Tuesday, September 3, 2019

Jujur Hatiku Hanya Untuk Mu Bab 9




Bab 9 

            Puan Rokiah membuka pintu. Dia terkejut apabila Alif meluru masuk tanpa dipelawa. Yang jelas, wajah Alif kelihatan kusut.

            “Auntie! Kenapa tak beritahu yang Fatini ada anak? Siapa bapak budak tu? Sampai hati Auntie kahwinkan Fatini dengan orang lain. Habis Alif ni macam mana? Auntie dah lupa ke janji Auntie nak kahwinkan Alif dengan Fatini.” Alif pandang ke arah Puan Rokiah dengan wajah tak puas hati. Duit dah habis banyak dia laburkan untuk ambil hati Puan Rokiah, takkanlah semua tu hanya sia-sia sahaja.

            “Alif! Bertenang dulu! Biar Auntie cerita.”

            “Cerita apa lagi, Auntie! Alif dah tengok budak tu dengan mata Alif sendiri.”

            “Itu bukan anak Fatini.”

            “Apa!” Air muka Alif berubah. Tertanya-tanya dengan kenyataan Puan Rokiah.

            “Baiduri tu anak kawan Fatini di Zurich. Kawan Fatini tu baru meninggal beberapa bulan yang lalu. Fatini bawa balik pun sebab nak serahkan Baiduri pada bapa kandungnya.”

            “Betul ke, Auntie?” Ada sedikit cahaya di wajah Alif.

            “Apa kata kita duduk dulu….” Ajak Puan Rokiah.

            Tanpa banyak soal. Alif ikut Puan Rokiah ke ruang tamu dan terus duduk di sofa.  “Maknanya Fatini tak kahwin lagi? Tak ada suami? Tak ada anak?”

            “Ya! Tak ada.” Puan Rokiah turut sama duduk.

            “Syukur Alhamdulillah…. Lega rasanya. Bila Fatini nak bagi budak tu balik kat bapa budak tu?”

            Puan Rokiah terus mengetap bibir.  Dia mula bermain dengan jari-jemarinya. “ Sebenarnya Fatini masih cari bapa budak tu.”

            “What?” Terbeliak mata Alif. Perasaan yang tadi mula tenang, kini mula bergelora. “Kalau tak jumpa, macam mana? Takkanlah Fatini nak jaga budak tu. No! No! No! Auntie tak boleh biarkan Fatini jaga budak tu. Alif tak nak budak tu jadi anak segera Alif. No way! Kalau Mummy tahu, mesti Mummy tak bagi Alif kahwin dengan Fatini. Auntie kena buat something. Apa kata Auntie suruh Fatini hantar budak tu kat rumah anak-anak yatim? Buat apa nak susahkan diri jaga anak orang.  Betul tak?”

            “ Cakap Alif tu memang betul tapi Alif kenal Fatini kan!”

            “Auntie, perkara ni bukan perkara kecil! Kalau semua orang tahu pasal budak tu, mesti orang salah anggap. Mesti mereka ingat Fatini lahirkan anak luar nikah masa study kat Zurich. Mulut orang ni, auntie! Bahaya. Tak pasal-pasal satu family auntie dapat malu. Memang budak tu bukan anak Fatini tapi orang-orang kat luar sana, mereka percaya ke?” Kata Alif.

            Puan Rokiah terdiam. Kata-kata Alif ada betulnya. Kalaulah ahli persatuannya tahu pasal hal ini, mana dia nak letak muka nanti. Kalau dia cakap budak perempuan tu bukan anak Fatini, belum tentu mereka akan percaya. Orang zaman sekarang ni lebih percayakan perkara tak betul dari yang betul. Ditokok tambah cerita lagi adalah. Nanti jadilah bermacam-macam version cerita.

            Ada sedikit senyuman di wajah Alif. Sejak dulu lagi, Puan Rokiah senang dimanipulasi. Apa saja dia cakap, mesti Puan Rokiah percaya.  “Sebelum perkara ini berpanjangan, better auntie pujuk Fatini hantar budak tu kat rumah anak-anak yatim. Kalau saudara mara auntie tahu, lagilah bertambah rumit. Alif pun takut jugak kalau mummy daddy tahu pasal hal ini, Alif tak nak la mereka tak suka dekat Fatini nanti.” Alif sengaja membuat wajah risau.

            “Alif, jangan bimbang! Auntie akan pujuk Fatini. Tunggu saja berita baik dari auntie.” Kata Puan Rokiah bersungguh-sungguh. Mustahil dia akan lepaskan peluang untuk berbesan dengan Puan Sri Jelita.

            “Thank you, Auntie! Lagi satu, masa Alif nak jumpa Fatini semalam ….. Intan dan Zahid halang Alif dari jumpa Fatini. Entah apa mereka hasut kat Fatini sampai Fatini jerkah Alif depan orang kat café. Sebelum ni, Fatini cakap lembut jer dengan Alif.” Alif memulakan lakonannya. Dia pandang Puan Rokiah dengan renungan redup seolah-olah ingin menangis. Dia perlu meraih simpati dari Puan Rokiah.

            “Hish….. Mereka suami isteri tu kan memang batu api.  Alif, jangan risau. Esok auntie jumpa mereka, auntie marah mereka.” Puan Rokiah mengetap bibir. Memang pun selama ini dia tak berkenanan Fatini berkawan dengan mereka berdua. “ Aaaa….  Alif tunggu sekejap, auntie buatkan air.”  Puan Rokiah bangun.

            “Susahkan auntie pulak.”

            “Alaaa…. Alif kan bakal menantu auntie.  Setakat buat air tu, no hal okey! Lagipun auntie ada buat donut tadi. Tunggu sekejap yer.” Puan Rokiah terus berlalu ke dapur.

            Setelah Puan Rokiah hilang dari pandangan. Segaris senyuman terukir di bibir Alif.  “ Fatini, tak semudah itu you nak buang I dalam hidup you.”

                                    *******************************************
            Setelah selesai mandi, Fatihah menghampiri Fawz dan Baiduri yang senang menonton TV. Punggung dilabuh di sofa biru yang bersebelahan dengan sofa Fawz  dan Baiduri.“ Kartun lagi! ….. Stress, aku macam ni.” Fatihah mengeluh apabila kartun Agen Ali yang sedang bersiaran. Dari kelmarin lagi, Baiduri asyik tengok kartun saja. Kalau ubah channel lagi, Baiduri akan menangis. Susah betul kalau anak kecil. Nak tak nak, kena tengok jugak.

            “Alaaaa…. Sesekali kena jugak ajar Baiduri tengok kartun Malaysia.  Sekarang ni dah ada macam-macam kartun, kita sendiri yang buat. Tak payah lagi nak import dari luar.  Agen Ali! Upin Ipin! Boboboi! Semua tu hasil tangan dari kita. Tengok, Baiduri pun suka! ”

            Baiduri tersenyum seorang diri. Dia langsung tak bergerak. Matanya hanya pada kaca TV.

            “Whatever!” Fatihah jelir lidah pada Fawz. Ditoleh ke belakang. Fatini masih belum lagi habis sembahyang Asar.

            “Ala …. Message la dengan buah hati kau kalau boring.”

            “Phone aku tengah cas la.  Boring la! Ada apa-apa tak yang boleh hilangkan rasa bosan aku ni?”

            “Ada. Dah tentu ada ….. Tuuu… Mainan Biduri kan berlambak. Dah bosan, kau main la.” Jari ditunjuk ke arah mainan Baiduri yang bersepah di sudut bilik itu. Fawz terus gelak kuat.

            “Cis! Ada ke patut suruh aku main mainan budak dua tahun.” Bantal kecil empat segi dicapai dan dibaling ke arah Fawz yang begitu galak ketawa.

            Ketawa Fawz terus hilang apabila bantal itu tepat kena di muka Fawz.  “Woii….. Sakit la!” jerit Fawz.

            “Woii…. Woii….”

            Fawz dan Fatihah menoleh apabila Baiduri tersengih ke arah mereka berdua.

            “Woii…. Woii….” Baiduri ulang semula perkataan yang disebut Fawz.

            “Tengok! Kau punya pasal ni!” Suara Fawz berubah perlahan. Fawz lihat Fatihah dengan wajah berkerut.

            “Woii…. Woii” cakap Baiduri lagi. Dia melompat gembira dengan berulang kali sebut perkataan yang sama.

            “Salah kau la. Kau yang sebut.” Suara Fatihah pun berubah perlahan. Tanpa disedari, Fatihah menggaru kepalanya.

            “Itulah! Next time, nak cakap berlapik sikit. Jaga tutur bahasa tu.”  Fatini menyampuk. Dia sudah selesai sembahyang.  “Kanak-kanak dua tahun macam Baiduri ni, tahap ingat tahu tinggi. Apa-apa pun nak tahu. Bagi mereka, semua itu sesuatu yang baru. Itu apa? Ini apa? Semua benda nak ditanya ….. Yang penting cara kita bercakap di hadapan mereka, mesti berjaga-jaga. Mereka tahu main sebut saja.”

            “Sorry, Along! Next time, kami hati-hati.”

            “Fatihah pun sama, sorry Along.”

            “It’s okey! Kamu berdua mesti tak biasa lagi dengan budak kecik ni lagi kan.” Fatini tersenyum. Dia duduk di sebelah Fatihah. Dia pun sama jugak. Masa mula-mula dia kena jaga Baiduri selepas kematian Laila, tunggang terbalik hidupnya. Pengetahuan dia pasal anak memang zero. Selama ini dia hanya tahu pegang buku saja, tangggungjawab yang baru dipikul ini memang betul-betul mencabar. Dia terpaksa buat research sendiri.  Semua buku mengenai penjagaan kanak-kanak dibacanya. Ada jugak dia tanya dan minta tips dari kawan-kawan yang ada anak.

            “Kalau boring, pergilah keluar jalan-jalan.” Fatini tahu adik-adiknya pasti bosan. Asyik terperuk dalam bilik saja. Iyalah Fatihah dan Fawz baru saja habis SPM, mesti mereka nak jalan-jalan. Maklumlah sebelum ini mereka asyik pegang buku saja. Kasihan pulak tengok.

            “Takkanlah kami nak tinggal Along berdua jer. Tak boleh. Kalau penculik tu datang lagi, macam mana? Kita tak tahu kan.” Fawz kurang setuju. Dia risau tinggalkan Fatini dan Baiduri. Sekurang-kurangnya kalau dia ada, dia boleh lindungi kakaknya. Kalau penculik tu berani datang lagi, memang teruk dia akan belasah penculik tu. Dia dan Fatihah ada belajar silat masa sekolah dulu.

            “Betul cakap Fawz tu.”

            “Sayang jugak kamu berdua kat Along.”

            “Tentulah sayang!” jawab Fatihah dan Fawz seraya menampakkan barisan gigi yang teratur.

            “Sayang! Sayang!” Baiduri tersengih seraya mengikut cakap Fatihah dan Fawz. Anak matanya tepat padaa Fatini.

            Fatihah dan Fawz ketawa.

            “Yaaa… Umi pun sayang Baiduri.” Fatini angkat Baiduri ke atas ribanya.

            “Along! Fatihah ada rasa was-was sikit. Pasal Abang Alif? Betul ke Abang Alif mastermind pasal hal semalam?”

            “Kenapa?”

            “Sebab semalam, Abang Alif terkejut bila tengok Baiduri. Reaksi dia macam first time tahu pasal Baiduri. Kalau first time dia tahu pasal Baiduri, macam mana pulak dia boleh suruh orang culik Baiduri? Betul tak?” Jawab Fawz. Dia pun ada fikir macam itu jugak.

            “ Kalau bukan Alif ….. tapi siapa yang nak culik Baiduri semalam?” Fatini pandang melihat Baiduri yang begitu asyik menonton kartun kegemarannya.

            Lirikan mata Fatihah dan Fawz turut sama pada Baiduri. Masih menjadi tanda tanya. Siapa Baiduri yang sebenarnya?

                                                ******************************

            Intan mengambil oder dari pelanggan yang duduk di meja yang mampu memuatkan lapan orang. Tangannya begitu laju menulis oder. Dia ulang semula pesanan pelanggan itu . Dia tak mahu ada pesanan yang salah.

            “Intan!”

            Kepala terus menoleh apabila namanya dipanggil. Wajah terus berubah pucat lesi melihat kedatangan wanita yang gayanya tak ubah seperti datin. Dari atas kepala hinggalah ke kaki, semuanya berjenama.

            “Auntie!” Intan segera melangkah. Dimaniskan sedikit wajahnya. Jantungnya berdegup  kencang. “Auntie sihat? Auntie nak makan apa?” tanya Intan sebaik saja Puan Rokiah duduk di kerusi.

            “Auntie tak nak makan. Panggil Zahid sekali.” Kata Puan Rokiah dengan wajah serius. Dia tak senyum langsung.

            Tanpa banyak soal, Intan berlalu ke  dapur memanggil Zahid. Mereka berdua berjalan dekati Puan Rokiah semula.

            “Aaa…. Ada apa Auntie nak jumpa kami?” Zahid beranikan diri bertanya.

            “Auntie nak tanya, apa masalah kamu berdua sebenarnya? Suami isteri sama saja.  Apa yang kamu berdua tak puas hati  sampai hasut Fatini bencikan Alif? Auntie dah warning kamu berdua sejak dulu lagi kan …. Jangan ganggu hubungan mereka berdua.  Tapi kamu berdua tetap buat hal yang sama jugak.”

            Zahid dan Intan tergamam. Tuduhan Puan Rokiah memang mengejutkan mereka berdua.

             

            “Kalau kamu berdua betullah kawan baik Fatini, patutnya kamu nasihatkan Fatini supaya terima Alif. Tapi tak, kamu berdua buat cerita yang bukan-bukan pasal Alif. Sekarang Fatini dah bencikan Alif, puaslah hati kamu berdua kan. Hubungan mereka dah macam ni sebab kamu berdua. Kamu halang Alif jumpa Fatini kan! Tak sangka busuk betul hati kamu berdua ni.”

            “Auntie! Apa auntie cakap ni? Kami tak pernah hasut Fatini pun.” Intan menjawab. Dia cuba membela diri mereka.

            “Habis tu kenapa Fatini tak nak jumpa Alif?”

            “Auntie tanyalah Alif sendiri apa Alif dah buat kat Fatini semalam.”

            “Auntie tanya kamu, kamu tanya auntie balik.” Pandangan Puan Rokiah tepat pada Intan.

            Intan ingin menjawab tetapi tangannya dipegang Zahid. Intan faham dengan isyarat mata yang diberikan suaminya. Pasti Zahid tak mahu dia bergaduh dengan Puan Rokiah.

            “ Auntie, sepatutnya auntie kena dengar cerita kedua-dua pihak. Auntie patut tanya Fatini dan biar Fatini cerita hal yang sebenar.” Zahid bersuara.

            “Maksud kamu, Zahid. Alif tipu Auntie? Alif yang sengaja rekakan cerita ni? Kamu ingat auntie akan percaya cakap kamu? Alif lelaki baik dan jujur. Mustahillah, Alif nak buat semua tu.  Ini last warning dari auntie, jangan kamu berdua racun fikiran Fatini lagi. Kalau auntie dapat tahu, siaplah kamu berdua nanti.” Puan Rokiah memberi amaran dengan wajah serius. Dia terus bangun.

            “Satu lagi! Beritahu Fatini, pukul 2 petang esok. Auntie nak jumpa dia kat sini.” Pesan Puan Rokiah sebelum melangkah pergi.

            Intan mengurut dadanya berulang beberapa kali selepas Puan Rokiah keluar dari café itu. “ Rasa macam nak sesak nafas bila cakap dengan Auntie Rokiah. Kita pulak yang dipersalahkan.  Tak habis-habis bela Alif tu. Patutlah Fatini surrender setiap kali cakap dengan Auntie Rokiah.”

            “Sabar sajalah. Bukannya baru kita kenal perangai Auntie Rokiah. Nanti jangan lupa beritahu Fatini pasal pesanan Auntie Rokiah tu. Aaa…. Abang masuk dalam sekejap, ada banyak kerja tak habis kat dapur tu.”

            Intan mengangguk kepala perlahan-lahan.

2 comments:

Unknown said...

bestnya...

Azimah Lily said...

Terima kasih banyak2 sebab baca blog saya .... :)

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...