Monday, February 15, 2021

Calon Menantu Cikgu Hawa - Bab 9

 

Bab 9

 

            CIKGU DIN mendekati isterinya yang sedang berehat dalam bilik. Terhidu bau minyak cap kapak. “ Awat, sakit kepala ka?” tanya Cikgu Din.

 

            “Ya. Berdenyut kepala ni. Semua ni anak Wahid punya kerja la. Baru sehari ja dah buat kepala ni sakit.” Jawab Cikgu Hawa dengan pejamkan matanya. Rasa kurang sikit sakit kepalanya.

 

            “Pasal dia masak telur rebus tu yang buat Hawa sakit kepala….” Kata Cikgu Din dan diakhiri dengan gelak ketawa. Semasa dia balik sembahyang Zuhor kat masjid, awal-awal lagi adik iparnya cerita apa yang berlaku. Rasa lucu pun ada.

 

            Kelopak mata Cikgu Hawa terus terbuka luas. Dipandang tajam kepada suaminya. “ Abang, ini benda serius. Nampak sangat budak tu tak tahu masak langsung. Yang pelik tu kenapa umi puji sangat yang kononnya budak tu pandai memasak. Kalau setakat telur rebus tu, budak darjah 1 pun tahu masak. Ikutkan hati nak saja Hawa call umi, Hawa nak tanya kenapa umi bohong pasal Talia ni….”

 

            “Hish… Hawa, umi kan tengah buat umrah sekarang ini. Janganlah kacau umi. Bila umi balik nanti, Hawa tanya umi elok-elok.” Nasihat Cikgu Din.

 

            “Tapi……”

 

            “Talia tu muda lagi. Kalau Talia ada buat salah, Hawa tegur dan ajar elok-elok. Abang tengok Talia tu budak baik sebenarnya cuma Talia tu terlebih happy sangat dan banyak cakap  ….. Cakap baik-baik dengan Talia.” Tambah nasihat Cikgu Din lagi.

 

            Cikgu Hawa angguk kepalanya perlahan-lahan.

 

            “Lepas ni apa pula program seterusnya….” Tanya Cikgu Din.

 

            Cikgu Hawa hanya mampu tersenyum. Sakit di kepalanya masih lagi belum hilang.

 

                                                ********************

 

            PUAN AINI memberikan sekeping kertas pada Sakinah, Mahfuzah dan Talia.

 

            Talia melihat senarai yang ada di kertas tadi. “ Ini…..”

 

            Cikgu Hawa mencelah. “ Jom ikut mak cik.” Cikgu Hawa terus berjalan menuju ke belakang rumah.

 

            Talia mengikuti dari belakang.

 

            Selepas seminit berjalan mereka tiba di kebun sayur yang terletak tidak jauh dari belakang rumah.

 

            Puan Aini membuka pintu  kebun sayur itu yang dipagari sekelilingnya.

 

            “OMG!” kata Talia. Mulut terbuka luas. Dia tak percaya melihat kebun sayur itu yang kehijauan. “  Semua ni auntie tanam ke?” tanya Talia.

 

            Cikgu Hawa buat tak peduli dengan soalan Talia. “ Test yang seterusnya …. Dah tengok kan senarai sayur dan ulam-ulaman yang kat situ. Ambil dan masukkan dalam bakul.  Mak cik nak tengok kamu semua kenal tak dengan pokok yang ada dalam taman ni. ”

 

            Puan Aini hulurkan bakul kecil pada setiap orang termasuk cutter dan penyodok tanah kecil.

 

            “Setiap orang senarai tak sama so jangan haraplah nak tiru.” Kata Cikgu Hawa seraya pandangan mata tepat ke arah Talia. “ Cari dalam masa 15 minit. Dah selesai, berkumpul di dapur. Okey…. Kita mula sekarang …..”

 

            Terlebih dahulu Sakinah tergesa-gesa masuk ke dalam kebun itu.

 

            Manakala Mahfuzah kelihatan releks dan tenang saja.

 

            Talia masih tercegat di situ. Dia membaca satu persatu apa yang tertulis dalam kereta itu.  “ Daun cekur tu daun aper?” tanya Talia.

 

            Cikgu Hawa hanya mendengus kuat dan terus berlalu pergi.

 

            Puan Aini tidak suka dengan sikap kakaknya yang layan Talia seperti itu. “ Daun cekur tu tumbuhan herba bersaiz kecil dan berwarna hijau. Selalunya orang jadikan ulam.” Beritahu Puan Aini.

 

            Talia tersenyum. “ Thank you, Auntie!”

 

            “Aini, masuk!” jerit Cikgu Hawa. Dia berpaling ke belakang dan terkejut melihat adiknya bercakap dengan Talia.

 

            “Ya…. Ya…” jawab Puan Aini. “ Talia cari cepat, masa tengah berjalan  ni.”

 

            “Okey, auntie! Talia pergi cari sekarang ….” Talia terus masuk kebun sayur itu.

 

            “Aini! Awat hang tercegat kat situ lagi? Cepat masuk….” Jerit Cikgu Hawa.

 

            Puan Aini geleng kepala. Dari jauh dia nampak wajah tak puas hati kakaknya.

 

                                    *********************************

 

            CIKGU HAWA tersenyum apabila Sakinah orang pertama masuki pintu belakang dapur.

 

            Sakinah letakkan bakul yang penuh dengan sayur-sayuran yang dipetiknya tadi di hadapan Cikgu Hawa dan Puan Aini.

 

            Puan Aini periksa satu persatu apa yang ada dalam bakul itu berdasarkan senarai yang tertulis dalam kertas itu. “ Semua betul! Pass!” kata Puan Aini.

 

            Sakinah tersenyum. Dia bertukar pandangan dengan Cikgu Hawa. Yang jelas Cikgu Hawa berpuas hati dengan prestasinya. “ Ibu ajar kami semua adik beradik bercucuk tanam sejak kecil lagi. Rumah kami kat Ipoh ada kebun sayur tapi kecil saja, sebab tu saya kenal dengan apa saja jenis pokok.” Beritahu Sakinah.

 

            “Bagus!Bagus! Itu sepatutnya kita ajar anak-anak kita. Jangan asyik pegang phone saja.” Tambah Cikgu Hawa. Keluarga Sakinah nampaknya bijak mendidik anak-anaknya.

 

            Mahfuzah masuk dan angkat bakulnya di atas meja.

 

            Seperti Talia, Puan Aini lakukan perkara yang sama pada bakul Mahfuzah. “ Daun kaduk, hang tahu ?” tanya Puan Aini. Ditunjukkan daun kaduk pada Mahfuzah.

 

            “Tahu. Kat rumah tok, ada banyak pokok kaduk. Hampir menyerupi daun sirih tapi ia bukannya tumbuhan memanjat tapi tumbuh di tanah.” Jawab Mahfuzah.

 

            Cikgu Hawa tersenyum dan angguk kepala perlahan-lahan.

 

            “ Ok! Pass!” kata Puan Aini.

 

            “Terima kasih…” kata Mahfuzah. Dia berjalan dan berdiri di sebelah Sakinah.

 

            “Mana budak Talia ni? Takkan tak habis petik lagi.” Kata Cikgu Hawa. Dia mula risau. Entah apa Talia tu buat di kebun sayurnya. Jangan jahanamkan kebun sayur tu sudahlah.

 

            “Tak cukup 15 minit lagi, Kak Long. Tunggulah sat.” Kata Puan Aini.

 

            Tiba-tiba Talia masuk dan tersenyum. Dia letakkan bakulnya di atas meja untuk dinilai.

 

            Puan Aini dan Cikgu Hawa terkejut lihat bakul itu penuh dengan macam-macam sayur-sayuran dan ulam-ulaman.

 

            “Ini peria….” Talia tunjukkan buah berwarna hijau yang sebesar lengannya.

 

            “Aaaa…. Bukan peria tapi ini labu air…” kata Puan Aini dan diletakkan buah labu air ke tepi.

 

            “Opsss…” Talia tutup mulutnya. Dikeluarkan pokok yang daunnya berwarna hijau gelap dengan bentuk panjang. “ Ini ulam raja.”

 

            “Talia, ini daun kesum bukan ulam raja.” Tegur Puan Aini.

 

            “Salah lagi ke?” tanya Talia dengan wajah masam. Dikeluarkan daun seterusnya, daunnya panjang halus.  “ Daun kunyit, betul kan ….” Kata Talia.

 

            “ Ini daun pandan.” Dahi Puan Aini mula berkerut. Sekilas dia menoleh ke arah kakaknya. Nampak air muka kakaknya semakin keruh.

 

            Talia mengeluh. “ Yang ini, pasti betul!” kata Talia dengan keluarkan pokok yang dikerat batang bersama buahnya sekali. “ Daun pudina…” kata Talia.

 

            “Ini bukan daun pudina, ini daun limau purut.” Beritahu Puan Aini lagi.

 

            “ Aduh, salah lagi …..” kata Talia. Dikeluarkan satu pokok yang berwarna hijau yang daunnya panjang. “ Daun bawang…..” beritahu Talia.

 

            Puan Aini menepuk dahinya dengan perlahan. Pokok kucai dicakapnya daun bawang pulak… Mampus macam ni….

 

            “Talia Lana…………” jerit Cikgu Hawa. Dia sudah hilang sabar. Rumah batu dua tingkat itu bergema dengan suara Cikgu Hawa.

 

                                    **************************************

 

            TALIA, Sakinah dan Mahfuzah berjalan balik ke rumah masing-masing.

 

            Talia masih tundukkan kepala. Dia masih tak dapat lupakan apa yang berlaku tadi. Jeritan Cikgu Hawa tadi benar-benar buat dia terkejut. Nak dekat 10 minit, dia dengar leteran Cikgu Hawa. Hakikat sebenarnya dia kenal semua jenis tanaman yang ada kat kebun sayur tu cuma dia sengaja pilih yang salah semata-mata nak buat Cikgu Hawa marah.  Akibatnya rasalah. Dalam masa yang sama dia rasa bersalah jugak.

 

            “Talia! Anggap saja apa Mak Cik Hawa cakap tadi tu sebagai teguran. Jangan ambil hati sangat, esok Mak Cik Hawa okey lah…” kata Mahfuzah.

 

            Talia angguk kepala perlahan-lahan. Dia tersenyum.

 

            “ Teguran apanya…. Itu tanda Mak Cik Hawa tengah marah.  Satu jenis pokok pun tak tahu tapi ada hati nak kahwin.” Sindir Sakinah. Dia sempat jeling ke arah Talia sebelum masak ke rumahnya.

 

            Mahfuzah geleng kepala.

 

            Dahi Talia berkerut selepas dengar kata-kata Sakinah. Dia melihat Sakinah masuk ke dalam rumah yang bersebelahan dengan rumahnya.

 

            “Jangan dilayan sangat perangai Sakinah tu, biarlah dia. Masuk, mandi dan rehat.” Kata Mahfuzah.

 

            Bye…. Jumpa esok.” Kata Talia pada Mahfuzah. Rumahnya bersebelahan dengan rumah Mahfuzah.  Rumah Talia terletak di tengah-tengah. Ketiga-tiga mereka menetap di deretan rumah berkembar yang asalnya dijadikan homestay. Ada lima buah rumah di situ.

 

            Bye!” Balas Mahfuzah.

 

            Talia menanggalkan kasut dan membuka pintu rumah. Dengan cepat-cepat, pintu ditutup. Suis kipas dibuka. Dia segera duduk di sofa ruang tamu. Rambut palsu Afro ditanggalkan. Rimas betul, seharian dia pakai rambut Afro ni. Dibetulkan rambut panjangnya. “Leganya….”

 

            Dia terus baring di sofa dengan pandangan ke arah siling.  “ Mesti Cikgu Hawa marah giler kat aku. Hari ini perangai aku kurang ajar sangat ke?” Talia analisa semula apa yang terjadi pagi tadi sehinggalah petang tadi. Dia masih tak dapat hilangkan rasa bersalahnya sebab buat Cikgu Hawa marah.

 

            “ Kalau Cikgu Hawa marah, itu tandanya plan kau berjaya, Talia.” Talia bercakap seorang diri. Dia bangun semula. “ Aku tak nak kahwin dengan Amir …. So ini saja jalannya. Dua tiga hari nanti confirm Cikgu Hawa cakap aku tak layak jadi menantu dia…. Okey! Rasa bersalah tu kena ignore dulu.” Talia bertekad.

 

            Tiba-tiba telefon pintarnya berbunyi. Dia tersenyum melihat nama abangnya. “ Assalammualaikum….”

 

            “Waalaikumussalam. So adikku, first day kat rumah bakal mak mentua macam mana? Pertandingan hari ini siapa yang menang?” tanya Mukriz.

 

            Bibir Talia sedikit senget ke kiri. “ Menang apernya? Bukannya pertandingan pun. Only test, okey! Abang ni suka merepek yang bukan-bukan la. Lagipun mustahil Talia akan jadi pilihan Cikgu Hawa.”

 

            “Kenapa pulak? Adik abang kan cantik orangnya lepas tu berbudi bahasa. Pandai memasak, rajin mengemas, suka berkebun, pandai menjahit dan bonusnya pandai bertukang. Memang rugi Cikgu Hawa nanti!”

 

            “Cikgu Hawa dah ada pilihan sendiri. Talia yakin  Kak Sakinah yang akan terpilih jadi menantu dia. Semua orang tahu la. Bagi Talia, baguslah kalau macam tu. Abang tahu kan Talia tak terfikir pun nak kahwin dalam masa terdekat ni. Talia nak kerja lepas tu kumpul duit banyak-banyak dan lepas tu ada rezeki lebih, Talia nak bawa kita sekeluarga pergi umrah…”  Talia tersenyum. Itu dah memang niat dia pun.

 

             “ Baik betul hati adik abang ni, oklah abang nak kena sambung kerja ni. Nanti abang call lagi. Be a good girl okey…. Bye! Assalammualaikum….” Kata Mukriz sebelum tamatkan panggilan mereka.

 

            Talia tersenyum. Dapat bercakap dengan Mukriz saja, dah terubat rindunya kat ahli keluarganya.

 

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...