Saturday, November 30, 2024

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 9

 

Bab 9

            SAMBIL berjalan ke dapur, Widad mengikat rambutnya menjadi tocang satu. Dibetulkan rambutnya agar tersisir rapi. Dia mendekati ibunya yang sedang membasuh kuali.

            “ Mak! Betul ini yang ni saja mak suruh beli? Nanti bila saya dah balik, ada lagi benda mak lupa pesan.” Tanya Widad untuk kepastian. Bukan sekali dua benda ini terjadi. Dah sampai rumah, baru mak dia beritahu ada lagi benda nak kena beli. Tak pasal-pasal dia kena pergi ke kedai runcit Pak Man sekali lagi.

            “Dah. Itu saja. Mak masak simple saja. Nasi ayam.” Jawab Mak Esah.

            “ Okey!” balas Widad. Dia melangkah keluar melalui pintu dapur.

            “Tu duit kat meja tu, jangan lupa ambik.” Pesan Mak Esah. Awal-awal lagi dia sudah letak duit barang-barang dapur atas meja.

            “Setakat beli barang dapur, apalah sangat. Duit saya kat bank takkan surut pun.” Widad tersengih sambil menyarungkan seliper.

            “Cakap besar! Mentang-mentang banyak duit kat bank tu.” Mak Esah menggelengkan kepala. Lagipun anak sulungnya itu jenis berjimat-cermat. Walaupun kerja besar kat London tu, Widad suka hidup cara bersederhana.

            Widad hanya mampu ketawa. Dia berjalan menuju ke motor ayahnya. Enjin motor dihidupkan. Motor ayahnya bergerak menuju ke kedai runcit Pak Man yang terletak di jalan besar.

            Dalam perjalanan ke kedai runcit Pak Man, tiba-tiba Widad ternampak kelibat yang sangat dikenali di seberang jalan.

            “Atan! Atan tengah borak dengan siapa tu?” kata Widad. Dia cuba mengenali wanita yang sedang berbual dengan Atan. Api cemburu tiba-tiba muncul.

            “Apa! Chempaka? Atan tengah cakap dengan Chempaka? Eeeee…..sakitnya hati aku tengok.” Widad mengetap bibir dengan matanya masih melihat Atan dan Chempaka rancak berbual sehinggakan tidak menyedari Widad memerhatikan mereka berdua.

            “Oooo….. Dengan Chempaka boleh pulak berbual tapi bila dengan aku, ada saja alasan.” Dengan wajah bengang, Widad memulas minyak motor. Motor Pak Walid bergerak laju menuju kedai runcit Pak Man.

            Tibanya di kedai runci Pak Man, Widad segera mengambil barang-barang yang dipesan ibunya. Semasa sedang beratur untuk membayar, Widad masih tidak dapat melupakan hakikat yang Atan berbual dengan Chempaka. Sakit ini menusuk kalbu.

            “Aaa…. Semuanya RM 25.” Beritahu Pak Man selepas mengira. Dia memasukkan barang-barang yang dibeli oleh Widad ke dalam bag plastik.

            Dahi Pak Man berkerut setelah tiada reaksi dari Widad.

            “Widad! Kamu dengar tak apa Pak Man cakap tadi? Eh.. Eh… budak ini tengah berangan ke? Widad!” kata Pak Man dan kemudian suara ditinggikan.

            Widad terkejut setelah mendengar suara Pak Man.

            “Kamu ni teringatkan boyfriend kat London ke?” usik Pak Man. Dia tersenyum melihat anak sulung Pak Walid.

            “ Saya mana ada boyfriend, Pak Man. Single lagi. Tadi tengah fikir kot-kot ada barang yang mak pesan tadi terlupa nak ambil. Rasanya tak ada yang tertinggal. Berapa semuanya, Pak Man?” jawab Wadid. Kononnya nak cover line! Hakikat sebenarnya benda lain.

            “ Semuanya RM 25.” Jawab Pak Man sekali lagi.

            Widad mengeluarkan duit dari dompetnya dan dihulurkan dekat Pak Man. Dia terus mengambil bag plastik dan berjalan keluar dari kedai runcit. Bag plastik terus diletakkan ke dalam motor ayahnya. Keluhan berat dilepaskan.

            “ Aku nak tahu jugak apa hubungan Atan dengan Chempaka? On the way balik nanti aku kena jugak singgah warung Mak Intan. Selagi aku tak dapat jawapan, hidup aku takkan tenang.” Widad bertekad mencari jawapan.

            Motor bergerak menuju ke warung Mak Intan. Masa ini mesti Mak Intan sudah ada di warung.

            Widad segera turun dari motor sebaik saja sampai di warung. Dia berjalan ke arah dapur warung. Dia tersenyum melihat Mak Intan dengan dua orang pembantunya sedang memasak di dapur.

            “Assalammualaikum…..” Widad memberi salam.

            “Waalaikumussalam. Laaa….. Widad rupanya.” Jawab Mak Intan. Dia tersenyum melihat kedatangan Widad.

            “Saya baru balik beli barang dapur kat Pak Man. Alang-alang tu singgah sini sekejap, tiba-tiba teringat laksa Mak Intan.” Beritahu Widad. Dia cuba mengambil kesempatan untuk berbual sebentar dengan Mak Intan.

            “ Kamu datang awal sangat, kuah laksa tak masak lagi.”

            “Ya ke, tak aper! Lain kali saya datang lagi. Aaa….. Chempaka tak datang warung ke? Sebab tadi saya nampak Chempaka tengah borak dengan Atan kat tepi jalan.” Widad mengambil peluang ini untuk bertanya.

            “Tak tahu pulak yang Chempaka kenal dengan Atan….” Tambah Widad lagi.

            “Oooo…. Lepas Chempaka dengan Marzuki bercerai, Mak Intan minta tolong Atan dengan Wafiy tolong kami angkat barang-barang Chempaka keluar dari rumah Marzuki. Maklum la kami berdua perempuan, mana larat nak angkat semua itu. Barang-barang Chempaka bukannya sikit, banyak pulak tu.” Cerita Mak Intan. Lagipun suaminya sudah lama meninggal dunia manakala Chempaka adalah satu-satunya anak tunggal mereka. Dia bersyukur kerana ada Atan dan Wafiy yang sanggup menolong mereka dua beranak. Nak harapkan Marzuki, batang hidup pun tak nampak semasa hari itu.

            “Oooo…… ya ke? Aaa…. Mak Intan, saya gerak dulu. Esok saya datang lagi.”

            “Datang tau esok. Kirim salam kat mak kamu.” Pesan Mak Intan dan tersenyum.

            “Bye, Mak Intan!” kata Widad. Dia berjalan ke arah motornya. Enjin terus dihidupkan. Motor ayahnya bergerak pulang ke rumah. Dia ingin tahu sama ada Atan sudah pulang ke rumah atau tidak.

            Tibanya di garaj rumah, Widad turun dari motor. Dia melihat ke arah rumah Atan. Tiada basikal di situ. Ini bermakna Atan tak balik lagi.

            “Ke mana pulak dia pergi ni? Takkan keluar dengan Chempaka.” Widad membuat telahan sendiri. Mula rasa tak sedap hati jika telahannya benar.

            “Widad! Buat apa tercegat kat situ lagi? Bawa sini cepat barang-barang tu, mak dah masak ini.” Mak Esah berdiri di muka pintu dapur.

            Kerana terkejut mendengar suara Mak Esah, Widad mengambil bag plastik dari bakul motor dan berjalan pantas hampiri rumahnya. Sempat lagi dia menoleh melihat rumah Atan.

                                                ********************************

            Sambil mengigit ibu jari, Widad duduk di luar rumah. Dia masih menanti kepulangan Atan. Dalam hati begitu resah memikirkan ke mana Atan pergi sehingga tak balik lagi. Usai solat Zohur tadi, dia terus menyambung duduk di situ. Gaya Widad seperti menunggu suami pulang ke rumah.

            “Kat sini lagi?” tegur Wafiy yang berdiri di muka pintu rumah. Dia tahu pasti kakaknya menunggu Atan.

            Widad membalas dengan jelingan.

            “Tahu tak mana Atan pergi?” tanya Widad dengan wajah masam.

            “Yang Wafiy tahu, pagi ini Abang Atan pergi ziarah kubur Mak Wan. Selepas itu ke mana Abang Atan pergi, Wafiy tak tahu.” Jawab Wafiy. Dia menghampiri Widad yang sedang duduk di buaian.

            “ Entah-entah Atan tu keluar dating dengan Chempaka. Pagi tadi Kak Widad nampak mereka berdua borak tepi jalan.” Ada nada cemburu di akhir suara Widad.

            Dahi Wafiy berkerut. Dating?

            “ Oooo…. Dengan Chempaka boleh pulak borak berdua tapi bila Kak Widad ajak borak, ada saja alasan Atan bagi sebab nak lari. Kecik hati Kak Widad ini, tahu tak?”

            “ Macam mana tak lari kalau perangai Kak Widad tu asyik bagi tekanan kat Abang Atan? Dah tahu Abang Atan tak suka orang bertanya pasal asal usul dia tapi Kak Widad tetap jugak tanya, siapa yang suka!” bidas Wafiy.

            “ Eh! Kamu tak rasa ke teringin nak tahu siapa Atan tu? Sekelip mata muncul dalam hidup kita, selepas itu mak ayah terima Atan dalam hidup kita dengan tangan terbuka. Tak rasa ke something wrong somewhere? Entah-entah Atan tu ada kisah gelap.” Widad melihat Wafiy. Rasa pelik dengan perangai Wafiy yang tak pernah teringin nak tahu pasal latarbelakang Atan.

            “ Abang Atan okey saja. Baik orangnya. Sepanjang hidup kat kampung ini Abang Atan tak pernah buat sesuatu yang melanggar undang-undang. Suka hati cakap orang ada kisah gelap, tak baik tahu tak? Boleh jatuh fitnah. Mulut tu tak pernah ada insuran langsung. Bagi Wafiy, Wafiy tak kisah pun kalau Abang Atan tak nak cerita pasal asal usul Abang Atan sebab Wafiy faham kalau itu mampu buat Abang Atan sedih, Wafiy hormat pendirian Abang Atan tak mahu cerita pasal asal usul Abang Atan.”

“ Yang Wafiy tak faham sekarang ni, Kak Widad ni sebenarnya suka atau tak dekat Abang Atan? Iyalah tadi Kak Widad cakap yang Abang Atan tu mungkin ada kisah gelap tapi dalam masa yang sama Kak Widad nak mengorat Abang Atan untuk dijadikan suami? Wafiy memang tak faham la apa Kak Widad cuba buat ni?” Wafiy ingin tahu apa sebenarnya yang kakaknya mahu dari Atan. Adakah kakaknya hanya mahu mempermainkan perasaan Atan.

            “ Nak jadikan suami, mesti la Kak Widad kena tahu latarbelakang suami Kak Widad kan? Tak salah Kak Widad tahu lebih lanjut pasal Atan. Kalau Atan ada kisah gelap, Kak Widad boleh buat persiapan dan terima Atan seadanya.” Jawab Widad dengan senyuman.

            Beberapa saat Wafiy melihat Widad tanpa mengedipkan mata.

            “Apa benda mengarut Kak Widad cakap ni? Sikit pun Wafiy tak faham la.” Wafiy bersuara semula. Semakin berkerut dahi Wafiy.

            “ Mak sendiri pun tak faham dengan perangai kakak kamu seorang ni. Tak tahu la cakap guna otak atau mulut. Wafiy, kamu tak payah susah-susah perah otak fikirkan apa kakak kamu cakap tadi.” Mak Esah menyampuk. Kebetulan dia mendengar perbualan dua orang anaknya itu.

            “Mak, dulu mak pernah cakap kan! Kalau nak cari suami, kena tahu semuanya. Keluarga! Asal usul? Pendidikan? Yang penting ada rekod jenayah ke tak? Kot la kaki judi ke kaki dadah ke ataupun kaki perempuan. Sebelum nak kahwin, kena tahu semuanya. Sebab nak kahwin sekali seumur hidup, mak jugak yang pesan. Ingat tak?” balas Widad.

            Mak Esah mendiamkan diri. Teringat semula apa yang dia pernah cakap dulu. Iyalah, dia ada cakap dekat Widad pasal hal ini. Jangan ingat cinta saja penting, latarbelakang sesebuah keluarga penting jugak. Yang penting wajib kena kenal hati budi orang dulu dengan lebih mendalam. Jangan nak melulu-lulu nak kahwin.

            “Aaa….. Widad, betul ini kamu tak nak ikut kami pergi Tanjung Dawai? Takkan tak nak makan mee rebus udang famous kat situ.” Pak Walid turut sama keluar rumah. Dia mengajak Widad turut sama ikut mereka ke sana.

            “ Nak buat macam mana, ayah! Kak Widad ni sanggup tunggu Abang Atan balik dari makan sedap-sedap kat Tanjung Dawai.” Wafiy bersuara.

            “ Atan lambat balik. Tadi Atan call ayah, Atan beritahu, Tok Imam Leman ajak dia pergi Taiping. Ada hal katanya.” Beritahu Pak Walid.

            Widad terus tersenyum. Rasa lega apabila mendengar Atan keluar dengan Tok Imam Leman dan bukannya Chempaka. Iyalah, dia tak mahu kisah lama berulang kembali. Jika Chempaka turut sama sukakan Atan, nampaknya sekali lagi Chempaka akan menjadi musuh cintanya.

            “Kalau macam tu bagi saya masa lima minit nak siap, tunggu sekejap.” Widad segera mengubah fikiran dan bergegas berlari masuk ke dalam rumah untuk mengikuti keluarganya pergi Tanjung Dawai.

           

           

           

           

 

           

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 9

  Bab 9             SAMBIL berjalan ke dapur, Widad mengikat rambutnya menjadi tocang satu. Dibetulkan rambutnya agar tersisir rapi. Dia m...