Friday, December 29, 2023

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 3

 

Bab 3

            ATAN memulakan tugasnya membersihkan homestay selepas tetamu-tetamu yang bermalam di situ sudah pun check out. Dia mula menyapu dan mengelap lantai sehingga bersih. Kemudian dia beralih pula mencuci bilik air dan tandas. Selesai saja membersih, dia pergi setiap bilik tidur untuk menukar cadar dan sarung bantal baru. Selimut turut sama dimasukkan ke dalam bakul. Bakul itu terus diangkat.

            Langkah diatur ke arah mesin basuh yang terletak di luar dapur. Dia terus masukkan semua yang ada di bakul ke dalam masin basuh. Mata melihat sekeliling mesin basuh itu.

            “Mana pulak sabun ni?” Atan bersuara. Balang yang berisi serbuk sabun basuh baju yang selalu ada di atas rak kini sudah tiada. Dahi sedikit berkerut. Tertanya-tanya ke mana hilangnya balang itu.

            “Abang Atan kat sini rupanya. Aaaa….. Kerja apa lagi yang tak siap?” Tiba-tiba Wafiy muncul di belakang rumah homestay. Dia baru saja selesai membersih rumah homestay Chempaka. Kebetulan homestay Chempaka dan homestay Mawar bersebelahan. Dulunya mereka hanya mempunyai satu saja homestay tetapi kakaknya memberi duit untuk mengembangkan business penginapan keluarga mereka dengan membeli tanah yang berhampiran dan membina tiga buah lagi homestay. Kini keluarganya mempunyai empat buat homestay yang dinamakan sempena nama bunga. Disebabkan homestay mereka terletak beberapa meter dari anak sungai yang jernih, ini merupakan salah satu kelebihan homestay mereka yang sering menjadi pilihan guests yang berkunjung malah ada air terjun yang terletak 1km dari homestay mereka yang boleh dikunjungi.

            “ Dah nak siap dah. Ni balang sabun hilang, mana pulak perginya?”

            “Aaaa….. Kadang-kadang dia orang selalu letak kat kabinet dapur.” Beritahu Wafiy. Dia terus menanggalkan kasut dan masuk ke dalam. Ada kalanya tetamu yang datang akan mengubah barang.

            Atan mengekori Wafiy.

            Setiap kabinet dapur dibuka satu persatu. Akhirnya tekaan Wafiy betul, balang itu dijumpai di salah satu kabinet dapur. Wafiy mengambil balang itu dan diberikan pada Atan.

            “Thank you.” Kata Atan. Dia menyambung semula kerjanya.

            Wafiy menarik kerusi di dapur dan terus duduk.

            “Abang Atan! Tadi mak call, mak ajak Abang Atan makan tengahhari sama-sama kat rumah.” Wafiy menyampaikan pesanan ibunya.

            “ Lain kali la, saya dah bawa bekal.” Jawab Atan. Butang on di mesin basuh ditekan. Dia terus masuk ke dalam rumah.

            “Ni mesti Abang Atan nak avoid Kak Widad kan?” Wafiy tersengih. Sememangnya tiap kali kakaknya ada di rumah, seboleh-bolehnya Atan pasti mengelak. Kadang-kadang tu seharian batang hidung tak nampak Atan. Mana taknya, perangai kakaknya itu buat orang rimas. Melampau pun ada. Benda yang orang tegur, lagilah kakaknya tetap nak buat.

            Atan hanya mampu tersenyum. Memang dia mahu elak dari Widad. Jujurnya dia tak selesa. Apabila dia mendapat tahu yang Widad pulang ke Malaysia dan bekerja di Kuala Lumpur, dia rasa resah dan insecure.

            “Aaa…. Bila Widad pergi KL?” tanya Atan. Yang dia tahu sebelum Widad bekerja di KL, Widad bercuti beberapa hari di kampung dulu.

            “Kenapa? Tak sabar nak halau Kak Widad pergi KL ke?” tanya Wafiy dengan nada mengusik.

            “Eh! Eh! Bukan itu niat saya, just nak tahu saja.” Atan sudah gelabah.

            Wafiy ketawa kecil.

            “Rileks la Abang Atan. Saya kenal sangat perangai Kak Widad tu. Dah la pelik, gila-gila pulak tu. Abang Atan kena hadap Kak Widad sampai Ahad depan saja, lepas tu Abang Atan akan merdeka. Buat masa sekarang ini, Abang Atan kena sabar.” Kata Wafiy. Nampak sangat Atan takut dengan kakaknya. Agaknya kalau Atan tahu yang kakaknya target nak jadikan suami, hari ini jugak Atan bungkus pakaian dan lari dari kampung ini.

            Atan menarik nafas lega apabila mendengar jawapan Wafiy. Dia bertekad akan harungi cabaran ini. Dengan sedaya upaya, dia akan elakkan diri dari Widad. Bukannya dia tak suka dengan Widad tapi Widad selalu bertanya siapa dirinya dan latarbelakangnya. Seboleh-bolehnya dia mahu lupakan kisah silamnya dan memulakan kehidupan baru. Dia bersyukur kerana bertemu dengan Pak Walid sekeluarga.

                                                            ******************

            Tangan Widad begitu ligat membancuh air sirap di dalam jug. Dia berjalan ke arah peti sejuk dan mengeluarkan ais. Dimasukkan ketulan ais itu ke dalam jug. Senyuman meleret di bibir Widad. Apabila dia mendapat tahu yang Atan akan makan tengahhari bersama, dia terus bersemangat nak menolong ibunya di dapur. Tak sabar nak tunggu kedatangan Atan.

            Kedengaran bunyi motor milik Wafiy, Widad segera mengangkat jug air sirap dan kemudian diletakkan di meja makan. Mata tepat ke arah pintu dapur menunggu kemunculan Atan. Sempat lagi Widad membetulkan rambutnya yang diikat satu.

            “Assalammualaikum…..” Wafiy melangkah masuk dengan memberi salam.

            “Waalaikumussalam.” Jawab Mak Esah. Dia membawa mangkuk gulai ikan kembung yang dimasak tadi ke atas meja. Dia tersenyum menyambut kepulangan Wafiy.

            “Aaa…… Atan mana? Kata nak makan sama.” Widad bersuara. Laju saja dia melangkah ke pintu dapur, dia melihat ke luar rumah. Tiada sesiapa pun. Kelibat Atan tak ada pun.

            “Wafiy, Atan mana?” tanya Widad pada adiknya.

            Wafiy menarik kerusi dan terus duduk. Dia menggelengkan kepala beberapa kali sebelum menoleh ke arah kakaknya.

            “Tak datang sebab Abang Atan bawa bekal tadi.” Jawab Wafiy. Mahu saja dia cakap sebab kakak dia la, Atan tak mahu menjejakkan kaki di rumah mereka.

            “Apa! Patutnya Wafiy heret Atan datang makan kat sini jugak.” Widad tak puas hati dengan jawapan Wafiy. Timing antara mereka berdua sentiasa tak kena.

            “Apa! Ingat Abang Atan tu lembu ke? sampai nak ke heret datang rumah! Agak-agak la.” Jawab Wafiy. Sejujurnya bercakap dengan Widad, asyik stress saja. Dah la suka memaksa.

            “ Tak la sampai macam tu, at least pujuk la elok-elok, makan seorang diri bukannya best, makan ramai-ramai lagi berselera.” Tambah Widad.

            Wafiy membuat mimik muka. Nak saja dia cakap, sebab kakak dia la Atan tak nak datang, tapi tak guna pun kalau beritahu. Bukannya kakaknya itu jenis faham bahasa. Dia terus bangun.

            “ Mak, dah siap kan! Wafiy pergi panggilkan ayah.” Beritahu Wafiy. Dia buat tak endah dengan kata-kata Widad. Malas nak dengar!

            “Yalah.” Mak Esah bersuara.

            Widad mengetap bibir apabila Wafiy pergi begitu saja. Seboleh-bolehnya dia mahu Atan makan tengahhari bersama mereka. Tak boleh jadi ini, dia kena pergi panggil Atan jugak.

            “Widad Warda Bt Walid!” Kedengaran suara Mak Esah bergema di dapur.

            Widad menoleh ke belakang. Dia melihat jelingan maut Mak Esah dekatnya. Kaki terus kaku di depan pintu dapur.

            “Masuk! Kita dah makan. Pergi cedok nasi cepat.” Kata Mak Esah dengan mencekak pinggang. Dia sudah dapat meneka apa anaknya itu cuba buat. Wajah serius tanpa secalit senyuman.

            “Yalah! Yalah!” jawab Widad dengan lemah. Dia menuruti saja arahan Mak Esah. Takut jugak kalau ibunya naik angin.

                                                            *********************

            Usai solat maghrib di masjid, Atan mengayuh basikal pulang ke rumah. Dia sengaja memilih untuk pulang pada waktu begini untuk mengelakkan diri berjumpa dengan Widad.

            Tibanya di hadapan rumah Pak Walid, Atan terus turun dari basikal. Dengan penuh berhati-hati, Atan berjalan menolak basikalnya tanpa mengeluarkan sebarang bunyi. Apabila melalui bilik Widad, Atan mengetap bibir. Gayanya tak ubah seperti pencuri. Sikit pun tidak keluarkan bunyi meredah halaman rumah Pak Walid.

            Atan menarik nafas lega apabila berjaya melepasi bilik Widad. Yang jelas bilik Widad bercahaya.

            Tongkat basikal diturunkan perlahan-lahan apabila Atan tiba di rumah.

            Tiba-tiba saja, pintu dapur Pak Walid yang berhadapan dengan pintu rumah Atan dibuka. Atan terkejut besar.

            “Atan! Baru balik ke?” tegur Widad di muka pintu. Dia tersenyum sampai ke telinga. Sejak petang tadi, dia menunggu Atan pulang. Dia bertekad akan jumpa Atan hari ini jugak.

            Tubuh Atan terus mengeras kaku. Wajah pucat lesi.

            “Aduh! Ilmu apa Widad ni pakai sampai boleh tahu aku balik.” Atan bercakap seorang diri. Tak sangka begitu cepat Widad menyedari kepulangan dia.

            Dengan laju, Widad menyarung seliper dan hampiri Atan dengan membawa bag kertas yang berisi cenderamata yang dibeli di London tempoh hari.

            “Atan! Saya nak bagi sourvenier kat awak. Ambil la.” Widad menghulurkan bag kertas itu.

            “Aaaa…. Terima kasih!” ucap Atan. Dia mengambil bag kertas itu dari Widad. Rasa kekok apabila berdua dengan Widad pada waktu begini.

            “Sama-sama. Tengok la apa saya beli kat awak. Mesti awak suka. Buka la.” Kata Widad lagi. Tak sabar nak tengok reaksi Atan melihat cenderamata yang dia beli khas untuk Atan.

            Atan menuruti saja kehendak Widad. Dia membuka bag kertas itu dan mengeluarkan kotak minyak wangi berjenama Mont Blanc. Dahi Atan berkerut. Mahal ini!

            “ Aaaa…. Saya tak pakai minyak wangi.” Atan bersuara dan memandang Widad. Iyalah dia bukannya kerja pejabat, dia kerja kampung saja. Banyak masa dihabiskan di kebun pisang milik Pak Walid dan homestay Pak Walid saja. Setiap hari dirinya bemandikan peluh. Memang mustahil dia nak pakai minyak wangi.

            Atan memasukkan semula kotak minyak wangi itu ke dalam bag kertas. Dihulurkan pada Widad.

            “Maaf, saya tak boleh terima. Seumur hidup saya tak pernah pakai minyak wangi. Saya ni orang kampung, memang tak sesuai pakai barang mahal. Awak ambil la balik.” Atan menolak pemberian Widad.

            “ Awak ni sampai hati bagi balik sourvernier ini. Saya ikhlas bagi kat awak. Kecik hati ini kalau awak bagi balik. Jauh tau saya beli. Awak boleh pakai minyak wangi ini bila awak dating nanti.” Dengan sengaja, Widad membuat muka sedih. Mustahil dia akan ambil balik minyak wangi itu. Ketika itu dia memilih minyak wangi untuk Atan dengan sepenuh jiwa raganya.

            “Dating?” Atan terkejut. Dahi berkerut. Nak dating dengan siapa? Girlfriend pun tak ada!

            Widad tersengih. Harap-harap Atan faham maksud dia sebentar tadi. Nak dating dengan siapa lagi kalau bukan dia sendiri. Baru saja dia ingin membuka mulut, kedengaran namanya dipanggi. Dia menoleh ke belakang.

            “Widad balik! Hish…. Budak ini bila masanya dia pergi sana.” Panggil Mak Esah. Dia terus mencekak pinggang. Terkejut apabila Widad ada di luar rumah. Dia tahu sejak petang tadi Widad menunggu kepulangan Atan.

            Wajah Widad berubah masam. Tiap kali nak berborak dengan Atan, ada saja orang kacau daun. Ada banyak benda dia nak cakap dengan Atan.

            “Mak Esah panggil tu, balik la. Saya pun nak masuk rumah nak berehat.” Kata Atan. Dia tak mahu berdua-duaan lebih lama dengan Widad. Apa pulak kata Mak Esah nanti. Lagipun dia sudah banyak terhutang budi dengan Pak Walid dengan Mak Esah.

            “Yalah! Yalah! Esok kita borak lagi. Tapi minyak wangi ini, awak kena ambil. Bye! Good night.” Widad mengalah dengan kata-kata Atan. Dia terus berlalu pergi dan berjalan menuju pulang ke rumah. Sempat lagi Mak Esah menampar belakang Widad sebaik saja masuk.

            “Atan! Macam selalu tau.” Kata Mak Esah. Dia tersenyum beberapa saat sebelum menutup pintu dapur.

            Atan menganggukkan kepala kerana faham dengan kata-kata Mak Esah. Ini mesti Mak Esah ada bagi makanan kat dia. Selalunya Wafiy yang tolong hantarkan kalau dia tiada, mereka ada kunci pendua rumahnya. Dia melihat bag kertas yang ada di tangannya sebelum mengeluh perlahan. Bagi dia pemberian Widad adalah satu bebanan. Kunci rumah dikeluarkan dari poket seluarnya.

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...