Sunday, January 14, 2024

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

 

Bab 5

            SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga petang. Itulah kerja mereka berdua setiap hari kecuali hari Khamis.

            “Wafiy, bulan ini homestay kita full setiap hujung minggu kan?” tanya Atan setelah masuk ke dalam ofis mereka yang terletak berhampiran dengan homestay. Dia terus membuka suis kipas dan lampu.

            “ Ya. Full. Alhamdulilah, tahun ini rezeki melimpah-limpah. Boleh minta bonus sikit kat ayah.” Jawab Wafiy. Dia ketawa kecil. Tingkap ofis dibuka agar udara luar masuk.

            “Amin. Bulan depan cuti sekolah dah start mesti full homestay ini.” Atan tersenyum. Setiap kali cuti sekolah sememangnya homestay sini sentiasa penuh. Maklum la di belakang homestay ini ada anak sungai yang cantik dan juga cetek. Selamat terutama sekali untuk kanak-kanak bermandi-manda. Selalunya guests yang datang pasti akan datang sekali lagi ke sini.

            “ Itu pun sudah ada orang booking.” Beritahu Wafiy.

            “Ya ke? Lagi pantas, iyalah siapa cepat, dialah yang dapat. Wafiy, saya nak pergi sapu sampah kat belakang homestay. Kalau ada apa-apa, cari saya kat sana.” Kata Atan. Dia terus keluar. Sebelum itu, dia pergi ke belakang ofis untuk mengambil penyapu dan penyodok.

            Langkah diatur menuju ke belakang homestay. Atan melihat daun-daun kering bertaburan di atas tanah. Bunyi air sungai begitu jelas sekali. Dia tersenyum. Sememangnya dia sukakan suasana begini. Nyaman dan tenang.

            Tanpa membuang masa, Atan segera menyapu. Dalam masa yang sama dia baru teringat pesanan Pak Walid supaya mengubah pasu bunga kertas di homestay Mawar yang menganggu laluan jalan.

            Selesai melakukan tugasnya, Atan menyimpan semula penyapu dan penyodok di belakang ofis. Dia meneruskan langkah ke homestay Mawar.

            “Abang Atan, saya dah ubah pasu bunga yang ayah pesan tadi.” Beritahu Wafiy yang ketika itu sedang menyiram pokok-pokok bunga yang ada homestay Mawar.

            “Kalau dah settle, saya ……….” Belum sempat Atan menghabiskan kata-katanya, dia terkejut mendengar bunyi loceng basikal.

            Dahi Wafiy berkerut melihat Widad mengayuh basikal dengan laju memasuki perkarangan homestay.

            “Assalammualaikum……..” Widad memberi salam. Dia terus brek basikalnya secara tiba-tiba di tepi Atan. Pandangan mata Widad tepat ke arah Atan. Sikit pun dia tak pandang adiknya. 

            “Waalaikumussalam.” Jawab Atan dengan nada perlahan. Dia memandang ke arah lain. Kenapa pulak Widad singgah sini? Aduh, leceh la. Air muka Atan menunjukkan rasa tak selesa. Dia sengaja mengundur dua tapak ke belakang agar menjauhi Widad. Dia cuba bertenang. Otak mula ligat memikirkan jalan untuk melarikan diri.

            Wafiy menggelengkan kepala melihat perangai Widad yang tidak menghiraukan langsung kewujudan dia di situ. Dengan sengajanya, Wafiy menyiram air dekat kakaknya.

            “Apa ni? Basah la.” Widad terkejut apabila dirinya dibasahi dengan air. Mata dia beralih ke arah Wafiy yang memegang paip air.

            “Opsss…. Sorry, tak sengaja. Ingatkan pokok tadi.” Balas Wafiy. Dia tersengih.

            “Sengaja kan!” marah Widad. Mata sudah terjegil besar.

            “Aaa….. Kenapa tiba-tiba datang sini?” tanya Wafiy. Dia menyedari perubahan wajah Atan apabila kakaknya muncul.

            Excuse me, dah lupa ke siapa investor homestay ni?” jawab Widad.

            Bibir Wafiy terus muncung. Dah tentu la dia tahu kakaknya ada share terbesar dalam perniagaan family mereka. Kiranya kakaknya bos besar jugak la selepas ayah dia.

            Pandangan Widad berubah ke arah Atan. Air muka berubah semanis gula. Dia segera turun dari basikal.

            “Awak! Tadi saya pergi warung Mak Intan, Mak Intan suruh bagi awak laksa.” Beritahu Widad. Dia menghulurkan bag plastik pada Atan.

            “Aaa…. Terima kasih.” Kata Atan selepas mengambil bag plastik itu dari Widad.

            “Sama-sama kasih.” Jawab Widad. Dia tersenyum meleret.

            “ Saya minta diri dulu. Ada banyak kerja tak siap lagi.” Kata Atan. Dia mengambil peluang ini untuk meloloskan diri. Kaki melangkah laju menuju ke ofis.

            Widad terpingga-pingga apabila Atan pergi begitu saja. Dia ingin memanggil Atan tetapi Wafiy terlebih dulu bersuara.

            “Aaa…. Dah hantar kan, pergi la balik.” Wafiy menyuruh kakaknya segera pulang ke rumah.

            “Amboi, halau nampak! Aaa…. Ofis tu aku tak tengok lagi. Aku nak pergi tengok.” Kata Widad. Baru saja beberapa bulan ofis itu siap. Lagipun dia yang memberikan cadangan supaya ofis dibina untuk memudahkan urusan pendaftaran guests yang datang.

            Wafiy mengeluh kuat. Dia melihat kakaknya berjalan laju menuju ke ofis.

            “ Sorry la Abang Atan. Dah cuba tapi Kak Widad tu tak makan saman.” Wafiy bercakap seorang diri. Dia menyambung semula menyiram pokok bunga yang ada di situ.

                                                ***************************

            Bag plastik berisi laksa itu dihidu oleh Atan. Bau laksa saja sudah buat perutnya bergelora. Laksa hasil tangan Mak Intan memang sedap. Dia selalu makan kat situ.

            Kemudian dia meletakkan bag plastik itu di atas meja. Selepas dia selesaikan kerja nanti baru dia makan.

            “Laa…. Kenapa tak makan?”

            Atan terkejut dengan kehadiran Widad di dalam ofis itu.

            “ Ada banyak kerja nak buat.” Ringkas jawapan yang keluar dari mulut Atan. Aduh, kenapa pulak Widad ada kat sini pulak? Dia sempat melirik mata ke luar tingkap mencari Wafiy untuk menolong dia. Ternyata Wafiy sedang menyiram pokok bunga. Dia ingin keluar  dari situ namun Widad menghalang laluan Atan. Masa itu Atan berharap sangat kalau ofis ada dua pintu keluar, ada peluang dia melarikan diri.

            “Mana boleh macam itu? Masa bekerja dengan masa berehat mesti la seimbang. Kesihatan kena jaga. Macam mana?  Dah ada ofis, selesa kan? Urusan semuanya mudah, betul tak? Tak payah la asyik nak ulang alik bila ada guests nak check in.” kata Widad. Dia memang sengaja berdiri di depan pintu ofis itu.

            Atan hanya mampu tersenyum mengiyakan kata-kata Widad. Rasa kekok apabila Widad ada di depan mata.

            “ Awak suka makan apa lagi? Mak Intan cakap awak suka makan laksa. Selain laksa, awak suka makan apa lagi?” tanya Widad. Dia tetap cuba berbual dengan Atan. Tadi semasa dia makan di warung Mak Intan, macam-macam gossip Mak Intan bercerita pasal dia termasuk la pasal Atan. Mak Intan jugak beritahu yang Mak Intan cuba korek asal usul Atan tetapi Atan pandai mengelak dari menjawab pertanyaan Mak Intan.

            “ Saya makan apa saja asalkan halal.” Jawab Atan.

            “Ya ke? Saya pun suka makan apa saja asalkan halal. Tak sangka kita ada kesamaan.” Widad menepuk tangan secara tiba-tiba dengan wajah ceria.

            Dahi Atan berkerut. Dah kenapa Widad ni? Dah macam monyet pun ada.

            “Kalau macam tu malam ini jom makan satay kat pekan? Dengar-dengar satay kat situ sedap. Wafiy ada beritahu baru-baru ini. Jom la.” Ajak Widad. Dia mengambil peluang ini untuk keluar berdua dengan Atan.

            “Maaf, saya tak suka makan kat luar.”

            “Kalau macam tu, saya beli bawa balik lepas tu kita makan sama-sama.” Widad masih tidak putus asa. Apa pun alasan Atan, dia mencari jalan agar dapat keluar dating dengan Atan.

            Atan cuba menahan geram. Dah orang tak nak, tetap jugak nak paksa.

            Tiba-tiba bahu Widad dicuit dari belakang, dia menoleh.

            “Apa!” marah Widad apabila bertentang mata dengan Wafiy. Kacau daun saja!

            “Mak call. Nak cakap dengan Kak Widad.” Beritahu Wafiy. Telefon pintar yang ada di tangannya dihulur dekat kakaknya.

            “Nanti la aku call balik.” Jawab Widad. Ada benda lagi penting yang dia kena buat dari menjawab panggilan ibunya.

            Wafiy menarik tubuh kakaknya agar jauh sedikit dari pintu. Dia meletakkan telefon pintarnya di tangan Widad.

            “Nak mak datang sini ke atau nak jawab call mak sekarang?” ugut Wafiy.

            “Yalah! Yalah!” Widad mengalah. Jika ibunya datang pasti ribut yang akan datang. Dia menjawab panggilan itu dengan lemah.

            Wafiy memandang ke arah Atan dan memberi isyarat mata supaya beredar dari situ sementara dia mengalih perhatian Widad.

            Atan memahami isyarat yang diberi oleh Wafiy. Dengan segera dia keluar dari ofis setelah melihat Widad sibuk menjawab panggilan Mak Esah. Dia melangkah laju pergi ke belakang homestay.

            Sebaik saja berhenti berlari, Atan memegang dadanya. Jantungnya berdegup laju. Dia menoleh ke belakang. Tiada sesiapa pun. Bimbang jika dirinya dikejar Widad.

            “Tahap tak faham Widad ini semakin menjadi-jadi. Macam aku tak tahu helah dia! Ini mesti dia nak cari peluang nak korek rahsia aku. Arghhh…. Stress!” Atan bercakap seorang diri. Sejak dulu lagi, Widad cuba tahu pasal diri dia. Ada saja macam-macam soalan ditanya oleh Widad. Tahap menyibuk Widad boleh tahan jugak. Nasib baik Wafiy tak macam tu. Dia berharap sangat Widad pergi KL secepat mungkin.

                                                            *******************

            Pintu kereta Nissan Almera ditutup sebaik saja Widad keluar dari perut kereta. Dia dan ibunya baru saja pulang dari rumah adik ibunya di Kulim, Kedah,

            “Patutnya mak call dulu Mak Su sebelum pergi. Tengok, sia-sia saja kita pergi tapi Mak Su tak ada. Mak Su satu family pergi bercuti kat Langkawi.” Widad bersuara. Tadi ibunya beriya-iya suruh dia balik dari homestay semata-mata mahu teman pergi rumah ibu saudaranya.

            “Mana mak tahu. Dua hari lepas, mak ada call Mak Su kamu tapi Mak Su kamu tak cakap pun nak pergi bercuti.” Jawab Mak Esah. Dia berjalan menuju ke pintu rumah. Hakikatnya dia tak plan pun nak pergi rumah adiknya tetapi disebabkan dia mahu Widad balik rumah dengan segera terpaksa dia buat plan mengejut.

            “Bazir masa, bazir minyak, alih-alih Mak Su tak ada.” Widad tak habis-habis lagi mengungkit.

            “ Kamu ni berkira sangat. Nak buat macam mana, tak ada rezeki nak jumpa Mak Su kamu. Lagipun Mak Su kamu memang nak sangat jumpa kamu.” Mak Esah membela dirinya.

            Mulut Widad terus senget ke tepi.

            “Aaa… Petang ini teman mak pergi pasar malam kat hujung kampung.” Beritahu Mak Esah.

            “ Apa! Mak ajak la ayah, kan senang!” Widad menolak.

            “Eh! Eh! Kita ajak dia, dia pas pulak kat ayah dia. Oooo….dengan mak sendiri, berkira sangat-sangat, kalau pasal Atan, kamu sanggup buat apa saja.” Sindir Mak Esah. Dia menjeling ke arah Widad sambil berjalan bersama-sama.

            “Kenapa? Jealous ke? Tak payah nak jealous sangat, mak dah ada ayah kot.” Kata Widad. Dia tersengih.

            “Tak kuasa nak jealous.” Balas Mak Esah. Dia menanggalkan kasut dan mula mencari kunci rumah di dalam bag tangannya.

            “ Mak apa nama penuh Atan?” tanya Widad secara tiba-tiba.

            Mak Esah menoleh melihat Widad. Kunci rumah sudah ada di tangan.

            “Atan la.” Jawab Mak Esah. Dia cepat-cepat membuka pintu rumah. Tak mahu dirinya diajukan soalan lagi.

            “ Mustahil la mak tak tahu. Saya rasa Atan tu hanya nama panggilan saja. Takkan la tak ada nama Mohd ke, Ahmad ke atau pun Ali ke? Bin tu …. Mesti bin nama bapak dia kan! Tipu sangat la kalau mak ayah tak tahu.” Widad memerhatikan gelagat Mak Esah. Dah mula ibunya gelabah kalau dia cuba bertanya pasal Atan.

            “Nak tahu sangat, kamu tanya sendiri dekat Atan tu.” Balas Mak Esah. Pintu besi sudah pun dibuka kini hanya tinggal pintu rumah saja. Dia mahu melarikan diri dari Widad. Salah diri sendiri juga sebab tiba-tiba petik nama Atan.

            “ Ingat senang, mulut Atan tu kan ada emas. Lepas tu kan, Atan anak kawan Mak Wan yang mana satu? Seingat saya lepas Mak Wan berhenti jadi orang gaji kat KL, Mak Wan terus tinggal kat kampung ni.” Jawab Widad. Dalam masa yang sama, dia teringatkan wajah ibu saudaranya itu. Dia rapat dengan kakak ayahnya sejak kecil lagi. Selepas balik dari KL, kesihatan Mak Wan semakin merosot dan meninggal dunia selepas disahkan menghidap barah hati. Kemudian rumah Mak Wan diduduki oleh Atan sehingga sekarang.

            “Mak Wan kamu banyak kawan. Kalau mak beritahu pun, kamu takkan kenal. Alamak, dah nak hujan. Baju tak ambil lagi kat ampaian.” Kata Mak Esah secara tiba-tiba. Di saat pintu rumah dibuka, Mak Esah berjalan laju masuk ke dalam rumah.

            Widad melihat ke arah langit.

            “ Hujan apa bendanya, langit cerah kot. Ini mesti takut aku tanya lebih-lebih pasal Atan.” Widad bercakap seorang diri. Macam la dia tak tahu taktik ibunya.

             

           

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...