Saturday, October 22, 2011

Siapa Orang Gajiku? Bab 12

BAB 12

            Aril melangkah dengan kemas menuju ke kereta Ferrari Enzo berwarna putih miliknya. Dia memegang sebuah beg yang berisi baju ibunya. Dia balik ke rumah untuk mengambil beberapa helai baju ibunya. Kemungkinan malam ini mama akan bermalam di hospital. Atuk dah pun berada di sana. Langkah Aril terhenti. Deringan telefon bimbit miliknya memecah kesunyian di malam itu. Nama Aina tertera di skrin telefon Samsung Wave miliknya.
            “Assalammualaikum!”
            Aina menarik nafas lega sebaik saja mendengar suara abangnya. Sejak mendengar cerita Tengku Fazira, jantungnya berdegup kencang. Bermacam-macam perkara bermain di fikirannya. Jiwanya tidak tenang selagi tidak mengetahui keadaan ibunya sekarang ini. “Waalaikummussalam. Abang, bagaimana dengan mama? Is she all right?”
            “Fine!”
            “Mama jumpa dia ke?” soal Aina secara tiba-tiba. Dia dapat merasakan apa yang terjadi disebabkan oleh Tahir. Nama lelaki yang sangat dibencinya malah nama itu tidak mungkin dia akan lupa sepanjang hayatnya.
            Aril terdiam seketika. Dia hairan bagaimana Aina tahu. “Ya. Macam mana Aina tahu?”
            Ada sumber-sumber yang boleh dipercayai yang memberitahu Aina. Apa dia buat di sini? Apa dia nak dari ibu?”
            Aril mengeluh. Kepulangan Tahir kali ini menyebabkan luka yang pernah sembuh selama ini berdarah kembali. Jiwa yang kini tenang, bergelora kembali. “Dia nak buka cawangan syarikat perlancongannya di Malaysia.” Aril tidak memberitahu Aina yang Tahir ingin berjumpa dengan mereka berdua kerana dia tahu apa yang akan berlaku.
            “Kenapa tiba-tiba saja dia nak buka cawangan di sini? Nak menunjuk pada kita yang dia sudah kaye ke?”
            “I don’t know, sis. Mama terserempak dengan dia di Majlis Amal Mutiara malam tadi dan keadaan menjadi huru-hara. Nasib baik atuk ada. ” Datuk telah menceritakan segala-galanya padanya.
            “Sekarang abang di mana?”
            “Di rumah. Ambil beberapa barang keperluaan mama. Kemungkinan mama akan bermalam di hospital.”
            “Apa! Hospital mana? Nanti Aina datang jaga mama.”  Aina terkejut apabila mendengar perkataan hospital. Serius sangat ke? Aina mula bimbang. Dia tahu mama ada penyakit darah tinggi.
            “No. She’s fine. Esok mama dah boleh keluar hospital. Jangan risau. Tak ada apa-apa. Oklah, abang dah lambat ni. Mesti atuk tertunggu-tunggu. Lain kali abang akan call Aina lagi.” Aril tersenyum. Tangannya membuka pintu kereta Ferrari Enzo. Beg pakaian diletakkan di dalamnya.
            “Baiklah. Kirim salam pada mama dan atuk.”
            “Baiklah. Aina jaga diri baik-baik ye.” Pesan Aril sebelum menamatkan perbualan mereka berdua.
            Aina menarik nafas sedalam-dalamnya. Kini dia boleh bernafas. Aina mendongak ke langit. Tiada bintang pada malam ini. Awan gelap mula berarak menuju destinasi. Mungkin malam ni nak hujan. Hembusan angin di luar rumah itu membuat Aina membetulkan tudung yang dipakainya. Sejuk. Lebih baik aku masuk. Aina berpaling. Dia terkejut apabila Tengku Fauziah berdiri di belakangnya. Badannya kaku.
            “Sharifah Aina Aishah Bt Syed Ridzuan”
            Wajah Aina pucat. Dia menelan air liurnya. Kelat! Bagaimana nenak tahu nama penuh aku. Aina gelisah. Identitinya sudah terbongkar. Tiada secalit senyuman di bibir Tengku Fauziah. Serius.

                                    **************************************

            Aina berdiri tegak. Dia menundukkan kepala. Dia tidak berani bertentangan mata dengan Tengku Fauziah. Badannya seram sejuk. Pasti nenek marah sebab aku menipu siapa diri aku yang sebenarnya. Sudah hampir 5 minit, aku berdiri di sini. Nenek masih berdiam diri. Situasi ini membuat Aina berasa dirinya berada di tempat yang sempit. Suasan sunyi sepi di bilik bacaan itu. Aina menarik nafas sedalam-dalamnya. Dia perlu kekuatan untuk memecah kesunyian di antara mereka berdua. “Nenek, sebenarnya Aina…..”
            “Akhirnya Aina bersuara juga.” Tengku Fauziah tersenyum.
            Mulut Aina sedikit ternganga apabila melihat reaksi Tengku Fauziah. Tiba-tiba saja tersenyum.
            “Kenapa Aina tak beritahu nenek yang Aina merupakan cucu Tan Sri Syed Abu Bakar?”
            “Nenek kenal atuk?” Aina terkejut. Dia tak pernah tahu pun yang atuk mengenali Tengku Fauziah. Kebanyakkan kawan atuk adalah lelaki.
            “Kami sudah kenal lama. Arwah suami nenek dan atuk Aina berkawan sejak bangku sekolah lagi. Selepas arwah suami nenek meninggal, kami sudah jarang berjumpa lagi. Mungkin kerana Aina masih kecil pada waktu, Aina dah lupa yang Aina selalu datang ke rumah nenek bersama Aril. Kamu berdua adalah teman sepermainan Haikal ketika itu.”
            Dahi Aina berkerut. Haikal! “Maksud nenek, Aina dan Haikal pernah kenal sebelum ini?” Aina seolah-olah tidak percaya dengan apa yang didengarnya sebentar tadi. Aku dan Haikal!
            “Ya. Mungkin waktu tu, Aina masih kecil lagi. Aina tidak ingat semua itu. Selepas Aina mengikut keluarga Aina berhijarah ke New York,  kita sudah tidak berjumpa lagi tetapi nenek ada juga dengar cerita mengenai Aril dan Aina dari Abang Bakar.”
            Dahi Aina berkerut. Macam tak percaya saja yang dahulunya aku dan Haikal pernah berjumpa. Hmmm….Sebelum aku ke New York, umur aku 6 tahun.  Aina cuba mengingati. Memorinya semasa umur 6 tahun masih lagi samar-samar.
            “Mamee Monster.” Kata Tengku Fauziah secara tiba-tiba.
            Aina menggangguk kepalanya dengan laju. Dia sudah ingat. Mamee Monster adalah nama timangannya. Itu pun diberi oleh Haikal. “Jadi budak lelaki yang suka menangis tu adalah Haikal.”
            Tengku Fauziah tersengih.
            Aina menepuk tangannya beberapa kali. Ketawanya semakin kuat. Dia sudah mengingatinya. Memang kelakar bila mengenangkan kenangannya bersama Haikal semasa kecil dulu. Dia suka membuli Haikal. Apa saja katanya Haikal pasti akur dan mengikutnya tanpa membantah. Disebabkan itu, Aril selalu memarahi dirinya kerana membuli Haikal. “Aina ingat nenek!”
            “Jadi Aina sudah ingat.”
            “Ya! Ya! Tak sangka kami boleh berjumpa lagi.” Wajah Aina yang putih itu berubah merah. Cermin matanya ditanggalkan.
            “Setiap apa yang berlaku ada hikmahnya. Aaaa…nenek nak tanya sesuatu! Aina ada adik ke? Kamalia? Siapa Kamalia? Setahu nenek, kamu berdua saja anak Mawar.”
            Ketawa Aina tiba-tiba terhenti. Setiap kali mendengar nama Arwah Kamalia, darahnya seperti terhenti mengalir. Peristiwa yang pernah menimpa keluarganya tidak pernah dilupakan.
            Tengku Fauziah melihat perubahan wajah Aina. Aku sudah tersalah cakap ke?
            “Kamalia adalah kawan baik Aina sejak sekolah rendah lagi. Kami sangat rapat. Semasa Kamalia berumur 13 tahun, ibu bapanya meninggal dalam satu kemalangan jalan raya. Dia anak tunggal dan tiada saudara mara yang lain. Aina tak sampai hingga melihat dia tinggal di rumah anak-anak yatim. Jadi Aina mengajak Kamalia tinggal bersama kami. Atuk, mama dan abang pun tak kisah.” Aina cuba menahan sebak di hatinya. Aina cuba mengawal agar air matanya dari mengalir. Kisah Kamalia telah ditutup rapat selama 11 tahun tetapi hari ini kisahnya dibuka kembali. “Kami menjadi sebuah keluarga walaupun tiada pertalian darah. Kamalia seperti kawan dan adik pada Aina. Namun, Allah S.W.T lebih menyayangi Kamalia dari kami. Kami reda dengan permergian Kamalia, Nenek.” Kelopak mata Aina mula berlinangan. Aina menundukkan kepalanya.
            “Bumi yang kita pijak sekarang ni hanyalah pinjaman dari Allah S.W.T. Setiap makhluk di muka bumi ini pasti akan kembali. Dari mana kita datang dan di situlah kita akan kembali. Cuma kita saja yang tidak tahu bila?” nasihat Tengku Fauziah. Dia merenung lembut wajah Aina. Tetapi apa kaitan lelaki muda itu dan arwah Kamalia? Mawar seperti menyalahkan lelaki itu di atas kematian arwah Kamalia.
            Aina menggangguk kepalanya. Dia tahu semua itu. Pemergian arwah Kamalia telah diterimanya. Kenangan bersama Kamalia tidak mungkin aku lupa. Walaupun arwah Kamalia sudah tiada namun di hatinya, Kamalia masih hidup.
            “Aina tak mahu jumpa mama Aina ke? Nenek benarkan Aina bercuti esok untuk menjaga mama Aina.”
            “Mama dah okey, nenek! Abang tak benarkan Aina pergi kerana takut darah tinggi mama naik lagi.”  Aina tersenyum kelat.
            “Hmm…baiklah! Jika Aina nak cuti, beritahu saja pada nenek.”
            “Baiklah, nenek!” Aina tersenyum. Patutlah aku rasa seperti pernah berjumpa sebelum ini. Setiap kali berbual dengan nenek, hatinya tenang.
           
                                    ***********************************

            Tahir  bangun sebaik sahaja pintu rumah itu terbuka. Jam sudah menunjukkan pukul 1.30 pagi. Puan Sri Sarimah masuk dengan wajah yang keletihan. Hampir empat jam dia menunggu di ruang tamu untuk mengetahui keadaan Datin Sharifah Mawar. Dia bimbang jika terjadi sesuatu pada ibu Aril.
            “Mak Lang, bagaimana dengan auntie Mawar?”
            Puan Sri Sarimah merenung lelaki yang sedang berdiri tidak jauh darinya. Rupa-rupanya inilah Tahir yang sering diceritakan oleh Mawar selama ini. Tak sangka dunia ini begitu kecil. Dia tak sangka Julia yang merampas Tahir dari arwah Kamalia adalah anak saudaranya sendiri. Setiap apa yang berlaku pada arwah Kamalia. Dia tahu segala-galanya kecuali satu perkara sahaja iaitu dia tak tahu siapa sebenarnya Tahir dan Julia. Dia tak tahu bagaimana untuk berdepan dengan Mawar selepas ini.
            “kenapa Tahir nak tahu? Rasa bersalah ke?”
            “Mak Lang!”
            “Lupakan sahaja. Ikut saja nasihat Mak Lang, lebih baik Tahir dan Julia pulang ke UK secepat mungkin. Batalkan sahaja hasrat Tahir untuk membuka cawangan syarikat di sini.”
            “Kenapa, Mak Lang?” Julia tiba-tiba berada di situ. Sejak dari tadi dia menunggu suaminya di bilik namun Tahir masih juga belum naik ke bilik mereka.
            “Kenapa?” Puan Sri Sarimah meninggikan suaranya. Wajahnya serius menatap wajah anak tunggal abangnya. “Julia tahu tak siapa keluarga arwah Kamalia? Pengaruh Tan Sri Syed Abu Bakar tidak boleh dipandang remeh. Kamu berdua telah memberi  parut pada keluarga mereka. Kamu telah merampas Tahir dari arwah Kamalia, mustahil mereka akan melepaskan kamu berdua begitu saja lebih-lebih lagi Datin Sharifah Mawar.”
            “Mak Lang, Julia tak rampas sesiapa pun. Tahir yang pilih Julia. Bukannya salah Julia.”
            “Ya, memang Tahir berhak untuk memilih sesiapa pun. Tetapi kenapa Tahir masih mengganggu arwah Kamalia? Tahir sudah pun mengahwini Julia tetapi kenapa mesti mengganggu hidup arwah Kamalia lagi. Apa salah dia  sehingga Tahir memperlakukan sebegitu pada arwah Kamalia? Dia tidak bersalah.”
            Tahir terkejut. “Apa maksud Mak Lang? Kenapa Mak Lang dan auntie Mawar bercakap perkara yang sama? Tahir tak faham Apa yang Tahir sudah buat?.”
            Julia mula gelisah. Jika Tahir tahu, akulah yang mengganggu Kamalia selama ini. Pasti Tahir akan meninggalkan aku. Tak! Tahir takkan tinggalkan aku. Jika dia tinggalkan aku, dia akan rugi. Kemewahan yang dirasanya selama ini datangnya dari aku.           “Sebenarnya Mak Lang menyebelahi siapa? Mak Lang dah lupa ke siapa keluarga Mak Lang sekarang ini.” Julia bersuara. Dia mesti mengalih perhatian.
            Puan Sri Sarimah mendengus. Dia geram dengan sikap Julia. Tiada langsung wajah penyesalan. “Ya, memang kamu berdua adalah keluarga Mak Lang. Orang yang bersalah tetap juga bersalah walaupun mereka dari darah daging Mak Lang sendiri. Mak Lang hanya akan berpihak pada pihak yang benar.“
            “Mak Lang! Kematian arwah tiada kaitan dengan kami. Dah ajalnya awal dari kami.”
            “Julia!” jerit Puan Sri Sarimah. Dia menggeleng kepalanya beberapa kali. “Mak Lang tak sangka begini. Julia langsung tak hormat pada orang yang sudah tiada. Mak Lang kecewa dengan sikap Julia.” Puan Sri Sarimah terus berlalu pergi. Dia malas untuk bertekad dengan anak saudaranya lagi.
            “Julia, why did you talk like that to her? She’s your aunt.” Marah Tahir. Dia tak sangka Julia kurang ajar dengan ibu saudaranya sendiri.
            “What! I don’t care.” Julia geram apabila Tahir memarahi dirinya. “Kenapa abang nak tahu tentang Kamalia? Dia dah mati. Tiada kaitan dengan kita lagi.”
            “I need to know what happens to her. Abang nak tahu kenapa semua orang salahkan abang. Abang perlu tahu semua itu.” Tegas Tahir terus berlalu pergi dari situ.
            Badan Julia kaku. Tangannya bergetar. Tahir tak boleh tahu semua ini. Aku mesti fikir cara agar Tahir tidak berjumpa dengannya lagi. Tahir tak boleh tahu yang semua ini. Julia gelisah. Wajahnya pucat lesi.

                                 ******************************************

            Tan Sri Syed Abu Bakar membetulkan selimut yang membaluti tubuh anak tunggalnya. Semalaman Mawar tidur. Mungkin disebabkan oleh pil tidur yang diberi oleh Dr. Zakaria. Tan Sri Syed Abu Bakar mengeluh. Semalaman dia dan Aril tidak pulang ke rumah. Mereka bimbang kesihatan Datin Sharifah. Emosinya terganggu.
            Pintu bilik terbuka. Aril memasuki bilik itu sambil membawa bekalan sarapan pagi yang disiapkan oleh Mak Mah. Dia pulang ke rumah sekejap untuk mengambil pakaian datuknya.
            “Atuk! Mama belum bangun lagi ke?” Aril meletakkan barang yang dibawanya di atas meja yang disediakan. Matanya tepat melihat ke arah ibunya yang sedang terbaring. Sebelum dia melangkah masuk, Aina ada menelefon untuk bertanya khabar mengenai ibu mereka.
            “Belum. Biarlah! Aril, betul Aril tak tahu yang Tahir sudah pulang ke Malaysia?’
            “Ya, atuk! Is ada beritahu yang Tahir nak jumpa Aina dan Aril.Tak sangka pula yang Tahir dah pun balik ke Malaysia.”
            “Apa yang Tahir mahu lagi? Arwah Kamalia sudah tiada. Tiada sesiapa yang akan kacau kebahagiaan dia lagi. Tengok, sekarang ni! Apa sudah terjadi?” Tan Sri Syed Abu Bakar menoleh. Dia tahu Mawar begitu menyayangi arwah Kamalia. Jika ingin dibandingkan antara mereka bertiga, orang yang paling rapat dengan Mawar adalah Kamalia. Pemergian Kamalia benar-benar memberi tamparan hebat pada Mawar.
            “Aril dapat tahu yang Tahir ingin membuka cawangan syarikat pelancongannya di sini.”
            Tan Sri Syed Abu Bakar menggelengkan kepalanya beberapa kali.
            “Abah! Aril”
            Mereka berdua terkejut apabila mendengar nama mereka dipanggil.
            Datin Sharifah Mawar sudah sedar. Kepalanya masih pening. Dia melihat di sekelilingnya. Di mana aku sekarang ini? Dia cuba mengenalpasti di mana dia berada sekarang ini.
            “Mama!” Aril bergerak mendekati ibunya. Perlahan dia memegang lembut tangan Datin Sharifah Mawar.
            “ Di mana ni?”
            “Hospital, mama! Semalam mama pengsan.” Jawab Aril.
            “Pengsan!” Datin Sharifah Mawar terkejut. Dia cuba mengingati apa yang berlaku. Fikirannya masih kabur. Dahinya berkerut.         
            Aril mula gelisah. Pasti mama cuba mengingat apa yang berlaku malam tadi.
            “Tahir!” Bulat mata Datin Sharifah Mawar secara tiba-tiba.
            Aril dan Tan Sri Syed Abu Bakar terkejut.
            “Mana dia? Berani dia tunjuk muka dia di sini lagi!” Datin Sharifah Mawar meninggikan suaranya. Dia sudah ingat apa yang berlaku. Semuanya sudah jelas.
            “Stop it. Jangan diungkit lagi apa yang telah berlaku.” Tegas Tan Sri Syed Abu Bakar.
            “Apa! Abah mahu Mawar melupakan apa yang berlaku pada Kamalia begitu saja ke? Tak mungkin! Setiap saat, mustahil untuk Mawar melupakan semua itu. Abah sudah lupa ke? Siapa yang menyebabkan Kamalia meninggalkan kita? Siapa yang menyebabkan hidup Kamalia sengsara?” jerit Datin Sharifah Mawar. Dia geram apabila ayahnya tidak mengambil berat tentang apa yang terjadi pada Kamalia.
            “Abak tak lupa semua itu, Mawar!” Tan Sri Syed Abu Bakar mendekati anaknya yang mula menangis. “Tetapi siapa kita untuk menghukum orang lain, kita bukannya tuhan. Walauapa jua yang kita lakukan, arwah Kamalia takkan kembali lagi. Mawar kena sedar dan jangan terlalu mengikut hati. Ikut hati binasa, ingat tu.”
            “Jadi abah nak biarkan dia begitu saja. Lihat dia bahagia di atas kesengsaraan orang lain. Mawar takkan biarkan. Apa yang pernah dia lakukan pada Kamalia, Mawar mahu dia merasainya juga.”
            Aril tergamam. Mama masih berdendam dengan Tahir. Aril perasaan akan perubahan air muka datuknya.
            “Jadi Mawar mahu Tahir bunuh diri seperti mana yang arwah Kamalia telah lakukan, baru Mawar puas hati. Begitu ke yang Mawar mahu? Cuba beritahu abah!” marah Tan Sri Syed Abu Bakar.
            Datin Sharifah Mawar terkejut dengan kata-kata ayahnya. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Dia tak pernah terfikir sebegitu. Air matanya berhenti mengalir.
            “Jika begitu tiada bezanya antara Mawar dan Tahir!”
            Aril hanya mampu mendiamkan diri. Dia tidak berani untuk masuk campur. Jika atuk sedang marah, dia tidak berani untuk bersuara. Walaupun atuk sering bertolak ansur dengan mama tetapi hakikatnya inilah sikap atuk yang sebenar. Tegas.
            “Mawar…..” nada suara Datin Sharifah bergetar.
            “Pada 11 tahun yang lalu, kita sudah pun membincang perkara ini. Apa yang berlaku pada arwah Kamalia adalah ketentuan ilahi. Kita perlu terima takdir yang telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Kita tak boleh menyalahkan sesiapa dalam perkara ini. Apa yang telah berlaku, kita perlu terima dengan hati yang tenang. Semua kenangan pahit arwah Kamalia haruslah dilupakan, yang kekal hanyalah semua kenangan manis arwah Kamalia bersama kita. Itu yang sepatutnya kita ingat. “ tegas Tan Sri Syed Abu Bakar. Matanya tepat merenung anak mata anak perempuannya itu. “Selepas ini, abah tak mahu dengar semua ini lagi. Faham, mawar.”
            Perlahan-lahan Datin Sharifah Mawar menganggukkan kepala. Dia menundukkan kepalanya. Air matanya masih mengalir di pipi. Dia tidak berani untuk bersuara. Arahan abah perlu dipatuhi. Setiap kenangan bersama arwah Kamalia mula bermain di mindanya.
            Aril memegang bahu ibunya. Dia faham perasaan mama sekarang ini. Mungkin masa dapat mengubat mama melupakan semua ini. Ya,masa penentu segalanya. Ya, masa juga pengubat hati yang lara.

                                    *********************************

            Aina merenung Haikal. Dahinya berkerut. Dia tak tahu apa yang menyebabkan Haikal ketawa begitu kuat. Adakah permintaan aku ni lucu?
            “Tuan dengar tak? Fail ini sepatutnya Mak Engkau bawa untuk mesyuarat lembaga pengarah petang ni. Penting, tuan! Tuan mesti hantar fail ini pada Mak Engku.” Jelas Aina lagi.
            Kan lebih baik jika kau hantar sendiri! Kau kan orang kepercayaan nenek.” Haikal menggosak tayar kereta BMW Z4 miliknya. Bahagian yang kotor itu digosoknya beberapa kali.
            “Saya tak ada lesen memandu.” Bohong Aina. Walauapa yang terjadi, Haikal mesti hantar fail ini.
            “Naik saja teksi. Senang saja. Duit tambang teksi, kau claim kat nenek. Full stop.”
            “Tetapi tuan….”
            “Sudah! Kau jangan nak berdrama dengan aku di sini. Kau ingat aku tak tahu taktik kau!” Wajah Haikal serius. Dah banyak kali aku terperangkap dalam helah kau, sekarang tidak lagi.
            Aina terkejut dengan kata-kata Haikal. Dia dapat baca ke rentak aku? Teruk aku macam ni. Mata Aina meliar ke kiri dan kanan.
            “Selepas aku hantar fail ini, pasti aku tak boleh keluar lagi kan! Pasti nenek suruh kau untuk memastikan aku menghadiri mesyuarat ahli lembaga pengarah hari ini. Kau dah kenakan aku  dua kali, kau ingat aku ni bodoh sangat ke?” Haikal berhenti menggosok. Matanya dialihkan tepat pada Aina. Wajahnya serius.
            Aina menelan air liurnya. Kelat. Memang dia dah tahu.
            “Kau beritahu nenek. Aku akan berkerja jika aku rasa nak bekerja, faham.”
            Dahi Aina berkerut. Di dunia, ada lagi orang seperti ini. Tahu menghabiskan beras saja. Aina mengetap bibirnya. Macam mana aku nak beritahu nenek ni! Plan aku tak berjaya.
            “Kenapa kau tercegat di sini lagi? Aku nak basuh kereta. Pergi! Pergi!” Haikal menjeling. Dia tak senang dengan kehadiran Aina di situ.

                                    *****************************************

            Tengku Fazira mengeluh. Pandangannya tepat pada Haikal yang sedang duduk di sofa fabric dari Itali. Haikal begitu asyik menonton tv. Kehadirannya tidak dipedulikan. Apa nak jadi dengan  anak teruna aku ni? Kerja tak mahu. Asyik membuang masa saja.
            “Kenapa Haikal tak hadir dalam mesyuarat lembaga pengarah petang tadi?”
            “Malas.” Ringkas jawapan Haikal. Matanya masih tidak berganjak melihat drama yang ditayang oleh TV3.
            “Haikal dah lupa ke ? Haikal salah seorang dari board director. Sepatutnya Haikal turut sama hadir. Satu hari nanti Haikal akan mengambil alih tempat nenek. Haikal tak kasihan pada nenek? Dah tua tetapi masih bekerja.” Pujuk Tengku Fazira. Dia kasihan melihat ibunya.
            “Tengoklah macam mana nanti! Ibu, wanita yang bergaduh semalam adalah auntie Mawar ke?”
            “Haikal masih ingat dengan Mawar ke?” Tengku Fazira terkejut.
            “Tentulah ingat. Masa kecil dulu, auntie Mawar selalu bawa hadiah untuk Haikal setiap kali datang ke rumah kita. Atuk Bakar pun baik dengan Haikal.” Haikal masih ingat semuanya walaupun waktu itu dia hanya berumur 7 tahun.
            “Syed Aril.”
            “Of course. Abang Aril selalu tolong Haikal setiap kali dibuli.” Kata Haikal. Artikel mengenai Aril sering terpampang di dada akhbar dan majalah. Dia seorang usahawan yang berjaya.
            “Mamee Monster?” Tengku Fauziah bersuara. Dia baru saja pulang dari pejabat. Dia menutup pintu rapat. Kebetulan dia mendengar perbualan mereka berdua.
            Haikal membuat mimic muka sebaik sahaja nama itu disebut. Gegendang telinganya sangat sensitive apabila mendengar perkataan itu. “Huh, jangan disebut. Menyakitkan hati saja.”
            “Bukan ke semasa kecil dulu Haikal rapat dengan Aina! Ke mana saja Aina pergi, Haikal mesti ikut!” Tengku Fazira tersengih.
            “Masa itu Haikal kecil lagi, tak tahu nak fikir. Main ikut saja. Eee….Ada ke patut dia suruh Haikal pakai baju gaun perempuan? Make up lagi! Siap ikat tocang dua lagi. Ibu! Nenek! Malu Haikal dibuatnya. Bila difikirkan balik, macam mana Haikal boleh ikut saja cakap Mamee  monster tu.” Haikal menjuih bibir. Kenangan itu masih terpahat segar di mindanya. Memalukan! Menjatuhkan maruh aku sebagai seorang lelaki sejati. Aku harap selepas ini jangan aku jumpa dia lagi. Pasti dia akan ejek aku.
            Tengku Fazira dan Tengku Fauziah ketawa apabila mengingatkan peristiwa itu. Hampir pengsan mereka berdua melihat Haikal berpakaian seperti budak perempuan.
            “It’s not funny, you know!” Haikal geram melihat nenek dan ibu ketawa dengan kuat.
            Aina tersengih mendengar kata-kata Haikal. Rupa-rupanya dia masih ingat aku. Dari tadi dia mencuri dengar perbualan mereka bertiga. Hmmm….bukan ke aku ada simpan gambar tu! Aina tiba-tiba teringat sesuatu. Senyuman di bibirnya semakin lebar.

6 comments:

eija said...

xsbr nk tgu n3 lg.. Entah ap lah rcgan aina utk knakn arillll...hmm

Salina Azni said...

Kaki buli rupanya Aina masa kecik,ya... habis ler Haikal... nampak gaya, Aina nk buli Haikal lg... hehehe... baru padan muka Haikal... malas sgt nk keje... go Aina go...

zura asyfar said...

haha..kesian haikal tuh kena buli ngn aina..nk tgk jugak haikal pakai baju ppuan..hehe

aisy said...

hahahha..nakal btul la aina masa kecik..

arai said...

x sabar nk bc smbungan nyer

Eunhae DieLa said...

ble nk update lg citer nie..
xsabar nk bce chapter akn dtg

Post a Comment