Bab
6
USAI solat Subuh, Atan terus
menuju ke dapur. Dia membuka peti sejuk dan mengeluarkan bahan-bahan untuk
dimasak pagi ini. Untuk menjimatkan masa, dia menyediakan bahan-bahan sejak
malam tadi. Pagi ini dia akan terus saja memasak.
Atan memasak mee goreng untuk
sarapan pagi. Mudah dan cepat. Dia terus memasukkan mee goreng yang sudah siap
itu ke dalam pinggan. Mug air kopi sudah pun disediakan. Tak seminit duduk di
kerusi, Atan teringat sesuatu
“Alamak, nasi tak masak lagi.” Kata
Atan dan kemudian terus bangun. Dia segera memasak nasi untuk dibawa ke kebun
untuk makan tengahhari. Setiap hari dia akan bawa bekal untuk makan tengahhari
di sana. Lauk pulak simple saja. Lauk gulai kepala ikan dan sayur kubis goreng.
Malam tadi dia sudah masak dan dipanaskan pagi ini. Itu rutin harian dia setiap
hari. Namun sejak kebelakangan ini, dia terpaksa keluar awal rumah disebabkan
mahu mengelak dari terserempak dengan Widad.
Selesai saja memasak nasi, Atan
duduk semula di kerusi. Dia menadah tangan untuk membaca doa makan. Dirinya
sudah biasa makan seorang diri. Kadang-kadang itu Mak Esah dan Pak Walid ada
panggil makan bersama-sama.
Habis makan, Atan segera mengemas
dapur. Bekalan untuk makan tengahhari sudah pun siap disediakan. Dia terus
memasukkan bekas makanan ke dalam bag. Anak mata melirik ke arah jam dinding.
Dah lewat!
Atan bergegas menuju ke biliknya.
Sepantas kilat dia menukar baju dan bersiap sedia untuk pergi ke kebun pisang.
Apabila melalui ruang tamu, langkah
Atan terhenti. Dia melihat ke arah frame gambar Mak Wan. Atan tersenyum
meratapi wajah Mak Wan. Dia sayangkan Mak Wan lebih dari ibu kandungnya sendiri.
Tak sangka Mak Wan pergi buat selama-lamanya. Rasa jugak terkilan kerana tidak
jumpa Mak Wan untuk kali terakhir.
“Esok cuti, boleh la aku pergi
ziarah kubur Mak Wan.” Kata Atan. Dia meneruskan langkahnya keluar melalu pintu
depan rumah. Selalunya dia kerap keluar melalui pintu dapur tetapi kini pintu
dapur sudah tidak selamat untuk dirinya. Kedudukan pintu dapur rumahnya begitu
dekat dengan bilik Widad.
Dengan penuh berhati-hati, Atan
membuka pintu rumahnya. Dalam hati dia mengeluh, apalah nasib badan, gaya nak
keluar rumah sendiri pun dah macam pencuri.
Dia melihat suasana gelap mula
cerah. Sinaran matahari mula menyinari langit gelap itu. Ada senyuman di bibir
Atan. Bagi dia pemandangan ketika ini begitu indah sekali. Pemandangan beralih
ke arah bilik Widad, nasib baik masih gelap lagi tetapi tiba-tiba saja bilik
Widad cerah.
Tubuh Atan terus mengeras. Dia terus
menyorok di sebalik dinding rumahnya. Jantungnya berdegup laju.
“Selagi Widad ada kat sini, hidup
aku takkan aman.” Atan bersuara dengan nada perlahan. Dia menjengukkan kepala
untuk melihat apa yang berlaku. Hanya lampu bilik Widad terbuka. Tanpa melengahkan
masa, Atan hampiri basikalnya dan terus naik. Selaju mungkin dia mengayuh
basikal sehingga ke jalan besar. Dia kembali mengayuh basikal seperti biasa
setelah jauh dari rumahnya. Nafas ditarik dan dihembus perlahan-lahan. Nyaman
betul! Dia sukakan suasana begini. Sekelip mata dia lupa pasal Widad.
******************
Pak Walid mengambil kasut boot getah
yang ada di atas rak. Dia terus memakainya dan bersiap sedia pergi ke kebun.
Lagipun Atan dan Wafiy sudah pun pergi. Kerana cuaca nampak elok pagi, memang
sesuai untuk menanam anak pokok pisang nangka.
“Jom ayah!” ajak Widad. Dia berdiri
di sebelah Pak Walid. Kasut boot bertumit tinggi terus dipakai oleh Widad.
Dahi Pak Walid berkerut melihat
pemakaian Widad. Berseluar jeans, tshirt putih dan kemeja bercorak petak biru
yang tidak dibutangkan tetapi hujungnya diikat dipinggang. Ada topi cowboy kat
kepala Widad lagi.
“Nak ke mana ni?” tanya Pak Walid.
“Pergi kebun la. Saya tunggu dalam
kereta.” Jawab Widad. Dia berjalan laju ke arah kereta Isuzu D Max milik
ayahnya. Sebelum ayahnya melarang pergi, dia cepat-cepat masuk ke dalam kereta.
Mulut Pak Walid melopong luas. Macam
tak percaya pun ada.
“ Ni abang tertinggal topi kebun kat
dapur.” Kata Mak Esah apabila menghampiri suaminya. Dia menghulurkan topi kebun
itu.
“ Widad tu tiba-tiba nak ikut abang
pergi kebun. Dah buang tabiat agaknya.” Beritahu Pak Walid sebaik mengambil
topi kebun dan dipakainya di kepala.
Mak Esah menggelengkan kepala. Patut
la tadi selepas sarapan pagi, Widad kelam kabut masuk ke bilik tanpa menolong
dia di dapur.
“Apa yang nak dihairan kan, abang!
Perangai Widad tu kita tak boleh di duga. Abang sabar saja la. Hari itu abang
jugak suruh saya bersabar kan, hari ini giliran abang pulak bersabar. Saya nak
sidai baju, banyak lagi kerja saya nak kena buat kat rumah ini.” Balas Mak
Esah. Dia cuba menahan ketawa. Biar suaminya rasa pulak apa yang dia rasa, hari
itu bila dia mengadu perangai Widad, suaminya asyik suruh bersabar. Hari ini
giliran suaminya merasai semua itu.
Pak Walid melihat Mak Esah yang
sudah meninggalkan dia. Sempat lagi dia mengeluh kuat. Langkah diatur
perlahan-lahan menuju ke kereta Isuzu D Max itu.
“ Sebelum ini kamu tak pernah nak
pergi kebun, kenapa tiba-tiba nak pergi?” tanya Pak Walid sebaik saja masuk.
Dia terus memakai tali pinggang.
“Tak salah kan kalau saya pergi,
saya kan share partner ayah. Lagipun 10 hektar tanah yang baru beli tu, saya
tak pernah tengok lagi. Nak kena jugak tahu.” Jawab Widad.
“Iyalah. Ayah sikit pun tak percaya
cakap kamu. Ni mesti ada udang di sebalik batu kan?” tambah Pak Walid. Dia
terus menghidupkan enjin kereta. Niat sebenar Widad ada di dalam genggaman dia.
Mesti Atan terkejut dengan kedatangan Widad.
“ Bukan ada udang di sebalik batu
tapi sambil menyelam minum air.” Balas Widad. Dia tersengih. Sikit pun tak rasa
malu.
“ Ayah bagi kamu warning awal-awal,
Widad. Hari ini kami ada banyak kerja nak buat. Jangan buat hal. Kalau tak,
ayah halau kamu balik. Yang penting, jangan kamu kacau Atan. Faham!” tegas Pak
Walid dengan wajah serius.
Widad hanya diam membisu dan
memandang ke arah luar tingkap.
Pak Walid menggelengkan setelah
melihat reaksi anak sulungnya itu. Nampak sangat amaran dia tadi seperti
mencurah air di daun keladi. Kaki terus menekan pedal minyak. Kereta Isuzu D
Max bergerak meninggalkan perkarangan rumah.
*******************
Tibanya di kebun pisang, Widad
segera turun sebaik saja kereta berhenti. Mata dia seperti helang mencari
kelibat Atan di sekitar kebun itu.
“Kak Widad, kenapa datang sini?”
tanya Wafiy. Dia yang ketika itu sedang mengira bilangan anak pisang terus
berhenti setelah menyedari kedatangan kakaknya bersama ayahnya.
Pertanyaan Wafiy dibalas dengan
jelingan tajam oleh Widad. Nampak sangat Wafiy tidak mengalu-alukan kedatangan
dia di sini.
“Kakak kamu nak tolong kita tanam
anak pisang. Lagi ramai orang tolong, lagi cepat kita siap kerja.” Pak Walid
bersuara dan menghampiri mereka berdua.
“Apa! Boleh percaya nak tolong? Reti
ke nak tanam pokok? Tanam pokok pun tak pernah.” Sindir Wafiy dengan renungan
mata ke arah Widad. Awal-awal lagi dia tahu niat kakaknya datang ke kebun ini.
“ Ala, setakat tanam pokok apa la
sangat. Pejam mata pun boleh tanam.” Balas Widad. Sakit hati mendengar kata
Wafiy seolah-olah memperlekehkan dirinya.
“Dah jangan nak bergaduh kat sini
pulak. Banyak kerja lagi nak buat.” Pak Walid mencelah sebelum perbalahan
anak-anaknyai tu berpanjangan.
Widad dan Wafiy terdiam.
Pak Walid berjalan ke arah pondok.
Dia perlu bersiap sedia untuk membuat kerja.
Widad ingin mengambil peluang untuk
mencari Atan namun tangannya sempat dipegang oleh Wafiy.
“Ayah! Kak Widad nak curi tulang!”
jerit Wafiy sekuat hati. Biar ayahnya tahu. Kemudian dia tersenyum ke arah
Widad. Jangan harap Widad akan terlepas dari pandangan matanya. Genggaman
tangan Wafiy semakin erat.
Widad mengetap bibir. Yang jelas
wajahnya bengang. Tak guna punya Wafiy.
“ Widad, datang sini. Nak tolong
kan, buat cara nak tolong atau ayah hantar kamu balik rumah.” Pak Walid
mencekak pinggang memberi amaran. Dia menggunakan isyarat tangan memegang Widad
supaya datang ke arahnya.
“Yalah! Yalah!” jawab Widad. Dia
menarik tangannya dengan kasar dari pegangan adiknya. Lepas ini tahu la nasib
Wafiy. Dengan wajah masam, dia mendekati ayahnya.
Wafiy mengekori dari belakang untuk
memastikan Widad tidak melarikan diri. Kalaulah Atan ada telefon, dah lama dia
mesej beritahu kedatangan kakaknya. Tadi Atan cakap nak pergi tengok pagar di
hujung sana kerana takut babi hutan masuk sekali lagi makan pokok pisang yang
telah ditanam. Sejak kebelakangan ini, babi hutan kerap menerjah masuk ke kebun
mereka.
“ Pergi pakai sarung tangan, nanti angkat
anak-anak pisang dekat wheel barrow tu.” Pak Walid memberi arahan.
Widad menuruti arahan ayahnya. Dia memakai
sarung tangan malah matanya tetap melirik ke pelbagai arah mencari Atan. Mana
pulak Atan ni pergi? Takkan la Atan tak ada di sini. Sia-sia saja dia datang
kalau macam ini.