Bab 10
PAK
WALID yang baru saja melangkah masuk ke ruang dapur tercengang
melihat Widad bergegas keluar rumah dengan membawa sesuatu di tangan.
Tertanya-tanya ke mana anak perempuannya pergi awal-awal pagi sebegini.
Sebenarnya dia datang kerana mahu bertanya pasal barang-barang milik Widad yang
ingin dibawa esok ke Kuala Lumpur.
“Laju nak ke mana tu?” tanya Pak
Walid kepada isterinya.
“ Macam la abang tak tahu ke mana
anak perempuan kita pergi setiap hari! Rumah sebelah la.” Jawab Mak Esah. Dia
sedang membancuh air kopi di dalam teko.
“Atan lagi.” Pak Walid mengeluh.
Mulanya dia nak buat tak tahu saja tapi bila dibiarkan semakin menjadi-jadi la
pulak.
“Biarlah, abang! Kita larang
bukannya Widad nak dengar. Esok Widad dah nak pergi KL, hari ini biar saja
Widad tu nak buat apa.” Mak Esah sudah malas nak menegur dan masuk campur.
Cakap dekat Widad seperti mencurah air di daun keladi.
“Widad ini, ada-ada saja. Sebenarnya
abang nak tanya pasal barang-barang Widad yang nak dibawa ke KL nanti. Widad
nak bawa semua kotak-kotak tu ke? Ala kotak-kotak yang Widad pos dari London
tu.” Kata Pak Walid. Ada tiga buah kotak di ruang tamu, sikit pun Widad tak
sentuh. Sebulan sebelum pulang ke Malaysia, Widad mengirim barang-barangnya
dulu. Tak sangka begitu sikit barang-barang Widad. Kata Widad, kebanyakkan
barang-barang dan perabot rumah diberikan kepada kawan-kawannya yang tinggal di
sana.
“Oooo….. Kotak-kotak tu ke? Hari tu
saya ada tanya, dia cakap dia memang nak bawa semua kotak-kotak tu. Tapi lebih
baik abang tanya dia sekali lagi.”
“Yalah! Sarapan pagi ini masak apa?”
tanya Pak Walid. Dia pun sudah lapar.
Mak Esah tersenyum dan terus membuka
tudung salji.
“Apa! Sandwich saja!” Pak Walid
terkejut dan memandang isterinya.
“Ala sekali sekala makan breakfast
sandwich, takkan tak boleh kot. Jangan nak komen macam-macam, anak
kesayangan abang yang buat sandwich ni.” Balas Mak Esah.
Masam terus wajah Pak Walid. Makan
sandwich saja, mana nak kenyang. Nampaknya sekejap lagi, dia kena singgah kat
kedai kopi Mahmood sebelum pergi kebun. Diambil sandwich telur itu dan dikunyah
perlahan-lahan.
**************************
Atan berjalan menuju ke pintu
rumahnya. Dia sudah bersiap sedia pergi ke kebun. Apabila pintu rumah dibuka,
dia terkejut melihat Widad ada di depan pintu.
“Assalammualaikum… Good morning!”
Widad tersenyum.
Atan terdiam beberapa saat sebelum
menjawab salam dari Widad.
“Waalaikumussalam. Aaaa…. Ada apa
datang rumah orang pagi-pagi ini.” Air muka Atan sudah menunjukkan rasa tak
selesa dengan kehadiran Widad. Bagi dirinya, tak manis jika mereka berdua-duaan
sebegini.
“ Nak minta tolong boleh?” Widad
masih tersenyum. Buat dek saja walaupun tahu kedatangan dia tak dialu-alukan
oleh Atan. Tebalkan saja muka!
“Tolong apa?” Dahi Atan berkerut.
Jantung berdegup laju di saat ini. Berdebar-debar mendengar pertolongan apa
yang Widad mahu dari diri dia.
“Mak cakap awak buat sambal garing
ikan bilis tempe sedap, so boleh awak buat dekat saya. Saya teringin nak
rasa. Nah, ambil bag plastik ni! Saya dah sediakan semua bahan. Ikan bilis ada,
tempe ada dan cili kering pun ada.” Tanpa segan silu, Widad memberitahu
niatnya. Semalam semasa dalam kereta, ibunya ada beritahu yang sambal garing
ikan bilis tempe yang dibuat oleh Atan memang sedap. Tiba-tiba dia dapat idea
dan terus membeli barang-barang di Tanjung Dawai. Maklum la Tanjung Dawai
terkenal dengan ikan bilis dan ikan kering.
Sekali lagi Atan terkejut, tambahan
pula sekelip mata ada bag plastik di tangannya. Dia belum setuju pun dengan
permintaan Widad.
“ Diam tandanya setuju, betul tak?”
Widad tersengih.
“Tapi ……”
“ Ala ….. Esok saya dah balik KL,
boleh la.” Pujuk Widad dengan wajah comel.
“Hmm….. baiklah.” Akhirnya Atan
terpaksa setuju. Setakat nak masak untuk Widad apalah sangat. Lagipun dia
memang suka memasak.
“Thank you. Awak memang sweet.
Siapa kahwin dengan awak memang bertuah.” Puji Widad dengan penuh makna. Maklum
la ada udang di sebalik batu.
Kata-kata Widad menyebabkan mata
Atan bertaut dengan mata Widad beberapa saat. Jantungnya semakin berdegup
kencang. Dengan cepat, Atan memandang ke arah lain.
“Awak tahu kan esok saya dah pergi
KL.”
Atan hanya mengganggukkan kepala.
Masih belum berani bertentang mata dengan Widad.
“ Ayah, mak dengan Wafiy pun ikut
sama sebab banyak barang yang nak kena bawak nanti. Barang-barang nak bawa ke
KL banyak sangat-sangat. Ayah dengan mak mana nak larat sangat bawa
barang-barang itu. Boleh tak awak ikut sama pergi KL tolong saya angkat barang-barang?”
tambah Widad lagi. Dia sengaja meraih simpati. Jika Atan boleh menolong
Chempaka berpindah, sudah tentu Atan boleh menolong dia. Wah, memang bijak dia
mengatur plan. Bergeliga betul otak dia.
Pandangan Atan beralih ke arah
Widad.
“ Hari itu tiga kotak saja kan
barang-barang awak yang sampai dari London. Saya sendiri angkat. Mana banyak
pun barang-barang awak. Wafiy boleh saja angkat seorang kan. Lagipun saya kena
jaga homestay, minggu ni full. Selepas solat jumaat nanti, dah
ada guests nak check in.” Dengan jujurnya, Atan menjawab.
Sedikit demi sedikit wajah, Widad
berubah. Bukan ini jawapan dia nak dengar dari mulut Atan.
“Yalah! Siapa la saya jika nak
bandingkan dengan Chempaka kan! Dengan Chempaka boleh pulak awak tolong dia
pindah rumah tapi dengan saya berkira sangat-sangat. Memang awak ni berat
sebelah.” Marah Widad. Nada suara terus tinggi. Dengan hati yang membara, dia
terus meninggalkan Atan. Mulut dia terkumit-kumit bercakap seorang diri menuju
pulang ke rumah.
Mata Atan masih terbeliak luas. Tak
sangka dimarahi oleh Widad secara tiba-tiba.
“Wah, nasib baik tak pecah gegendang
telinga aku ni. Kuat betul suara mengalahkan speaker.” Atan membuka
mulut dan melihat kelibat Widad sudah pun masuk ke dalam rumah Pak Walid.
Terkejut jugak, iyalah pertama kali Widad meninggikan suara dekat dia.
Tertanya-tanya jugak bagaimana Widad tahu pasal dia menolong Chempaka pindah.
Timbul rasa bersalah. Dia melihat bag
plastik yang ada di tangannya.
******************************
Selepas balik dari kebun, Wafiy
bergegas membersihkan diri dan menukar pakaian untuk menunaikan solat Jumaat.
Dia mencapai kopiah putih dan dipakainya di kepala.Langkah diatur pantas keluar
dari biliknya.
Langkah terhenti apabila melintasi
bilik kakaknya. Terdengar seperti ada orang bercakap. Wafiy menolak
perlahan-lahan pintu bilik Widad yang sedikit terbuka.
“ Apa tengok-tengok!” marah Widad
apabila menyedari kehadiran adiknya. Mata terbeliak luas.
“ Wah! Ini bilik manusia ke bilik dragon?”
balas Wafiy. Belum bersuara lagi, dah kena marah. Nampak sangat mood kakaknya
tak elok.
“ Argh… Nak apa? Nampak tak, tengah busy
nak packing barang.” Sambil mulut muncung, Widad memasukkan pakaiannya
ke dalam bag. Dia tak ada mood nak bergaduh dengan Wafiy. Rasa marahnya dekat
Atan masih belum hilang. Sakit hati menusuk kalbu.
“ Siapa la yang buat Kak Widad
marah-marah macam ini? Abang Atan ke?” teka Wafiy.
“Ya, Atan.” jawab Widad dengan mata
terbeliak luas.
Wafiy tersenyum tawar. Apa pula kali
ini?
“Nak tanya sikit, apa hubungan Atan
dengan Chempaka? Dia orang tu memang rapat ke?” Widad mengambil peluang untuk
bertanya.
“Hubungan apa? Abang Atan dengan Kak
Chempaka ke?” Wafiy terkejut dengan pertanyaan Widad.
“Hari itu aku nampak mereka berborak
sakan tepi jalan. Nampak rapat dengan mesra pulak tu.” Cerita Widad dengan
wajah tak puas hati.
“ Setakat berborak tepi jalan, apa
salahnya. Lagipun Abang Atan selalu saja borak dengan orang kampung kalau
jumpa. Abang Atan kan peramah.” Wafiy membela Atan.
“Apa! Peramah? Bila dengan aku,
sebutir suara pun susah nak dengar.” Widad mengetap bibir. Bertambah-tambah
rasa sakit hatinya dengan perangai Atan.
“Macam mana Abang Atan nak cakap
kalau Kak Widad cakap tak henti-henti! Dah lupa ke?” jawab Wafiy.
Bibir Widad terus senget ke kiri.
“So Atan dengan Chempaka tak
ada apa-apa yang special la?” tanya Widad sekali lagi untuk kepastian.
“Tak ada la Itu mesti borak kosong
saja.” jawab Wafiy dengan memerhatikan wajah Widad. Wajah kakaknya yang bengis
tadi bertukar lembut. Ada sedikit senyuman di bibir Widad. Semudah itu saja
kemarahan Widad hilang.
Mendengar kata-kata yang keluar dari
mulut Wafiy, perasaan Widad yang dilanda ribut sebentar tadi kembali tenang.
Perasaan insecure terus lesap.
“Kenapa? Cemburu ke?”
“Tak salah kan kalau cemburu.” balas
Widad. Bagi dia rasa cemburu itu adalah permulaan.
Wafiy hanya menggelengkan kepala.
“Wafiy! Cepat, nanti lewat sampai
masjid.” Kedengaran suara Pak Walid memanggil dari luar rumah.
“Ya.” Wafiy menyahut. Dia berlari
anak-anak keluar dari bilik kakaknya. Dia menuruni anak tangga satu persatu. Itulah
berborak dengan Widad sehinggakan hampir terlupa tanggungjawab yang perlu
ditunaikan. Semakin laju dia melangkah ke luar rumah. Pak Walid sudah pun
menunggu di atas motor.
1 comment:
In loveeeee sangat dengan DMP sampai ke sini saya jenguk hihi. Saya antara orang yang awal beli versi cetak! I hope puan penulis baca review saya dekat goodreads. Terima kasih sebab cipta Atan dan Widad yang sekarang dah jadi kesayangan sayaaa
Post a Comment