Sunday, December 15, 2019

Duniaku Ada Kamu - Bab 1


Bab 1

Bunyi jam loceng yang tak henti-henti berbunyi mengejutkan Mariam. Kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Dia terus bangun. Dicapai jam loceng di sebelahnya, punat off ditekan. Rasa lega apabila bunyi loceng tadi sudah hilang.

Pandangan tepat pada calendar yang ada di atas meja solek. “Tak sangka dah 5 Julai.” Ada nada hampa di sebalik suaranya itu. Dia mengeluh perlahan. “ Hari ini Husna akan jadi tunang Omar.  Oklah, Mariam! Kau kena stop sukakan Omar. Dia dah nak jadi adik ipar kau. Cinta tu matikan saja. Insya Allah, jodoh kau masih berada di luar sana.” Mariam bercakap seorang diri. Cuba sedapkan hatinya. Mustahil dia akan cintakan Omar dalam diam lagi. Itu dosa namanya.  Dia cuba tersenyum. Dia sudah bertekad yang dia akan lupakan Omar. 

Lantas Mariam bangun, dia belum lagi solat Subuh. Katil dikemas terlebih dahulu. Kemudian dia bergegas melangkah ke bilik air. Selepas mandi dan mengambil wuduk, Mariam menghampar sejadah dan pakai kain telekung.

Usai solat Subuh, Mariam bersiap sedia untuk turun ke bawah. Kena siapkan sarapan hari ini. Lagipun sejak semalam lagi saudara mara sudah berkunjung datang ke rumah. Riuh rendah rumah itu dengan suara saudara mara. Ada yang tidur di sini, ada pula yang tidur di hotel. 

Langkah Mariam terhenti apabila melihat baju kurung berwarna putih yang disangkut di almari. Malam tadi dia gosokkan baju kurung Husna untuk majlis bertunang nanti.  Macam mana dia boleh terlupa nak bagi? Diambil baju itu dan langkah menuju ke bilik Husna yang hanya bersebelahan dengannya.

Pintu bilik Husna sedikit terbuka.

“Ya! Ya! KL Central!”

Dahi Mariam berkerut. Dia terdengar Husna bercakap dengan seseorang. Awal pulak Husna bangun hari ini? Selalunya waktu-waktu begini Husna masih lagi tidur. Mungkin Husna tak sabar nak bertunang dengan Omar? Hari ni kan hari paling bermakna dalam hidup Husna.

Tiba-tiba pintu bilik Husna terbuka luas.

Mariam dan Husna masing-masing terkejut.

“Kau buat apa kat sini? Intip aku?” Nada suara Husna sudah tinggi. Wajah terus masam.

“Kakak nak bagi baju kurung ni. Dah siap seterika.” Dihulurkan hanger baju kurung itu pada Mariam.

Husna terus rampas hanger itu dengan kasar. Pintu bilik ditutup dengan kasar.
Mariam terkejut. Ini bukan pertama kali Husna bersikap begini padanya. Sejak tujuh belas tahun dia tinggal di sini, layanan Husna tetap sama. Dia sedar siapa dirinya. Dia hanya menumpang kasih dalam rumah ini. Selepas ibu bapanya meninggal, Tuan Salim dan Puan Hidayah ambil dia sebagai anak angkat semasa umurnya sepuluh tahun. Kebetulan Puan Hidayah kawan baik arwah ibunya. Disebabkan tak mahu lihat dia membesar di rumah anak-anak yatim, Puan Hidayah mengambil dia sebagai anak angkat dan besarkan dia dengan baik . Tuan Salim dan Puan Hidayah anggapnya sepertinya anak kandungnya sendiri. Dia bersyukur sangat-sangat kerana dianugerahkan mak ayah yang baik seperti mereka. Lamunan Mariam terhenti apabila ada suara menegur.

“ Jangan ambil hati sangat perangai Husna tu! Memang sejak azali la perangai kurang ajar tu ada kat dia…..” Harissa dekati Mariam. Semasa dia keluar bilik tadi, dia nampak semuanya. “ Orang kalau tak ada adab macam tu la, tak reti nak berterima kasih kat orang. Dah la baju kurung nak bertunang pun, suruh orang gosokkan! Pemalas betul!” Harissa sengaja kuatkan suaranya agar Husna dengar. Dia dengan Husna memang tak ngam.

“Mak Su! Jom kita turun! Banyak benda nak kena buat ni!” ajak Mariam dengan segera. Dia bimbang jika dibiarkan boleh jadi perang dunia antara ibu saudaranya dan Husna. Ditarik lembut lengan Harissa agar mengikutnya turun ke bawah siapkan sarapan pagi.

“Kamu ni baik sangat, Mariam! Macam mana kamu boleh bersabar dengan perangai Husna tu sampai hari ni? Kalau Mak Su, dah lama Mak Su cili mulut Husna!” bebel Harissa seraya menuruni anak-anak tangga bersama-sama Mariam. Dia lebih rapat dengan Mariam dari Husna.

“Dah lepas kahwin nanti, berubahlah Husna tu. Lagipun Omar tu baik orangnya. Saya percaya dia dapat ubah Husna.”

Harissa mendengus kuat. “ Omar tu! Mak Su tak percaya Omar dapat ubah perangai Husna tu. Kalau dia dapat ubah, dah berubah dah pun perangai Husna tu. Dah sepuluh tahun mereka couple, perangai Husna tu tetap sama. Mak Su tengok Husna tu yang control Omar. Dah macam kerbau kena cucuk kat hidung, Omar tu ikut jer apa Husna nak.” Semakin bertambah bebelan Harissa.

“Apa benda kau membebel pagi-pagi buta ni, Harissa?”

Harissa dan Mariam menoleh.

Puan Hani tersenyum.

“Tak ada apa-apa, Kak Ngah! Saja jer membebel pagi-pagi buta ni.” Jawab Harissa seraya tersengih melihat kakaknya.

“Jom! Kita ke dapur ,masak apa yang patut untuk breakfast. Rasanya kita buat nasi lemak dah cukup.” Ajak Puan Hani.

Mariam dan Harissa ekori Puan Hani dari belakang menuju ke dapur.

            *****************************************************

Tangannya sejak tadi begitu ligat membasuh saki baki pinggan mangkuk yang ada di sinki. Dilapkan tangannya di tuala kecil. Dia melangkah ke almari. Dibuka laci mencari tuala untuk lap pinggan mangkuk yang sudah dibasuh tadi. Dah kering nanti boleh terus simpan semula dalam almari.

Harissa datang dengan membawa sesuatu di piring kecil.

“Mariam, mai rasa kuih koci ni! Kuih Badak! Kuih tepung talam!  Mak Su ambil . Sedap! Tok Chik Ma yang masak. Sebelum habis, Mak Su dah cilok dulu.”

“Kuih koci Tok Chik Ma!” Bulat terus mata Mariam. Dia terus ambil kuih koci itu. Dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah perlahan-lahan. Memang sedap. Tok Chik Ma memang pakar dalam masakkan kuih tradisional ni. Semua kuih-kuih yang Tok Chik Ma buat memang sedap-sedap belaka. Dia teringin juga nak belajar kuih-kuih tradisional ni dari Tok Chik Ma.

“Sedap kan!” kata Harissa yang turut sama makan.

Laju saja, Mariam angguk kepala.

“Mak Su! Mariam! Naik atas sekejap. Ada hal sikit.” Tiba-tiba saja Basir muncul di dapur.

“Hal apa, Basir?” tanya Harissa. Dahi berkerut.

“Naik la dulu!” kata Basir dan terus hilangkan diri.

“ Apa hal pulak?” Harissa menoleh ke arah Mariam.

“ Jom la kita naik atas….” Ajak Mariam.

Mereka berdua mendaki anak tangga ke tingkat atas.

Ternampak kelibat Basir yang memanggil mereka masuk ke bilik Husna.

Mariam dan Harissan melangkah masuk dengan wajah terpinga-pinga. Mereka hairan melihat Puan Hidayah, Puan Hani, Puan Heliza dan Badrul ada dalam bilik Husna.

Mariam melihat wajah Puan Hidayah yang baru saja lepas menangis. Dengan segera Mariam hampiri ibu angkatnya. “ Mak, kenapa ni?” tanya Mariam. Dia dapatkan rasa ada sesuatu yang terjadi. Mariam melihat sekeliling. Kelibat Husna tak ada.

“Husna dah lari!” beritahu Basir.
“Apa!” Harissa terkejut dengan kelopak mata berbuka luas. “Bila masanya dia keluar dari rumah ni?”

“Tak tahu bila, Mak Su! Bila Abang Ngah nak panggil breakfast, Husna dah tak ada.” Jawab Badrul.

Basir beri nota yang ditinggalkan oleh Husna pada ibu saudaranya.

Harissa terus ambil nota itu dan baca. “ Mak! Husna minta maaf. Husna tak dapat nak teruskan majlis pertunangan ini. Husna tak bersedia lagi. Husna harap mak faham.”

Puan Hidayah menangis semula. “Kenapa? Kenapa Husna sanggup buat macam tu kat kita. Apa kita nak jawab dengan saudara mara kita nanti?” Tangisan Puan Hidayah semakin kuat. Dia tak mampu nak berhadapan dengan saudara mara dia.

“Mak! Saudara mara kita boleh settle sekarang ni apa kita nak cakap dengan Omar ? Puan Nabila ….. apa kita nak jawab dengan mereka?” Badrul bersuara.

“ Yalah! Pukul 12 kan, dia orang nak datang! Sekarang ni dah pukul 10 pagi. Lagi dua jam, majlis pertunangan nak bermula.  Mana kita nak cari Husna ni?” kata Harissa.

Tiba-tiba Mariam teringat sesuatu. Teringat semula perbualan Husna dengan sesorang semasa Subuh tadi. “ Abang Long! Masa kakak hantarkan baju kurung Husna, kakak ada dengar Husna sebut KL Central. Masa tu kakak tak tahu dia tengah cakap dengan siapa….”

“KL Central?” kata Badrul. “ Kakak! Kakak tahu tak Husna simpan passport dia kat mana?” tanya Badrul.

Mariam terus pergi ke meja solek Husna. Dia pernah nampak Husna simpan passport di situ. Dibuka laci itu. “ Passport tu dah tak ada, Abang Long!” beritahu  Mariam.

“Dia pergi luar negara ke?” tanya Basir.

“Maybe! Macam ni …. Abang Long dengan Abang Ngah pergi KLIA. Kami cari Husna kat sana. Kakak dengan Mak Su pergi KL Central, cari Husna kat sana. Kita berpecah. Kalau jumpa Husna, heret terus Husna balik sini. Dah jumpa call, okey?” kata Badrul.

Mariam dan Harissa hanya angguk kepala.

“Mak! Jangan risau! Kami cari Husna sampai dapat!” kata Basir. Dipegang tangan ibunya. Sejuk! Masih ada sisa-sisa air mata di pipi Puan Hidayah.

“Jangan risau pasal mak korang. Mak Ngah dan Mak Lang ada. Kamu pergi cepat. Kalau lambat, Husna dah pergi jauh.” Kata Puan Hani.

Badrul dan Basir terus keluar. Diikuti Mariam dan Harissa dari belakang.

“Kenapa sanggup Husna buat aku macam ni? Dia tak sayang kat aku ke?” Tangisan Puan Hidayah semakin menjadi-jadi. Kuat dan kuat. Rasa sebak di hati apabila mengenangkan perangai Husni.

“Sabarlah, Kak Long! Kita sama-sama doa supaya mereka dapat jumpa Husna.” Pujuk Puan Heliza. Dia memandang Puan Hani.

                        **************************************

Sebaik saja tiba di KL Central, Mariam dan Harissa berpecah.

Mariam berhenti di tengah-tengah KL Central. Mata meliar mencari kelibat Husna. Dahi berkerut melihat orang yang begitu ramai di situ. “Macam mana aku nak cari Husna ni?” Mariam mula resah. Mariam menyambung semula langkahnya. Apa-apa pun dia kena cari Husna sampai jumpa, dia tak sanggup lihat ibunya bersedih macam tadi.

Dicelah-celah orang ramai, Mariam masih mencari. Dia takkan putus asa. Langkah Mariam terhenti apabila telefon pintarnya berbunyi. Nama Omar tertera di skrin.  Dia mengeluh kuat. Sekarang bukan masa yang sesuai jawab panggilan Omar. Dia kena cari Husna sampai jumpa jugak.

Anak mata Mariam kaku seketika, kelibat wanita berseluar jeans dan t-shirt berwarna pink menarik perhatiannya. Lengang lengok wanita itu berjalan tak ubah seperti Husna. Dipercepatkan langkahnya mengejar Husna. Tangan Husna dicapai.

“Husna!”

Husna terkejut apabila tangannya digenggam erat oleh Mariam. “Lepaslah! Macam mana kau tahu aku kat sini, hah?” Husna meronta. Ditarik tangannya dengan kuat sehingga terlepas dari genggaman Mariam.

“Husna nak pergi mana ni? Husna tak boleh pergi macam tu saja. Majlis pertunangan tu macam mana?”

“Hey! Aku dah tulis kat nota kan, takkan tak reti baca kut!” marah Husna.

“ Husna tak boleh buat macam tu? Tak kasihan kat mak ke? Omar pulak, macam mana pulak dengan Omar! Husna tahu tak , tindakkan Husna ni menyusahkan banyak pihak!”

“Hey! Kau siapa nak ajar aku, hah! Kau tu tak ada kaitan dengan family aku! Sedarlah diri tu sikit. Aku nak buat apa pun, itu hak aku! Kau peduli apa?”
“Husna, please la balik. Kita bincang baik-baik kat rumah. Mak tak henti-henti menangis, kasihan kat mak! Mak tengah tunggu Husna balik tu. Kita balik yer ….” Pujuk Mariam lagi.

“Hey, kau ni memang tak faham bahasa kan! Aku tak nak balik la. Pasal Omar, kalau kau nak …. Kau ambilah Omar tu. Aku dah bosan dengan Omar.”

“Apa!” Mariam terkejut.

“Tak payah nak terkejut sangat. Aku tahu dari dulu lagi, kau memang ada hati kat BFF kau.  Kau memang sukakan Omar kan!” Husna tersenyum sinis. “ Masa sekolah dulu, hari tu aku tahu kau nak luahkan perasaan kau kat Omar tapi aku terlebih dahulu potong kau …. Aku sengaja luahkan perasaan aku yang kononnya aku sukakan Omar tapi …. Tapi tak sangka pulak Omar ada simpan perasaan kat aku. Omar terus terima aku …. Kelakar kan! Aku bukannya suka sangat kat dia pun. Aku buat semua tu sebab nak sakitkan hati kau saja…. Aku nak tengok kau kecewa…. Maklumlah, pujaan cinta hati kau suka kat aku …. Tapi sekarang ni aku dah bosan dengan Omar. Kalau kau nak, kau ambillah Omar tu. Oh ya, kalau boleh …. Kau jer la bertunang dengan Omar tu. Habis cerita, selesai semua masalah. Betul tak?”

“Husna!” Nada suara Mariam tinggi tanpa disedari. Dia betul-betul terkejut dengan pengakuan adiknya.

“ Oklah! Aku dah lambat ni. Aku akan balik bila aku rasa nak balik. Beritahu mak, jangan risau pasal aku. Aku dah besar, tahulah aku jaga diri sendiri.” Kata Husna. Baru saja nak melangkah, tiba-tiba tangannya dipegang sekali lagi.

“Husna! Don’t do this!” Mariam masih tak lepaskan pegangan tangan Husna.

Husna mula hilang sabar dan terus tolak Mariam dengan kuat. Dia sudah lambat disebabkan Mariam.

Orang ramai yang ada di situ terkejut melihat apa yang berlaku.

Mariam jatuh terjelopok di lantai. Namun dia bangun semula dan pegang tangan Husna. Dia masih tak putus asa menahan Husna dari pergi. Janjinya pada mak untuk bawa Husna pulang harus ditunaikan.

“Hey, lepaslah!” jerit Husna sekuat hati.

“Husna!”

Husna menoleh. Dia terkejut melihat Harissa berlari ke arahnya. Dia terus panik. Kalau dirinya ditangkap Harissa, pasti sukar untuk dia loloskan diri lagi. Tanpa membuang masa, sekuat tenaga yang ada dia terus tolak Mariam.

Sekali lagi Mariam terjatuh dan kepalanya terhantuk di lantai. Dia pegang dahinya yang terasa sakit.

Husna terus berlari sekuat hati. Bagasi yang dibawanya ditinggalkan begitu saja.

“Mariam! Mariam okey ke?” Harissa terus dapatkan Mariam.

“Okey! Cepat, Mak Su! Cepat kejar Husna!” kata Mariam.

“Tunggu sini! Mak Su pergi tangkap Husna.” Kata Harissa. Dia bangun dan berlari semula mengejar Husna yang sudah jauh dari mereka berdua. Tanpa pedulikan orang yang ramai yang ada di situ, Harissa menjerit berulang kali panggil Husna.

Mariam cuba bangun. Dia pegang dahinya yang terasa sakit. Ada sedikit benjolan di dahi. Pedih! Namun Mariam tetap bangun dan berlari laju malah sekejap saja dia dapat mengejar Harissa.

“ Mak Su!”

“Kamu pergi kejar Husna cepat! Mak Su dah semput ni.” Kata Harissa. Dia sudah penat untuk berlari lagi. Nafas sudah turun naik. Rasa nak rebah pun ada. Cepat betul Husna berlari.

Pandangan mereka kaku apabila Husna berlari ke pintu keluar KL Central. Husna terus masuk ke dalam sebuah kereta convertible. Ada seorang lelaki di dalam kereta itu. Dengan laju, kereta mewah itu berlalu pergi.

“Husna!” jerit Mariam. Dia sudah tak mampu untuk mengejar lagi. Husna sudah hilang bersama kereta mewah itu.

Harissa berdiri di sebelah Mariam.  Rasa penat masih belum hilang lagi. “ Siapa lelaki tu?” tanya Harissa. Dia masih tercungap-cungap.

Mariam geleng kepala. Dia tak pernah lelaki tu pun sebelum ini. Nafasnya turut sama turun naik. “ Mak Su! Apa kita nak cakap dekat mak nanti?” Dipandang wajah ibu saudaranya.

“Eeeee…. Husna ni kan! Selalu bagi masalah kat kita!” marah Harissa. Serabut kepalanya apabila fikirkan pasal Husna.



No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...