Tuesday, January 2, 2024

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 4

 

Bab 4

            PAGI INI, Widad melihat wajahnya di meja solek. Awal pagi lagi dia sudah memakai mekap semata-mata untuk kelihatan cantik. Dia sempat lagi membetulkan rambut agar lebih diikat rapat. Untuk mendekati Atan, dia perlu lebih peka dan cepat. Jika lambat, dia pasti terlepas peluang.

            Sesekali mata Widad melihat ke arah tingkap yang terbuka sejak solat Subuh tadi, dengan cara ini dia dapat mengintip pergerakkan Atan. 

            “Apa pun terjadi, aku akan mengorat Atan sampai dapat. Mak asyik provoke aku sangat. Ini Widad la, tiada mana-mana lelaki yang akan terlepas dari genggaman aku.” Tekad Widad. Sejauh mana Atan berlari, dia akan mengejar.

            Kedengaran bunyi pintu dapur rumah Atan dibuka, Widad segera berlari keluar dari bilik tidurnya. Dia menuruni anak tangga begitu cepat sekali.

            Apabila melalui ruang dapur, Widad melihat ibunya ada di situ.

            “Cantik-cantik ni nak ke mana?” Mak Esah bersuara. Pelik melihat penampilan

            “Rahsia.” Jawab Widad. Dia mempercepatkan langkah ke luar rumah. Dengan tergesa-gesa dia memakai seliper kerana takut Atan berlalu pergi. Kedengaran suara ibunya memanggil namanya namun Widad tidak endah langsung.

            “Atan!” panggil Widad.

            Atan terkejut melihat kedatangan Widad. Mula gelisah. Dia terus mengunci pintu rumahnya. Tak sangka seawal pagi ini Widad akan datang ke rumahnya.

            “Nak pergi kerja ke? Awalnya!” soal Widad.

            “Aaaa….Ada banyak kerja nak buat.” Jawab Atan dengan acuh tak acuh. Dengan pantas, dia memakai kasut. Secepat mungkin, dia mahu pergi kerja.

            “ Ya ke banyak kerja? Atau awak sebenarnya nak lari dari seseorang.” Kata Widad. Dia cuba tersenyum. Dia tahu Atan mahu mengelakkan diri darinya tapi dia tak peduli semua itu.

            Atan diam membisu. Dia berjalan ke basikalnya.

            Widad mengekori Atan.

            “Awak free tak hari Sabtu ni? Jom kita tengok wayang. Saya dah lama tak tengok wayang kat Malaysia.” Ajak Widad.

            “Maaf. Saya sibuk. Lagipun saya tak minat nak tengok wayang. Awak ajak saja Wafiy.” Jawab Atan dengan nada dingin. Apa hal pulak nak ajak tengok wayang ni! Argh… sabar saja la.

            “Kalau tak nak tengok wayang, awak suka apa?” tanya Widad. Sememangnya dia sudah agak ajakkan dia tadi akan ditolak oleh Atan.

            “ Saya lebih suka kalau tiada orang ganggu hidup saya.” Jawab Atan dengan sejujurnya. Dia terus naik basikalnya dan mengunyuh laju meninggalkan Widad.

            Mulut Widad terus muncung. Dia melihat kelibat Atan sudah pun hilang dari pandangan dia.

            “Saya lebih suka kalau tiada orang ganggu hidup saya.” Widad mengajuk semula kata-kata Atan sebentar tadi.

            “Ada aku kisah! Lagi tak suka la, aku tetap akan ganggu.” Kata Widad. Takkan sesekali dia mengundur, maklum la hati ini hati waja.

                                                ************************

            Dari pintu dapur, Mak Esah memerhatikan gelagat Widad dan Atan berbual. Cuba saja menahan sabar. Keluhan kuat dilepaskan.

            “Pagi-pagi dah mengeluh kuat, kenapa ni?” tanya Pak Walid. Dia mendekati isterinya yang begitu asyik melihat ke luar rumah. Ada benda menarik ke pagi-pagi ini kat luar?

            “Tengok tu anak dara kita!” Mak Esah menjuih bibirnya.

            Pak Walid turut sama melihat ke luar. Dia melihat Widad berborak dengan Atan.

            “Aik! Awalnya Widad bangun.” Kata Pak Walid. Dia melihat ke arah jam dinding dapur yang menunjukkan pukul 6.50 pagi.

            “ Bangun awal bersebab, tu aaaa…. Nak kejar Atan! Aduh apa nak jadi dengan Widad ni, makin dilarang makin menjadi-jadi perangai tu. Mulut ni dah berbuih- buih cakap, sikit pun Widad tak dengar.” Mak Esah mengadu.

            “ Biarlah. Macam la awak tak kenal dengan perangai anak sendiri. Awak tu jangan peduli sangat. Buat tak tahu saja. Dah kerja kat KL nanti, mesti Widad akan jumpa lelaki lain yang nak dikejar. Dah ada boyfriend kat KL nanti Widad akan lupa pasal Atan. Percayalah. Tu… tengok tu bukan main laju lagi Atan tu mengayuh basikal, mesti nak lari dari Widad.” Pak Walid kelihatan tenang. Dalam masa yang sama dia menggelengkan kepala setelah melihat gelagat Atan yang memecut laju mengayuh menuju ke jalan.

            “Bagus la kalau macam tu.”

            “Tapi awak jangan asyik provoke Widad tu. Macam la awak tak tahu, Widad tu pantang dicabar. Yang jadi mangsanya Atan tu.” Tambah Pak Walid lagi.

            “Yalah! Yalah!” Mak Esah mendengar nasihat suaminya.

            “ Aaa…. Sarapan dah siap ke belum? Abang nak pergi kebun awal hari ini. Atan pun dah pergi.” Tanya Pak Walid.

            “Alamak, tak siap lagi. Sekejap saya siapkan.” Kata Mak Esah. Sebab Widad, dia terlupa. Dia bergegas ke dapur dan menyambung semula kerjanya menyiapkan sarapan pagi.

                                                            ***************

            Widad mengayuh basikal menuju ke warung Mak Intan di simpang jalan untuk. Lagipun dia sudah berjanji dengan Mak Intan hari ini.

            Bunyi hon beberapa kali menyebabkan dahi Widad berkerut.

            “Malaun mana pulak yang tekan hon ni, hah! Ingat dia seorang ada hon.” Marah Widad. Dia terus berhenti mengayuh dan menoleh ke belakang.

            Kereta Honda City berhenti betul-betul di tepi basikal Widad.

            Widad mengetap bibir. Mahu saja dia nak maki hamun pemilik kereta ini. Agak-agak la nak bunyikan hon macam tu sekali, ini jalan kampung kot! Geram sangat-sangat.

            Cermin kereta Honda City diturunkan.

            “ Laaa…. Cik Selebriti kampung ini rupa-rupanya. Memang betul la kau dah balik Malaysia.” Kata pemandu kereta itu sambil tersenyum.

            Mulut Widad terus herot ke kiri. Tak sangka boleh jumpa dengan bekas suami Chempaka, Marzuki. Menyampah betul! Kecik betul kampung ini.

            “ Bertahun-tahun duduk kat London, kenapa tiba-tiba balik sini? Dah bosan ke duduk sana?” Nada suara Marzuki seperti menyindir.

            “ Bukan bosan, aku nak ubah angin. Lagipun ini kampung halaman aku, sudah tentu aku akan balik. Aaa….. Kau tak kerja ke hari ini?” jawab Widad.

            “ Aku bos la. Nak masuk pukul berapa pun, itu hak aku.” Jawab Marzuki dengan megahnya.

            Mulut Widad sedikit bergerak. Berlagaknya. Setakat ada kedai repair motor saja, sudah bongkak macam ini. Mindset macam ini la yang akan rosak business sendiri. Apa jenis manusia Si Marzuki. Mentang-mentang la kedai repair motor kat pekan tu bapak Marzuki punya.

            “ Mak Intan beritahu aku, Mikail sakit. Kau dah tengok anak kau ke belum?” Tiba-tiba Widad teringat pasal Mikail.

            “ Ala…. Biasa la budak-budak kalau bab sakit ini. Dah bawa pergi klinik nanti, baik la. Lagipun Mikail tu ada mak, pandai-pandai la mak dia jaga. Aku dah bagi duit setiap bulan kot.” Jawab Marzuki dengan wajah rasa tak bersalah.

            Mendengar saja jawapan Marzuki, darah Widad terus mendidih.

            “ Senang-senang saja kau nak lepas tangan. Eh, duit bukan segala-galanya. Tahu tak? Mungkin Mikail tu demam sebab nak jumpa kau. Dah berpisah tak semestinya kau putuskan hubungan dengan anak kandung kau sendiri. Jadilah bapa yang bertanggungjawab.” Tanpa berfikir panjang Widad terus menasihati Marzuki. Bengang pun ada.

            Air muka Marzuki berubah setelah mendengar kata-kata Widad.

            “Argh! Ada hati nak nasihat orang. Kau apa tahu, anak pun tak ada.” Marah Marzuki. Dengan wajah marah, dia menekan pedal minyak. Kereta Honda City itu bergerak laju meninggalkan Widad.

            Widad mengetap bibir. Dia menggenggam kedua-dua tangannya menahan marah. Tak guna betul Marzuki.

            Tanpa membuang masa, Widad menyambung semula mengayuh basikalnya sehingga ke simpang jalan kampung.

            “Kenapa muka masam ini?” tegur Mak Intan apabila menyedari kedatangan Widad di warungnya.

            “Tadi jumpa Marzuki, saya tegur dia sebab tak jenguk Mikail sakit. Terus saja Marzuki tu melenting.” Cerita Widad pada Mak Intan.

            “ Marzuki memang macam tu, tak boleh ditegur langsung. Dia saja betul. Nanti jumpa Marzuki tu, kamu buat tak tahu saja. Buang masa saja.” Kata Mak Intan. Dia sudah masak dengan perangai bekas menantunya itu. Keras kepala dan pentingkan diri sendiri. Dia sendiri tak tahu macam mana Hana boleh kahwin dengan Marzuki tu.

            “Aaa…. Mikail macam mana? Dah okey ke?” tanya Widad.

            “ Lepas dah jumpa doktor, dah okey. Malam tadi tidur pun dah nyenyak.” Jawab Mak Intan.

            “Bagus la kalau macam tu.” Kata Widad selepas mendengarnya.

            “Aaaa…. Duduk la. Hari ini Mak Intan masak laksa lebih sedap dari hari sebelumnya semata-mata sebab kamu datang. Air nak air apa?”

            “Air sirap limau satu.” Jawab Widad. Dia terus duduk di kerusi.

            “Tunggu sekejap yer….” Kata Mak Intan. Dia terus masuk ke dapur.

            Lima minit kemudian Mak Intan datang membawa makanan dan minuman untuk Widad.

            “Wah, bau saja dah tahu mesti sedap. Tetap sama macam dulu.” Widad bersuara sebaik saja mangkuk laksa diletakkan di hadapannya.

            “Makan dulu sebelum puji.” Mak Intan menggelengkan kepala dan terus duduk berhadapan dengan Widad.

            Widad tersengih. Dia mengangkat tangan membaca doa makan sebelum makan.

            Mak Intan berborak sambil menemani Widad makan. Lagipun warung dia tidak dibuka lagi. Dia sengaja menyuruh Widad datang awal sebab ingin berbual dengan Widad dengan lebih lama.

            Selesai saja makan, Widad membasuh mangkuk dan cawan di ruang dapur walaupun ditegah oleh Mak Intan.

            “Ala… Mak Intan, setakat basuh apa la sangat. Lagipun Mak Intan dah belanja makan.” Kata Widad. Selepas menutup pili air, dia mendekati Mak Intan yang sedang membungkus laksa.

            “Aaaa…. Nanti kamu singgah homestay ayah kamu tak?”

            “Kenapa?”

            “Hari itu Atan ada tolong Mak Intan perbaiki meja-meja kat warung ini. Mak Intan nak bagi duit tapi Atan tak nak. Nanti kamu tolong bagi laksa ini kat Atan. Masa begini selalunya Atan kat homestay kan.” Cerita Mak Intan.

            Of course saya boleh hantar.” Ada segaris senyuman di bibir Widad. Peluang ada depan mata, dia mesti rebut. Ada alasan untuk dia berjumpa dengan Atan.

            “Aaa…. Yang tiga bungkus lagi ini untuk mak ayah dan adik kamu.” Beritahu Mak Intan. Dia menyerahkan dua bag plastik pada Widad.

            “Berapa Mak Intan?” tanya Widad sebaik saja mengambil bag plastik dari Mak Intan.

            Free!”

            “Eh! Eh! Mana boleh macam tu? Tadi pun free, takkan la yang ni pun nak free.” Kata Widad. Rasa segan jika semuanya percuma.

            “ Hari ini saja, lain kali kamu datang kamu bayar la.” Jawab Mak Intan.

            “Yalah! Next time, Widad bayar tau. Terima kasih banyak-banyak, Mak Intan. Widad doakan rezeki Mak Intan melimpah-limpah setiap hari. Amin! Okeylah, Widad gerak dulu. Bye!” kata Widad selepas bersalaman dengan Mak Intan. Dia terus meletakkan bag plastik itu ke dalam bakul basikal. Dia melambai tangan dekat Mak Intan sebelum mengayuh meninggalkan warung itu. Kaki mengayuh laju menuju ke homestay dengan senyuman hingga ke telinga. Tak sabar nak jumpa Atan.

           

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...