Wednesday, August 5, 2020

Duniaku Ada Kamu - Bab 5

Bab 5

 

            Kelopak mata dibuka perlahan-lahan apabila terasa ada pancaran matahari di wajahnya. Dengan malasnya, Omar bangun dari katil. Dia melihat ke arah tingkap. Siapalah yang buka langsir tingkap biliknya? Hari ini hujung minggu, Omar tak nak bangun awal.  Lagipun dia tak ada mood nak habiskan hujung minggunya dengan sebarang aktiviti.  Hidupnya tak bermakna lagi tanpa Husna. Hari ini sudah segenap sebulan Husna hilang tanpa khabar berita. Hari demi hari harapan Omar menanti kepulangan Husna semakin pudur. Husna langsung tak hubungi dia. Sampai hati Husna buat dia macam ni!

 

            “Termenung apa lagi? Bangunlah cepat! Dah pukul 11 pagi.” Kedengaran suara Puan Nabila.

 

            “Ibu! Hari ni Ahad. Biarlah Omar tidur lama sikit. Kacaulah.” Marah Omar. Dia tidur semula. Ditarik semula selimut menutupi kepalanya. Dia betul-betul malas nak bangun.

 

            Puan Nabila mengetap bibir. Dia dekati katil dan menarik selimut dengan kasar. “ Omar! Sudahlah! Sudahlah tu! Sampai bila Omar nak jadi macam ni, hah? Bila cuti saja, duduk berkurung dalam bilik. Berbaloi ke sia-siakan hidup Omar disebabkan Si Husna tu, hah?”

 

            “Ibu!” Omar lantas bangun. Dia merenung Puan Nabila.

 

            “Apa! Cakap ibu tak salah kan! Kalaulah dia benar-benar sayang dan cintakan Omar, Husna takkan buat Omar macam ni. Call pun tidak, mesej pun tidak! Hilang macam tu saja. Omar seorang saja teringatkan dia, dia langsung tak ingatkan Omar pun.  Family dia sendiri pun, dia tak contact langsung. Perempuann selfish macam tu, Omar nak jadikan isteri? Rumahtangga Omar akan bahagia ke nanti? Omar yakin ke Husna tu boleh jadi isteri dan ibu yang baik? 100 peratus yakin ke? Omar, bercinta dan kahwin ni tak sama! Dengarlah cakap ibu ni! Lupakan saja Husna tu!” kata Puan Nabila dengan panjang lebar. Dia nak Omar sedar semua tu.

 

            “ Memang Husna banyak kekurangan dia tapi kalau kita nasihat elok-elok, Omar yakin Husna akan berubah.”

 

            “Berubah? Lepas apa Husna dah buat kat Omar, Omar masih yakin Husna tu akan berubah! Kenapa dengan Omar ni, hah? Takkanlah sebab cinta, mata tu buta nak lihat apa yang terjadi sekarang ini disebabkan Si Husna tu.” Semakin bengis wajah Puan Nabila. Nama Husna saja dah buat telinganya rasa nak meletup. Nama Husna tak pernah lekang di bibir anak bongsunya itu. Omar masih berharap kepulangan Husna. Kenapa anaknya begitu naïf sangat?

 

            “Ibu!”

 

            “Mulai hari ini, ibu tak nak dengar nama Husna lagi! Faham!” jerkah Puan Nabila.

 

            Omar terdiam. Wajahnya sedih. Mustahil dia dapat lupakan Husna sekali gus. Hampir sepuluh tahun mereka bercinta. Memori-memori indah antara mereka berdua takkan mudah dipadamkan. Hatinya benar-benar terluka.

 

            “Sekarang ni! Ibu nak Omar mandi. Siap cepat! Sekejap lagi, Mariam datang.”

 

            “Mariam nak datang? Buat apa?”

 

            “Hey, Omar dah lupa ke Mariam tu tunang Omar ! Jangan buat perangai Omar! Bulan depan, kamu berdua dah nak nikah! Kad kahwin pun dah siap. Ibu yang call Mariam datang sini! Barang-barang hantaran tak beli lagi kan? Bila Mariam ajak Omar keluar, macam-macam alasan Omar bagi kan!”

 

            Omar mengeluh kuat.

 

            “ Bulan depan Mariam akan jadi isteri Omar! Ingat tu! Mandi cepat!” tegas Puan Nabila. Dia terus berlalu keluar.

 

            Selepas Puan Nabila berlalu keluar, Omar meraup wajahnya berkali-kali.  Dihentak tangannya di atas katil berkali-kali untuk lepaskan geram. “ Kenapa ibu suka sangat paksa aku terima Mariam, hah!” kata Omar. Dia mengetap bibirnya rapat. Hatinya masih lagi pada Husna. Itulah kenyataannya….

 

                                                ******************************

 

            Mariam duduk menanti Omar di ruang tamu. Diletakkan bag tangannya di sebelahnya. Kemudian Mariam betulkan tudungnya. Dia tak sabar nak keluar dengan Omar hari ini.

 

            Sebaik saja melihat Omar menuruni anak tangga, Mariam terus bangun dan tersenyum lebar. Dah lama dia tak jumpa Omar. Paling tepat sekali dia rindukan Omar.

 

            Senyuman Mariam sedikit demi sedikit hilang apabila melihat keadaan Omar yang nampak tak terurus. Rambut pula panjang dan kusut. Selalunya Omar seorang yang berpenampilan kemas dan bergaya. Omar benar-benar nampak lain. Dia risau melihat keadaan Omar. Ternyata kehilangan Husna memberi impak besar dalam hidup Omar.

 

            “ Omar, kau okey ke? Kalau kau tak nak pergi, aku seorang saja pergi. Kau bagi saja list barang hantaran tu.” Mariam bersuara apabila Omar dekati Mariam. Dia faham perasaan Omar. Dia tak nak kehadiran dia beri tekanan lagi pada Omar. Dia tahu perkahwinan ini beri tekanan berat dalam hidup Omar. Sudah lama dia tak nampak senyuman dan gelak ketawa Omar, kini Omar benar-benar berubah. Hidup Omar sudah tak ceria.

 

            Omar pandang Mariam. Renungan matanya begitu redup. “Aku…”

 

            “Tunggu apa lagi, pergilah!” Puan Nabila muncul secara tiba-tiba. Dipandang sekejap ke arah Omar dan dipandang sekejap ke arah Mariam semula.

 

            “ Yalah! Yalah! Kami gerak sekarang.” Jawab Omar. Dia beralah. Ikutkan hati dia memang malas nak pergi tapi dia tak mahu bergaduh besar dengan ibunya di depan Mariam. Langkah terus diatur menuju ke pintu.

 

            Puan Nabila tersenyum lebar.

 

            “Auntie! Saya pergi dulu yer!” kata Mariam seraya bersalaman dengan Puan Nabila.

 

            Puan Nabila angguk kepala. “ Keluar beli barang tu biar lama-lama sikit. Sesekali itu Omar tu kena keluar rumah jugak, asyik terperuk dalam bilik saja. Tak elok! Nanti Mariam ajak Omar lunch lepas tu dinner sekali yer…”

 

            “Ya, auntie!” jawab Mariam dengan senyuman. Dia terus bergerak keluar. Omar pasti sedang menantinya di kereta.

 

            Semakin panjang senyuman Puan Nabila. Rasa sejuk saja hati ini setiap kali bercakap dengan Mariam. Cakaplah apa-apa pun, selalu iyakan saja. Tak pernah melawan. Lain pulak dengan Husna, panas hati setiap kali bercakap dengan Husna. Kata-kata yang keluar dari mulut Husna buatkan darahnya mendidih. Dia sendiri hairan macam mana Omar boleh pilih Husna dari Mariam. Apa Omar nampak pada Husna, dia sendiri tak tahu! Apa-apa pun, niatnya nak bermenantukan Mariam tercapai jugak!  

 

                                                ***********************         

 

            Sebaik saja masuk ke dalam kereta Honda City Omar, Mariam tersenyum melihat Omar di tempat memandu.

 

            “ Husna ada contact kau tak?” tanya Omar.

 

            Senyuman Mariam terus mati. “ Tak!” jawab Mariam. “ Husna ada call kau tak?”

 

            Laju saja Omar geleng kepala. Yang jelas Omar kecewa.

 

            Mariam terdiam.

 

            “Kita nak pergi mana?” tanya Omar.

 

            “Pavillion!” jawab Mariam.

 

            Kemudian suasana dalam kereta antara mereka terus sunyi sepi. Sesekali Mariam pandang ke arah Omar yang begitu leka memandu. Dia dapat rasakan kehadirannya tidak dipedulikan Omar seolah-olah dirinya tak wujud pun. Dalam hati, Mariam mengeluh kuat. Semakin dekat hari perkahwinan mereka, Mariam mula rasa tak sedap hati. Patut ke mereka berdua teruskan perkahwinan ini sedangkan di hati Omar masih mengharap kepulangan Husna. Sebenarnya sehingga kini hatinya berbelah bahagi. Antara gembira dan realiti. Gembira kerana dapat menjadi isteri Omar tak lama lagi. Realitinya pula Omar tak cintakan dia. Apa yang akan terjadi jika Husna tiba-tiba pulang?  Semestinya Omar akan kembali semula ke pangkuan Husna. Habis itu nanti, dirinya pula bagaimana? Hari-hari dia fikir pasal hal ini. Letih dibuatnya.

 

            “Mariam! Dah sampai!”

 

            Mariam tersedar. Dia menoleh kiri dan kanan. Dia terkejut melihat sekelilingnya. Dah sampai di Pavilion. Kereta pun dah siap parking. Nampak sangat begitu panjang dia mengelamun.

 

            Omar terus keluar dari perut kereta Proton Persona.

 

            Mariam bergeges keluar. Dia terus ekori Omar dari belakang. Mereka berdua bergerak masuk ke dalam Pavilion. Sudah ramai orang memenuhi kompleks membeli belah itu.

 

            “ Mariam!” Omar bersuara.

 

            “Ya!” segera Mariam menjawab. Dipandang tepat anak mata Omar.

 

            “Kau belilah apa barang kau nak! Aku beli sendiri barang yang aku nak.”

 

            “Kita pergi beli sama-samalah.” Kata Mariam.

 

            “Aku rasa better kita berpecah. Cepat-cepat cari barang untuk hantaran lepas tu cepat-cepat balik. Aaa… Aku tunggu kau kat bangku tu.  Lepas aku dah selesai cari barang aku, aku tunggu kau kat situ.” Omar menunding jari ke arah kerusi yang berdekatan dengan mereka berdiri.

 

            Mariam hanya mampu angguk kepala.

 

            Melihat reaksi Mariam, Omar terus berlalu pergi.

 

            Mariam masih berdiri dari situ. Renungan mata masih setia melihat kelibat Omar sudah semakin jauh darinya.  “ Sampai bila Omar nak dingin dengan aku? Takkanlah lepas kahwin nanti perangai Omar tetap macam ni? I don’t really know why I’m still hoping?” kata Mariam dengan nada sedih.


No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...