Friday, May 26, 2023

Cintamu Kuburu - Bab 8

 

Bab 8

 

            EMIIR mengekori Tan Sri Taib dari belakang. Dia sedar dirinya menjadi tumpuan tetamu-tetamu yang hadir majlis amal itu. Dia buat tak tahu saja.

            Uncle Taib! Apa khabar?” Puan Sri Jane tersenyum lebar melihat kehadiran Tan Sri Taib.

            Sihat! Alhamdulillah. Kenalkan ini cucu uncle, Emiir!” Tan Sri Taib tersenyum. Dalam masa yang sama, dia memperkenalkan Emiir.

            Emiir! Anak Melati ke?” Puan Sri Jane melihat Emiir. Kali terakhir dia nampak Emiir semasa Emiir berumur 12 tahun.

            Emiir hanya tersenyum.

            Handsome macam Uncle dulu-dulu.” puji Puan Sri Jane.

            Dah nama cucu, dah tentu ikut Uncle.” Tan Sri Taib ketawa.

            Melati mana?” tanya Puan Sri Jane secara tiba-tiba.

            Ketawa Tan Sri Taib terus mati.

            Kalau dia datang pun, dia akan rosakkan majlis ini. Lebih baik tak payah datang!” jawab Tan Sri Taib.

            Puan Sri Jane terdiam beberapa saat. Dia tahu pasal masalah kawannya itu. Dia tahu Tan Sri Taib sudah berhabis beratus ribu ringgit menghantar Datin Melati menerima rawatan ke merata dunia tetapi hasilnya tetap sama. Kawannya itu tetap tidak berubah. Siang malam ditemani dengan arak. Berbuih-buih mulut ini nasihat tetapi tidak diendahkan.

            Emiir memandang Puan Sri Jane. Yang dia tahu, Puan Sri Jane salah seorang kawan baik ibunya. Seingat dia lagi, ibunya ada seorang kawan baik lagi tetapi sudah lama dia tak nampak wanita itu. Yang dia ingat wanita itu selalu membawa brownies dan beri pada dia setiap kali datang melawat ibunya. Dia cuba mengingati nama wanita itu.

            Atuk Taib!” Tiba-tiba ada orang menegur.

            Emiir melihat wanita yang memakai dress kuning melepasi lutut yang baru saja muncul itu.      Wanita itu terus berdiri di sebelah Puan Sri Jane.

            Jazlin pun ada. Oh ya, kenalkan ini cucu sulung atuk! Emiir Carim!” Tan Sri Taib memperkenalkan Emiir pada Jazlin.

            Wajah Jazlin berubah. Mata terus membulat. Dia melihat lelaki tinggi lampai dan bertubuh sasa itu. Nama sebijik macam Mr Mystery Umie. Kebetulan nama sama kot.

            Ini Jazlin. Anak sulung auntie!” Giliran Puan Sri Jane memperkenalkan anaknya pula.

            Nice meeting you! Just call me Jazlin!” Jazlin tersenyum.

            Nice meeting you too! Please, call me Emiir!” Emiir bersuara. Wajah masih selamba.

            Emiir ni lawyer! Kalau satu hari Jazlin perlukan bantuan, call Emiir saja. Atuk suruh Emiir bagi diskaun kat Jazlin.” kata Tan Sri Taib diakhiri dengan ketawa.

            Mana boleh macam tu Uncle!” Puan Sri Jane menyampuk dan turut sama ketawa.

            Air muka Jazlin berubah sekali lagi. Lawyer! Jadi betul la lelaki depan dia sekarang ini Mr Mystery Umie. Pandangan Jazlin sepantas kilat ke arah meja Umie yang terletak di jauh ke belakang. Kosong! Mana Umie pergi ? Mata Jazlin seperti CCTV mencari kelibat Umie.

            Dahi Emiir berkerut dengan kelakuan wanita yang berdiri di hadapannya. Jazlin seolah-olah sedang mencari sesuatu di belakang dia. Emiir cuba menoleh.

            Emiir! Firma guaman you kat mana?” tanya Jazlin secara tiba-tiba. Dia cuba menghalang Emiir dari menoleh.

            Emiir tak sempat menoleh ke belakang dan melihat Jazlin semula.

            Kat TTDI!” jawab Emiir.

            Oooo… TTDI!” kata Jazlin sambil matanya tepat melihat ke arah Umie yang sudah berada di pintu keluar dewan seraya Umie melambai ke arahnya. Umie terus melangkah keluar. Panas terus hati Jazlin.

            Kat situ banyak cafe dan bakery sedap-sedap! I selalu jugak pergi sana.” tambah Jazlin lagi. Air muka dimaniskan manakala hatinya tengah membara. Dia cuba mengawal kemarahan dia pada Umie. Apa dia nak jawab bila ibunya tanya nanti. Tahu la nasib Umie selepas ini.

            Emiir hanya menganggukkan kepala.

            Lagi lima minit, majlis nak mula. Jazlin bawa Uncle Taib denga Emiir ke meja VVIP.” kata Puan Sri Jane.

            Jom!” kata Jazlin.

            Tan Sri Taib dan Emiir mengekori Jazlin ke meja yang terletak di barisan hadapan.

            Emiir menarik kerusi dan membantu Tan Sri Taib duduk.

            Atuk Taib nak minum apa? Nanti I ambil.” kata Jazlin.

            Tak payah susah-susah! Emiir ni ada, nanti Emiir ambilkan. Don’t worry about me! Kamu mesti busy kan! Pergi la tolong mama kamu.” kata Tan Sri Taib. Dia tersenyum.

            Jazlin tersenyum sebelum minta diri berlalu pergi.

            Kalau la Jazlin tu tak bertunang lagi, atuk dah lama pinangkan Jazlin tu kat kamu.” Tan Sri Taib bersuara. Dia memang berkenanan dengan Jazlin. Budaknya baik dan bersopan santun. Rugi rasanya sebab tak kenalkan Jazlin dengan Emiir.

            Fuh! Nasib baik dah bertunang! Alhamdulillah!” kata Emiir.  Dia sempat lagi menadah tangan menunjukkan rasa bersyukur apabila mendengar berita itu.

            Tan Sri Taib hanya mampu menggelengkan kepala. Dia banyak kali aturkan blind date cucu-cucu kawan-kawan dia dengan Emiir tapi seorang pun Emiir tak suka.

            Emiir terus membuka botol air mineral dan dituang ke dalam gelas. Diberikan pada datuknya. Dia agak apa yang bermain di fikiran Tan Sri Taib. Semestinya tengah fikirkan blind date dia seterusnya.

                                                            *************************

            SELEPAS pulang dari majlis amal Puan Sri Jane, Emiir melihat ke arah datuknya yang sedang tidur di dalam kereta. Mesti datuknya penat. Tapi yang penting sekali, dia nampak datuknya gembira kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan lama di majlis itu. Begitu rancak datuknya berborak.

            Lagi  30 minit, mereka akan tiba di rumah.  Emiir melihat di skrin telefon pintarnya.

            Dah nak sampai ke?” tiba-tiba Tan Sri Taib bersuara. Dia melihat ke kiri kanan. Cuba mengetahui dia ada di mana.

            Around 30 minutes, kita sampai rumah. Atuk tidur la, nanti dah sampai, Emiir gerak atuk.” kata Emiir.

            Atuk dah puas tidur tadi. Lega lepas tidur sekejap tadi.” kata Tan Sri Taib.

            Atuk, Emiir nak tanya sikit. Selain Puan Sri Jane, mama ada kawan seorang lagi kan? Emiir ingat lagi tiap kali dia datang, dia mesti bawa brownies. Rasanya dah lama dia tak datang rumah, dia bergaduh dengan mama ke?” tanya Emiir. Dia masih wajah lemah lembut wanita itu. Selalu berborak dengan dia.

            Maksud kamu, Herma ke? Mereka berdua tak bergaduh pun. Herma dengan suami dia meninggal dunia lima belas tahun yang lalu di Dubai. Accident!” beritahu Tan Sri Taib. Dia masih tak dapat lupakan Ungku Herma.  Matanya terus redup.

            Mama kamu paling rapat dengan Herma. Masa Herma ada, keadaan mama kamu tak la teruk macam ni. Lepas Herma tak ada, semakin teruk keadaan mama kamu.” tambah Tan Sri Taib. Tiap kali Ungku Herma datang, Datin Melati mesti gembira. Berita kematian Ungku Herma memberi tamparan hebat dalam hidup Datin Melati.

            Itu pilihan mama, atuk! Dia pilih jalan itu.” kata Emiir.

            Tan Sri Taib menoleh melihat Emiir. Dia dapat merasakan kedinginan Emiir . Dia tak menyalahkan Emiir dalam hal ini. Emiir membesar tanpa tahu nilai kasih sayang ibu bapa.

            Dah sampai!” beritahu Emiir apabila kereta BMW memasuki perkarangan rumah Tan Sri Taib.

            Tan Sri Taib dan Emiir keluar dari perut kereta mewah itu.

            Mail, nanti kamu bawa kereta ni pergi carwash!” pesan Tan Sri Taib pada pemandu keretanya sebelum melangkah masuk ke dalam rumah bersama Emiir.

            Baru beberapa tapak melangkah, kedengaran suara Datin Melati menjerit.

            Apabila Datin Melati nampak Tan Sri Taib dan Emiir sudah pulang, dia mendekati mereka berdua.

            Abah! Mana botol whiskey I, hah? Botol wine I pun tak ada? Ini mesti abah suruh Kak Limah buang lagi.” tanya Datin Melati dengan suara tinggi. Dia bangun saja dan terkejut tengok tempat dia sorokkan minuman keras dia tiba-tiba saja kosong. Dia mencari Mak Limah satu rumah tapi Mak Limah tiada. Wajah Datin Melati merah padam dengan rambut berserabut.

            Ya Allah, Melati! Berhenti la minum! Bertaubat la. Ingat Allah Taala. Sampai bila nak hidup bergantung dengan minum bendam haram tu? Tengok la diri kamu sekarang ni, Melati! Dah tak macam orang. Siang malam tak henti-henti minum! Sampai bila kamu nak rosakkan diri kamu ni,hah!” nasihat Tan Sri Taib lagi. Mulut ini dah berbuih-buih nasihat tapi sikit pun anaknya tak dengar.

            Apa! I rosakkan diri I! Excuse me! Abah dah lupa ke, abah yang rosakkan hidup I!  Abah pisahkan I dengan Zack lepas tu paksa I kahwin dengan Emran! Abah tahu I tak sukakan Emran tapi abah tetap paksa I kahwin dengan Emran. Hakikatnya Emran tu kahwin dengan I sebab nakkan harta kita saja. Tengok sekarang apa jadi dengan rumahtangga I! Bahagia? Semua tu bullshit. Hidup I dalam neraka selama ini. Kalau abah tak paksa I kahwin dengan Emran, I takkan hidup macam ini.” marah Datin Melati.

            Wajah Tan Sri Taib berubah. Dia akui kesilapan dia. Dia ingatkan Emran baik orangnya tetapi semua itu hanya lakonan Emran saja. Rupa-rupanya Emran kaki perempuan orangnya. Perempuan keliling pinggang.

            Tak habis-habis nak salahkan atuk! Tak habis-habis nak ungkit benda yang dah lama berlaku!” Akhirnya Emiir bersuara. Dia mula hilang sabar.

            You! You apa tahu! You sama macam papa you! Penat-penat i lahirkan you, ini balasan I dapat.” Datin Melati merenung ke arah Emiir. Semakin membara marahnya.

            Emiir mendengus kuat.

            I tak minta pun you lahirkan I.  I pun tak ingin ada ayah kaki perempuan macam Dato Emran! I pun tak ingin ada ibu kaki mabuk macam you. Kalau boleh I tak ingin pun lahir kat dunia ni. ”  kata Emiir dengan wajah yang serius. Dia terus keluar dari rumah banglo itu walaupun kedengaran datuknya berulang kali memanggil dia.

            Langkah dipercepatkan ke keretanya. Pintu kereta Volvo XC90 ditutup dengan kasar selepas saja Emiir masuk. Dia cuba mengawal rasa sebak di dadanya. Enjin kereta segera dihidupkan. Dia  tak mahu lagi berada di sini. Setiap kali berdepan dengan ibunya, hanya hati ini sering disakiti. Pedal minyak ditekan, kereta Volvo XC90 bergerak keluar dari rumah Tan Sri Taib.

 

 

 

Thursday, May 11, 2023

Cintamu Kuburu - Bab 7

 

Bab 7

 

            PAGI INI, Umie membuat keputusan untuk memasak bihun goreng. Dia memastikan semua bahan-bahan ada di atas meja supaya senang memasak nanti. Baginya, dia lebih suka semuanya tersedia apabila dia nak masak. Tak mahu la terkejar sana sini mencari bahan semasa tengah memasak. Boleh hangus jadinya.

            Sebaik saja minyak panas, Umie memasukkan bawang merah dan bawang putih. Dikacau perlahan-lahan sehingga bawang nampak kekuningan. Dia terus masukkan cili kering yang diblender sebentar tadi. Dikacau dengan teliti. Dia perlu tunggu sehingga pecah minyak.

            Kau masak apa pagi ini?”

            Umie menoleh apabila mendengar suara Jazlin. Malam tadi, Jazlin datang ke rumah secara tiba-tiba. Kata Jazlin, dia ada kerja di area rumahnya. Selepas itu Jazlin terus masuk ke bilik tetamu dan terus tidur. Dia dapat agak yang Jazlin ada tujuan lain.

            Bihun goreng. Kenapa tiba-tiba saja kau nak bermalam kat rumah aku? Tak ada ribut, tak ada angin, tiba-tiba saja kau terpacak malam-malam buta depan pintu! Rumah kau kan ada.” Umie merenung Jazlin.

            Aku dah tak boleh bermalam kat rumah kau ke? Selama ini kau tak kisah pun. Kenapa tiba-tiba kau sensitif sangat aku bermalam kat sini hari ini? Ini mesti kau dah plan nak mengelak nak pergi ke majlis amal mama aku, betul tak?”

            Umie terus terdiam. Jazlin seperti dapat baca plan dia. Awal-awal lagi dia memang sudah plan nak mengelak dari menghadiri majlis amal. Lagipun dia memang tak selesa ke tempat macam itu.

            Aku dah agak dah. Sebab itu aku tidur kat rumah kau. Naluri aku kuat cakap yang kau takkan hadir pagi ini.” Jazlin mengetap bibir.  Dia terus menarik kerusi dan duduk.

            Kau tahu kan aku memang tak suka pergi tempat macam itu. Unsuitable for me , okey! Dia orang semua tu, kalau tengok orang, macam orang buat salah besar. Aku lebih rela duduk rumah. Hari ini saja bakeri aku tutup. Rumah aku ni bersepah-sepah, banyak benda aku nak kena kemas.” Mulut Umie mula keluar macam-macam alasan. Sesekali matanya melihat ke arah kuali.

            Bersepah apernya! Rumah kau ni rumah paling bersih aku pernah jumpa. Kau tu clean freak! Dah! Dah aku tak nak dengar alasan kau lagi. Suka atau tak, kau kena ikut.” Wajah Jazlin begitu serius.

            Aku tak ada baju nak pakai. Aku mana ada baju berjenama mahal-mahal macam kau pakai.”

            Itu kau jangan bimbang, aku dah uruskan semua itu. Aku dah suruh PA aku hantar baju kau dengan baju aku pagi ini. Personal make up artist aku pun akan datang rumah kau. Kau dengan aku akan attend majlis amal mama aku pukul 11 pagi ini.” Jazlin tersengih. Semakin meleret senyuman dia.

            Umie mengetap bibir. Tumpuan dia kembali pada kuali yang ada di hadapannya. Dia terus memegang sudip dan sengaja memasak dengan kuat. Biar dengar jiran sebelah! Geram punya pasal!  Tiada alasan untuk dia meloloskan diri dari Jazlin lagi. Kalau la dia tahu, jangan harap la dia buka pintu bagi Jazlin masuk malam tadi. Menyesal giler!

                                                *******************************************

            KERETA Bentley Bentayga berwarna merah berhenti di hadapan pintu utama Dewan Sri Teratai milik Menara Teguh Holding. Lebih tepat lagi dewan ini milik keluarga Jazlin. Pintu kereta dibuka. Umie dan Jazlin sama-sama keluar.

            Sebaik saja menjejakkan kaki di dalam dewan itu, banyak mata memerhati ke arah mereka berdua. Umie mula rasa tak selesa. Dia sedar dirinya diperhati atas bawah. Bag clutch berjenama digenggam erat. Jantungnya berdegup kencang. Dia berjalan dengan penuh berhati-hati apabila memakai kasut bertumit tinggi berwarna putih milik Jazlin yang dipinjamnya.

            Jom! Mama kat situ!” kata Jazlin. Dipegang erat tangan Umie.

            Umie hanya menuruti saja.

            Mama! Tengok sapa datang!” tegur Jazlin apabila menghampiri wanita yang berumur awal 60 an itu.

            Puan Sri Jane tersenyum lebar. Dia terus dapatkan Umie dan memeluk tubuh Umie dengan erat beberapa saat.

            Akhirnya Umie datang jugak selepas beratus-ratus jemputan auntie bagi.” kata Puan Sri Jane. Dia merenung lembut wajah wanita yang bertudung litup itu.

            Sorry la, auntie! Bukannya tak nak datang, saya rasa kekok kalau datang majlis-majlis macam ini. Saya rasa macam alien pun ada. Mesti ada something wrong, aaa…. kenapa semua orang tengok sini?” kata Umie. Dia melihat keadaan sekeliling di situ. Dirinya masih menjadi tumpuan tetamu-tetamu yang ada.

            Puan Sri Jane sedar apa yang sedang bermain di fikiran Umie. Dipegang tangan Umie.

            Just ignore them, honey! Mereka tu cemburu. Umie nampak cantik hari ini.” kata Puan Sri Jane. Seketika kemudian, bibirnya mengulas senyuman.

            Betul cakap mama tu! Pilihan aku tepat bila beli gaun maxi berwarna biru ni kat kau. Sesuai dengan kulit kau. Kau nampak lebih ayu. Kalau kau tak jadi datang tadi , kasihan kat gaun ni! Tiada sesiapa sesuai nak pakai selain kau.” Jazlin menyampuk. Dia gembira kerana membuat pilihan tepat memilih gaun maxi ini di butik pereka fesyen kegemaran dia.

            Umie hanya mampu tersenyum. Dia melihat ada dua orang wanita mendekati Puan Sri Jane.

            Auntie, saya minta diri dulu.” kata Umie. Dia menarik tangan Jazlin supaya beredar dari situ. Dia tahu pasti Puan Sri Jane pasti sibuk menyambut tetamu-tetamu kenamaan yang datang hari ini.

            Jom, kita pergi sana! Ada makanan! Desert! Kau mesti suka kan!” ajak Jazlin.

            Desert! Mana?” Mata Umie terus terbuka luas. Mata meliar mencari.

            Kau! Kalau bab desert memang laju kan! Sana la!” tunjuk Jazlin.

            Tiba-tiba ada orang menegur Jazlin, dia memberi isyarat pada Umie agar pergi dulu.

            Umie berjalan ke arah barisan meja yang terletak di koridor dewan itu. Piring terus dicapai. Mulut melopong apabila melihat makanan yang tersusun malah dihiasi dengan bunga-bunga hidup.

            Dalam sekelip mata saja, piring dia dipenuhi dengan makanan.

            Yang mana satu anak sulung Puan Sri Jane?”

            Tu aaa… Yang pakai dress warna kuning tu! Raja Jazlin!”

            Umie menoleh. Niatnya nak mengambil egg tart terbantut. Dia melihat ke arah dua orang wanita yang ada tak jauh darinya yang turut sama mengambil makanan.

            I dengar Raja Jazlin tu sudah bertahun-tahun bertunang dengan Raja Uzir tapi sampai sekarang tak kahwin-kahwin lagi. Betul ke?”

            I dengar dia orang tangguh lagi wedding dia orang. Kononnya Raja Uzir busy kat US. Maklum la ada business kat sana.”

            Iya ke busy! Entah-entah dah ada orang lain kat sana.”

            Mulut Umie terus senget. Dia tak jadi mengambil egg tart dan terus bergerak meninggalkan tempat itu.

            Datang sini bukannya nak buat amal, boleh pulak bergossip!” Umie bercakap seorang diri. Muncung terus bibir Umie. Tak suka apabila Jazlin menjadi topik gossip. Dia terus mencari meja kosong. Senyuman terukir bila nampak meja kosong yang terletak di sudut belakang dewan itu. Boleh la dia makan dengan aman damai.

            Kerusi ditarik dan Umie terus duduk. Dia membaca doa makan. Sandwich tuna diambil dan dimasukkan ke dalam mulut. Mata meliar melihat ke arah sana sini. Sudah ramai orang memenuhi dewan itu.

            Pandangan mata Umie tepat ke arah dua orang lelaki yang baru saja melangkah masuk ke dalam dewan itu. Dia terus berhenti mengunyah. Masih tertanya-tanya sama ada dia tengah bermimpi.

            Emiir! Apa dia buat kat sini?” Umie bersuara dengan nada perlahan. Dia masih terkejut. Pandangan Umie beralih pula pada lelaki yang berusia awal 80an yang bertongkat yang berjalan di sebelah Emiir.

            Bukan ke itu Tan Sri Taib?”

            Ya lah! Nampak macam dah sihat lepas operation. Eh.. Eh… Siapa lelaki sebelah dia?”

            Umie menoleh ke sebelah. Dua orang wanita yang duduk di meja bersebelahan dia turut sama memandang ke arah Emiir. Eh, ni orang yang sama bergossip pasal Jazlin tadi! Bila masa mereka ni duduk sebelah meja ni! Mereka berdua ni kenal Emiir ke?

            Eh, bukan ke itu cucu Tan Sri Taib? Yang lawyer tu, hmmm….. apa nama dia! Sekejap I nak ingat. Oh ya Emiir Carim!”

            Aaa…. Anak Dato’ Emran dengan Datin Melati! Patut la handsome! Dato’ Emran kan handsome! ”

            Umie terus menarik kerusi supaya lebih dekat dengan meja dua orang wanita. Dia berminat nak tahu lebih-lebih lagi kalau berkaitan dengan Emiir.

            Muka handsome pun tak guna, Dato’ Emran tu sampai ke tua kaki perempuan. I dengar Dato’ Emran couple dengan pelakon mana entah! Muda giler pelakon! I tak ingat pulak nama pelakon tu!”

            Datin Melati takkan tak mengamuk!”

            Laa… You tak tahu ke, mereka berdua dah lima belas tahun tak duduk sebumbung. Datin Melati stay dengan Tan Sri Taib. Dah banyak kali Datin Melati minta cerai tapi Dato Emran tak mahu. Ala… Kalau dia ceraikan Datin Melati, dia juga rugi. Company Dato Emran sekarang ni kan datangnya dari Tan Sri Taib. Duit pelaburan seratus peratus dari Tan Sri Taib.”

            Patut la!”

            Lagipun Datin Melati bermasalah jugak!”

            Dahi Umie berkerut. Dia melihat mereka berdua berbisik. Ala… kenapa bisik pulak? Dia nak dengar jugak. Apa maksud mereka yang ibu Emiir bermasalah? Wajah Umie jelas nampak hampa.

            Eh! I dengar anak bongsu Syed Hafiz dan Ungku Herma akan attend majlis hari ini!”

            Really! Mana dia?”

            Wajah Umie berubah. Dengan serta merta dia menarik kerusinya agar lebih jauh dari meja mereka berdua. Tiba-tiba saja datin-datin ni tukar topik pula, yang buat rasa tak senang duduk apabila dirinya sendiri menjadi topik gossip mereka berdua. Kan lagi bagus kalau mereka berdua bergossip pasal Emiir lagi. Boleh la dia tahu serba sedikit pasal Emiir.  Menyampahnya!

            Umie menelan air liur. Rasa kelat pulak! Hilang terus selera nak makan. Lebih-lebih lagi apabila datin-datin sebelu dia begitu rancak bercakap pasal family dia pula. Dia melihat ke arah Emiir. Wajah berubah apabila Emiir dan Tan Sri Taib berbual dengan Puan Sri Jane dan Jazlin. Bila pulak Jazlin ada kat situ?

 

Wednesday, May 3, 2023

Cintamu Kuburu- Bab 6

 

Bab 6

 

            LANGKAH diatur persatu menuju ke bilik ofisnya. Emiir  hanya menganggukkan kepala setiap kali pekerja di firma guaman menegur dirinya pada pagi ini.

            Tiba-tiba Rose menghalang perjalanan Emiir. Rose tersenyum manakalan tangannya memegang tupperware.

            Good morning, Encik Emiir!”

            Ada apa, Rose?” tanya Emiir . Dia merenung Rose. Apa la pulak perempuan ni nak, hah? Ini seorang lagi. Malam tadi dia dah uruskan Umie, ini seorang lagi yang nak kena sound. Terus-terang dia cakap, dia memang tak berkenanan langsung dengan perangai Rose. Mengada-ada pun ada.

            Ni brownies yang I buat khas untuk Encik Emiir. Kan hari itu I ada cakap yang I suka makan brownies sama macam Encik Emiir. Brownies I buat ni lagi sedap dari bakeri yang Encik Emiir suka pergi tu.” kata Rose. Badan mula bergoyang sana sini seraya senyuman semakin meleret. Tupperware berwarna pink itu dihulurkan pada Emiir. Dia berharap Emiir makan brownies yang dia buat malam tadi.

            It’s okey! I dah bosan makan brownies.” jawab Emiir.

            Ala… I dah buat penat-penat , takkan you tak nak rasa. Rugi tahu tak kalau tak rasa!” kata Rose. Dia terus bagi kat Emiir dan segera berlalu pergi.

            Emiir terpinga-pinga apabila tupperware itu bertukar tangan. Dia ingin bersuara memanggil Rose tetapi tersedar apabila menjadi perhatian pekerja-pekerja di situ.

            Dengan wajah masam Emiir masuk ke dalam biliknya, dilempar saja tupperware itu di atas sofa. Dia memang tak ingin nak makan pun. Tiada siapa yang mampu menandingi kesedapan brownies Herma Bakery Cafe.

            Emiir terus duduk dan terus mulakan kerjanya. Helaian demi helaian kertas dibuka dan dibaca dengan wajah yang serius.

            Tiba-tiba pintu biliknya diketuk.

            Emiir terus memandang ke arah pintu.

            Aariz masuk dengan menunjukkan bag kertas yang tertera Herma Bakery Cafe. Dia terus duduk di sofa.

            Jom makan! Aku baru balik dari bakeri Cik Umie. Donut dengan apple pie tengah panas ni.  Iced latte untuk kau pun aku beli sekali.” kata Aariz. Diletakkan bag kertas itu di atas meja kecil. Dikeluarkan satu persatu makanan yang ada dalam bag kertas itu. Kemudian dia melihat ke arah tupperware yang ada di sofa sebelahnya.

            Emiir terus bangun. Perutnya pun tengah lapar. Dia belum makan pagi lagi kerana tergesa-gesa keluar dari rumah semata-mata nak elak terserempak dengan Umie.

            Tupperware apa ni?” tanya Aariz. Dia terus buka. Ada brownies di dalamnya. Dahi berkerut apabila melihat brownies itu.

            Emiir terus duduk di sofa yang bersebelahan dengan Aariz.

            Ini brownies ke atau kek terbakar hangus? Sapa bagi ini?” tanya Aariz. Dia menunjukkan brownies itu pada Emiir.

            Giliran dahi Emiir pula berkerut. Memang tak la, dia nak makan. Tengok visual saja, dah tak berselera. Entah-entah mati selepas makan!

            Rose bagi!”

            Apa! Rose bagi kat kau. Patut la hari tu aku nampak Rose google kat internet cari resepi brownies. Nampak sangat Rose gilakan kau! Nak tawan hati punya pasal, Rose sanggup masak untuk kau.” kata Aariz. Dia akui sejak universiti lagi Emiir memang ramai peminat tapi Emiir sikit pun tak layan. Yang dia tahu Emiir memang bencikan perempuan. Dia pernah tanya tetapi Emiir hanya mendiamkan diri.

            Eh, aku tak suka la perempuan hipokrit macam Rose tu. Dah la, jom makan! Eh, brownies tak ada ke hari ini?” tanya Emiir apabila lihat kek kegemaran dia tiada.

            Hari ini chef cuti. Esok baru ada brownies. Ala.. kalau teringin sangat, makan saja brownies yang Rose buat ni. Mesti sedap ni!” kata Aariz kemudian dia tersengih. Dia sengaja angkat tupperware itu dan diletakkan di hadapan Emiir.

            Argh…. Boleh mati makan brownies ni! Baik aku makan donut lagi baik.” kata Emiir. Dia terus ambil donut dan makan perlahan-lahan. Donut ni memang lembut. Dapat saja menjamah makanan, perut dia sudah tak berbunyi lagi.

                                                            ***********************

            PINTU bilik diketuk , Emiir memandang ke arah pintu.

            Emiir! Dah pukul 6 petang, kau tak nak balik lagi ke?” kata Aariz. Kepala sedikit terjenguk di muka pintu.

            Apa! Dah pukul 6!” kata Emiir dengan wajah terkejut. Sempat lagi dikerling ke arah jam tangannya untuk kepastian. Dia sikit pun tak sedar. Nampak sangat dia khusyuk sangat review fail yang ada di atas mejanya. Dia terus bangun. Dia belum lagi solat Asar.

            Kau ada apa-apa plan tak malam ni? Jom kita dinner sama-sama kat Bangsar. Ada kedai satay sedap baru buka kat sana. Boleh jugak kita lepak sambil release stress.” ajak Aariz. Dia pun bosan duduk rumah. Dua orang teman serumahnya balik kampung petang ini. Maklum la hari ini dah hari Jumaat. Ramai orang balik kampung. Kalau kampung dekat boleh la balik selalu. Tapi kampung dia kat Perlis, memang tak balik la kalau setakat cuti hari Sabtu Ahad.

            Rain check, okey! Malam ni aku balik rumah atuk aku. Baru tadi, atuk aku call suruh balik.”

            Ooo.. Ya ke? Lain kali pun boleh kita keluar. Kirim salam aku kat atuk kau. Aku balik dulu. Bye!” kata Aariz dan terus berlalu pergi.

            Sebaik saja Aariz pergi, Emiir mengeluh perlahan. Hakikatnya dia malas nak balik rumah datuknya lebih-lebih lagi dia tak mahu jumpa dengan salah seorang penghuni rumah itu. Kalau boleh, dia ingin mengelak dari berjumpa. Pertemuan mereka hanya mengundang tragedi. Dia terus menanggalkan butang di lengan baju kamejanya dan dilipat supaya senang untuk dia mengambil wuduk.

                                                            ************************

            EMIIR mematikan enjin kereta dan tangan masih memegang stereng kereta. Dia malas keluar dari keretanya. Sekali lagi dia pandang rumah banglo mewah dua tingkat itu. Kemudian dia melihat semula stereng keretanya, dia cuba mengumpul semua tenaganya.

            Pintu tingkap kereta diketuk, Emiir terkejut.

            Senyuman Emiir meleret apabila melihat Mak Limah ada di luar keretanya.

            Emiir terus keluar. Dia bersalaman dengan Mak Limah. Orang gaji keluarganya yang sudah bekerja di rumah Tan Sri Taib selama 35 tahun.

            Rindunya Mak Limah kat kamu! Mak Limah masak ikan siakap tiga rasa kegemaran kamu. Atuk kamu beritahu kamu nak bermalam kat sini.” kata Mak Limah dengan wajah ceria. Sudah sebulan dia tak jumpa Emiir. Ada sebab kenapa Emiir tak datang ke sini.

            Emiir hanya tersenyum.

            Masuk la. Atuk kamu ada kat bilik dia. Dia memang tengah tunggu kamu datang.” kata Mak Limah lagi.

            Emirr menganggukkan kepala dan terus berjalan ke pintu utama rumah banglo itu. Dia berjalan melintas ruang tamu. Dia tahu ada orang duduk di situ namun dia buat tak endah saja. Matanya tepat ke arah anak tangga yang beberapa tapak tak jauh darinya.

            Ada anak pun, jenis tak guna! Sama macam bapak dia.”

            Emiir berhenti dan menoleh melihat wanita yang duduk di sofa dengan gelas wine di tangan.  Ini penyebab utama dia tak mahu datang ke rumah datuknya. Dia tak suka dengan ibunya, Datin Melati. Hanya jelingan balas diberikan. Dia terus menyambung semula langkahnya mendaki anak tangga satu persatu. Tak guna layan orang yang tengah mabuk.

            Jeritan Datin Melati padanya tak dihiraukan. Emiir pekakkan telinga malah malas nak melayan orang yang tengah mabuk. Ini bukan pertama kali ibunya berperangai begini. Perangai kaki mabuk ibunya itu semua orang tahu lebih tepat lagi ibunya ada masalah ketagihan alkohol. Cara hidup ibunya memang sudah menyimpang jauh. Datuknya sudah mencuba macam-macam rawatan tetapi ibunya tetap jugak tak berubah.

            Tibanya di tingkat atas, Emiir mengetuk pintu bilik datuknya. Dia terus masuk dan tersenyum melihat Tan Sri Taib yang duduk di kerusi malas yang ada di dalam bilik.

            Emiir mendekati Tan Sri Taib dan bersalaman.

            Tan Sri Taib tersenyum melihat kehadiran cucunya. Ditepuk lembut bahu Emiir.

            Kamu sihat?” tanya Tan Sri Taib. Hampir sebulan dia tak jumpa cucu sulungnya itu.

            Sihat! Atuk? Atuk macam mana hari ini!”

            Macam ni la. Dah tua, buat apa-apa pun dah tak larat.” jawab Tan Sri Taib. Beberapa bulan lepas, dia baru saja menjalani pembedahan jantung. Tahap kesihatan dia tak macam dulu lagi.

            Tua? Siapa cakap atuk tua? Atuk muda lagi la. Umur tu hanya number saja. Atuk masih lagi handsome la. Gagah perkasa!”

            Muka dah kedut ni, kamu cakap atuk muda lagi. Nak puji pun, fikir logik dulu.” Tan Sri Taib ketawa. Dia tahu Emiir cuba menyedapkan hatinya. Malah dia dapat rasakan masanya semakin singkat.  Dia ingin meluangkan lebih masa dengan Emiir.

            Tan Sri Taib pegang tangan Emiir. Ketawanya mati dan renungan mata tepat pada cucunya.

            Malam ni tidur sini yer. Atuk ada hal nak cakap.” kata Tan Sri Taib.

            Atuk ajak dinner saja kan, tak cakap pun nak tidur. Emiir tak bawa baju salin pun.” Emiir memberi alasan. Nak tidur di sini, jangan harap la. Kalau dia duduk sini lama-lama, dia akan bergaduh besar dengan ibunya.

            Please! Tidur la semalam. Lagipun atuk nak minta tolong sikit.” pujuk Tan Sri Taib.

            Emiir mengeluh perlahan dan menganggukkan kepala sebagai tanda setuju. Demi datuknya, Emiir setuju.

            Emiir mesti dah penat kan! Pergi la berehat. Lepas solat Maghrib, kita turun makan. Atuk dah pesan kat Limah supaya masakkan makanan kegemaran kamu. Nanti kita makan sama-sama yer, baru berselera!” tambah Tan Sri Taib. Yang jelas terpancar sinar kegembiraan di wajahnya.

            Emiir meminta diri dan terus keluar menuju ke biliknya yang terletak di bilik terakhir tingkat itu.

            Tombol pintu dibuka perlahan-lahan, ada sedikit garis senyuman di bibir. Keadaan bilik itu masih sama, tiada apa-apa pun yang berubah. Susunan perabut masih juga sama sejak tujuh belas yang lalu. Ini pertama kali dia jejakkan kaki di sini. Selalunya dia hanya datang melawat datuknya dan terus balik.

            Tuala segera dicapai. Tubuh mula rasa melekit. Maklum la seharian dia memakai kemeja putih ini. Emiir terus melangkah masuk ke dalam bilik air. Dia perlu mandi dengan segera.

                                                ********************************

            MALAM ini Emiir makan malam bersama-sama dengan datuknya. Terkejut jugak melihat makanan yang terhidang yang hampir memenuhi meja makan. Tak sangka Mak Limah akan masak makanan kegemaran sampai banyak sebegini.

            Emiir mengangkat tangan membaca doa.

            Tan Sri Taib turut sama mengangkat tangan.

            Selesai saja membaca doa, Emiir terus mengisi mangkuk kecil dengan tom yam. Diambil ketulan ayam lebih banyak sikit. Dia terus makan dengan lahapnya. Sudah lama dia tak makan masakkan Mak Limah.

            Tan Sri Taib tersenyum melihat telatah Emiir. Hatinya gembira apabila malam ini dia tak makan keseorangan lagi. Adanya Emiir, dia rasa berselera nak makan malam ini.

            Emiir meletakkan isi ikan siakap tiga rasa ke dalam pinggan datuknya. Dia tahu ikan siakap tiga rasa makanan kegemaran Tan Sri Taib jugak.

            Tan Sri Taib tersenyum dan terus makan.

            Mereka berdua makan sambil memuji masakan Mak Limah.

            Selepas dua puluh minit, Emiir dan Tan Sri Taib selesai makan malam.

            Wah, mesti Limah gembira bila-bila tengok pinggan mangkuk licin macam ni. Tak payah basuh pun tak aper!” Tan Sri Taib bergurau.

            Emiir ketawa. Dia pun tak sangka boleh melantak macam ini. Masakan Thai memang kegemaran dia sejak dulu lagi.

            Seronok nampak! Maklum la bonding time dengan datuk kesayangan. Dengan ibu sendiri boleh buat tak tahu saja. I penat-penat mengandung, bertarung nyawa lahirkan dia, bila dah besar, buat tak tahu saja.” Datin Melati muncul dengan memegang tin minuman keras.

            Ketawa Emiir terus mati. Dia terus pandang ke arah lain. Telinga sudah lali mendengar semua itu.

            Melati! Boleh tak cakap elok-elok sikit dengan Emiir! Tiap kali jumpa Emiir, kamu mesti sindir Emiir! Ini ke cara ibu cakap dengan anak!” tegur Tan Sri Taib. Ini sebab utama Emiir jarang melawat dia selepas Datin Melati balik dari UK tiga bulan lepas. Pandangan Tan Sri Taib tepat ke arah tin hijau yang ada di tangan anaknya. Darahnya mendidih.

            Kamu keluar beli lagi ke? Apa nak jadi dengan kamu ni, hah? Tak habis-habis minum air haram ni! Sampai bila kamu ni hidup macam ni? Rosakkan diri sendiri dengan air haram ni?” marah Tan Sri Taib. Dia terus bangun.

            Abah dah lupa ke? Siapa penyebabnya I jadi macam ni? Abah penyebabnya! Kalau abah tak paksa I kahwin dengan jantan tak guna tu, hidup I takkan jadi macam ni! Abah yang rosakkan hidup I.” jerkah Datin Melati.

            Melati! Jaga sikit mulut tu! Tak malu ke buat perangai depan anak sendiri!” Tan Sri Taib mengetap bibir.  Dia sempat melihat ke arah Emiir.

            Emiir bukan budak kecil lagi, abah! Apa salahnya kalau Emiir dengar pun! Lagipun Emiir dah biasa dengan semua ni sejak kecil lagi. Emiir sendiri tahu kelahiran dia satu kesilapan besar.” tambah Datin Melati lagi.

            Melati!” jerit Tan Sri Taib. Dirinya sudah hilang sabar. Apa saja yang keluar dari mulut anak sulungnya itu hanya akan menyakitkan hati saja.

            Emiir terus bangun. Dia memegang lengan datuknya.

            Atuk! Jom naik atas! Jangan dilayan sangat orang yang tengah mabuk ni!” kata Emiir. Dia mengajak datuknya beredar dari situ. Bertekak dengan orang yang tengah mabuk hanya mengundang kemarahan saja.

            Dahi Datin Melati berkerut. Dia dengar apa yang Emiir cakap dekat ayahnya.

            Nak pergi mana tu? I tak habis cakap lagi!” kata Datin Melati. Dia lihat Emiir dan Tan Sri Taib mula meninggalkan dia. Dia cuba menghalang tetapi dia tersilap langkah dan terus jatuh tersungkur di lantai. Dia menjerit selepas melihat air tin tertumpuh.

            Emiir mendengus perlahan melihat gelagat ibunya. Bagi ibu dia, minuman haram itu lebih penting dari segala-galanya. Dia dan Tan Sri Taib menyambung perjalanan mereka tanpa menghiraukan Datin Melati.

                                                ******************************

            EMIIR membantu Tan Sri Taib duduk di sofa sebaik saja mereka berdua masuk ke dalam bilik tidur Tan Sri Taib.

            Emiir, kamu jangan terasa sangat dengan apa yang mama kamu cakap tadi! Dia tak sedar pun apa yang dia cakap!” Tan Sri Taib bersuara. Dia bimbang jika Emiir kecil hati. Takut selepas ini Emiir sudah tak datang jumpa dia lagi.

            Atuk! Emiir dah lali dengan apa yang mama cakap tu! Sejak kecil lagi, Emiir dah dengar macam-macam. Mama nak cakap apa pun, cakap la. Atuk tak payah la nak backing mama lagi.” jawab Emiir. Dia tahu datuknya sudah cuba beberapa kali untuk merapatkan hubungan dia dan ibunya namun usaha datuknya hanya sia-sia saja.

            Atuk minta maaf Emiir. Dalam hal ini atuk yang salah, kalau la atuk tak paksa mama kamu kahwin dengan papa kamu, semua ini takkan terjadi, kamu takkan jadi mangsa keadaan.” Anak mata Tan Sri Taib yang redup itu merenung Emiir dengan rasa bersalah. Sejak kecil lagi, Emiir membesar tanpa kasih sayang seorang ibu dan ayah.

            Atuk! Semua tu dah terjadi, dah namanya takdir! Betul tak?” Emiir tersenyum tawar.

            Tan Sri Taib terdiam beberapa saat. Wajahnya suram.

            Atuk! Atuk cakap nak cakap something, apa dia?” kata Emiir. Dia cuba mengubah topik perbualan mereka berdua.

            Aaa… Esok teman atuk pergi majlis amal Puan Sri Jane.”

            Atuk! Atuk tahu kan, Emiir memang tak suka nak pergi tempat-tempat yang ada ramai orang.” Tanpa berfikir sesaat pun, Emiir menolak.

            Jom la teman atuk! Atuk tiada siapa nak ajak teman.” pujuk Tan Sri Taib lagi.

            Mama kan ada!” jawab Emiir.

            Kalau bawa mama kamu tu, boleh rosak majlis Jane nanti.” Mulut Tan Sri Taib terus herot. Dia tahu apa akibatnya kalau anaknya itu ikut sama. Lain pulak jadi nanti.

            Aaa… Pak su! Mak Su! Dia orang kan ada.” Otak Emiir mula memikirkan alasan untuk mengelakkan diri.

            Laaa… Kamu dah lupa ke pak su mak su kamu tu pergi Perth. Mereka pergi melawat Dya kat sana.” jawab Tan Sri Taib.

            Emiir terdiam. Macam mana pulak dia boleh terlupa, pak ciknya ada telefon minggu lepas beritahu pasal hal ini. Dia teringat sepupunya, Dya yang belajar di Perth sejak dua tahun yang lalu.

            Jom la! Ala… bukan selalu pun atuk minta tolong. Kita pergi sekejap saja. Syarat tunjuk muka saja, dah cukup.” pujuk Tan Sri Taib.

            Dipandang wajah datuknya yang menaruh seribu harapan, akhirnya Emiir mengalah. Kepala diangguk perlahan tanda setuju. Dia lihat wajah datuknya kembali ceria.  Dalam hati Emiir mengeluh.

 

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...