Friday, November 17, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 8


Bab 8

SEBULAN berlalu ……

            Masa waktu rehat, Dina mengajak Noor, Abu dan Ina makan di luar. Ada kedai makan masakan Thai yang baru dibuka di belakang klinik. Boleh jugak tukar selera, hari-hari makan nasi bungkus, boson jugak. Makan nasi goreng lepas tu tom yam, mesti berselera makan.

            Beberapa tapak melangkah, kedengaran suara Puan Hajar memanggil.

            Mereka berempat berhenti dan menoleh.

            “ Ramai-ramai ni nak pergi lunch ke?” tanya Puan Hajar.

            “Ya. Ada apa mak cik Hajar?” tanya Dina. Dia menyedari ada seorang lelaki mengekori Puan Hajar.

            “Ini mak cik nak kenalkan dengan kamu semua, Dr Jazli! Dia la yang akan buka klinik gigi sebelah Eiman Kopitiam nanti.” Puan Hajar memperkenalkan lelaki berkulit putih dan bercermin mata itu.

            Dina tersenyum dan memandang lelaki itu. Rasa macam familiar saja!

            “Ini Dr Dina! Ini pula Dr Noor! Ini pula Abu dengan Ina. Mereka semua kerja kat klinik haiwan. Dah dua tahun, klinik haiwan ini buka. Dina ni kakak pada pemilik Eiman kopitiam.” Tambah Puan Hajar lagi.

            “ Selamat berkenalan semua! Datang la klinik gigi saya, jangan risau saya akan bagi diskaun untuk semua orang.” Jazli bersuara dan tersenyum.

            “ Ya ke? Belum apa-apa lagi dah nak bagi diskaun. Semoga Dr Jazli dimurahkan rezeki. Amin!” kata Abu. Dia tersengih.

            “Okey la! Kami nak pergi ke Mei Florist pulak.” Kata Puan Hajar.

            “Jumpa lagi!” kata Jazli sebelum mengekori Puan Hajar.

            “Peramah betul Dr Jazli tu.” Puji Noor.

            “Tak sombong pulak tu!” balas Ina.

            “Tapi rasa macam pernah nampak Dr Jazli tu, kat mana?” Dahi Dina berkerut.

            “ Kenapa? Dah jatuh hati ke?” usik Noor.

            “ Selalunya itu ayat orang selalu guna bila nak mengorat!” Ina ketawa kecil.

            “Mana ada! Betul la rasa macam pernah jumpa! Biarlah! Jom!” jawab Dina. Bila diusik macam itu, dia malas nak cakap lagi. Dia memulakan langkah dan kemudian berhenti dan berpaling ke belakang. Kat mana yer?

                                                *********************

           

            JAZLI menyentuh lembut bahu abang sepupunya setelah melangkah masuk ke dalam kedai mamak. Mereka berdua sudah berjanji berjumpa selepas pukul 6 petang.

            “Termenung apa sampai macam ini sekali? Teringatkan Miss Lawa ke?” kata Jazli. Dia menarik kerusi dan duduk berhadapan Imran.

            “Aku ingatkan aku dah jumpa bintang hati aku tapi ….. rupa-rupanya mak orang. Jazli, jantung aku ni pertama kali berdegup kencang macam tu masa terlanggar dia kat luar toilet. Orangnya lemah-lembut lepas tu sopan santun bila bercakap. Dengar suara dia saja, aku dah lemah lutut. Bila budak lelaki cakap, itu mak dia! Harapan aku terus berkecai.” Jawab Imran kemudian diakhiri dengan keluhan hampa.

            “ Itu namanya tak ada jodoh. Dah lupakan saja. Berdosa fikirkan isteri orang.” Tegas Jazli.

            “Betul jugak! Aku ni kalau bab perempuan memang malang. Semua perempuan yang aku suka, semuanya sudah berpunya.” Imran mengeluh perlahan mengingatkan nasibnya.

            “Ala kalau dah jodoh, takkan ke mana. Jangan risau la. Suruh saja nenek carikan.” Jazli tersengih.

            “ Tak nak la. Baik cari sendiri” Imran menggelengkan kepala. Pilihan nenek terlebih luar biasa. Memang la cantik tapi perangai tak macam manusia. Berlagak nak mampus. Mengada-gada pulak. Dah tentu dia swipe ke tepi, reject! Dah kahwin nanti, dah tentu dia jadi hamba abadi. Tak nak!

            “ So macam mana kerja kat tempat baru? Dah seminggu kan!” tanya Jazli. Habis saja sambung PHD, Imran terus berkerja di hospital milik keluarganya.

            “ Baru seminggu kan, tengah sesuaikan diri. Ikut hati aku memang tak nak ambil alih tempat nenek. Iyalah aku ni muda lagi. Nak jugak cari pengalaman kat tempat lain.” Cerita Imran.

            “Muda apanya? Umur tu dah lebih 30 kot. Pengalaman ada cuma malas nak guna betul tak?”

            “ Umur 31 tahun masih muda lagi, tahu tak! Aaa….. Perempuan tu kacau kau lagi tak?” tanya Imran secara tiba-tiba. Teringat apa yang terjadi dua bulan yang lalu.

            “Tak.” Jawab Jazli. Dia terus terdiam. Apa yang berlaku hari itu takkan dia lupakan sampai mati.

                                                            *******************

            DENGAN wajah serius, Dina berfikir. Masih lagi tidak mendapat jawapan pasal Jazli. Gerak hatinya tak pernah silap. Dia memang pernah nampak Jazli sebelum ini. Tapi kat mana ya?

            “ Kak Dina, ingatkan ibu cakap nak cili kering berapa kilo?” tanya Eiman. Dalam masa yang sama, dia memasukkan bawang besar yang dipilihnya ke dalam bakul.

            Pertanyaan Eiman tidak didengar oleh Dina.

            Eiman menoleh ke arah kakaknya yang berdiri di sebelah. Pelik bila tiada jawapan dari Dina. Berangan ke?

            “Kak Dina oiii….. Kat pasar malam pun boleh berangan ke?” Eiman sengaja meninggikan suara.

            Dina terkejut.

            “Apa dia?”

            “Eiman tanya berapa kilo cili kering ibu pesan tadi?” soal Eiman sekali lagi. Malam ini Dina temankan dia pergi pasar malam yang berdekatan dengan rumah mereka.

            “Sekilo!” jawab Dina. Bag-bag plastik yang ada di tangannya dibetulkan. Berat giler. Banyak betul ibu pesan! Buah la! Ikan la! Ayam la! Sayur la! Aduh, datang dua orang memang tak cukup tangan. Dia melihat Eiman yang tengah membuat bayaran setelah semua barang dibeli.

            “Jom!” kata Eiman. Kedua-dua tangannya pun penuh dengan bag-bag plastik.

            “Ibu nak buat apa pesan semua barangnya. Macam ada benda tak kena saja. Ini boleh buat kenduri. Tiba-tiba saja balik tadi, ibu suruh kita keluar pergi pasar malam. Dah la penat seharian bekerja, ikut suka arah orang.” Dina mula membabel. Tak puas hati.

            “ Ini ikhlas ke tak nak tolong ibu? Asyik nak complain saja? Elok-elok dapat pahala, terus dapat dosa.” Tegur Eiman.

            Dina mencebik bibir apabila ditegur sebegitu.

            “Tadi termenung pasal apa? Teringat buah hati?” usik Eiman.

            “Muka Dr Jazli tu memang familiar sangat-sangat. Kak Dina yakin pernah jumpa dia. Eee…. Kenapa la tak boleh ingat kat mana?” jawab Dina. Berkali-kali dia cuba ingat tapi tetap jugak tiada jawapan. Makan semut banyak sangat ke?

            “Muka handsome macam tu dah tentu la familiar. Kenapa? Kak Dina nak try mengorat Dr Jazli ke?” usik Eiman lagi.

            “Apa! Try mengorat? Jaga sikit mulut tu! Dr Jazli tu bukan taste Kak Dina la. Dah la kulit putih melepak. Kalah kulit orang perempuan. Aaa…. Ada lagi ke barang yang nak beli? Jari-jari rasa macam nak tercabut dah.” Terus mulut Dina senget ke kiri. Tak suka dengan usikan adiknya. Dia cepat-cepat menukar topik lain

            “ Barang-barang ibu pesan dah settle.” Jawab Eiman.

            “Okey! Jom beli air, dahaga ni.” Wajah Dina bertukar ceria. Mata meliar mencari orang menjual air. Orang semakin ramai mengunjungi pasar malam itu.

            “Kena letak dulu barang-barang ini, lepas tu boleh tengok makanan jugak.” Kata Eiman. Mustahil mereka berdua dapat membeli lagi, sudah tak ada ruang nak pegang lagi.

            “Good idea! Nasib baik la parking dekat tadi.” Balas Dina.

            Mereka berdua berjalan keluar dari pasar malam. Beberapa tapak melangkah, langkah mereka berdua terhenti. Pandangan tepat ke arah lelaki dan perempuan bergaduh yang tak jauh dari mereka berdua berdiri. Ramai orang yang lalu lalang di situ berhenti menyaksikan apa yang berlaku

            Tiba-tiba Dina terus ingat di mana dia pernah nampak Jazli. Bulat terus mata Dina di saat itu. 


 

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...