Tuesday, December 31, 2019

Jujur Hatiku Hanya Untukmu - Bab 12


Bab 12

            Romzi betulkan jubah mandi yang dipakainya selepas keluar dari bilik air.  Rambut separas bahu itu dilap dengan tuala kecil beberapa kali agar kering.

            Pintu bilik diketuk.

            “Masuk, Farid!”

            Farid masuk dengan membawa dua fail di tangannya. “ Ini info pasal Laila dan Fatin Fatini.”

            “Cepat betul, kau buat kerja!”

            “Macamlah bos tak kenal saya. Apa saja task yang bos bagi, semuanya bisa diatur.  Cepat-cepat saya buat. Connection saya ramai, bos. Lagipun, saya kan pekerja kesayangan bos. Betul tak?”

            Romzi ketawa seraya geleng kepala melayan kerenah Farid yang sudah sepuluh tahun bekerja dengannya. Kerja Farid memang tip top sebab itu gaji pun dah tentu kena tip top.

            Sebaik saja ambil fail itu dari Farid, Romzi berjalan ke arah sofa putih. Dia terus duduk dan membaca fail mengenai Laila. Diselak satu persatu mukasurat.

            “Kasihan, Laila anak yatim piatu.  Ibu bapa dia meninggal masa dia berusia 18 tahun. Tiada saudara mara lain, bos!”

            “Macam mana Anas boleh kenal dengan Laila?”

            “Mereka kenal sebab kawan Anas yang kenalkan dengan Laila. Mereka berdua couple sekejap saja dan terus mereka kahwin.”

            “Oooo…. Kau ingat lagi tak? Lima tahun lepas, Anas ada datang jumpa aku di Dubai.”

            Farid angguk kepala. Dia masih ingat lagi.

            “Dia cakap nak kenalkan aku dengan seseorang. Seseorang tu pasti Laila. Tapi masa tu aku sibuk sangat. Anas pulak datang tanpa beritahu aku dulu.  Bila aku nak jumpa dia, dia dah balik Zurich. Kalaulah aku luangkan sikit masa aku time tu, pasti aku tahu pasal Laila dan Baiduri.” Romzi mengeluh. Masa Anas datang hari itu, dia sibuk uruskan masalah di resort milik bapa tirinya.

            “Masa tu kan boss sibuk.  Sepanjang minggu tu boss pun tak rehat langsung. Tak ada rezeki boss nak jumpa Laila time tu.” Farid cuba sedapkan hati Romzi. Sejak Romzi dilantik sebagai general manager di syarikat bapa tirinya, Romzi terlalu sibuk lebih-lebih lagi terpaksa uruskan hotel dan resort seluruh dunia. Hidupnya hanya bertemankan kerja. Buka mata terus fikir pasal kerja, nak tidur pun masih fikirkan pasal kerja. Itulah rutin harian Romzi.

            “Pasal kawan Laila, Fatini. Nama penuh Fatin Fatini. Umur 32 tahun. Pensyarah di Falkulti Ekonomi dan Pengurusan, UPM. Sekarang dia tengah cuti belajar. Dia dan Laila belajar di Universiti Lucerne beberapa tahun yang lalu. Mereka jugak housemate. Mereka rapat tapi bila Fatini balik Malaysia, mereka lost contact.”

            Romzi menutup fail Laila dan diketepikan. Dia buka fail Fatini. Gambar Fatini buatkan Romzi kaku beberapa saat.

            “ Lepas tu, Fatini sambung PHD di Universiti Zurich. Rasanya baru-baru ni mereka bertemu semula.” Beritahu Farid. Dia terus lihat Romzi. Rasa hairan bila tiada reaksi dari Romzi.

            “Boss!” panggil Farid.

            “Kecik betul dunia ni kan! Aku rasa aku pernah jumpa perempuan ni beberapa hari yang lalu.”

            “Betul ke ni, Boss?” Farid terkejut.

            “Waktu tu, aku tengah tunggu kau kat café. Kebetulan meja sebelah aku ada orang. Mak dengan anak. Mereka bergaduh pasal budak. Yang pasti mereka bergaduh pasal Baiduri.” Cerita Romzi. Hari itu dia dengar jelas apa dua beranak itu cakapkan.

            “Baiduri?” Farid terus duduk di sebelah Romzi. Dia ingin tahu cerita selanjutnya.

            “ Aku tak tahu pulak diorang cakap pasal anak Anas waktu tu. Yang pasti mak Fatini tak suka Fatini bawa balik Baiduri. Dia suruh Fatini hantar Baiduri ke rumah anak-anak yatim.”

            “Rumah anak yatim?”

            “Tapi Fatini berkeras nak jaga Baiduri. Itu yang buat mak Fatini naik angin. Yang sebenarnya Mak Fatini nak jodohkan Fatini dengan somebody tetapi Mak Fatini takut kalau berita pasal Baiduri akan rosakkan rancangan dia.”

            “Boss, saya rasa macam tak percaya bila boss ambil tahu pasal Fatini? Selama ini hal orang lain, boss tak pernah ambil pusing pun. Ada apa-apa ke ni, bos? ” Farid kecilkan matanya. Dia dapatkan rasakan ada sesuatu.

            “Well …. Sebab dia ….. very interesting woman.” Romzi kenyit mata pada Farid. “I want to know about her. Get more information about her. I mean everything.”

            “Baik, bos! One more thing, saya dah mesej Fatini. Saya cakap kita tunggu dia di Zurich.  Aaa….. Appointment bos minggu ni, macam mana?”

            “Cancel semuanya! Aaaa….Kau cancel semua appointment dalam bulan ni. Aku cuti.”

            “Cuti!” Suara Farid separuh tinggi kerana terkejut. Sepanjang dia kerja dengan Romzi, ini pertama kali Romzi cuti. Sebulan pulak tu. Berita ini pasti akan buat pekerja di pejabat terkejut besar.

                                                **********************

            Fadlan bergegas keluar dari kereta sebaik saja kereta dipakir di dalam garaj. Lebih-lebih lagi melihat ibunya yang turut sama ada di situ. Mesti ibunya ingin ke butik. Dia dekati Puan Rokiah.

            “Mama! Angah nak cakap something.” Kata Fadlan. Walauapapun ibunya mesti tahu apa yang Anas telah buat pada kakaknya. Kerana terlalu risaukan Fatini, Fadlan bermalam di sana. Dia bimbang kalau Alif datang ganggu kakaknya lagi.

            “Pasal apa lagi?  Pasal Alif ?  Alif dah cerita semuanya kat mama. Along tu … Mama tak faham la kenapa sampai sanggup tampar diri sendiri semata-mata nak burukkan nama Alif.  Kononnya Alif tu kaki pukul la! Panas baran la! Nak tunjuk kat semua orang yang Alif tu bukan lelaki baik. Ini bukan pertama kali, Along buat perangai macan ni”

            “Mama! Itu kenyataannya. Cakap Abang Alif tu satu pun tak betul. Kalau Angah tak ada, entah apa Abang Alif dah buat kat Along.” Fadlan mula naik angin. Tak habis-habis ibunya sebelahkan Alif. Cakap anak sendiri, sedikit pun tak percaya.

            “Itu semua drama Along. Dia nak kita semua bencikan Alif.”

            “Mama! Sampai hati mama cakap macam tu kat Along. Takkanlah Along sanggup cederakan diri sendiri? Semua tu tak logic.” Kepala digeleng beberapa kali.  Dipandang wajah Puan Rokiah.  Dia benar-benar kecewa dengan sikap ibunya.

            “Apa yang tak logiknya! Along kamu tu sanggup buat apa saja asalkan mama bencikan Alif. “

            “Mama!” Nada suara Fadlan terus tinggi. Tuduhan ibunya itu sudah melampau.

            “Mama malas nak bertekak dengan kamu lagi. Tepi sikit. Mama dah lewat nak ke butik.” Ditolak Fadlan ke tepi . Dia terus buka pintu kereta BMW merah miliknya.  Puan Rokiah segera masuk ke dalam kereta. Dia sudah lewat nak jumpa Datin Mina. Lagipun Datin Mina adalah pelanggan tetap butik itu.

            “Mama! Mama! Angah tak habis cakap lagi.” Diketuk tingkap kereta ibunya beberapa kali.  Namun langsung tak diendahkan oleh Puan Rokiah. Kereta BMW mula bergerak keluar dari garaj. “Mama! Mama!”

            “Faid Fadlan”

            Badan Fadlan terus kaku apabila mendengar suara itu. Wajah terus pucat lesi. Dengan perlahan-lahan, dia terus toleh ke belakang.  Dr. Abu Talib sedang pandang ke arahnya dengan wajah serius.

            “Masuk! Abah nak cakap sikit!”

            Fadlan mengetap bibir. “Mampuslah aku macam ni!” Langkah terasa berat untuk melangkah masuk ke dalam rumah.

                                    **************************************

            Suasana di ruang tamu sunyi sepi. Sudah lima minit , Fadlan dan Dr. Abu Talib duduk di situ.

            Fadlan masih tundukkan kepala. Masih tak berani bertentang mata dengan ayahnya. Macam mana dia boleh terlupa yang waktu begini , ayahnya masih belum pergi kerja.

            “Abah! Pasal tadi …..”

            “Kenapa Angah cakap macam tu dengan mama? Abah tak pernah ajar anak abah kurang ajar dengan ibu sendiri.  Walaupun mama salah, Angah tak boleh tinggikan suara macam tu.” Tegur Dr. Abu Talib.  

            “Angah minta maaf abah. Angah janji tak buat lagi. Nanti bila mama balik, Angah minta maaf kat mama.”

            “Along macam mana?” tanya Dr. Abu Talib.

            “Abah tak marah kat Along lagi ke?” tanya Fadlan. Selepas Fatini keluar hari itu,  Dr. Abu Talib jarang bercakap pasal Fatini.

            “Siapa cakap abah marahkan Along?”

            Wajah Fadlan nampak terkejut. “Bukan ke abah marahkan Along sebab bawa balik Baiduri sebab tu abah suruh Along keluar dari rumah ni kan.”

            Dr. Abu Talib geleng kepala beberapa kali.  Tak sangka begitu sekali tanggapan Fadlan pada dirinya.“ Abah ada sebab buat macam tu. Along macam mana? Kali ini apa Alif dah buat ?”

            Fadlan mengeluh. “Dia tampar Along sebab Along tak nak ikut dia.”

            Dr. Abu Talib menggengam erat tangannya. Kisah Fatini dan Alif memang dia tahu. Dah berkali-kali dia warning Alif tetapi Alif masih ganggu Fatini.  Dia sendiri tak tahu sampai bila anak sulungnya itu terpaksa harungi semua ini. “ Abah akan cakap sendiri dengan Alif. Pasal mama kamu tu, biar abah uruskan.”

            “Abah! Apa kata kalau kita berdua pergi jumpa ibu bapa Abang Alif? Kita cerita semuanya apa Abang Alif buat kat Along selama ini.” Fadlan memberi cadangan. Mungkin ini jalan terbaik. Selepas ibu bapa Alif tahu, mesti Alif tak berani ganggu kakaknya lagi.

            “ Awal-awal lagi abah dah jumpa ibu bapa Alif.”

            “Apa!” Fadlan terkejut. Dia tak tahu pun pasal hal ini.

            “Abah dah jumpa mereka tapi tak ada apa-apa perubahan pun.”  Dr. Abu Talib mengetap bibir. Perjumpaan itu hanya sia-sia saja.  Tanpa pengetahuan isterinya, Dr. Abu Talib jumpa dengan ibu bapa Alif bincangkan pasal sikap Alif.  Hasilnya memang mengecewakan. Mereka janji akan nasihatkan Alif agar berubah. Nampak sangat ibu bapa Alif tak dapat nak kawal Alif.

            “Habis tu macam mana, Abah?  Mama pulak tak habis-habis pujuk Along kahwin dengan Abang Alif. Kasihan Angah tengok Along. Asyik nampak stress saja. Dah la ayah Baiduri pun tak jumpa lagi.” Fadlan resah setiap kali fikirkan masalah kakaknya.

            “Pasal hal kahwin tu, Angah jangan risau. Kuasa wali di tangan abah. Mustahil abah akan benarkan Along kahwin dengan lelaki kaki pukul macam tu.”
Tegas Dr. Abu Talib.

            Fadlan menarik nafas lega mendengarnya. Selama ini, dia ingatkan ayahnya tak pernah ambil tahu pasal Fatini. Ayahnya jarang ada di rumah. Selalu sibuk dengan kerjanya di universiti. Lagipun ayahnya kerap ke luar negara, setiap kali ada conference. Iyalah, ayahnya memang seorang pendiam tetapi bila marah , faham-faham sendirilah.

            Tiba-tiba bunyi mesej masuk, dengan segera Fadlan membaca mesej di telefon pintarnya. Air muka Fadlan berubah.  Dipandang wajah Dr. Abu Talib. “Abah! Along mesej tadi. Dia cakap PA bapa saudara Anas mesej. Bapa saudara Anas ada di Zurich. Bapa saudara Anas tak tahu yang Anas dah kahwin. Dia nak jumpa Along dan Baiduri di sana.” Beritahu Fadlan.

            “Baguslah macam tu! Suruh Along pergi sana cepat. Duduk sini pun, tambah stress adalah. Hmm…. Bawa Fatihah dan Fawz sekali. Ada peneman, abah tak risau sangat.” Kata Dr. Abu Talib . Dia terus bangun. “Abah dah lewat ni. Abah pergi dulu. Pasal mama kamu tu, biar abah uruskan.”

            Fadlan angguk kepala. Dia berasa lega apabila ayahnya memberi kebenaran.

Sunday, December 15, 2019

Duniaku Ada Kamu - Bab 1


Bab 1

Bunyi jam loceng yang tak henti-henti berbunyi mengejutkan Mariam. Kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Dia terus bangun. Dicapai jam loceng di sebelahnya, punat off ditekan. Rasa lega apabila bunyi loceng tadi sudah hilang.

Pandangan tepat pada calendar yang ada di atas meja solek. “Tak sangka dah 5 Julai.” Ada nada hampa di sebalik suaranya itu. Dia mengeluh perlahan. “ Hari ini Husna akan jadi tunang Omar.  Oklah, Mariam! Kau kena stop sukakan Omar. Dia dah nak jadi adik ipar kau. Cinta tu matikan saja. Insya Allah, jodoh kau masih berada di luar sana.” Mariam bercakap seorang diri. Cuba sedapkan hatinya. Mustahil dia akan cintakan Omar dalam diam lagi. Itu dosa namanya.  Dia cuba tersenyum. Dia sudah bertekad yang dia akan lupakan Omar. 

Lantas Mariam bangun, dia belum lagi solat Subuh. Katil dikemas terlebih dahulu. Kemudian dia bergegas melangkah ke bilik air. Selepas mandi dan mengambil wuduk, Mariam menghampar sejadah dan pakai kain telekung.

Usai solat Subuh, Mariam bersiap sedia untuk turun ke bawah. Kena siapkan sarapan hari ini. Lagipun sejak semalam lagi saudara mara sudah berkunjung datang ke rumah. Riuh rendah rumah itu dengan suara saudara mara. Ada yang tidur di sini, ada pula yang tidur di hotel. 

Langkah Mariam terhenti apabila melihat baju kurung berwarna putih yang disangkut di almari. Malam tadi dia gosokkan baju kurung Husna untuk majlis bertunang nanti.  Macam mana dia boleh terlupa nak bagi? Diambil baju itu dan langkah menuju ke bilik Husna yang hanya bersebelahan dengannya.

Pintu bilik Husna sedikit terbuka.

“Ya! Ya! KL Central!”

Dahi Mariam berkerut. Dia terdengar Husna bercakap dengan seseorang. Awal pulak Husna bangun hari ini? Selalunya waktu-waktu begini Husna masih lagi tidur. Mungkin Husna tak sabar nak bertunang dengan Omar? Hari ni kan hari paling bermakna dalam hidup Husna.

Tiba-tiba pintu bilik Husna terbuka luas.

Mariam dan Husna masing-masing terkejut.

“Kau buat apa kat sini? Intip aku?” Nada suara Husna sudah tinggi. Wajah terus masam.

“Kakak nak bagi baju kurung ni. Dah siap seterika.” Dihulurkan hanger baju kurung itu pada Mariam.

Husna terus rampas hanger itu dengan kasar. Pintu bilik ditutup dengan kasar.
Mariam terkejut. Ini bukan pertama kali Husna bersikap begini padanya. Sejak tujuh belas tahun dia tinggal di sini, layanan Husna tetap sama. Dia sedar siapa dirinya. Dia hanya menumpang kasih dalam rumah ini. Selepas ibu bapanya meninggal, Tuan Salim dan Puan Hidayah ambil dia sebagai anak angkat semasa umurnya sepuluh tahun. Kebetulan Puan Hidayah kawan baik arwah ibunya. Disebabkan tak mahu lihat dia membesar di rumah anak-anak yatim, Puan Hidayah mengambil dia sebagai anak angkat dan besarkan dia dengan baik . Tuan Salim dan Puan Hidayah anggapnya sepertinya anak kandungnya sendiri. Dia bersyukur sangat-sangat kerana dianugerahkan mak ayah yang baik seperti mereka. Lamunan Mariam terhenti apabila ada suara menegur.

“ Jangan ambil hati sangat perangai Husna tu! Memang sejak azali la perangai kurang ajar tu ada kat dia…..” Harissa dekati Mariam. Semasa dia keluar bilik tadi, dia nampak semuanya. “ Orang kalau tak ada adab macam tu la, tak reti nak berterima kasih kat orang. Dah la baju kurung nak bertunang pun, suruh orang gosokkan! Pemalas betul!” Harissa sengaja kuatkan suaranya agar Husna dengar. Dia dengan Husna memang tak ngam.

“Mak Su! Jom kita turun! Banyak benda nak kena buat ni!” ajak Mariam dengan segera. Dia bimbang jika dibiarkan boleh jadi perang dunia antara ibu saudaranya dan Husna. Ditarik lembut lengan Harissa agar mengikutnya turun ke bawah siapkan sarapan pagi.

“Kamu ni baik sangat, Mariam! Macam mana kamu boleh bersabar dengan perangai Husna tu sampai hari ni? Kalau Mak Su, dah lama Mak Su cili mulut Husna!” bebel Harissa seraya menuruni anak-anak tangga bersama-sama Mariam. Dia lebih rapat dengan Mariam dari Husna.

“Dah lepas kahwin nanti, berubahlah Husna tu. Lagipun Omar tu baik orangnya. Saya percaya dia dapat ubah Husna.”

Harissa mendengus kuat. “ Omar tu! Mak Su tak percaya Omar dapat ubah perangai Husna tu. Kalau dia dapat ubah, dah berubah dah pun perangai Husna tu. Dah sepuluh tahun mereka couple, perangai Husna tu tetap sama. Mak Su tengok Husna tu yang control Omar. Dah macam kerbau kena cucuk kat hidung, Omar tu ikut jer apa Husna nak.” Semakin bertambah bebelan Harissa.

“Apa benda kau membebel pagi-pagi buta ni, Harissa?”

Harissa dan Mariam menoleh.

Puan Hani tersenyum.

“Tak ada apa-apa, Kak Ngah! Saja jer membebel pagi-pagi buta ni.” Jawab Harissa seraya tersengih melihat kakaknya.

“Jom! Kita ke dapur ,masak apa yang patut untuk breakfast. Rasanya kita buat nasi lemak dah cukup.” Ajak Puan Hani.

Mariam dan Harissa ekori Puan Hani dari belakang menuju ke dapur.

            *****************************************************

Tangannya sejak tadi begitu ligat membasuh saki baki pinggan mangkuk yang ada di sinki. Dilapkan tangannya di tuala kecil. Dia melangkah ke almari. Dibuka laci mencari tuala untuk lap pinggan mangkuk yang sudah dibasuh tadi. Dah kering nanti boleh terus simpan semula dalam almari.

Harissa datang dengan membawa sesuatu di piring kecil.

“Mariam, mai rasa kuih koci ni! Kuih Badak! Kuih tepung talam!  Mak Su ambil . Sedap! Tok Chik Ma yang masak. Sebelum habis, Mak Su dah cilok dulu.”

“Kuih koci Tok Chik Ma!” Bulat terus mata Mariam. Dia terus ambil kuih koci itu. Dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah perlahan-lahan. Memang sedap. Tok Chik Ma memang pakar dalam masakkan kuih tradisional ni. Semua kuih-kuih yang Tok Chik Ma buat memang sedap-sedap belaka. Dia teringin juga nak belajar kuih-kuih tradisional ni dari Tok Chik Ma.

“Sedap kan!” kata Harissa yang turut sama makan.

Laju saja, Mariam angguk kepala.

“Mak Su! Mariam! Naik atas sekejap. Ada hal sikit.” Tiba-tiba saja Basir muncul di dapur.

“Hal apa, Basir?” tanya Harissa. Dahi berkerut.

“Naik la dulu!” kata Basir dan terus hilangkan diri.

“ Apa hal pulak?” Harissa menoleh ke arah Mariam.

“ Jom la kita naik atas….” Ajak Mariam.

Mereka berdua mendaki anak tangga ke tingkat atas.

Ternampak kelibat Basir yang memanggil mereka masuk ke bilik Husna.

Mariam dan Harissan melangkah masuk dengan wajah terpinga-pinga. Mereka hairan melihat Puan Hidayah, Puan Hani, Puan Heliza dan Badrul ada dalam bilik Husna.

Mariam melihat wajah Puan Hidayah yang baru saja lepas menangis. Dengan segera Mariam hampiri ibu angkatnya. “ Mak, kenapa ni?” tanya Mariam. Dia dapatkan rasa ada sesuatu yang terjadi. Mariam melihat sekeliling. Kelibat Husna tak ada.

“Husna dah lari!” beritahu Basir.
“Apa!” Harissa terkejut dengan kelopak mata berbuka luas. “Bila masanya dia keluar dari rumah ni?”

“Tak tahu bila, Mak Su! Bila Abang Ngah nak panggil breakfast, Husna dah tak ada.” Jawab Badrul.

Basir beri nota yang ditinggalkan oleh Husna pada ibu saudaranya.

Harissa terus ambil nota itu dan baca. “ Mak! Husna minta maaf. Husna tak dapat nak teruskan majlis pertunangan ini. Husna tak bersedia lagi. Husna harap mak faham.”

Puan Hidayah menangis semula. “Kenapa? Kenapa Husna sanggup buat macam tu kat kita. Apa kita nak jawab dengan saudara mara kita nanti?” Tangisan Puan Hidayah semakin kuat. Dia tak mampu nak berhadapan dengan saudara mara dia.

“Mak! Saudara mara kita boleh settle sekarang ni apa kita nak cakap dengan Omar ? Puan Nabila ….. apa kita nak jawab dengan mereka?” Badrul bersuara.

“ Yalah! Pukul 12 kan, dia orang nak datang! Sekarang ni dah pukul 10 pagi. Lagi dua jam, majlis pertunangan nak bermula.  Mana kita nak cari Husna ni?” kata Harissa.

Tiba-tiba Mariam teringat sesuatu. Teringat semula perbualan Husna dengan sesorang semasa Subuh tadi. “ Abang Long! Masa kakak hantarkan baju kurung Husna, kakak ada dengar Husna sebut KL Central. Masa tu kakak tak tahu dia tengah cakap dengan siapa….”

“KL Central?” kata Badrul. “ Kakak! Kakak tahu tak Husna simpan passport dia kat mana?” tanya Badrul.

Mariam terus pergi ke meja solek Husna. Dia pernah nampak Husna simpan passport di situ. Dibuka laci itu. “ Passport tu dah tak ada, Abang Long!” beritahu  Mariam.

“Dia pergi luar negara ke?” tanya Basir.

“Maybe! Macam ni …. Abang Long dengan Abang Ngah pergi KLIA. Kami cari Husna kat sana. Kakak dengan Mak Su pergi KL Central, cari Husna kat sana. Kita berpecah. Kalau jumpa Husna, heret terus Husna balik sini. Dah jumpa call, okey?” kata Badrul.

Mariam dan Harissa hanya angguk kepala.

“Mak! Jangan risau! Kami cari Husna sampai dapat!” kata Basir. Dipegang tangan ibunya. Sejuk! Masih ada sisa-sisa air mata di pipi Puan Hidayah.

“Jangan risau pasal mak korang. Mak Ngah dan Mak Lang ada. Kamu pergi cepat. Kalau lambat, Husna dah pergi jauh.” Kata Puan Hani.

Badrul dan Basir terus keluar. Diikuti Mariam dan Harissa dari belakang.

“Kenapa sanggup Husna buat aku macam ni? Dia tak sayang kat aku ke?” Tangisan Puan Hidayah semakin menjadi-jadi. Kuat dan kuat. Rasa sebak di hati apabila mengenangkan perangai Husni.

“Sabarlah, Kak Long! Kita sama-sama doa supaya mereka dapat jumpa Husna.” Pujuk Puan Heliza. Dia memandang Puan Hani.

                        **************************************

Sebaik saja tiba di KL Central, Mariam dan Harissa berpecah.

Mariam berhenti di tengah-tengah KL Central. Mata meliar mencari kelibat Husna. Dahi berkerut melihat orang yang begitu ramai di situ. “Macam mana aku nak cari Husna ni?” Mariam mula resah. Mariam menyambung semula langkahnya. Apa-apa pun dia kena cari Husna sampai jumpa, dia tak sanggup lihat ibunya bersedih macam tadi.

Dicelah-celah orang ramai, Mariam masih mencari. Dia takkan putus asa. Langkah Mariam terhenti apabila telefon pintarnya berbunyi. Nama Omar tertera di skrin.  Dia mengeluh kuat. Sekarang bukan masa yang sesuai jawab panggilan Omar. Dia kena cari Husna sampai jumpa jugak.

Anak mata Mariam kaku seketika, kelibat wanita berseluar jeans dan t-shirt berwarna pink menarik perhatiannya. Lengang lengok wanita itu berjalan tak ubah seperti Husna. Dipercepatkan langkahnya mengejar Husna. Tangan Husna dicapai.

“Husna!”

Husna terkejut apabila tangannya digenggam erat oleh Mariam. “Lepaslah! Macam mana kau tahu aku kat sini, hah?” Husna meronta. Ditarik tangannya dengan kuat sehingga terlepas dari genggaman Mariam.

“Husna nak pergi mana ni? Husna tak boleh pergi macam tu saja. Majlis pertunangan tu macam mana?”

“Hey! Aku dah tulis kat nota kan, takkan tak reti baca kut!” marah Husna.

“ Husna tak boleh buat macam tu? Tak kasihan kat mak ke? Omar pulak, macam mana pulak dengan Omar! Husna tahu tak , tindakkan Husna ni menyusahkan banyak pihak!”

“Hey! Kau siapa nak ajar aku, hah! Kau tu tak ada kaitan dengan family aku! Sedarlah diri tu sikit. Aku nak buat apa pun, itu hak aku! Kau peduli apa?”
“Husna, please la balik. Kita bincang baik-baik kat rumah. Mak tak henti-henti menangis, kasihan kat mak! Mak tengah tunggu Husna balik tu. Kita balik yer ….” Pujuk Mariam lagi.

“Hey, kau ni memang tak faham bahasa kan! Aku tak nak balik la. Pasal Omar, kalau kau nak …. Kau ambilah Omar tu. Aku dah bosan dengan Omar.”

“Apa!” Mariam terkejut.

“Tak payah nak terkejut sangat. Aku tahu dari dulu lagi, kau memang ada hati kat BFF kau.  Kau memang sukakan Omar kan!” Husna tersenyum sinis. “ Masa sekolah dulu, hari tu aku tahu kau nak luahkan perasaan kau kat Omar tapi aku terlebih dahulu potong kau …. Aku sengaja luahkan perasaan aku yang kononnya aku sukakan Omar tapi …. Tapi tak sangka pulak Omar ada simpan perasaan kat aku. Omar terus terima aku …. Kelakar kan! Aku bukannya suka sangat kat dia pun. Aku buat semua tu sebab nak sakitkan hati kau saja…. Aku nak tengok kau kecewa…. Maklumlah, pujaan cinta hati kau suka kat aku …. Tapi sekarang ni aku dah bosan dengan Omar. Kalau kau nak, kau ambillah Omar tu. Oh ya, kalau boleh …. Kau jer la bertunang dengan Omar tu. Habis cerita, selesai semua masalah. Betul tak?”

“Husna!” Nada suara Mariam tinggi tanpa disedari. Dia betul-betul terkejut dengan pengakuan adiknya.

“ Oklah! Aku dah lambat ni. Aku akan balik bila aku rasa nak balik. Beritahu mak, jangan risau pasal aku. Aku dah besar, tahulah aku jaga diri sendiri.” Kata Husna. Baru saja nak melangkah, tiba-tiba tangannya dipegang sekali lagi.

“Husna! Don’t do this!” Mariam masih tak lepaskan pegangan tangan Husna.

Husna mula hilang sabar dan terus tolak Mariam dengan kuat. Dia sudah lambat disebabkan Mariam.

Orang ramai yang ada di situ terkejut melihat apa yang berlaku.

Mariam jatuh terjelopok di lantai. Namun dia bangun semula dan pegang tangan Husna. Dia masih tak putus asa menahan Husna dari pergi. Janjinya pada mak untuk bawa Husna pulang harus ditunaikan.

“Hey, lepaslah!” jerit Husna sekuat hati.

“Husna!”

Husna menoleh. Dia terkejut melihat Harissa berlari ke arahnya. Dia terus panik. Kalau dirinya ditangkap Harissa, pasti sukar untuk dia loloskan diri lagi. Tanpa membuang masa, sekuat tenaga yang ada dia terus tolak Mariam.

Sekali lagi Mariam terjatuh dan kepalanya terhantuk di lantai. Dia pegang dahinya yang terasa sakit.

Husna terus berlari sekuat hati. Bagasi yang dibawanya ditinggalkan begitu saja.

“Mariam! Mariam okey ke?” Harissa terus dapatkan Mariam.

“Okey! Cepat, Mak Su! Cepat kejar Husna!” kata Mariam.

“Tunggu sini! Mak Su pergi tangkap Husna.” Kata Harissa. Dia bangun dan berlari semula mengejar Husna yang sudah jauh dari mereka berdua. Tanpa pedulikan orang yang ramai yang ada di situ, Harissa menjerit berulang kali panggil Husna.

Mariam cuba bangun. Dia pegang dahinya yang terasa sakit. Ada sedikit benjolan di dahi. Pedih! Namun Mariam tetap bangun dan berlari laju malah sekejap saja dia dapat mengejar Harissa.

“ Mak Su!”

“Kamu pergi kejar Husna cepat! Mak Su dah semput ni.” Kata Harissa. Dia sudah penat untuk berlari lagi. Nafas sudah turun naik. Rasa nak rebah pun ada. Cepat betul Husna berlari.

Pandangan mereka kaku apabila Husna berlari ke pintu keluar KL Central. Husna terus masuk ke dalam sebuah kereta convertible. Ada seorang lelaki di dalam kereta itu. Dengan laju, kereta mewah itu berlalu pergi.

“Husna!” jerit Mariam. Dia sudah tak mampu untuk mengejar lagi. Husna sudah hilang bersama kereta mewah itu.

Harissa berdiri di sebelah Mariam.  Rasa penat masih belum hilang lagi. “ Siapa lelaki tu?” tanya Harissa. Dia masih tercungap-cungap.

Mariam geleng kepala. Dia tak pernah lelaki tu pun sebelum ini. Nafasnya turut sama turun naik. “ Mak Su! Apa kita nak cakap dekat mak nanti?” Dipandang wajah ibu saudaranya.

“Eeeee…. Husna ni kan! Selalu bagi masalah kat kita!” marah Harissa. Serabut kepalanya apabila fikirkan pasal Husna.



DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...