Sunday, December 23, 2018

My New Baby - Dia Ketuk Pintu Hatiku ....

                          Dia Ketuk Pintu Hatiku (Penerbitan Karya Seni)


     Syukur alhamdulillah, akhirnya buku ke-4 saya iaitu DIA KETUK PINTU HATIKU terbitan Karyaseni berada di pasaran.  Saya dapat idea menulis karya ni semasa makan angin di Perlis.  Tup tup tup ... dapat idea! He he he ! 

Saya share  blurb novel ni yer ...

Nur Hasliya meneruskan hidup dalam trauma yang dihadapinya setelah terselamat daripada kemalangan ngeri. Pintu hatinya untuk lelaki tertutup setelah kejadian ngeri tersebut. Namun, kehadiran Adli, merangkap sahabat abang kembarnya mengetuk hatinya untuk jatuh cinta lagi.

Shahrul Adli melarikan diri ke Perlis setelah cintanya dikhianati kekasih hati, Rita dan abangnya sendiri. Namun, ketika hatinya kian terubat, Rita hadir menagih kembali cintanya. Adli buntu. Tiada siapa yang boleh membantunya melarikan diri daripada pujuk rayu Rita melainkan Liya.

“Ini Liya. Bakal isteri aku. Kami akan bertunang dan berkahwin tak lama lagi. I dah move on. So kita masing-masing ikut haluan sendiri. So, jangan buat kecoh di sini.” – SHAHRUL ADLI

“So nak buat macam mana sekarang ni?” – NUR HASLIYA

“Kita kahwin!” – SHAHRUL ADLI

Kerana budi, Liya sanggup menerima cadangan Adli untuk mengahwininya walaupun dia tahu hati Adli hanya untuk Rita. Sehinggalah pada hari janji terpateri, Adli melarikan diri bersama Rita. Liya kelu seribu bahasa. Bagaimana mampu dia mengharungi hidup dengan tohmahan orang kampung sekali lagi? Setelah mengetahui cerita sebenar, Adli menjejaki Liya sehingga ke rantau orang.

“Hati manusia ni kompleks. Sekarang dia cakap cinta. Esok lusa cakap simpati pula. Cukuplah sekali hati aku disakiti dan dikhianati. Kepercayaan aku kat dia dah hilang. Dia cakap apa-apa pun aku dah tak percaya. Sekarang ni, aku nak fokus kat diri aku sendiri. Aku tak nak fikir pasal orang lain. Aku harap sangat hangpa semua faham.” – NUR HASLIYA

Dapatkah Liya terima Adli semula? Adakah cinta atau simpati yang dirasai oleh Adli selepas mengetahui cerita sebenar? Berjayakah Adli mengetuk pintu hati Liya buat kali kedua?

Kerana budi, aku jatuh hati...

Nak tahu jalan cerita selanjutnya .......?
Dapatkan segera di Penerbitan Karyaseni. Oder telah dibuka.
Dengan harga SM  RM20   &  SS  RM23.  Ada diskaun lagi.
POSTAGE PERCUMA lagi..... Rugi kalau tak beli !

Caranya ... Boleh muat turun aplikasi Karyaseni di Google Play/App Store  .....
Atau .... boleh terus PM @makcikkaryaseni di Facebook.
Cepat oder sementara stok masih ada ..... 



   

Tuesday, December 11, 2018

Foto Cinta Bab 10


BAB 10

            Jaket kulit hitam ditanggalkan sebaik saja melangkah masuk ke dalam biliknya. Dia baru pulang dari Damansara. Ada kes rompakkan bank. Ini kes yang ke tiga untuk tahun ini. Mungkin kumpulan perompak yang sama. Pihak bank kehilangan wang RM500 ribu kali ini. Corak rompakkan mereka sama seperti rompakkan sebelum ini. Semuanya dirancang dengan teliti. Berdasarkan maklumat yang dikumpul sebelum ini , rompakkan seterusnya akan berlaku selepas empat bulan. Ikwan membuka fail maklumat mengenai rompakan itu. Mungkin ada maklumat dan bukti yang dia terlepas pandang. Dia perlu tangkap suspek dengan segera. Pen di atas meja diambil. Ikwan memandang pen pemberian Tan Sri Isa selepas dia dapat keputusan baik dalam SPM.  Tiba-tiba Ikwan teringat perbualan dia dan Tan Sri Isa pagi tadi.

            “Tok ayah!” tegur Ikwan sebaik saja masuk ke dalam bilik bacaan. Kelihatan Tan Sri Isa sedang membaca sesuatu.

            “Tak pergi kerja lagi ke?” tanya Tan Sri Isa. Dia tutup fail kewangan yang dibacanya.

            “Lambat sikit. Tok ayah dah breakfast ke?”

            “Dah. Jasmin dah bangun ke?”

            “Dah …  Tok ayah tak breakfast sekali dengan Jasmin ke?”

            “Dia kalau nampak aku, mesti dia tak nak makan sekali dengan aku. Benci agaknya.” Jawab Tan Sri Isa dengan selamba. Dia tahu Jasmin membenci dirinya.

            “Tok ayah! Ikwan tanya sikit boleh … kenapa tok ayah nak jumpa Jasmin? Maksud Ikwan …. Selepas belasan tahun!” tanya Ikwan ingin tahu.

            “Salah ke aku nak jumpa dia? Dia cucu aku! Apapun terjadi dia tetap cucu aku…”

            Ikwan tersenyum. Sikap Tan Sri Isa memang takkan berubah. Ego memang tinggi. Memang susah nak akui kesalahan sendiri. “Memang tak salah. Tak ada law yang halang datuk jumpa cucu sendiri. Mesti ada sebab tok ayah panggil Jasmin balik kan” Kata Ikwan dengan lembut.

            Tan Sri Isa mengeluh perlahan. “Aku nak Jasmin ambil alih tempat aku. Aku nak dia warisi DB Group. Walaupun dia tak suka, aku tetap nak dia kerja kat sana.” Tan Sri Isa bangun dan berjalan ke arah tingkap. Kebetulan tingkap menghadap ke arah kolam renang. Dia dapat lihat Jasmin dan Nana di situ. “Aku yakin dia dapat uruskan DB Group. Dia bukan macam dulu lagi. Naif !”

            Ikwan dekati Tan Sri Isa dan turut sama berdiri melihat ke luar tingkap. Dia terkejut melihat kehadiran Wilma yang menarik rambut Jasmin. “Wilma! Apa dia buat tu?” Baru saja Ikwan nak melangkah untuk bantu Jasmin tapi lengan Ikwan dipegang oleh Tan Sri Isa.

            “Biarkan! Jangan masuk campur.”

            “Tapi tok ayah, kalau dibiarkan. Teruk jadinya. Tok ayah tahu kan perangai Wilma macam mana.” Ikwan bimbang jika sesuatu terjadi kat Jasmin

            “Kamu patutnya bimbangkan Wilma bukan Jasmin.” Bibir dijuih ke arah Jasmin dan Wilma. Ada sikit senyuman di bibir Tan Sri Isa.

            Hampir terkeluar  biji mata Ikwan bila Jasmin tendang Wilma sehingga terjatuh dalam kolam renang.

            “Dia tahu jaga diri dia sendiri.” Tan Sri Isa menepuk bahu Ikwan dengan lembut. “ Dia cucu aku!” Tan Sri Isa terus berjalan keluar dari bilik bacaannya. Pertama kalinya dia bangga dengan cucunya. Dia yakin DB Group akan lebih maju dan berkembang di bawah pengurusan Jasmin.

            Ikwan terkejut apabila pintu bilik diketuk. “Masuk!” Mata terus melihat ke arah pintu.

            Sarjan Zulkifli masuk. “Tuan. Ini laporan keterangan saksi pagi tadi.” Diletakkanya fail di atas meja.

            “Sarjan! Kamu beritahu semua yang kita ada meeting pukul 3.00 petang ni.”  Beritahu Ikwan.

            “Baik, tuan!” jawab Sarjan Zulkifli sebelum melangkah keluar. Ikwan menyambung semula kerjanya. Dia berusaha untuk selesaikan kes ini. Wajah serious membaca laporan tadi.

                                                ************************
            Dato’Khalid melangkah masuk dengan wajah tegang. Dia terkejut mendapat tahu yang anak Musa dah balik ke sini. Dia tak percaya dengan apa yang diberitahu Wilma tadi. Dia nak lihat sendiri. Mustahil Jasmin balik ke sini.

            “Dato nak jumpa Tan Sri ke? Tan Sri baru keluar.” Suri dekati Dato’ Khalid yang baru saja masuk.

            “Aku datang sini bukan nak jumpa Uncle! Aku nak jumpa budak sial tu. Mana dia? “ Mata meliar mencari kelibat anak Musa yang dah lapan belas tahun berada di luar negara.

            “Budak sial?” Dahi Suri berkerut. Tak tahu siapa yang dimaksudkan oleh Dato’ Khalid.

            “Eh… Kau ni memang bodoh! Siapa lagi kalau bukan anak Musa tu.” Jerkah Dato’ Khalid.

            Suri terkejut. 
            “Kak Suri … Masuk dalam dulu.” Kebetulan Jasmin dan Nana baru turun dan terdengar suara dari ruang tamu. Jasmin kenal sangat dengan lelaki ini. Walaupun dah tua, perangai tetap tak berubah.

            Tanpa banyak soal, Suri meninggalkan mereka bertiga. Dia dapat rasakan keadaan tegang sekarang ini.

            Bulat mata Dato Khalid melihat wanita yang wajahnya ada iras Halimaton. “Kau! Memang betullah kau dah balik.”

            So what!”  sinis suara Jasmin. Dia dah agak Dato’ Khalid takkan suka dia balik sini. Orang gila harta macam Dato’ Khalid ni memang jenis tak tahu malu. Memang orang gila harta macam nilah … kalau ada orang nak masuk kawasaan mulalah dah macam anjing gila.

            “Kau tu budak sial! Kau hanya bawa sial dalam keluarga ni. Baik kau pergi di sini. Kedatangan kau tak dialu-alukan di sini. Baik kau berambus.” Jerkah Dato’ Khalid. Mata merah menyala. Hati tengah berapi-api sekarang ni. Kehadiran Jasmin seolah-olah mencabar maruah dirinya.

            Sorry! Actually Tan Sri Isa …. Datuk I yang suruh I balik sini. Datuk kandung I dah terima I. Maybe dia suruh I balik sebab nak ambil alih DB Group. Maklumlah … I satu-satunya cucu kandung dia and …I akan warisi semua ini termasuk DB Group. Buat apa dia nak bagi kat orang lain sedangkan dia ada  cucu dia a.k.a darah daging dia sendiri. Am I right?” Jasmin sengaja sakitkan hati lelaki ini. Dia bukan Jasmin yang dulu lagi. Dia takkan biarkan orang lain hina dirinya sesuka hati.

            Wajah Nana berubah. Dia tak berani bersuara. Keadaan memang tegang.

            “Kau! Kau!” Nafas Dato’ Khalid turun naik dengar kata-kata Jasmin. Memanglah dia orang luar tapi dia dah banyak berjasa dalam DB Group. Tanpa dia, tak mungkin DB Group berdiri gah sekarang ini. Setiap selok belok pengurusan DB Group dia tahu, maka dia layak warisi DB Group. Bukan budak sial ni! “ Kau tahu apa pasal DB Group! Kecik-kecik dulu tak pandai melawan , dah besar pandai pulak melawan. Kurang ajar pulak tu.” Mata masih tak lepas memandang Jasmin . Dato’ Khalid mula hilang sabar.

            “Iyalah… Dulu I diam sebab I hormat orang tua tapi bila dah besar … buat apa I hormat orang tua yang tak tahu hormat orang lain. Tak ada faedah pun” Jasmin tersenyum sinis.

            “Kau …” Dato Khalid dah hilang sabar. Dia mesti ajar budak ni cukup-cukup.

            “Khalid!”

            Dato Khalid menoleh bila namanya dipanggil. Dia terkejut melihat Tan Sri Isa dan Zakaria berjalan dekati mereka berdua. “Kamu buat apa kat sini?” tanya Tan Sri Isa.

            Uncle! Betul ke budak ni cakap yang Uncle yang bawa dia balik sini. Tak kan … Bukan Uncle bawa dia balik kan! Mustahil ! Uncle benci dia! Uncle sendiri cakap dia bukan cucu Uncle. ” Dato’ Khalid tak dapat kawal perasaannya.

            “Kalau kamu nak buat kecoh di sini, baik kamu balik.” Wajah Tan Sri Isa serius. Sebenarnya dia dalam perjalanan ke pejabat tapi terpaksa berpatah balik apabila sedar ada dokumen tertinggal. Mujurlah dia balik, kalau tak entah apa Dato’ Khalid buat kat Jasmin. Ini mesti Wilma beritahu pasal Jasmin. Dari jauh dah dapat dengar, mereka berdua bertengkar.

            Uncle! So memang betullah Uncle nak serahkan DB Group kat budak sial ni.” Dato’ Khalid mula tunjukkan rasa tak puas hatinya.

            “Khalid! Kamu kena ingat Jasmin Junaidah cucu aku! Dia akan warisi apa yang aku miliki sekarang ni. Ya, aku akan serahkan DB Group untuk Jasmin uruskan. Jasmin ada kelayakkan … Ada degree dan master dalam business. Jasmin mampu uruskan. Aku percaya dia mampu ambil alih tempat aku. So Khalid, aku nak kamu bantu Jasmin nanti.” Nada suara Tan Sri Isa seperti memberi arahan.

            Dato Khalid tergamam beberapa saat. Dia seolah-olah tak percaya dengan apa dia dengar tadi. Dia sedar Jasmin tersenyum mengejek ke arahnya.  Makin membara marahnya.

            “Dengar kan! I akan ambil alih DB Group so you better prepare my room.”  Jasmin masih tak berhenti sakitkan hati Dato. Khalid. Hakikatnya tadi terkejut jugak, ingatkan Tan Sri Isa akan berpihak dekat Dato’ Khalid tapi tiba-tiba berpihak kat dia! Memang pelik. Tapi biarlah …. Asalkan dia dapat sakitkan hati Dato Khalid, itu pun dah cukup puas!

            Zakaria dekati Dato’ Khalid dan memegang lengan Dato’ Khalid. “ Baik kau balik, Khalid. “ nasihat Zakaria. Jika perbualan ini berterusan, pasti benda buruk akan berlaku. Dia kenal Khalid.  Pandang dicabar!

            Dato’ Khalid tepis tangan Zakaria dengan kasar. “ Kau dengan Uncle sama saja!” marah Dato Khalid dan terus berlalu pergi dengan membawa kemarahan yang membuak-buak di hatinya.

            “Khalid! Khalid!” panggil Zakaria tapi tak diendahkan. Kelibat Dato’ Khalid terus hilang.

            “Biarkan!” tegas Tan Sri Isa. Dia memandang Jasmin.

            Zakaria mengeluh dan berpaling melihat Jasmin yang masih berdiri situ. “Betul ke Jasmin nak ambil alih DB Group?” tanya Zakaria. Baguslah kalau itu keputusan Jasmin. Memang itu yang dinanti-nantikan.

            “Bila masa saya cakap nak take over DB Group?”

            “Tadi!” jawab Zakaria hairan.

            Uncle! Saya main-main jer! Biar Dato Khalid cuak sikit. Saja nak sakitkan hati Dato’ Khalid. Baru puas hati ni. Maklumlah Dato’ Khalid saja yang layak warisi DB Group!” perli Jasmin. Dia melihat ke arah Tan Sri Isa. Dia akan buat Tan Sri Isa sendiri halau dia keluar dari rumah ini. Cara ini saja dia dapat balik passport dan terus pergi dari sini.

            “Aaaa……” Zakaria mati kata. Dia lihat air muka Tan Sri Isa berubah.

            So …. I dah bersedia. Nak cakap apa! Cakaplah cepat. Cepat I dengar, cepat I berambus dari sini.”  Wajah Jasmin serius. Dia dah tekad. Hari ini dia nak dengar  apa Tan Sri Isa nak cakap! Dia dah bersedia mental dan fizikal.

            “Kita cakap lain kali. Bukan masanya. Zakaria call Dato’ Lee, kita lambat sikit.” Tan Sri Isa terus tinggalkan Jasmin.

            Mulut Jasmin sedikit melopong bila ditinggalkan begitu saja.  Dia menoleh ke arah Zakaria. “ Habis tu bila ?” tanya Jasmin.

            “Hari ini Tan Sri sibuk sikit. Ada banyak appointment.”

            “Sibuk ke atau sengaja nak lengahkan masa. I have my own life out there.” Jasmin bercakap sambil bibir digigit rapat menahan marah.

            Zakaria hanya membalas soalan Jasmin dengan senyuman. Dia sendiri tak tahu niat Tan Sri Isa. Atau memang betul Tan Sri Isa nak serahkan DB Group kat Jasmin. 
                                                ********************
            Penutup bekas ais krim dibuka dengan kasar. Sudu diambil. Punggung dilabuhkan di kerusi dengan kasar. Keadaan dapur sedikit malap. Hanya satu lampu dibuka. Jasmin tak nak penghuni rumah itu tahu kehadiran mereka berdua di dapur

            “Kau dah kenapa? Besar sangat ke masalah kau sampai makan ais krim pukul dua pagi ni.” Nana turut sama duduk sambil dagu ditongkat di atas meja memerhatikan gelagat Jasmin. Dari tadi  Jasmin tak boleh tidur, asyik bergolek ke kiri ke kanan sampaikan dia sendiri tak boleh tidur.

            Dengan saiz ais krim yang besar terus disuap masuk ke dalam mulut. Walaupun sejuk, dikunyah jugak. “Aku tengah panas ni.” Jasmin bercakap dengan mulut yang penuh dengan ais krim.

            Dahi Nana berkerut. Dia tak dapat tangkap apa yang Jasmin cakap tadi. “Kalau cakap apa! Tak faham! Dah macam bunyi dinosaur aku dengar. Makan dulu baru cakap.”

            Sekali gus ais krim ditelan. “Aku tengah marah. Kau nampak tak, kepala aku tengah berasap ni. Kau tahu kan, kalau aku marah aku mesti makan ais krim. Nak sejukkan balik badan aku ni.”

            “Itulah kau … aku dah cakap,  datuk kau cuba lengahkan masa kau. Dia nak kau stay kat sini”

            No way! Never! Kau ingat aku nak sangat stay kat sini! Eee… aku tak ingin la. Eeee… Aku geram betul ! Aku benci! Argh …. Ingat balik apa dah jadi, mendidih darah aku ni. Kalau aku tahu hari tu perangkap, aku takkan balik sini. Eee.. Menyesal betul. Patutnya aku selidik dulu.” Sekali lagi ais krim disuap masuk ke dalam mulut. Walaupun sejuk ditelan jugak. Inilah satu cara untuk hilangkan marah dengan stress.

            Tiba-tiba dapur jadi cerah, Jasmin dan Nana menoleh.

            “Buat apa dalam gelap ni?” tanya Ikwan. Dia baru saja balik dari operasi. Semasa nak naik atas, dia terdengar suara yang datangnya dari dapur. Tak sangka Jasmin dan Nana rancak berbual di sini.

            “Suka hatilah orang nak buat apa pun. Jangan nak sibuk hal orang.” Tempelak Jasmin. Nampak Ikwan, mood terus hilang. Dia melihat Ikwan dari atas hingga bawah. Dahi berkerut berfikir. “Ehhh… you ni kerja apa sebenarnya? Awal-awal pagi dah keluar lepas tu balik pulak bila semua orang tidur.  You ni mesti buat kerja tak baik?”

            Nana menoleh dan membuat mimik muka. Isyarat diberikan agar Jasmin tak cari pasal dengan Ikwan. Mulut Jasmin bukan boleh dikawal. Main cakap ikut citarasa saja.

            Ikwan gelak kecil. “I tak sangka you ambil berat pasal I. Dalam diam you perhatikan gerak-geri I. Bila I keluar rumah, bila I balik rumah! I tahu you memang sukakan I. Lebih-lebih lagi, bila you tahu sudu yang you guna sekarang ni …. Sudu kegemaran I.” Ikwan tersenyum melihat Jasmin.  Mata dikenyit sebelah.

Dengan serta merta, sudu dipegang Jasmin terlepas.

I tahu la … you tak sabar nak ehem … ehem dengan I. Dapat sudu I pun jadilah kan! Itulah I ajak you kahwin, you tak nak. Tapi I sanggup tunggu.  Asal you cakap setuju, hari tu jugak  kita terus nikah. Please, continue! Makanlah lagi ais krim tu. I nak naik atas! Nak mandi dulu. Melekit badan ni.  So .. Have a nice dream. Mimpikan I yer!“  usik Ikwan. Dia terus  berlalu pergi tinggalkan Jasmin dan Nana sambil bersiul riang. Seronok dapat usik  Jasmin! Comel bila buat muka macam tu.

            ‘”Wek!....” Rasa macam nak muntah balik air krim yang dimakan tadi.  Sudu tadi diambil semula dan dibaling terus ke sinki. “Gross! Gross!” kata Jasmin sambil lap bibirnya dengan kasar. Penutup bekas ais krim ditutup semula dengan kasar dan terus dimasukkan di dalam peti sejuk.

            Nana terus ketawa terbahak-bahak sambil menepuk tangan. “Aku rasa tahun ni jugak kau kahwin dengan Ikwan tu.”

            “Jaga sikit mulut kau tu! Eee…. Kutu rayau macam tu tak sesuai dengan aku! Siang malam keluar! Kalau nak kahwin pun, aku nak yang ada kerja stabil. Boleh aku bergantung harap kat dia. Nak kahwin ni seumur hidup. Aku nak nanti anak-anak aku bangga dengan ayah mereka. Orang yang boleh dijadikan idola. Yang penting dapat bimbing aku dan anak-anak aku dunia dan akhirat. Ada rupa sikit pun jadilah. Sedap mata memandang!”

            “Tinggi jugak demand kau! Pasal datuk kau, macam mana?”  Nana kembali semula ke topik asal mereka.

            “Esok! Aku akan pastikan dia cakap apa yang dia nak sebenarnya dari aku.”

            “Kalau datuk kau sibuk?”

            “Aku akan ikut dia dua puluh empat jam. Ke mana saja dia pergi, aku akan ikut. Aku jadi gam terus.” Jasmin dah tekad.

            Good luck! Tak nak makan ais krim lagi ke? Kot-kot kau nak eham-ehem…” Giliran Nana mengusik.

            “Eee… Mulai sekarang aku takkan makan ais krim lagi. Kau ingat cakap aku ni! I hate ice cream. Forever!  Selagi aku hidup, aku takkan makan ais krim sampai bila-bila” Jasmin terus berjalan tinggalkan Nana. Ais krim dah jadi mimpi ngeri dalam hidup dia. Sebelum tidur, dia kena gosok gigi betul-betul biar bersih. 

            “Boleh percaya ke!” usik Nana. Dia ekori  Jasmin dari belakang. Dia masih tak berhenti usik Jasmin sambil berjalan menuju ke bilik.

*********************************************************************************

Assalamualaikum...

Terima kasih kerana semua pembaca yang membaca karya Foto Cinta selama ini. Syukur alhamdulillah ... karya Foto Cinta sudah lulus proses penilaian dan akan diterbitkan tak lama lagi.  Foto Cinta Bab 10 adalah last post yang saya  upload dalam blog saya.  Nantikan novel terbaru Foto Cinta  ....

Salam Sayang;

Azimah Lily

Sunday, December 2, 2018

Dia Helena Isabella Bab 7


BAB 7
            Miza menoleh ke kiri dan kanan beberapa kali.

            “Kau dah kenapa?” Helena hairan melihat gelagat Miza yang dah macam pencuri. Helena memotong tomato untuk dimasukkan ke dalam mangkuk salad. Memang itu makanan pagi setiap hari. Makanan berat-berat ni memang ditolak ke tepi.

            “Adik ipar kau mana?” tanya Miza separuh berbisik

            “Sembahyang subuh ler. Yang kau bisik-bisik kenapa?”

            “Dah beberapa hari, adik kau tak datang cari  bini dia pun.” Miza hairan. Sejak hari tu, kelibat Damien dah tak nampak. Takkan tak datang sebab takutkan Helena kut.

            May be dia fly kut. Alaaaa… dua tiga hari nanti, dia datanglah. Percaya cakap aku. Dia tak boleh hidup tanpa Nina”

            “Tak faham aku! Kalau dah sayang, kenapa cari perempuan lain kat luar sana.” Miza berdiri duduk di sebelah Helena.

            “Biasalah lelaki… mana puas seorang!”

            “Tak semua lelaki macam tu. Masih ada lelaki baik kat dunia ni. Kita dua tak jumpa lagi. Atau sebenarnya kita dah jumpa. Tuuu…. Cucu angkat rumah sebelah tu.”

            Malaun sebelah tu.” Pisau yang dipegang dihala ke arah rumah Tok Wan Daud.

            “Kau ni. Pisau tu letak dululah….. Iyalah, Faliq tu. Handsome! Manis! Smart! Baik! Penyayang!” Miza mula bermain dengan jari jemarinya.

            “Kau tahu mana dia baik, hah? Baru kenal tak sampai sebulan dah kata baik. Itulah kau, tak pernah nak fikir panjang. Dah terkena, baru tahu langit tinggi ke rendah. Contohnya dekat saja, adik aku tu …” Bidas Helena. Memang sensitif kalau nama Faliq disebut. Rasa allergic.

            “Kalau macam ni fikiran kau, sampai ke tualah kau tak kahwin. Semua benda negative.”

            “Lantaklah hidup aku!” Helena menjelir lidah.

            “Tengah borak apa ni?” Ada suara menyampuk dari belakang. Nina baru sudah sembahyang. Dia dapat dengar suara Helena dan Miza dari dalam bilik. Mereka berdua memang selalu bertekak. Kalau orang lain, mesti ingat mereka bergaduh tapi tak …. Itu cara mereka berbual antara satu lain.

            “Masa depan! Biasalah dah masuk umur tiga puluh tahun ni, kita kena planning awal-awal.” Jawab Miza.

            “Sebut pasal masa depan ni! Apa planning Nina? Dah fikir ke?” tanya Helena .

            “Aaaa…… “ jawab Nina yang masih memikirkan jawapan.

            “Apa yang aaaaaa…… ? Kau kena fikir masa depan kau sekarang ni, Nina. Planning tu penting. Kena fikir jauh. Kau kena ingat, Nina! Damien tu takkan jamin masa depan kau.”

            “Hish… kau ni! Cakap tu berlapiklah sikit. Kecik hati Nina.” Tegur Miza. Walaupun cakap Helena ada kebenarannya tapi  cara cakapan Helena tu kadang-kadang terlebih over. Kasihan Nina dapat kakak ipar mulut laser macam Helena ni.

            Nina hanya diamkan diri.

            “Aku cakap benda yang betul! Fakta! Sekarang ini dia kena fikir hala tuju hidup dia sendiri. Apa yang dia nak dalam hidup dia? Takkan nak bergantung sepenuhnya kat Damien.”

            “Nina! Cakap Helena ni ada betul jugak. Pernah kerja tak sebelum ni?” tanya Miza.

            “Pernah! Sekejap saja. Rasanya setahun kut kerja. Itupun sebab Damien suruh berhenti. Kononnya nak isteri jadi suri rumahtangga. Sayang tahu tak berhenti, company tu company besar.” Jawab Helena bagi pihak Nina

            “Kerja apa?”

            “Engineer!” jawab Helena.

            “Cantik!”

            “Apa yang cantiknya?” Helena terkejut.

            Position QA\QC Engineer kan kosong lagi. Apa kata kau ambil Nina ni? Ringan sikit beban kau.”

            “Oooo … Oh tak ya jugak. Kenapa aku tak terfikir pulak? Geliga betul otak kau. Kenapalah aku tak terfikir sebelum ni?”

            “Tengoklah anak siapa….” Kata Miza dengan bangga.

            “Pantang dipuji. Aaa…. nak tak, Nina?” tanya Helena.

            “Tapi sijil Nina ada kat KL.”

            “Itu bisa diatur. Don’t worry! Sekarang jugak kita pergi KL.” Helena tersengih.

                        *****************************************

            Mak Tok Aishah menanggalkan seliparnya. Bag baju diangkat masuk. Pintu terbuka tapi rumah sunyi sepi. Dah banyak kali bagi salam tapi tak ada orang jawab pun. Dia baru saja balik. Maklumlah dia pergi kenduri rumah kawannya di Penang. Dua hari berkampung di sana. Susah hati jugak bila tinggalkan suaminya. Mujurlah ada Faliq. Ada juga peneman.

            “Mak Tok!” Faliq mengambil bag baju dari Mak Tok Aishah “Baru sampai ke?”

            “Ya.”

            “Tok Wan hang mana?” tanya Mak Tok Aishah.

            “Tengah solat. Macam mana kenduri?”

            “Biasa ja. Kenduri ala gotong royong ni memang ramai. Penat jugak. Dua hari aku  tak ada, hampa berdua makan apa?” tanya Mak Tok Aishah. Risau jugak memikirkan makan minum mereka berdua.

            “Pasal makan minum tu, orang sebelah selalu masakkan. Mak Tok, jangan risau.” Jawab Faliq. Setiap hari ada saja makanan yang dihantar. Semua sedap-sedap belaka.

            “Si Helena dan Si Miza masak?” Nada suara Mak Tok Aishah separuh terkejut.

            “Bukan. Adik ipar Helena masakkan.”

            “Oooo…. Terkejut Mak Tok. Yalah selera Tok Wan hang tu selera kampung, manalah depa tu tahu masak makanan kampung.” Mak Tok Aishah ketawa.

            Faliq turut sama ketawa. “Mak Tok! Duduklah dulu. Mak Tok mesti penat. Faliq buatkan air  yer. Mak Tok mesti dahaga kan.”

            “Tahu-tahu saja. Bertuah kalau dapat cucu macam Faliq ni. Hmmm… nak harapkan cucu sendiri ,Hari Raya saja baru nampak batang hidung.” Kerusi ditarik dan duduk perlahan-lahan. Rasa sakit pulak pinggang ni. Dua hari buat kerja tak henti-henti. Dah mai rumah orang, kenalah buat kerja. Bila teringatkan cucu-cucu sendiri, buat sakit hati saja. Anak, menantu dan cucu sama saja. Tahulah sibuk. Sesibuk mana pun, boleh saja luangkan masa tengok kami kat kampung ni. Bila ditanya bila nak balik, beribu alasan diberi. Sebab itulah dia malas nak bertanya.

            “Cucu Mak Tok berapa orang?” tanya Faliq.

            “Lapan orang. Dua perempuan enam lelaki”

            “Anak Mak Tok pula berapa orang?”

            “ Empat orang.”

            “Ooo.. Anak sulung Mak Tok lelaki ke perempuan?”

            “Lelaki.”

            “Sekarang ini dia tinggal di mana?” tanya Faliq. Dia sudah siap bancuh air kopi dan dituang ke dalam cawan. Cawan diangkat dan diletakkan di depan Mak Tok Aishah.

            Mak Tok Aishah mengeluh sebaik saja soalan tu ditanya. Tiba-tiba dia teringat wajah anak sulungnya yang sudah tiga puluh dua tahun menghilang. Setiap hari dia sentiasa berdoa yang anak sulungnya pulang. Setiap masa dia rindu. Entah macam mana dia sekarang ni? Bahagiakah dia? Anak dah berapa orang? Semua itu dia langsung tak tahu. Sudah lama mereka terputus hubungan.

            “Kenapa Mak Tok?”

            “Anak sulung Mak Tok sebenarnya …..” Kedengaran bunyi Tok Wan Daud berdehem beberapa kali. Mak Tok Aishah terus bangun. Dia tak berani teruskan kata-katanya.

            “Abang, saya masuk dulu. Tak sembahyang lagi.” Beritahu Mak Tok Aishah. Dia faham disebalik pandangan suaminya. Ini mesti dah dengar. Sudah tiga puluh dua tahun masa berlalu, tiada siapa berani sebut kisah anak sulungnya.

            Faliq hairan.

            “Tuang air kat aku sekali. Sat gi lepas minum, jom kita pi pasar malam.” Kata Tok Wan Daud seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

            “Ya…” jawab Faliq. Dia melangkah ke alamari cawan sambil dahinya berkerut memikirkan sesuatu. Kenapa tiba-tiba Mak Tok berhenti bercerita ? Pelik betul. Nampak sangat Mak Tok takut kat Tok Wan.

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...