Friday, July 20, 2012

Jiranku ...Musuhku ....Cintaku... Bab1


Bab 1

Pintu bilik Kayla diketuk beberapa kali. Namun masih tiada jawapan. Sekali lagi Tania mengetuk pintu bilik Kayla. “Kayla! Bangun! Bangun cepat. Kau dah lupa ke? Hari ini hari apa? Kayla, wake up! “
“Tidur mati ke?”  Tiba-tiba Suraya berada di sebelah Tania. Dahinya sedikit berkerut.
Tania hanya mampu menggelengkan kepala.
“Kayla! OOoooo….bangun! Kayla.” Jerit Tania. Pintu bilik Kayla diketuk dengan kuat.
“Suraya! Slow sikit suara kau tu! Apa kata jiran-jiran kita nanti?” tegur Tania. Dia terkejut dengan jeritan Suraya.
“Kau nak dia bangun atau tak? Kalau Auntie Sakinah datang dan tengok Kayla masih belum bangun lagi. Teruk kita nanti.”
Tania hanya mampu mengeluh dengan kuat. Kata-kata Suraya ada benarnya.
“Kayla!” jerit mereka berdua.
Tiba-tiba pintu bilik dibuka dengan kasar dari dalam.
Suraya dan Tania terkejut.
Pintu bilik dibuka dengan luas. “Diam sedikit boleh tak? Aku baru saja balik pukul 5 pagi tadi. Kan aku dah beritahu yang pagi tadi aku ada operasi. Boleh tak beri aku masa untuk tidur.” Kayla menggaru rambutnya yang kusut itu. Matanya masih dipejam.
“Itu kami tahu tetapi kau dah lupa ke? Kau dah tak ingat ke? Hari ini hari apa?” soal Tania.
“Hari apa? Hari ini kan hari Ahad. Itu pun aku nak kena beritahu ke? Kerja saja doctor tapi …..hari pun boleh lupa.”
“Kayla! Hari ini 29haribulan April. Kau dah lupa?”
Tiba-tiba mata Kayla terbuka luas. Pandangannya tepat pada dua orang sahabat karibnya dan merangkap juga teman serumahnya. “29 haribulan!” nada suara Kayla separuh meninggi. Alamak! Ibu akan datang hari ini.
“Ya. Kau ada masa 30 minit lagi untuk bersiap.”
“Apa!”  Kayla menoleh ke arah jam berbentuk rama-rama di dalam biliknya. “7.30 pagi.”
“Mandi cepat. Kami sudah siapkan breakfast. Rumah pun kami dah mengemas.” Kata Tania.
“Ikan sekambu rosak oleh ikan seekor.” Tiba-tiba ada suara mencelah di belakang Tania dan Suraya. Serentak mereka berpaling.
Bulat mata Kayla mendengarnya. “Apa kau cakap Zulaikha?”
Zulaikha tersengih dan berlalu pergi.
Kayla tercengang seketika.
Tania dan Suraya ketawa kecil.
“Peribahasa lagi. Aku yakin dia mesti perli aku kan! Mentang-mentang dia cikgu bahasa Melayu! Nasib baiklah aku tak faham maksudnya.” Kayla membuat mimic muka. Dia malas nak melayan kerenah Zulaikha yang suka menggunakan peribahasa setiap kali bercakap dengan mereka bertiga.
“Tetapi aku tahu maksudnya.” Tania tersenyum lebar.
“Apa maksudnya?” soal Suraya ingin tahu.
“Kerana kesalahan seseorang, orang ramai menaggung akibatnya.”
“Apa! Zulaikha! Dia memang nak kena dengan aku ni.”  Kayla mencekak pinggangnya. Memang betul Zulaikha perli aku! Kayla ingin mengatur langkah keluar dari biliknya tetapi sempat ditahan oleh Tania.
“Kayla! Hal ibu kau lebih penting dari segala-galanya. Kau kena ingat tu? Kau tahu akibatnya kan!”
“Ya. Ya! Aku siap sekarang.” Kayla segera mencapai tuala dan berjalan menuju ke bilik airnya sambil mulutnya terkumit-kumit berkata sesuatu.

                                    *****************************

Mereka berempat berdiri tegak menghadap Datin Sakinah yang sedang duduk di sofa. Mereka menundukkan kepala seperti orang bersalah.  Renungan tajam Datin Sakinah membuat mereka berempat sesak nafas. Kelakuan Datin Sakinah yang mendiamkan diri membuat hati mereka berdebar-debar. Hampir 30 minit Datin Sakinah melawat di segenap sudut rumah sewa anak daranya.
“Ibu, dah check semua kan?” Akhirnya Kayla bersuara.
“Hmmm….Perfect.” jawab Datin Sakinah dengan nada selamba. Dia berpuas hati dengan keadaan rumah itu. Bersih dan kemas.
Mereka berempat menjerit keriangan apabila mendengar jawapan dari Datin Sakinah.
“But ……”
Zulaikha, Suraya dan Tania terkejut. Matanya tepat merenung wanita yang berusia 50an itu.
Matanya terkebil merenung ibunya. Ada lagi yang tak puas hati lagi ke? Aduh , perangai ibu ni buat aku sakit kepala.
“Ibu masih tak bersetuju Kayla menjadi inspector polis.”
“Ibu!” Kayla membuat mimic muka.
“Keputusan ibu muktamad. Ibu tak suka. Dalam banyak-banyak pekerjaan di Malaysia ni, kenapa Inspektor Polis yang menjadi pilihan. Dah tak ada kerja lain ke? Ibu tetap tak setuju.” Tegas Datin Sakinah. Dia bimbang dengan keselamatan anak bongsunya itu.
“Tetapi abah setuju. Abang Long dan Kak Ngah juga setuju.”
“Tetapi ibu tak setuju. Selama ini ibu ingat Kayla bekerja sebagai interior designer, rupa-rupanya dah 2 tahun Kayla menipu ibu. Kalau kawan ibu tak beritahu ibu perkara yang sebenarnya, mungkin sekarang ini ibu masih ingat Kayla bekerja sebagai interior designer di Puchong.”  Tegas Datin Sakinah. Jika Mai tak cerita pada aku tentang Kayla, pasti aku percaya dengan lakonan Kayla selama ini. Kebetulan pula suami Mai, ASP Razman adalah ketua Kayla dalam Unit Jenayah di Kuala Lumpur.
Suraya, Tania dan Zulaikha masih berdiri tegas di situ. Mereka tidak berani bergerak. Mulut mereka bertiga terkunci.
“Selepas itu, Kayla suruh Zulaikha, Tania dan Suraya turut sama berlakon dalam drama ini. Suruh mereka bersubahat untuk menipu ibu! Kayla ingat ibu ni tunggul ke?” jerkah Datin Sakinah secara tiba-tiba. Dia tak suka apabila dirinya ditipu.
Mereka berempat tersentak.
“Tentang perkara tu, Kayla minta maaf. Dah banyak kali Kayla minta maaf, kenapa ibu masih ungkit perkara ini lagi? Kayla janji tak akan menipu ibu lagi.” Pujuk Kayla.
Air muka Datin Sakinah berubah apabila mendengar pujukan anak bongsunya.
“Tetapi Kayla suka bekerja sebagai Inspektor Polis. Sepatutnya ibu berbangga dengan kerjaya Kayla! Seorang ibu seharusnya menyokong pilihan anaknya.” Kayla masih tidak mahu mengaku kalah.
Suraya yang berada di sebelah Kayla menarik t-shirt biru yang dipakai oleh Kayla. Hish ….Kayla ni, sengaja nak buat auntie Sakinah naik angin lagi. Suraya risau jika pertengkaran ini berpanjangan.
“Kayla!” Datin Sakinah meninggikan suaranya. Wajahnya merah menahan marah. Bibirnya bergetar.
Kayla masih tenang.
“Begini …auntie …..” Tiba-tiba Tania mencelah.
Semua orang memandang ke wanita yang berambut hitam separas bahu itu.
“Sebagai pertukaran ….”
Dahi Datin Sharifah sedikit berkerut.
“Tania hanya beri cadangan untuk auntie. Auntie tahu tak kan, Kayla ni degil orangnya. Mustahil Kayla akan menerima kata-kata auntie kan! Tania rasa, pada masa inilah auntie mengambil kesempatan untuk membuat pertukaran dengan Kayla.”
“Pertukaran!” Bulat mata Datin Sakinah mendengarnya.
“Jika auntie setuju dengan kerjaya Kayla, sebagai pertukarannnya ….auntie boleh minta apa saja dari Kayla. Tania yakin Kayla mesti setuju dengan apa saja pemintaan auntie. Itupun jika auntie setuju la.” Tania tersenyum. Dia sengaja memberi umpan.
Kayla terkejut. Tania adalah orang yang sangat dipercayai tetapi kenapa Tania berkata seperti itu. Kayla bengang apabila dirinya dikhanati. Dia menunding jari pada Tania. “Hey, Tania! Kau ….” Belum sempat Kayla menghabiskan kata-katanya, Zulaikha menutup mulut Kayla.
Kayla tergamam.
“Keep quiet.”
Kayla kaku.
“Hmmmm…..Maksud Tania, apa saja ke?” nada suara Datin Sakinah seperti berminat dengan cadangan Tania.
Dahi Kayla berkerut. Apa saja! Mampus aku kali ini. Entah apa permintaan ibu selepas ini? Tania sengaja nak beri masalah kepada aku. Renungannya tepat pada Tania
“Ya! Kami akan pastikan Kayla mengikut setiap pemintaan auntie tetapi hanya satu permintaan sahaja.” Giliran Suraya mencelah pula. Jika lebih dari satu permintaan, mesti teruk Kayla nanti.
“Hmm….baiklah!”
Senyuman terukir di bibir Tania, Suraya dan Zulaikha.
“Auntie mahu Kayla menjadi wanita sejati.”
“Apa!” kata mereka bertiga serentak.
Kayla menepis tangan Zulaikha. “Apa maksud ibu? Bukan ke Kayla ni wanita?”
“Hanya fizikal saja. Perangai kasar seperti lelaki. Kerja rumah satu apa tak reti buat. Hanya tahu bawa motor besar sahaja. “ bebel Datin Sakinah. Tiba-tiba hatinya berbunga riang.
“Maksud auntie …….”
“Dalam tempoh setahun, Kayla mesti pandai memasak, menjahit, berkebun, mengubah bunga dan macam-macam lagi.”
“Ibu! Itu dah lebih. Hanya satu permintaan sahaja. Ibu dah lupa ke?”
“Permintaa ibu hanya mahu Kayla menjadi wanita sejati. Itu sahaja. Itulah ciri-siri yang perlu ada untuk menjadi wanita sejati. Betul tak, Tania?”
“Ya.” Jawab Tania dengan nada lemah. Kayla nak belajar memasak, pasti terbakar rumah ni nanti. Tania mula gelisah.
“Tetapi ……” Kayla masih tidak berpuas hati. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatal. Hish….apa aku ni buat ni! Memasak! Menjahit! Aku tak pernah buat semua itu
“Jika  Kayla tidak bersetuju dengan permintaan ibu, ibu ok sahaja. Ibu tak akan memaksa tetapi ibu buat apa saja agar Kayla berhenti bekerja sebagai inspector polis. Jumpa Ketua Polis Negara pun ibu sanggup. Asalkan hajat ibu tercapai.”
Kayla menelan air liurnya. Kelat. Jumpa Ketua Polis Negera! Biar betul. Kayla resah.
“So apa keputusan Kayla sekarang ini?”
Tania, Suraya dan Zulaikha menoleh ke arah Kayla. Mereka bertiga menanti jawapan yang akan keluar di bibir Kayla.
“Fine! I will do it.”
“Good!” Datin Sakinah tersenyum lebar. Dia menang kali ini. “Tania! Zulaikha! Suraya! Kamu bertiga mesti memastikan Kayla mempunyai cirri-ciri yang auntie sebut sebentar tadi. Jika kamu bertiga gagal, tunggulah hukuman dari auntie nanti.” Nada suaranya serius.
Mereka hanya mampu mengganggukan kepala perlahan-lahan. Masalah Kayla akhirnya menjadi masalah mereka pula.
“Ibu!” Kayla membuat muka kasihan. Dia berharap ibu akan mengubah fikiran.
“Setiap sebulan, ibu akan akan datang 2 kali untuk melihat progress Kayla. Jika masih tiada apa-apa progress, motor besar Kayla di garaj kereta akan ibu jadikan besi buruk. Faham!” tegas Datin Sakinah
“Ibu!” Kayla terkejut. Ala ….takkanlah motor kesayangan aku pun terlibat juga. Ibu ni memang tak adil. Asyik mencari kelemahan orang saja.
Datin Sakinah terus bangun. “Ibu nak balik. Jangan lupa temujanji kita pada dua minggu akan datang.”
Mereka berempat bersalaman dengan Datin Sakinah. Tiada secalit senyuman di wajah mereka. Hanya Datin Sakinah yang tersenyum lebar.

                        ********************************

            “Stress! Stress!” jerit Kayla. Dia berjalan ulang-alik ke kiri dan kanan. Langkahnya tiba-tiba terhenti. Pandangannya tepat pada Tania yang duduk di sofa berwarna merah hati. “Ini semua salah kau, Tania! Kenapa kau pandai-pandai beri cadangan seperti itu pada ibu? Pertukaran konon! Lihat apa yang terjadi sekarang ini! Untuk pengetahuan kau, idea kau tu merupakan peluang keemasan yang ditunggu-tunggu oleh ibu aku selama ini!” marah Kayla.
            “I’m so sorry, Kayla.” Tania rasa bersalah.
            “Kayla, niat Tania hanya untuk menolong kau saja.” Zulaikha bersuara.
            “Aku tahu tetapi …apa yang terjadi ni menyusutkan kepala aku. Aku yang kena tanggung semuanya.”
            “Eh! Eh! Pembetulan okey! Bukan kepala kau saja yang kusut, kepala kami pun sama juga. Kau jangan lupa pula! Kau mesti ingat, Kayla! Semua ini berpunca dari siapa? Berpunca dari kau! Jika kau berterus-terang dengan ibu kau, semua ini takkan terjadi.”  Kata Suraya.
            “Ok! Ok! Aku tahu. Tetapi aku tak tahu memasak, aku tak tahu menjahit. Semua perkaralah aku tak tahu.” Kayla melepaskan keluhan.
            “Itu kau jangan bimbang! Kami kan ada. Kau jangan risau.” Suraya tersengih.
            Kayla hanya mampu mengetap bibir. Sekarang ini masalah lain pula timbul. Ibu! Ibu! Serabut otak aku.

                        *******************************

            Tania meletakkan kotak itu ke dalam bonet kereta Toyota Wish berwarna putinh. “Ini yang terakhir.”
            “Bila Kak Zu akan bertolak ke Dubai?” soal Zulaikha kepada wanita yang berusia 40an itu. Sudah 3 tahun mereka berjiran. Sikap Kak Zurina yang ramah dan sporting membuat mereka senang berjiran dengan Kak Zurina. Terasa pilu pula.
            “Minggu depan.”
            “Abang Hilman dah ada di sana ke?” soal Kayla sambil memeluk Hakim, anak bongsu Kak Zurina yang berusia 7 tahun itu.
            “Dah. Abang Hilman terpaksa pergi dulu. Yassin pun ikut sekali. Teman abahnya. Ada macam-macam hal yang kena diuruskan di sana. Maklumlah tempat orang. Tak sama seperti tempat sendiri.” Wanita bertudung litup itu tersenyum lebar. Sebagai isteri, dia harus mengikut suaminya ke mana sahaja. Maklumlah suaminya bekerja sebagai Pegawai Pentadbir dan Diplomatik dan baru-baru ini suaminya telah ditukarkan ke Kedutaan Malaysia di Dubai.
           

“Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, malah lebih baik di negeri sendiri.” Zulaikha tersenyum simpul.
“Kau ni tak habis-habis cakap tentang peribahasa. Dah berbulu telinga aku ni.” Kayla membuat mimic muka.
Mereka semua ketawa.
“Oh ya, rumah ni macam mana? Kak Zu jual atau sewa?” soal Tania ingin tahu. Sayang pula jika Kak Zu jual rumah ni. Masih elok lagi. Tania memandang rumah teres dua tingkat itu.
“Kak Zu ingat nak sewa saja. Nak jual sayang pula. Satu hari nanti kami akan kembali tinggal di sini.”
“Betul tu!” Suraya mencelah.
“Kak Zu dah sewa pada orang lain ke?” tanya Kayla ingin tahu.
“Dah.”
“Lelaki ke perempuan? Dah kahwin ke belum? Tua ke Muda?” soal Suraya bertubi-tubi.
“Amboi kau ni, Suraya! Gelojoh. Kenapa? Kau dah gatal nak kahwin ke?” Kayla menggelengkan kepala beberapa kali.
“Eh! Kau jangan nak tunjuk baik di sini, Kayla. Aku tahu apa yang bermain di fikiran kau sekarang ni! Sama seperti aku.”
Kak Zurina ketawa terbahak-bahak. “Tentang penyewa baru tu, Kak Zu tak tahu sangat. Itu abang Hilman yang uruskan. Kak Zu hanya akan jumpa dia di KLIA untuk serahkan kunci rumah sebelum bertolak ke Dubai.” Beritahu Kak Zurina.
“Ohhh….ya ke!” nada suara Kayla lemah.
“Jangan risau. Kak Zu akan sentiasa doakan jodoh kamu berempat. Baiklah, Kak Zu dah lewat. Takut sampai lewat pula. Risau pula ibu Kak Zu di kampung.” Kak Zurina melihat jam tangan Gucci yang dipakainya. Kak Zurina teringat ibunya yang berada di kampung.
“Selamat jalan, Kak Zu!” ucap Zulaikha.
“Kalau senang, jangan lupa facebook dengan kami.” Tania tersengih.
“Itu sudah tentu.” Kak Zurina ketawa. Tiba-tiba hatinya berasa pilu dan sedih. Pasti aku akan rindu dengan gelagat mereka berempat yang sentiasa membuat hati aku senang. Dia sudah menganggap mereka seperti adiknya sendiri “Hakim, salam dengan auntie!”
Hakim terus bersalaman dengan mereka berempat.
“Study hard, ok!” Suraya tersenyum lebar.
“Jangan tinggal solat, ok!” Tania mengutum senyuman sebaik sahaja Hakim bersalam dengannya.
“ Berkawan biar seribu ye! Jangan gaduh-gaduh.” Zulaikha memeluk Hakim beberapa saat. Pasti aku akan rindu dengan gelagat Hakim yang manja itu.
Hakim hanya mengganggukan kepalanya.
Kayla memegang erat tangan Hakim. Dia merenung Hakim beberapa saat. “ Di sana nanti, cari girlfriend yang cantik. Minah salleh pun tak apa.”
“Kayla!” serentak mereka bertiga menjerit nama Kayla. Mereka bertiga terkejut dengan kata-kata Kayla.
Kak Zurina hanya ketawa kecil.
“Aku melawak saja! Jangan serius sangat.”  Muka Kayla masam mencuka. Hampir luruh jantung mendengar suara mereka bertiga.
Hakim hanya tersenyum.
Giliran mereka bersalam dengan Kak Zurina.
Tanpa disedari, air mata Kak Zurina mengalir membasahi pipi.
Ala …Kak Zu, jangan la menangis. Bila Kak Zu sekeluarga pulang ke Malaysia, Kak Zu call kami dan kami terus jumpa Kak Zu di KLIA.” Tania cuba memujuk.
“Kak Zu, jangan emosional sangat. Bila-bila masa saja kami boleh pergi ke Dubai jika kami terlalu rindukan Kak Zu.” Kata Kayla.
“Amboi, banyak duit kau! Kau nak sponsor kami ke?” Zulaikha mencelah.
“Kau ni! Suka spoil suasana la. Aku hanya cakap kosong saja supaya Kak Zu tak menangis lagi.” Kayla mendengus.
“Sudah! Jangan bergaduh lagi. Kamu berdua ni suka sangat bertekak”  Kak Zurina mengesat air matanya. Dia cuba mengukir senyumanan walaupun hatinya menahan sebak. “Jaga diri baik-baik ye. Jangan gaduh-gaduh.”  Kak Zurina memegang tangan Hakim.
Kak Zurina dan Hakim berjalan ke kereta Toyota Wish miliknya. Dia cuba menahan dari menangis. Mereka berdua masuk ke dalam perut kereta itu.
“Selamat Jalan, Kak Zu.”  Serentak mereka melambai apabila kereta Toyota Wish bergerak meninggalkan rumah teres dua tingkat itu.
Kayla mula menangis. Siapa yang akan teman aku bermain playstation selepas ini? Selalunya Hakim yang teman aku. Sedih. Kayla menoleh ke arah Zulaikha, Suraya dan Tania yang berdiri di sebelahnya. “Kata tak mahu menangis konon.” Senyuman terukir di bibirnya apabila melhat mereka turut sama menangis.
Serentak Zulaikha, Tania dan Suraya menoleh. Mereka membalas kata-kata Kayla dengan jelingan.
Senyuman Kayla mati. “Garangnya!” Tangan Kayla masih lagi melambai walaupun kelibat kereta itu telah jauh meninggalkan mereka berempat. Siapa jiran baru kami selepas ini? Aku harap kami tak ada masalah dengan jiran baru ni nanti.
                       
**********************************

            Tania menarik kerusi dan duduk di meja makan coklat kemerahan. Tania mengambil roti bakar yang berada di pinggan dan dikunyahnya perlahan-lahan.  Langsir berjalur petak kekuningan dan cabinet kayu coklat kusam menghiasi ruang makan itu. Manakala lampu candelabra membiaskan suasana kedesaan.“Hmm…Kayla masih tidur lagi ke?”
            “Hmm….itu kan rutin harian dia pada hujung minggu.” Jawab Zulaikha.
            “ Habis tu, bila dia nak belajar semua yang auntie Sakinah request hari tu?”
            “No comment! Jika aku nak ajar dia memasak, aku rasa aku kena mula dari basic. Aku nak dia kenal dan tahu semua. Jenis sayur! Jenis ikan! Setiap jenis peralatan dapur! Aduh ….banyak perkara yang aku kena ajar ni.” Suraya menggaru kepalanya yang tak gatal. Boleh botak kepala aku jika ada pelajar seperti Kayla ni! Satu apa pun tak tahu. Hanya tahu bancuh air saja.”
            “Kau kan ketua chef di hotel bertaraf 5 bintang. Semua jenis masakan kau tahu!” kata Zulaikha.
            “Memang betul tapi ….jika aku dapat pelajar seperti Kayla tu, bukan hanya dapur aku terbakar ….dengan aku sekali terbakar.” Wajah Suraya serius.
            Tania dan Zulaikha ketawa terbahak-bahak. Kata-kata Suraya ada benarnya. Selama mereka berkawan, tak pernah mereka lihat Kayla memasak, hanya tahu makan sahaja.
            “Awal-awal pagi lagi, dah ketawa! Kutuk aku ke?” tiba-tiba Kayla berdiri di muka pintu ruang makan. Dia menggosak mata beberapa kali. Suara mereka bertiga berbual menggangu tidurnya.
            Mereka bertiga tersengih.
            “Memang betul kan! Awal-awal pagi dah buat dosa!” Kayla berjalan ke meja makan itu. Mug yang berada di tangan Tania diambilnya tanpa izin dan di minum.
            “Kayla!” tegur Tania. Dia terkejut.
            Air muka Kayla berubah sebaik sahaja menelan air di dalam mug Tania. Lidahnya terjeliar keluar. “Air apa ni?” Mug itu diletak kasar. Kelat.
            “Daun bunga raya dan daun kacang Malabar. Aku rebus.” Tania tersengih sehingga menampakkan lesung pipit di kedua-dua belah pipinya.
            “Buat apa?” Dahi Kayla sedikit berkerut.
            “Aku batuk la! Zulaikha beritahu aku, jika aku rebus kedua-dua daun ni, insya Allah ….batuk aku hilang.”
            “Kau pun dah berjangkit penyakit dari Zulaikha! Suka sangat rebus benda-benda pelik.”
            “Excuse me, Cik Kayla! Tumbuhan herba, ok! Bukan benda-benda pelik. Untuk pengetahuan kau, tumbuhan herba adalah anugerah alam yang sangat berharga. Ia sering dimakan begitu saja atau digunakan sebagai ubat-ubatan, pembersih udara, wangi-wangian dan hiasan.” Ujar Zulaikha panjang lebar. Dia suka menanam terutamanya tanaman herba.
            “Cikgu Zulaikha! Hari ini hari Ahad. Cuti! Jangan nak mengajar di sini pula.” Kayla mencelah. Jika dibiarkan, panjang pula syarahan Zulaikha pagi ini. Sakit telinga aku mendengarnya.
            Zulaikha membuat mimic muka.
            Kini giliran mug Suraya menjadi sasaran Kayla. Kayla cuba mencapai tetapi tangannya ditampar oleh Suraya. “Buat sendiri! Asyik nak melahap minuman orang saja. Kenapa kau tak ambil mug Zulaikha? Dia dekat dengan tempat kau berdiri tadi.”
            “Tak nak! Kau tak nampak ke? Lain macam saja air di dalam mug Zulaikha. Warna biru pulak tu! Takut aku nak minum.” Matanya menjeling ke arah mug milik Zulaikha.
            “Ini teh bunga raya. Kau nak cuba rasa? Sedap. Aku letak sedikit air limau nipis. Gula pun aku letak. Kau nak rasa tak?”
            “Tak nak! Aku lebih rela minum air masak saja.”
            “Pemalas!” kata mereka bertiga serentak.
            Kayla menarik muka masam. Asyik aku je kena. Ini tak adil.
            “Selepas makan, kau bersiap! Mandi! Kami nak pergi Tesco. Beri barang keperluan dapur. Kau wajib ikut kami. Kami tak mahu dengar apa-apa alasan. Inilah peluang kau belajar mengenali barang-barang keperluan dapur. Kau tak boleh bazirkan masa lagi. Masa kau dah suntuk.” Kata Suraya panjang lebar.
            Kayla mengeluh kuat. Hujung minggu, tak boleh beri aku masa berehat langsung. Ini semua salah ibu. Nak aku jadi wanita sejati konon. Dia menarik kerusi dan duduk di sebelah Tania.

5 comments:

NurAtiZa said...

Best...#^_^

aqilah said...

followwwwwwwwwww

Eunhae DieLa said...

kak lily novel sat,dua,tiga xupdate kat blog lg ker?? best sgt...

eija said...

kak lily..dh lama tgu n3 nie...xnk sbg ke??

salmi fasliena said...

Best...sambung lg. ..

Post a Comment