Friday, November 24, 2023

AKAN DATANG - DIA MENARIK PERHATIANKU

 



DIA 

MENARIK PERHATIAN KU 

SETIAP SABTU

PANAHAN MATAMU - PENERBITAN KARYASENI

 


Syukur alhamdulillah, Panahan Matamu telah diterbitkan oleh Penerbitan Karyaseni. Saya bersyukur sangat-sangat kerana diberi peluang berkerjasama dengan pihak Karyaseni sekali lagi. Ini merupakan karya saya yang ke-10 bersama Karyaseni.

Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang menyokong saya selama ini. Pejam celik pejam celik sudah 11 tahun, saya berkecimpung dalam bidang penulisan ini.

Kini novel Panahan Matamu sudah berada di pasaran. Boleh dapatkan di shopee karyaseni dan kedai-kedai buku yang berhampiran.

Thank you and always be thank you....
And pray for Palestine.....

Monday, November 20, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 10

 


Bab 10

            HARI Sabtu, Dina keluar bersama-sama Darina, Eiman dan Eiyad. Mereka berempat berjalan di shopping mall.

            Eiyad seronok dapat keluar. Dia tersenyum seraya memegang tangan Eiman.

            “Tengok tu! Senyuman sampai telinga. Bab nak habiskan duit pak cik dia memang nombor satu. Dekat papa sendiri tak berani nak minta.” Dina menghela nafas panjang. Hari-hari tanya bila dapat gaji? Dah hujung bulan ke? Mulut ini dah berbuih-buih menjawab. Nasib baik la Eiman menawarkan diri untuk membeli mainan untuk Eiyad. Selamat duit dia.

            Dina dan Darina berjalan bersama-sama. Dibiarkan Eiman dan Eiyad berjalan dahulu.

            “Minggu ni Dina nampak ibu macam moody saja? Kenapa?” tanya Dina pada kakaknya. Nak bertanya sendiri, takut kena marah dengan ibunya.

            “Aaa….. Esok tok ma dengan Auntie Emilia datang.” Jawab Darina.

            “ Aaaaaaa……. Patut la ibu moody! Mereka berdua tu pun satu, apa hal pulak nak datang rumah kita? Kalau datang setakat nak menunjuk, baik tak payah datang.” Dina tak suka dengan perangai nenek dan ibu saudaranya itu. Dah la sombong, cakap besar pulak tu. Macam la dia orang bagus sangat.  Sebab itu la hari itu ibunya suruh dia dan Eiman pergi pasar malam.

            “Kak Darina pun tak faham la dengan mereka berdua tu. Masing-masing dah tua, bertaubat la. Kita semua satu keluarga kot.” Darina mengeluh perlahan.

            Mereka berempat memasuki kedai mainan. Dina dan Darina berbual sesama mereka manakala Eiman menemani Eiyad mencari mainan.

            Selepas tiga puluh minit, mereka berempat pergi makan di Pizza Hut atas permintaan Eiyad. Sambil makan, mereka bertiga melayan kerenah Eiyad yang tak henti-henti berceloteh.

            Sebelum keluar dari shopping mall, mereka berempat singgah di grocery store. Ada barang yang perlu dibeli sebelum balik rumah. Dina dan Eiman sudah hilang mencari barang. Manakala Eiyad ada bersama dengan Darina.

            “Mak Ngah! Eiyad nak air chocolate.” Beritahu Eiyad pada ibu saudaranya yang sedang mencari sesuatu di bahagian frozen.

            “Pergi tapi jangan merayau tempat lain.” Pesan Darina.

            Eiyad terus berlari ke arah bahagian minuman sejuk.

            Darina memerhati Eiyad beberapa saat sebelum mengambil sosej ayam. Dia terkejut apabila Eiyad terus memeluk kaki Darina.

            “Ibu! Ibu! Ibu!” panggil Eiyad.

            “Eh! Eh! Kenapa ni?” Darina terkejut apabila dipanggil sebegitu.

            “Pasal apa?” Dina yang baru saja mendekati mereka berdua terpinga-pinga dengan telatah Eiyad.

            “Tiba-tiba Eiyad panggil Kak Darina ibu.” Jawab Darina. Dia mengusap rambut Eiyad.

            “Ibu?” Tiba-tiba Dina teringat rahsia dia dan Eiyad. Dia terus melihat ke sekeliling mencari.

            “Eiyad! Lelaki yang sama ke?” tanya Dina.

            “ Ya.” Jawab Eiyad. Dia terus mendekati Dina.

            Dahi Darina berkerut. Tak faham dengan apa yang berlaku.

            “ Dia buat apa kat Eiyad?” tanya Dina lagi.

            “Dia ambilkan air chocolate Eiyad sebab Eiyad tak sampai.” Beritahu Eiyad.

            “Hmm….. Ya ke? Ingatkan apa la tadi.” Dina menarik nafas lega. Ingatkan lelaki itu kacau Eiyad.

            “Cuba beritahu, cakap pasal apa ni?” tanya Darina dengan wajah serius. Dia dapat rasakan yang dirinya berada di awang-awangan.

            Dina tersengih. Kemudian dia menceritakan apa yang berlaku pada kakaknya. Sedikit demi sedikit wajah Darina berubah keruh.

            “ Kamu ni Dina, agak-agak la nak ajar Eiyad macam tu! Eiyad tu kecil lagi, suka sangat ajar Eiyad yang bukan-bukan.” Marah Darina.

            Dina memandang ke arah lain. Tak pasal-pasal terpaksa dengar leteran kakaknya.

            “Eiyad nak protect Mak Ngah. Jangan la marah Mak Lang!” kata Eiyad. Dia terus memeluk kaki Dina. Masam terus muka Eiyad.

            Darina menggelengkan kepala. Nak marah tapi ada orang yang membela.

            “Tengok! Eiyad pun tahu. Kami ni berniat baik. Kami nak protect Kak Darina dari lelaki-lelaki jahat yang ada kat KL ini. Betul tak, Eiyad?” kata Dina dan terus mendokong Eiyad. Fuh, semakin berat. Maklum la penuh dengan isi. Nasib baik larat angkat lagi.

            “Betul!” pantas Eiyad menjawab.

            Darina mengetap bibir dengan telatah mereka berdua.

            “Aaaa…. Buat drama apa pulak kat sini? Dah ambil barang yang nak beli ke? Jom beratur, orang dah mula ramai kat kaunter.” Eiman muncul dengan membawa troli. Dia melihat kakak-kakaknya. Macam ada benda terjadi semasa dia tiada.

            “ Am I missing something?” tanya Eiman seraya melihat ke arah Dina dan Darina.

            “Nothing! Jom bayar!” jawab Darina dan terus melangkah pergi. Balik rumah nanti dia akan cakap pasal hal ini dengan Dina.

            Selepas Darina berlalu pergi, Eiman mendekati Dina.

            “ Kali ini, Kak Dina buat apa lagi sampai Kak Darina marah?” tanya Eiman dengan suara perlahan.

            “ Mana ada!” jawab Dina. Sambil mendukung Eiyad, dia mengekori jejak langkah kakaknya.

            “ Ya la tu! Macam la orang percaya.” Kata Eiman sebelum menolak troli. Apa-apa pun balik nanti dia akan selidik apa yang berlaku sebenarnya.

                                                **************************

            JAZLI ketawa terbahak-bahak selepas mendengar cerita abang sepupunya itu. Rasa lucu! Dia tak pedulikan mata-mata yang ada di dalam coffee cafe itu.

            “ Slow down suara tu! Malu la kat orang.” Tegur Imran memandang kiri dan kanan. Ketawa Jazli menarik perhatian pelanggan yang ada.

            “Sorry! Sorry!” kata Jazli setelah berhenti ketawa.

            “Muka aku ni scary sangat ke? Budak lelaki itu terus lari kat ibu dia selepas tengok aku. Niat aku just nak tolong saja. Salah ke?” Imran mengeluh perlahan. Semasa dia nak jumpa Jazli tadi, dia singgah di grocery store dalam shopping mall ini untuk membeli barang yang dipesan neneknya, tak sangka pula terjumpa dengan budak lelaki yang di jumpa di café hari itu. Dia melihat budak lelaki cuba mengambil botol air chocolate tetapi tak sampai. Selepas dia menolong, budak lelaki itu terus berlari ke arah ibunya. Dia terus panik dan berlari dari situ.

            “Aku tak tahu. Kau kena tanya sendiri kat budak lelaki tu.” Jawab Jazli.

            Imran terdiam sebentar dan terus menyandarkan diri di kerusi.

            “ Aaaa…  Kau dengan Dina macam mana? Korang dah bercakap ke?” Tiba-tiba Imran teringat pasal Jazli dan Dina. Jazli ada cerita pasal Dina padanya.

            “ Belum. Aku busy! Dia pun busy!” jawab Jazli. Lagipun klinik gigi dia baru saja buka beberapa hari yang lalu. Alhamdulillah ramai jugak yang datang. Rezeki dari Allah Ta’ala.

            “ Laaa…. Sekarang ni zaman teknologi, ada phone kan! Call kan senang! No telefon Dina, kau ada tak?” tanya Imran.

            Jazli menggelengkan kepala.

            “Kau ni slow la! Kau minta la kat adik dia. Kau kan rapat dengan Eiman tu.”

            “Aku tak berani la. Dina tu ada angin jugak. Hari itu dia tengok aku jeling-jeling lagi. Tengok la macam mana nanti.” Jawab Jazli. Rasa belum lagi masa yang sesuai untuk dia berjumpa dengan Dina.

            “ Ingat! Ada sebab kenapa semua ini terjadi! Selepas apa yang kau lalui, kau berjumpa dengan first love kau. Aku ingat lagi kau menangis teresak-esak bila Dina pindah sekolah.” Pesan Imran. Dia tersenyum.

            Jazli turut sama tersenyum. Faham di sebalik kata-kata abang sepupunya itu. Dia gembira sangat-sangat setelah mendapat tahu Dina adalah orang yang sama. Selepas Dina berpindah, dia terus lost contact dengan Dina. Tak sangka selepas dia berpindah ke KL, dia berjumpa semula dengan Dina.

                                                ****************************

            TEPUNG talam yang baru dipotong oleh Eiman terus dimasukkan ke dalam mulut Dina. Mata terbeliak luas sambil makan.

            “Okey tak rasa dia?” tanya Eiman.

            “Okey sangat-sangat.” Jawab Dina seraya mulut penuh dengan tepung talam.

            Eiman mengambil satu kepingan dan dimasukkan ke dalam mulut. Sedap jugak. Resipi yang dia ambil di internet nampaknya menjadi.

            Darina muncul di ruang dapur.

            “Eiyad dah tidur ke?” tanya Dina pada Darina.

            “Dah penat agaknya main dengan lori yang baru beli tadi. Tidur sampai mulut terbuka. Tidur pun dok peluk lori tu lagi.” Cerita Darina diakhiri dengan gelak ketawa.

            “Kak Darina, rasa la!” Eiman memberikan pinggan yang ada tepung talam pada Darina.

            “Jadi jugak.” Kata Darina sebelum makan. Dia menggangguk kepala memberitahu sedap.

            “Laaa….. Kat sini semuanya rupanya!” Puan Dariah yang baru balik dari farmasi melangkah masuk ke dapur. Masa dia masuk rumah tadi, dia rasa pelik apabila sunyi sepi sedangkan semua kereta ada kecuali kereta Mercedes Benz milik Erjaz.

            “ Eiyad mana?” tanya Puan Dariah apabila menyedari tiada kehadiran cucunya di situ.

            “Tidur. Ibu rasa la, Eiman try buat tepung talam tadi menjadi!” jawab Dina seraya memberikan satu potongan tepung talam pada ibunya.

            Puan Dariah terus makan. Memang sedap. Dia akui yang Eiman ada bakat memasak jika nak dibandingkan dengan kakak-kakaknya.

            “ Kamu berdua ni tak rasa malu ke adik lelaki kamu yang masak kat kamu! Ingat sikit kamu berdua tu orang perempuan, kerja tinggi macam mana pun tetap kena pandai memasak.” Puan Dariah memandang Dina dan Darina.

            “Ibu! Sekarang ini orang sudah tak kisah perempuan ke lelaki ke yang pandai masak. Lagipun dah trend lelaki pandai memasak dari perempuan.” Jawab Dina.

            “ Habis tu kalau tak pandai masak, kamu pandai apa?” Puan Dariah mengetap bibir. Ada saja jawapan dari Dina. Mulut tu tak pernah nak diam.

            “Pandai cari duit la. Tak boleh masak, boleh saja makan kat luar. Banyak kedai makan yang sedap-sedap kan! Siapa nak support dia orang kalau bukan kami, kami yang tak reti masak. Betul tak, Kak Darina?” jawab Dina lagi.

            Berkerut dahi Darina setelah Dina mengajukan soalan padanya. Dia menyedari perubahan wajah ibunya. Tak berani dia nak jawab soalan adiknya. Cari nahas!

            “ Ibu tegur saja ,ada saja jawapan kat mulut tu.” Balas Puan Dariah.

            “Ibu! Tok ma dengan Auntie Emilia jadi ke datang rumah esok?” tanya Eiman secara tiba-tiba. Dia cuba mengubah topik.

            “Tak jadi datang! Ayah kamu cakap yang kita semua tak ada kat rumah.” Jawab Puan Dariah dengan senyuman di bibirnya. Dia gembira selepas mendapat panggilan dari suaminya pagi tadi.

            “Yes! Yes! Tak payah nak dengar sindiran tok ma dengan auntie Emilia tu. Dah la berlagak lepas tu cakap besar, perasaan diri tu bagus sangat.” Dina turut sama tumpang gembira dengan berita ini. Dia menadah kedua-dua tangan dan bersyukur.

            Puan Dariah menggelengkan kepala dengan telatah Dina. Walaupun Dina selalu melawan cakap dia tetapi Dina yang selalu menyebelahi dia tiap kali berhadapan dengan ibu mertua dan adik iparnya.

            “Dah, tak payah nak over sangat, Dina! Ibu nak naik atas solat Asar!” kata Puan Dariah. Dia terus meninggalkan mereka bertiga.

            “ Dia orang tak jadi datang! Bestnya! Aman dunia ni!” tambah Dina. Mata dia bersinar-sanar. Mujurlah neneknya dan ibu saudara dia tu tinggal kat Johor Bharu. Tak la selalu kerap sangat datang rumah. Kalau tak, buat menyemak saja!

 


Sunday, November 19, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 9


 

Bab 9

            PAGI ini Puan Dariah melangkah masuk ke dalam kedai runcit Puan Hajar. Dia sengaja datang ke sini untuk melihat perkembangan proses renovation di farmasi yang akan selesai dua minggu lagi.

            Puan Hajar menyedari kehadiran sahabat dia dan memberi isyarat menunggu kerana hari ini ramai pelanggan sedang beratur untuk membayar di kaunter. Dia menolong pekerjanya mempercepatkan proses pembayaran.

            Puan Dariah faham dan kemudian melangkah keluar. Dia melihat Eiman Kopitiam dan Klinik Haiwan Dino yang terletak berhadapan kedai runcit Puan Hajar. Dia melihat Eiman Kopitiam yang dipenuhi dengan pelanggan. Keluahan berat dilepaskan.

            Pandangan Puan Dariah beralih pula melihat klinik milik Dina pulak. Ramai juga orang keluar masuk membawa kucing dan anjing. Semakin berkerut dahi Puan Dariah. Tak sepatutnya semua ini terjadi, dia sudah plan untuk mereka berdua sejak kecil lagi. Dia mahu Dina jadi doktor pakar sakit puan manakala Eiman pula menjadi doktor pakar bedah ortopedik. Tetapi semuanya hancur, selepas dua orang anaknya itu memilih bidang lain.

            Sorry! Ramai pulak pelanggan hari ini.” Kata Puan Hajar.

            “ Kedai Eiman tu hari-hari ke ramai orang macam sekarang ni?” tanya Puan Dariah.

            “Setiap hari ramai. Makanan memang sedap. Ramai orang puji. Kadang-kadang tu orang sampai beratur. Dah sedap murah pulak tu. Jom la kita pergi makan kat sana. Eiman mesti seronok kalau ibunya sendiri datang.” Beritahu Puan Hajar. Dia selalu jugak makan kat situ. Ternyata Eiman berbakat memasak seperti ibunya.

            “ Tak nak! Kalau aku pergi, itu bermakna aku setuju dengan pilihan Eiman. Aku nak dia jadi doktor bukannya jadi chef lepas tu buka kedai makan sendiri. Aku ingat business Eiman ni takkan tahan lama. Lain pula yang jadi.” Puan Dariah mengetap bibir.

            “Kamu Dariah, jangan la ikutkan hati sangat. At least anak-anak kau, ada usaha dan bekerja. Tengok aku ni, ada biawak hidup dua ekor kat rumah aku. Dah graduate bertahun-tahun, suruh cari kerja, macam-macam alasan bagi. Suruh kerja kat kedai runcit aku ni, pun dia orang tak nak jugak. Asyik besarkan badan saja.” Nasihat Puan Hajar.

            “Kau tahu kenapa aku nak dia orang jadi doktor.”

            “Aku tahu tapi Erjaz tu dah jadi doktor otak. Lepas tu Darina doktor bius. Takkan tak cukup lagi. Si Dina tu doktor haiwan. Itu dah lebih dari cukup, Dariah ooiiii….” Tambah Puan Hajar lagi.

            Puan Dariah mengeluh perlahan.

            “ Minggu ni ibu mertua aku dengan adik ipar aku datang. Mesti datang nak sindir aku lagi la.” Beritahu Puan Dariah. Dia tak suka dengan kedatangan mereka berdua. Mentang-mentang la dia bukan menantu pilihan.

            “Apa masalah mereka berdua tu, hah? Dah berpuluh-puluh tahun kau dengan Ehsan kahwin, kenapa mereka tu tak puas hati lagi? Macam la mereka berdua tu perfect sangat.” Puan Hajar tahu konflik antara sahabat baiknya itu.

            Pandangan mata Puan Dariah terpaku ke arah lelaki yang keluar dari klinik gigi.

            “Tu siapa, Hajar?” Puan Dariah berminat nak tahu.

            “Itu Dr Jazli. Ala doktor gigi yang aku cerita kat kau. Esok klinik dia baru buka. Single lagi. Sebaya Dina. Sesuai untuk Dina. Handsome pulak tu. Dalam family kau belum ada doktor gigi kan! Tu …..calon sesuai untuk Dina. Baik budaknya.” Jelas Puan Hajar dengan panjang lebar.

            Puan Dariah mengeluh kuat.

            “ Macam la kau tak kenal dengan perangai Dina tu. Spesis haiwan liar. Kau rasa ada ke lelaki dapat jinakkan Dina. Bela gajah liar lagi senang.” Jawab Puan Dariah. Semua lelaki yang dia kenalkan dengan Dina, semuanya lari dan tak mahu jumpa dengan Dina lagi.

            “Kau ingat senang nak bela gajah liar? Belum apa-apa lagi, gajah liar tu dah pijak kau.” Puan Hajah ketawa kuat.

            Puan Dariah malas nak melayan. Pandangan beralih ke arah lelaki yang sedang menyusun pasu-pasu bunga di luar klinik itu. Rasa macam pernah nampak saja tapi kat mana?

                                                **********************

            SELESAI saja tugas di dapur, Eiman keluar selepas tiada lagi pesanan pelanggan. Dia melihat dalam kedainya yang masih penuh dengan orang walaupun sudah pukul 11 pagi. Ada kelibat yang sangat dia kenali di dalam kedai itu. Langkah diatur hampiri meja itu.

            “Assalammualaikum, Dr Jazli!”

            “Waalaikumussalam! Panggil saja Abang Jazli, kan lagi mesra. Makanan kat sini memang sedap. Pagi-pagi boleh la Abang Jazli breakfast kat sini. Maklum la jawatan orang rumah masih kosong lagi.” Jawab Jazli sambil itu dia berselorah dengan Eiman.

            Eiman turut sama ketawa dan terus duduk.

            “ Cukup ke makan bihun goreng saja. Order la lagi. Kuih-muih pun ada.”

            “ Ini dah lebih dari cukup. Ini kuih pau dua biji belum makan lagi.” Jawab Jazli. Dia tersenyum.

            “ Eiman, nanti Kak Dina pergi ambil Eiyad.” Dina muncul di hadapan mereka berdua.

            Eiman menganggukkan kepala tanya setuju. Sepatutnya dia yang ambilkan tapi kalau Dina nak ambil, dia tak kisah pun.

            “Dr Dina jemput makan!” pelawa Jazli. Dia tersenyum.

            Dina mendengus kuat dan menjeling sebelum berlalu pergi.

            Jazli terkejut. Tiba-tiba dihadiahkan jelingan tajam oleh Dina.

            “Aaaa…. Abang Jazli ada buat salah ke?” Jazli menoleh dan bertanya pada adik Dina.

            “Abang Jazli tak buat salah pun. Biasa la orang perempuan, moody tak kena tempat. Kak Dina memang macam tu pun. Biarlah kat dia.” Jawab Eiman. Hakikatnya dia tahu sebab apa Jazli dilayan sebegitu. Kakaknya telah ceritakan apa yang berlaku. Rasa tak percaya pun ada. Mustahil la Jazli bertindak sebegitu. Apa-apa pun dia malas nak berfikir. Apa hak dia nak hukum orang?

            “Ooo…. Nak tanya, nama penuh Dr Dina …. Farah Dina kan!” Jazli beranikan diri untuk bertanya.

            “Ya.” Jawab Eiman.

            “Sebenarnya kawan Abang Jazli ada nama Farah Dina. Masa sekolah tingkatan satu dengan tingkatan dua sama-sama tapi bila tingkatan tiga, kawan Abang Jazli pindah KL. Muka dia ada iras-iras Dr Dina.” Cerita Jazli. Semasa pertama kali jumpa Dina, dia ingin bertanya tapi tak berani.

            “ Hmm…. Sebelum kami berpindah ke KL, kami tinggal kat Ipoh. Maksud Abang Jazli, SMK Raja Permaisuri Bainun!” Mata Eiman terus bulat.

            “Ya! Betul!” jawab Jazli. Kemudian tersenyum gembira.

            Mulut Eiman terus ternganga kerana terkejut. Mesti kakaknya terkejut bila dapat tahu.

                                                            ******************

            “WHAT!!!!!!!!!!!”

            Suara Dina bergema di dalam bilik tidurnya selepas mendengar cerita dari Eiman. Memori semasa berumur 13 tahun mula bermain di fikiran dia.

            “Eee…. Boleh pekak telinga ni, suara tu perlahan sikit!” Eiman memegang kedua-dua telinganya. Boleh pecah gegendang telinga ni dengar suara kakaknya menjerit.

            Dina segera bangun dan menuju ke laci meja solek. Dikeluarkan kotak kecil yang mengandungi gambar masa dia kecil dulu. Satu demi satu kepingan gambar diselak. Akhirnya dia jumpa gambar dia bersama budak lelaki yang gemuk. Diamati wajah budak lelaki itu, sememangnya ada iras.

            Eiman mendekati kakaknya yang masih melihat gambar.

            “ Ini Abang Jazli ke? Comelnya! Kulit dia memang putih melepak masa budak-budak.” Eiman bersuara.

            “ Dr Jazli dengan Jazli Pau orang yang sama? Biar betul!” Dina masih tidak dapat menerima kenyataan. Otak macam tak boleh nak proses.

            “Jazli pau?” Eiman terkejut.

            “Aaaa… Masa sekolah dulu, dia suka sangat makan pau. Dia boleh habiskan makan 10 biji pau seorang diri. Kalau masa makan, dia asyik beli pau saja kat kantin. Jadi budak-budak lain panggil dia Jazli pau. Lepas tu dia orang ejek dia macam-macam.” Cerita Dina.

            “Lepas tu Kak Dina yang selamatkan Abang Jazli kan! Masa Abang Jazli kena buli, Kak Dina pertahankan Abang Jazli lepas tu Abang Jazli kawan dengan Kak Dina.” Kata Eiman. Dia masih ingat lagi yang ada satu hari itu ibu bapa dia dipanggil ke sekolah kakaknya sebab bergaduh dengan kawan sekelas. Bayangkan la empat orang budak lelaki berlawan dengan kakaknya tapi kakaknya yang menang. Maklum la kakaknya belajar taekwando selepas tu pulak bapak saudara mereka ada boxing gym. Siapa yang berani cabar kakaknya, silakan!

            “ Mereka semua tu jahat. Dah la ejak Jazli tu macam-macam lepas tu pulaukan dia. Mula-mula tu memang Kak Dina nak biarkan sebab Kak Dina dah janji dengan ayah ibu takkan gaduh lagi tapi …. Kak Dina tak boleh nak biarkan bila ketidakadilan berlaku di depan mata. Terus saja Kak Dina meletup. Kak Dina dah nasihat tapi dia orang tetap tak nak dengar lepas tu siap cakap lagi. Kalau kami nak buat jugak, kau boleh buat apa?” cerita Dina seraya mengajuk cakap budak-budak lelaki yang buli Jazli dulu.

            “ Dia orang boleh cakap macam tu kat Kak Dina. Nak tengok sangat Kak Dina boleh buat apa? Seekor demi seekor, Kak Dina bagi penumbuk. Anak jantan lembik. Masa kena panggil dengan cikgu, Kak Dina cerita hal sebenar. Memang Kak Dina kena amaran tapi Kak Dina tak kisah pun, Kak Dina ada di pihak yang benar. Buat apa takut? Lepas tu Jazli ikut saja ke mana Kak Dina pergi, tiada siapa berani buli Jazli lepas tu. Kami BFF sampai tingkatan dua.” Tambah Dina lagi. Teringat saat mereka berdua berkawan. Makan sama-sama dan juga belajar sama-sama. Dia happy berkawan dengan Jazli. Orangnya sweet dan baik.

            “Wah! Kak Dina memang hebat dari dulu. Tak pernah takut dengan sesiapa pun! Gangster sekolah. Thumbs up!” kata Eiman seraya mengangkat kedua-dua ibu jarinya. Dia tersengih.

            “Eh, budak ni! Ini puji ke sindir?” Dina menjegil mata pada adiknya.

            Eiman ketawa kecil.

            “Tapi Kak Dina, pasal apa Kak Dina nampak Abang Jazli dengan perempuan tu, rasanya baik Kak Dina tanya dulu Abang Jazli sebelum buat andaian sendiri. Tadi pagi tadi masa Eiman borak dengan Abang Jazli, ada orang call tapi Abang Jazli buat tak tahu. Banyak kali berbunyi tapi buat tak endah saja. Lepas tu bunyi mesej, Eiman sempat nampak kat skrin phone Abang Jazli. Maafkan I, please bagi I peluang. Kak Dina rasa apa maksud mesej tu? Mesti ada something terjadi!” cerita Eiman.

            Dina terdiam dan berfikir selepas mendengar cerita Eiman.


Friday, November 17, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 8


Bab 8

SEBULAN berlalu ……

            Masa waktu rehat, Dina mengajak Noor, Abu dan Ina makan di luar. Ada kedai makan masakan Thai yang baru dibuka di belakang klinik. Boleh jugak tukar selera, hari-hari makan nasi bungkus, boson jugak. Makan nasi goreng lepas tu tom yam, mesti berselera makan.

            Beberapa tapak melangkah, kedengaran suara Puan Hajar memanggil.

            Mereka berempat berhenti dan menoleh.

            “ Ramai-ramai ni nak pergi lunch ke?” tanya Puan Hajar.

            “Ya. Ada apa mak cik Hajar?” tanya Dina. Dia menyedari ada seorang lelaki mengekori Puan Hajar.

            “Ini mak cik nak kenalkan dengan kamu semua, Dr Jazli! Dia la yang akan buka klinik gigi sebelah Eiman Kopitiam nanti.” Puan Hajar memperkenalkan lelaki berkulit putih dan bercermin mata itu.

            Dina tersenyum dan memandang lelaki itu. Rasa macam familiar saja!

            “Ini Dr Dina! Ini pula Dr Noor! Ini pula Abu dengan Ina. Mereka semua kerja kat klinik haiwan. Dah dua tahun, klinik haiwan ini buka. Dina ni kakak pada pemilik Eiman kopitiam.” Tambah Puan Hajar lagi.

            “ Selamat berkenalan semua! Datang la klinik gigi saya, jangan risau saya akan bagi diskaun untuk semua orang.” Jazli bersuara dan tersenyum.

            “ Ya ke? Belum apa-apa lagi dah nak bagi diskaun. Semoga Dr Jazli dimurahkan rezeki. Amin!” kata Abu. Dia tersengih.

            “Okey la! Kami nak pergi ke Mei Florist pulak.” Kata Puan Hajar.

            “Jumpa lagi!” kata Jazli sebelum mengekori Puan Hajar.

            “Peramah betul Dr Jazli tu.” Puji Noor.

            “Tak sombong pulak tu!” balas Ina.

            “Tapi rasa macam pernah nampak Dr Jazli tu, kat mana?” Dahi Dina berkerut.

            “ Kenapa? Dah jatuh hati ke?” usik Noor.

            “ Selalunya itu ayat orang selalu guna bila nak mengorat!” Ina ketawa kecil.

            “Mana ada! Betul la rasa macam pernah jumpa! Biarlah! Jom!” jawab Dina. Bila diusik macam itu, dia malas nak cakap lagi. Dia memulakan langkah dan kemudian berhenti dan berpaling ke belakang. Kat mana yer?

                                                *********************

           

            JAZLI menyentuh lembut bahu abang sepupunya setelah melangkah masuk ke dalam kedai mamak. Mereka berdua sudah berjanji berjumpa selepas pukul 6 petang.

            “Termenung apa sampai macam ini sekali? Teringatkan Miss Lawa ke?” kata Jazli. Dia menarik kerusi dan duduk berhadapan Imran.

            “Aku ingatkan aku dah jumpa bintang hati aku tapi ….. rupa-rupanya mak orang. Jazli, jantung aku ni pertama kali berdegup kencang macam tu masa terlanggar dia kat luar toilet. Orangnya lemah-lembut lepas tu sopan santun bila bercakap. Dengar suara dia saja, aku dah lemah lutut. Bila budak lelaki cakap, itu mak dia! Harapan aku terus berkecai.” Jawab Imran kemudian diakhiri dengan keluhan hampa.

            “ Itu namanya tak ada jodoh. Dah lupakan saja. Berdosa fikirkan isteri orang.” Tegas Jazli.

            “Betul jugak! Aku ni kalau bab perempuan memang malang. Semua perempuan yang aku suka, semuanya sudah berpunya.” Imran mengeluh perlahan mengingatkan nasibnya.

            “Ala kalau dah jodoh, takkan ke mana. Jangan risau la. Suruh saja nenek carikan.” Jazli tersengih.

            “ Tak nak la. Baik cari sendiri” Imran menggelengkan kepala. Pilihan nenek terlebih luar biasa. Memang la cantik tapi perangai tak macam manusia. Berlagak nak mampus. Mengada-gada pulak. Dah tentu dia swipe ke tepi, reject! Dah kahwin nanti, dah tentu dia jadi hamba abadi. Tak nak!

            “ So macam mana kerja kat tempat baru? Dah seminggu kan!” tanya Jazli. Habis saja sambung PHD, Imran terus berkerja di hospital milik keluarganya.

            “ Baru seminggu kan, tengah sesuaikan diri. Ikut hati aku memang tak nak ambil alih tempat nenek. Iyalah aku ni muda lagi. Nak jugak cari pengalaman kat tempat lain.” Cerita Imran.

            “Muda apanya? Umur tu dah lebih 30 kot. Pengalaman ada cuma malas nak guna betul tak?”

            “ Umur 31 tahun masih muda lagi, tahu tak! Aaa….. Perempuan tu kacau kau lagi tak?” tanya Imran secara tiba-tiba. Teringat apa yang terjadi dua bulan yang lalu.

            “Tak.” Jawab Jazli. Dia terus terdiam. Apa yang berlaku hari itu takkan dia lupakan sampai mati.

                                                            *******************

            DENGAN wajah serius, Dina berfikir. Masih lagi tidak mendapat jawapan pasal Jazli. Gerak hatinya tak pernah silap. Dia memang pernah nampak Jazli sebelum ini. Tapi kat mana ya?

            “ Kak Dina, ingatkan ibu cakap nak cili kering berapa kilo?” tanya Eiman. Dalam masa yang sama, dia memasukkan bawang besar yang dipilihnya ke dalam bakul.

            Pertanyaan Eiman tidak didengar oleh Dina.

            Eiman menoleh ke arah kakaknya yang berdiri di sebelah. Pelik bila tiada jawapan dari Dina. Berangan ke?

            “Kak Dina oiii….. Kat pasar malam pun boleh berangan ke?” Eiman sengaja meninggikan suara.

            Dina terkejut.

            “Apa dia?”

            “Eiman tanya berapa kilo cili kering ibu pesan tadi?” soal Eiman sekali lagi. Malam ini Dina temankan dia pergi pasar malam yang berdekatan dengan rumah mereka.

            “Sekilo!” jawab Dina. Bag-bag plastik yang ada di tangannya dibetulkan. Berat giler. Banyak betul ibu pesan! Buah la! Ikan la! Ayam la! Sayur la! Aduh, datang dua orang memang tak cukup tangan. Dia melihat Eiman yang tengah membuat bayaran setelah semua barang dibeli.

            “Jom!” kata Eiman. Kedua-dua tangannya pun penuh dengan bag-bag plastik.

            “Ibu nak buat apa pesan semua barangnya. Macam ada benda tak kena saja. Ini boleh buat kenduri. Tiba-tiba saja balik tadi, ibu suruh kita keluar pergi pasar malam. Dah la penat seharian bekerja, ikut suka arah orang.” Dina mula membabel. Tak puas hati.

            “ Ini ikhlas ke tak nak tolong ibu? Asyik nak complain saja? Elok-elok dapat pahala, terus dapat dosa.” Tegur Eiman.

            Dina mencebik bibir apabila ditegur sebegitu.

            “Tadi termenung pasal apa? Teringat buah hati?” usik Eiman.

            “Muka Dr Jazli tu memang familiar sangat-sangat. Kak Dina yakin pernah jumpa dia. Eee…. Kenapa la tak boleh ingat kat mana?” jawab Dina. Berkali-kali dia cuba ingat tapi tetap jugak tiada jawapan. Makan semut banyak sangat ke?

            “Muka handsome macam tu dah tentu la familiar. Kenapa? Kak Dina nak try mengorat Dr Jazli ke?” usik Eiman lagi.

            “Apa! Try mengorat? Jaga sikit mulut tu! Dr Jazli tu bukan taste Kak Dina la. Dah la kulit putih melepak. Kalah kulit orang perempuan. Aaa…. Ada lagi ke barang yang nak beli? Jari-jari rasa macam nak tercabut dah.” Terus mulut Dina senget ke kiri. Tak suka dengan usikan adiknya. Dia cepat-cepat menukar topik lain

            “ Barang-barang ibu pesan dah settle.” Jawab Eiman.

            “Okey! Jom beli air, dahaga ni.” Wajah Dina bertukar ceria. Mata meliar mencari orang menjual air. Orang semakin ramai mengunjungi pasar malam itu.

            “Kena letak dulu barang-barang ini, lepas tu boleh tengok makanan jugak.” Kata Eiman. Mustahil mereka berdua dapat membeli lagi, sudah tak ada ruang nak pegang lagi.

            “Good idea! Nasib baik la parking dekat tadi.” Balas Dina.

            Mereka berdua berjalan keluar dari pasar malam. Beberapa tapak melangkah, langkah mereka berdua terhenti. Pandangan tepat ke arah lelaki dan perempuan bergaduh yang tak jauh dari mereka berdua berdiri. Ramai orang yang lalu lalang di situ berhenti menyaksikan apa yang berlaku

            Tiba-tiba Dina terus ingat di mana dia pernah nampak Jazli. Bulat terus mata Dina di saat itu. 


 

Thursday, November 16, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 7

 



Bab 7

            DARINA menyandarkan tubuhnya di kereta BMW X4 seraya menunggu Eiyad keluar dari tadika. Dia baru saja tiba di luar tadika itu. Hari ini dia cuti tapi dia merahsiakan hal ini dari ibunya kerana dia tahu kalau ibunya tahu pasti akan paksa dia keluar dengan lelaki bernama Mikail itu.

            Ada kereta berhenti di belakang kereta Darina.

            Air muka Darina berubah kerana dia kenal siapa pemilik kereta Honda City itu.

            “Apa you buat kat sini? You follow I ke?” soal Darina sebaik saja Rozie keluar dari kereta.

            “Look!  I datang dengan niat baik, Darina. Please biar I jumpa Eiyad!” kata Rozie.

            “No! You dah lupa ke perjanjian you lima tahun yang lalu? You bukan lagi ibu kandung Eiyad selepas bercerai dengan Erjaz. You takkan jumpa, dekat dan ambil Eiyad. Don’t you forget about that. Perjanjian you yang sendiri tulis.”

            “Tapi masa itu I tak tahu apa yang I fikir sampaikan I sanggup bertindak macam tu sekali.” Kata Rozie. Dia cuba membela dirinya.

            “You bukan gila masa itu, you masih waras masa you cadangkan surat perjanjian tu. Semua orang tahu la alasan nak sambung study, semua tu hanya alasan. You beriya-iya nak Abang Erjaz ceraikan you sebab ex boyfriend you tu sudah bercerai, betul tak? Silap orang la kalau you nak raih simpati pun.” Kata Darina. Mustahil dia dapat lupakan apa yang telah Rozie buat pada abangnya dan Eiyad.

            “ Ya. I mengaku silap I, Darina. I terlalu ikutkan hati ketika itu. I menyesal sangat-sangat. Tapi kita sesama perempuan, you kena faham. Tiada ibu yang kat dunia ini bencikan anak sendiri. Please I nak jumpa saja Eiyad, I takkan ambil Eiyad pun.” Pujuk Rozie. Bagi dia, antara semua adik-adik Erjaz, Darina saja yang boleh dibawa berbincang.

            Tiba-tiba telefon pintar Darina berbunyi, tertera nama Dina. Tepat masanya Dina hubungi dia. Dia terus menunjukkan skrin telefon pintarnya pada Rozie.

            Dengan serta-mertanya wajah Rozie berubah. Lidah terus kelu.

            “Apa-apa pun alasan you, I takkan benarkan you jumpa Eiyad. Lebih baik you beredar dari sini atau I beritahu Dina yang you ada kat sini. Tadika Eiyad dekat dengan klinik Dina, sepantas kilat Dina akan datang ke sini kalau dapat tahu you ada sini. Hello!” kata Darina sebelum menjawab panggilan telefon Dina.

            Sebaik saja Darina menjawab panggilan dari Dina, Rozie terus masuk ke dalam kereta dan bergerak meninggalkan perkarangan tadika.

            “Ya! Kak Darina kat luar tadika. Tengah tunggu Eiyad keluar. Maybe pergi jalan-jalan kot. Tak beli mainan pun. Yalah! Yalah! Bye!” sambil menjawab panggil Dina, Darina memerhati kereta Rozie sudah berlalu pergi. Dia menarik nafas lega. Kalau Rozie sudah tahu mana tadika Eiyad, satu hari nanti Rozie pasti akan berjumpa dengan Eiyad.

            Darina mengeluh perlahan seraya memasukkan telefon pintar di dalam poket seluar.

                                                ************************

            ATAS permintaan Eiyad, Darina membawa Eiyad ke café kegemaran Eiyad. Seperti selalu Darina membeli fresh orange dan banana waffle kegemaran Eiyad.

            Eiyad begitu seronok apabila makanan dan minuman tiba.

            Darina memotong waffle menjadi cebisan kecil supaya senang Eiyad makan. Dia tersenyum melihat telatah Eiyad makan. Comelnya anak saudara dia seorang ni. Dah la chubby lepas tu putih melepak.

            “Mak Ngah jom la pergi beli mainan.” Ajak Eiyad seraya makan.

            “Mak Ngah dah pesan banyak kali kan, jangan bercakap bila tengah kunyah makanan. Habiskan dulu baru cakap.” Nasihat Darina.

            Eiyad segera menelan.

            “Jom! Jom pergi kedai mainan.” Pujuk Eiyad.

            “Kan baru saja Mak Ngah belikan hari itu. Minggu ni kan papa cuti, suruh papa belikan.” Jawab Darina.

            “Tak nak! Papa dah tak nak beli kat Eiyad. Papa cakap mainan Eiyad banyak sangat. Lepas tu … lepas tu…..papa selalu bawa Eiyad pergi kedai buku. Eiyad tak suka buku.” Jawab Eiyad dengan wajah masam.

            Darina ketawa kecil. Sekarang ni Eiyad sudah petah bercakap. Kalau menjawab mesti panjang lebar, ini mesti belajar dari Dina.

            “Mak Ngah belikan kek yer. Tadi ada kek oreo.” Darina cuba mengalihkan perhatian Eiyad.

            “Kek oreo! Nak! Nak!” Mata Eiyad yang redup tadi terus bersinar-sanar.

            “Duduk sini! Jangan pergi mana-mana!” pesan Darina. Dia terus bangun pergi ke kaunter.

            Eiyad kembali semula makan.

            Tiba-tiba ada seorang lelaki duduk di sebelah Eiyad.

            “Hi!” tegur lelaki itu dan tersenyum.

            “Hmmm….. Yang duduk sini tadi, ibu ke?” tanya lelaki itu lagi.

            Eiyad memandang lelaki itu dari atas sehingga ke bawah. Tiba-tiba teringat pesanan ibu saudaranya. Kalau ada lelaki yang cuba mengorat Mak Ngah dia, mengaku saja ibu.

            “Ya. Ibu Eiyad!” jawab Eiyad dengan wajah serius.

            Air muka lelaki itu berubah dan terus bangun pergi.

            Eiyad melihat lelaki itu terus keluar dari café itu.

            Beberapa minit kemudian, Darina tiba dengan membawa kek di tangannya.

            “ Wah, cepatnya habis! Pandai makan sampai habis! Ni kek kegemaran Eiyad.” Darina tersenyum. Diusap rambut Eiyad dengan penuh kasih sayang. Dalam masa yang sama Darina memikirkan pasal Rozie. Apa reaksi Eiyad nanti bila jumpa Rozie agaknya? Seumur hidup Eiyad tak pernah jumpa Rozie.

                                                **************************

            DINA dan Eiman duduk mendengar Eiyad bercerita pasal apa yang terjadi semasa keluar dengan Darina.

            “ Bagus! Bagus! Memang bijak anak saudara mak lang ni!” puji Dina.

            “ Nak hadiah!” Eiyad tersengih.

            “Boleh! Tapi hujung bulan.” Jawab Dina.

            “Yeah! Sayang mak lang!” Eiyad terus memeluk Dina sebelum berlari masuk ke dalam rumah.

            Eiman menggelengkan kepala beberapa kali. Dia menyandarkan diri di kerusi besi di halaman rumah.

            “ Suka sangat ajar Eiyad tu yang bukan-bukan. Entah-entah lelaki tu jodoh Kak Darina, kita tak tahu kan! Kalau macam ini la sampai ke tua la tak ada lelaki nak dekati Kak Darina.” Eiman bersuara. Dia melihat ke arah air terjun yang nampak cantik dihiasi dengan lampu-lampu kecil dalam suasana malam. Sebenarnya mereka berdua sedang menunggu kepulangan ayah mereka.

            “ Zaman sekarang ini banyak lelaki buaya, Kak Darina lawa, dah tentu ramai lelaki nak dekat. Lagipun lelaki yang mengaku bujang terlalu ramai, hakikatnya ada bini dengan anak kat rumah kot. Kak Dina tak nak hati Kak Darina terluka lagi.” Kata Dina dengan panjang lebar. Selaku adik, dia akan lindugi kakaknya dari lelaki-lelaki durjana.

            “ Ada jugak lelaki baik kat dunia ni la. Contohnya ayah, abang Erjaz dan jugak ehem… ehem… Eiman.” Kata Eiman seraya menunjukkan dirinya sendiri.

            Mulut Dina terus senget.

            Bunyi pintu pagar rumah terbuka menyebabkab Dina dan Eiman menoleh. Kereta Toyota Camary milik ayah mereka memasuki garaj kereta. Dengan serentak, mereka berdua terus bangun dan menyambut kepulangan Dr Ehsan.

            Sebaik saja Dr Ehsan keluar kereta, dia terus ketawa apabila menyedari kehadiran dua orang anaknya.

            “Aaa…. Ini mesti ada apa-apa kan!” teka Dr Ehsan.

            “Mana ada. Kami berdua ikhlas sambut ayah balik. Bag tu bagi kat Eiman, biar Eiman bawakan. Ayah jom makan! Ayah mesti tak makan lagi kan.” Jawab Dina.

            Eiman terus mengambil bag yang dipegang ayahnya.

            “Ayah, hari ini Eiman masakkan nasi goreng USA kegemaran ayah. Tengah panas ni! Jom makan.” Eiman turut sama bersuara.

            “Bila dua-dua orang ini bergabung mesti ada benda nak meletup kan! Aaa… ibu dah balik ke belum?” tanya Dr Ehsan manakala dia juga melihat ke arah garaj kereta yang satu lagi. Kereta Toyota Vios isterinya tiada di situ.

            “Belum lagi! Ibu cakap balik lewat sikit. Jom ayah!” jawab Dina. Dia mengheret tangan ayahnya masuk ke dalam rumah.

            Tibanya di ruang dapur, Dina menarik kerusi untuk ayahnya duduk. Manakala Eiman segera menghidang makanan.

            Darina yang baru melangkah masuk ke ruang dapur menggelengkan kepala melihat telatah dua orang adiknya. Dia sudah tahu tujuan mereka berdua itu.

            “Aaa….. Darina! Kamu tahu tak apa adik-adik kamu ni nak dari ayah?” Dr Ehsan bersuara.

            “Lepas ayah makan nanti, ayah tahu la.” Jawab Darina. Dia tersenyum. Ditarik kerusi dan duduk bersama-sama dengan ayahnya di meja makan.

            Dina meletakkan gelas minuman air laici di atas meja. Dia turut sama duduk.

            Eiman meletakkan mangkuk kecil berisi sambal belacan kegemaran ayahnya bersama-sama dengan nasi goreng.

            “ Ayah! Makan la!” kata Eiman. Dia duduk di sebelah Darina. Tersengih melihat ayahnya.

            Dr Ehsan menadah tangan membaca doa makan. Kemudian dia terus makan. Selepas tiga suapan, dia berhenti dan memandang anak-anaknya.

            “Cakap cepat! Ada apa sebenarnya ni?”

            “ Ayah makan la sampai habis dulu.” Kata Eiman.

            “ Ayah dah makan kan! So talk!”

            “Hmmm….. Ayah tahu tak pasal plan ibu nak buka farmasi cawangan lain kat area kami.”  Dina bertanya.

            “Tahu!” ringkas jawapan Dr Ehsan.

            “ Boleh tak ayah nasihat ibu buka farmasi kat tempat lain?” tambah Eiman.

            “Laaa… Kenapa pulak? Kan bagus kalau ibu kamu buka farmasi kat situ, dekat dengan anak-anak! Apa salahnya …..”

            “Ayah! Hidup kami takkan aman kalau ibu buka farmasi kat situ. Macam la ayah tak tahu perangai ibu macam mana? Dah la kat rumah kami kena hadap ibu, lepas ini kat tempat kerja pun nak hadap ibu lagi.” Dina membangkang sekeras-kerasnya. Kehadiran ibunya pasti menggugat keamanan dia dan Eiman.

            “Tak baik la cakap macam tu kat ibu sendiri! Berdosa.” Tegur Dr Ehsan.

            Dina dan Eiman terus terdiam.

            “ Jangan la prasangka buruk kat ibu sendiri. Apa kata tukar negatif tu pada positif, aaaa…. Kan bagus! Kamu Eiman, apa kata ambil peluang ini buktikan pada ibu kamu yang pilihan kamu nak jadi chef adalah pilihan yang tepat. Kamu pulak Dina, apa kata ambil peluang ini jugak buktikan yang pilihan kamu jadi veteriner bukannya sebab niat kamu nak memberontak kan! Buktikan kat ibu kamu tu!” nasihat Dr Ehsan seraya memandang dua orang anaknya itu.

            Muncung terus mulut Dina. Nak buktikan apanya memang jelas dia menukar program pengajian di universiti sebab ingin memberontak.

            Eiman terdiam.

            “Lagipun ibu kamu dah bayar deposit kat owner kedai tu. Suka atau tak, kamu berdua akan hadap ibu kamu selepas ini.” Kata Dr Ehsan sebelum menyambung semula makan.

            Dina mengeluh kuat dan terus menongkat dagu. Dalam masa yang sama dia mengenangkan nasibnya selepas ini. Mesti pergerakkan terbatas lebih-lebih lagi ada mata helang yang memerhati.

            Darina ketawa kecil.

            Dina sempat lagi menjeling ke arah kakaknya. Seronok la tu tengok dia dan Eiman mati kutu. Ingatkan ayahnya boleh pujuk ibunya tapi lain pulak jadinya. Ibunya lagi pantas bertindak. Cepat betul bagi deposit. Aduh …. Apa niat sebenar ibunya buka kat situ?


DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...