Tuesday, November 5, 2019

Jujur Hatiku Hanya UntukMu Bab 11


Bab 11

            Intan meramas-ramas kedua-dua tangannya selepas mendengar cerita Fatini tentang apa yang berlaku malam semalam.

            “Melampau betul Alif tu!”

            “ Aku tak sangka Alif berani nak ambil Baiduri dari aku. Aku tak tahu apa lagi yang  Alif akan buat selepas ini. Aku takut, Intan. Hari tu dia cuba culik Baiduri. Semalam pulak, tanpa rasa takut … dia cuba rampas Baiduri aku. Manusia jenis apa dia tu, hah? Aku rasa macam nak balik Zurich.” Kata Fatini seraya matanya melihat ke arah Baiduri yang sedang bermain dengan Fatin.

            “Tapi kau tak jumpa ayah Baiduri lagi?”

            “Kalau PI tu jumpa Anas, cakap jer aku tunggu Anas di Zurich. Aku tak sunggup tinggal di sini. Dah macam dalam penjara pun ada. Asyik terperap dalam bilik hotel saja. Tak boleh nak ke mana-mana. Nak keluar , takut terserempak dengan Alif. Kalau aku balik Zurich, Alif takkan berani buat macam-macam. Alif ada rekod dengan polis di sana.” Fatini rasa itu adalah keputusan terbaik.

            “Habis tu, kerja kau macam mana? Bila kat start mengajar?”

            “Aku start bulan Mac tahun depan. So aku ada banyak masa lagi. Aku harap sangat dapat jumpa Anas sebelum aku start mengajar.”

            “Kalaulah itu keputusan kau, aku sokong. Tapi bila kau nak bertolak?” tanya Intan. Dia sedih sebenarnya. Belum lagi hilang rindu, Fatini dah nak balik Zurich. Ini semua salah Alif. Disebabkan Alif, Fatini hidup macam pelarian.

            “Secepat mungkin. Aku kena jumpa mama dan abah dulu.”

            “ Confirm mama kau tak setuju , Fatini.”

            Keluhan dilepaskan kuat. Dia faham di sebalik kata-kata Intan. Yang pasti, keputusan dia pulang ke Zurich pasti ditentang hebat oleh ibunya.

                                                ***************************

            Romzi melangkah masuk ke rumah yang dibelinya sebagai hadiah untuk hari jadi anak saudaranya beberapa tahun yang lalu. Dilihat segenap ruang rumah itu. Kosong.

            Farid menarik langsir agar cahaya masuk menerangi rumah itu. Ditoleh ke kiri dan kanan. “Boss! Perasaan tak interior design rumah ni nampak lain sikit. Bukan sikit tapi banyak.” Dahi Farid berkerut.  Ada sesuatu dalam rumah ini yang nampak lain.

            “Apa kau merepek ni, Farid? Sama saja , aku tengok. Interior design rumah ni sama saja masa aku beli rumah ni. Apa yang lainnya?” Ditarik kain putih yang menutupi sofa di ruang tamu itu. Romzi terus labuhkan punggungnya di sofa berwarna koko. Dia malas nak layan kerenah Farid.

            “Lain, boss! Aura rasa lain. Seolah-olah rumah ni ada penghuni lain.” Farid mula buat siasatan sendiri. Mata melihat meliar mencari klu . Firasatnya tak pernah salah. Ada sesuatu yang tak kena dengan rumah ini.

            “Ada-ada saja kau ni, Farid.” Romzi mengeluh dan pejam mata. Rasa penat masih belum hilang. Selepas tamat majlis perasmian hotel baru di Zurich, mereka terus datang ke sini.

            Farid mula buang kain putih yang menutupi setiap perabot yang ada. Dia perlu cari bukti. Dilihat ke arah langsir yang berwarna biru muda malah terdapat beberapa pasu bunga di situ. Rumah ini pulak nampak bersih, kemas dan tersusun seolah-olah ada sentuhan wanita dalam rumah ini. Seingat dia, kali terakhir datang ke rumah Anas lima tahun yang lalu…. Rumah ini bersepah dan kotor. Maklumlah Anas duduk seorang, biasalah lelaki.  

            Langkah terhenti secara tiba-tiba. Almari yang berada di sebelah piano menjadi perhatian Farid. Ditarik kain putih itu.Pandangan kaku apabila melihat frame gambar yang terletak di dalam almari itu. Dicapai dengan segera.

            “Boss! Boss!” jerit Farid sekuat hati.

            Mata terus terbuka. “Apa lagi, Farid?” Romzi geram apabila tidurnya diganggu. Suara Farid saja dah buat gegandang telinga rasa nak meletup.

            Sepantas kilat, Farid hampiri Romzi. Ditunjuk frame gambar tadi pada Romzi.

            Romzi turut sama tergamam. Mata tak lepas pandang frame gambar itu.

            “Boss! Saya rasa Anas dah kahwin.”

            Romzi terus bangun dan berjalan ke arah bilik utama. Pintu bilik terus dibuka. Almari baju yang ada di situ terus dibuka kasar. Badan Romzi terus kaku apabila melihat pakaian lelaki dan perempuan yang ada.

            Tiba-tiba Romzi teringat bilik yang bersebelahan dengan master bedroom.  Dia segera ke bilik itu. Tombol pintu dipulas kasar.  Suis lampu dibuka. Cahaya lampu menerangi bilik yang berwarna pink itu. Ada banyak barang permainan di situ. Ada juga beberapa teddy bear tersusun di atas meja kecil.

            Kaki Romzi rasa lemah. Dijalan perlahan-lahan ke arah sofa berwarna pink. Dia duduk. Fikirannya tengah bercelaru dengan kenyataan pasal keluarga Anas yang dia tak pernah tahu selama ini.

            “Boss!”tegur Farid.

            Romzi menoleh. “Farid, kau dapatkan info pasal penghuni rumah ni dengan jiran sebelah.” Arah Romzi.

            “Baik, boss!”

            Frame gambar itu ditatap lagi. Kelihatan Anas bersama seorang wanita dan seorang budak perempuan.  Romzi meraup wajahnya berulang kali.  Dia teringat semula yang Anas ingin cakap sesuatu dengannya selepas pengebumian ayahnya, Dato Azad. Adakah Anas nak cakap isteri dan anak dia hari tu? Romzi mula rasa bersalah. “Maafkan Uncle, Anas.” Ucap Romzi seraya matanya menatap gambar Anas.

                                                **********************************

            Fatini tersenyum apabila pekerja Hipster café hulurkan makanan yang dipesannya. “ Terima kasih. Intan dah balik ke?”

            “Kak Intan baru saja balik.” Jawab pekerja itu.

            Bag plastic berisi makanan sudah bertukar tangan. “ Hmm… Tak apalah kalau macam tu.”

            “Malam nanti, Kak Fatini nak pesan apa? Boleh beritahu awal, nanti kami terus hantar jer.”

            “Tak apalah. Nanti adik akak turun belikan. Tak payah susah-susah nak hantarkan. Ala…. Hotel dekat saja. Aaa… Akak gerak dulu. Bye!” kata Fatini sebelum melangkah keluar dari café itu.

            Tibanya di jalan. Fatini menoleh ke kiri dan kanan sebelum melintas ke hotel. Langkah diatur pantas. Dia tahu pasti Baiduri dan adik-adiknya tengah lapar sekarang ini. Dah pukul satu petang tapi tak makan tengahhari lagi.

            Fatini terkejut apabila tangannya ditarik dengan kasar dari arah belakang. Hampir saja tubuhnya melayang. Pandangan mata kaku melihat pemilik tangan itu. Alif!

            “I nak you ikut I . Masuk kereta sekarang.” Tanpa persetujuan Fatini, dia terus tarik tangan Fatini.  Wajah nampak bengang.

            “Lepaslah! Aku cakap lepaslah!” Fatini meronta dan menarik tangannya dengan kuat. Sebaik saja berjaya loloskan diri, dia berlari sekuat hati ke pintu utama hotel itu tetapi  terlebih dahulu tangannya dipegang oleh Alif.

            Tangan kanan Fatini digenggam erat. Fatini masih tak putus asa ingin lepaskan diri. Satu tamparan mengena pipi Fatini. Pang!

            Tamparan kuat dari Alif saja, dah buat Fatini terduduk di lantai. Bag plastik makanan tadi sudah jatuh berterabur. Dipegang pipi yang terasa pedih itu. Hanya Allah Taala saja tahu betapa sakitnya tamparan Alif tadi. Fatini mula takut. Ini bukan pertama kali, dirinya ditampar oleh Alif. Inilah sikap Alif yang sebenar jika permintaannya tak diikut.

            “Itulah akibatnya kalau tak ikut cakap I. Hey, Fatini! Kenapa you degil sangat, hah? Kan senang kalau you ikut saja cakap I tadi. Sekarang ni you nak ikut I ke tak, hah?” tengking Alif. Semakin hari perangai Fatini , buat dia hilang sabar.

            Fatini masih terduduk di lantai. Kaki terasa lemah untuk bangun. Dia cuba bangun tetapi gagal. Dia ingin larikan diri tetapi tubuhnya langsung tak bergerak. Rasa takut menguasai segala-galanya. Air matanya mula banjiri wajah Fatini.

            “Dengar tak? Dia buat pekak pulak. Fatini!” Alif mencekak pinggang. Keluhan dilepaskan dengan kuat. Dia hampiri Fatini. “ You memang nak rasa penampar sekali kan.” Alif angkat tangannya buat kali ke-dua.

            “Abang Alif!”

            Alif terkejut dengan suara Fadlan. Dia terus panik apabila Fadlan berlari ke arahnya. Tanpa membuang masa, Alif terus tinggalkan Fatini dan bergegas masuk ke dalam perut kereta mewahnya.

            Fadlan cuba mengejar tetapi kereta mewah laju keluar dari tempat parkir hotel itu. “Berhenti! Aku cakap berhenti!” jerit Fadlan. Dia mengetap bibir apabila gagal tangkap Alif.

            Tiba-tiba Fadlan teringat kakaknya, dia terus patah balik.

            “Along! Along okey tak?” tanya Fadlan. Dia bantu Fatini bangun. Dipegang tangan Fatini. Sejuk!

            “Oooo… Okey!” Suara Fatini masih gagap. Dia bersyukur sangat-sangat. Mujurlah Fadlan ada. Kalau tak, dia tak tahulah apa nasib dia tadi. Dilap sisa-sisa air mata. Dia tak mahu buat Fadlan risau. Tangan kanan masih di pipi. Dia tak mahu Fadlan nampak bekas tampar di wajahnya.

            Dahi Fadlan berkerut apabila Fatini masih tundukkan wajahnya. Ditarik tangan kanan Fatini. Anak mata Fadlan terus besar. Ada bekas tangan di wajah Fatini. “Tak guna punya jantan. Memang nak kena Abang Alif ni!” marah Fadlan. Nafasnya turun naik. “Mama kena tahu pasal hal ni. Mama kena tengok dengan mata sendiri apa yang bakal menantu kesayangan dia dah buat kat Along. Diagung-agungkan sangat Abang Alif tu . Padahal, Abang Alif tu manusia bertopengkan syaitan.”

            “Kalau cakap pun, mama takkan percaya. Mama lebih percayakan cakap Alif tu dari kita.” Fatini sudah tahu kesudahannya. Yang pasti sekarang ini, Alif sudah buat ceritanya sendiri dan mengadu pada Puan Rokiah.

            “Habis tu sampai bila Along nak hidup macam ni? Sampai bila?” tanya Fadlan.

            Fatini terdiam. Dia sendiri tiada jawapan untuk soalan Fadlan. Adakah ini takdir yang Allah Taala tentukan untuk dirinya?

                                    **************************************************

            Pintu bilik diketuk terlebih dahulu.  Farid lihat Romzi masih duduk di sofa berwarna pink itu.

            Romzi menoleh.

            “Boss!” tegur Farid. Dia nampak wajah Romzi kusut. Mungkin tengah fikirkan apa yang berlaku sekarang ini. Selepas hampir setahun, baru mereka tahu pasal kewujudan isteri dan anak Anas.

            “Apa info kau dapat?”  Romzi terus bangun.

            “Dah empat tahun Anas kahwin. Nama isteri Anas , Laila. Anak perempuan pula namanya Baiduri.”

            “Masalahnya mana mereka sekarang ni?” tanya Romzi. Jika dilihat keadaan rumah ini masa mereka masuk tadi seolah-olah sudah lama tidak dihuni.

            Farid mengeluh. Dia tak tahu macam mana nak mulakan. Dia sendiri terkejut apabila dengar cerita Mrs Lauren yang juga jiran sebelah rumah ini.

            “What’s wrong?” Romzi mula tak sedap hati melihat reaksi Farid.

            “Boss….. Beberapa bulan lepas, Laila accident dan meninggal dunia.”

            Tubuh Romzi terus keras. Wajah pucat lesi. Matanya bertemu dengan mata Farid. Dia rasa macam tak percaya.

            “Betul bos!” jawab Farid. Dia faham di sebalik pandangan Romzi.

            “Anak dia?” Ada sedikit getaran pada suara Romzi.

            “Selepas Laila meninggal, kawan Laila yang jaga Baiduri. Nama dia Fatini. Mrs Lauren beritahu, Fatini tu baik orangnya.  Katanya lagi, Fatini bawa Baiduri balik Malaysia sebab nak cari Anas di sana.”

            “Apa!”

            “Sebelum balik Malaysia, Fatini ada bagi no telefon dia kalau ada orang cari Baiduri.  Boss nak saya call Fatini ke?”

            “Ya. Call dia cepat.”

            “Kalau dia tanya pasal Anas, saya nak cakap apa, boss!”

            “Pasal Anas, biar aku cakap sendiri nanti. Lepas tu, aku nak kau dapatkan background info pasal Laila dan Fatini.”

            Farid angguk kepala .


Tuesday, October 8, 2019

Jujur Hatiku Hanya Untuk Mu Bab 10


Bab 10

            Langkah Fatini  terhenti. Dari jauh, dia sudah nampak ibunya yang sedang tunggu dia di Hipster Café. Keluhan dilepaskan. Dia sudah dapat agak tujuan sebenar ibunya nak jumpa dia. Pasti nak cakap pasal Alif. Asyik-asyik Alif. Dia sendiri buntu. Tak tahu bagaimana cara lagi nak buat supaya ibunya dan Alif faham.

            Walaupun berat, Fatini menyambung semula langkahnya. Dia dekati meja ibunya.

            “Assalammualaikum, mama!” ucap Fatini. Dihulurkan tangan untuk bersalam.

            “Waalaikumussalam…” jawab Puan Rokiah.

            Fatini terus duduk berhadapan dengan Puan Rokiah. “Mama sihat?”

            “Ooo…. Sekarang baru ingat nak tanya mama sihat ke tak? Ingatkan dah tak peduli langsung pasal mama.”

            “Mama….”

            “Sekarang ni mama nak tahu, Along dah jumpa bapak budak tu ke belum?” tanya Puan Rokiah.

            “Belum.” Jawab Fatini. Mujurlah dia tinggalkan Baiduri pada Fawz dan Fatihah di hotel.

            “Apa! Belum? Habis tu macam mana?” Suara Puan Rokiah terus tinggi. Dia tak mahu budak perempuan tu menjadi batu penghalang bagi hubungan Alif dan Fatini.

            “Along dah upah Private investigator siasat pasal ayah Baiduri.”

            “Kalau tak jumpa macam mana? Takkan la Along nak jaga budak tu? Mama tak setuju! Tak setuju.”

            “Mama! Apa salahnya kalau Along jaga Baiduri? Lagipun Baiduri sebatang kara, dia tak ada sesiapa pun selain Along. Besar pahalanya kalau tolong anak yatim piatu, Mama. Hakikatnya Along mampu jaga Baiduri.”

            Wajah Puan Rokiah mula merah menyala. “Along memang degil kan! Cakap mama langsung Along tak pernah dengar. Boleh tak kalau sekali, Along ikut cakap mama? Susah sangat ke? Budak tu tak ada pertalian darah langsung dengan kita. Budak tu bukan ahli keluarga kita! Kenapa Along nak susahkan diri jaga budak perempuan tu?”

            Sekali lagi, Fatini mengeluh. Dipandang wajah Puan Rokiah. “Tak semestinya kena ada pertalian darah dulu, baru boleh jadi keluarga, mama! Along sayangkan Baiduri. Along dah anggap Baiduri macam anak kandung Along sendiri. Walaupun bukan Along yang lahirkan Baiduri, Baiduri tetap anak Along.”

            “Along! Stop being selfish! Jangan asyik fikirkan pasal diri sendiri. Pasal kami langsung, Along tak pernah fikir kan! Sekarang ni, kawan-kawan mama dah mula cakap Along. Mereka cakap Along bawa balik anak luar nikah.  Malu mama, tahu tak? Mama tak tahu macam mana nak berdepan dengan kawan-kawan mama.” Cerita Puan Rokiah. Dia mula resah apabila khabar angin pasal Fatini dah sampai ke telinga kawan-kawannya. Dia malu sangat-sangat.  Sejak berita ini tersebar, sudah dua kali tak hadir meeting persatuaan.

            “Malu? Kenapa nak malu? Mama cerita jer perkara sebenar. Baiduri ada mak ayah kandung. Kalau tak percaya jugak, Mama tunjuk jer surat beranak Baiduri.”

            “Senangnya Along bercakap kan!”

            “Dah tu perkara sebenar!”

            “ Along masih fikir semua ni benda kecik kan! Alif macam mana? Kalau ibu bapa Alif tahu pasal hal ni, mesti mereka tak nak terima Along jadi menantu.”

            “Mama! Along tak ingin pun jadi menantu mereka. Berapa kali Along nak cakap yang Along tak sukakan Alif tu.” Air muka Fatini berubah. Dia tak suka dikaitkan dengan Alif. Dengar nama Alif pun, dah cukup menyampah.

            “Tak suka? Mama pelik dengan Along ni! Perempuan-perempuan kat luar sana  berebut-rebut nak jadikan Alif suami. Alif tu dah la handsome. Kerja pilot! Keluarga pulak dari keluarga kaya. Siapa tak nak jadi menantu Puan Sri Jelita!  Along patutnya bersyukur sebab Alif pilih Along nak jadikan isteri.”

            “Syukur? Along lagi bersyukur kalau Alif kahwin dengan orang lain. Mama! Duit! Harta! Semua tu tak penting bagi Along.”

            “Kalau tak ada semua tu, nak hidup macam mana? Terimalah Alif tu. Dah lama Alif tunggu Fatini. Kalau orang lain, dah lama cari lain.”

            “Along tak suruh dia tunggu pun! Please, mama! Jangan paksa Along terima Alif. Along tak suka kat Alif tu.” Suara Fatini separuh merayu.

            Puan Rokiah terus bangun dengan wajah bengang. “Suka atau tak? Along tetap kena kahwin dengan Alif . Keputusan mama muktamad.” Tegas Puan Rokiah.  Sikap degil Fatini hanya menyakitkan hatinya saja. Dia terus  melangkah laju tinggalkan anaknya.

            “Mama! Mama!” panggil Fatini. Dia cuba bangun kejar ibunya tapi tiba-tiba bajunya tersangkut di meja. Dengan cepat, Fatini tarik baju dan bergegas ingin mengejar ibunya semula. Fatini menoleh ke kiri dan kanan. Tiada lagi kelibat Puan Rokiah. Bibir digigit rapat. Dia cuba tahan diri dari menangis.

            Tiba-tiba terdengar bunyi dari arah belakang.

            Fatini menoleh. Dia lihat pelayan café sedang kutip pinggan yang pecah di lantai. Pandangan matanya bertemu dengan seorang lelaki yang turut sama memandang ke arahnya. Masa seolah terhenti beberapa saat. Dahi Fatini berkerut. Lelaki yang berjambang dan rambutnya yang panjang itu diikat menjadi style man bun.  Mungkin ke lelaki tu dah dengar semuanya . Maklumlah meja lelaki itu bersebelahan dengan mereka berdua.  Tak mustahil kalau dengar.  Argh…. lantaklah. Dengar ke tak? Dia tak kenal pun lelaki itu. Telinganya masih lagi terdengar arahan terakhir Puan Rokiah. Langkah diatur menuju ke hotel dengan wajah masam. Dikesat air mata yang mula mengalir di pipinya.

                                                            *****************

            Alif mula resah.  Digigit ibu jarinya. Puan Rokiah masih ada di dapur buatkan air untuknya. Lama betul dia menunggu di ruang tamu. Tujuan dia datang di sini semata-mata kerana ingin tahu perjumpaan Puan Rokiah dengan Fatini petang tadi. Berjaya ke Puan Rokiah pujuk Fatini?

            Puan Rokiah tersenyum dengan membawa dulang yang berisi air dan kuih untuk bakal menantu kesayangannya.

            “Auntie! Macam mana? Fatini setuju tak hantar budak tu balik Zurich?” tanya Alif. Dia sudah hilang sabar.

            “Jemputlah minum dulu, Alif.”

            “Auntie! Selagi Alif tak tahu, Alif tak boleh duduk. Ceritalah cepat, auntie.”

            Dulang diletak di meja. Puan Rokiah mengetap bibir. Dia duduk perlahan-lahan. Sukar untuk dia ceritakan hal sebenar pada Alif.

            “Alif tahu kan perangai Fatini! Kalau dia dah buat keputusan, jangan haraplah dia nak ubah. Cakap auntie ni, dia langsung tak nak dengar. Berbuih-buih mulut ni cakap tetapi Fatini berkeras nak jaga budak tu sampai dia jumpa bapa budak itu.”

            “Mana boleh macam tu, auntie! Alif tak nak bila kahwin nanti budak tu tinggal bersama.  Kenapa pulak  Alif nak susahkan diri jaga anak orang?  Baik jaga anak sendiri. Auntie, ibu Fatini! Apa-apa pun Auntie kena guna kuasa Auntie sebagai seorang ibu. Fatini kena tahu, syurga seorang anak di telapak kaki ibu. Apa-apa pun cara, auntie kena buat Fatini hantar budak tu ke rumah anak yatim sebelum khabar angin pasal anak luar nikah Fatini mula tersebar luas.” Hasut Alif. 

            Puan Rokiah terdiam. Dia masih fikirkan kata-kata Alif tadi.

            “ Kau tak payah nak ajar isteri uncle buat benda bukan-bukan, Alif!”

            Alif terkejut dan menoleh. Wajah berubah pucat lesi apabila mata mereka berdua bertemu. Alif menelan air liur. Rasa kelat. Wajah Dr. Abu Talib serius. Mesti Dr. Abu Talib dengar semuanya. Kenapa dia boleh tak sedar yang Dr. Abu Talib dah balik? Alif terus bangun. “Aaa…. Uncle! Uncle dah salah faham ni. Alif…..” Otak Alif ligat fikirkan alasannya.

            “Abang ni! Itulah dengar separuh saja. Lepas tu nak tuduh Alif yang bukan-bukan.” Puan Rokiah menyampuk dan cuba bela Alif.

            Pandangan Dr. Abu Talib beralih pada Puan Rokiah. Tak habis-habis nak sebelahkan Alif. Dia sendiri tak faham dengan perangai isterinya yang terlalu mengagung-agungkan Alif. Hakikatnya, Dr. Abu Talib dengar semuanya.

            Alif dapat rasakan ketegangan dalam rumah itu. Diseluk poket seluarnya, dikeluarkan telefon pintar. Alif berpura-pura ada panggilan untuknya. “ Hello! Ya! Ya! Saya gerak sekarang.” Alasan yang digunakan untuk loloskan diri. “Aaa… Uncle! Auntie! Alif kena pergi. Dapat call nak kena ganti kawan fly ke Beijing.” Beritahu Alif. Dia terus bersalam dengan Puan Rokiah dan Dr. Abu Talib sebelum keluar dari rumah itu. Langkah diatur laju menuju ke keretanya.

            “Ini semua salah abang! Tengok Alif tak sempat langsung nak jamah kuih Kiah buat.”  Marah Puan Rokiah. Dipandang wajah suaminya.

            “Budak macam tu …. Tak payah nak buat baik sangat.” Kata Dr. Abu Talib sebelum melangkah pergi.

            Puan Rokiah mengetap bibir seraya mencekak pinggang. “Anak beranak sama saja.” Anak mata masih perhatikan gerak-geri suaminya. Dia sendiri tak faham kenapa semua orang dalam rumah ini tak sukakan Alif.

                                    **********************************

            Alif melangkah laju seraya telefon pintar masih di telinganya. “Dia masih ada kat situ lagi. Bagus! Aku datang sekarang.” Talian dimatikan. Dipercepatkan langkahnya. Akhirnya hari ini dia dapat jumpa dengan Fatini. Menurut infomer dia, Fatini keluar dengan adik-adiknya selepas dua hari berkurung di hotel.  Inilah masanya dia bersemuka dengan Fatini. Dia takkan benarkan Fatini larikan diri lagi.

            Langkah terhenti. Matanya tepat pada Fatini yang sedang dukung budak perempuan. Anak matanya melirik ke kiri dan kanan. Hanya ada Fatini dan budak perempuan tu saja. Mungkin Fawz dan Fatihah masuk ke tandas. Ini peluang yang dia tunggu. Tanpa buang masa, Alif dekati Fatini.

            Fatini terkejut melihat Alif. Mata terbuka luas . Dipegang erat tubuh Baiduri. Kaki diundur beberapa tapak. Fatini mula resah. Macam mana Alif boleh tahu dia ada di sini? Takkanlah Alif upah orang ekori aku?  Kaki mula terasa lemah.

            “ Akhirnya you keluar jugak dari hotel tu.”

            “Kau nak apa, Alif?” tanya Fatini.

            “Nak apa? I nak you.” Jawab Alif tanpa berselindung.

            Air muka Fatini berubah. Setiap kali Alif cakap macam itu, dia mula rasa takut.  Setapak kaki undur ke belakang.

            “Budak ni!” Pandangan mata Alif tepat ke arah Baiduri. Dalam diam, dia cemburu sebenarnya. Sekelip mata saja, budak perempuan bertocang dua ini dapat perhatian dan kasih sayang Fatini. Walhal dirinya, bertahun-bertahun berusaha namun Fatini tetap dingin dengannya.

            “Sebab budak ni kan, you cuba lengahkan perkahwinan kita.”

            “Kahwin? Siapa cakap aku nak kahwin dengan kau, Alif? Susah sangat ke kau nak faham apa aku cakap ni? Aku takkan kahwin dengan kau, faham tak!” kata Fatini. Dia masih cuba kawal tone suaranya. Dia tak mahu terjerit –jerit di shopping mall ni.

            “Mama you dah janji dengan I, Fatini.  You tamat saja study PHD, you akan kahwin dengan I.”

            “Itu perjanjian kau dengan mama! Aku tak pernah setuju pun.”

            “You tak setuju sebab budak ni kan?” Air muka Alif berubah merah menahan marah apabila Fatini melawan cakapnya.

            “Baiduri tak ada kena mengena dalam hal ni.” Semakin erat Fatini pegang Baiduri. Dia mula takut kalau Alif apa-apakan Baiduri. Perangai Alif bukan boleh diduga.

            “Tapi sebab budak ni, you jadikan alasan tak nak kahwin dengan I kan.  Kalau you tak sampai hati nak hantar budak ni ke rumah anak yatim, biar I sendiri hantar budak ni.” Alif cuba rebut Baiduri dari pelukan Fatini.

            “Apa kau cuba buat ni, Alif? Lepaslah!” Fatini terkejut apabila Alif cuba rampas Baiduri darinya. Semakin erat pelukan Fatini pada Baiduri. Mustahil dia akan biarkan Alif ambil Baiduri. Langkah mayat dia dulu. “Lepaslah!” jerit Fatini sekuat hati. Dia sudah hilang sabar.

            Baiduri mula menangis dengan kuat apabila diperlakukan seperti itu. Dia memeluk kuat leher Fatini.

            “Kenapa degil sangat ni? Bagi budak tu kat I!” Alif naik angin apabila Fatini enggan lepaskan budak perempuan itu.

            “Abang Alif!” Fawz yang baru saja keluar dari tandas, terkejut melihat apa yang terjadi di depan matanya.

            Fatihah yang turut sama keluar dari tandas wanita, tergamam melihatnya. Fatihah terus hampiri kakaknya.

            Kerana terkejut dengan suara Fawz, Alif terus gelabah. Dilepaskan Baiduri dengan serta merta.

            Fatini menghela nafas lega dengan kemunculan Fatihah dan Fawz.  “Baiduri sayang …. Jangan menangis! Umi ada. Don’t cry, okey! Uncle Fawz ada.  Auntie Fatihah pun ada. Uncle jahat tu takkan berani ambil Baiduri dari Umi lagi.” Pujuk Fatini. Ditepuk lembut belakang Baiduri supaya Baiduri tak menangis lagi. Dia tahu pasti Baiduri takut dengan apa yang terjadi.

            “Apa Abang Alif cuba buat ni?” tanya Fawz. Dipandang wajah Alif dengan serius.  Dia berdiri di hadapan kakaknya kerana bimbang jika Alif bertindak kasar lagi.

            “Aaaaa……”

            “ Abang Alif! Last warning, kalau Abang Alif buat macam ni sekali lagi kat Along ….. Fatihah akan beritahu abah pasal hal ni.” Fatihah memberi amaran. Dia tahu Alif takut dengan Dr. Abu Talib.

            “Along! Jom balik!” ajak Fawz. Jelingan amaran diberikan.

            Alif menggenggam erat tangannya menahan geram. Pandangan matanya masih perhatikan kelibat tiga beradik yang memasuki elevator . “ Tak guna betul! Sikit saja lagi budak tu dalam genggaman aku.” Kedua-dua tangan digenggam erat.

Wednesday, September 18, 2019

Dia Helena Isabella (2019)



Dia Helena Isabella 




HELENA ISABELLA gadis kacukan Melayu Sepanyol yang membesar di luar negara. Selepas tamat pelajaran, Helena mengambil keputusan bekerja di Malaysia. Atas faktor kerja, Helena menyewa di rumah sewa Tok Wan Daud dan Mak Tok Aishah sehingga projek syarikatnya di utara semenanjung tamat. Mulanya Helena kekok tetapi Helena belajar sesuaikan diri dengan suasana kampung yang begitu asing baginya.

Kehadiran tetamu di rumah Tok Wan Daud dan Mak Tok Aishah tidak disenangi oleh Helena. Lebih-lebih lagi tetamu itu buatkan Helena mengimbau kembali peristiwa hitam 17 tahun yang lalu yang menimpa dirinya.

“You again! I remember you. Airport? KLIA Airport, remember?” – AHMAD FALIQ

“Salah orang kut.” – HELENA ISABELLA

Helena berpura-pura tak mengenali Faliq. Dalam diam, gelagat Faliq sepanjang tinggal di situ diperhatikan. Helena mula syak yang Faliq ada niat tak baik pada Tok Wan Daud dan Mak Tok Aishah malah Helena bimbang jika Tok Wan Daud dan Mak Tok Aishah menerima nasib yang sama seperti dirinya.

“Kau dengar sini baik-baik, aku akan sentiasa perhatikan kau.” – HELENA ISABELLA

“Kalau macam ni selalu, macam mana aku nak laksanakan plan aku?” – AHMAD FALIQ

Sikap dingin Helena terhadapnya menyebabkan Faliq sendiri tertanya-tanya. Hanya Helena seorang saja yang tidak mengalu-alukan kedatangannya. Di mata Helena, apa saja yang Faliq buat ada saja benda yang tak kena.

Apakah sebenarnya tujuan Faliq datang ke rumah Tok Wan Daud dan Mak Tok Aishah? 

Mampukah Helena bongkar rahsia Faliq?

Dan apa sebenarnya terjadi antara Faliq dan Helena tujuh belas tahun yang lalu?


Jeng! Jeng ! Jeng ! Novel ke- 7 saya bertajuk Dia Helena Isabella. Terbitan Karyaseni/Penulisan2U. Bertemakan kekeluargaan dan perpisahan. Kali ni novel santai. Hehehe...

Jom dapatkan segera novel terbaru saya di kedai buku berhampiran anda. Boleh juga beli melalui Penerbitan Karyaseni ataupun Makcikkaryaseni dengan harga Sem Malaysia RM24 Sabah/Sarawak RM 27. 

Terima kasih pada yang sudi dapatkan novel terbaru saya Dia Helena Isabella ini. Lots of love from me - AZIMAH LILY 

FOTO CINTA (2019)


FOTO CINTA


“Budak sial ni bukan cucu aku. Dia tak ada apa-apa hubungan dengan keluarga kita. Aku tak nak tengok muka dia.” - Tan Sri Isa

Jasmin terkejut apabila Tan Sri Isa mahu dia pulang ke Malaysia selepas hampir 20 tahun. Dia selesa dan gembira dengan kehidupannya di Auckland. Kewujudan Tan Sri Isa telah lama padam dalam memorinya.

“Maybe datuk kau nak baik semula dengan kau”- Nana

“Tak ada maknanya, Nana! Aku kenal dia. Sekali dah benci, sampai mati dia benci.” -Jasmin
Kerana satu insiden, Jasmin pulang ke Malaysia. Bermula dari saat itu, Jasmin tidak dapat lari dari datuknya lagi. Setuju atau tak, Jasmin akan ambil alih tempat Tan Sri Isa di DB Group.

“I makin suka kat you. Tak payah date la, kita kahwin terus. Setuju tak?” – Ikwan

Sepanjang Jasmin tinggal di situ, dia rimas dengan perangai cucu angkat Tan Sri Isa, Ikwan. Dari hari pertama, Ikwan tak henti-henti ajak Jasmin berkahwin walhal mereka berdua baru saja bertemu. Hakikatnya, Jasmin cemburu dengan kasih sayang yang Ikwan dapat dari Tan Sri Isa.

“Sebenarnya… aku dah kenal Jasmin sebelum ini , melalui gambar ni.” – Ikwan.

Berbeza pula dengan Ikwan, Jasmin adalah wanita yang dikejarnya selama ini. Walaupun Jasmin dingin padanya, Ikwan tetap teruja untuk mengenali Jasmin.

Berita kehilangan Tan Sri Isa mengubah hidup Jasmin. Dia mula salahkan dirinya. Mungkinkah memang benar dirinya bawa sial dalam keluarganya? Namun Jasmin tak berputus asa mencari datuknya.

Demi tanggungjawab yang diamanahkan, Jasmin menerajui DB Group. Bermulalah perkara pelik yang terjadi pada Jasmin. Dia mula syak sesuatu dengan kemalangan yang menimpa semua ahli keluarganya selepas misteri kehilangan Tan Sri Isa. Manakala Ikwan pula tak putus asa pujuk Jasmin kahwin dengannya. Jasmin dapat rasakan ada sesuatu Ikwan sembunyikan darinya.

Apakah rahsia yang disembunyikan oleh Ikwan? Perlukah dia mengahwini Ikwan untuk mengetahui rahsia itu?


Novel ke-6 saya bertajuk Foto Cinta terbitan Penerbitan Anaasa. Masih bertemakan kekeluargaan dan terselit misteri sedikit. Tak la tebal sangat. Sehari pun boleh habis baca. Hehehe.... 

Terima kasih pada Penerbitan Anaasa dan team Penerbitan Anaasa. Tak lupa juga, terima kasih tak terhingga pada semua yang sudi dapatkan novel terbaru saya Foto Cinta. Harap anda suka dan terhibur. 

Jom dapatkan segera di kedai buku berhampiran. Boleh juga beli dari Penerbitan Anaasa. Harganya Sem Malaysia RM 25  Sabah/Sarawak RM 28. Kalau nak beli dari saya pun boleh, boleh dapat TT sekali. Hubungi saya di FB dan IG saya. 

Salam Sayang, 

AZIMAH LILY

Sunday, September 8, 2019

Dia Ketuk Pintu Hatiku (2018)


Dia Ketuk Pintu Hatiku (2018)



Nur Hasliya meneruskan hidup dalam trauma yang dihadapinya setelah terselamat daripada kemalangan ngeri. Pintu hatinya untuk lelaki tertutup setelah kejadian ngeri tersebut. Namun, kehadiran Adli, merangkap sahabat abang kembarnya mengetuk hatinya untuk jatuh cinta lagi.

Shahrul Adli melarikan diri ke Perlis setelah cintanya dikhianati kekasih hati, Rita dan abangnya sendiri. Namun, ketika hatinya kian terubat, Rita hadir menagih kembali cintanya. Adli buntu. Tiada siapa yang boleh membantunya melarikan diri daripada pujuk rayu Rita melainkan Liya.

“Ini Liya. Bakal isteri aku. Kami akan bertunang dan berkahwin tak lama lagi. I dah move on. So kita masing-masing ikut haluan sendiri. So, jangan buat kecoh di sini.” – SHAHRUL ADLI

“So nak buat macam mana sekarang ni?” – NUR HASLIYA

“Kita kahwin!” – SHAHRUL ADLI

Kerana budi, Liya sanggup menerima cadangan Adli untuk mengahwininya walaupun dia tahu hati Adli hanya untuk Rita. Sehinggalah pada hari janji terpateri, Adli melarikan diri bersama Rita. Liya kelu seribu bahasa. Bagaimana mampu dia mengharungi hidup dengan tohmahan orang kampung sekali lagi? Setelah mengetahui cerita sebenar, Adli menjejaki Liya sehingga ke rantau orang.

“Hati manusia ni kompleks. Sekarang dia cakap cinta. Esok lusa cakap simpati pula. Cukuplah sekali hati aku disakiti dan dikhianati. Kepercayaan aku kat dia dah hilang. Dia cakap apa-apa pun aku dah tak percaya. Sekarang ni, aku nak fokus kat diri aku sendiri. Aku tak nak fikir pasal orang lain. Aku harap sangat hangpa semua faham.” – NUR HASLIYA

Dapatkah Liya terima Adli semula? Adakah cinta atau simpati yang dirasai oleh Adli selepas mengetahui cerita sebenar? Berjayakah Adli mengetuk pintu hati Liya buat kali kedua?
Kerana budi, aku jatuh hati...


Novel Ke-5 saya yang bertajuk Dia Ketuk Pintu Hatiku terbitan Penerbitan Karyaseni. Dapat idea ni masa pergi Perlis. Maklumlah masa tu adik study kat sana. Asyik ulang-alik tengok adik di sana. Sawah padi terbentang luas. Sejuk mata ni bila tengok sawah menghijau depan mata. So dapatlah idea nak buat novel Dia Ketuk Pintu Hatiku....

Terima kasih pada Penerbitan Karyaseni kerana beri peluang terbitkan novel Dia Ketuk Pintu Hatiku.
Bagi sesiapa yang masih belum miliki novel Dia Ketuk Pintu Hatiku, jom dapatkan segera di kedai buku berhampiran. Dengan harga RM 23 utk Sem Malaysia manakala Sabah/Sarawak RM 26. Boleh juga terus beli melalui Penerbitan Karyaseni dan MakcikKaryaseni. Dapat diskaun RM 3 dan free postage. Dapatkan dengan segera. ....

Yang dah miliki novel ini, saya ucapkan terima kasih banyak-banyak. Kalau ada salah silap tu, minta maaf naaaa..... Lots of love from me - AZIMAH LILY...



CERPEN : CINTA SEHALA (KARYASENI)

  𝐊𝐎𝐌𝐏𝐈𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍 - 𝐍𝐎𝐒𝐓𝐀𝐋𝐆𝐈𝐀 - 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐡𝐞𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 . Kami kumpulkan kary...