Wednesday, August 5, 2020

Duniaku Ada Kamu - Bab 5

Bab 5

 

            Kelopak mata dibuka perlahan-lahan apabila terasa ada pancaran matahari di wajahnya. Dengan malasnya, Omar bangun dari katil. Dia melihat ke arah tingkap. Siapalah yang buka langsir tingkap biliknya? Hari ini hujung minggu, Omar tak nak bangun awal.  Lagipun dia tak ada mood nak habiskan hujung minggunya dengan sebarang aktiviti.  Hidupnya tak bermakna lagi tanpa Husna. Hari ini sudah segenap sebulan Husna hilang tanpa khabar berita. Hari demi hari harapan Omar menanti kepulangan Husna semakin pudur. Husna langsung tak hubungi dia. Sampai hati Husna buat dia macam ni!

 

            “Termenung apa lagi? Bangunlah cepat! Dah pukul 11 pagi.” Kedengaran suara Puan Nabila.

 

            “Ibu! Hari ni Ahad. Biarlah Omar tidur lama sikit. Kacaulah.” Marah Omar. Dia tidur semula. Ditarik semula selimut menutupi kepalanya. Dia betul-betul malas nak bangun.

 

            Puan Nabila mengetap bibir. Dia dekati katil dan menarik selimut dengan kasar. “ Omar! Sudahlah! Sudahlah tu! Sampai bila Omar nak jadi macam ni, hah? Bila cuti saja, duduk berkurung dalam bilik. Berbaloi ke sia-siakan hidup Omar disebabkan Si Husna tu, hah?”

 

            “Ibu!” Omar lantas bangun. Dia merenung Puan Nabila.

 

            “Apa! Cakap ibu tak salah kan! Kalaulah dia benar-benar sayang dan cintakan Omar, Husna takkan buat Omar macam ni. Call pun tidak, mesej pun tidak! Hilang macam tu saja. Omar seorang saja teringatkan dia, dia langsung tak ingatkan Omar pun.  Family dia sendiri pun, dia tak contact langsung. Perempuann selfish macam tu, Omar nak jadikan isteri? Rumahtangga Omar akan bahagia ke nanti? Omar yakin ke Husna tu boleh jadi isteri dan ibu yang baik? 100 peratus yakin ke? Omar, bercinta dan kahwin ni tak sama! Dengarlah cakap ibu ni! Lupakan saja Husna tu!” kata Puan Nabila dengan panjang lebar. Dia nak Omar sedar semua tu.

 

            “ Memang Husna banyak kekurangan dia tapi kalau kita nasihat elok-elok, Omar yakin Husna akan berubah.”

 

            “Berubah? Lepas apa Husna dah buat kat Omar, Omar masih yakin Husna tu akan berubah! Kenapa dengan Omar ni, hah? Takkanlah sebab cinta, mata tu buta nak lihat apa yang terjadi sekarang ini disebabkan Si Husna tu.” Semakin bengis wajah Puan Nabila. Nama Husna saja dah buat telinganya rasa nak meletup. Nama Husna tak pernah lekang di bibir anak bongsunya itu. Omar masih berharap kepulangan Husna. Kenapa anaknya begitu naïf sangat?

 

            “Ibu!”

 

            “Mulai hari ini, ibu tak nak dengar nama Husna lagi! Faham!” jerkah Puan Nabila.

 

            Omar terdiam. Wajahnya sedih. Mustahil dia dapat lupakan Husna sekali gus. Hampir sepuluh tahun mereka bercinta. Memori-memori indah antara mereka berdua takkan mudah dipadamkan. Hatinya benar-benar terluka.

 

            “Sekarang ni! Ibu nak Omar mandi. Siap cepat! Sekejap lagi, Mariam datang.”

 

            “Mariam nak datang? Buat apa?”

 

            “Hey, Omar dah lupa ke Mariam tu tunang Omar ! Jangan buat perangai Omar! Bulan depan, kamu berdua dah nak nikah! Kad kahwin pun dah siap. Ibu yang call Mariam datang sini! Barang-barang hantaran tak beli lagi kan? Bila Mariam ajak Omar keluar, macam-macam alasan Omar bagi kan!”

 

            Omar mengeluh kuat.

 

            “ Bulan depan Mariam akan jadi isteri Omar! Ingat tu! Mandi cepat!” tegas Puan Nabila. Dia terus berlalu keluar.

 

            Selepas Puan Nabila berlalu keluar, Omar meraup wajahnya berkali-kali.  Dihentak tangannya di atas katil berkali-kali untuk lepaskan geram. “ Kenapa ibu suka sangat paksa aku terima Mariam, hah!” kata Omar. Dia mengetap bibirnya rapat. Hatinya masih lagi pada Husna. Itulah kenyataannya….

 

                                                ******************************

 

            Mariam duduk menanti Omar di ruang tamu. Diletakkan bag tangannya di sebelahnya. Kemudian Mariam betulkan tudungnya. Dia tak sabar nak keluar dengan Omar hari ini.

 

            Sebaik saja melihat Omar menuruni anak tangga, Mariam terus bangun dan tersenyum lebar. Dah lama dia tak jumpa Omar. Paling tepat sekali dia rindukan Omar.

 

            Senyuman Mariam sedikit demi sedikit hilang apabila melihat keadaan Omar yang nampak tak terurus. Rambut pula panjang dan kusut. Selalunya Omar seorang yang berpenampilan kemas dan bergaya. Omar benar-benar nampak lain. Dia risau melihat keadaan Omar. Ternyata kehilangan Husna memberi impak besar dalam hidup Omar.

 

            “ Omar, kau okey ke? Kalau kau tak nak pergi, aku seorang saja pergi. Kau bagi saja list barang hantaran tu.” Mariam bersuara apabila Omar dekati Mariam. Dia faham perasaan Omar. Dia tak nak kehadiran dia beri tekanan lagi pada Omar. Dia tahu perkahwinan ini beri tekanan berat dalam hidup Omar. Sudah lama dia tak nampak senyuman dan gelak ketawa Omar, kini Omar benar-benar berubah. Hidup Omar sudah tak ceria.

 

            Omar pandang Mariam. Renungan matanya begitu redup. “Aku…”

 

            “Tunggu apa lagi, pergilah!” Puan Nabila muncul secara tiba-tiba. Dipandang sekejap ke arah Omar dan dipandang sekejap ke arah Mariam semula.

 

            “ Yalah! Yalah! Kami gerak sekarang.” Jawab Omar. Dia beralah. Ikutkan hati dia memang malas nak pergi tapi dia tak mahu bergaduh besar dengan ibunya di depan Mariam. Langkah terus diatur menuju ke pintu.

 

            Puan Nabila tersenyum lebar.

 

            “Auntie! Saya pergi dulu yer!” kata Mariam seraya bersalaman dengan Puan Nabila.

 

            Puan Nabila angguk kepala. “ Keluar beli barang tu biar lama-lama sikit. Sesekali itu Omar tu kena keluar rumah jugak, asyik terperuk dalam bilik saja. Tak elok! Nanti Mariam ajak Omar lunch lepas tu dinner sekali yer…”

 

            “Ya, auntie!” jawab Mariam dengan senyuman. Dia terus bergerak keluar. Omar pasti sedang menantinya di kereta.

 

            Semakin panjang senyuman Puan Nabila. Rasa sejuk saja hati ini setiap kali bercakap dengan Mariam. Cakaplah apa-apa pun, selalu iyakan saja. Tak pernah melawan. Lain pulak dengan Husna, panas hati setiap kali bercakap dengan Husna. Kata-kata yang keluar dari mulut Husna buatkan darahnya mendidih. Dia sendiri hairan macam mana Omar boleh pilih Husna dari Mariam. Apa Omar nampak pada Husna, dia sendiri tak tahu! Apa-apa pun, niatnya nak bermenantukan Mariam tercapai jugak!  

 

                                                ***********************         

 

            Sebaik saja masuk ke dalam kereta Honda City Omar, Mariam tersenyum melihat Omar di tempat memandu.

 

            “ Husna ada contact kau tak?” tanya Omar.

 

            Senyuman Mariam terus mati. “ Tak!” jawab Mariam. “ Husna ada call kau tak?”

 

            Laju saja Omar geleng kepala. Yang jelas Omar kecewa.

 

            Mariam terdiam.

 

            “Kita nak pergi mana?” tanya Omar.

 

            “Pavillion!” jawab Mariam.

 

            Kemudian suasana dalam kereta antara mereka terus sunyi sepi. Sesekali Mariam pandang ke arah Omar yang begitu leka memandu. Dia dapat rasakan kehadirannya tidak dipedulikan Omar seolah-olah dirinya tak wujud pun. Dalam hati, Mariam mengeluh kuat. Semakin dekat hari perkahwinan mereka, Mariam mula rasa tak sedap hati. Patut ke mereka berdua teruskan perkahwinan ini sedangkan di hati Omar masih mengharap kepulangan Husna. Sebenarnya sehingga kini hatinya berbelah bahagi. Antara gembira dan realiti. Gembira kerana dapat menjadi isteri Omar tak lama lagi. Realitinya pula Omar tak cintakan dia. Apa yang akan terjadi jika Husna tiba-tiba pulang?  Semestinya Omar akan kembali semula ke pangkuan Husna. Habis itu nanti, dirinya pula bagaimana? Hari-hari dia fikir pasal hal ini. Letih dibuatnya.

 

            “Mariam! Dah sampai!”

 

            Mariam tersedar. Dia menoleh kiri dan kanan. Dia terkejut melihat sekelilingnya. Dah sampai di Pavilion. Kereta pun dah siap parking. Nampak sangat begitu panjang dia mengelamun.

 

            Omar terus keluar dari perut kereta Proton Persona.

 

            Mariam bergeges keluar. Dia terus ekori Omar dari belakang. Mereka berdua bergerak masuk ke dalam Pavilion. Sudah ramai orang memenuhi kompleks membeli belah itu.

 

            “ Mariam!” Omar bersuara.

 

            “Ya!” segera Mariam menjawab. Dipandang tepat anak mata Omar.

 

            “Kau belilah apa barang kau nak! Aku beli sendiri barang yang aku nak.”

 

            “Kita pergi beli sama-samalah.” Kata Mariam.

 

            “Aku rasa better kita berpecah. Cepat-cepat cari barang untuk hantaran lepas tu cepat-cepat balik. Aaa… Aku tunggu kau kat bangku tu.  Lepas aku dah selesai cari barang aku, aku tunggu kau kat situ.” Omar menunding jari ke arah kerusi yang berdekatan dengan mereka berdiri.

 

            Mariam hanya mampu angguk kepala.

 

            Melihat reaksi Mariam, Omar terus berlalu pergi.

 

            Mariam masih berdiri dari situ. Renungan mata masih setia melihat kelibat Omar sudah semakin jauh darinya.  “ Sampai bila Omar nak dingin dengan aku? Takkanlah lepas kahwin nanti perangai Omar tetap macam ni? I don’t really know why I’m still hoping?” kata Mariam dengan nada sedih.


Monday, August 3, 2020

Calon Menantu Cikgu Hawa - Bab 7

Bab 7

           

            Puan Eton peluk tubuh anak bongsunya dengan erat. Air mata mengalir tanpa disedari malah begitu sukar untu lepaskan tubuh Talia. Rasa berat untuk tinggalkan Talia seorang diri.

 

            “Mak! Mak menangis ke?”  tanya Talia apabila dengar tangisan Puan Eton. Pelukan terlerai. Talia tepat lihat wajah ibunya. “ Mak, jangan la menangis.” Pujuk Talia. Dia melihat keadaan sekelilingnya. Semakin ramai orang di KLIA.

 

            Puan Eton terus mengesat air mata. Dia cuba kawal perasaannya. “ Mana ada mak menangis  pun. Dengar pesan mak ni… Mukriz! Talia! Makan minum kena jaga, makan mesti on time! Tidur tu tidur awal sikit! Solat kena jaga…. Lepas tu…..”

 

            “Eton! Cukup-cukuplah tu, asyik pesan benda yang sama saja. Mereka berdua dah besar, tahu jaga diri sendiri.” Encik Wahid mencelah.

 

            “Kita pi sekejap ja pun. Pejam celik, pejam celik… Dah 12 hari buat umrah….” Tok Ma Midah menyampuk. Geleng kepala tengok perangai menantunya.

 

            “Betul cakap Tok Ma tu, mak! Pasal kami kat sini, mak janganlah risau. Mukriz akan tengokkan Talia ni. Mak pergi sana dan buat ibadah dengan tenang. Kalau mak rindu kami, mak call kami saja…” Mukriz bersuara.

 

            “Yalah! Yalah! Mak akan call hari-hari tahu….”

 

            “ Baiklah, mak!” Talia sengih.

 

            “Jom! Tengok …. Orang dah mula berkumpul di sana. Rasanya dah nak masuk dah….” Kata Encik Wahid. Pandangan mata tepat melihat orang-orang mula berkumpul. Ustaz Zainal yang mengetuai rombangan itu mula memanggil.

 

            “Jom!” kata Tok Ma Midah.

 

            Encik Wahid, Puan Eton dan Tok Ma Midah mula melangkah mendekati peserta-peserta rombongan yang lain.

 

            Talia mula sebak. Air muka mula keruh.  Tangan masih melambai ke arah ibu bapa dan neneknya yang mula memasuki balai berlepas.

 

            “Aiii…. Dia pula nak menangis, tadi bukan main lagi nasihat mak ….” Mukriz tersengih.

 

            “Mana ada … Tak menangis pun.” Jawab Talia. Wajah terus masam.

 

            Mukriz ketawa. “ Jomlah! Talia dah kena bertolak sekarang ni, nanti sampai lewat pulak.” Kata Murinz. Sempat lagi mengerling ke arah jam tangannya.

 

            Talia angguk kepala perlahan-lahan. Dia menoleh ke arah balai berlepas. Kelibat ibu bapa dan neneknya sudah tiada. Langkah mula mengekori abangnya.

 

                        ***************************************************

 

            Talia berjalan ke tempat parking bersama abangnya. Kereta Honda CRV milik Mukriz diparkir di sebelah kereta Perodua Myvi miliknya.

 

            “ Dah sampai rumah Cikgu Hawa nanti, call abang. Hmmm…. Kalau lapar, berhenti makan dulu. Kalau nak terberak ke nak terkencing ke, terus singgah tandas yang ramai orang. Kalau mengantuk, tidur dulu kat R & R.” pesan Mukriz.

 

            “Abang ni membebel macam mak. Talia dah besar, dah umur 25 tahun pun. Macamlah first time, Talia drive kereta jauh. Abang jangan risau la, dah sampai Sungai Petani nanti, Talia call abang.”

 

            “Hmm…. Macam ni, abang follow Talia dari belakang la. Abang boleh minta cuti….” Kata Mukriz. Dia risau bila Talia drive seorang diri. Bukannya dekat, ambil masa lebih kurang lima jam jugak la nak sampai sana.

 

 

            “Hish…. Abang ni! Tak payah, Talia boleh pergi sendiri. Dah la, nanti lambat pulak nak bertolak.” Kata Talia. Dengan cepat, Talia masuk ke dalam perut keretanya.  Enjin kereta terus dihidupkan.

 

            Tiba-tiba cermin kereta diketuk.

 

            Talia terkejut. Diturun sedikit cermin keretanya.

 

            “Bawa kereta tu hati-hati, jangan laju sangat. Ingat pesan abang. Aaa…. Apa-apa pun call abang. Dah sampai wajib call abang…..” pesan Mukriz lagi.

 

            “ Yalah! Yalah! Talia gerak dulu.” Talia tersenyum. Cermin kereta ditutup semula. Dia sempat melambai ke arah Mukriz. Pedal minyak terus ditekan. Kereta Myvi bergerak perlahan-lahan meninggalkan tempat parkir kereta KLIA.

 

            Talia menarik nafas lega apabila abangnya tak ekori dari belakang. “ Kalau abang ikut, rosak plan aku. Okey, Talia. Drama kau akan bermula lepas kau sampai di Kedah nanti.” Talia bercakap seorang diri. Jantungnya berdegup kencang. Tumpuan Talia kembali ke arah jalan raya.

 

                                    *************************************

 

            Semakin berkerut dahi Cikgu Hawa, mata dikerling ke arah jam dinding yang sudah menunjukkan pukul 11.45 malam.

            “Kak Long, Talia tak angkat pun. Aduh, risau pulak bila waktu begini tak sampai lagi. Entah-entah ada something berlaku masa on the way sini. Accident?” kata Puan Aini. Dari tadi dia cuba hubungi Talia tapi gagal. Dia mula risau.

 

            “Hish… jangan cakap yang bukan-bukan pulak.”

 

            “Kak Long ada nombor telefon abang dia kan? Kita call abang dia la…” cadang Puan Aini.

 

            “Tak payah! Entah-entah Talia tu sesat kot. Kita tunggu sampai pukul 12 tengahmalam. Kalau Talia tak sampai jugak, kita call abang dia.” Kata Cikgu Hawa.

 

            “Talia tak sampai lagi ka?” tanya Cikgu Din. Dia dekati isteri dan adik iparnya yang duduk di kerusi rotan di luar rumah.

 

            “Belum….” Jawab Cikgu Hawa. Dia pun mula risau.

 

            Tiba-tiba ada sebuah kereta Myvi berwarna putih memasuki perkarangan rumah Cikgu Hawa.

 

            “Rasanya itu mesti Talia…” kata Puan Aini.

 

            Seorang wanita keluar dari perut kereta Myvi itu.

 

            Cikgu Din terkejut dan perbetulkan cermin mata. “ Zaman dah terbalik ka?” Cikgu Din bersuara.

 

            Puan Aini turut sama tercengang. Dilihatnya gambar Talia yang ada di tangannya berulang kali. Dibandingkan dengan wanita yang sedang hampiri mereka bertiga.

 

            “ Hi ! Hello ! Tumpang tanya, ini rumah Cikgu Hawa ke?”

 

            Mata Cikgu Hawa langsung tak berkelip. Dilihat wanita berambut afro dengan kalung kepala ukuran manik putih dililit dua kali di kepalanya.

 

            “Ya! Ya! Talia ke ni?” Puan Aini bertanya. Mata masih terkebil-kebil melihat wanita yang penampilannya seperti zaman retro dengan memakai bell bottom pant berwarna merah bersama blaus satin berwarna biru yang ada riben besar di leher.

 

            “Ya… Ya…” Talia gembira dengan tepuk tangan berulang kali. “ Nasib baik sampai jugak…. Ingatkan salah rumah tadi.” Talia tersenyum.

 

            “Tapi kenapa dalam gambar ni lain?” Puan Aini beranikan bertanya dan tunjukkan gambar Talia yang diberi oleh Datin Maimun. Memang jauh berbeza. Iyalah wajah memang berubah habis. Ditambah pula dengan makep tebal style zaman retro bersama lipstick merah terang di bibir, bulu mata yang tebal ditambah pula dengan eyeline winger di mata. Nampak Talia seperti datang dari zaman retro 70an.

 

            “Oooo….. Itu gambar 5 tahun yang lalu. But now this is me…. How do I look? Lovely kan… Nampak classic betul tak?” Talia ketawa kecil. Dipusing badannya sekali.

 

            Cikgu Din garu kepalanya beberapa kali. Mampus kali ni! Mesti berangin isterinya dalam seminggu ni. Dia sudah nampak perubahan wajah Cikgu Hawa.

 

            “Kenapa sampai lewat? Calon-calon lain dah sampai kecuali awak seorang saja. Lepas tu kami call banyak kali tapi awak tak jawab pun. Phone rosak ke?” tanya Cikgu Hawa dengan wajah serius. Dia mula kurang senang dengan perangai Talia. Dia dapat rasakan ada masalah yang akan timbul gara-gara perangai Talia.

 

            Talia terkejut. Diselongkar handbag retro miliknya. Dikeluarkan telefon pintarnya. “ Alamak ada missed call, sorry…. Masa I borak dengan kawan I tadi, I silent phone I. Patutlah tak dengar.  Minta maaf sangat-sangat. Masa on the way nak datang sini,  I singgah kat R & R Juru, I terserempak dengan BFF lama I. Kami borak macam-macam sampai tak sedar dah pukul 10 malam.”

 

            Cikgu Hawa mengetap bibir. Dia dan adiknya bukan main risau bila Talia tak sampai-sampai lagi, rupa-rupanya lambat sampai sebab berborak dengan BFF dia.  Wajah bertukar merah. “ Talia, awak tahu ta……” Belum sempat nak marah Talia, tangannya dipegang suaminya.

 

            “Talia mesti penat kan? Drive jauh-jauh.” Cikgu Din menyampuk. Dia tak mahu isterinya bergaduh dengan tetamu yang baru saja tiba. “ Ini dah makan ka belum?”

 

            “Dah makan, Uncle!”

 

            “Kalau dah makan, Talia ambil bag. Aini akan tunjukkan rumah yang kami dah sediakan kat Talia.” Kata Cikgu Din. Dia berisyarat pada adik iparnya.

 

            “Jom kita ambik bag dalam kereta.” Kata Puan Aini.

 

            Talia terus ekori Puan Aini ke kereta.

 

            Cikgu Din terus tarik Cikgu Hawa masuk ke dalam rumah.

 

            “Abang! Kenapa abang masuk campur tadi? Budak macam tu kena tegur, kena ajar sikit.  Kurang ajar pulak tu, tergedik-gedik. Muka pulak macam muka tak bersalah. Hawa dan Aini tunggu dia dari petang tadi lagi, ingat dia tu siapa sampai nak kena ada orang sambut. Sampai-sampai saja tadi salam pun tak bagi, terus saja Hi Hello…. Apa mulut tu dah lupa nak bagi salam ke? Abang nampak tadi kan, dia tak bersalam langsung dengan Hawa dan Aini. Tak ada adab langsung.  Dia dengan Sakinah jauh berbeza. Apa yang umi cerita hari tu, jauh berbeza dengan apa Hawa nampak malam ni….. Mata Umi ada masalah ke?” kata Hawa dengan panjang lebar. Ibunya pernah cerita pasal Talia, bergunung-ganang tinggi pujian ibunya kat Talia ni. Serba serbi pandai orangnya tapi wanita yang baru tiba tadi begitu ketara perbezaannya.

 

            “Hish… Tak baik cakap Umi macam tu. Umi kan mak Hawa. Tak baik cakap macam tu pasal Umi. Sekarang ni, jom tidur. Dah lewat ni. Pasal Talia ni, esok kita bincang. Control sikit rasa marah tu….” Tegur Cikgu Din.

 

            “Tapi…..”

 

            “Hawa….” Tegas Cikgu Din. Dibesarkan kelopak matanya.

 

            Dengan wajah tak puas hati, Cikgu Hawa terus masuk ke dalam biliknya.

 

            Sekali lagi, kepala digaru beberapa kali. “ Biar betul Talia tu anak Wahid. Wahid kan tegas orangnya. Mustahil Wahid biarkan anaknya jadi macam tu….” Cikgu Din bercakap seorang diri.

 


Wednesday, July 8, 2020

Calon Menantu Cikgu Hawa - Bab 6


Bab 6

Tiga minggu kemudian….

            Jubah hitam dimasukkan ke dalam bagasi neneknya yang akan dibawa masa menunaikan umrah nanti. Talia menutup bagasi itu setelah pakaian terakhir berada di dalamnya. Ditutup zip bagasi itu. Neneknya baru saja sampai pagi tadi. Esok awal-awal pagi mereka dah nak bertolak ke KLIA.

            “Tok ma dah siap!” beritahu Talia. Diangkat bagasi itu dan diletakkan di dinding.

            “Terima kasih…. Mai sini sat, aku ada benda nak cakap.”

            Talia berjalan dekati Tok Ma Midah yang duduk di birai katil. “ Ada apa, Tok Ma?”

            “Duduk dulu.” Tok Ma Midah tepuk di tempat yang kosong disebelahnya.

            Tanpa banyak soal, Talia terus duduk di sebelah neneknya.

            “Aku nak pesan sikit. Masa hang tinggal kat rumah Hawa nanti, hang jaga nama baik keluarga kita. Tingkah laku tu kena jaga, jangan buat benda-benda tak senonoh.”

            Talia terdiam. Dia telan air liur perlahan-lahan. Rasa pahit. Neneknya masih belum tahu apa yang dia akan lakukan apabila tiba di sana tadi. Segala-galanya sudah dirancang. Perasaan bercampur sekarang ini. Rasa bersalah dah tentu ada. Apa yang akan dia lakukan bukan benda kecil.

            “Bila Hawa tu test hang memasak, hang tunjuk skill hang tu. Hang guna saja resipi yang aku bagi tu. Confirm Hawa suka masakan hang. Amir pasti jatuh cinta dengan masakkan hang. Nak ambil hati suami, kenalah jaga perut suami. Confirm suami sayang.”

            Talia hanya mampu tersenyum.

            “Amir tu lelaki baik. Ada rupa. Aku dah pernah jumpa banyak kali.  Orangnya sopan santun, hormat orang tua dan peramah. Macam hang! Hampa dua orang memang sesuai sangat-sangat. Hang nak tengok gambaq Amir tak?”

            Sebelum sempat Talia menjawab, tiba-tiba saja pintu bilik diketuk.

            Mukriz masuk dan tersengih. “ Talia! Mak panggil.” Beritahu Mukriz.

            Talia terus tarik nafas lega apabila Mukriz muncul. “ Tok Ma! Mak panggil tu. “ Talia terus bangun.

            “Laaa… Hang tak mau tengok gambaq Amir ka?”

            “Alaaa… Tok Ma, nanti kan Talia jumpa Amir jugak kat sana.” Jawab Talia. Hakikatnya dia tak nak tahu pun rupa Amir, lagipun mungkin tak sampai seminggu dia di sana… Entah-entah baru sehari saja tinggal di sana, dia dah kena halau dengan Cikgu Hawa. “ Tengok sekarang ni dah masuk pukul 10 malam, Tok Ma kena tidur awal…. Esok kan nak kena bangun awal-awal pagi.”

            “Betul cakap, Talia tu. Tok Ma kena rest cukup-cukup. Tidur awal. Nanti kat sana kena banyak bergerak….” Mukriz mencelah.

            “Yalah! Yalah! Aku tidur awal.” Kata Tok Ma Midah.

            “Good night, Tok Ma!” kata Talia sebelum berlalu keluar dari bilik tidur neneknya. Pintu bilik terus ditutup rapat. Talia tersengih melihat abangnya. Mukriz penyelamatnya sebenar tadi.

            “Kau ni dah kenapa?” Mukriz hairan.

            “Mak nak jumpa kan! Talia pergi jumpa mak sekarang.” Dengan pantas, kaki menuju ke anak tangga.

            “Dah kenapa dengan adik aku seorang ni….” Mukriz garu kepala beberapa kali. Dia terus ke dapur untuk buat air kopi.

                                    *************************************

            “Mak!”

            Puan Eton menoleh. Dia sedang menunggu anak bongsunya di ruang tamu tingkat atas. Hampir sejam Talia ada dalam bilik tetamu bersama Tok Ma Midah. Entah apa yang mereka bualkan sampai begitu lama sekali. “ Sembang aper sampai lama sangat ni?”

            Talia tersenyum. “ Hish… Mak ni dengan Tok Ma pun nak jealous ke?” kata Talia. Dia terus duduk di sofa berhadapan dengan ibunya. “ Tadi Talia tolong kemaskan barang-barang Tok Ma. Check apa yang patut, takut kalau ada barang tertinggal. Mak ayah dah habis packing ke?”

            “Dah packing pun. Mak nak tanya, Tok Ma cakap apa lagi? Mesti Tok Ma tengah promote anak Hawa tu kan?” teka Puan Eton. Masa makan tengahhari tadi, ibu mertuanya tak henti-henti puji Amir. Berbulu telinga Puan Eton mendengarnya. Kebetulan pula, tengahhari tadi Talia tak ada.

            “Macam mana mak tahu?”

            Puan Eton mengeluh. Nampaknya tekaan dia betul. “ Tadi masa lunch, Tok Ma asyik cerita pasal Amir tu. Puji bergunung-gunung. Nampak sangat Tok Ma harap Amir tu pilih Talia.  Mak tak suka Tok Ma paksa Talia macam tu. Kalau boleh mak nak anak mak ni kahwin dengan orang yang dia suka. Barulah bahagia sampai ke tua. ”

            “ Mak, belum pasti lagi Amir dan Cikgu Hawa tu pilih Talia. Mana tahu baru dua tiga hari Talia kat sana, dah kena kick out.  Talia ni kan serba kekurangan….”

            “Eh, kenapa pulak Hawa tu nak kick out Talia pulak? Anak mak ni tiada cacat cela. Pandai masak, pandai mengemas, pandai menjahit, pandai mengait… Segala-galanya Talia pandai kan! Anak perempuan mak ni perfect dalam semuanya. Ramai kawan mak nak jadikan Talia ni bakal menantu mereka.”

            Talia gelak. “Mak ni kelakar la!  Tiba-tiba saja emosional pasal hal ni…”

            “Dah tentu la. Bab sensitif tahu tak? Mak didik Talia dari kecil sampai dah besar sekarang ini supaya jadi orang baik. Mak tak nak orang cakap mak tak pandai didik anak sendiri.”

            Talia terus berhenti ketawa.  Rasa macam terkena penampar pun ada. Kalaulah mak tahu apa dia akan buat nanti, pasti mak kecewa dengan dirinya.

            “Sebenarnya mak risau nak lepaskan Talia pergi rumah Hawa tu. Tempat orang kan! Talia bukannya kenal sangat dengan family Hawa tu, kalau jadi apa-apa hal macam mana? Mak ayah kat Mekah. Mukriz pula kat Melaka.”

            “Mak! Stop worry, okey! Talia dah besar, pandai-pandailah Talia jaga diri nanti. Takkan ada apa-apa masalah pun…. Segala-galanya akan dipermudahkan.”

            “Tapi….” Puan Eton masih rasa tak sedap hati.

            “ Mak! Everything will be fine! Dah, jangan fikir yang bukan-bukan. Sekarang mak masuk bilik dan terus tidur , esok nak bangun awal kan. Talia pun nak masuk bilik, barang tak habis kemas lagi.”

            “Yalah! Yalah! Talia pergi kemaskan barang. Sekejap lagi mak masuk tidur.”

            Talia terus bangun. Dia dekati Puan Eton dan terus peluk ibunya. “ Good night, mak!” kata Talia sebelum pelukan itu terlerai.

            Puan Eton tersenyum. “ Good night …..” balas Puan Eton.

            Talia berjalan masuk ke bilik tidurnya. Dengan cepat pintu bilik ditutup rapat dan dikunci perlahan-lahan.  “ Okey! Nak buat apa dulu?” Talia menggosok kedua-dua tangannya. Ada banyak benda dia nak kena buat sekarang ini. Pandangan tertumpu ke arah dua bagasi yang ada di situ.
           

CERPEN : CINTA SEHALA (KARYASENI)

  𝐊𝐎𝐌𝐏𝐈𝐋𝐀𝐒𝐈 𝐂𝐄𝐑𝐏𝐄𝐍 - 𝐍𝐎𝐒𝐓𝐀𝐋𝐆𝐈𝐀 - 𝐘𝐚𝐧𝐠 𝐭𝐞𝐫𝐬𝐢𝐦𝐩𝐚𝐧 𝐝𝐚𝐥𝐚𝐦 𝐡𝐞𝐥𝐚𝐢𝐚𝐧 . Kami kumpulkan kary...