Sunday, November 19, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 9


 

Bab 9

            PAGI ini Puan Dariah melangkah masuk ke dalam kedai runcit Puan Hajar. Dia sengaja datang ke sini untuk melihat perkembangan proses renovation di farmasi yang akan selesai dua minggu lagi.

            Puan Hajar menyedari kehadiran sahabat dia dan memberi isyarat menunggu kerana hari ini ramai pelanggan sedang beratur untuk membayar di kaunter. Dia menolong pekerjanya mempercepatkan proses pembayaran.

            Puan Dariah faham dan kemudian melangkah keluar. Dia melihat Eiman Kopitiam dan Klinik Haiwan Dino yang terletak berhadapan kedai runcit Puan Hajar. Dia melihat Eiman Kopitiam yang dipenuhi dengan pelanggan. Keluahan berat dilepaskan.

            Pandangan Puan Dariah beralih pula melihat klinik milik Dina pulak. Ramai juga orang keluar masuk membawa kucing dan anjing. Semakin berkerut dahi Puan Dariah. Tak sepatutnya semua ini terjadi, dia sudah plan untuk mereka berdua sejak kecil lagi. Dia mahu Dina jadi doktor pakar sakit puan manakala Eiman pula menjadi doktor pakar bedah ortopedik. Tetapi semuanya hancur, selepas dua orang anaknya itu memilih bidang lain.

            Sorry! Ramai pulak pelanggan hari ini.” Kata Puan Hajar.

            “ Kedai Eiman tu hari-hari ke ramai orang macam sekarang ni?” tanya Puan Dariah.

            “Setiap hari ramai. Makanan memang sedap. Ramai orang puji. Kadang-kadang tu orang sampai beratur. Dah sedap murah pulak tu. Jom la kita pergi makan kat sana. Eiman mesti seronok kalau ibunya sendiri datang.” Beritahu Puan Hajar. Dia selalu jugak makan kat situ. Ternyata Eiman berbakat memasak seperti ibunya.

            “ Tak nak! Kalau aku pergi, itu bermakna aku setuju dengan pilihan Eiman. Aku nak dia jadi doktor bukannya jadi chef lepas tu buka kedai makan sendiri. Aku ingat business Eiman ni takkan tahan lama. Lain pula yang jadi.” Puan Dariah mengetap bibir.

            “Kamu Dariah, jangan la ikutkan hati sangat. At least anak-anak kau, ada usaha dan bekerja. Tengok aku ni, ada biawak hidup dua ekor kat rumah aku. Dah graduate bertahun-tahun, suruh cari kerja, macam-macam alasan bagi. Suruh kerja kat kedai runcit aku ni, pun dia orang tak nak jugak. Asyik besarkan badan saja.” Nasihat Puan Hajar.

            “Kau tahu kenapa aku nak dia orang jadi doktor.”

            “Aku tahu tapi Erjaz tu dah jadi doktor otak. Lepas tu Darina doktor bius. Takkan tak cukup lagi. Si Dina tu doktor haiwan. Itu dah lebih dari cukup, Dariah ooiiii….” Tambah Puan Hajar lagi.

            Puan Dariah mengeluh perlahan.

            “ Minggu ni ibu mertua aku dengan adik ipar aku datang. Mesti datang nak sindir aku lagi la.” Beritahu Puan Dariah. Dia tak suka dengan kedatangan mereka berdua. Mentang-mentang la dia bukan menantu pilihan.

            “Apa masalah mereka berdua tu, hah? Dah berpuluh-puluh tahun kau dengan Ehsan kahwin, kenapa mereka tu tak puas hati lagi? Macam la mereka berdua tu perfect sangat.” Puan Hajar tahu konflik antara sahabat baiknya itu.

            Pandangan mata Puan Dariah terpaku ke arah lelaki yang keluar dari klinik gigi.

            “Tu siapa, Hajar?” Puan Dariah berminat nak tahu.

            “Itu Dr Jazli. Ala doktor gigi yang aku cerita kat kau. Esok klinik dia baru buka. Single lagi. Sebaya Dina. Sesuai untuk Dina. Handsome pulak tu. Dalam family kau belum ada doktor gigi kan! Tu …..calon sesuai untuk Dina. Baik budaknya.” Jelas Puan Hajar dengan panjang lebar.

            Puan Dariah mengeluh kuat.

            “ Macam la kau tak kenal dengan perangai Dina tu. Spesis haiwan liar. Kau rasa ada ke lelaki dapat jinakkan Dina. Bela gajah liar lagi senang.” Jawab Puan Dariah. Semua lelaki yang dia kenalkan dengan Dina, semuanya lari dan tak mahu jumpa dengan Dina lagi.

            “Kau ingat senang nak bela gajah liar? Belum apa-apa lagi, gajah liar tu dah pijak kau.” Puan Hajah ketawa kuat.

            Puan Dariah malas nak melayan. Pandangan beralih ke arah lelaki yang sedang menyusun pasu-pasu bunga di luar klinik itu. Rasa macam pernah nampak saja tapi kat mana?

                                                **********************

            SELESAI saja tugas di dapur, Eiman keluar selepas tiada lagi pesanan pelanggan. Dia melihat dalam kedainya yang masih penuh dengan orang walaupun sudah pukul 11 pagi. Ada kelibat yang sangat dia kenali di dalam kedai itu. Langkah diatur hampiri meja itu.

            “Assalammualaikum, Dr Jazli!”

            “Waalaikumussalam! Panggil saja Abang Jazli, kan lagi mesra. Makanan kat sini memang sedap. Pagi-pagi boleh la Abang Jazli breakfast kat sini. Maklum la jawatan orang rumah masih kosong lagi.” Jawab Jazli sambil itu dia berselorah dengan Eiman.

            Eiman turut sama ketawa dan terus duduk.

            “ Cukup ke makan bihun goreng saja. Order la lagi. Kuih-muih pun ada.”

            “ Ini dah lebih dari cukup. Ini kuih pau dua biji belum makan lagi.” Jawab Jazli. Dia tersenyum.

            “ Eiman, nanti Kak Dina pergi ambil Eiyad.” Dina muncul di hadapan mereka berdua.

            Eiman menganggukkan kepala tanya setuju. Sepatutnya dia yang ambilkan tapi kalau Dina nak ambil, dia tak kisah pun.

            “Dr Dina jemput makan!” pelawa Jazli. Dia tersenyum.

            Dina mendengus kuat dan menjeling sebelum berlalu pergi.

            Jazli terkejut. Tiba-tiba dihadiahkan jelingan tajam oleh Dina.

            “Aaaa…. Abang Jazli ada buat salah ke?” Jazli menoleh dan bertanya pada adik Dina.

            “Abang Jazli tak buat salah pun. Biasa la orang perempuan, moody tak kena tempat. Kak Dina memang macam tu pun. Biarlah kat dia.” Jawab Eiman. Hakikatnya dia tahu sebab apa Jazli dilayan sebegitu. Kakaknya telah ceritakan apa yang berlaku. Rasa tak percaya pun ada. Mustahil la Jazli bertindak sebegitu. Apa-apa pun dia malas nak berfikir. Apa hak dia nak hukum orang?

            “Ooo…. Nak tanya, nama penuh Dr Dina …. Farah Dina kan!” Jazli beranikan diri untuk bertanya.

            “Ya.” Jawab Eiman.

            “Sebenarnya kawan Abang Jazli ada nama Farah Dina. Masa sekolah tingkatan satu dengan tingkatan dua sama-sama tapi bila tingkatan tiga, kawan Abang Jazli pindah KL. Muka dia ada iras-iras Dr Dina.” Cerita Jazli. Semasa pertama kali jumpa Dina, dia ingin bertanya tapi tak berani.

            “ Hmm…. Sebelum kami berpindah ke KL, kami tinggal kat Ipoh. Maksud Abang Jazli, SMK Raja Permaisuri Bainun!” Mata Eiman terus bulat.

            “Ya! Betul!” jawab Jazli. Kemudian tersenyum gembira.

            Mulut Eiman terus ternganga kerana terkejut. Mesti kakaknya terkejut bila dapat tahu.

                                                            ******************

            “WHAT!!!!!!!!!!!”

            Suara Dina bergema di dalam bilik tidurnya selepas mendengar cerita dari Eiman. Memori semasa berumur 13 tahun mula bermain di fikiran dia.

            “Eee…. Boleh pekak telinga ni, suara tu perlahan sikit!” Eiman memegang kedua-dua telinganya. Boleh pecah gegendang telinga ni dengar suara kakaknya menjerit.

            Dina segera bangun dan menuju ke laci meja solek. Dikeluarkan kotak kecil yang mengandungi gambar masa dia kecil dulu. Satu demi satu kepingan gambar diselak. Akhirnya dia jumpa gambar dia bersama budak lelaki yang gemuk. Diamati wajah budak lelaki itu, sememangnya ada iras.

            Eiman mendekati kakaknya yang masih melihat gambar.

            “ Ini Abang Jazli ke? Comelnya! Kulit dia memang putih melepak masa budak-budak.” Eiman bersuara.

            “ Dr Jazli dengan Jazli Pau orang yang sama? Biar betul!” Dina masih tidak dapat menerima kenyataan. Otak macam tak boleh nak proses.

            “Jazli pau?” Eiman terkejut.

            “Aaaa… Masa sekolah dulu, dia suka sangat makan pau. Dia boleh habiskan makan 10 biji pau seorang diri. Kalau masa makan, dia asyik beli pau saja kat kantin. Jadi budak-budak lain panggil dia Jazli pau. Lepas tu dia orang ejek dia macam-macam.” Cerita Dina.

            “Lepas tu Kak Dina yang selamatkan Abang Jazli kan! Masa Abang Jazli kena buli, Kak Dina pertahankan Abang Jazli lepas tu Abang Jazli kawan dengan Kak Dina.” Kata Eiman. Dia masih ingat lagi yang ada satu hari itu ibu bapa dia dipanggil ke sekolah kakaknya sebab bergaduh dengan kawan sekelas. Bayangkan la empat orang budak lelaki berlawan dengan kakaknya tapi kakaknya yang menang. Maklum la kakaknya belajar taekwando selepas tu pulak bapak saudara mereka ada boxing gym. Siapa yang berani cabar kakaknya, silakan!

            “ Mereka semua tu jahat. Dah la ejak Jazli tu macam-macam lepas tu pulaukan dia. Mula-mula tu memang Kak Dina nak biarkan sebab Kak Dina dah janji dengan ayah ibu takkan gaduh lagi tapi …. Kak Dina tak boleh nak biarkan bila ketidakadilan berlaku di depan mata. Terus saja Kak Dina meletup. Kak Dina dah nasihat tapi dia orang tetap tak nak dengar lepas tu siap cakap lagi. Kalau kami nak buat jugak, kau boleh buat apa?” cerita Dina seraya mengajuk cakap budak-budak lelaki yang buli Jazli dulu.

            “ Dia orang boleh cakap macam tu kat Kak Dina. Nak tengok sangat Kak Dina boleh buat apa? Seekor demi seekor, Kak Dina bagi penumbuk. Anak jantan lembik. Masa kena panggil dengan cikgu, Kak Dina cerita hal sebenar. Memang Kak Dina kena amaran tapi Kak Dina tak kisah pun, Kak Dina ada di pihak yang benar. Buat apa takut? Lepas tu Jazli ikut saja ke mana Kak Dina pergi, tiada siapa berani buli Jazli lepas tu. Kami BFF sampai tingkatan dua.” Tambah Dina lagi. Teringat saat mereka berdua berkawan. Makan sama-sama dan juga belajar sama-sama. Dia happy berkawan dengan Jazli. Orangnya sweet dan baik.

            “Wah! Kak Dina memang hebat dari dulu. Tak pernah takut dengan sesiapa pun! Gangster sekolah. Thumbs up!” kata Eiman seraya mengangkat kedua-dua ibu jarinya. Dia tersengih.

            “Eh, budak ni! Ini puji ke sindir?” Dina menjegil mata pada adiknya.

            Eiman ketawa kecil.

            “Tapi Kak Dina, pasal apa Kak Dina nampak Abang Jazli dengan perempuan tu, rasanya baik Kak Dina tanya dulu Abang Jazli sebelum buat andaian sendiri. Tadi pagi tadi masa Eiman borak dengan Abang Jazli, ada orang call tapi Abang Jazli buat tak tahu. Banyak kali berbunyi tapi buat tak endah saja. Lepas tu bunyi mesej, Eiman sempat nampak kat skrin phone Abang Jazli. Maafkan I, please bagi I peluang. Kak Dina rasa apa maksud mesej tu? Mesti ada something terjadi!” cerita Eiman.

            Dina terdiam dan berfikir selepas mendengar cerita Eiman.


No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...