Thursday, March 12, 2020

Calon Menantu Cikgu Hawa - Bab 2


Bab 2

            Talia berdiri di luar rumah menanti kedatangan nenek kesayangan dia. Hampir dua bulan, dia tak jumpa neneknya itu. Awal-awal pagi lagi ayah dan abang bertolak ke Alor Setar.

            “Dah nak sampai ke?” tanya Puan Eton berdiri di sebelah anak perempuannya.

            “Abang call tadi, mereka dah dekat KL. Sekejap lagi sampai la.”

            “Talia dah check apa yang mak suruh tadi?”

            “Dah, mak! Siap double check lagi. Releks la, mak!” jawab Talia. Dia nampak ibunya gementar.

            “Releks?” Tinggi terus suara Puan Eton. “ Walaupun dah lama kami kahwin, nervous tu tetap ada. Macamlah Talia tak kenal perangai Mak Tok , mata tu macam helang. Ada saja salah orang nak cari, bila dah start buka mulut, jangan harap nak berhenti. Mak ni hanya menantu saja, Talia pulak lain. Talia kan cucu kesayangan, Talia takkan rasa apa mak rasa.”

            “Habis tu nanti mak nak pergi umrah dengan Tok Ma macam mana? Mak boleh bertahan ke? Beberapa minggu lagi kan nak pergi?” kata Talia. Rasa sunyi nanti apabila ibu bapanya dan neneknya pergi menunaikan umrah. Abang dia pula, Ali Mukriz bekerja kat Melaka.

            “Nak buat apa lagi, bertahanlah!”

            Talia ketawa mendengar jawapan ibunya.

            Kereta Toyota Camary berwarna putih memasuki perkarangan rumah banglo dua tingkat itu dan diparkir dalam garaj.

            Talia berlari anak-anak ke garaj. Dia tolong bukakan pintu kereta untuk neneknya. “ Tok Ma!” jerit Talia. Dia tersengih apabila melihat Tok Ma Midah. Walaupun sudah berusia 75 tahun, tetap nampak bertenaga dan cergas.

            “Apa ni anak dara jerit macam tu? Boleh jatuh saham tau dak?” Tok Ma Midah mula bersuara sebaik saja kaki menjejak halaman rumah anak sulugnya. Dia keluar dari perut kereta.

            “Tok Ma sihat?” tanya Talia dan terus bersalaman dengan neneknya.

            “Sihat! Hang?”

            “Sihat, Tok Ma!”

            “Dah tentu la sihat, kalau asyik duduk rumah saja. Makan, tidur! Makan tidur! Itu saja kerja dia lepas graduate.” Encik Wahid menyampuk.

            Wajah Talia terus masam.

            “Biaqlah. Dengan anak sendiri pun nak berkira, hang dan Eton kerja lagi kan! Takkan ada masalah kalau bab wang ringgit , betul tak?”

            Encik Wahid terus terdiam. Dipandang ke arah isterinya.

            Puan Eton hanya mampu tersenyum. Nak kenakan anak sangat, last-last diri sendiri jugak yang kena. Dia cuba menahan diri dari ketawa. Dengan pantas tangan dihulurkan pada mak mentuanya untuk bersalam. “Mak sihat?”

            “Sihat!” jawab Tok Ma Midah. “ Aaaa… Hang tak dak kursus ka hari ni?”

            “Kursus?” Wajah Puan Eton terkejut.

            “Iyalah! Hang dengan Mas kan sama-sama cikgu. Tiga kali aku pi rumah Wadi, Mas tak  ada,  pi kursus. Takkanlah kursus masa aku pi, agak-agaklah. Macamlah aku ni bodoh sangat. Aku tahu la Mas tu nak elak diri dari aku. Tak suka aku mai rumah dia.” Tok Ma Midah dah mula membebel.

            “Mungkin betul kut, Mas ada kursus.” Jawab Puan Eton. Dia cuba tersenyum.

            “Hang tak payah la nak bela adik ipar hang tu. Antara lima orang menantu aku, hang seorang saja baik sikit.”

            Puan Eton hanya mampu tersenyum mendengar celoteh mak mentuanya.

            “Mak Tok! Jom masuk, berehat!” Talia mencelah. Dipegang tangan neneknya.

            “Jom! Masuk dalam rumah , sejuk sikit.  Panas kat luar ni. Tekak ni haus pulak.”

            “Nanti Talia buatkan kopi kegemaran Tok Ma.” Kata Talia seraya memimpin tangan Tok Ma Midah.

            “Dah lama aku tak rasa kopi hang tu. Hang buat sedap, setakat ni tiada siapa dapat lawan kopi hang.” Kata Tok Ma Midah dengan wajah ceria. Dia mengikut Talia masuk ke dalam rumah.

            Puan Eton perhatikan gelagat Tok Ma dan Talia.

            “Nasib baik ada Talia kalau tak,  boleh berdarah telinga ni dengar Tok Ma membebel. On the way balik sini, Tok Ma tak henti-henti bercakap. Tak tidur pulak tu dalam kereta.  Ada saja benda Tok Ma cerita.” Tiba-tiba Mukriz ada di sebelah ibunya
           
            Puan Eton tersenyum dengar cerita Mukriz.

            “Mukriz, meh sini tolong angkatkan bag Tok Ma.” Panggil Encik Wahid. Dikeluarkan satu persatu bag dari but kereta. “ Kata tinggal dua hari saja, kenapa packing sampai tiga bag?” Dahi Encik Wahid berkerut.

            “Apa, abang!” terus Puan Eton panik dengar kata-kata suaminya. Dia bergegas dekati Encik Wahid. Wajah berubah apabila melihat bag-bag itu.

            “Entah-entah Tok Ma stay sini lama!” teka Mukriz.

            Puan Eton terus pandang suaminya dengan wajah sedih.

            “ Yang abang tahu dua hari saja mak stay sini.”

            Semakin berkerut dahi Puan Eton apabila fikirkan pasal perangai mak mentuanya nanti. Kalau dua hari, dia boleh bertahan lagi. Kalau lebih dari dua hari, boleh meletup rumah ni nanti.

            Mukriz ketawa melihat wajah ibunya. “ Mak! Releks! Talia kan ada.”

            Wajah Puan Eton tetap juga masam. Memang la ada Talia, yang pasti dia takkan dapat bergerak bebas dalam rumah sendiri. Pasti akan ada mata helang yang perhatikan gerak gerinya selepas ini.

                        ****************************************

            Talia keluarkan pakaian neneknya dari dalam beg satu persatu dan disusun dalam almari di bilik tetamu.

            “ Biaqlah baju-baju aku tu dalam bag, tak payah letak dalam almari. Aku mai sat ja, hari Isnin aku dah balik. Biaq saja baju aku tu…. Aku malas nak packing balik nanti.”

            “Ala… Tok Ma! Nanti Talia packing balik, jangan risau. Kalau susun dalam almari, nanti senang Tok Mak nak cari baju.” Talia tetap susun pakaian dalam almari walaupun ditegah oleh Tok Ma Midah.

            Tok Ma Midah terus duduk di birai katil. Tudung di kepala ditanggalkan.

            “Hang dah ada pak we ka?”

            Talia menoleh tiba-tiba. Rasa pelik dengan soalan neneknya. “ Pak we? Tak ada, Tok Ma. Macam mana nak ada pak we kalau tak kerja? Nak dating pun kena guna duit jugak, betul tak?”

            “ Ala….Pasal duit tu biar saja orang laki fikir, hang nak fikit pasai tu buat apa? Depa yang nak kat kita, depa la yang patut keluarkan duit.”

            “Mana boleh macam tu, Tok Ma! Kenalah bertolak ansur sama-sama. Kalau semua benda dia orang nak keluarkan duit, bila masanya dia orang nak simpan duit untuk kahwin nanti. Kenalah jugak bertimbang rasa dengan pasangan masing-masing.” Kata Talia. Dia kurang setuju dengan pendapat neneknya. “ Tapi kenapa tiba-tiba Tok Ma tanya pasal ni?”

            “Saja ja…. Aku nak tanya.” Dengan cepat-cepat, Tok Ma Midah menjawab. “Hmmmm…. Perut aku dah lapar ni! Bila nak makan ni?”

            “Sekejap sikit saja lagi.” Sepantas kilat, Talia habiskan kerjanya. Dia takut biarkan neneknya kelaparan nanti mulalah neneknya nak membebel. “ Ok. Done! Tok Ma rehat sekejap. Talia pergi panaskan kuah mi kari yang Talia masak khas untuk Tok Ma. Confirm sedap! Dah siap hidang, Talia panggilkan Tok Ma yer. Tok Ma rehat sekejap. Baring-baring sekejap…” kata Talia sebelum keluar dari bilik tetamu.

            “Hmmm… Macam mana aku nak cakap dengan Talia pasal hal ni?” Tok Ma Midah mengeluh. “ Esok sajalah aku cakap pasal hal ni.”

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...