Tuesday, September 20, 2011

Siapa Orang Gajiku? Bab 7

BAB 7

            Aril tersenyum melihat no telefon yang tertera di skrin telefon Samsung miliknya. Dah lama dia menanti panggilan itu. “Assalammualaikum.”
            “Waalaikummussalam. Abang sihat ?” soal Aina. Dia melirik matanya ke kiri dan kanan. Dia berdiri di sebalik pokok rambutan yang terletak jauh di belakang rumah Tengku Fauziah. Dia bimbang ada orang akan mendengar perbualannya.
            ‘Sihat. Alhamdulilah. Ke mana Aina menghilang ni? Puas abang call Aina tetapi tidak dijawab.” Aril meluahkan kebimbangannya apabila dia tidak dapat menghubungi adiknya.
            “Hmm….Sebenarnya Aina dah kerja.”
            “Kerja.” Aril terkejut dan terus bangun. Bekerja?
            “Aaa…sebagai pekerja social.” Tipu Aina. Jika abang tahu aku bekerja sebagai orang gaji,  pasti abang datang ambil aku balik ke rumah. Maaf ye, abang.
            “Pekerja social. Di mana? Rumah Anak-Anak Yatim Sri Harapan ke?”
            “Bukan! Di tempat lain. Selepas selesai tugas Aina di sini, Aina akan balik ke rumah.”
            “Betul ke, Aina? Abang macam tak percaya sahaja.” Aril tersenyum lebar. Akhirnya terbuka juga hati Aina untuk balik.
            “Ya. After my works done, okey!”
            “Tentang RM 80 ribu yang Aina minta pada atuk, abang dah uruskan. Abang dah masukkan ke dalam akaun Aina.”
            “Terima kasih, abang.” Aina tersengih. Duit yang ada ini, dia akan berikan pada Puan Jamilah dengan segera. Pasti Puan Jamilah memerlukan wang sekarang ini.
            “Aina nak buat apa dengan duit tu?”
            “Atuk tak beritahu abang ke?” Aina hairan. Takkan atuk tak beritahu duit itu untuk apa?
            “Atuk dah kena kuarantin dengan mama.”
            “Apa!” Aina menggelengkan kepalanya beberapa kali.
            “Sekarang ni abang dan bercakap dengan atuk pun susah. Ke mana saja atuk pergi, mama mesti ada.” Aril sudah pening dengan sikap ibunya.
            “Aduh, parah jika macam ni. Abang, Aina rasa orang yang patut kahwin adalah mama bukannya kita. Selagi mama tak berkahwin, kita akan menjadi mangsanya.”
            Aril ketawa mendengar kata-kata Aina. “Jangan nak merepek, Aina. Matlamat mama tahun ini adalah untuk mengahwinkan kita berdua.’
            “Aaahhh…teruklah kita, abang.”
            “Kak Aina, kenapa kak nak jumpa Rina di sini?” tegur Rina mendekati Aina yang sedang berbual melalui telefon.
            “Rina! Aaa….Abang, kawan Aina dah datang. Kita bercakap lagi selepas ini. Kirim salam kat atuk dan mama ye.” Aina terus menamatkan panggilannya. Telefon bimbit itu disimpan di dalam poket baju kurung.
            “Hello! Aina! Aina.” Aril terkejut apabila Aina tiba-tiba menamatkan panggilan itu. Aina masih belum menjawab soalannya tadi. Kenapa Aina begitu tergesa-gesa meletakkan telefon? Aku dapat merasakan ada sesuatu yang dirahsiakan oleh Aina.
            “Sorry, Rina tak perasaan Kak Aina sedang bercakap dalam telefon.”
            “Tak mengapa. Masa Rina datang sini, ada sesiapa nampak Rina tak?” soal Aina. Matanya meliar ke kiri dan kanan. Dia tak mahu ada orang tahu hubungannya dengan Rina.
            “Tak ada. Bunyi macam pentng saja. Kak Aina ada masalah ke?” soal Rina.Dia bergegas datang ke sini selepas mendapat panggilan telefon dari Aina.
            “Kak nak minta pertolongan dari Rina.” Terang Aina. Kali ini dia memerlukan pertolongan dari Rina. Malam ini plan aku mesti berjaya. Selama seminggu, aku bersabar dengan kerenah Haikal. Macam-macam Haikal buat pada aku. Kali ini giliran dia pula.
            “Tolong apa, Kak Aina?” soal Rina hairan. Dia tak kisah apa pun pertolongan yang dipinta oleh Aina.
            “Malam ini kak mahu Rina bermalam di rumah ni. Kita ada misi.”
            “Misi!” Rina terkejut. Matanya bulat merenung Aina yang masih tersenyum. Misi apa pula kali ini?

                                    ************************************
            Rina mengekori Aina dari belakang. Langkahnya diatur agar kehadiran mereka tidak disedari oleh penghuni rumah itu. Rina menoleh ke kiri dan kanan kerana bimbang diri mereka ditangkap. Jika ditangkap oleh nenek, boleh dibawa bincang tetapi jika ditangkap oleh Mak Long, jangan haraplah boleh dibawa bincang. Entah-entah dipanggilnya polis. Langkahnya terhenti apabila tiba di depan pintu bilik Haikal.
            “Kak Aina, betul ke kak nak tanggalkan pintu bilik Abang Haikal ni? Kak Aina tahu ke?” bisik Rina.
            “Tahu. Pegang touch light ni.” Aina mendekatkan telinganya pada pintu bilik itu.
            “Kak buat apa tu?” Rina risau. Dia tak pernah buat semua ini sepanjang hidupnya. Dah macam pencuri.
            “Nak pastikan Haikal dah tidur ke belum?”
            “Aaaa…..”
            “Dah tidur.” Aina tersengih apabila mendengar bunyi dengkur dari dalam bilik itu. Aina mengeluarkan kunci pendua dan membuka pintu itu. Pintu itu dibuka dengan  perlahan-lahan agar kehadiran mereka tidak disedari oleh Haikal. Aina mengeluarkan screwdriver dari poket seluarnya untuk membuka pintu itu. “Rina, halakan cahaya ke sini.” Kata Aina.
            “Ok!” kata Rina. Dia memerhati Aina membuka pintu itu. Matanya masih melihat ke kiri dan kanan untuk memastikan tiada sesiapa melihat mereka. Ini memang kerja gila. Dengkuran abang Haikal semakin kuat kedengaran. Aku tak dapat bayangkan bagaimana reaksi Abang Haikal apabila pintu biliknya sudah tiada.
            Beberapa minit kemudian, pintu bilik itu berjaya di tanggalkan. Perlahan-lahan mereka berdua mengangkat pintu itu dan disandar pada dinding.
            “Kak Aina nak ke mana?” Rina menarik tangan Aina. Dia hairan apabila Aina masuk ke dalam bilik Haikal.
            “Kak nak pastikan sama ada telahan kak tepat atau tidak.” Aina terus berjalan dengan berhati-hati. Barang-barang yang berselerak di lantai dielak agar tidak dipijaknya.
            Dahi Rina berkerut. Apa pula yang Kak Aina cuba pastikan? Rina mengekori Aina dari belakang. Sesekali matanya melirik ke arah Haikal yang masih tidur di katil. Dia bimbang jika Abang Haikal bangun. Langkah Rina terhenti di belakang Aina yang tunduk menarik kusyen yang terdapat di sofa itu. Ada lubang besar di dalam sofa itu.
            Aina tersenyum. Dia menoleh ke arah Haikal yang begitu nyenyek tidur. Amboi kuatnya berdengkur!
            “Lubang apa, Kak Aina?” bisik Rina. Dahinya berkerut.
            “Tunggu sekejap.” Aina memasukkan tangannya di dalam lubang yang terdapat di dalam sofa itu. Dia menggeluarkan beberapa bungkusan Maggie yang terdapat di dalam lubang itu dengan berhati-hati. Dia takut bunyi itu mengejutkan Haikal dari tidur. Berdasarkan kepada bilangan Maggie ni, ia boleh bertahan selama 2 bulan.
            “Maggie!” Mulut Rina melopong melihat beberapa bungkusan yang dikeluarkan oleh Aina. Dia masih tak faham apa yang berlaku.
            Aina mengeluarkan beberapa botol air mineral, heater dan mangkuk berserta sudu dan garpu.
            “Apa semua ni, Kak Aina?” soal Rina.
            Aina memberi beberapa bungkusan Maggie itu pada Rina. “Bawa semua ni keluar dulu, nanti kak beritahu apa sebenarnya yang berlaku.”
            Rina menganggukkan kepalanya sebagai tanda akur akan arahan Aina. Dengan berhati-hati dia membawa barang-barang itu keluar dari bilik  Aina mengekori Rina dari belakang. Dia membawa beberapa bungkusan Maggie itu keluar. Dia perlu membawa semua stok makanan yang disimpan oleh Haikal keluar. Aina sempat menoleh ke arah Haikal. Aku nak tengok sehingga bila kau mahu menahan lapar. Aku suruh Mak Som masak semua makanan kegemaran kau esok.

                        ******************************************
           
            Tengku Fauziah terkejut apabila Aina dan Rina meletakkan 2 buah kotak di hadapannya. Awal-awal pagi lagi, Aina ingin berjumpa dengannya. Katanya mustahak. Tengku Fauziah merenung mereka berdua. “Kotak apa ni?”
            “Nenek mesti terkejut jika nenek tengok apa yang ada dalam kotak ini.” Rina membuka kedua-dua kotak itu.
            “Maggie! Air botol mineral. Nenek tak faham.”
            “Kami jumpa barang-barang ni dalam bilik Abang Haikal, nenek. Rupa-rupanya selama ini Abang Haikal sembunyikan barang-barang ini di dalam bilik.Barang-barang ini adalah stok makanan Abang Haikal.”
            “Apa!”
            “Kini sudah terjawab kenapa Abang Haikal tak pernah menjamah sedikit pun makanan yang dibawa oleh Murni dan Kak  Aina.” Rina tersengih. Selama ini mereka telah ditipu oleh Abang Haikal.
            “Maksudnya selama ini dia makan makanan ini.” Bulat mata Tengku Fauziah sambil tangannya menunding jari pada kotak itu. Budak bertuah ni! Kita risaukan dia selama ini tetapi dia tipu kita bulat-bulat.
            “Ya, nenek! Mulanya Aina hairan kenapa Haikal masih bertenaga sedangkan sudah 3 minggu Haikal tidak menjamah apa-apa makanan. Aina rasa macam sesuatu tak kena sehinggalah Aina terbau sesuatu dalam bilik Haikal. Bau Maggie. Murni pun beritahu perkara yang sama. Jadi semalam Aina dan Rina curi masuk ke bilik Haikal dan kami terjumpa stok makanan yang disimpan oleh Haikal.” Beritahu Aina.
            “Budak ni memang nak kena dengan nenek ni! Berani dia permainkan nenek dan ibunya sendiri. Dia tak fikir ke perasaan kami yang risau akan keadaannya setiap hari.” Tengku Fauziah tiba-tiba bangun. Wajahnya merah padam menahan marah. Hari ini budak ni mesti kena dengan aku.
            “Nanti dulu nenek.” Aina menghalang Tengku Fauziah dari bertindak melulu-lulu. “Ada perkara lagi Aina masih belum beritahu nenek.”
            “Apa dia?”
            “Aina ada plan untuk kenakan Haikal. Aina tahu nenek pasti marah sekarang ini.”
            “Plan apa?” Tengku Fauziah tiba-tiba berminat ingin tahu. Tak sia-sia akan ambil Aina bekerja. Pilihan aku memang tepat.
            “Aina yakin nenek pasti setuju dengan plan Aina.” Aina tersengih dan mengalihkan pandangannya pada Rina yang turut sama tersenyum.

                                    *************************************

            Haikal mengesat matanya beberapa kali. Dia merasakan ada cahaya yang memasuki kelopak matanya. Cahaya itu mengganggu tidurnya. Haikal membuka matanya perlahan-lahan. Dia menutup matanya kembali apabila cahaya itu memasuki matanya. Pedih. Haikal membuka sedikit kelopak matanya. Walaupun pedih, dia cuba membuka matanya. Macam mana ada cahaya matahari dalam bilik aku ni? Beberapa saat kemudian Haikal berjaya membuka matanya. Biliknya cerah. Haikal segera bangun. Langsir! Mana perginya langsir dalam bilik aku ni? Biliknya juga turut sama bersih dan kemas. Baran-barangnya juga tersusun rapi. Apa yang berlaku ini?
            “Akhirnya Tuan Haikal bangun juga. Ini sarapan tuan.” Aina meletakan dulang di atas meja kecil. Aina mengundurkan langkah beberapa tapak ke belakang. Sejak dari tadi dia menunggu sehingga Haikal bangun.
            Haikal menoleh apabila mendengar suara Aina. Renungannya tepat ke arah Aina. “Langsir? Mana langsir dalam bilik aku ni?” jerit Haikal. Mesti semua ini kerja perempuan ni! “Ini semua kerja kau kan!”
            “Ya.” Jawab Aina dengan jujur. Untuk merawat Haikal, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah Haikal mesti keluar dari bilik ini. Bilik yang selama ini menjadi dunia Haikal.
            “Aku mahu kau pasang balik langsir di bilik aku sekarang.” Tengking Haikal. Berania perempuan ini cari pasal dengan aku.
            “Maaf, itu tidak akan berlaku.”
            “Kau kena ingat aku ni majikan kau. Setiap arahan aku, kau mesti dengar. Jika tidak, aku akan pecat kau.” Ugut Haikal. Sakit hatinya bila wanita itu tidak menghormati dirinya.
            “Tuan Haikal nampaknya sudah salah faham. Saya bekerja untuk Mak Engkau bukannya Tuan Haikal. Gaji saya juga dibayar oleh Mak Engkau. Jadi, saya hanya menerima arahan dari Mak Engku sahaja.” Aina tersenyum puas. Ikutkan hati, nak saja aku ketawa bila tengok gelagat Haikal ini.
            “Kau!” Haikal segera mengambil cawan yang berisi air coffee yang dibawa oleh Aina tadi. Dia ingin membaling cawan itu pada Aina. Tiba-tiba tindakannya terhenti. Dia melihat cawan yang dipegang. Cawan plastic. Haikal mengetap bibirnya.
            “Kenapa tiba-tiba saja Tuan Haikal berhenti? Bukan ke hobi Tuan Haikal ialah membaling barang?”
            “Kau sengaja tukarkan semuanya plastic kan!” marah Haikal. Wanita ini berani mencabar tahap kesabaran aku.
            “Ya. Setiap hari bilangan cawan, gelas, pinggan dan mangkuk berkurangan disebakan oleh hobi baru Tuan. Jadi saya mencari jalan lain supaya masalah ini dapat dikurangkan dengan menggantikan ia dengan plastic. Kalau tuan rindukan barangan kaca, tuan boleh menjamu selera di ruang makan. Pasti Mak Engkau dan Puan gembira kerana dapat makan bersama tuan” Jawab Aina. Dia sengaja ingin menyakitkan hati Haikal.
            “Kau dengar sini baik-baik, aku takkan bertolak ansur dengan kau. Aku takkan melangkah keluar dari bilik ini walaupun rumah ini terbakar sekalipun. Aku tetap akan berada di dalam bilik ini. “
            “Cakap besar!” kata Aina. Tak akan keluar walaupun rumah ini terbakar! Kau ingat aku percaya ke semua tu. Huh…Aku bakar betul baru tahu
            “Apa kau cakap tadi?”
            “Ikut suka hati tuanlah. Yang akan lapar nanti bukan saya.” Aina terus melangkah keluar dari bilik itu. Langkahnya berhenti apabila keluar dari bilik itu. Aina berpaling. “Oh ya, saya terlupa nak beritahu tuan! Mulai hari ini saya tidak akan menghantar makanan untuk tuan lagi.”
            Haikal tersenyum apabila mendengarnya. “Kenapa? Nenek aku sudah berhentikan kau ke? Memang patut pun.”
            Giliran Aina pula tersenyum. “Maaf ye, tuan! Sangkaan tuan meleset sama sekali. Saya masih lagi berkerja dengan Mak Engkau.  Mak Engku yang bayar gaji saya. Saya mengikut arahan dari orang yang membayar gaji saya. Saya hanya menerima arahan dari Mak Engkau supaya tidak membawa makanan untuk tuan lagi bermula hari ini.”
            “Apa!” Haikal meninggikan suaranya. Sakit hati bila mendengarnya. Sanggup nenek layan aku seperti ini? Tak mengapa, aku tak kisah. Stok makanan aku banyak lagi. Kalau aku lapar, aku makan saja Maggie. “Aku tak kisah. Orang macam aku ni takkan kebuluran.”
            “Lega hati saya mendengarnya. Aaa….untuk pengetahuan tuan, makanan segera tidak elok untuk kesihatan terutamanya Maggie segera”
 Aina ketawa kecil sebelum berlalu pergi meninggalkan Haikal. Senyuman tidak lekang dari bibirnya. Puas hati aku sekarang ini.
            Dahi Haikal berkerut. Dia tercengang. Apa maksud dia tadi? Haikal berpaling kea rah sofa. Tempat dia menyembunyikan stok makanan. Dia berasa tidak sedap hati. Langkah diatur pantas. Sebaik sahaja tiba , Haikal menarik kusyen sofa. Tangannya dimasukkan ke dalam lubang. Kosong. Tiada apa-apa pun. Tangannya masih meraba. Memang benar tiada apa-apa. Wajah Haikal merah padam. Dia berpaling ke arah pintu.
            “Tak guna! Rupa-rupanya dia sudah ambil makanan aku. Patutlah dia tak mahu hantar makanan pada aku. Memang licik. Dia memang nak kena dengan aku.” Haikal membaling kusyen kea rah dinding. Kemarahannya tidak dapat dibendung lagi  Aku perlu ajar perempuan itu supaya dia sedar siapa bos di sini. Haikal mengatur langkah menuju ke pintu. Langkahnya terhenti. Dia menoleh dan terkejut. “Mana pintu bilik aku?” Haikal panic dan menoleh ke kiri dan kanan. Tiada. Haikal mengetap bibirnya. Ini mesti kerja perempuan tu. Ahhh…..memang nak kena ni. “Ibu! Ibu!” jerit Haikal memanggil ibunya.

                                    **************************************

            “Umi, Fazira mahu umi berhentikan Aina hari ini juga. Tindakannya dah melampau.” Marah Tengku Fazira. Sejak dari mula lagi, aku tidak menyukai budak perempuan itu. Nalurinya kuat mengatakan bahawa Aina mempunyai agenda tersendiri. Selepas Haikal menceritakan apa yang berlaku, inilah masanya untuk Aina diberhentikan.
            “Cuba Fazira beritahu umi apa yang berlaku?” Tengku Fauziah menanggalkan cermin matanya. Dia menutup fail laporan kewangan yang dibacanya sebentar tadi.
            “Umi tahu tak, Aina telah menanggalkan pintu bilik Haikal tanpa pengetahuan kita. Berani dia buat begitu pada Haikal. Dia dah lupa ke Haikal tu majikan dia.”
            “Tentang pintu bilik Haikal, umi yang arahkan Aina tanggalkannya.”
            “Umi!” Tengku Fazira terkejut dengan pengakuan ibunya.
            “Apa lagi yang Haikal beritahu Fazira tentang Aina? Cuba beritahu umi?” Tengku Fauziah masih berwajah tenang.
            “Aaa…Haikal juga beritahu yang Aina tak mahu menghantar makanan untuknya lagi. Dia nak Haikal kelaparan ke? Fazira mahu umi berhentikan Aina sekarang juga.”
            “Sebenarnya Umi yang suruh Aina jangan menghantar makanan pada Haikal lagi?”
            “Umi!”
            Tengku Fauziah  bangun dan menangkat kotak yang diberi oleh Aina. Kotak yang mengandungi stok makanan yang disimpan oleh Haikal selama ini. Apa yang berlaku sekarang ini adalah kerana anaknya terlalu manjakan Haikal. “Buka.”
            Tengku Fazira tercengang. Perlahan-lahan dia membuka kotak itu. Tengku Fazira menoleh pada ibunya. “Apa semua ini, umi?” Ada beberapa bungkusan Maggie dan beberapa botol air  mineral.
            “Hanya Haikal tahu tentang semua ini. Kali ini umi takkan membiarkan Haikal begitu saja. Berani Haikal menipu kita berdua selama ini. Dia tak terfikir ke siang dan malam kita bimbang akan kesihatannya tetapi tergamak dia membuat kita seperti ini.” Marah Tengku Fauziah. Setiap kali melihat kotak itu, darahnya mendidih.
            “Umi, Fazira tak faham. Kenapa Umi marahkan Haikal? Apa yang Haikal dah buat?” Tengku Fazira masih tidak mengetahui apa yang berlaku.
            “Barang-barang yang berada di dalam kotak ini adalah milik Haikal. Aishah dan Rina jumpa di dalam bilik Haikal. Dia sengaja menyumbunyikan semua ini dari kita. Patutlah selama ini Haikal kelihatan bertenaga sahaja walaupun dah nak hampir sebulan Haikal tidak menjamah makanan. Umi dah agak ada sesuatu yang tak kena. Rupa-rupanya selama ini dia makan makanan segera ini.” Tengku Fauziah mengluarkan salah satu dari bungkusan Maggie dengan kasar.
            “Mustahil Haikal buat semua ini. Lagipun Haikal tak suka makan makanan segera. Pasti Aishah ingin memerangkap Haikal.” Tengku Fazira masih berpihak pada anaknya.
            “Inilah sikap Fazira yang umi tak suka. Asyik berpihak pada Haikal. Setiap kesalahannya, Fazira hanya pandang sebelah mata. Kerana sikap Fazira, Haikal menjadi seperti ini. Selfish. Lihatlah, apa yang terjadi sekarang ini. Memberontak! Umi nak tanya Fazira sesuatu? Fazira mahu ke Haikal berkurung di bilik selama-lamanya? Setiap hari makan makanan segera. Fazira nak lihat Haikal seperti itu selama-lamanya. Memusnahkan dirinya sendiri. Fazira nak ke?” Tengku Fauziah meninggikan suaranya. Dia sudah tak tahan dengan sikap anaknya yang sering memanjakan Haikal. Setiap kehendaknya harus diikuti. Mulai sekarang, ini takkan terjadi. Haikal harus diajar dan dibentuk.
            “U…Umi….” Nada suara Tengku Fauziah bergetar. Perasaannya sebak. “Umi fikir Fazira suka ke dengan semua ini?”
            “Jika Fazira mahu Haikal sembuh, Fazira mesti setuju dengan setiap rancangan umi. Satu lagi, apa yang Aishah lakukan adalah kerana arahan umi. Ingat tu. Mulai sekarang, umi takkan bertolak ansur dengan Haikal lagi. Umi takkan berdiam diri dan melihat Haikal memusnahkan masa depannya sendiri hanya kerana perempuan tu.” Tengku Fauziah melangkah meninggalkan Tengku Fazira yang hanya diam membisu. Apa rancangan Aina selepas ini? Aku tak silap pilih orang. Aina adalah satu-satunya harapan aku.

                                    **********************************

            Aina terkejut apabila perjalananya dihalang oleh seseorang. Pandangan wanita itu hampir membuat jantungnya gugur. Macam ada sesuatu tak kena saja. Berdasarkan kepada pandangannya, ada sesuatu yang dia tak berpuas hati. “Aaa….Puan, ada apa-apa yang saya boleh bantu ke?”
            “Ya.” Tegas Tengku Fazira. Semakin hari aku semakin membenci wanita ini.
            “Apa dia, puan?”
            “Aku tak tahu apa yang kau dah hasut umi sehingga umi berpihak pada kau. Aku hairan. Kau sepatutnya tahu kedudukkan kau. Kau tu orang gaji, faham!”
            “Puan, saya tak tahu apa yang berlaku.”
            “Kau jangan nak berlakon di hadapan aku. Aku tahu kau ada agenda sendiri, kan.” Air muka Tengku Fazira serius.
            Aina menelan air liur. Kelat. Rahsia aku dah terbongkar ke? Nenek dah beritahu siapa aku yang sebenarnya ke? Tujuan aku ke sini?
            “Kau nak memikat anak aku kan?” kata Tengku Fazira tanpa berselindung lagi.
            “Apa!” Aina melopong. Matanya tidak berkelip memandang Tengku Fazira.
            “Orang macam kau dah ramai aku jumpa. Mencari jalan mudah untuk hidup senang kan. Kau ingat aku bodoh ke? Di saat pertama kali aku jumpa kau, aku dah tahu semua ini. Air muka dah jelas menyatakan segala-galanya. Dengar sini baik-baik!” Tengku Fazira mendekati Aina. “Jangan sesekali kau bermimpi nak menjadi menantu aku, kau tak layak. Cermin diri kau dulu. Kau tak setaraf dengan kami. Orang gaji…selama-lamanya akan menjadi orang gaji. Kau kena ingat tu!”
            “Saya rasa puan…..” Aina cuba menjelaskan sesuatu. Aku nak menjadi isteri Haikal. Tak pernah sesekali aku berfikir sejauh itu. Minta dijauhkan semua itu.
            “Aku belum habis cakap lagi. Jangan nak menyampuk.” Tengku Fazira meninggikan suaranya.
            Aina terdiam.
            “Aku akan memerhati setiap tingkah-laku kau. Sedikit saja kesilapan kau, aku takkan teragak-agak untuk menghalau kau dari rumah ini. Aku tak takut walaupun umi berpihak pada kau. Jadi kau perlu berhati-hati jika kau masih ingin bekerja di sini. Kau perlu buat jauh-jauh niat kau untuk menjadi anak aku sebagai batu loncatan. Last one, jangan cuba nak mengeruhkan hubungan umi dan Haikal. Aku tak mahu hubungan mereka retak disebabkan mulut kau. Faham.” Nada suara Tengku Fazira serius. Air mukanya menjelaskan segala-galanya. Aku akan sentiasa memerhati kau. Aku takkan membiarkan parasit macam kau melekat di badan Haikal.
            Aina menggelengkan kepala beberapa kali selepas Tengku Fazira jauh meninggalkan dirinya. Dia masih tidak percaya dengan amaran Tengku Fazira tadi. “Macam mana Puan boleh dapat idea yang aku ni nak menjadi menantu dua? Tak masuk akal langsung. Aaa…minta jauh semua tu! Haikal! eEeee…tak naklah. Patutlah nenek kata sikap Tengku Fazira juga membimbangkan dirinya. Sama seperti Haikal. Aku harap tugas aku selesai dengan segera. Aku tak mahu mencari masalah dengan orang lain.” Aina segera menyambung kerjanya. Plastik yang berisi sampah yang ingin dibuangnya digenggam erat.

                                    **********************************

            “Aril teringatkan buah hati ke?” usik Tan Sri Syed Abu Bakar. Dia mendekati dan dan melabuhkan punggungnya di sebelah Aril yang sedang berehat di balkoni di ruang tamu.
            Aril ketawa mendengar usikan dari datuknya. “Siapalah yang malang menjadi girlfriend Aril?”
            Malang! Cuba Aril beritahu atuk, siapa yang berani menolak cucu atuk yang handsome ni? Siapa?” Tan Syed Abu Bakar menepuk lembut bahu Haikal.
            “Mana mama?” soal Aril. Dia mencari kelibat ibunya. Selalunya asyik berkepit dengan atuk tetapi sekarang ini tiada pula.
            “Keluar! Lega hati atuk. Baru boleh bernafas.”
            “Ke mana?”
            “Atuk pun tak tahu. Sebelum itu, atuk lihat mama Aril bercakap dengan telefon dengan seseorang. Berbisik pulak itu. Atuk yakin dia sedang merancang sesuatu. Ahhh….bilalah mama Aril nak sedar? Semua ini tidak akan mendatangkan kebahagian. Ikutkan hati mahu saya atuk kurung mama Aril.” Ujarnya dengan nada suara geram.
            “Biarlah atuk! Aril yakin mama akan berhenti bila mama dah bosan. Aaa….atuk, Aril nak tanya sesuatu. Tentang Aina. Apa Aina nak buat dengan duit sebanyak itu?” Inilah soalan yang ingin ditanya selama ini. Kehadiran mama yang mengekori atuk menyukarnya untuk bertanya.
            “Derma untuk Rumah Anak-Anak Yatim Sri Harapan. Aina tak beritahu Aril ke?” tanya Tan Sri Syed Abu Bakar hairan.
            “Tak. Belum sempat Aina menjawab soalan Aril, tiba-tiba saja dia hangs up. Aril dapat merasakan ada sesuatu tak kena seperti Aina merahsiakan sesuatu dari kita.”
            “Maksud Aril?”
            “Aril tak tahu macam mana nak jelaskan pada atuk tetapi Aril rasa Aina merahsiakan sesuatu dari kita.” Nalurinya kuat mengatakan Aina sedang menyorokkan sesuatu dari pengetahuan mereka.
            “Entah-entah Aina sudah ada boyfriend.” Teka Tan Sri Syed Abu Bakar secara tiba-tiba.
            “Apa! Aina sudah ada boyfriend! Siapa? Siapa boyfriend Aina?” Datin Sharifah Mawar meninggikan suaranya. Dia terkejut mendengarnya. Siapa boyfriend Aina? Anak siapa?
            Tan Sri Syed Abu Bakar dan Aril terkejut apabila mendengar suara Datin Sharifah dari belakang mereka.
            “Abah! Siapa boyfriend Aina?” Datin Sharifah Mawar mula panic.
            “Bukan ke Mawar dah keluar tadi? Tertinggal barang ke” Tan Sri Syed Abu Bakar cuba mengubah topic perbualan.
            Dahi Aril berkerut. Teruklah jika macam ni! Mama pasti tidak akan melepas atuk kali ini.
            “Abah jangan nak cuba ubah topic. Siapa boyfriend Aina? Mawar dah agak abah mesti tahu sesuatu. Anak siapa? Namanya?” soal Datin Sharifah Mawar bertuba-tubi. Dia perlukan jawapan. Disebabkan dia terlupa untuk membawa dompetnya, dia mengambil keputusn untuk berpatah balik. Dia melihat ayah dan anaknya berbual di balkoni dan mengambil keputusan untuk mendengar perbualan mereka berdua.
            “Aril! Tahu kan?” Datin Sharifah Mawar berpaling pada Aril.
            “Aril tak tahu, mama!”
            “Atuk dan cucu sama sahaja. Berpakat” Datin Sharifah Mawar merenung mereka berdua. Sakit hati apabila memikirkan dirinya dipinggirkan.
            “Sumpah, mama! Aril tak tahu apa-apa pun. Atuk yang kata bukannya Aril.”
            “ Abah!” Datin Sharifah Mawar mengalihkan pandangan pada ayahnya.
            Tan Sri Syed Abu Bakar mengetap bibirnya menahan geram. Aril sengaja meletakkan batu dikepalanya. Pasti malam ini Mawar takkan melepaskan aku. Biar aku larikan diri dengan segera. “Aduh, tiba-tiba saja perut ni meragam. Abah minta diri dulu. Nak melabur sekejap.” Tan Sri Syed Abu Bakar bangun dan mengatur langkah dengan laju kerana bimbang diekori.
            ‘Abah! Berhenti! Jangan cuba nak melarikan diri dari Mawar. Abah!” jerit Datin Sharifah Mawar. Dia mengejar ayahnya yang semakin jauh darinya. Nak lari dari aku! Jangan haraplah. Aku nak jawapannya malam ini jugak.
            Aril ketawa melihat aksi kejar mengejar antara atuk dan mama. “Sorry ye, atuk! Esok pagi Aril ada meeting.  Kena bangun awal. Jika Aril tak buat macam ini, mesti malam ini mama kacau Aril.”  

2 comments:

aqilah said...

best....................

aida rya said...

"Aina mengeluarkan screwdriver dari poket seluarnya untuk membuka pintu itu.

Beberapa minit kemudian, pintu bilik itu berjaya di tanggalkan."

senang betul rupanya nak tanggalkan pintu..beberapa minit je,tu pn guna screwdriver..pintu rumah org kaya mmg senang nak ditanggalkan ke..?

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...