Monday, November 13, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 4



Bab 4

            TIBANYA di shopping mall, tempat wajib singgah sudah tentunya kedai mainan. Bukan main seronoknya Eiyad. Mata Eiyad bersinar-sinar melihat mainan yang ada di situ. Dina dan Darina mengekori Eiyad dari belakang.

            “Pantang nampak mainan!” Dina bersuara.

            “ Biasa la budak-budak.” Darina tersenyum.

            “Kita saja tempat dia menumpang kasih pun, nak harapkan ibu kandung sendiri. Spesis ibu tak guna.” Nada suara Dina perlahan agar tak didengari oleh Eiyad. Masa umur Eiyad 6 bulan, bekas isteri abangnya itu minta diceraikan.

            “Shiss…. Jangan cakap kuat-kuat sangat.” Tegur Darina. Bimbang jika Eiyad terdengar. Lagipun kebelakangan ini Eiyad asyik bertanya mana ibunya. Terpaksa la tipu cakap yang ibu Eiyad sambung belajar kat luar negara.  Maklum la sudah pergi tadika, semestinya Eiyad nampak kawan-kawan Eiyad ada ibu.

            Eiyad berlari ke arah mereka berdua membawa dua barang mainan.

            “Eiyad nak dua boleh?” tanya Eiyad. Tersenyum manja agar kedua-dua ibu saudaranya setuju.

            “No! Dah janji kan, beli satu saja. Pilih yang mana Eiyad paling suka.” Darina bersuara lembut.

            “ Tapi Eiyad suka dua-dua.” Jawab Eiyad. Bibir terus muncung. Dia memeluk erat dua barang mainan itu.

            “Tak boleh, papa Eiyad dah pesan kat kami. Kalau pergi kedai mainan, boleh beli satu saja.” Dina bersuara. Teringat pesanan abangnya supaya jangan manjakan Eiyad sangat. Bilik Eiyad sudah penuh dengan mainan.

            “Mak Ngah! Mak Lang! Jangan la beritahu papa.” Jawab Eiyad lagi.

            “Amboi dia mengajar kita pulak.” Dina menggelengkan kepala. Kecik-kecik dah pandai ajak bersubahat.

            “Mak Ngah nak Eiyad pilih satu saja. Bulan depan kita datang lagi yer, Mak Ngah belikan satu lagi. Boleh kan?” Pujuk Darina. Dia tersenyum.

            “Mak Ngah janji kan?” kata Eiyad lagi.

            “Janji!” jawab Darina.

            Wajah Eiyad yang masa tadi kembali ceria. Dia berlari semula meletakkan barang mainan yang satu lagi.

            “Seronok la tu!” Dina menggelengkan kepala dengan gelagat Eiyad.

 

                                                            *****************

            DARINA keluar dari tandas. Sambil berjalan dia membelek bag tangannya yang terkena air di singki. Dilap dengan tisu beberapa kali.

            Tiba-tiba Darina terlanggar seseorang.

            “Maaf! Saya betul-betul maaf. Salah saya!” kata Darina pada lelaki yang dia baru saja terlanggar tadi. Dia segera mengambil spek mata hitam lelaki itu yang terpelanting ke lantai. Resah jika spek itu rosak. Dia membelek spek mata hitam itu, nasib baik la elok lagi.

            Darina hampiri lelaki itu dengan rasa bersalah. Ini berpunca dari kecuaian diri sendiri. Berjalan tak tengok depan.

            “Encik ini spek encik! Saya minta maaf banyak-banyak.” Ucap Darina lagi Dia menghulurkan spek itu pada pemilik spek itu semula.

            Lelaki yang berkemeja putih dan seluar jeans itu masih berdiri memandang Darina.

            Dahi Darina berkerut melihat reaksi lelaki itu.

            “Encik! Encik! Encik!” Suara Darina terus tinggi.

            Lelaki itu terkejut dan mengambil spek mata hitam itu dari tangan Darina.

            “It’s okey! It’s okey!” Akhirnya lelaki itu bersuara.

            “Saya minta maaf sebab terlanggar encik tadi. Saya gerak dulu.” Darina terus beredar dari situ tanpa mempedulikan pandangan lelaki itu.

            Darina berjalan laju. Teringatkan Dina dan Eiyad yang tengah tunggu dia di kedai makan. Langkah Darina terhenti setelah bertembung dengan wanita yang sangat dikenali.

            Wanita bersama budak perempuan berusia dua tahun itu turut sama terkejut melihat Darina.

            Wajah Darina serius dan hampiri wanita itu.

            “ Darina! Long time no see! You apa khabar?” Wanita itu bersuara. Dia cuba hilang rasa kekok antara mereka berdua.

            “Baik! Bila you balik Malaysia?” tanya Darina.

            “Minggu lepas.” Jawab wanita itu. Dia cuba tersenyum.

            “Bila nak balik London?” tanya Darina lagi.

            “I dah habis study. So I balik Malaysia terus. Aaa….. Eiyad dan Erjaz sihat?”

            “ Sihat alhamdulillah. Berdua saja, mana husband you?”

            “Kami dah bercerai 6 bulan lepas.” Senyuman wanita itu berubah menjadi kelat.

            “Ooo… Ya ke! Okey la, I gerak dulu.” Balas Darina. Muka macam tiada perasaan.

            “ Darina, you datang dengan Eiyad ke?” tanya wanita itu lagi.

            “Ya.” Jawab Darina.

            “Boleh I jumpa Eiyad? Dah lama I tak jumpa Eiyad!”

            “Nak jumpa Eiyad? You nak jumpa Eiyad sebagai siapa, Rozie? Ibu? Rasanya you dah hilang hak itu selepas you gunakan Eiyad masa minta cerai dengan Abang Erjaz kan? You dah lupa ke?” jawab Darina. Pandangan tepat ke arah bekas kakak iparnya.

            Rozie terdiam.

            “ Eiyad bukan anak you lagi.” Tambah Darina lagi.

            “Tapi I yang mengandung dan lahirkan dia. Walau apa yang terjadi hakikatnya I ibu dia, Darina!” balas Rozie.

            “ Ibu? Ibu jenis apa yang tinggalkan anak kandung sendiri yang baru berusia 6 bulan, hah? Jangan lupa you dah sign perjanjian. Perjanjian yang you sendiri cadangkan. Don’t forget about that. Jaga la anak you yang ni baik-baik. Jangan you buat benda yang sama kat anak you ni! Jadi seorang ibu yang baik.” Pesan Darina lagi. Baru setapak melangkah, Darina berhenti dan berpaling.

            “Kalau you berani nak jumpa Eiyad, silakan. Orang pertama yang you akan berhadapan ialah Dina. You sendiri tahu kan perangai Dina macam mana? I takkan bertanggungjawab jika sesuatu terjadi kat you. FYI, Dina ada dengan Eiyad sekarang ni. Harap-harap you tak terserempak dengan Dina kat shopping mall ni.” Darina terus berlalu pergi. Dia mengetap bibir. Langkah dipercepatkan untuk mencari Dina dan Eiyad. Seboleh-bolehnya dia mahu keluar dari shopping mall ini.

 

                                                            ********************

            SAMBIL memegang tangan Eiyad, Dina mengekori kakaknya. Dia baru saja nak order makanan tadi, tiba-tiba saja Darina yang baru balik dari tandas ajak lunch kat tempat lain. Bila ditanya, kata kakaknya ada tempat makan baru buka berdekatan rumah.

            Mereka bertiga berjalan ke tempat letak kereta.

            Langkah Dina terhenti apabila terdengar pertengkaran. Dia melihat ada pasangan sedang bergaduh. Diamati dengan dahi berkerut. Macam pernah jumpa saja? Aaaa….. Dia orang la yang bergaduh depan kedai hari itu.

            “Mak Lang!” panggil Eiyad. Hairan melihat Dina yang berhenti.

            Darina berkerut dahi. Dia turut sama melihat pertengkaran yang berlaku tak jauh dari mereka bertiga. Mula susah hati jika Dina masuk campur.

            Lelaki itu menolak perempuan itu sehingga terjatuh. Manakala lelaki itu terus memasuki kereta dan bergerak meninggalkan wanita itu.

            Dina mengetap bibir. Memang pantang tok nenek dia kalau ada lelaki bertindak kasar terhadap wanita.

            “Kak Darina pegang tangan Eiyad sekejap.” Dina memberi tangan Eiyad pada kakaknya. Dia melangkah mendekati wanita yang masih terduduk di tempat letak kereta seraya menangis.

            Baru saja Darina ingin menegah, tangan Darina ditarik oleh Eiyad. Darina melihat Eiyad.

            “Mak Lang nak gaduh lagi ke?” tanya Eiyad.

            “Tak la. Mana ada gaduh. Mak Lang pergi tolong.” Jawab Darina dengan senyuman. Cuba dikawal rasa terkejut dengan pertanyaan Eiyad. Tengok budak kecil pun tahu Dina kaki gaduh. Pandangan Darina beralih semula pada Dina yang membantu wanita itu.

            “Cik! Cik okey ke?” tanya Dina sebaik sahaja hampiri wanita yang masih duduk menangis.

            “Aaa…. Okey!” jawab wanita. Dia bangun dengan dibantu oleh Dina.

            “Terima kasih!” ucap wanita itu dan terus berlalu pergi seraya mengesat air mata.

            Dina kembali semula hampiri Darina dan Eiyad.

            “Hari itu Dina nampak dia orang bergaduh kat depan kedai. Hari ini bergaduh kat sini. Tak guna punya lelaki, boleh berkasar macam tu dengan perempuan memang lelaki dayus.” Cerita Dina.

            “Biarlah! Itu masalah dia orang. Pokok pangkalnya mesti ada cerita di sebalik apa yang berlaku. Dah, jom pergi makan!” ajak Darina. Dalam masa yang sama, dia mahu mereka bertiga bergerak keluar dari sini kerana bimbang Dina akan terserempak dengan Rozie.

           

           

 


 

Sunday, November 12, 2023

PANAHAN MATAMU - BAB 3



Bab 3

            HARI Sabtu begini, Dina meluangkan masa bermain dengan anak saudara dia Eiyad yang berusia lima tahun. Dia menendang bola ke arah Eiyad.

            Eiyad cuba menendang semula tapi terlepas.

            Dina ketawa dengan gelagat Eiyad. Jika dia ada masa terluang, dia habiskan masa berasa Eiyad. Maklum la abang dia busy. Bukan mudah nak bahagikan masa jadi ayah dan doktor ni! Selalunya dia, Eiman dan ibu yang bergilir-gilir jaga Eiyad.

            “Sepak lagi! Okey! Okey! Goal!” kata Dina dan terus melompat selepas Eiyad berjaya masukkan gol.

            Eiyad berlari ke arah Dina dan memeluk kaki Dina.

            “ Amboi, seronok main dengan Mak Lang ke?” Darina keluar dan melihat Dina dan Eiyad sedang bermain di halaman rumah. Dia cuti hari ini.

            “Seronok!” jawab Eiyad dan kemudian berlari hampiri Darina.

            Darina mengangkat Eiyad dan terus dukung.

            “ Eiyad nak ikut Mak Ngah pergi shopping tak?” tanya Darina.

            “Nak! Nak! Eiyad …. Eiyad nak beli mainan.” Jawab Eiyad. Dia tersengih.

            “ Hari tu Mak Lang dah belikan kereta bomba, ni nak beli apa lagi?” Mulut Dina terus senget.

            “Eiyad nak aeroplane pulak. Eiyad nak jadi pilot.” Tambah Eiyad lagi.

            “Sekejap nak jadi polis, sekejap nak jadi bomba, sekarang ni nak jadi pilot pulak. Pendirian tak pernah tetap.” Balas Dina.

            Muncung terus mulut Eiyad.

            “Kamu ni Dina, dengan budak-budak pun nak berkira! Biarlah! Eiyad nak apa saja, Mak Ngah sanggup belikan. Anak saudara Mak Ngah kan comel!”

            “Jangan manja lebih-lebih sangat, nanti jadi auntie boy!” kata Dina. Sepatutnya jadi mama boy tapi bertukar jadi auntie boy.

            Darina ketawa. Hakikatnya Dina yang suka manjakan Eiyad.

            “Jom la ikut kami sekali, klinik Dina tutup kan hari ini?” Darina bersuara.

            “Boleh jugak! Dah lama tak keluar shopping dengan Kak Darina.” Dina tersenyum.

            “Aaaa…. Kat sini kamu rupanya, Darina!” Puan Dariah muncul.

            “Ada apa ibu?” tanya Darina.

            “Hari ini teman ibu pergi majlis kahwin kawan ibu.” Suara Puan Dariah seperti memberi arahan.

            “Bukan ke ibu pergi dengan ayah?” Dina mencelah. Setahu dia itu plan ibunya.

            “Tak boleh ke ibu ajak kakak kamu teman ibu!” kata Puan Dariah. Sempat lagi menjeling.

            Dina mengecilkan anak matanya. Something wrong! Macam ada udang di sebalik batu saja.

            “ Darina dah janji nak keluar dengan Eiyad. Kami nak pergi shopping.” Jawab Darina.

            “Lain kali pun boleh pergi. Teman ibu sekejap saja.” Pujuk Puan Dariah.

            Darina serba salah jadinya. Dia melihat Eiyad. Dia sudah pun janji.

            “ Eiyad nak pergi shopping dengan Mak Ngah kan?” Dina bertanya pada Eiyad.

            “Mak Ngah janji nak beli aeroplane! Eiyad nak Aeroplane.” Eiyad bersuara. Dia terus memeluk leher Darina dan enggan lepaskan.

            “ Tengok Eiyad nak pergi dengan Kak Darina. Dah lama Eiyad tak keluar dengan Kak Darina. Biar Dina saja yang teman ibu. Boleh kan?” Dina tersenyum. Cuba memancing reaksi dari ibunya. Dia dah tahu pasti ibunya takkan bawa dia.

            Puan Dariah terus mendengus kuat dan berlalu pergi dengan wajah masam.

            “Mesti ada sebab kenapa ibu beriya-iya sangat nak Kak Darina temankan! Mesti plan nak kenalkan Kak Darina dengan anak kawan ibu lagi. Macam la Dina tak tahu.” Dina mengetap bibir. Ibunya sikit pun tak pernah insaf selepas apa yang terjadi kat Kak Darina dua tahun lepas.

            “Dah! Dah! Biarlah! Jangan nak cari gaduh dengan ibu pulak. Pergi bersiap cepat.” Tegas Darina. Dia memegang bahu adiknya supaya bertenang. Dalam masa yang sama dia bersyukur sebab ada Dina yang sentiasa menyebelahi dia. Kalau dia, dia sendiri tak tahu bagaimana nak menolak ajakkan ibunya.

            “ Kak Darina ni baik sangat.” Balas Dina. Sebab itu ibunya berani buat apa saja kat kakaknya.

                                                            ******************

            DINA mempercepatkan langkahnya ke dapur. Macam mana dia terlupa bekas minuman Eiyad? Mujur la tak gerak lagi. Darina dan Eiyad sudah pun ada di dalam kereta. Langkah Dina terhenti sebaik saja menjejakkan kaki di dapur. Dia melihat ibunya sedang bercakap dengan seseorang tanpa menyedari kehadiran dia.

            Puan Dariah menoleh selepas mematikan talian. Dia terkejut dengan kehadiran Dina. Wajah jelas gelisah.

            “ Ibu tetap jugak tak berubah. Selepas apa yang jadi dua tahun lepas, ibu tetap jugak tak serik- serik. Ibu dah lupa ke apa lelaki pilihan ibu yang kononnya baik tu dah buat kat Kak Darina? Sebab lelaki pilihan ibu tu, kita satu family tanggung malu. Hari akad nikah lelaki itu tinggalkan Kak Darina semata-mata nak kejar bekas girlfriend nak berhijarah ke Paris. Kak Darina sedih sangat-sangat masa tu. Menangis tak henti-henti bila dapat tahu apa yang berlaku. Tak cukup lagi ke ibu buat hidup Kak Darina merana? Sekarang ni ibu nak kenal Kak Darina dengan siapa pulak? Lelaki mana yang ibu yakin sangat yang takkan ulang perkara yang sama kat Kak Darina? Siapa lelaki tu?” marah Dina. Hilang terus sabarnya.

            “Mikail tu lain dari Joe. Ibu dah jumpa. Ibu dah siasat. Family dia datang dari keluarga yang baik-baik. Dia ada buka klinik sendiri kat Melaka. Orangnya baik, peramah, sopan santun dan penyayang. Ibu yakin Mikail itu akan jadi suami dan bapa yang baik. Percayalah. Dina boleh tolong ibu kan?” terang Puan Dariah. Tiba-tiba dia dapat idea untuk pujuk Darina melalui Dina.

            Dina mendengus kuat. Doktor lagi, tak habis-habis nak menantu semuanya doktor. Anak-anak dah jadi doktor pun tak cukup lagi ke? Kenapa obsess sangat dengan doktor ni? Nak dia tolong? Silap orang la.

            “Tolong? Dina nak tolong? Tolong musnahkan masa depan kakak sendiri!” sindir Dina.

            “Kalau tak nak tolong, tak payah tolong. Sikit-sikit nak persoalkan niat ibu cari jodoh kat anak sendiri. Semua yang ibu buat demi kebaikan anak-anak ibu. kamu semua saja tak tahu nak hargai.” Puan Dariah pula yang hilang sabar. Bercakap dengan Dina sering kali menaikkan darahnya.

            “ Yalah tu!” Dina sikit pun tak percaya. Macam dia tak tahu sikap ibunya yang suka menunjuk-nunjuk kat kawan. Bangga bercerita yang anak-anak semuanya doktor. Kalau dapat menantu doktor, semakin kembang hidung ibunya nak menjaja cerita.

            “ Kamu apa tahu, tahu nak tentang ibu saja! Semua lelaki ibu kenalkan untuk kamu, kamu takutkan mereka. Kalau begini la sampai ke tua la kamu tak kahwin.” Puan Dariah terus melangkah keluar. Dia malas nak bergaduh dengan Dina.

            “ Tak habis-habis nak jodohkan orang.” Jawab Dina. Dia mengambil bekas minuman Eiyad.

 


 

Saturday, November 11, 2023

PANAHAN MATAMU - Bab 2



Bab 2

            SEAWAL lima pagi Eiman bangun dan menyiapkan sarapan untuk keluarga dia sebelum pergi ke kedainya. Semuanya sudah siap hanya tinggal ikan bilis. Tengah menggoreng, dia terkejut apabila bahunya disentuh dari belakang.

            “Kak Dina!” Eiman bersuara. Dia mengurut dada beberapa kali. Ingatkan sapa tadi? Masa begini, penghuni dalam rumah ini tengah tidur lagi. Dia melihat rambut Dina yang pandek itu berserabut.

            “Sejak malam tadi, Kak Dina tak boleh tidur la.” Beritahu Dina. Fikiran serabut memikirkan kebarangkalian ibunya membuka farmasi di situ. Dia terus menarik kerusi dan duduk.

            “ Kalau ibu nak buka farmasi kat situ, biar la. Lagipun bagus jugak ibu buka kat situ, tak dapat la Kak Dina buat kerja gila-gila lagi.” Kata Eiman seraya mengangkat ikan bilis yang sudah masak ke atas pinggan. Api dapur ditutup.

            “ Amboi! Amboi! Cakap ikut sedap mulut. Ingat sikit, ibu memang tak suka Eiman buka kedai makan kan! Lagipun ibu nak sangat Eiman sambung study medic kan! Dibuatnya ibu sabotaj business Eiman, macam mana?” balas Dina. Ibunya memang menentang habis-habisan Eiman tangguh belajar dan membuka kedai makan.

            Eiman terdiam. Air muka berubah. Sememangnya dia tak berminat dalam bidang perubatan, ibunya memaksa dia supaya ikut jejak abang dan kakaknya. Disebabkan stress, Eiman buat keputusan untuk menangguhkan pelajaran dan memberi tumpuan pada bidang yang dia minat. Sejak kecil lagi dia memang suka memasak. Kos modal untuk buka kedai makan pun dari ayah, abang dan kakak-kakaknya. Masa itu ibunya memang marah sangat.

            “Kedai makan Eiman baru setahun buka, sepanjang setahun ibu tak pernah datang kan! Nampak sangat ibu marah lagi. Jangan nak syok sangat. Yang buat Kak Dina susah hati, lot kedai kat sebelah kedai makan Eiman kan dah kosong 2 bulan. Dibuatnya ibu buka farmasi kat situ, masak kita!” kata Dina. Kaki kanan mula bergerak tak henti-henti seraya berfikir.

            “Habis tu kita nak buat macam mana?” tanya Eiman. Dia yang mulanya tak nak ambil tahu mula resah.

            “ Apa-apa pun kita mesti cari jalan supaya ibu tak buka farmasi kat situ! Pagi ini Kak Dina akan call owner kedai tu.” Kata Dina. Demi ketenangan hidup dia, dia kena berusaha keras.

                                                            *******************

            SELEPAS menghantar Darina pergi kerja, Dina singgah di kedai makan Eiman. Dia melihat Eiman Kopitiam penuh dengan orang ramai. Rezeki Eiman memang melimpah ruah. Tengok, meja kosong pun tak ada. Patutnya ibu dia datang tengok sendiri betapa majunya kedai makan Eiman ni. Asyik dok kondem anak sendiri, patutnya bagi la sokongan. Siap kata kedai makan Eiman takkan bertahan lama. Macam nak snap gambar bagi kat ibu! Biar ibu buka mata tu sikit! Asyik nak semua anak jadi doktor saja! Klise!

            “ Pssst… Psst, busy ke?” tanya Dina sebaik saja hampiri adiknya.

            “ Bagi lima minit, tengah siapkan last order!” kata Eiman yang sedang masukkan kuah kari dalam mangkuk mee.

            “Okey! Kak Dina tunggu kat belakang.” Dina keluar melalui pintu belakang. Dia membetulkan tudung bawal yang dipakainya selepas ditiup angin.

            Selepas lima minit menunggu, Eiman muncul.

            “So macam mana? Dah call?” tanya Eiman.

            “Dah! Mr Lim cakap dia dah ada penyewa tapi bukan ibu!” beritahu Dina kemudian terus bersorak gembira. Memang seronok sangat-sangat. Macam nak melompat sampai bulan! Nampaknya plan ibu takkan menjadi.

            “Betul ke?” Eiman tersenyum lebar. Dia bersyukur sangat-sangat. Bukannya apa, dia suka juga kalau ibunya buka farmasi kat sini tapi kalau ibunya ada agenda lain, susah hati dibuatnya. Sudah setahun kedai makan ini dibuka malah pekerja dia juga ramai.

            “Mr Lim cakap, klinik gigi akan buka sebelah kedai makan Eiman nanti! So ini bermakna, kita bebas dari cengkaman ibu. Yes! Yes!” Dina tersenyum sampai ke telinga.

 

                                                ***********************

            DINA melambai tangan pada dua orang pekerja dia juga. Tepat pukul 6.30 petang, klinik ini ditutup. Hari ini ramai betul orang bawa kucing dan anjing datang sini. Mujurlah dia ada seorang lagi doktor vet.

            “ Dina, kau tak balik lagi ke?” tanya Noor. Dia melihat Dina sedang mop lantai.

            “ Sekejap lagi aku balik.” Jawab Dina. Noor merupakan kawan dia semasa study kat UPM.

            “Jangan lewat sangat. Dah nak malam ni, bahaya seorang diri kat sini.” Noor mengingatkan Dina.

            “Pasal aku jangan risau, kalau ada orang berniat jahat kat aku, itu namanya salah pilih orang. Aku patah-patahkan kaki tangan dia orang nanti.” Jawab Dina seraya menggunakan kayu mop yang ada ditangan dan menunjukkan cara bagaimana dia nak patahkan sesuatu. Maklum la dia ada black belt taekwondo.

            “Kau ni tetap tak ubah perangai, asyik nak belasah orang saja. Esok aku datang lambat, pengasuh anak aku ada hal.” Beritahu Dr Noor.

            “Okey! Bye!” jawab Dina. Dia menyambung semula kerjanya selepas kawannya keluar.

            Selesai kerjanya, dia terus menutup lampu dan kipas. Dia mencapai bag galas dia dan terus mengunci pintu dan menutup klinik itu.

            Langkah terhenti apabila terdengar suara orang bergaduh. Dia melihat ada lelaki dan perempuan bertikam lidah di hadapan kedai yang akan bakal menjadi klinik gigi itu. Semakin rancak pergaduhan mereka berdua.

            “Ignore, Dina! Ignore! Kau nak cari masalah ke? Ibu dah warning kan. Baik aku balik cepat-cepat.” Dina mempercepatkan langkahnya. Sebelum masuk ke dalam kereta, dia sempat menoleh lagi. Dia nampak lelaki itu menepis tangan wanita itu. Memang pantang kalau tengok lelaki berkasar dengan wanita. Tiba-tiba muncul wajah ibunya, Dina terus masuk ke dalam kereta. Enjin kereta terus dihidupkan. Sebolehnya dia tak mahu ambil tahu. 


 

Cintamu Ku Buru - Kini sudah berada di pasaran

 



    Syukur alhamdulillah, Cintamu Ku Buru diterbitkan oleh M Idea Publication. Kini sudah ada di pasaran. Boleh hubungi kami di facebook. Terima kasih diucapkan kepada semua yang sudah pun membeli novel ini. Harap terhibur membaca kisah Umie dan Emiir.


Spoiler : Akan ada sambungan untuk kisah Tengku Rubina. Stay tune .....



    


Panahan Matamu - Bab 1

 

Bab 1

            PAGI INI, Dina keluar dari biliknya tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Dilihat ke kiri dan kanan dulu sebelum melangkah. Tak ubah macam pencuri saja. Dipercepatkan langkahnya ke tangga rumah banglo dua tingkat itu.

            Melalui pagar tangga, Dina melihat ke bawah. Suasana sunyi sepi. Agaknya semua orang sudah pergi kerja terutama sekali ibunya. Dengan laju, dia menuruni satu persatu anak tangga. Senyuman terpamer di wajahnya.

            Matanya tepat ke arah pintu rumah. Nampaknya line clear hari ini.

            Wait a minute!” Bergema satu rumah dengan suara Puan Dariah. Sambil mencekak pinggang, renungan mata tepat ke arah anak ketiganya, Dina.

            Badan Dina terus mengeras. Senyuman tadi beransur hilang. Air mukanya berubah serta-merta. Alamaknya, ingatkan ibunya sudah keluar ke farmasi. Ternyata kira-kiraan dia salah. Terpaksa la dia menghadap bebelan ibunya.

            Dengan perlahan-lahan Dina memusing badan dan berhadapan dengan Puan Dariah.

            “Ibu tak pergi farmasi lagi ke? Rasanya macam ibu dah lewat ni!” Dina bersuara.

            “Ibu pergi lewat sebab kamu. Apa nak jadi dengan kamu ni, Dina! Tak habis-habis cari pasal dengan orang sana-sini. Bergaduh dengan orang tu, bergaduh dengan orang ni. Apa masalah kamu ini? Minggu ni saja, dah dua kali kamu bergaduh dengan orang. Kamu ni dah tak ada kerja lain ke, hah? Malu ibu, tahu tak? Sebut saja Farah Dina, satu taman perumahan ini kenal.” Puan Dariah mula membebel. Sikap Dina memang menguji kesabaran. Antara keempat-empat orang anaknya, Dina seorang yang selalu memberi masalah.

            “Ibu, Dina tak gaduh pun dengan orang. Dina tegur saja. Dah nampak orang buat salah, takkan tak tegur kot.” Dina menjawab.

            “ Bila ibu cakap, asyik nak menjawab saja. Petang kelmarin, kamu bergaduh dengan sapa pulak? Puan Hajar beritahu ibu malam tadi.” Puan Dariah menggelengkan kepala dengan telatah anak perempuannya itu.

            “Dina tegur saja, tak gaduh pun. Orang tu yang sentap, maklum la dah buat salah. Mesti la terasa. Siapa suruh parking kat tempat OKU? Allah Ta’ala dah bagi diri tu sempurna tapi tetap jugak nak rampas parking kat tempat OKU! Tak ada kesedaran langsung. Sikit pun tak fikir pasal golongan OKU. Kesedaran masyarakat terhadap hak OKU masih rendah. Kita patut bela hak orang OKU ni.” Jelas Dina bersungguh-sungguh. Masa dia baru lepas tutup klinik, dia nampak lelaki itu parkir kereta kat tempat letak kereta OKU. Tak ada sticker OKU pun kat kereta. Keluar kereta saja, elok saja berjalan. Nak kata pekak, boleh saja cakap phone masa itu. Apa lagi, dia pun naik angin la.

            “ Tak payah nak sibuk sangat. Biar la!”

            “Sebab biar la, hak orang OKU ditindas.” Balas Dina.

            “Eeee…. Budak ni! Menjawab saja kerja dia.” Suara Puan Dariah terus tinggi. Nasihat orang tak pernah dengar langsung.

            “ Dariah ooooiii, sampai keluar abang dengar suara kamu tu! Malu kat jiran-jiran kita.” Dr Ehsan melangkah masuk. Dia baru saja pulang dari hospital. Dari luar rumah lagi, dia sudah mendengar suara isterinya. Semestinya Dina buat hal lagi.

            “Ayah! Ayah baru balik? Mesti ayah tak makan lagi kan!” Melihat kehadiran ayahnya, Dina terus mendekati Dr Ehsan. Dia tersenyum. Bag yang ada di tangan ayahnya segera diambil. Sejak kecil lagi, dia lebih rapat dengan ayahnya. Maklum la dia dengan ibunya memang tak sependapat. Apa saja yang dia buat semuanya tak kena di mata ibunya.

            “Tengok tu! Tengok tu! Ibu tak habis cakap lagi ni!” Puan Dariah menjegil matanya.

            “ Anak sambut ayah balik, takkan salah kot. Aaa…. Dariah, abang nak air. Dahaga! Lima jam abang kat dalam wad bedah tadi.” Tambah Dr Ehsan. Dia terus duduk di sofa dengan wajah keletihan.

            “Baiklah! Saya ambilkan!” jawab Puan Dariah. Sebelum pergi, dia menjeling pada Dina. Masih tak puas hati.

            Sebaik saja ibunya sudah ke dapur, Dina hampiri ayahnya.

            “Ayah memang ayah paling best kat dunia ni!” Dina tersengih.

            “Bagi bag tu! Aaaa… Tunggu apa lagi, cepat pergi sebelum ibu kamu datang.” Kata Dr Ehsan dengan nada perlahan.

            Love you, ayah!” Dina segera meletakkan bag itu dan bergerak keluar dari rumah. Mujurlah ayahnya tiba tepat pada masanya. Ada peluang meloloskan diri dari mendengar bebelan ibunya.

                                                **************************

            DARI pintu belakang klinik, Dina keluar menuju ke kedai makan yang bersebelahan klinik haiwan miliknya. Dia terus masuk melalui pintu belakang kedai makan seraya memegang perut.

            “ Lapar! Lapar! Kak Dina lapar! Tolong, dari pagi Kak Dina tak makan lagi.” Dina merayu. Dia mendekati lelaki yang sedang membasuh di sinki dapur.

            Sorry! Kedai dah tutup. Kedai ini untuk sarapan pagi saja.” Lelaki tinggi lampai itu menoleh ke arah Dina.

            Muncung terus bibir Dina. Mulanya dia sengaja berlakon sakit perut semata-mata ingin meraih simpati tauke kedai makan ini. Lakonan dia tak jadi rupanya.

            “Dengan kakak sendiri pun nak berkira! Bihun goreng lebih-lebih takkan tak ada.” Balas Dina. Dia terus menarik kerusi dan duduk.

            “Itu la pagi tadi Eiman dah buat sarapan untuk semua orang tapi Kak Dina tak turun makan sekali. Tahu la takut kena sound dengan ibu kan!” Eiman menutup pili air.

            “ Ibu tu kalau membebel non stop! Tak pernah sekali backup Kak Dina. Salah Kak Dina ni nampak sangat. Entah-entah tahi burung yang berak kat kereta pun, ibu cakap Kak Dina yang buat.”

            “Mula la tu nak merepek!” Eiman menggelengkan kepala.

            “Eiman! Kak Dina lapar, masak la something!” Dina merengek seraya merayu meraih belas kasihan.

            “Sebab Eiman tahu Kak Dina akan datang, awal-awal lagi Eiman simpan baki maggie goreng.” Eiman berjalan ke almari dan membawa keluar tupperware biru. Kalau lapar, selalu sangat kakaknya itu datang bertandang ke kedai makan dia.

            “Kak Dina tahu Eiman mesti tak sampai hati tengok kakak kesayangan Eiman ni mati kelaparan kan.” Dina seronok dan terus mengambil tupperware itu dari tangan Eiman. Doa makan dibaca kemudian dia terus makan.

            “ Hari ini biar Eiman pulak yang ambil Eiyad pulak, hari ini kedai tutup awal.” Beritahu Eiman. Selalunya masa rehat Dina akan keluar mengambil anak abang mereka di tadika.

            “Abang Erjaz oncall kan kelmarin!”

            “Ya.” Jawab Eiman.

            “ Kak Darina pun sama kan?” soal Dina.

            “Ya. Itu la tak nak turut breakfast sekali.” Sindir Eiman.

            “Kalau Kak Dina join, korang lagi rasa tak selesa nak makan. Asyik dengar ibu dok pot pet pot pet. Mak cik Hajar pun satu, suka sangat menyibuk hal orang. Sikit-sikit roger kat ibu. Macam spy ibu la pulak.” Dina bercakap sambil mengunyah. Geram giler bila ingatkan Puan Hajar. Busybody giler! Kuat menyampai pulak tu.

            “Sapa suruh bergaduh depan klinik sendiri? Kedai runcit Mak cik Hajar depan kedai kita kot. Mesti la dia nampak.” Kata Eiman.

            “Mana ada gaduh, just tegur saja. Tak salah kan! Lelaki tu yang sentap sendiri, dah buat salah, mesti la terasa. Parking berlambak lagi masa itu, parking OKU jugak dia letak kereta dia. Sendiri mau ingat la.” Dina mendengus kuat.

            Eiman menggelengkan kepala. Keras kepala kakak dia yang seorang ini. Prinsip kakaknya ini selalu mengundang masalah. Kebenaran dan keadilan, itu la prinsip hidup Dina.

            “Minggu depan nak gaduh dengan siapa pulak?” perli Eiman.

            “Sindir nampak?” bidas Dina. Dia menyambung semula makan sampai habis.

            “Alhamdulillah, dah kenyang! Thank you, semoga adik kesayangan Kak Dina ini dimurahkan rezeki dan untung berlipat kali ganda. Amin!” tambah Dina. Ditolak tupperware itu semula pada Eiman. Dia terus bangun.

            “Aii…. Dah makan, takkan tak reti basuh pulak.” Tegur Eiman.

            “Alang-alang tak habis basuh, basuh la sekali. Ciao! Adios!” kata Dina dan terus melarikan diri. 

 

                                                            **********************

            KERETA Suzuki Vitara berhenti di hadapan bengkel kereta. Dina keluar dari perut kereta dan terus masuk mencari kelibat kakaknya. Dia menerima mesej dari kakaknya yang beritahu kereta rosak dan terpaksa ada di bengkel selama dua hari.

            “ Kak Darina!” panggil Dina. Dia melihat Darina sedang berbual dengan salah seorang mekanik yang ada di situ.

            Darina tersenyum selepas menyedari kehadiran adiknya. Dia hampiri Darina.

            “Kerosakkan major ke?” tanya Darina.

            “Ya. Spare part tak ada, jadi dia orang baru saja oder. Mungkin esok atau lusa sampai. Sorry la kacau, Dina. Mesti busy kat klinik.” Darina bimbang jika dia mengganggu masa kerja adiknya.

            “Hari ini Dina tutup awal. Hari ini hari Rabu selalunya tak ramai yang datang. Kalau hari Isnin, Dina memang tak cukup tangan!” jawab Dina seraya berjalan seiringan dengan kakaknya yang tua dua tahun darinya.

            Mereka berdua terus masuk ke dalam kereta Suzuki Vitara milik Dina.

            Kereta Suzuki Vitara itu bergerak meninggalkan bengkel kereta dan menuju pulang ke rumah mereka.

            “Dina, Hari tu Kak Darina dengar ibu cakap dengan siapa entah. Ibu nak buka satu lagi cawangan farmasi.” Beritahu Darina. Dia terdengar perbualan ibunya semasa nak ke dapur.

            “Wah, bertambah maju business ibu sekarang ini. Dah ada dua farmasi lepas tu nak buka lagi. Boleh la pau ibu lepas ni!” Dina tersenyum.

            “Jangan seronok sangat, nak tahu tak , mana ibu nak buka cawangan ketiga ni?” Wajah Darina serius.

            “ Kat mana?” Dahi Dina berkerut seraya memandu. Apa yang peliknya kalau ibunya mereka buka cawangan farmasi baru?

            “Dekat dengan klinik haiwan Dina dan kedai makan Eiman!”

            “Apa!” Intonasi suara Dina terus tinggi. Terperanjat!

            “ Itu la Dina suka sangat buat hal.”tambah Darina lagi.

            No! No way!” Semakin berkerut dahi Dina seraya memandu. Dia mula resah. Tak tahu bagaimana hidupnya jika itu terjadi. Huru hara jika ibunya buka farmasi dekat dengan dia.




Friday, November 10, 2023

Cintamu Ku Buru OCT 2023

 


Hanya kerana menolong mengambil barang di pasar raya, Umie jatuh cinta pada lelaki yang tinggi lampai yang tidak dikenali itu. Siang malam fikiran Umie asyik terbayang-bayang wajah lelaki itu. Hari-hari Umie berdoa agar mereka dipertemukan sekali lagi.

            Sebab dia tolong kau ambil barang ja, kau terus falling in love! Cuba la fikir logik sikit!” – RUBINA

Cinta tu tak mengenal logik, tahu tak! It only take 3 seconds to fall in love! ”- UMIE

Kerana satu insiden, Umie berjumpa dengan pujaan hatinya itu. Hati Umie bertekad mahu mengenali lelaki yang bernama Emiir Carim itu. Ternyata Emiir bukanlah lelaki yang senang didekati.

“Wah, tak sangka jodoh kami begitu dekat sekali. Lepas ni boleh la aku jumpa dia hari-hari. Tapi Emiir tu lain sikit la, tak peramah langsung. Susah giler nak dekat.”- UMIE

Itu tandanya dia memang tak suka kau! Signal dah bagi tapi kau tu yang tak reti bahasa.” – RUBINA

Itu pendapat kau tapi bagi aku mesti Emiir tu berhati-hati nak dekat dengan perempuan. Mana nak tahu mungkin hati dia pernah terluka sebab perempuan.” – JAZLIN

Walau sedingin mana Emiir pada Umie, itu tidak mematahkan semangat dan niat Umie untuk memiliki hati dan cinta Emiir.

Cik Umie! Terus-terang I cakap yang I rasa tak selesa dengan you. Apa-apa pun niat you nak dekat dengan I, baik you matikan saja hasrat you tu! I harap sangat lepas ini you jangan tegur I  lagi. Anggap saja kita tak pernah kenal sebelum ini.”- EMIIR

It’s okey, Umie! Kena reject sekali takkan kau dah nak mengalah. Betul tak?  Selagi Emiir single, aku masa ada peluang.”- UMIE

Pertemuan Umie dengan Tan Sri Taib memberi ruang untuk Umie mengenali keluarga Emiir dengan lebih dekat lagi. Tambahan pula ibu Umie dan ibu Emiir merupakan sahabat baik sejak belajar di universiti. Umie percaya dan yakin segala-galanya yang berlaku adalah petunjuk yang Emiir adalah jodoh Umie.

“Atuk kenal Cik Umie ke?”- EMIIR

“Dah tentu la kenal. Ibu Umie ni kawan mama kamu! Aaa….. Hari tu kamu ada tanya pasal kawan mama kamu yang selalu bawa brownies datang rumah kita, itu la Herma, ibu Umie!”- TAN SRI TAIB

Tan Sri Taib berkenanan dengan Umie dan membuat keputusan untuk menjadikan Umie isteri Emiir. Dalam masa yang sama Tan Sri Taib mempunyai agenda tersendiri.

“ Sudi tak Umie jadi isteri Emiir?”- TAN SRI TAIB

“Saya setuju.”- UMIE

Keputusan Umie untuk mengahwini Emiir mengejutkan Rubina dan Jazlin malah begitu juga dengan abang-abang Umie. Walaupun Umie tahu Emiir tidak mencintai dirinya namun Umie tidak kisah kerana Umie lebih mementingkan perasaan sendiri malah Umie yakin akan berjaya melembutkan hati Emiir yang keras itu dan akhirnya Emiir jatuh cinta pada Umie.

Berjayakah Umie menakluki hati Emiir? Adakah perkahwinan yang Umie impikan akan berakhir dengan kebahagiaan? Apakah agenda sebenar Tan Sri Taib mengahwinkan Umie dengan Emiir?

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

CERPEN : CINTA SEHALA (KARYASENI)

  𝐊𝐎𝐌𝐏𝐈𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍 - 𝐍𝐎𝐒𝐓𝐀𝐋𝐆𝐈𝐀 - 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐡𝐞𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 . Kami kumpulkan kary...