Saturday, November 30, 2024

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 9

 

Bab 9

            SAMBIL berjalan ke dapur, Widad mengikat rambutnya menjadi tocang satu. Dibetulkan rambutnya agar tersisir rapi. Dia mendekati ibunya yang sedang membasuh kuali.

            “ Mak! Betul ini yang ni saja mak suruh beli? Nanti bila saya dah balik, ada lagi benda mak lupa pesan.” Tanya Widad untuk kepastian. Bukan sekali dua benda ini terjadi. Dah sampai rumah, baru mak dia beritahu ada lagi benda nak kena beli. Tak pasal-pasal dia kena pergi ke kedai runcit Pak Man sekali lagi.

            “Dah. Itu saja. Mak masak simple saja. Nasi ayam.” Jawab Mak Esah.

            “ Okey!” balas Widad. Dia melangkah keluar melalui pintu dapur.

            “Tu duit kat meja tu, jangan lupa ambik.” Pesan Mak Esah. Awal-awal lagi dia sudah letak duit barang-barang dapur atas meja.

            “Setakat beli barang dapur, apalah sangat. Duit saya kat bank takkan surut pun.” Widad tersengih sambil menyarungkan seliper.

            “Cakap besar! Mentang-mentang banyak duit kat bank tu.” Mak Esah menggelengkan kepala. Lagipun anak sulungnya itu jenis berjimat-cermat. Walaupun kerja besar kat London tu, Widad suka hidup cara bersederhana.

            Widad hanya mampu ketawa. Dia berjalan menuju ke motor ayahnya. Enjin motor dihidupkan. Motor ayahnya bergerak menuju ke kedai runcit Pak Man yang terletak di jalan besar.

            Dalam perjalanan ke kedai runcit Pak Man, tiba-tiba Widad ternampak kelibat yang sangat dikenali di seberang jalan.

            “Atan! Atan tengah borak dengan siapa tu?” kata Widad. Dia cuba mengenali wanita yang sedang berbual dengan Atan. Api cemburu tiba-tiba muncul.

            “Apa! Chempaka? Atan tengah cakap dengan Chempaka? Eeeee…..sakitnya hati aku tengok.” Widad mengetap bibir dengan matanya masih melihat Atan dan Chempaka rancak berbual sehinggakan tidak menyedari Widad memerhatikan mereka berdua.

            “Oooo….. Dengan Chempaka boleh pulak berbual tapi bila dengan aku, ada saja alasan.” Dengan wajah bengang, Widad memulas minyak motor. Motor Pak Walid bergerak laju menuju kedai runcit Pak Man.

            Tibanya di kedai runci Pak Man, Widad segera mengambil barang-barang yang dipesan ibunya. Semasa sedang beratur untuk membayar, Widad masih tidak dapat melupakan hakikat yang Atan berbual dengan Chempaka. Sakit ini menusuk kalbu.

            “Aaa…. Semuanya RM 25.” Beritahu Pak Man selepas mengira. Dia memasukkan barang-barang yang dibeli oleh Widad ke dalam bag plastik.

            Dahi Pak Man berkerut setelah tiada reaksi dari Widad.

            “Widad! Kamu dengar tak apa Pak Man cakap tadi? Eh.. Eh… budak ini tengah berangan ke? Widad!” kata Pak Man dan kemudian suara ditinggikan.

            Widad terkejut setelah mendengar suara Pak Man.

            “Kamu ni teringatkan boyfriend kat London ke?” usik Pak Man. Dia tersenyum melihat anak sulung Pak Walid.

            “ Saya mana ada boyfriend, Pak Man. Single lagi. Tadi tengah fikir kot-kot ada barang yang mak pesan tadi terlupa nak ambil. Rasanya tak ada yang tertinggal. Berapa semuanya, Pak Man?” jawab Wadid. Kononnya nak cover line! Hakikat sebenarnya benda lain.

            “ Semuanya RM 25.” Jawab Pak Man sekali lagi.

            Widad mengeluarkan duit dari dompetnya dan dihulurkan dekat Pak Man. Dia terus mengambil bag plastik dan berjalan keluar dari kedai runcit. Bag plastik terus diletakkan ke dalam motor ayahnya. Keluhan berat dilepaskan.

            “ Aku nak tahu jugak apa hubungan Atan dengan Chempaka? On the way balik nanti aku kena jugak singgah warung Mak Intan. Selagi aku tak dapat jawapan, hidup aku takkan tenang.” Widad bertekad mencari jawapan.

            Motor bergerak menuju ke warung Mak Intan. Masa ini mesti Mak Intan sudah ada di warung.

            Widad segera turun dari motor sebaik saja sampai di warung. Dia berjalan ke arah dapur warung. Dia tersenyum melihat Mak Intan dengan dua orang pembantunya sedang memasak di dapur.

            “Assalammualaikum…..” Widad memberi salam.

            “Waalaikumussalam. Laaa….. Widad rupanya.” Jawab Mak Intan. Dia tersenyum melihat kedatangan Widad.

            “Saya baru balik beli barang dapur kat Pak Man. Alang-alang tu singgah sini sekejap, tiba-tiba teringat laksa Mak Intan.” Beritahu Widad. Dia cuba mengambil kesempatan untuk berbual sebentar dengan Mak Intan.

            “ Kamu datang awal sangat, kuah laksa tak masak lagi.”

            “Ya ke, tak aper! Lain kali saya datang lagi. Aaa….. Chempaka tak datang warung ke? Sebab tadi saya nampak Chempaka tengah borak dengan Atan kat tepi jalan.” Widad mengambil peluang ini untuk bertanya.

            “Tak tahu pulak yang Chempaka kenal dengan Atan….” Tambah Widad lagi.

            “Oooo…. Lepas Chempaka dengan Marzuki bercerai, Mak Intan minta tolong Atan dengan Wafiy tolong kami angkat barang-barang Chempaka keluar dari rumah Marzuki. Maklum la kami berdua perempuan, mana larat nak angkat semua itu. Barang-barang Chempaka bukannya sikit, banyak pulak tu.” Cerita Mak Intan. Lagipun suaminya sudah lama meninggal dunia manakala Chempaka adalah satu-satunya anak tunggal mereka. Dia bersyukur kerana ada Atan dan Wafiy yang sanggup menolong mereka dua beranak. Nak harapkan Marzuki, batang hidup pun tak nampak semasa hari itu.

            “Oooo…… ya ke? Aaa…. Mak Intan, saya gerak dulu. Esok saya datang lagi.”

            “Datang tau esok. Kirim salam kat mak kamu.” Pesan Mak Intan dan tersenyum.

            “Bye, Mak Intan!” kata Widad. Dia berjalan ke arah motornya. Enjin terus dihidupkan. Motor ayahnya bergerak pulang ke rumah. Dia ingin tahu sama ada Atan sudah pulang ke rumah atau tidak.

            Tibanya di garaj rumah, Widad turun dari motor. Dia melihat ke arah rumah Atan. Tiada basikal di situ. Ini bermakna Atan tak balik lagi.

            “Ke mana pulak dia pergi ni? Takkan keluar dengan Chempaka.” Widad membuat telahan sendiri. Mula rasa tak sedap hati jika telahannya benar.

            “Widad! Buat apa tercegat kat situ lagi? Bawa sini cepat barang-barang tu, mak dah masak ini.” Mak Esah berdiri di muka pintu dapur.

            Kerana terkejut mendengar suara Mak Esah, Widad mengambil bag plastik dari bakul motor dan berjalan pantas hampiri rumahnya. Sempat lagi dia menoleh melihat rumah Atan.

                                                ********************************

            Sambil mengigit ibu jari, Widad duduk di luar rumah. Dia masih menanti kepulangan Atan. Dalam hati begitu resah memikirkan ke mana Atan pergi sehingga tak balik lagi. Usai solat Zohur tadi, dia terus menyambung duduk di situ. Gaya Widad seperti menunggu suami pulang ke rumah.

            “Kat sini lagi?” tegur Wafiy yang berdiri di muka pintu rumah. Dia tahu pasti kakaknya menunggu Atan.

            Widad membalas dengan jelingan.

            “Tahu tak mana Atan pergi?” tanya Widad dengan wajah masam.

            “Yang Wafiy tahu, pagi ini Abang Atan pergi ziarah kubur Mak Wan. Selepas itu ke mana Abang Atan pergi, Wafiy tak tahu.” Jawab Wafiy. Dia menghampiri Widad yang sedang duduk di buaian.

            “ Entah-entah Atan tu keluar dating dengan Chempaka. Pagi tadi Kak Widad nampak mereka berdua borak tepi jalan.” Ada nada cemburu di akhir suara Widad.

            Dahi Wafiy berkerut. Dating?

            “ Oooo…. Dengan Chempaka boleh pulak borak berdua tapi bila Kak Widad ajak borak, ada saja alasan Atan bagi sebab nak lari. Kecik hati Kak Widad ini, tahu tak?”

            “ Macam mana tak lari kalau perangai Kak Widad tu asyik bagi tekanan kat Abang Atan? Dah tahu Abang Atan tak suka orang bertanya pasal asal usul dia tapi Kak Widad tetap jugak tanya, siapa yang suka!” bidas Wafiy.

            “ Eh! Kamu tak rasa ke teringin nak tahu siapa Atan tu? Sekelip mata muncul dalam hidup kita, selepas itu mak ayah terima Atan dalam hidup kita dengan tangan terbuka. Tak rasa ke something wrong somewhere? Entah-entah Atan tu ada kisah gelap.” Widad melihat Wafiy. Rasa pelik dengan perangai Wafiy yang tak pernah teringin nak tahu pasal latarbelakang Atan.

            “ Abang Atan okey saja. Baik orangnya. Sepanjang hidup kat kampung ini Abang Atan tak pernah buat sesuatu yang melanggar undang-undang. Suka hati cakap orang ada kisah gelap, tak baik tahu tak? Boleh jatuh fitnah. Mulut tu tak pernah ada insuran langsung. Bagi Wafiy, Wafiy tak kisah pun kalau Abang Atan tak nak cerita pasal asal usul Abang Atan sebab Wafiy faham kalau itu mampu buat Abang Atan sedih, Wafiy hormat pendirian Abang Atan tak mahu cerita pasal asal usul Abang Atan.”

“ Yang Wafiy tak faham sekarang ni, Kak Widad ni sebenarnya suka atau tak dekat Abang Atan? Iyalah tadi Kak Widad cakap yang Abang Atan tu mungkin ada kisah gelap tapi dalam masa yang sama Kak Widad nak mengorat Abang Atan untuk dijadikan suami? Wafiy memang tak faham la apa Kak Widad cuba buat ni?” Wafiy ingin tahu apa sebenarnya yang kakaknya mahu dari Atan. Adakah kakaknya hanya mahu mempermainkan perasaan Atan.

            “ Nak jadikan suami, mesti la Kak Widad kena tahu latarbelakang suami Kak Widad kan? Tak salah Kak Widad tahu lebih lanjut pasal Atan. Kalau Atan ada kisah gelap, Kak Widad boleh buat persiapan dan terima Atan seadanya.” Jawab Widad dengan senyuman.

            Beberapa saat Wafiy melihat Widad tanpa mengedipkan mata.

            “Apa benda mengarut Kak Widad cakap ni? Sikit pun Wafiy tak faham la.” Wafiy bersuara semula. Semakin berkerut dahi Wafiy.

            “ Mak sendiri pun tak faham dengan perangai kakak kamu seorang ni. Tak tahu la cakap guna otak atau mulut. Wafiy, kamu tak payah susah-susah perah otak fikirkan apa kakak kamu cakap tadi.” Mak Esah menyampuk. Kebetulan dia mendengar perbualan dua orang anaknya itu.

            “Mak, dulu mak pernah cakap kan! Kalau nak cari suami, kena tahu semuanya. Keluarga! Asal usul? Pendidikan? Yang penting ada rekod jenayah ke tak? Kot la kaki judi ke kaki dadah ke ataupun kaki perempuan. Sebelum nak kahwin, kena tahu semuanya. Sebab nak kahwin sekali seumur hidup, mak jugak yang pesan. Ingat tak?” balas Widad.

            Mak Esah mendiamkan diri. Teringat semula apa yang dia pernah cakap dulu. Iyalah, dia ada cakap dekat Widad pasal hal ini. Jangan ingat cinta saja penting, latarbelakang sesebuah keluarga penting jugak. Yang penting wajib kena kenal hati budi orang dulu dengan lebih mendalam. Jangan nak melulu-lulu nak kahwin.

            “Aaa….. Widad, betul ini kamu tak nak ikut kami pergi Tanjung Dawai? Takkan tak nak makan mee rebus udang famous kat situ.” Pak Walid turut sama keluar rumah. Dia mengajak Widad turut sama ikut mereka ke sana.

            “ Nak buat macam mana, ayah! Kak Widad ni sanggup tunggu Abang Atan balik dari makan sedap-sedap kat Tanjung Dawai.” Wafiy bersuara.

            “ Atan lambat balik. Tadi Atan call ayah, Atan beritahu, Tok Imam Leman ajak dia pergi Taiping. Ada hal katanya.” Beritahu Pak Walid.

            Widad terus tersenyum. Rasa lega apabila mendengar Atan keluar dengan Tok Imam Leman dan bukannya Chempaka. Iyalah, dia tak mahu kisah lama berulang kembali. Jika Chempaka turut sama sukakan Atan, nampaknya sekali lagi Chempaka akan menjadi musuh cintanya.

            “Kalau macam tu bagi saya masa lima minit nak siap, tunggu sekejap.” Widad segera mengubah fikiran dan bergegas berlari masuk ke dalam rumah untuk mengikuti keluarganya pergi Tanjung Dawai.

           

           

           

           

 

           

Friday, November 29, 2024

POSKAD CINTA DARI KANADA - BAB 5 ( EBOOK)

 




Bab 5

            EMIRA menonton televisyen sambil menunggu kepulangan Inara. Ibu bapanya sudah pun masuk tidur. Sudah hampir pukul 12 tengahmalam namun Inara masih belum pulang lagi.

            Kedengaran bunyi kereta. Emira memandang ke arah pintu. Nampaknya Inara dah balik.

            “Baru balik?” Emira bersuara sebaik saja nampak kelibat Inara.

            “ Sejak bila kau jadi pak guard dalam rumah ni, hah!” balas Inara dengan sindiran. Dia melihat ke arah kembarnya yang duduk di sofa ruang tamu.

            “Jadi pak guard pun, kerja mulia jugak. Aaa… Umi cakap hari tu masa kat Kanada, kau ada minta alamat rumah sewa aku kat Umi. Kata Umi, kau nak pos ole-ole dari Kanada kat aku tapi masalahnya dah berbulan-bulan tapi aku tak dapat apa-apa pun. Betul ke kau pos ole-ole kat aku?” jawab Emira.

            Air muka Inara yang berwajah bengis tadi berubah pucat. Dia mula gelabah.

            “Aaa… Kau tak dapat ole-ole tu? Aku pos la. Mustahil kau tak dapat, rasanya posmen tersalah alamat kot. Oh ya, aku baru ingat Umi cakap kau baru pindah rumah sewa kan! Alamat yang Umi bagi tu rasanya alamat lama rumah sewa kau. Agaknya sebab itu kau tak dapat ole-ole tu. Aku dah rasa mengantuk, aku naik atas dulu.” Inara cepat-cepat memberi alasan. Dia mempercepatkan langkahnya mendaki anak tangga.

            Bibir Emira terus senget setelah melihat reaksi Inara.

            “Izhets!” kata Emira dalam bahasa Russian. Penipu! Memang kerja Inara selama ini. Tak sangka semudah itu adiknya mempermainkan perasaan orang.

            Emira memejamkan mata beberapa saat. Dia memikirkan penyelesaian bagi masalah ini. Kemudian dia membuka mata semula, teringat cadangan Kausar hari itu.

            Bunyi telefon rumah mengejutkan Emira.

            “Siapa pulak call tengahmalam ni?” Emira terus bangun dan mendekati telefon rumahnya.

            “Hello! Assalammualaikum….” Jawab Emira.

            “Waalaikumussalam. Inara, you tertinggal phone you dalam kereta I!”

            “Sorry! I Emira bukan Inara!” jawab Emira lagi. Sememangnya suara mereka berdua memang sama.

            “Ooo… Sorry! I ada depan rumah sekarang ini, I nak pulangkan phone Inara. Tertinggal dalam kereta.”

            “Sekejap! I keluar pergi ambil.” Kata Emira. Dia terus menamatkan panggilan tadi. Tanpa membuang masa, dia membuka pintu rumah. Mata dia melihat ke arah Farhat yang berdiri di luar pagar rumah.

            “Sorry kalau kacau you tengah tidur!” Farhat bersuara melihat Emira datang hampiri.

            “I tak tidur pun, I tengok tv tadi. Mana phone Inara?” jawab Emira.

            Farhat terus memberikan telefon pintar Inara dekat Emira.

            “Emira, tadi korang berdua bergaduh ke?” tanya Farhat. Dia hanya dapat agak sebab Inara mengajak keluar selepas makan tengahhari tadi. Lagipun mood Inara tak baik.

            Emira memandang Farhat beberapa saat. Dah alang-alang bercakap pasal hal ini, lebih baik dia berterus-terang. Dia mengambil dulu telefon pintar berjenama mahal milik Inara.

            “Ya. Tapi biasa la kan adik beradik selalu bergaduh. Tipu la cakap kalau adik beradik tak bergaduh. Sekarang ini better I berterus-terang dengan you, mulai sekarang you tak payah cakap dengan I, I pun tak kisah kalau you tak cakap dengan I pun. I tak tahu kenapa Inara cemburu bila you cakap dengan I, tapi untuk kebaikkan semua pihak terutama sekali Inara, lebih baik kita berdua jangan bercakap. Boleh kan? Okey, I dah cakap apa I nak cakap. Terima kasih sebab pulangkan phone Inara, I masuk dulu. Bye!” kata Emira dengan panjang lebar. Senyuman kelat dekat Farhat. Harap-harap Farhat faham. Dia terus melangkah masuk ke dalam rumah.

            Pintu ditutup dan Emira terus mengunci pintu rumah. Dia menutup tv, kipas dan lampu. Langkah diatur ke anak tangga. Satu persatu anak tangga didaki.

             Langkah diatur ke bilik tidur Inara yang terletak bertentangan dari biliknya. Pintu diketuk beberapa kali tetapi tiada jawapan.

            Pintu dibuka dan Emira masuk. Dia mendengar bunyi air di bilik air. Mandi rupanya, patut la tak buka pintu tadi.

            Emira melihat bilik tidur Inara yang seratus peratus lain dari biliknya. Deko bilik tidur Inara bertemakan Scandinavian. Bilik ini nampak tenang disebabkan menggunakan warna terang dan lembut sebagai asas warna manakala biliknya sendiri sudah macam perpustakaan.

            Pintu bilik air dibuka, Inara terkejut melihat kehadiran Emira dalam biliknya.

            “Kau buat apa dalam bilik aku?” tanya Inara. Dia kurang menyenangi kakak ada di dalam biliknya.

            “Ni kau tertinggal phone dalam kereta Farhat, aku ambil tadi.” Jawab Emira menunjukkan phone Inara dekat tangannya.

            “Farhat datang?” Inara terus mengambil telefonnya dari Emira.

            “Dah balik dah pun. Aaaa… Esok kau fly pergi mana?” tanya Emira.

            “ Tokyo. Kenapa pulak tanya?” Inara. Dia mula rasa pelik. Tak pernah Emira ambil tahu pasal hal dia.

            “Saja. Aku ingat nak pergi bercuti. Kau kan pramugari, pernah pergi banyak negara kan! Kau rasa negara mana pemandangan yang cantik-cantik, aku teringin jugak macam nak pergi Niagara Falls kat Kanada tu. Kau pernah pergi sana, kat sana mana lagi tempat-tempat menarik.”  Emira tersenyum. Sengaja dia mengungkit hal ini untuk menduga reaksi adiknya.

            Air muka Inara berubah pucat.

            “Kau suggest kat aku, boleh la plan nanti bila pergi Kanada!” tambah Emira lagi.

            “No! Bukan Kanada! Kau tak boleh pergi Kanada!” kata Inara dengan meninggikan suaranya.

            “Kenapa pulak aku tak boleh pergi Kanada?” Emira sengaja berpura-pura tak tahu. Sudah tentu Inara tidak mahu dia pergi ke sana kerana takut tembelang Inara pecah.

            “Aaa… Maksud aku, tempat biasa-biasa saja kat Kanada tu. Kalau nak tempat yang cantik-cantik, better kau pergi Turkey. Sana lagi cantik lepas tu makanan halal senang nak cari.” Jawab Inara. Kemudian dia berpura-pura menguap.

            “Aku mengantuk, esok aku kerja, aku kena tidur awal!” tambah Inara lagi. Dia terus menolak Emira keluar dari bilik tidur.

            Sebaik saja Emira keluar, Inara terus menutup pintu biliknya.

            “Takut la tu aku tanya macam-macam!” Emira bercakap seorang diri. Bengang bercampur geram. Dah nak kahwin, susah sangat ke nak setia! Nak jugak buat hal, dibuatnya mamat Kanada tu balik Malaysia cari Inara, bertambah rumit masalah ini nanti.

           

Wednesday, November 27, 2024

POSKAD CINTA DARI KANADA - BAB 4 (EBOOK)

 




Bab 4

            SELESAI saja makan tengahhari, Emira sibuk membasuh pinggan mangkuk di singki dapur. Dia lebih suka duduk di dapur. Lebih tenang!

            “Eh, Emira! Aku nak cakap sikit dengan kau!” Tiba-tiba Inara datang hampiri Emira.

            “Cakap la!” jawab Emira tanpa memandang adiknya. Tangannya ligat membuat kerja.

            “Tadi kau sengaja nak malukan aku depan Farhat kan!” Inara masih tidak berpuas hati dengan perangai Emira.

            “Siapa yang cuba malukan siapa dulu? Kau kan!” Emira terus menutup paip air dan bersemuka dengan Inara. Sakit hati pulak mendengarnya!

            “ Kau tahu aku tak suka kau rapat dengan Farhat tapi kau tetap buat jugak.” Marah Inara.

            “Aku tak tegur pun, tunang kau yang mula cakap dengan aku dulu, faham tak? Senang cerita, kau cakap sendiri dekat tunang kau tu supaya jangan cakap dengan aku, selesai masalah kan! Aku lagi suka kalau tunang kau tak nak cakap dengan aku.” Jawab Emira. Memang bengang gila. Dalam masa yang sama dia cuba mengawal intonasi suaranya. Sejak kecil lagi, Inara selalu cari pasal dengan dia. Ada saja benda tak kena di mata Inara. Sebenarnya dia tak suka bergaduh dengan Inara tetapi Inara yang mulakan dulu pergaduhan antara mereka berdua.

            “ Senangnya kau cakap, kau nak Farhat salah faham kat aku, kononnya aku ni yang jahat. Tak bagi dia cakap dengan kau, itu yang kau nak kan!” Inara membalas dengan mata terbeliak luas. Dia tak suka Emira dekat dengan tunangnya.

            “Aku rasa aku cakap bahasa Melayu dengan kau kan! Pokok pangkalnya kenapa kau suka putarbelit apa yang aku cakap, hah!” Emira mula hilang sabar. Kecik besar, kecik besar, dia nampak Inara sekarang ini.

            Suasana antara mereka berdua begitu tegang.

            “Ya Allah! Boleh pulak kamu berdua bergaduh kat dapur ini! Dah lupa ke ada tetamu? Tak malu ke kalau Farhat dengar kamu berdua bergaduh macam ini.” Puan Izzah muncul di dapur. Dia terkejut melihat mereka berdua sedang bertikam lidah.

            Emira terus menyambung semula membasuh pinggan.

            “Kamu Inara, pergi depan! Temankan Farhat kat depan dengan abah kamu!” Puan Izzah memberi arahan. Dia tahu selalunya Inara yang memulakan pergaduhan.

            “Umi tak pernah sayang Inara kan! Umi selalu sebelahkan Emira.” Kata Inara sebelum berlalu pergi dengan wajah sedih.

            Puan Izzah mencekak pinggang dan menggelengkan kepala. Dia tak faham kenapa kedua-dua anaknya bermusuhan sedangkan mereka berdua kembar seiras.

            “Umi, lepas Emira try baju tu, Emira ingat nak terus balik. Malas nak duduk sini lama-lama, Inara tu tak habis-habis nak cari pasal.” Beritahu Emira. Dia menoleh melihat ibunya.

            Puan Izzah mengeluh. Dia mahu Emira bermalam di situ. Sudah lama bilik tidur Emira di tingkat atas tidak dihuni.

                                                            *******************

            “Banyaknya baju nak pakai semasa kenduri kahwin Inara! Kan senang kalau pakai baju yang sama saja.” Emira merunggut selepas mencuba beberapa helai baju kurung yang sudah siap ditempah oleh ibunya.

            “Hish…. Mana boleh, suka hati kamu nak pakai baju yang sama. Air muka family kita kena jugak jaga. Ala setakat 4 pasang baju kurung saja, mana banyak pun!” Puan Izzah menggelengkan kepala. Dia melihat Emira memasukkan semua baju kurung itu di dalam almari bilik tidur Emira. Mujurlah semuanya muat dengan Emira dan tidak perlu diperbaiki lagi.

            “Betul ke kamu tak nak tidur sini malam ini?” tanya Puan Izzah sekali lagi.

            “ Lebih aman rumah ini kalau Emira tak ada.” Jawab Emira.

            “Kenapa cakap macam tu? Ini rumah kamu jugak. Tadi kamu gaduh pasal apa dengan Inara?”

            “Tak ada apa-apa la, Umi!” jawab Emira. Dia mengelak dari bertentang mata dengan ibunya.

            “Betul ke tak ada apa-apa?” tegas Puan Izzah.

            “Betul, biasa la bergaduh hal kecik. Umie tak payah bimbang.” Emira menyakinkan ibunya.

            “Kalau tak ada apa-apa, malam ini tidur kat rumah ni.” Tegas Puan Izzah lagi.

            “Baiklah.” Jawab Emira dengan lemah. Dia menutup pintu almari bajunya.

            “Jom turun! Tolong ibu siapkan mee kari kat dapur.” Ajak Puan Izzah.

            “Okey!” Emira menganggukkan kepala. Mujurlah petang ini Inara tak ada kat rumah, Inara keluar dengan Farhat selepas lunch tadi. Katanya ada barang hantaran yang tak dibeli lagi.

            Emira mengekori ibunya ke dapur. Tanpa menunggu arahan dari ibunya, Emira mengambil telur untuk direbus. Periuk diambil dan terus diisi dengan air.

            Puan Izzah tersenyum. Dia gembira dengan kehadiran Emira di dapur untuk menolongnya. Tak la rasa sunyi.

            Selepas saja telur dibasuh, dia masukkan empat biji telur dengan berhati-hati ke dalam periuk yang berisi air. Api dapur terus dibuka. Dia terus meletakkan periuk itu di atas dapur.

            Langkah diatur ke peti sejuk untuk mengeluarkan tauge dan tauhu. Renungan mata tepat ke arah fridge magnet yang tertulis Kanada yang ada di pintu peti sejuk.

            “Umi! Siapa pergi Kanada?” tanya Emira.

            “Inara.” Jawab Puan Izzah. Dia sedang membasuh mee untuk direbus nanti.

            “Bila dia pergi?” Air muka Emira sudah berubah.

            “Hmm…. 7 bulan lepas atau 6 bulan lepas, Umi dah tak ingat. Dia pergi seminggu. Eh! Hari tu masa kat Kanada, Inara ada minta alamat rumah sewa kamu. Inara cakap dia nak post ole-ole dekat kamu. Cara kamu tanya macam kamu tak tahu Inara pergi Kanada? Habis tu kamu dapat tak ole-ole dari Inara?” Puan Izzah menoleh melihat Emira dengan wajah tertanya-tanya.

            “Aaaa…. Dapat! Dapat! Emira yang lupa!” jawab Emira dengan laju kerana bimbang jika ibunya dapat menghidu sesuatu yang tak kenal di sebalik pertanyaan dia tadi. Senyuman kelat dilemparkan.

            Kemudian Emira membuka pintu peti ais. Air muka berubah bengang, mulut digigit rapat. Tak guna punya, Inara. Kini dia sudah dapat jawapan kenapa poskad dari Kanada setiap minggu sampai ke rumahnya. Tak sangka Inara menggunakan namanya lagi. Ini bukan pertama kali Inara pernah menggunakan nama dia, tak sangka Inara masih tidak berubah.

Monday, November 25, 2024

POSKAD CINTA DARI KANADA - BAB 3 (EBOOK)

 


Bab 3

            Tuan Daim menghampiri isterinya yang sibuk memasak di dapur. Sejak dulu dia pernah mencadangkan untuk mengambil orang gaji namun isterinya tidak setuju. Sebenarnya dia kasihankan isterinya, setiap kali pulang kerja pasti sibuk di dapur memasak.

            “Sayang masak apa hari ni?” tanya Tuan Daim.

            “Saya masak nasi ayam penyet lepas tu petang nanti kita boleh makan mee kari. Hari tu abang request nak makan mee kari.” Puan Izzah tersenyum. Sememangnya dia suka memasak di dapur.

            “Inara mana? Tak tolong sayang ke?” Tuan Daim menoleh ke kiri dan kanan. Hanya ada isterinya seorang saja di dapur.

            “Budak bertuah mana pernah tolong saya kat dapur, Emira seorang saja yang selalu tolong saya kat dapur.” Jawab Puan Izzah. Setiap kali dia mengajak Inara, ada saja macam-macam alasan dibagi. Anak bongsunya itu memang tak suka memasak.

            “Apa nak jadi Inara ni, bulan depan kot dah nak jadi isteri orang. Takkan la tak nak masak dekat suami. Habis tu lepas kahwin, makan kat luar hari-hari ke!” Tuan Daim menggelengkan kepala memikirkan perangai Inara. Yang Inara tahu asyik nak melawa dengan bergaya saja.

            “Abang sendiri nasihatkan Inara tu, mulut saya ni dah berbuih-buih bagi nasihat. Buat dek saja setiap kali saya suruh dia belajar memasak. Oh ya, saya nak ingatkan abang! Mulut tu jaga sikit bila Emira datang, jangan asyik nak berleter saja.” Wajah Puan Izzah bertukar serius mengingatkan suaminya tentang Emira.

            “Berleter? Bila masa abang berleter, abang hanya nak Emira tu sedar. Pilihan yang dia buat tu salah. Dari kecik lagi dia pandai lepas tu keputusan exam sentiasa cemerlang. Setiap tahun dapat no satu dalam kelas. Dia boleh pergi jauh tapi dia pilih nak jadi interpreter. Abang nak dia jadi pilot macam abang ataupun jadi lawyer macam sayang.” Tuan Daim tetap merasakan pilihan Emira terpesong dari jalan yang sebenar. Anaknya sulungnya itu memang degil dan berkeras mahu meneruskan belajar di UM.

            “Abang! Anak kita dah besar. Emira tahu apa dia buat, biarlah dia buat apa yang dia suka. Kita sebagai parents, kita kena sokong dia. Memang kita ibu bapa dia, kita yang besarkan dia tapi kita tak ada hak nak tentukan masa depan dia. Masa depan Emira, biarlah Emira yang tentukan. Faham! Kalau abang tetap cakap pasal hal ini depan Emira, tahulah nasib abang nanti.” Sekali lagi Puan Izzah memberi amaran dengan menggunakan sudip di tangan ke arah suaminya. Dia tak mahu nanti Emira tiba-tiba balik disebabkan kata-kata suaminya kerana sudah banyak kali terjadi. Disebabkan suaminya jugak, Emira jarang pulang ke rumah.

            “Yalah! Yalah! Abang tak cakap.” Tuan Diam mengalah. Mana taknya hari itu seminggu isterinya tidak bercakap dengan dia selepas pergi ke rumah sewa Emira dua bulan lepas.

            “Good! Keep your promise, okey! Jangan depan Farhat, awak buat perangai pulak.” Tambah Puan Izzah lagi. Dia menyambung semula menggoreng ayam.

            Bibir Tuan Daim terus muncung. Hampir saja telinga ini nak menanah mendengar bebelan isterinya.

                                                **************************

            Emira turun dari motor Yamaha Vario. Diparkir motornya bersebelahan kereta Mini Cooper S milik Inara. Dia melihat kereta BMW X5 milik ayahnya dan kereta Audi A4 milik ibunya ada di dalam garaj kereta. Keluhan berat dilepaskan. Dia balik disebabkan ibunya.

            Baru setapak melangkah, Emira terus berhenti. Langkah masih berat untuk masuk ke dalam rumah. Yang pasti, dia akan mendengar leteran ayahnya. Lagi satu, Inara mesti perli dia macam-macam.

            Bunyi hon kereta mengejutkan Emira. Dia melihat ke arah kereta Mercedes Benz G Class berwarna hitam berhenti di belakang kereta Mini Cooper S.

            “Assalammualaikum, Emira! Baru sampai ke?” tegur Farhat sebaik saja memberi salam. Dia melihat Emira, kakak kembar Inara. Wajah mereka berdua memang seiras tetapi personaliti mereka berdua jauh berbeza sekali. Semasa pertama kali diperkenalkan dengan Emira, dia memang terkejut sebab Inara hanya beritahu ada seorang kakak bukannya kembar seiras. Emira seorang pendiam, educated, pemakaian simple dan berdikari.

            “Waalaikumussalam. Ya, baru sampai!” jawab Emira. Dia melihat lelaki tinggi lampai berkulit sawo matang yang sudah setahun menjadi tunang Inara. Bulan depan mereka berdua akan berkahwin. Farhat seorang pilot dan datangnya dari keluarga berada. Sememangnya itu taste Inara sejak dulu lagi.

            “Umi cakap you ambil phd, phd kat mana?” tanya Farhat.

            “UM!” ringkas jawapan Emira. Mula rasa tak selesa berbual dengan bakal adik iparnya.

            “Oooo… UM! Tetap jugak kerja part time kat Watsons ke?” tanya Farhat lagi.

            “Ya….” Jawab Emira. Kenapa pulak mamat ini banyak tanya hari ini? Kalau dia masuk rumah awal-awal tadi, mungkin dapat elak terserempak dengan Farhat, menyesal la pulak!

            “Darling! You dah sampai!” Kedengaran suara Inara di muka pintu. Dia berlari anak-anak hampiri tunangnya. Lengan kanan Farhat terus dipaut. Senyuman meleret sehingga ke telinga.

            “Kenapa tak masuk dalam rumah?” tanya Inara lagi. Kemudian pandangan berubah ke arah Emira. Dia memandang Emira yang hanya memakai t-shirt berlengan panjang dan seluar jeans berserta bag galas sambil memegang jaket yang nampak lusuh. Pemakaian Emira sentiasa kolot, dia malu nak mengaku Emira kembar dia.

            “ I borak sekejap dengan Emira.” Jawab Farhat.

            “Borak apa? Mesti Emira mengata pasal I dekat you?” Suara Inara berbau sindiran.

            Farhat terkejut apabila Inara bercakap sebegitu. Dia menyedari ada ketegangan antara dua beradik itu.

            “Mana ada! Kami borak kosong.” Jawab Farhat dengan segera.

            Emira mendengus kuat.

            “Kau ingat aku macam kau ke, suka mengata belakang orang!” balas Emira dekat adiknya. Dia sempat menjeling sebelum meneruskan langkah masuk ke dalam rumah. Malas nak melayan kerenah Inara yang cemburu buta itu. Dibiarkan Inara dan Farhat di luar rumah.

            “Assalammualaikum….” Emira masuk memberi salam. Dia melihat ayahnya yang ada di ruang tamu sedang menonton tv.

            “Waalaikumussalam! Baru sampai?” Jawab Tuan Daim.

            Emira berjalan ke arah ayahnya dan bersalaman.

            “Ya. Umi mana?” tanya Emira. Dia meletakkan jaket dan bag galasnya di sofa.

            “Kat dapur. Kamu pergi tolong Umi kamu apa yang patut, nak harapkan Inara, jangan harap nak dekat dapur tu.” Kata Tuan Daim.

            Emira menganggukkan kepala dan terus berjalan ke dapur. Dia mengikat rambutnya yang separas bahu itu dengan getah.

            “Umi!” tegur Emira sebaik saja melihat kelibat ibunya.

            “Bagus la kamu dah sampai, tolong ibu goreng tempe dengan tauhu ni. Farhat dah sampai ke?” Puan Izzah menarik nafas lega melihat Emira. Dia memberi sudip dekat Emira. Baru teringat dia belum keluarkan salad dari peti sejuk lagi.

            “Farhat baru sampai, ada kat luar dengan Inara.” Jawab Emira. Dia mengambil tugas ibunya. Fokusnya ke arah tempe dan tauhu yang tengah goreng dalam kuali.

Sunday, November 24, 2024

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 8

 

Bab 8

            KELUAR saja dari bilik mandi, Widad terserempak dengan Wafiy. Dia menjeling dekat adiknya dengan wajah tak puas hati. Masih teringat apa yang berlaku semalam, memang malu sangat-sangat. Yang dia bertambah berang, gambarnya itu disimpan oleh Wafiy.

            “Aii….. Mandi awal pagi ini sebab nak pergi lagi kebun ke?” Nada suara Wafiy berbunyi sindiran. Tersengih di saat bertentang mata dengan kakaknya.

            Widad bengang. Dia mahu saja menampar belakang Wafiy tetapi Wafiy sempat mengelak dan terus masuk ke dalam bilik air. Kedengaran ketawa Wafiy begitu kuat sekali. Bertambah sakit hati. Sejak semasa dirinya menjadi bahan ejekkan Wafiy. Tak habis-habis nak usik dia.

            “Mak, tengok Wafiy ni. Dah melampau.” Widad mengadu dekat Mak Esah yang kebetulan ada di situ.

            “Kamu dua beradik ni la asyik bergaduh saja. Cuba la berdamai. Kamu buat tak tahu saja.” Mak Esah menggelengkan kepala. Pening kepala dengan perangai dua orang anaknya. Tak habis-habis nak bertekak. Tingkap di dapur dibuka satu persatu agar perudaraan bersih masuk. Kemudian dia melihat Atan meninggalkan rumah dengan berbasikal.

            “Atan nak pergi mana tu? Bukan ke cuti hari ini?”

            Mak Esah terkejut apabila Widad ada di sebelahnya.

            “Semalam Atan ada cakap nak pergi kubur Mak Wan kamu.” Beritahu Mak Esah. Dia berjalan ke arah rice cooker. Ada baki nasi lebih semalam. Rasanya cukup untuk masak nasi goreng pagi ini.

            Widad mengekori ibunya.

            “ Mak tak rasa pelik ke Atan pergi ziarah kubur Mak Wan? Iyalah, Atan tu tak ada pertalian darah dengan Mak Wan pun.”

            “ Biarlah Atan ziarah kubur Mak Wan kamu tu. Mak tak nampak di mana salahnya.” Jawab Mak Esah. Atan memang kerap menziarahi kubur kakak iparnya. Dalam sekali setahun, Atan akan membuat majlis tahlil untuk Mak Wan.

            “ Hubungan Atan dengan Mak Wan bukannya anak kawan Mak Wan, betul tak? Sebenarnya hubungan mereka lebih dari itu, betul tak?” tanya Widad bertubi-tubi untuk memancing maklumat dari Mak Esah.

            “Mak tak tahu dan sampai bila-bila jawapan mak tetap sama. Mak tak tahu apa-apa pasal Atan, faham! Nak sangat tahu, kamu tanya sendiri dekat Atan tu.” Kata Mak Wan sambil memegang senduk nasi. Mata sudah pun terbeliak luas melihat Widad. Cuba bertahan rasa marah.

            “ Mustahil la mak tak tahu apa-apa. Mak sendiri tahu kan, Atan tu takkan sikit pun buka mulut cakap pasal diri dia. Yang saya tahu, umur Atan sebaya saya lepas tu Atan anak kawan Mak Wan. Masa Atan datang kampung kita, umur Atan baru 17 tahun untuk jumpa Mak Wan. Selepas itu Atan menetap di kampung kita sehingga sekarang. Itu fakta yang semua orang tahu.”  Kata Widad dengan panjang lebar.

            “Nama penuh? Asal usul? Siapa mak ayah Atan? Tiada siapa yang tahu, pelik kan? Lagi satu, kenapa Atan tak ada phone? Zaman sekarang ini semua orang ada phone. Yang bertambah pelik, kenapa sampai sekarang Atan tak ambil lesen motor ataupun lesen kereta? Umur dah nak dekat 30 tahun tetapi masih tetap berbasikal ke mana-mana. Cara hidup Atan ini tak ubah seperti nak larikan diri dari seseorang. Entah-entah Atan ni criminal? Ada buat salah?” tambah Widad lagi dengan cuba membuat andaian sendiri. Jika diteliti dan diperhatikan, Atan ini seolah-olah ingin menyembunyikan diri. Masalahnya dari siapa?

            “Eh! Eh! Sedap mulut kamu cakap tuduh Atan macam tu? Tak baik tahu tak! Atan tu dia ada masalah dia sendiri. Atan baik orangnya.” Nada suara Mak Esah terus meninggi. Geram mendengar andaian Widad terhadap Atan.

            “Atan ada masalah apa, mak?”

            Air muka Mak Esah berubah dan terdiam beberapa saat. Alamak, terlepas cakap pulak.

            “Yalah. Setiap orang kat dunia mesti ada masalah kan. Apa yang nak dihairankan? Sebelum senduk nasi ni hinggap dekat dahi kamu, baik kamu pergi sidai tuala tu dulu. Apa jenis anak dara, hah! ” balas Mak Esah untuk menutup kesilapan dia. Senduk yang ada di tangan kanan diajukan ke arah Widad. Dia melihat tuala yang di bahu Widad selepas mandi. Dia acah saja nak baling senduk itu supaya Widad beredar dari situ dengan segera kerana bimbang akan terlepas cakap lagi.

            Widad segera berlari meninggalkan dapur kerana takut. Ganas betul mak dia seorang ini, siap nak baling senduk lagi. Dia berjalan menuju ke biliknya.

            “Atan ada masalah apa? Masalah kecil atau masalah besar?” Widad bercakap seorang diri. Wajah serius memikirkan apa yang terkeluar dari mulut ibunya.

                        ********************************************

            Tibanya di tanah perkuburan yang terletak di hujung kampung bersebelahan masjid, Atan meletakkan basikalnya di tepi pagi. Dia melangkah masuk dan kemudian memberi salam.

            “Assalammualaikum ya ahlal qubur!” ucap Atan.

            Dengan penuh beradab, Atan berjalan ke arah kubur Mak Wan. Tikar kecil dihamparkan bersebelahan kubur Mak Wan. Atan duduk bersila dan mengeluarkan buku surah Yasin.

            Atan memulakan membaca surah Yasin. Sebaik saja selesai membaca surah Yasin, dia membaca surah Al Ikhlas dan serta ayat Kursi. Doa juga dibaca untuk dihadiahkan kepada arwah dengan niat yang ikhlas. Dia cuba tersenyum dan semestinya dia rindukan Mak Wan. Orang yang menjaganya sejak kecil lagi. Masanya banyak dihabiskan bersama Mak Wan berbanding ibu bapanya. Ini menyebabkan dia teringat semula kali terakhir melihat Mak Wan. Semasa Mak Wan dihalau keluar dari rumahnya, umurnya baru 14 tahun.

Beberapa tahun yang lalu ……

            Tangisan Atan semakin kuat apabila melihat Mak Wan sedang mengemas pakaian. Begitu berat hati ini untuk berpisah dengan Mak Wan yang baginya sudah dianggap seperti ibu kandungnya.

            “Atan, sudah-sudahlah tu menangis. Kata nak jadi macho boy. Hodoh muka tu nanti! ” Kata Mak Wan malah cuba untuk berselorah. Dia memujuk Atan sambil mengesat air mata Atan yang tak henti-henti mengalir.

            “Mak Wan, jangan tinggalkan Atan.” Atan merayu. Dipegang erat lengan baju kurung Mak Wan, sukar baginya untuk melepaskan Mak Wan pergi. Ini semua salah ibunya. Dia bencikan ibunya.

             Setiap pertemuan ada perpisahan. Tak semestinya lepas Mak Wan pergi, kita takkan jumpa lagi. Atan ada no telefon Mak Wan kan. Hari-hari Atan boleh telefon Mak Wan.”

            “Tetap jugak tak sama. Siapa nak temankan Atan dalam rumah ini? Siapa nak masak nasi goreng ayam kegemaran Atan nanti? Please, Mak Wan. Jangan tinggalkan Atan.” Atan merayu lagi.

            Mak Wan menatapi wajah Atan yang dijaganya sejak berumur 3 tahun itu. Hati ini memang berat untuk meninggalkan Atan tetapi apakah daya dia hanya orang gaji dalam rumah ini. Dia memberikan sampul surat dekat Atan.

            “ Dalam ini ada alamat rumah Mak Wan kat Selama, Perak. Dalam ini jugak ada duit. Kalau la….. kalau la satu hari nanti Atan sudah tak tahan tinggal di dalam rumah ni lagi, datang saja. Mak Wan akan sentiasa tunggu kedatangan Atan.” Kata Mak Wan. Dia turut sama sebak menahan kesedihan. Tak mampu lagi menahan, air matanya jatuh berlinangan. Dia terus memeluk tubuh Atan dengan penuh erat.

            Semakin kuat tangisan mereka berdua, masing-masing sukar untuk melepaskan.

            “Kalau lah aku datang awal, mesti sempat aku jumpa Mak Wan.” Tersimpan sejuta penyesalan setiap kali memikirkan hal ini. Benar-benar terkilan. Air mata menitis tanpa disedari. Kemudian Atan menadah tangan untuk berdoa dekat Mak Wan. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang beriman.

           

           

 

              

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 9

  Bab 9             SAMBIL berjalan ke dapur, Widad mengikat rambutnya menjadi tocang satu. Dibetulkan rambutnya agar tersisir rapi. Dia m...