Wednesday, June 10, 2020

Calon Menantu Cikgu Hawa - Bab 4


Bab 4

Encik Wahid terus duduk di sofa di ruang tamu tingkat atas. Dia baru saja lepas bercakap dengan ibunya. Yang jelas, ibunya masih dengan keputusan yang sama.

“Abang! Abang dah pujuk mak ke? Mak cakap apa? Talia tak jadi pergi sana kan?” tanya Puan Eton bertubi-tubi.

Encik Wahid mengeluh kuat.

Dari reaksi suaminya itu, Puan Eton sudah dapat baca. “ Mak tetap nak suruh Talia pergi sana jugak ke!”

“ Ya. Mak cakap dia dah janji dengan Auntie Maimun, dia tak mahu nanti Auntie Maimun cakap dia mungkin janji pulak.”

“Habis tu Talia macam mana, abang? Takkanlah masa kita nak pi umrah nanti, Talia kena habiskan masa dia kat sana…. Talia tak kenal pun dengan mereka tu.”

“ Eton nak abang buat apa lagi? Abang ni dah puas cakap dengan mak tapi sikit pun mak tak dengar cakap abang.  Degil! Sekarang ni keputusan terletak di tangan Talia.”

“Kalau macam tu biar Eton pulak cakap dengan mak!” kata Puan Eton.

“ Mak!”

Langkah Puan Eton terhenti apabila dengar suara Talia. Dia baru saja ingin melangkah menuruni anak tangga.

“Mak! Talia dah fikir masak-masak. Talia setuju dengan permintaan Tok ma. Lagipun Talia tak nak mak ayah bergaduh dengan Tok ma pasal hal ini.” Beritahu Talia. Dia sanggup mengalah asalkan ibu bapanya tidak bermasam muka dengan neneknya.

“Tapi…..”

“ Mak! Jangan bimbang. Ada dua orang lagi calon  kan! Belum tentu Talia terpilih. Kalau Talia pergi sana, mak ayah tak payah bimbang lagi bila pergi umrah . Sebelum ni kan mak ayah risau sebab Talia seorang diri kat sini.” Talia mencelah cakap ibunya.

“Talia betul-betul ke dah fikir masak-masak?” tanya Encik Wahid inginkan kepastian.

“Ya, ayah! Seminggu saja kan Talia kat Sungai Petani. Lagipun dah tentu Cikgu Hawa tu pilih calon menantu pilihan dia.” Talia cuba sedapkan perasaan ibu bapanya.

“Kalau itu keputusan Talia, ayah ikut saja.”

Puan Eton menoleh. “Tapi abang……” Puan Eton tetap kurang setuju.

“ Talia dah buat keputusan. Hari itu, Eton jugak yang suruh abang hormat apa saja keputusan anak-anak kan. So sekarang ni, abang hormat keputusan Talia.” Encik Wahid terus bangun dan tinggalkan isteri dan anaknya.

Puan Eton tercengang.

Talia pegang tangan ibunya. “ Don’t worry! Everything will be fine. Trust me!” kata Talia. Dimaniskan wajahnya dengan senyuman. Hakikatnya hatinya sedang memberontak sebenarnya.

                                    **************************

Talia hulurkan tangan untuk bersalaman dengan neneknya.

Tok Ma Midah menggengam erat tangan cucunya. “ Aku nak cakap sikit ni…. Kalau boleh tu, aku nak hang terpilih jadi menantu Hawa . Untung tau kalau dapat jadi isteri Amir. Sebelum hang nak pi sana nanti, hang prepare siap-siap. Yang penting, jangan malu muka aku…” kata Tok Ma Midah.

Talia hanya mampu tersenyum mendengar kata-kata neneknya.

“Mak masuk cepat! Nanti lewat pulak nak sampai Alor Setar. Bulan depan kan mak nak datang lagi, lain kali la sembang.” Encik Wahid bersuara. Pintu kereta dibuka dengan segera.

“Yalah! Yalah! Kalut betul hang ni.”

“Nanti sampai lewat, mak jugak asyik berleteq tak henti-henti.” Bebel Encik Wahid.

Tok Ma Midah terus masuk ke dalam perut kereta.

Dengan cepat Encik Wahid masuk ke dalam perut kereta. Mukriz sudah berada di tempat pemandu.

Talia dan Puan Eton melambai tangan beberapa kali apabila kereta Toyota Camry itu meluncur keluar dari perkarangan rumah.

“ Hari tu cakap tunjuk muka saja, kali ini cakap suruh jadi menantu Hawa tu. Mak pening dengan perangai nenek Talia yang seorang itu.” Puan Eton bersuara. Dia dengar tadi.

“Biarlah, mak! Asalkan Tok Ma tak merajuk dengan kita. Hmm… Mak pernah jumpa Cikgu Hawa ke? Orangnya macam mana?”

“Hmm….. Sekali jer mak jumpa dia. Itupun dua tahun lepas, masa tu mak ikut ayah kamu pergi reunion sekolah dia kat Alor Setar. Hawa itu guru besar , suami dia pula pengetua. Mereka suami isteri tu sama-sama satu sekolah dengan ayah kamu. Hawa tu nampak macam sombong sikit, muka serius sentiasa, tak bercakap dengan sesiapa pun masa itu . Suami Hawa , Din tu peramah pulak orangnya. Cakap non stop. Bagi pandangan mak, Hawa tu nampak macam cerewet sikit. Hmmm… Bukan sikit tapi rasanya sama level macam nenek Talia la. Perfectionist sangat. Dapat mak mentua macam tu merana jiwa raga. Contoh terdekat…. Mak ni.” Puan Eton tunjukkan tangan ke dirinya sendiri.

Talia gelak dengan kuat. Dia dan ibu berjalan masuk ke dalam rumah bersama-sama.

“Mak cakap serius, Talia.”

“Mak, don’t worry! Talia takkan terpilih pun. Dah memang confirm Cikgu Hawa pilih menantu pilihan dia. Percayalah…”

“Betul ke? Tapi Talia jangan lupa, pilihan tu boleh diubah.”

“Mak ni, ke situ pulak! Jomlah masuk.  Talia tak sembahyang Zohur lagi, mak pun tak sembahyang lagi kan…” Talia paut lengan ibunya.

Puan Eton geleng kepala beberapa kali. Hakikatnya dia risaukan Talia. Dibuatnya dia orang berkenaan dengan Talia, huru hara jadinya nanti.



No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...