Monday, September 9, 2013

Satu Dua Tiga 2013

Bab 29


Munirah melihat di segenap sudut bilik itu. Bilik itu dihiasi dengan cantik malah ditambah pula dengan perabot yang berjenama mewah. Keindahan bilik tersebut tidak menarik perhatiannya. Baju kurung putih yang dihiasi labuci berwarna pink dilihat sekali imbas. Setiap wanita mengimpikan perkahwinan yang indah disamping seorang lelaki yang akan mencintai dirinya tulus dan ikhlas namun di sebaliknya lain pula yang berlaku pada dirinya. Dirinya baru sahaja digelar isteri sebentar tadi. Isteri kepada seorang hartawan. Seorang lelaki yang begitu membenci dirinya malah dianggap sebagai pemusnah masa depan lelaki yang telah bergelar suaminya sejam yang lalu.
            Pintu bilik dibuka. Badan Munirah kaku melihat lelaki yang masuk ke dalam biliknya. Tiada secalit senyuman di bibir lelaki tersebut. Munirah mengundurkan kakinya beberapa langkah. Renungan lelaki itu menakutkan dirinya. Lelaki itu terus mendekatinya. Tiba-tiba tangan Munirah digenggam dengan kasar. “Welcome to the hell!”
            “Sakit!” Munirah merayu dilepaskan. Cengkaman Dato Syed Mohd Kadir begitu menyakitkan.
            “Sakit!” Dato Syed Mohd Kadir ketawa. Dengan kasar dia menarik Munirah hampir dengannya. “Ini baru sikit. Kan aku dah beri amaran pada kau tetapi kau degil. Kau tetap jugak nak kahwin dengan aku. Kau sudah tak sabar untuk menikmati kehidupan yang dilimpahi dengan kemewahan ke? Kau memang perempuan yang tak tahu malu.” Dato Syed Mohd Kadir terus menolak Munirah dengan kasar sehingga badan Munirah terkena di almari baju.
            Munirah cuba menahan kesakitan akibat terlanggar almari baju itu. Dia cuba menahan dirinya dari menangis namun air matanya tiba-tiba mengalir.
            “Kau ingat selepas kau berkahwin dengan aku, kau akan dapat memiliki apa yang aku ada sekarang ni ke? Jangan bermimpi! Jangan harap aku nak beri kau satu sen pun duit aku. Aku pelik kenapa keluarga aku begitu sukakan kau? Hey, ubat guna-guna apa yang kau beri pada keluarga aku sehingga mereka beriya-iya ingin menjodohkan kau dengan aku.” Dato Syed Mohd Kadir merenung Munirah seolah-olah ingin menelan wanita itu hidup-hidup. Perasaan bencinya pada wanita itu sudah tidak dapat dibendung lain. Wanita ini telah memusnahkan masa depannya.
            “Mu…Munirah sebenarnya….” Nada suara Munirah bergetar. Dia tidak berani bertentangan mata dengan Dato Syed Mohd Kadir.
            “Diam! Perempuan kampung macam kau tak layak bercakap dengan aku! Aku tahu aku terhutang nyawa dengan ayah kau tetapi aku tak sangka diri aku dijadikan pertaruhan untuk membalas budi ayah kau. Kau ingat aku ni benda ke? Mak ayah aku paksa aku untuk berkahwin dengan semata-mata kerana untuk membalas jasa baik ayah kau selamatkan aku dahulu. Duit! Rumah Banglo! Kereta mewah! Semua itu aku boleh beri tetapi bukan diri aku. Kau ni pengemis!” marah Dato Syed Mohd Kadir. Dia akui pertama kali berjumpa dengan Munirah, hatinya tertarik pada kecantikan wanita itu namun disebabkan kegoannya dia menyingkirkan perasaan itu.  Munirah tidak setaraf kedudukannya dengan aku. Anak orang gaji. Jika kawan-kawan aku tahu yang aku berkahwin dengan anak orang gaji, pasti aku menjadi bahan ketawa mereka. Tekanan dan ugutan dari ibu dan ayahnya menyebabkan dia setuju menerima rancangan mereka namun dia telah menetapkan syarat bahawa majlis perkahwinannya diadakan secara kecil-kecilan. Akhirnya keluarganya bersetuju dengan syaratnya walaupun pada mulanya mereka tidak bersetuju dengan syarat Dato Syed Mohd Kadir.
            Butiran air mata Munirah membasahi pipinya yang gebu itu. Kata-kata Kadir tadi mencalarkan maruah dirinya dan juga ayahnya. Hina sangat ke aku ini?
            “Kau ingat dengan mengalirkan air mata, aku akan berlembut dengan kau! Kau sudah silap. Walau kau menangis air mata darah sekali pun, hati aku takkan berubah. Seumur hidup aku takkan mengaku kau isteri aku. Kau tu kotor. Aku takkan biarkan badan kau yang kotor itu mengotori diri aku. Faham tak!” jerit Dato Syed Mohd Kadir. Matanya masih tepat merenung Munirah yang berada tidak jauh darinya. “Satu lagi, semasa bersama keluarga aku dan keluarga kau, aku mahu kau berlakon dengan sebaik-baiknya sebagai seorang isteri yang baik. Kau perlu mainkan peranan kau dengan bijak. Kau pasti tak mahu ayah kau berasa susah hati kan! Aku beri amaran pada kau, jika aku terdengar atau dapat tahu kau mengadu pada sesiapa tentang hubungan kita yang sebenar, tahulah bagaimana aku nak ajar kau! Kau faham tak?” jerit Dato Syed Mohd Kadir.
            Munirah hanya menganggukkan kepalanya.
            “Mulai sekarang, kau tidur di lantai. Perempuan kampung macam kau mesti sudah biasa tidur di lantai kan!” perli Dato Syed Mohd Kadir dan terus melabuhkan dirinya pada katil yang empuk dihiasi dengan rekaan mewah yang dikhaskan untuk pasangan yang bergelar pengantin baru.
            Munirah menekup mulut agar dapat menahan tangisannya. Air mata masih deras mengalir. Hatinya sebak apabila mengingatkan nasibnya selepas ini. Apa yang lelaki itu akan lakukan padanya selepas ini? Dia tahu inilah takdir dirinya sebaik sahaja mengahwini lelaki ini. Aku perlu tabah demi ayah! Ini adalah dugaan Allah S.W.T pada hambaNya. Aku yakin apa yang berlaku ada sebabnya. Perlahan-lahan Munirah mengesat air matanya.
            “Ibu!” tegur Aleya menghampiri ibunya yang sedang mengambil angin di luar rumah.
            Munirah segera mengesat air matanya. Dia tak tahu kenapa tiba-tiba sahaja dia teringat kembali titik-titik hitam dalam kehidupannya yang lalu.
            Aleya terus duduk di sebelah ibunya. Munirah menoleh dan tersenyum lebar. “Along tak tidur lagi ke?”
            “Hmm..belum mengantuk lagi ibu! Masih awal lagi.”
            “Angah dan Acu?”
            “Tengok TV. Hmm…Ibu setuju ke dengan keputusan Along? Kita akan pulang ke London hari Rabu minggu depan.”
            “ibu tak kisah! Apa sahaja keputusan Along, ibu ikut!” Tangan kanan Aleya digenggam lembut.
            “jadi ibu tak marah dengan keputusan Along?” soal Aleya lagi inginkan kepastian.
            “Tak! Ibu pun rasa inilah masanya kita pulang. Ibu akan call lawyer ibu untuk uruskan proses penceraian ibu di sini. Hmm…projek Along pula macam mana? Takkan Along nak hentikan sekerat jalan sahaja. Setahu ibu, Along bukannya jenis orang yang membuat kerja separuh jalan.”
            “Along tak kisah ibu! Client macam tu tak layak berurusan dengan Along. Asyik buat Along marah sahaja.” Nada suara Aleya berubah apabila mengingati perangai Iskandar.
            ‘Sebab itulah, Along tumbuk Iskandar kan!”
            Aleya tiba-tiba tersenyum. “Siapa suruh dia sengaja cari pasal dengan Along? Tiba-tiba saja tangan ni berasa ringan.” Aleya menunjukkan tangan kanannya telah yang digunakan untuk menumbuk Iskandar. “Ibu tahu kan apa yang akan terjadi bila Along naik angin kan! Kesabaran Along ada batasannya”
            Munirah hanya menggelengkan kepala. “Dah berapa kali ibu cakap, kekasaran tidak dapat menyelesaikan masalah.”
            “Baiklah!” jawab Aleya dengan lembut.
            Munirah tersenyum simpul. Perkataan itu sudah banyak kali dengar tapi nasihat itu tak ubah seperti mencurahkan air di daun keladi.  Selepas ini buat lagi! “Hmmm…sebelum kita balik London, ibu mahu Along jumpa Iskandar dan minta maaf pada Iskandar. Understand?”
            ‘Baiklah!” Aleya mengalah. Demi ibunya dia sanggup buat apa sahaja. “Jom kita masuk ibu! Sejuk!” Aleya terus bangun dan membantu ibunya bangun.
            “Cantik kan bintang pada malam ni!” Munirah mendongak ke langit. Dia kagum dengan pemandangan malam itu. Indah. Pemandangannya takkan sama seperti di London. Di sini, benar-benar indah.
            “Cantik memang cantik, ibu! Orang sakit macam ibu tak elok kena angin malam terlalu lama. Jom kita masuk! Nanti bising pulak si Angah tu” Aleya membantu ibunya berjalan menuju ke rumah. Munirah hanya mampu tersenyum. Dia bertuah kerana mempunyai anak seperti Aleya, Alisa dan Alina.


                                    ************************************

            Awal-awal pagi lagi Aleya sudah bangun, penyapu yang berada di tangan digunakan untuk menyapu halaman rumah. Deruan kereta BMW 5 Series berwarna hitam yang memasuki perkarangan rumah mewah itu menarik perhatian Aleya. Dia tahu siapa pemandu kereta mewah itu. Aleya mengetap giginya. Hmm…mentang-mentanglah rumah ini rumah dia, suka hati dia datang ke sini.
            Iskandar keluar sambil tersenyum. Dia melihat wanita yang sedang menyapu sampah di halaman rumahnya. Hmm…rasanya itu pasti Alina. Aleya dan Alisa tak mungkin rajin seperti itu. Dia begitu yakin wanita itu adalah Alina.
            “Good morning, Lina!” tegur Iskandar. Langkahnya diatur mendekati wanita itu. Iskandar tersenyum. Sebelum pergi kerja, dia sengaja singgah di sini kerana ada perkara yang ingin dibincangkan dengan Aleya. Semalaman dia cuba menghubungi Aleya namun Aleya tidak menjawab panggilannya. Dia tahu Aleya enggan bercakap dengannya.
            “Good morning!” Aleya tersenyum. Rupanya dia ingat aku Alina.
            “Aleya ada tak?” soal Iskandar.
            “Along! Dia ada di atas. Jemput la masuk.”
            “Hmmm….masih tidur lagi ke? Hish….Tak elok anak dara bangun lewat. Lambat jodoh.” Kata Iskandar lagi.
            Aleya memegang erat penyapu yang berada di tangannya. Suka hati dia mengutuk aku awal-awal pagi ni. Lambat jodoh! Huh, ada aku kisah. Nanti tak pasal-pasal penyapu ni hinggap di mulut lelaki ni! “Masuklah!” Aleya cuba tersenyum.
            “Terima kasih, Lina! Abang Is masuk dulu! Oh ya, Dr. Nazri kirim salam pada Lina.” Beritahu Iskandar.
            Aleya hanya mampu tersenyum. Sebaik sahaja kaki Iskandar melangkah masuk ke rumah itu, senyuman Aleya terus hilang. “Vous Otes batise!(Kamu betul-betul bodoh).” Aleya terus membaling penyapu itu dengan kasar. Sepatutnya kelmarin aku tumbuk mulut bukannya mata. Biar bertabur gigi tu. Nak jumpa dengan aku, jangan harap la! Aleya terus masuk ke rumah melalui pintu dapur.
            Alisa merenung lelaki yang terkejut melihat dirinya yang sedang menuruni tangga. Datang lagi! Aduh, rimas aku dibuatnya. Tak ada rumah lain ke dia nak pergi? Rosak mood aku awal pagi ni!
            “Aleya!”
            “No! Alisa!” jawab Alisa dengan kasar.
            Alamak! Mulut murai ni ke?  “Aaa …Maaf tumpang tanya….Aleya mana?” tanya Iskandar.
            “Kau tak payah nak berbudi bahasa dengan aku? Like I care!” Tiba-tiba dahi Alisa berkerut. Bukan ke tadi Along sedang menyapu sampah di luar? Kenapa pulak alien ni tanya aku di mana Along? Dia tak jumpa Along di luar ke tadi? Alisa hairan.
            “Bukan ke budi bahasa itu budaya kita? Walaupun awak membesar di luar negara tapi awak tetap orang melayu.” Balas Iskandar sambil tersengih lebar.
            Bulat anak mata Alisa mendengar kata-kata dari Iskandar. Ada hati nak perli aku! “Ya, itu memang benar. Saya ni belum lupa diri lagi. Hmmm…rasanya kau yang sudah lupa diri. bukan ke tak manis di pandang orang jika seorang lelaki datang ke rumah yang didiami oleh wanita yang bukan muhrimnya. Boleh menimbulkan fitnah kan!” giliran Alisa pula berkata. Senyuman lebar di bibirnya
            Iskandar terkejut mendengar kata-kata Alisa. Aku pulak yang diperlinya. Iskander berdehem beberapa kali. “Hm….saya ada hal nak jumpa Aleya.” Terang Iskandar. Dia sudah malas bertikam lidah dengan Alisa. Kesudahannya aku jugak yang kena.
            “Tak tahu. Carilah sendiri. I’m busy.”  Jawab Alisa dan berlalu meninggalkan Iskandar.
            Iskandar tercengang. Panas! Panas! “Asyik perli aku saja. Macam mana Uncle Kadir nak berdepan dengan Alisa nanti? Buka mulut saja, sudah menyakitkan hati. Fuh, sabar! Sabar.” Iskandar mengurut dadanya yang bidang beberapa kali. Berhadapan dengan Alisa perlukan kekuatan.
            “Abang Is!” tegur Alina yang sedang menuruni tangga. Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Pasti nak berjumpa dengan Along.
            Mata Iskandar terkebil-kebil melihat Alina yang menegurnya.
            “Kenapa ni Abang Is? Macam nampak hantu saja?” Alina ketawa.
            “Aaa…Betul ke ini Alina?” soal Iskandar lagi.
            “Ya. Ini Alina!” Alina hairan.
            “Kalau yang sedang berdiri di hadapan Abang Is ni ialah Alina, habis tu siapa yang sedang sapu-sampah di luar tadi?” Iskandar menoleh ke luar. Pening aku dibuatnya.
            “Oooo…itu Along!”
            “Apa!”  Wajah Iskandar berubah. Alamak!
            “Pasti Along dah kenakan Abang Is?” teka Alina. Hmmm….nak mengelak dari Abang Is, Along sanggup buat apa saja.
            “Teruk la macam ni!” Segera Iskandar berlari keluar. Teruk aku macam ni!  Aku mengutuk Aleya tadi. Pasti dia tengah bengang dengan aku sekarang ni! Dia tergamam melihat sebuah kereta Mazda 2 berwarna merah meluncur laju keluar dari perkarangan rumah itu.
            “Dah terlambat!” Alisa ketawa melihat gelagat Iskandar.
            Iskandar berpaling ke belakang. “Aleya pergi mana?” ISkandar menunding jari ke luar rumah.
            “I don’t care!” Alisa membuat mimic muka dan terus berjalan ke ruang tamu. Dia terus melabuhkan punggungnya di sofa.
            “Mungkin Along pergi uruskan kepulangan kami ke London. Kami akan pulang ke London pada minggu depan.” Beritahu Alina.
            “Apa!” Iskandar terkejut besar. Habis rancangan aku macam ni! Kalau mereka dah pulang macam mana aku nak tolong Uncle Kadir. Aku tak boleh biarkan. Iskandar mula gelisah.
           

                                    ************************************

            Dr. Nazri menarik kerusi dan duduk di sebelah Iskandar. Panggilan telefon dari Iskandar mengganggu tidurnya. Dia baru sahaja lepas menjalankan pembedahan selama 5 jam. Ingatakan selepas pembedahan boleh aku melelapkan mata sekejap. “Is, apa halnya? Tak boleh ke tunggu esok ke?” 
            “Kita masalah besar sekarang ni!”
            “Kalau masalah besar pun, malam ni kita boleh jumpa lagi. Pukul 9.00 pagi aku ada perbicaraan di court.” Zahari mencelah dan terus duduk di kerusi .
            “Kau ingat perkara ini boleh tangguh ke? Hmmm….mereka akan balik ke London minggu depan!”
            “Apa!” kata Dr. Nazri dan Zahari serentak.
            “Kenapa cepat sangat?” soal Zahari.
            “Bukan hari ini kau nak berbincang dengan Aleya tentang projek kau?” soal Dr. Nazri pula.
            “Kau ingat senang berurusan dengan Aleya! Mentang-mentanglah mereka bertiga kembar seiras, dengan mudah saja Aleya kenakan aku tadi.”
            “Habis tu macam mana dengan rancangan kita! Kita tak boleh beritahu Uncle Kadir tentang hal ini.Pasti Uncle akan susah hati mendengarnya.
            “Itu aku setuju, Nazri! Apa kata kau cuba pujuk Alina?” cadang Zahari.
            “Masalahnya yang buat keputusan ini adalah Aleya. She’s so stubborn. Kata-kata aku tidak endahkannya.”
            “Kalau macam tu biar aku, jumpa mereka!” cadang Dr. Nazri.
            “Jangan! Kalau kau pergi jumpa mereka, pasti mereka tahu yang Uncle Kadir  sudah tahu tentang diri mereka!”
            “Betul tu, cakap Zahari tu!”
            “Apa kata kalau kita cepatkan rancangan kita tu?” cadang Dr. Nazri lagi.
            “Tapi bagaimana dengan kesihatan Uncle Kadir hari ini? Aku bimbang  bila memikirkan keadaan Uncle berhadapan dengan Aleya dan Alisa.”
            “Keadaan Uncle Kadir semakin baik. Mungkin dua hari lagi Uncle boleh keluar hospital.” Dr. Nazri tersenyum.
            “Jika begitu, aku akan cuba lengahkan mereka.” Jawab Iskandar. Macam mana aku nak melengahkan mereka? Iskandar berfikir.
            Dr. Nazri dan Zahari menganggukkan kepala sebagai tanda setuju.
                                    ***********************************

            Aleya menutup pintu keretanya dengan kasar. Kehadiran kereta BMW 5 series berwarna hitam  di perkarangan rumah menyebabkan mood Aleya berubah.
            “Along, alien tu sudah melampau! Apa lagi yang dia mahu?” Alisa bengang. Dia mengekori Aleya yang melangkah laju  menuju ke rumah. Pintu rumah dibuka dengan kasar.
Aleya terpaku seketika. Matanya masih tidak berganjak dari merenung beberapa buah beg yang berada di ruang tamu. Darahnya mendidih secara tiba-tiba. Pandangannya dialihkan pada seorang lelaki yang sedang duduk di sofa. Iskandar bersiul riang.
            “Apa ni?” Alisa meninggikan suaranya.
            “Beg! Takkan sudah tak kenal!”
            “Itu aku tahu! Persoalannya kenapa beg ini ada di sini?” tanya Alisa lagi.
            “Hmm….saya sudah buat keputusan! Saya nak tinggal di sini beberapa hari.”
            “Apa!” jerit Alisa. Dia menoleh ke arah Aleya yang berdiri di sisinya.
            Aleya mengetap bibirnya. Setiap hari perangai lelaki ini membuat darah aku mendidih. Apa yang sebenarnya dia mahu dari aku? “Di sini, tiada bilik kosong!”
            Iskandar ketawa. “Awak sudah lupa , ini rumah saya. Ada 2 bilik kosong di tingkat atas. Awak tidak dapat menghalang saya dari tinggal di sini.”
            “Muka tembok!” Alisa merenung lelaki itu.
            “Apa sebenarnya niat Tengku? Inilah masa Tengku berterus-terang.” Kata Aleya. Dia dapat rasakan Tengku ISkandar mempunyai niat lain.
            “Urusan kita masih belum lagi selesai.”
            “Bagi saya, urusan kita sudah selesai. Tiada lagi rundingan.”
            “Awak sudah lupa ke awak sudah tandantangani perjanjian dengan syarikat saya?”
            “Itu saya masih ingat.”
            “So!”
            “Awak mahu saya saman awak ke?”
            Aleya tersenyum. “Untuk pengetahuan Tengku, saya telah tunjukkan design hotel pada Tengku Ismail dan dia setuju malah Tengku Ismail berpuas hati dengan kerja saya. So kerja saya di sini sudah selesai. Urusan antara Tengku dan saya sudah selesai. The end!”
            “Apa!”
            “Ini bermakna saya tidak berhutang apa-apa dengan Tengku. Saya berharap kita tak perlu berjumpa lagi selepas ini. Saya gembira kerana dapat bekerjasama dengan Tengku walaupun dalam masa yang singkat .”
            “Aleya, saya yang in-charge projek ini! Awak sepatutnya berurusan dengan saya bukannya ayah saya. Awak telah melanggari perjanjian.” Marah Iskandar. Dia tidak sangka Aleya akan bertindak seperti itu. Berani Aleya membelakangkan aku!
            “Perjanjian apa? Tugas saya untuk design projek hotel 5 bintang di Langkawi telah saya sempurnakan. Tengku Ismail telah bersetuju malah saya sudah mendapat bayaran. Jadi Tengku jangan menyusahkan diri datang ke sini lagi.” Aleya melakar senyuman di bibirnya.
            “Awak jangan cuba mereka-rekakan cerita, ayah saya tak beritahu saya mengenai hal ini pun.”
            “Hmm…apa kata Tengku cuba telefon Tengku Ismail untuk kepastian.” Aleya mendekati meja kecil yang berada di ruang tamu. Ada gunting.
            Iskandar segera mengeluarkan telefon bimbit. Dia terkejut melihat skrin telefon bimbitnya kosong. Aduh, dah habis bateri! Patutlah seharian telefon aku tak berbunyi. Mesti abah cuba menghubungi aku tadi. Iskandar melihat ke arah Aleya.
            “Kenapa? Bateri habis ke?” perli Aleya. Gunting yang berada di tangannya disorok di belakang.
            Iskandar terdiam seketika. Telefon rumah yang berada di meja kecil menarik perhatiannya. Aku perlu telefon abah. Sebaik sahaja kaki Iskandar mula melangkah, tanpa membuang masa Aleya menggunting wayar telefon yang berada di sebelahnya. Iskandar tercengang dengan tindakan Aleya. Alisa cuba menahan ketawa melihat perubahan air muka Iskandar.
            “Ops….tak sengaja. Maaf, Tengku! Nampaknya Tengku terpaksa balik ke rumah Tengku.” Aleya menunjukkan gunting yang berada di tangannya.
            Kedua-dua tangan Iskandar terketar-ketar menahan geram. “Awak sudah melampau, Aleya! Awak suka bertindak sesuka hati, Awak ingat diri awak hebat sangat ke?” marah Iskandar.
            “ Tengku baru tahu ke? Orang macam saya sanggup buat apa sahaja untuk melindungi keluarga saya. Tengku ingat selama ini saya tak tahu ke niat sebenar Tengku? Tengku cuba untuk melengah-lengahkan masa saya kan!” tegas Aleya mendekati Iskandar.
            Iskandar terkejut seketika. Tak mungkin Aleya tahu aku telah beritahu Uncle Kadir tentang mereka berdua. Mustahil. “Aaaaa…Apa awak cakapkan ni?” nada suara Iskandar bergetar.
            “Jadi memang betul la, Tengku sudah beritahu lelaki itu tentang saya dan Alisa.” Kata Aleya. Nada suara Iskandar yang bergetar telah menyatakan kebenarannya. Nampaknya telahan aku memang tepat. Iskandar ni bukannya jenis yang dapat menyimpan rahsia.
            ‘Apa!” jerit Alisa.
            “Awak jangan menuduh saya tanpa bukti.” Iskandar mengundurkan langkahnya. Renungan Aleya dan Alisa menyebabkan bulu romanya meremang.
            Alisa mengambil pasu bunga yang berdekatannya. Aku sudah lama geram dengan Iskandar ni.
            Jantung Iskandar berdengup kencang melihat Alisa mengambil pasu bunga manakala Aleya pula sedang memegang gunting. “Relaks! Betul, saya tak beritahu sesiapa pun termasuklah Uncle Kadir, Nazri dan Zahari.” Iskandar cuba menenangkan keadaan.
            “Bermakna Dr. Nazri dan Zahari juga dah tahu tentang kami.” Aleya meninggikan suaranya. Gunting yang berada di tangannya digenggam erat.
            Iskandar terus menutup mulutnya. Aku ni memang sengaja cari maut. Langkahnya diundur beberapa langkah.
            “Along, kita kena ajar dia ni! Suka masuk campur hal orang lain.” Tegas Alisa.
            “Abang Is!”
            Alisa dan Aleya berpaling ke belakang. Alina dan ibu mereka sudah balik dari hospital. Alina menemani ibu melakukan pemeriksaan di hospital di mana teman karibnya bertugas. Alina membantu ibunya masuk ke rumah.
            Iskandar menarik nafas lega melihat kehadiran Alina dan Auntie Munirah. Fuh, selamat! Iskandar dengan segera mengatur langkah menghampiri Auntie Munirah dan terus bersalaman.
            “Auntie, dari mana?” soal Iskandar. Sekilas pandang Iskandar menoleh kea rah Aleya dan Alisa yang sedang memerhati setiap gerak-gerinya. Mereka berdua tidak ubah seperti haiwan karnivor yang menunggu masa yang sesuai untuk menerkam mangsanya.
            “Hospital!” jawab Munirah dengan lembut. Dia sedar kebelakangan ini, Iskandar sering datang berkunjung ke rumah mereka.
            “Abang Is, tak sihat ke? Muka pucat lesi!” soal Alina.
            “Abang sihat! Aaa….Lina! Auntie! Is minta diri dulu. Ada hal di rumah.”
Iskandar meminta diri. Ini masanya dia melarikan diri.
            “Hmm…baiklah. Nanti kirim salam pada mak ayah ye” pesan Munirah.
            “Baiklah. Assalamualaikum.” Iskandar terus melangkah laju keluar dari rumah itu. Kunci kereta dikeluarkan dari poket seluar. “Macam mana Aleya boleh tahu? Dia ada kuasa macam Jean Grey je? Boleh baca fikiran aku! Aduh, rosak plan aku! Hmmm…aku kena tanya abah pasal projek tu. Mereka berdua tu memang menakutkan”  Iskandar melihat ke arah rumahnya sebelum masuk ke dalam perut kereta mewah miliknya.
            Alina dan Munirah hairan dengan sikap Iskandar yang tergesa-gesa meninggalkan mereka. Alina berpaling pada kakak kembarnya. Pasti sesuatu telah berlaku sewaktu aku dan ibu tiada di sini. “Apa Along dan Angah sudah buat pada Abang Is?”
            “Buat apa?” soal Alisa dan terus meletakkan pasu bunga yang pegangnya tadi di tempat asal.
            Aleya meletakkan gunting di atas meja kecil dengan kasar. Acu dan ibu balik pada masa yang tak sesuai! Aleya mengetap bibirnya.
            Anak mata Alina membesar melihat gunting yang diletakkan di atas meja. Biar betul Along ni! Kalau aku dan ibu balik lambat tadi, entah apa yang akan terjadi pada Abang Is.
            “Along dan Angah buli Is ke? Berapa kali ibu pesan jangan berkasar dengan Iskandar. Iskandar cousin Along dan Angah! Saudara mara kita.” Nasihat Munirah. Kebelakangan dia susah hati dengan sikap Aleya dan Alisa. Kasar! Agresif! Dia mula bimbang.
            Aleya dan Alisa hanya mendiamkan diri.

            “Ni beg siapa?” soal Alina secara tiba-tiba. Dahinya berkerut. Ada orang nak berpindah ke? Alina melihat Aleya dan Alisa yang masih kaku mendiamkan diri. Tiada jawapan.

Monday, September 2, 2013

Satu Dua Tiga 2013

BAB 28

            “Oooo…Mak! Gempa bumi.” Alisa melatah.Dia terkejut apabila Alina meletakkan suratkhabar di atas meja dengan kasar.
            Aleya yang sedang membaca majalah juga terkejut dengan tindakan adik bongsu mereka. Terkebil-kebil mata Aleya melihat Alina yang sedang merenung mereka berdua.
            “Jangan Along dan Angah berpura-pura tak tahu apa yang berlaku. Acu tahu apa yang berlaku sekarang ini adalah kerja Along dan Angah kan”
            “Apa bendanya yang Acu merepek awal-awal pagi ni? Bagi salam pun tidak, ini tiba-tiba saja sembur macam angsa, kenapa? Dah buang tabiat.” Kata Alisa.
            “Along! Angah!” jerit Alina geram. Sakit hati apabila dirinya tidak dipedulikan.
            “Dah gila meroyan adik aku ni.” Alisa menggelengkan kepalanya beberapa kali.
Dahi Aleya berkerut bila Alina menjerit pada mereka berdua yang sedang duduk di ruang tamu. Sarapan pagi sudah siap. Mereka sedang menanti ibu mereka untuk sarapan bersama-sama.
            Alina mengambil suratkhabar itu dan menunjukkan kea rah mereka berdua tajuk utama bahagian hiburan di Harian Metro. “Bekas pelakon terkenal, Datin Kartika adalah isteri kedua?” Alina membaca dengan kuat. Alina mengetap giginya menahan geram.
            “So, what’s the problem?” Aleya bersuara.
            “Ini kerja Along dan Angah kan? Kenapa mesti keruhkan lagi keadaan. Masalah yang sedia ada pun masih belum selesai.” soal Alina dengan penuh yakin.
            “Cik Alina, ada bukti ke? Angah ada beberapa soalan untuk Acu. Pertama, Acu ada nampak kami berdua jumpa wartawan ke? Kedua, apa motif kami sebarkan perkara ini pada pihak media? Ketiga, di wajah kami ada tertulis ke yang semua ini kami yang mulakan? Cuba Acu jawab.” Soal Alisa dengan gaya seorang peguam.
            “ Tak payah tulis-tulis, bau pun dah tahu dah siapa punya kerja. Don’t forget that I’m part of your life, sis.” Alina tersengih. Nalurinya kuat mengatakan semua ini adalah kerja kakak kembarnya.
            “Tengok tu, Along! Jahat sangat ke kita berdua ni.” Alisa masih tidak mengaku.
            Aleya masih tenang dan tersenyum. Dia hanya buat tak tahu. Malas nak masuk campur.
            “Kalau ibu tahu tentang perkara ini, mesti ibu marah. Nasib baiklah Acu yang baca suratkhabar ni dulu. Along ! Angah! Aduh, kenapa mesti kipas lagi api yang telah menyala?  Acu takut api itu akan menjadi lebih marak. Akibatnya, kita semua yang akan terbakar nanti.” Alina meluahkan kebimbangannya. Dia takut Datin Kartika akan lebih membenci mereka sekeluarga. Dia takut apabila memikirkan apa tindakan Datin Kartika seterusnya terhadap dirinya sekeluarga.
            “Bagus! Biar api itu bakar dirinya sendiri.” Jawab Aleya.
            “Biar dia rentung. Itu lebih baik.” Alisa mencelah.
            “Jadi Along dan Angah mengaku yang semua ini kerja Along dan Angah.  ” tegas Alina. Memang sah ini semua kerja kakaknya.
            “Bila masa pulak kami mengaku? Tak baik menuduh orang tanpa bukti, berdosa tahu tak?” usik Alisa. Pasti Alina tengah bengang dengan mereka berdua.
            “Habis tu aibkan orang, bukan ke berdosa jugak.” Jawab Alina pula.
            Alisa membuat mimic muka. Bibirnya dimuncungkan. Amboi, sekarang Acu sudah pandai bercakap. Sejak balik ke Malaysia ni, asyik melawan cakap aku dan Along saja. Kalau dulu, hanya diam membisu seribu bahasa.
            Aleya ketawa melihat gelagat mereka berdua. Lucu!
            Serentak pandangan mereka dialihkan pada Aleya yang sedang ketawa.
            “It’s not funny.” Kata Alina hairan dengan kelakuan Aleya yang tiba-tiba ketawa.
            “Sejak Acu menjejakkan kaki di Malaysia, Along sedar perangai Acu sudah banyak berubah. Hmm..mesti ada sesuatu yang telah berlaku di sini kan?”
            “Betul tu, Along! Kebelakangan ni Acu kalau bercakap lebih dari Angah, ini dah melawan tauke nampaknya.”
            “Along rasa pasti ada seseorang yang telah memberi inspirasi pada Acu sehingga Acu berubah seperti ini.” Aleya tersenyum dan mengenyitkan matanya. Dia sengaja ingin mengusik adiknya.
            “Rasanya Angah tahu siapa. Dr Nazri kan!”
            “Kenapa pula tiba-tiba sebut nama Dr. Nazri? Perkara ini tiada kena-mengena dengan Dr. Nazri. Acu  tak pernah berubah. Sepertimana yang Angah pernah katakan, kita mesti jujur dan ikhlas dan yang penting ialah kita bercakap dari hati kita.” Ujar Alina. Kenapa pulak tiba-tiba cakap tentang Dr Nazri? Ini dah melencong namanya. “Along ni memang pandai ubah topic lain kan?”
            “Clever girl.” Aleya ketawa. Begitu juga dengan Alisa. Acu dah terkena.
            “Tentang Datin Kartika! Acu nak Along dan Angah tarik balik kenyataan itu. Acu tak nak ibu tahu tentang perkara ini. Kalau ibu baca suratkhabar ini pasti ibu akan rasa bersalah dan anggap semua yang terjadi berpunca dari ibu.”
            “Siapa kata ibu akan baca suratkhabar hari ini?” Alisa tersengih sehingga menampakkan barisan gigi yang teratur.
            “Along! Angah! Acu!”
            Mereka bertiga terkejut bila nama mereka dipanggil. Mata mereka tepat melirik kea rah bilik  ibu mereka.Suara itu datangnya dari arah bilik ibu. Simbol pintu bilik itu dipulas. Alisa segera mengambil suratkhabar di tangan Alina dan pantas meletakkan suratkhabar itu di bawah punggungnya. Alina tergamam dengan tindakkan Alisa. Alisa memberi isyarat supaya Alina tidak berkata apa-apa.
            Munirah keluar dari biliknya dan tersenyum melihat ketiga-tiga anaknya berada di ruang tamu. “Awalnya anak-anak ibu bangun hari ini. Hmm…jom kita makan sarapan sama-sama. Aaa…suratkhabar dah sampai ke belum?” soal Munirah. Setiap pagi sudah menjadi kebiasaannya untuk membaca suratkhabar. Baginya, pengetahuan itu penting.
            Alina melirik matanya pada Alisa. Sekarang ni ibu bertanya pasal suratkhabar, nak jawab apa?
            “Belum sampai lagi, ibu.. Mungkin ada masalah teknikal kot.” Jawab Alisa. Dia mula panic bila ibu bertanya.
            “Hmm..peliknya. Selalunya time macam ni dah sampai. Tak apalah, nanti kalau dah sampai beritahu ibu ye. Jom kita makan.” Ajak Munirah yang tidak mengesyaki apa-apa. Alina menggelengkan kepalanya. Kakak aku ni kuat penipu. Apa nak jadi ?
            Alisa membuat mimic muka pada Alina yang sedang merenung mereka berdua. Pasti Acu tengah bengang sekarang ini. Alisa menoleh ke arah Aleya yang tersenyum. Pasti Along tengah membayangkan bagaimana reaksi Datin Kartika sebaik saja membaca artikel ini. Kan bagus kalau aku dapat tengok. Ini baru fasa pertama.
            “Assalamualaikum.” Tiba-tiba ada orang memberi salam.
            ‘Siapa yang datang pagi-pagi ni?” Alisa hairan.
            “Acu, cuba pergi tengok siapa yang datang tu!” Munirah bersuara.
            “Baik, ibu!” Segera langkahnya diatur menuju ke pintu. Alina tersenyum melihat kelibat lelaki yang sedang menghampirinya. “Abang Is, ibu!”
            “Along! Kenapa la alien tu kerap sangat datang ke rumah ke? Dia ni ada masalah ke? Dia ingat rumah ni pusat kebajikan ke? Makan free.” Alisa berpaling ke arah Aleya. Wajahnya berubah. Aleya mula berasa tidak sedap hati.

                                    *********************************

            “Tengku, saya  telah develop hotel Tengku menggunakan perisian AutoCAD supaya Tengku dapat melihat bangunan ini dengan lebih jelas. “ jelas Aleya menunjukkan bangunan hotel yang telah siap dibina menggunakan perisian AutoCAD. Semalaman dia tidak tidur hanya kerana ingin menyiapkan projek ini. “Untuk bahagian lobby hotel pula, saya ….”
            “Sekarang ini saya sudah faham kenapa awak tergesa-gesa siapkan projek ini. Awak takut rahsia awak akan terbongkar kan! Awak seorang yang pentingkan diri sendiri. Awak tak fikir ke perasaan ayah awak? Dia berhak tahu tentang anaknya.” Iskandar tiba-tiba mencelah.
            Pandangan Aleya dialihkan pada Iskandar yang duduk di sebelahnya. “Tengku, itu hal keluarga saya. Tengku tak perlu masuk campur. Sekarang ini kita tengah bincang tentang projek Tengku so jangan campur-adukkan hal kerja dan peribadi. Shall we?” tegas Aleya. Dia cukup tidak suka apabila ada orang cuba mencampuri urusan peribadinya
            “Awak pengecut! Awak tidak berani berhadapan dengan kenyataan. Awak fikir dengan melarikan diri dari masalah awak akan selesai. No! It’s getting worse.”
            “Kenyataan apa! Kenyataan bahawa kami mempunyai seorang ayah yang tidak bertanggungjawab dan seorang suami yang menganggap isterinya tidak ubah seperti orang gaji. Tengku ingat lelaki itu layak ke menjadi ayah kami. Tidak! Selama 26 tahun, kami membesar tanpa kasih sayang seorang ayah! Tengku ingat kami perlu ke terima dia dalam kehidupan kami. No way! Dia telah halau ibu jadi kenapa pulak kami perlu terima dia menjadi sebahagian dari kami.”
            “Setiap orang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Mereka berhak diberi peluang kedua. Memaafkan orang lain adalah perbuatan yang mulia malah beban yang tersimpan di hati akan hilang jika kita memaafkan perbuatan mereka.” Nasihat Iskandar. Aleya bukanlah seorang yang pemaaf seperti Auntie Munirah dan Alina. Hatinya keras.
            Aleya menggelengkan kepalanya beberapa kali. “Bagi Tengku, semua ini adalah perkara mudah. Forgive and forget! Hmm…itu bukan style saya. Saya bukan hipokrit. Apa yang dia pernah lakukan pada ibu? Kami takkan  lupa. Dia sudah ada keluarga sendiri. Datin Kartika adalah wanita pilihan dia. Wanita yang amat disayangi dan dipuja. Wanita yang sempurna di matanya malah setaraf dengannya. Kenapa? Kenapa dia ingin kembali pada ibu? Dia tidak malu ke dengan perbuatan yang telah dia lakukan pada ibu selama ini? Benda yang dia sudah ludah, kenapa dia nak jilat kembali!”
            “Ya! Ya, saya akui perbuatan Uncle Kadir pada Auntie Munirah memang  melampaui batas tetapi itu dulu. Sekarang Uncle Kadir sudah menyesal di atas perbuatannya dan dia ingin menebus kembali kesilapannya. Berilah peluang untuk Uncle Kadir menjadi ayah dan suami yang bertanggungjawab. Berilah peluang pada ibu awak untuk merasai kasih sayang seorang suami. Takkan awak tak mahu ibu awak bahagia.” Pinta Iskandar.
            Aleya ketawa mendengar kata-kata Iskandar. Maklumlah dia baik dengan lelaki itu pasti dia akan menyebelahi lelaki itu. “Bahagia! Tengku faham ke dengan istilah bahagia tu. Saya rasa playboy seperti Tengku hanya tahu bercakap sahaja. Tengku tahu tak apa yang telah lelaki itu lakukan pada ibu? Sehingga sekarang ibu saya mengalami achluophobia akibat perbuatan yang telah lelaki itu lakukan terhadap ibu.” Aleya sudah mula geram.
            “Achluophobia” Iskandar terkejut.
            “Takut pada kegelapan. Ibu pernah dikurung selama 2 minggu di dalam bilik yang sempit dan gelap. Tidak diberi makan dan minum. Ini kerana menziarahi kubur arwah atuk dan nenek di Johor tanpa kebenaran lelaki itu. Salah ke ibu menziarahi kubur ayah dan ibu sendiri. Salah ke, hah! Sehingga sekarang ibu takut pada kegelapan, ini disebabkan oleh lelaki itu. Walaupun ibu telah maafkan lelaki itu tetapi saya tahu ibu takkan lupa walau sedetik pun perbuatan lelaki itu padanya. Awak fikir saya akan benarkan ibu merana lagi ke? Tidak! Untuk pengetahuan Tengku, saya akan benarkan ibu saya kahwin dengan sesiapa pun kecuali lelaki itu sebab dia tak layak! Tak layak, Tengku faham tak!” jerit Aleya. Lelaki itu direnungnya.
            Iskandar tergamam.
            “Satu lagi untuk pengetahuan Tengku, saya sudah buat keputusan. Tengku carilah Arkitek lain untuk projek hotel Tengku di Langkawi. Kalau Tengku nak saman saya, go ahead. I don’t care. Saya akan tunggu surat saman dari Tengku.” Aleya terus bangun. Dia sudah malas bertekak dengan lelaki ini. Jika diikutkan hati, dah lama lelaki ini dibelasahnya.
            Tangan kanan Aleya dipegang oleh Iskandar secara tiba-tiba. “Awak fikir saya akan lepaskan awak begitu saja ke, Aleya.” ISkandar merenung Aleya.
            Dengan sekuat tenaga yang ada Aleya menarik tangannya dari genggaman Iskandar, sebaik saja tangan kanannya dilepaskan. Satu tumbukan hinggap di mata Iskandar. Iskandar tersandar di sofa. Matanya sakit akibat tumbukan Aleya.
            “Tengku ingat saya takut pada Tengku ke? Ini Aleya. Saya beri amaran pada Tengku sekali lagi, jangan campur tangan dalam urusan keluarga saya lagi. Faham!” marah Aleya. Dia terus berlalu meninggalkan Iskandar yang masih kaku.
            Alisa menepuk tangannya beberapa kali. Langkahnya diatur kemas mendekati Iskandar. Sejak dari tadi dia memerhati gerak-geri lelaki itu dari jauh. Tindakan Along memang tepat. Dari dulu lagi alien ni kena ajar, asyik sebelahkan lelaki tu saja. “Kasihan! Sakit ke?” ejek Alisa.
            Iskandar merenung tepat pada wanita yang berbaju biru itu. Pasti ini Alisa.
Aduh, sakit betul! Tangan besi ke Si Aleya ni.
            “Lain kali jangan cuba busybody . Ini baru sikit. Sepatutnya Along tumbuk kat pipi awak. Biar bertabur gigi awak tu kan senang. Tak payah bercakap lagi.” Alisa ketawa kuat dan terus meninggalkan Iskandar.
            “Mereka berdua ni memang dah gila! Gila. Ouch! Lebam ke mata aku ni!” Iskandar mengusap tempat yang sakit akibat tumbukan Aleya. Macam mana aku nak jumpa Zura malam ni? Rosak plan aku nak dating dengan Zura.
           
           
           

                                    ***********************************

            Kartika membaling suratkhabar itu ke arah suaminya. Dato Syed Mohd Kadir terkejut. Dr. Nazri dan Zahari yang berada di situ turut sama terkejut dengan tindakan Kartika.
            “Abang, tengok apa yang abang dah buat? Tika tahu ini semua mesti kerja abang kan! Abang sanggup jatuhkan air muka Tika semata-mata kerana isteri kesayangan abang tu kan! Abang memang lelaki yang tak kenang budi.” Jerit Kartika. Kehadiran Dr. Nazri dan Zahari tidak dipedulikannya. Dia terkejut apabila membaca artikel mengenainya di suratkhabar hari ini. Sejak dari pagi tadi, telefon bimbitnya asyik berbunyi. Pasti panggilan dari kawannya atau wartawan. Mana aku sorok muka aku ni? Pasti seluruh rakyat Malaysia tahu aku adalah isteri kedua.
            “Hey! Tika, apa halnya ni! Menjerit seperti orang hilang akal. Kau tak malu ke dengan budak-budak ni.” Dato Syed Mohd Kadir melihat pada Zahari dan Dr.Nazri yang tergamam. Dia tak hormat aku sebagai suami dia.
            “Tika, tak peduli. Abang sanggup beritahu pihak media tentang status Tika sebenarnya kerana perempuan kampung tu. Abang sedar tak siapa yang menemani abang selama 26 tahun ini! Tika, abang! Tika! Sekarang semua orang tahu yang Tika ni isteri kedua abang! Abang memang kejam.” Air matanya tidak berhenti mengalir. Sakit hatinya diperlakukan sebegitu. Aku ada maruah diri jugak.
            Dahi Dato Syed Mohd Kadir berkerut. Apa halnya ni? Aku tak faham satu pun apa yang dikatakan oleh Kartika ni.
            “Uncle Kadir! Cuba Uncle tengok ni.” Zahari menunjukkan tajuk di halaman hiburan pada suratkhabar yang dibaling oleh Datin Kartika sebentar tadi. Dr. Nazri terkejut.
            Bulat mata Dato Syed Mohd Kadir apabila membaca suratkhabar itu. Pantas Kadir merampas suratkhabar itu dari tangan Zahari.
            “Sekarang ini abang masih tidak mengaku lagi ke?” jerkah Kartika. Air mata yang mengalir dikesatnya dengan kasar.
            “Aku tak tahu menahu tentang perkara ini, Kartika.” Dato Syed Mohd Kadir merenung tepat pada Kartika yang sedang merenung dirinya. Bagaimana perkara ini boleh diketahui oleh pihak media?
            “Abang jangan berlakon di hadapan Tika. Kalau bukan abang, siapa? Tika takkan biarkan perkara ini begitu saja. Abang telah malukan Tika. Tika akan pastikan abang dan perempuan kampung tu merana. Abang dengar tak?”
            “Auntie! Jangan menuduh tanpa bukti.” Zahari bersuara. Auntie Kartika terlalu ikutkan hati, aku yakin perkara ini tiada kena mengena dengan Uncle Kadir.
            “Kau diam, Zahari. Ini urusan orang tua, kau jangan menyampuk. Baiklah, kalau abang ingin sangat bersama perempuan kampung, silakan. Tetapi abang perlu ingat, siapa Kartika!” Kartika mengetap bibirnya dan jari telunjuknya dihalakan pada suaminya yang sedang duduk di atas katil. Aku akan cari Munirah dan anaknya sehingga ke lubang cacing. Aku takkan biarkan mereka terlepas. Tahulah macam mana aku nak ajar mereka berdua. Kartika sudah bertekad. Aku akan hancurkan hidup Munirah dan anaknya.  Kartika terus keluar dan pintu bilik itu ditutup dengan kuat.  
            “Masalah besar ni, Uncle Kadir.” Dr. Nazri bersuara. Dia menggaru kepalanya yang tidak gatalnya. Nampaknya Auntie Kartika sudah isytiharkan perang dengan Uncle Kadir.
            Kadir mengeluh. Dadanya tiba-tiba berasa sakit.
            “Uncle, relaks! Lapangkan fikiran.” Dr. Nazri mula bimbang. Dia takut jika Uncle Kadir diserang sakit jantung lagi. Tekanan tidak elok untuk pesakit jantung.
            “I’m ok!” Dato Syed Mohd Kadir cuba tersenyum. Kata-kata Kartika sebentar tadi merungsingkan fikirannya.
            “Assalamualaikum!” ucap Iskandar apabila masuk ke bilik itu. “Kenapa dengan Auntie Kartika? Muka masam macam cuka.” Kata Iskandar. Dia terserempak Auntie Kartika sewaktu dalam perjalanan menuju ke bilik Uncle Kadir. Dia cuba tegur Auntie Kartika tetapi tiada reaksi. Auntie Kartika buat tidak tahu sahaja.
            “Kenapa dengam mata kau, Is? Lebam! Kau bergaduh dengan siapa?” Dr. Nazri terkejut melihat mata kanan Iskandar yang lebam.
            “Kali ini girlfriend siapa pulak yang kau kacau?” Zahari tersengih.Dia kenal sangat dengan sifat playboy teman sepermainannya itu.
            “Long story!” Iskandar terus mendekati Uncle Kadir dan bersalaman dengan Uncle Kadir. “Uncle sihat?”
            “Alhamdulilah! Semakin sihat. Siapa yang tumbuk Is ni? Is tak buat report polis ke?” soal Dato Syed Mohd Kadir.
            “Sikit saja, Uncle. Hmm….apa halnya Auntie Kartika datang jumpa Uncle? Selama ini tak pernah pun dia jenguk Uncle di sini, tiba-tiba pulak dia datang jumpa Uncle ni mesti ada sebab.”
            “Kau baca ni.” Dr. Nazri menghulurkan suratkhabar itu pada Iskandar.
            Iskandar membaca artikal itu. Iskandar tergamam. “Siapa yang sebarkan perkara ini?”
            “Itu kami tak tahu. Yang pasti, Auntie Kartika tuduh Uncle Kadir yang buat semua ini.” Ujar Zahari. Dia rasakan ada sesuatu yang tak kena.
            “Pelik!”
            “Tadi Zahari cakap ada hal ni beritahu Uncle!” tiba-tiba Dato Syed Mohd Kadir teringat tujuan Zahari ingin berjumpa pagi ini.
            “Semalam Uncle call Zahari untuk siasat tentang kehidupan Auntie Munirah dan Alina selama 26 tahun mereka tinggal di London kan! Sebenarnya Zahari sudah suruh orang Zahari siasat tentang mereka.” Beritahu Zahari. Hari ini Uncle Kadir perlu tahu tentang Aleya dan Alisa. Uncle Kadir berhak tahu kebenarannya.
            Iskandar terkejut. Pasti Zahari sudah tahu tentang Aleya dan Alisa. “Zahari, kau sudah tahu tentang Aleya dan Alisa ke?” Iskandar mencelah.
            Zahari terkejut dengan pertanyaan Iskandar. “Macam mana kau tahu tentang mereka, Is?”
            “Panjang ceritanya Zahari!”
            “Zahari! Is! Apa yang kau berdua cakap ni?” Dr. Nazri hairan.        
            “Siapa Aleya dan Alisa?” soal Dato Syed Mohd Kadir.
            “Anak Uncle!” jawab Iskandar.
            “Apa!” Terbeliak mata Dato Syed Mohd Kadir apabila mendengar jawapan Iskandar.
            “Aleya dan Alisa adalah kakak Alina. Mereka kembar tiga.” Jelas Zahari.
            “Kau jangan buat lawak, Zahari! Mustahil.” Dr. Nazri tidak percaya.
            “Kau pernah beritahu aku yang kau berasa pelik dengan sikap Alina yang sering berubah kebelakangan ini kan! Untuk pengetahuan kau, selama ini kau sebenarnya berjumpa dengan Aleya atau Alisa. Mereka kembar seiras.Aku pun tidak dapat bezakan mereka bertiga”  Iskandar mengingatkan kembali persoalan Nazri tentang Alina tempoh hari.
            “Kalau Uncle tak percaya, ini salinan sijil kelahiran mereka bertiga!” Zahari memberi beberapa keeping kertas pada Dato Syed Mohd Kadir yang masih lagi terkejut.
            Tangan Dato Syed Mohd Kadir terketar-ketar membaca salinan sijil kelahiran yang diberikan oleh Zahari. “Nur Aleya lahir  pada pukul 3.05 pagi, Nur Alisa lahir pada pukul 3.07 pagi dan Nur Alina lahir pada pukul 3.10pagi.” Air mata Dato Syed Mohd Kadir mengalir tanpa disedari. Dia tidak menjangka bahawa dirinya sebenarnya mempunyai 3 orang puteri. Inilah anugerah yang tidak ternilai baginya.
            Iskandar, Zahari dan Dr. Nazri tersenyum melihat reaksi Dato Syed Mohd Kadir.
            “Tapi kenapa Munirah rahsiakan perkara ini? Kenapa Munirah hanya memperkenalkan Alina pada Uncle? Uncle tak faham.”
            “Mungkin Auntie Munirah takut kesihatan Uncle terjejas .Sebenarnya Uncle, Aleya dan Alisa tidak seperti Alina. Mereka lain sikit.” Dahi Iskandar berkerut. Sukar untuk dirinya memberitahu Uncle Kadir bahawa Aleya dan Alisa tidak mengaku Uncle Kadir adalah ayah kandung mereka.
            “Maksud Is?” Dato Syed Mohd Kadir hairan.
            “Mereka ada isu.”
            “Isu!” Dr. Nazri terkejut.
            “Maksud Is, mereka bencikan Uncle ke?” Dato Syed Mohd Kadir teringat kembali layanan Alina kebelakangan ini terhadapnya, berbeza dengan Alina yang datang melawatnya 4 hari yang lalu. Tindak-tanduk mereka berbeza. Perasaan bersalah mula terbit di hati Dato Syed Mohd Kadir. Memang patut pun aku dibenci oleh Aleya dan Alisa. Selama ini aku telah mengabaikan mereka bertiga dan Munirah. Aku telah gagal menjalankan tanggungjawab sebagai seorang ayah. Semua ini salah aku!
            “Uncle, jangan fikirkan sangat. Uncle belum lagi sihat 100% lagi.” Zahari memegang lembut bahu Dato Syed Mohd Kadir. Dia tahu apa yang sedang difikirkan oleh Dato Syed Mohd Kadir sekarang.
            “Uncle takkan salahkan Aleya dan Alisa jika mereka berdua membenci Uncle. Mereka berhak untuk membenci Uncle. Uncle bukan ayah dan suami yang baik. Mereka membesar tanpa kehadiran seorang ayah. Jika Uncle tak halau Auntie Munirah pada waktu itu, pasti kami hidup bahagia bersama Aleya, Alisa dan Alina. Uncle tak dapat bayangkan macam mana Munirah membesarkan ketiga-tiga orang anaknya di negara orang. Segala kesusahan semasa membesarkan anak-anaknya ditanggung sendirian.” Dato Syed Mohd Kadir mengelengkan kepalanya beberapa kali. Keluhan berat dilepaskan. Munirah seorang yang tabah. Kenapa aku tak menghargai dirinya? Kenapa aku terlalu mementingkan ego aku pada waktu itu?
            “Uncle, perkara sudah berlaku jangan dikenang lagi! Yang penting sekarang ini adalah Uncle perlu pandang ke hadapan dan jangan menoleh lagi. Uncle ada masa lagi untuk meminta maaf dan memperbaiki kesilapan Uncle selama ini. Apa yang perlu Uncle lakukan ialah tunjukkan keikhlasan Uncle terhadap Auntie Munirah, Alina, Aleya dan Alisa. Saya yakin mereka akan memaafkan Uncle.” Dr. Nazri tersenyum.
            Iskandar berdehem beberapa kali. “Nazri, kau belum jumpa Aleya dan Alisa lagi. Jika kau sudah berjumpa mereka berdua, aku pasti kau takkan cakap macam tu pada Uncle Kadir. Seorang macam singa dan seorang lagi macam burung murai.”
            Dr. Nazri dan Kadir berpaling ke arah Iskandar.
            Iskandar hanya mampu tersenyum. “Eh, Zahari! Macam mana kau boleh tahu pasal Aleya dan Alisa?”
            “Rupa-rupanya adik aku, Tina kawan baik Alisa. Mereka belajar law di university yang sama di London. Kau pula, macam mana tahu tentang mereka?” giliran Zahari pula ingin tahu.
            Iskandar melepaskan keluhannya lagi. “Aleya adalah arkitek import yang aku cakapkan selama ini.”
            ‘Apa!” Dato Syed Mohd Kadir terkejut.
            “Nur Aleya Kadir. Hmmm….Barulah Is faham selama ini, kenapa selama ini Aleya enggan menerima tawaran syarikat kita. Is rasa Aleya tiba-tiba bersetuju menerima projek kita disebabkan oleh Auntie Munirah dan Alina  Dia bimbang dengan keselamatan Auntie Munirah dan Alisa sebab itulah dia pulang ke Malaysia.”
            “Jadi Aleya seorang arkitek manakala Alisa pula seorang peguam.” Dr. Nazri tepat melihat ke arah Iskandar yang menganggukkan kepalanya apabila mendengar kata-kata Dr. Nazri.
            “Honestly, Aleya and Alisa are different. Mata aku yang lembam ini!” Iskandar menunjukkan mata kanannya yang lebam. “Aleya yang tumbuk aku.” Terang Iskandar.
            Mereka bertiga terpana apabila mendengar pengakuan Iskandar. Rasanya aku tak perlu jelaskan sebabnya
            “Oleh itu, Uncle perlu kuat dan bersemangat gentar. Perjuangan Uncle kali ini tidak mudah. Aleya dan Alisa seperti tembok besar yang akan menghalang Uncle dari memasuki dunia mereka. Uncle perlu dapatkan kembali kepercayaan mereka terhadap Uncle. Yang penting sekarang ini, Uncle perlu jaga kesihatan. Is janji Is akan tolong Uncle.” Iskandar tersenyum. Dia sudah ada rancangan. Tak sabar rasanya untuk melihat reaksi Aleya dan Alisa.
            Dato Syed Mohd Kadir hanya mengganggukan kepalanya sebagai tanda setuju.
            “Kami juga akan tolong, Uncle! Betul tak, Nazri?”
            “Betul, Uncle! Kami akan tolong Uncle dapatkan kembali keluarga Uncle.” Dr. Nazri tersenyum.


                        **************************************************

CERPEN : CINTA SEHALA (KARYASENI)

  𝐊𝐎𝐌𝐏𝐈𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍 - 𝐍𝐎𝐒𝐓𝐀𝐋𝐆𝐈𝐀 - 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐡𝐞𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 . Kami kumpulkan kary...