.

            Sebenarnya Azhar tak tahu apa Azhar nak, Abang Aziz! Azhar tak tahu apa Azhar minat! Selama ini Azhar belajaq pun sebab mak ayah. Hati ni belum jumpa lagi apa Azhar nak!” Azhar tersenyum tawar. Hati ini seolah-olah seperti kehilangan sesuatu. Dalam masa yang sama dirinya keliru.

            Aziz menghembus nafas perlahan. Ditepuk lembut bahu Azhar.

            Tak apa! Perlahan-lahan la fikir, lepas dah tau apa Azhar nak! Beritahu kat aku. Aku tanggung kos belajar. Nak belajar luar negara pun, aku tanggung semua tu.” kata Aziz memberi semangat. Ada masanya kita akan sesat dan merasakan kita berada di landasan yang salah. Dia pernah berada di tempat Azhar satu ketika dulu.

            Terima kasih, Abang Aziz! Tapi Abang Aziz ada duit ka nak tanggung kos belajar Azhar nanti!”

            Aku ni memang la tak ada duit tapi duit mummy duit aku jugak!” kata Aziz diakhiri dengan gelak ketawa yang kuat.

            Azhar turut sama ketawa.

           

                                                ************************************

            DENGAN wajah bengang, Datin Ida menerjah masuk bilik ofis Datin Annisa. Walaupun dihalang oleh PA Datin Annisa, Datin Ida tak peduli. Dia perlu bersemuka dengan Datin Annisa. Berita buruk yang disampai oleh Diana tadi benar-benar buat dirinya hilang sabar. Dari hotel, dia terus ke sini.

            Itu okey, Marion! You sambung kerja you.” kata Datin Annisa pada PA dia.

            Marion mengangguk kepala dan berlalu keluar tinggalkan mereka berdua.

            Sebaik saja pintu ditutup rapat, Datin Ida dekati Datin Annisa.

            Apa masalah you, Annisa? You sengaja nak sabotaj opening showroom kita kat Kuantan tu kan!” marah Datin Ida.

            Apa you merepek ni, hah? Dah la terjah masuk bilik orang, lepas tu ikut sedap mulut tuduh I bukan-bukan!”

            You tak payah nak pura-pura tak tahu, Annisa! I ni dah lama kenal you. Kalau Diana tak pi Kuantan, sapa pun tak tahu apa dah jadi kat sana! Kenapa hati you busuk sangat, Annisa? Dalam progress report, you cakap dah siap 95 percent. Hanya tinggal lighting saja tak complete lagi.  Tapi bila Diana sampat kat sana, dia terkejut bila tengok situ kosong. Cat pun tidak, jewelry display case dan counter pun tak pasang lagi, lighting memang confirm la tak buat. Apa you dah buat kat Mr Lim, hah? Opening next week, you dah hilang akal ke? ” Intonasi suara Datin Ida semakin tinggi. Dia terkejut mendengarnya dari Diana. Sekarang ini Mr Lim, renovation kontraktor menghilangkan diri.

            Datin Annisa terus bangun dengan wajah terkejut.

            Apa you cakap ni, Ida? Kosong? You sendiri tengok gambar Mr Lim bagi kat you kan!”

            Wah! Hebat betul lakonan you ni, Annisa!” Datin Ida menggelengkan kepala.

            Nak tuduh orang tu biar ada bukti dulu, Ida!Memang I yang in charge, setiap kali Mr Lim update progress, I report kat you kan! I mana tahu Mr Lim nak buat hal. You kena ingat Mr Lim tu, kontraktor yang you cari sendiri kan! Bukan I!”

            Oooo…. La ni you nak salahkan I pulak!” Mendidih darah Datin Ida apabila dirinya pula dipersalahkan. Jari telunjuk diangkat dan dituju ke arah Datin Annisa.

            I akan cari Mr Lim sampai dapat! Dan I akan siasat sampai ke akar umbi !” tegas Datin Ida. Dia terus berlalu keluar dan sengaja menutup pintu dengan kasar.

            Datin Annisa mula ketawa dengan kuat. Dia tersenyum puas.

            Jangan harap la you dapat cari Mr Lim, Ida! Apa pun plan you, semua tu sia-sia saja. Next week opening, takkan terjadi. Tak sabar I nak tengok muka you minggu depan! Macam mana you nak hadap client VVIP you tu!” Datin Annisa mula membayangkan apa yang akan terjadi nanti. Maklumlah kad jemputan sudah diedarkan. Tak sabar nak tengok Datin Ida dimalukan. Dia akan pastikan wartawan tahu dan nama baik AB Group pasti akan terjejas. Bila hari itu tiba, dia akan jadi orang yang paling gembira.

 

                                    ******************************************

            SEBAIK saja melangkah masuk bilik ofis, Datin Ida menjerit sekuat hati. Dilepaskan rasa marahnya ketika itu. Dadanya berombak laju. Sakit hati selepas bercakap dengan Datin Annisa.  Sikit pun dia tak percaya cakap Datin Annisa tadi. Semua itu lakonan! Semua ini memang rancangan Datin Annisa. Ini bukan pertama kali Datin Annisa buat hal.

Tiba-tiba saja dada Datin Ida terasa sakit, dia segera membuka laci dan mengambil ubat. Ditelan pil itu. Dadanya digosok perlahan-lahan. Dia cuba menenangkan diri.

            Telefon pintarnya berbunyi.

            Datin Ida cepat-cepat menyelongkar bag tangannya dan telefon pintarnya dikeluarkan.

            Hello! Assalammualaikum, Diana! Macam mana?”

            Waalaikumussalam, Datin! Seperti yang kita jangka, Mr Lim dah lari ke luar negara.” beritahu Diana.

            Datin Ida mengetap bibir dan tangannya menggeletar seraya memegang telefon.

            Saya dah buat report polis. Saya ada pergi ke ofis Mr Lim tapi tutup. Pekerja-pekerja dia ada cakap tiba-tiba saja Mr Lim berhentikan mereka kerja. Lepas bayar gaji, Mr Lim terus hilangkan diri. Family Mr Lim sendiri tak tahu ke mana Mr Lim pergi.”

            Tak sangka Mr Lim sanggup buat auntie macam ni!” Datin Ida berasa bodoh kerana percayakan Mr Lim. Ini kelemahan dia! Mr Lim kawan baik arwah suaminya sebab itu dia bagi kepercayaan sepenuhnya uruskan projek renovation itu. Tak sangka ini balasan yang dia dapat. Hancur luluh hatinya ketika ini.

            Don’t worry, Datin! Saya cuba selesaikan masalah di sini. Saya akan stay di Kuantan sehingga opening nanti.”

            Diana rasa sempat ke siap? Nak cari contractor lain lagi. Security system pun tak settle lagi. Masa dah suntuk! Tinggal 8 hari saja lagi opening!”

            Insya Allah, Datin. Saya akan pastikan semuanya complete. Hari-hari saya akan update progress. Datin , I can handle this! Saya dah nak kena gerak, Datin! Bye! Assalammualaikum….”  kata Diana sebelum mematikan panggilan itu.

            Waalaikumussalam!” jawab Datin Ida. Wajah dia kembali tenang selepas bercakap dengan Diana. Mujurlah ada Diana. Dia tak tahu apa akan jadi kalau Diana tiada. Diana banyak membantu dia menguruskan syarikat. Dia bersyukur kehadiran Diana ada hikmahnya.

                       

                                    **************************************

            PINGGAN berisi bihun goreng diletakkan di hadapan Aziz. Dahi Mak Eton sedikit berkerut melihat betapa tekunnya Aziz menelaah. Pelik pun ada. Entah fail apa yang Aziz baca dari tadi sampaikan air teh tarik yang ada di sebelah tak disentuh langsung.

            Dah la tu baca! Kat dapur ni tempat makan, bukan tempat baca. Makan cepat bihun tu, dah sejuk nanti tak sedap!” Mak Eton bersuara.

            Ala, Mak Eton! Sikit saja lagi, bagi Aziz baca habis satu mukasurat saja lagi. Penting ni!” jawab Aziz.

            Ala, mak! Biaq la Abang Aziz baca! Penting sangat tu melibatkan masa depan!” Azhar menyampuk. Dia yang duduk di sebelah Aziz sejak tadi tersengih. Balik saja dari hotel tadi, Aziz begitu serius membaca. Bersungguh-sungguh nak lulus ujian itu semata-mata nak dapatkan ganjaran dari Diana.

            Suka hati hampa la.” kata Mak Eton.

            Pak Atan melangkah masuk.

            Aaa… Abang, awal balik!” Mak Eton bersuara sebaik saja bertentang mata dengan suaminya. Dia sempat jeling ke arah jam dinding. Baru pukul 6 petang. Selalunya suaminya akan balik bila dah senja.

            Mood Kak Ida tak baik hari ini.” jawab Pak Atan. Dia terus tarik kerusi dan duduk.

            Pasal apa, Pak Atan?” Aziz bertanya.

            Apa lagi, Datin Annisa tu la! Dia buat hal lagi.” jawab Pak Atan. Dia mengeluh perlahan.

            Perempuan tu buat hal apa pulak kali ini? Eeee… Sakit hati Eton bila pikiq pasal Datin Annisa tu!” Wajah Mak Eton terus bertukar bengis. Dari dulu lagi, dia memang tak suka Datin Annisa. Perempuan hipokrit! Hati tu memang busuk!

            Minggu depan kan opening showroom baru kat Kuantan, entah jadi ka tak? Kontraktor lari ! Rupa-rupanya renovation tak siap pun! Huru-hara jadinya. Mujurlah Diana tu terdetik hati nak pi tengok kat sana. Kalau la hari opening baru dapat tahu, tak tahu la apa nak jadi.” cerita Pak Atan dengan penuh perasaan.

            Tapi apa kaitan pulak dengan Auntie Annisa?” Wajah Aziz nampak blur. Kenapa pula Datin Annisa yang dipersalahkan?

            Itu la hang, tak pernah nak ambik tau pasal mak hang! Datin Annisa tu ada niat buruk kat mak hang. Perempuan macam Datin Annisa tu hati dia busuk!” Besar terus mata Mak Eton apabila mendengar pertanyaan Aziz. Geram rasanya apabila Aziz tak ambil serius pasal hal ini.

            Aziz tak faham la kenapa semua orang tak sukakan Auntie Annisa! Aziz tengok Auntie Annisa okey jer!” tambah Aziz lagi.

            Dada Mak Eton terus bergelora. Rasa panas telinga ini mendengar kata-kata Aziz.

            Dahi Pak Atan terus berkerut. Dipandang ke arah isterinya yang sudah berubah wajah. Aziz dah lupa ke yang isterinya dengan Datin Annisa memang tak sebulu sejak dulu lagi. Maklumlah bini dia geng Datin Ida.

            Itulah lelaki! Tengok orang dengan mata kasar saja! Mudah sangat tertipu! Luar memang nampak baik, tapi kat dalam hati tu penuh tipu muslihat. Datin Annisa tu bukan sebarangan orang, hang belum kenal dia macam mana kami kenal dia.” Intonasi Mak Eton terus tinggi. Rasa sakit hati apabila Aziz berpihak pada Datin Annisa.

            Aziz terus diam. Gerun apabila dirinya direnung sebegitu oleh Mak Eton. Kalau dia bersuara lagi, dah tentu dia ditelan hidup-hidup. Serta merta, Aziz mengunci mulut dia. Dipandang ke arah Azhar.

            Azhar memberi isyarat mulut supaya Aziz tak naikkan lagi kemarahan Mak Eton. Dapur ini boleh terbakar hangus dengan api kemarahan maknya.

            Cakap dengan hang, buat sakit hati saja. Baik Mak Eton naik atas, jumpa Kak Ida lagi baguih! Bihun ni tak payah makan, baik bagi Kak Ida makan.” kata Mak Eton. Sepantas kilat pinggan bihun goreng depan Aziz diambil . Buat bazir makanan saja kalau bagi makan kat orang yang tak tahu nak sebelahkan ibu sendiri! Mak Eton terus beredar dari situ dengan membawa pinggan tadi agar jauh dari Aziz. Tangan begitu pantas menyiapkan makanan dan minuman untuk Datin Ida.

            Mulut Aziz sedikit ternganga.

            Mak kalau bab Datin Annisa memang sensitif.” Azhar bersuara dengan nada perlahan. Bimbang jika Mak Eton terdengar.

            Aziz diam membisu. Badan masih keras kaku di kerusi.

 

Friday, November 25, 2022

PA Aku Ratu Sejuk Beku - Bab 9

 

Bab 9

 

            SEKALI lagi Aziz bangun, keluhan kuat dilepaskan. Dipandang ke arah jam dinding, jam pendek menunjukkan pukul 2 pagi. Kenapalah dia tak boleh tidur lagi? Sebab stress ke? Sejak dia mula bekerja, dia ada masalah nak tidur. Esok dia nak kerja lagi. Aziz mengalihkan posisi tubuh dari mengiring ke menelentang. Wahai mata, kenapalah susah sangat nak tidur ni?

            Tanpa buang masa, Aziz terus keluar dari biliknya. Rasanya dia perlu minum chamomile tea lagi,

            Dengan lampu suram di anak tangga, Aziz menuruni satu persatu anak tangga.

            Lembaga berambut panjang yang ada di hadapannya buatkan Aziz menjerit sekuat hati. Bergetar tubuh badannya. Mata terus dipejam rapat. Jantung berdegup laju. Bila masa rumah ini ada hantu? Itulah gatal sangat nak turun ke dapur masa begini. Dia ingin lari tetapi kakinya tak boleh nak gerak langsung. Takut punya pasal.

            You ni dah kenapa, hah? Pagi-pagi dah terjerit, nak semua orang dalam rumah ni terjaga ke?”

            Dahi Aziz berkerut mendengar suara yang sangat dikenali itu. Dia cepat-cepat membuka mata.

            Diana menyisir rambutnya yang menutupi separuh wajahnya tadi. Dia turut sama terkejut dengan jeritan Aziz.

            Aziz menghela nafas lega apabila Diana yang ada di hadapannya. Kalaulah benar-benar hantu, dia tak tahu la apa akan jadi. Diperhatikan Diana dari atas bawah, berdasarkan dari penampilan Diana sepertinya Diana baru balik dari kerja.

            Waktu-waktu ini baru balik kerja, awak ni biar betul! Ingat la sikit, awak tu perempuan. Bahaya balik lewat malam, tahu tak!” kata Aziz dengan wajah serius.

            Diana merenung Aziz.

            Kita ada masa bekerja kan? Tak payah nak kerja keras sangat la. Kalau kerja tak habis, esok boleh sambung kan!” sambung Aziz.

            You apa tahu, hah! Cakap saja lebih! Tepilah…” Diana bersuara. Dia terus menolak tubuh Aziz ke tepi.

            Aziz hilang pertimbangan selepas ditolak Diana. Mujurlah tangan dia sempat berpaut pada pemegang tangga. Lega dibuatnya. Kalaulah jatuh tadi, patah kaki tangan. Tak pasal-pasal masuk hospital.

            Mata Aziz tepat ke arah Diana. Selamba saja Diana mendaki anak tangga.

            Perempuan ni memang hati sejuk beku!” kata Aziz seraya mengetap bibir.

                                                *******************************

            LANGKAH Aziz terhenti apabila melihat tiada kelibat Diana di meja kerja. Semasa dia keluar pagi tadi, kereta HRV milik Diana sudah tiada. Selalunya awal-awal pagi sebegini, Diana sudah ada di ofis.

            Dia mana?” tanya Aziz pada Azhar.

            Kak Diana ada hal kat Kuantan. Kalau tak silap, pasal pembukaan showroom AB Jewels kat Kuantan awal bulan depan.”

            Hmm… Ya ke?” kata Aziz. Tiba-tiba ada senyuman di bibir Aziz. Kalau Diana tak ada, inilah peluang yang dia tunggu.

            Lama ke dia pergi? Dua hari? Seminggu?” tanya Aziz dengan sinar mata bercahaya.

            Petang ni Kak Diana balik!” jawab Azhar diakhiri dengan ketawa. Dia faham di sebalik soalan Aziz tadi. Ini mesti nak cari peluang ponteng kerja.

            Wajah Aziz terus masam. Ciss… sekejap aje pergi. Kalau pergi lama-lama kan bagus jugak! Semak kepala ni!

            Abang Aziz, cubalah serius sikit. Jangan asyik nak main-main saja.”

            Azhar tahu kan, aku ni bukannya ikhlas sangat nak kerja kat sini! Aku buat ni sebab terpaksa.”

            Azhar bingung. Dia sendiri tak tahu bagaimana nak nasihatkan Aziz lagi.

            Oh ya! Sebelum pergi tadi Kak Diana pesan, dia suruh Abang Aziz baca fail-fail yang dia bagi hari tu. Dia balik nanti dia nak buat test.”

            Apa! Test! Dia ingat aku ni budak-budak lagi ke, hah?” Aziz terus naik angin.

            Abang Aziz, rileks! Dengaq dulu.” Azhar cuba tenangkan Aziz.

            Begini, kalau Abang Aziz dapat markah 90 ke atas, Abang Aziz akan dapat semula kamera kesayangan Abang Aziz tu.” tambah Azhar lagi.

            Betul ke, Diana cakap macam tu?” Aziz seperti was was nak percaya.

            Betul!”

            Habis tu laptop aku?”

            Abang Aziz ni, jangan la gelojoh sangat. Orang dah nak bagi kamera balik, itu dah kira bagus.”

            Okey! Kamera pun dah kira okey! Berani betul Diana tu cabar aku! Apa dia ingat aku ni bodoh sangat! Pejam mata aku boleh skor 90 ke atas la. Aku ni pelajar cemerlang kat sekolah. Result aku semua gempak!” kata Aziz. Dia akan tunjukkan pada Diana. Biar Diana tu malu. Ada hati nak malukan orang.

            Azhar tersenyum lebar. Nampaknya plan Diana menjadi jugak.

            Assalammualaikum….”

            Waalaikumussalam.” Serentak Aziz dan Azhar menjawab.

            Wajah Aziz berubah dengan kedatangan Aizat. Dia memang tak suka dengan Aizat. Walaupun Aizat muda setahun darinya, perangai Aizat yang berlagak dan budget handsome tu, dia memang tak berkenanan langsung.

            Aaa…. Diana mana?” tanya Aizat dengan sejambak bunga ros di tangan. Seawal begini dia datang semata-mata nak ajak Diana breakfast bersama-sama.

            Diana ada hal kat Kuantan.” jawab Aziz dengan wajah serius.

            Aizat buat mimik muka tak puas hati. Kenapa susah sangat nak jumpa Diana? Petang ini, dia nak balik KL. Dia akan terbang ke Tokyo esok.

            Next time you call Diana dulu.” kata Aziz. Dia mengorak langkah masuk ke dalam bilik ofis. Dia memang tak boleh lama-lama bertentang mata dengan Aizat. Tak sebulu!

            Wah! Begini rupanya bilik MD AB Group, well well not bad!”

            Aziz berpaling ke belakang. Dia terkejut apabila Aizat turut sama mengekori dia masuk.

            Tanpa dipelawa, Aizat duduk di sofa. Jambangan bunga diletak di tepi.

            Sapa sangka akhirnya you bekerja jugak dengan AB Group. Iyalah, dulu kan you tak suka kerja kat sini sampaikan larikan diri ke luar negara.” Aizat tersenyum.

            Larikan diri? Dari mana you dengar gossip ni? I tak larikan diri pun, I kejar impian I dulu sebelum I ambil alih AB Group.” bohong Aziz. Dia cuba mengawal air mukanya agar Aizat tak syak sesuatu. Mana mungkin dia membiarkan Aizat memalukan dia.

            Oh, really?”  Senyuman Aizat penuh makna.

            Aziz memandang Aizat dengan renungan membara. Senyuman sinis Aizat menambahkan panas di hatinya ketika ini.

            Aaaa… Encik Aizat, nak minum apa?” Azhar bersuara. Dia dapat rasakan ketegangan antara mereka berdua.

            It’s okey! I dah nak balik. Lagipun I tak nak ganggu MD AB Group, Aziz mesti ada banyak kerja nak kena buat. Oh ya, bunga ni nanti Azhar bagi kat Diana yer. Tell her, I miss her!” Azhar bangun dan memberikan jambangan bunga itu pada Azhar. Dia tersenyum lebar.

            Baiklah!” jawab Azhar. Jambangan bunga itu bertukar tangan.

            Oh ya, Aziz! I harap you jangan bagi Diana kerja kuat sangat. Dia tu manusia biasa bukannya robot. Okeylah! I gerak dulu.” pesan Aizat dan terus beredar keluar.

            Wah! Dulu sampai sekarang, annoying giler si Aizat tu.” kata Aziz seraya mencekak pinggang. Dia terpandang jambangan bunga ros itu.

            Bak bunga tu, aku nak lempar kat tong sampah.” kata Aziz.

            Bos, tak boleh! Ini amanah orang, tetap kena bagi kat Kak Diana. Lagipun bos jangan bimbang, bunga ini tempatnya tetap kat tong sampah.” jawab Azhar dengan tersenyum lebar. Setiap kali Diana dapat bunga dari Aizat, jambangan bunga itu pasti dibuang ke dalam tong sampah.

            Aziz turut sama tersenyum.

            Okeylah! Azhar keluar dulu, tak nak ganggu bos study.” kata Azhar. Dia segera keluar dengan membawa jambangan bunga itu.

            Fail yang ada di atas meja diambil. Aziz duduk dan baring di sofa sambil membaca fail itu. Dia akan pastikan dia dapat semula kamera dia. Ini Ungku Aziz, takkan mengaku kalah. Tumpuannya kini pada isi kandungan dalam fail itu.

                                                *****************************

            SEKALI lagi Aziz menguap. Dia cepat-cepat menutup mulutnya tanpa mengeluarkan bunyi. Digeleng kepala beberapa kali agar hilang mengantuk. Mata yang mula layu itu dijegil luas. Lagi beberapa helai lagi nak habis baca. Aziz takkan mengalah dan dia akan berusaha habiskan membaca fail itu.

            Cawan kopi diambil dan kemudian dahi berkerut melihat cawan itu sudah kosong. Ingatkan ada lagi, tak sangka pula dah habis.

            Tiba-tiba pintu bilik diketuk.

            Azhar masuk seraya tersengih.

            Dah habis baca ka?”

            Sikit lagi tapi baru pasal AB Jewels.” Aziz mengeluh perlahan. Ditunjukkan fail yang dibaca selama sejam itu.

            Bos nak air kopi lagi ka?” tanya Azhar. Dia lihat cawan putih itu sudah kosong.

            It’s okey! Minum kopi pun, tetap tak boleh lawan rasa mengantuk.” jawab Aziz.

            Bos, Azhar nak minta izin nak keluaq sat. Sat ja, kat luaq ofis ja, nak jumpa orang.” Azhar tersengih hingga nampaknya giginya.

            Sapa? Buah hati ka? Yang mana satu? Mawar? Jenny?” tanya Aziz bertubi-tubi.

            Mastura.” jawab Azhar malu-malu.

            Mastura? Mastura mana pulak ni? Kasanova betul la! Banyak betui mak we !” Aziz terkejut. Tak sangka Azhar ni jejaka terhangat di pasaran. Senang betul dapat mak we, biasalah orang muda macam Azhar. Semangat tu lebih sikit. Nak sesuatu, terus dapat.

            Azhar ketawa.

            Pergi la.” Aziz memberi kebenaran.

            Okey! Terima kasih, bos! Bos  memang the best!” kata Azhar dengan suara gembira.

            Cepat. Aku nak sambung baca ni!” kata Aziz.

            Azhar cepat-cepat berlalu keluar.

            Aziz menyambung semula membaca. Tinggal lagi sehelai saja nak habis. Mata Aziz kini terbuka luas. Sedikit sebanyak berborak dengan Azhar tadi, rasa mengantuknya terus hilang.

                                    *******************************************

            TIBANYA di lobi, Aziz menoleh kiri dan kanan. Dia mencari kawasaan yang sesuai untuk dirinya. Dia tersenyum melihat ada beberapa meja kosong di hadapan air terjun buatan.

            Perfect!” Aziz tersengih. Dengan fail yang ada di tangannya, langkah dipercepatkan. Tempat ini sesuai untuk dia sambung membaca. Tiada sesiapa yang akan ganggu. Kena ubah angin jugak, takkan asyik nak baca kat dalam ofis saja. Bosan lepas tu asyik mengantuk saja. Menguap tu dah tak terkira. Sekurang-kurangnya bunyi air terjun memberikan ketenangan. Dalam masa yang sama dia boleh bayangkan yang kini dia ada di dalam hutan. Aman dan damai!

            Meja yang terletak di sudut yang jauh dari pandangan orang menjadi pilihan Aziz. Kerusi putih ditarik dan cepat-cepat Aziz duduk. Pandangan dia kini pada air terjun yang ada di depan matanya. Senyuman diukir di bibir. Tenang saja hati ini.

            Selepas beberapa minit perhatikan air terjun itu, Aziz segera membuka fail yang dibawanya tadi.

            Kamera! Kamera! Kamera!” kata Aziz berulang kali dengan nada perlahan. Itu penyuntik semangat dia membaca.

            Wajah Aziz mula serius membaca. Helaian demi helaian diselak.

            Kedengaran suara orang berbual hampiri meja Aziz. Badan Aziz terus kaku. Mujurlah dia duduk membelakangkan meja yang baru saja diduduki dua orang wanita. Risau jugak kalau ada orang kenal dia maklumlah satu bangunan ini kenal siapa dia.

            Cik Diana tak ada kan hari ini?”

            Dengar-dengar dia ada hal kat Kuantan.”

            Bagus la dia tak ada. Setiap kali terserempak Cik Diana, macam nak gugur jantung aku ni. Hari tu sedap-sedap saja dia tegur aku, aku bukannya sengaja tak nak basuh muk aku guna hari tu, aku dah lewat nak pergi meeting, so aku tinggal dulu kat sinki, nanti lepas meeting, aku basuh la. Cik Diana kata, company ni tak ada hired tukang basuh muk, jangan tahu letak saja muk tu. Tahu minum, basuh la sendiri. Wah, mulut Cik Diana tu memang tak ada insuran betul. Geram aku masa tu.”

            Ala…. Semua orang kat bangunan ni semuanya pernah kena sound dengan Cik Diana. Ingat tak dengan Mak Siti cleaner, Mak Siti berhenti pun sebab Cik Diana. Siapa nak tahan kalau asyik kena marah dengan Cik Diana.”

            Betul tu! Kita ni manusia, ada perasaan! Cik Diana tu saja macam tak ada  perasaan. Muka tu kelat memanjang. Nak senyum, jangan harap la. Sebab tu orang bagi macam-macam gelaran kat dia! Red witch la! Black witch la! Iyalah! Asyik pakai baju color merah dengan hitam saja!”

            Bukan tu saja, ada lagi! Ratu sejuk beku la! Ratu muka kelat la! Cik Medusa la! Macam-macam gelaran ada.”

            Tu la pasal! Tapi Datin Ida memang sayang teramat sangat kat Cik Diana tu. Apa-apa pun Cik Diana buat, semuanya okey. Cik Diana buat salah pun, Datin Ida pejam mata saja.”

            Sejak dari tadi, Aziz mencuri dengar perbualan mereka berdua. Hilang terus tumpuan dia membaca. Dia sudah agak mesti pekerja-pekerja tak suka Diana. Iyalah dah la dingin lepas tu mulut celupur pulak tu, siapa nak kawan! Tanpa disedari, Aziz dekatkan diri dengan mereka berdua agar dapat dengar dengan lebih jelas lagi.

            Bos! La kat sini rupanya, puas satu ofis cari.”

            Air muka Aziz berubah apabila dengar suara Azhar. Dia berpaling dan melihat Azhar tersengih ke arahnya. Kenapa la Azhar datang masa ni? Baru nak dengar apa mereka dua ni nak gossip lagi pasal Diana. Kacau daun la, Azhar ni!

            Dua orang pekerja wanita itu terkejut dan terus bangun apabila sedar siapa yang ada di meja berdekatan dengan mereka. Wajah mereka berdua pucat lesi. Dah tak tentu arah jadinya.

            Aaaa…. Encik Aziz! Kami tak tahu Encik Aziz ada kat sini. Aaaa… Kami gerak dulu, ada banyak kerja nak buat.”

            Aziz hanya mampu tersenyum. Dia melihat mereka berdua begitu laju beredar dari situ.

            Pasal pa dengan depa tu? Jalan laju nak mampus macam nampak hantu.” kata Azhar. Dia pun pelik melihat mereka berdua. Kerusi ditarik dan terus duduk. Selepas dia jumpa mak we dia tadi, dia terkejut melihat Aziz tiada dalam ofis. Bimbang jugak kalau Aziz lari tapi apabila nampak telefon pintar Aziz ada atas meja, dia rasa lega. Itu bermakna Aziz ada dalam bangunan itu. Satu persatu tingkat dia cari akhirnya dia jumpa Aziz di lobi. Macam mana la dia tak boleh nampak Aziz tadi sebelum naik semula ke ofis?

            Sebab Azhar la! Aku baru dok syok nak dengar mereka gossip, tiba-tiba saja Azhar panggil. Kantoi la.”

            Laaa… Tak sangka bos suka gossip tapi depa gossip pasal sapa?” tanya Azhar seraya tersenyum.

            Rahsia.” jawab Aziz.

            Share la… Depa gossip pasal sapa?” tanya Azhar lagi.

            Azhar kecik lagi, tak sesuai dengar.” kata Aziz diakhirnya gelak tawa. Seronok bila dapat usik Azhar.

            Mulut Azhar terus muncung.




 

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...