Tuesday, October 8, 2019

Jujur Hatiku Hanya Untuk Mu Bab 10


Bab 10

            Langkah Fatini  terhenti. Dari jauh, dia sudah nampak ibunya yang sedang tunggu dia di Hipster Café. Keluhan dilepaskan. Dia sudah dapat agak tujuan sebenar ibunya nak jumpa dia. Pasti nak cakap pasal Alif. Asyik-asyik Alif. Dia sendiri buntu. Tak tahu bagaimana cara lagi nak buat supaya ibunya dan Alif faham.

            Walaupun berat, Fatini menyambung semula langkahnya. Dia dekati meja ibunya.

            “Assalammualaikum, mama!” ucap Fatini. Dihulurkan tangan untuk bersalam.

            “Waalaikumussalam…” jawab Puan Rokiah.

            Fatini terus duduk berhadapan dengan Puan Rokiah. “Mama sihat?”

            “Ooo…. Sekarang baru ingat nak tanya mama sihat ke tak? Ingatkan dah tak peduli langsung pasal mama.”

            “Mama….”

            “Sekarang ni mama nak tahu, Along dah jumpa bapak budak tu ke belum?” tanya Puan Rokiah.

            “Belum.” Jawab Fatini. Mujurlah dia tinggalkan Baiduri pada Fawz dan Fatihah di hotel.

            “Apa! Belum? Habis tu macam mana?” Suara Puan Rokiah terus tinggi. Dia tak mahu budak perempuan tu menjadi batu penghalang bagi hubungan Alif dan Fatini.

            “Along dah upah Private investigator siasat pasal ayah Baiduri.”

            “Kalau tak jumpa macam mana? Takkan la Along nak jaga budak tu? Mama tak setuju! Tak setuju.”

            “Mama! Apa salahnya kalau Along jaga Baiduri? Lagipun Baiduri sebatang kara, dia tak ada sesiapa pun selain Along. Besar pahalanya kalau tolong anak yatim piatu, Mama. Hakikatnya Along mampu jaga Baiduri.”

            Wajah Puan Rokiah mula merah menyala. “Along memang degil kan! Cakap mama langsung Along tak pernah dengar. Boleh tak kalau sekali, Along ikut cakap mama? Susah sangat ke? Budak tu tak ada pertalian darah langsung dengan kita. Budak tu bukan ahli keluarga kita! Kenapa Along nak susahkan diri jaga budak perempuan tu?”

            Sekali lagi, Fatini mengeluh. Dipandang wajah Puan Rokiah. “Tak semestinya kena ada pertalian darah dulu, baru boleh jadi keluarga, mama! Along sayangkan Baiduri. Along dah anggap Baiduri macam anak kandung Along sendiri. Walaupun bukan Along yang lahirkan Baiduri, Baiduri tetap anak Along.”

            “Along! Stop being selfish! Jangan asyik fikirkan pasal diri sendiri. Pasal kami langsung, Along tak pernah fikir kan! Sekarang ni, kawan-kawan mama dah mula cakap Along. Mereka cakap Along bawa balik anak luar nikah.  Malu mama, tahu tak? Mama tak tahu macam mana nak berdepan dengan kawan-kawan mama.” Cerita Puan Rokiah. Dia mula resah apabila khabar angin pasal Fatini dah sampai ke telinga kawan-kawannya. Dia malu sangat-sangat.  Sejak berita ini tersebar, sudah dua kali tak hadir meeting persatuaan.

            “Malu? Kenapa nak malu? Mama cerita jer perkara sebenar. Baiduri ada mak ayah kandung. Kalau tak percaya jugak, Mama tunjuk jer surat beranak Baiduri.”

            “Senangnya Along bercakap kan!”

            “Dah tu perkara sebenar!”

            “ Along masih fikir semua ni benda kecik kan! Alif macam mana? Kalau ibu bapa Alif tahu pasal hal ni, mesti mereka tak nak terima Along jadi menantu.”

            “Mama! Along tak ingin pun jadi menantu mereka. Berapa kali Along nak cakap yang Along tak sukakan Alif tu.” Air muka Fatini berubah. Dia tak suka dikaitkan dengan Alif. Dengar nama Alif pun, dah cukup menyampah.

            “Tak suka? Mama pelik dengan Along ni! Perempuan-perempuan kat luar sana  berebut-rebut nak jadikan Alif suami. Alif tu dah la handsome. Kerja pilot! Keluarga pulak dari keluarga kaya. Siapa tak nak jadi menantu Puan Sri Jelita!  Along patutnya bersyukur sebab Alif pilih Along nak jadikan isteri.”

            “Syukur? Along lagi bersyukur kalau Alif kahwin dengan orang lain. Mama! Duit! Harta! Semua tu tak penting bagi Along.”

            “Kalau tak ada semua tu, nak hidup macam mana? Terimalah Alif tu. Dah lama Alif tunggu Fatini. Kalau orang lain, dah lama cari lain.”

            “Along tak suruh dia tunggu pun! Please, mama! Jangan paksa Along terima Alif. Along tak suka kat Alif tu.” Suara Fatini separuh merayu.

            Puan Rokiah terus bangun dengan wajah bengang. “Suka atau tak? Along tetap kena kahwin dengan Alif . Keputusan mama muktamad.” Tegas Puan Rokiah.  Sikap degil Fatini hanya menyakitkan hatinya saja. Dia terus  melangkah laju tinggalkan anaknya.

            “Mama! Mama!” panggil Fatini. Dia cuba bangun kejar ibunya tapi tiba-tiba bajunya tersangkut di meja. Dengan cepat, Fatini tarik baju dan bergegas ingin mengejar ibunya semula. Fatini menoleh ke kiri dan kanan. Tiada lagi kelibat Puan Rokiah. Bibir digigit rapat. Dia cuba tahan diri dari menangis.

            Tiba-tiba terdengar bunyi dari arah belakang.

            Fatini menoleh. Dia lihat pelayan café sedang kutip pinggan yang pecah di lantai. Pandangan matanya bertemu dengan seorang lelaki yang turut sama memandang ke arahnya. Masa seolah terhenti beberapa saat. Dahi Fatini berkerut. Lelaki yang berjambang dan rambutnya yang panjang itu diikat menjadi style man bun.  Mungkin ke lelaki tu dah dengar semuanya . Maklumlah meja lelaki itu bersebelahan dengan mereka berdua.  Tak mustahil kalau dengar.  Argh…. lantaklah. Dengar ke tak? Dia tak kenal pun lelaki itu. Telinganya masih lagi terdengar arahan terakhir Puan Rokiah. Langkah diatur menuju ke hotel dengan wajah masam. Dikesat air mata yang mula mengalir di pipinya.

                                                            *****************

            Alif mula resah.  Digigit ibu jarinya. Puan Rokiah masih ada di dapur buatkan air untuknya. Lama betul dia menunggu di ruang tamu. Tujuan dia datang di sini semata-mata kerana ingin tahu perjumpaan Puan Rokiah dengan Fatini petang tadi. Berjaya ke Puan Rokiah pujuk Fatini?

            Puan Rokiah tersenyum dengan membawa dulang yang berisi air dan kuih untuk bakal menantu kesayangannya.

            “Auntie! Macam mana? Fatini setuju tak hantar budak tu balik Zurich?” tanya Alif. Dia sudah hilang sabar.

            “Jemputlah minum dulu, Alif.”

            “Auntie! Selagi Alif tak tahu, Alif tak boleh duduk. Ceritalah cepat, auntie.”

            Dulang diletak di meja. Puan Rokiah mengetap bibir. Dia duduk perlahan-lahan. Sukar untuk dia ceritakan hal sebenar pada Alif.

            “Alif tahu kan perangai Fatini! Kalau dia dah buat keputusan, jangan haraplah dia nak ubah. Cakap auntie ni, dia langsung tak nak dengar. Berbuih-buih mulut ni cakap tetapi Fatini berkeras nak jaga budak tu sampai dia jumpa bapa budak itu.”

            “Mana boleh macam tu, auntie! Alif tak nak bila kahwin nanti budak tu tinggal bersama.  Kenapa pulak  Alif nak susahkan diri jaga anak orang?  Baik jaga anak sendiri. Auntie, ibu Fatini! Apa-apa pun Auntie kena guna kuasa Auntie sebagai seorang ibu. Fatini kena tahu, syurga seorang anak di telapak kaki ibu. Apa-apa pun cara, auntie kena buat Fatini hantar budak tu ke rumah anak yatim sebelum khabar angin pasal anak luar nikah Fatini mula tersebar luas.” Hasut Alif. 

            Puan Rokiah terdiam. Dia masih fikirkan kata-kata Alif tadi.

            “ Kau tak payah nak ajar isteri uncle buat benda bukan-bukan, Alif!”

            Alif terkejut dan menoleh. Wajah berubah pucat lesi apabila mata mereka berdua bertemu. Alif menelan air liur. Rasa kelat. Wajah Dr. Abu Talib serius. Mesti Dr. Abu Talib dengar semuanya. Kenapa dia boleh tak sedar yang Dr. Abu Talib dah balik? Alif terus bangun. “Aaa…. Uncle! Uncle dah salah faham ni. Alif…..” Otak Alif ligat fikirkan alasannya.

            “Abang ni! Itulah dengar separuh saja. Lepas tu nak tuduh Alif yang bukan-bukan.” Puan Rokiah menyampuk dan cuba bela Alif.

            Pandangan Dr. Abu Talib beralih pada Puan Rokiah. Tak habis-habis nak sebelahkan Alif. Dia sendiri tak faham dengan perangai isterinya yang terlalu mengagung-agungkan Alif. Hakikatnya, Dr. Abu Talib dengar semuanya.

            Alif dapat rasakan ketegangan dalam rumah itu. Diseluk poket seluarnya, dikeluarkan telefon pintar. Alif berpura-pura ada panggilan untuknya. “ Hello! Ya! Ya! Saya gerak sekarang.” Alasan yang digunakan untuk loloskan diri. “Aaa… Uncle! Auntie! Alif kena pergi. Dapat call nak kena ganti kawan fly ke Beijing.” Beritahu Alif. Dia terus bersalam dengan Puan Rokiah dan Dr. Abu Talib sebelum keluar dari rumah itu. Langkah diatur laju menuju ke keretanya.

            “Ini semua salah abang! Tengok Alif tak sempat langsung nak jamah kuih Kiah buat.”  Marah Puan Rokiah. Dipandang wajah suaminya.

            “Budak macam tu …. Tak payah nak buat baik sangat.” Kata Dr. Abu Talib sebelum melangkah pergi.

            Puan Rokiah mengetap bibir seraya mencekak pinggang. “Anak beranak sama saja.” Anak mata masih perhatikan gerak-geri suaminya. Dia sendiri tak faham kenapa semua orang dalam rumah ini tak sukakan Alif.

                                    **********************************

            Alif melangkah laju seraya telefon pintar masih di telinganya. “Dia masih ada kat situ lagi. Bagus! Aku datang sekarang.” Talian dimatikan. Dipercepatkan langkahnya. Akhirnya hari ini dia dapat jumpa dengan Fatini. Menurut infomer dia, Fatini keluar dengan adik-adiknya selepas dua hari berkurung di hotel.  Inilah masanya dia bersemuka dengan Fatini. Dia takkan benarkan Fatini larikan diri lagi.

            Langkah terhenti. Matanya tepat pada Fatini yang sedang dukung budak perempuan. Anak matanya melirik ke kiri dan kanan. Hanya ada Fatini dan budak perempuan tu saja. Mungkin Fawz dan Fatihah masuk ke tandas. Ini peluang yang dia tunggu. Tanpa buang masa, Alif dekati Fatini.

            Fatini terkejut melihat Alif. Mata terbuka luas . Dipegang erat tubuh Baiduri. Kaki diundur beberapa tapak. Fatini mula resah. Macam mana Alif boleh tahu dia ada di sini? Takkanlah Alif upah orang ekori aku?  Kaki mula terasa lemah.

            “ Akhirnya you keluar jugak dari hotel tu.”

            “Kau nak apa, Alif?” tanya Fatini.

            “Nak apa? I nak you.” Jawab Alif tanpa berselindung.

            Air muka Fatini berubah. Setiap kali Alif cakap macam itu, dia mula rasa takut.  Setapak kaki undur ke belakang.

            “Budak ni!” Pandangan mata Alif tepat ke arah Baiduri. Dalam diam, dia cemburu sebenarnya. Sekelip mata saja, budak perempuan bertocang dua ini dapat perhatian dan kasih sayang Fatini. Walhal dirinya, bertahun-bertahun berusaha namun Fatini tetap dingin dengannya.

            “Sebab budak ni kan, you cuba lengahkan perkahwinan kita.”

            “Kahwin? Siapa cakap aku nak kahwin dengan kau, Alif? Susah sangat ke kau nak faham apa aku cakap ni? Aku takkan kahwin dengan kau, faham tak!” kata Fatini. Dia masih cuba kawal tone suaranya. Dia tak mahu terjerit –jerit di shopping mall ni.

            “Mama you dah janji dengan I, Fatini.  You tamat saja study PHD, you akan kahwin dengan I.”

            “Itu perjanjian kau dengan mama! Aku tak pernah setuju pun.”

            “You tak setuju sebab budak ni kan?” Air muka Alif berubah merah menahan marah apabila Fatini melawan cakapnya.

            “Baiduri tak ada kena mengena dalam hal ni.” Semakin erat Fatini pegang Baiduri. Dia mula takut kalau Alif apa-apakan Baiduri. Perangai Alif bukan boleh diduga.

            “Tapi sebab budak ni, you jadikan alasan tak nak kahwin dengan I kan.  Kalau you tak sampai hati nak hantar budak ni ke rumah anak yatim, biar I sendiri hantar budak ni.” Alif cuba rebut Baiduri dari pelukan Fatini.

            “Apa kau cuba buat ni, Alif? Lepaslah!” Fatini terkejut apabila Alif cuba rampas Baiduri darinya. Semakin erat pelukan Fatini pada Baiduri. Mustahil dia akan biarkan Alif ambil Baiduri. Langkah mayat dia dulu. “Lepaslah!” jerit Fatini sekuat hati. Dia sudah hilang sabar.

            Baiduri mula menangis dengan kuat apabila diperlakukan seperti itu. Dia memeluk kuat leher Fatini.

            “Kenapa degil sangat ni? Bagi budak tu kat I!” Alif naik angin apabila Fatini enggan lepaskan budak perempuan itu.

            “Abang Alif!” Fawz yang baru saja keluar dari tandas, terkejut melihat apa yang terjadi di depan matanya.

            Fatihah yang turut sama keluar dari tandas wanita, tergamam melihatnya. Fatihah terus hampiri kakaknya.

            Kerana terkejut dengan suara Fawz, Alif terus gelabah. Dilepaskan Baiduri dengan serta merta.

            Fatini menghela nafas lega dengan kemunculan Fatihah dan Fawz.  “Baiduri sayang …. Jangan menangis! Umi ada. Don’t cry, okey! Uncle Fawz ada.  Auntie Fatihah pun ada. Uncle jahat tu takkan berani ambil Baiduri dari Umi lagi.” Pujuk Fatini. Ditepuk lembut belakang Baiduri supaya Baiduri tak menangis lagi. Dia tahu pasti Baiduri takut dengan apa yang terjadi.

            “Apa Abang Alif cuba buat ni?” tanya Fawz. Dipandang wajah Alif dengan serius.  Dia berdiri di hadapan kakaknya kerana bimbang jika Alif bertindak kasar lagi.

            “Aaaaa……”

            “ Abang Alif! Last warning, kalau Abang Alif buat macam ni sekali lagi kat Along ….. Fatihah akan beritahu abah pasal hal ni.” Fatihah memberi amaran. Dia tahu Alif takut dengan Dr. Abu Talib.

            “Along! Jom balik!” ajak Fawz. Jelingan amaran diberikan.

            Alif menggenggam erat tangannya menahan geram. Pandangan matanya masih perhatikan kelibat tiga beradik yang memasuki elevator . “ Tak guna betul! Sikit saja lagi budak tu dalam genggaman aku.” Kedua-dua tangan digenggam erat.

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...