Sunday, December 11, 2011

Siapa Orang Gajiku? Bab 20

BAB 20

            Aina mendekati Tengku Fauziah yang sedang berdiri di balkoni. Ada sesuatu yang menarik perhatian Tengku Fauziah sehingga tidak sedar akan kehadiran dirinya. Langkah diatur kemas. Aina berdiri di sebelah Tengku Fauziah. Pandangannya dialihkan ke arah yang sama dipandang oleh Tengku Fauziah.
            Haikal sedang duduk termenung di kerusi panjang yang terletak di tepi kolam renang. Dia tidak sedar bahawa dirinya diperhatikan.
            “He’s fine, nenek. Don’t worry about him. Dia tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalahnya.” Aina bersuara.
            Tengku Fauziah mengeluh dengan kuat.
            Aina faham di sebalik keluhan Tengku Fauziah. “Kepulangan Sofea di luar jangkaannya. Haikal perlukan masa, nenek. Sekarang, apa yang akan berlaku seterusnya terletak di tangan Haikal.”
            “Itulah yang nenek takutkan.”
            “Nenek takut Haikal akan menerima Sofea kembali di dalam hidupnya?”
            “Ya.”
            “Jika Sofea adalah jodoh Haikal, apa yang berlaku. Mereka tetap akan bersama.Jika itu adalah jodoh mereka”
            “I don’t like her.” Tegas Tengku Fauziah. Raut wajahnya berubah masam. Mendengar nama Sofea saja sudah dapat menaikkan kemarahannya.
            “Semua orang pernah melakukan kesilapan. Mereka akan berubah, nenek. Tiada sesiapa di dunia ni sempurna. Setiap orang ada kebaikkan dan keburukan termasuklah kita.”
            “Perempuan tu nak berubah. Jangan haraplah.” Kata Tengku Fauziah dengan nada sinis. Dia kenal sangat dengan perangai sebenar Sofea.
            “Nenek, tak baik nenek bercakap seperti itu. Jahat sangat ke Sofea tu?”
            “Hari ini pasti Aina berjumpa perempuan tu kan?” soal Tengku Fauziah. Dia tahu tentang kedatangan Sofea di pejabat Haikal.
            “Ya.”
            “Apa pendapat, Aina?”
            “Mereka berdua sepadan. Perfect.” Aina tersenyum lebar.
            “Huh, itu dari segi fizikal. Memanglah sepadan tetapi hati perempuan tu , ada Aina nampak?”
            Aina kaget.
            Tengku Fauziah tersenyum melihat reaksi Aina. “Hatinya busuk kan. Perangai dia lagi menyakitkan hati…Suka pandang rendah pada orang lain. Dia ingat taraf dia tinggi sangat ke?”
            Aina menelan air liurnya.
            ”Perempuan macam tu nak jadi isteri pada Haikal, tak payahlah. Baru bertunang dah buat hal, inikan pun nak berkahwin. Haikal tak mungkin akan bahagia.”
            “Memang perangai Sofea ada sikit kekurangannya tetapi boleh diubah. Ditegur! Aina yakin satu hari Sofea akan berubah. Mungkin Haikal akan dapat membentuk Sofea.”
            “Diri sendiri tak terbentuk, inikan pula nak bentuk orang lain pula. Baik, tak payah. Lain pula yang jadinya.”
            “Nenek!” Aina sudah mati akal. Kata-katanya tidak diterima langsung oleh Tengku Fauziah. Kemarahannya masih belum pudar lagi.
            “Kita jangan bincang tentang hal ini lagi. Nenek tak nak dengar.” Tegas Tengku Fauziah. Sakit hatinya apabila Aina menyebelahi Sofea. Kalaulah Aina tahu kenapa Sofea meninggalkan Haikal, pasti Aina faham kenapa nenek menghalang perhubungan mereka berdua.
            Aina melepaskan keluhannya. Dia hanya mendiamkan diri.Dia tak tahu menaikkan kemarahan Tengku Fauziah. Cara baik adalah mendiamkan diri. Aina melirikan matanya ke arah Haikal. Tingkah laku Haikal membuat Aina resah. Tiba-tiba sahaja wajah arwah Kamalia bermain di fikirannya.

                        ************************************************

            Aina mendekati Kamalia yang sedang terbaring di atas katil. Langsung tidak bergerak. Badannya kaku. Aina duduk di birai katil. Sejak balik ke Malaysia, Kamalia asyik mengurung dirinya. Tidak bercakap dengan sesiapa pun.  Suka menyendiri. Makanan dan minuman tidak disentuhnya. Aina risau.
            “Please, Kamalia! Jangan buat aku macam ni. Say something.”
            Kamalia masih mendiamkan diri. Tiada apa-apa reaksi.
            “Sehingga bila kau nak berkelakuan seperti ini? Sehingga bila? Kau tak kasihan ke pada mama, atuk dan abang Aril? Mereka susah hati dengan perangai kau sekarang ini. Don’t be selfish, Kamalia” Aina bersuara lagi.
            Suasana masih sunyi sepi. Aina membetulkan kedudukannya.
            “Kamalia, please! Hentikan semua ini. Abang Tahir tak mungkin akan kembali pada kau. Kau harus terima hakikat yang Abang Tahir bukan jodoh kau. Jodoh dan pertemuan semua itu di tangan Allah S.W.T.  Jangan seksa diri kau lagi.”
            Aina melepaskan keluhan dengan kuat. Sudah seminggu Kamalia berkelakuan seperti ini.
            “Apa yang kau sedang fikirkan sekarang ini? Cuba kau beritahu aku. Jangan kau pendamkan semuanya di dalam hati kau. Nanti ia akan memakan diri kau. Kau beritahu aku, Kamalia. Aku dah anggap kau seperti adik aku. Please, Kamalia.” Aina merayu. Air mata Aina menitis. Hatinya sayu melihat keadaan Kamalia. Kamalia sudah hilang semangat untuk hidup.
            Aina bangun dan duduk di sebelah Kamalia yang masih terbaring. Selimut membaluti tubuh Kamalia. Entah apa yang Kamalia buat di dalam selimut tu. Mama sudah tidak tahu nak buat apa? Bermacam-macam cara telah mereka lakukan tetapi keadaan Kamalia masih sama. Perlahan-lahan tangan Aina menyentuh lembut bahu Kamalia.
            “Kamalia! Cuba kau beritahu aku, apa yang kau mahu sebenarnya? Kau mahu Abang Tahir ke? Cuba kau beritahu aku, Kamalia? Jika kau mahu Abang Tahir, sekarang juga aku pergi ke Switzerland. Aku akan bawa Abang Tahir balik ke sini dengan apa cara sekali pun. Please, Kamalia. Say something. Cuba kau beritahu aku, Kamalia.? Aku sedih bila tengok kau macam ni?” Aina menangis. Air mata laju mengalir membasahi pipinya.
            “Kamalia!” sayu suara Aina memanggil nama Kamalia. . Hatinya sebak. Aina mengesat air matanya. Aina mengambil keputusan untuk menarik selimut yang membaluti tubuh Kamalia hingga kepala.
            Sebaik sahaja selimut itu ditarik, Aina terkejut melihat Kamalia yang menangis. Air matanya berlinangan membasahi pipi. Tangisan Kamalia semakin kuat.
            “Kamalia!” Air mata Aina juga mengalir deras. Apabila dia melihat Kamalia menangis, Aina turut saja menangis. Apa yang dirasai oleh Kamalia, dia turut sama dapat merasainya.
            Kamalia bangun dan terus memeluk Aina. Tangisannya semakin kuat. Dia memeluk Aina dengan erat.
            “Menangislah. Aku temankan kau.” Aina mengusap belakang Kamalia dengan lembut. Dia tahu apa yang Kamalia memerlukan sekarang ini adalah orang-orang yang menyayangi diri Kamalia. Aku berjanji Kamalia. Aku akan sentiasa berada di sisi kau hingga akhir hayat aku.

                        *********************************************

            “Jauh betul mengelamun? Tengah fikir nak beli nombor ekor ke?” Aina bersuara sebaik sahaja mendekati Haikal. Aina terus melabuhkan punggung di sebelah Haikal tanpa dipelawa.
            “Kenapa? Kau nak beli sekali ke?” balas Haikal sambil membuat mimic muka. Dia tahu Aina bergurau.
            Aina ketawa.
            “Kerja kau dah siap ke belum? Asyik nak curi tulang saja. Bila ibu aku tak ada, mulalah kau buat hal.” Bebel Haikal. Dah 2 hari, ibunya pergi melancong ke Paris. Mungkin depan baru balik.
            “Tentulah dah beres,tuan. Hmm…..banyaknya bintang malam ini.” Aina mendongakkan kepala. Dia kagum dengan ciptaan Allah S.W.T. Cantik. Aina tersenyum.
            “Hmm….Bintang dan bulan adalah teman setia pada waktu malam. Di mana ada bulan, di situlah juga bintang berada.” Haikal turut sama mendongakkan kepala.
            “Begitu juga hubungan antara lelaki dan wanita kan.”
            Haikal menoleh. “Apa maksud kau?”
            “Tuan faham dengan maksud saya.”
            “Maksud kau hubungan aku dan Sofea?” nada suara Haikal berubah tegas.
            “Ya. Hmm…Cik Sofea dah pulang ke Malaysia. Apa rancangan tuan yang seterusnya?”
            “Rancangan?” berkerut dahi Haikal.
            “Yalah….Sekarang ini, tuan ada dua pilihan. Pertama ialah menerima kembali Cik Sofea dalam hidup tuan. Atau! Pilihan kedua ialah memulakan kehidupan baru tuan tanpa Cik Sofea. So…apa pilihan tuan?”
            “Aishah! Kenapa kau suka sangat masuk campur dalam hal aku? Kau dah tak ada kerja lain ke?”Bulat mata Haikal merenung orang gajinya. Semua hal aku, kau nak masuk campur! Dah lebih ni.
            “Perkara yang ada kaitan dengan tuan adalah skop kerja saya. Saya hanya menjalankan tugas yang diamanahkan oleh Tengku Fauziah.”
            “Apa yang kau merepek ni, Aishah?”
            “Tuan tahu kan maksud saya.” Aina tersengih sehingga menampakkan barisan gigi putih yang teratur.
            “Apa yang kau nak dari aku? Cuba kau beritahu.”
            “Saya tak nak apa-apa dari tuan . Hanya satu perkara saja yang tuan perlu tahu.”
            “Apa dia?”
            “Jika tuan ada masalah, tuan beritahulah saya. Soal perasaan ke? Cinta ke? Kerja ke? Apa-apa sajalah! Tuan boleh beritahu saya tanpa segan silu. Hmm….tuan boleh anggap saya seperti kaunselor tuan.”
            “Kau kaunselor aku!” Haikal menuding jari ke arah Aina. Dia ketawa dengan kuat. Geli hati mendengarnya. Ada hati nak jadi kaunselor aku. “Kaunselor kampung.” Ketawa Haikal semakin kuat.
            Aina mengetap bibir. “Tuan, jangan pandang saya pada luaran sahaja. Pengalaman saya lebih banyak dari tuan. Semua asam garam hidup saya pernah lalui. Tuan jangan memperkecilkan kemampuan saya.”
            Gelak tawa Haikal mati secara tiba-tiba. “Ok! Baiklah, mulai malam ini aku melantik kau sebagai kaunselor aku.”
            “Bunyi macam tak ikhlas saja.”
            “Hish….banyak pulak kerenah dia. Hah, kau rasa apa yang bermain di fikiran aku sekarang ni?” soal Haikal secara tiba-tiba.
            “Tuan ingat saya ni Jean Grey ke? Watak kartun dalam X-Men. Boleh baca fikiran orang?”
            Haikal mengetap bibir. “Kau ni…..” Tangan kanan diangkat.
            “Baiklah.” Aina mengangkat kedua-dua belah tangannya. Aina tersenyum. Jika dibiarkan, tak pasal-pasal kepala aku ni diketuk oleh Haikal. “Tuan keliru kan! Keliru dengan perasaan tuan sendiri. Antara perasaan marah dan cinta kan.”
            Haikal tercengang. Kata-kata Aina ada kebenarannya.
            “Tuan masih marah pada Cik Sofea di atas apa yang berlaku tetapi pada masa yang sama tuan juga turut sama merindui Cik Sofea kan?” Aina mengangkat sebelah keningnya. Aina tahu Haikal sedang berperang dengan perasaannya sendiri.
            Mata Haikal terkebil-kebil merenung wanita bertudung biru itu.
            “Masalah tuan sekarang ini hanya tuan sahaja dapat menyelesaikannya. Perkara ini berkait rapat dengan masa depan tuan. Hanya tuan berhak menentukannya. Tengku Fauziah dan Tengku Fazira pun tak boleh masuk campur. Apa sahaja pilihan tuan, mereka perlu menghormatinya. Tuan harus mengikut kata hati tuan.”
            “Siapa kau yang sebenarnya, Aishah?” soal Haikal secara tiba-tiba. Pada mulanya dia fikir yang Aina sependapat dengan neneknya tetapi telahannya itu salah.
            Aina tersenyum lebar. “Saya kan kaunselor, tuan! Dah lupa ke?” Aina sengaja mengelak pertanyaan Haikal. Dia tahu maksud sebenar Haikal. Haikal sudah mula syak tentang diri aku. Biarlah. Aku pun dah nak pergi dari sini.
            Haikal ingin berkata sesuatu tetapi kehadiran Murni menyebabkan dia mendiamkan diri.
            “Kak Aishah, Mak Som panggil. Ada hal sikit di dalam tu.” Beritahu Murni.
            “Baiklah.” Aina bangun. Murni masih berdiri menanti Aina. “Tuan fikirlah baik-baik. Tuan harus jujur pada diri sendiri jika tidak tuan sendiri yang rugi.” Aina terus berlalu meninggalkan Haikal.
            Haikal memandang Aina. Dahinya berkerut. Sikap Aishah yang asyik berubah buat aku pening kepala. Siapa dirinya yang sebenar? Apa yang dia ingin sembunyikan dari aku? Apa rahsia antara nenek dan Aishah? Buat seketika, Haikal terlupa masalah dirinya.

                                    **************************************

            “Kak Aishah tunggu di sini sekejap. Murni terlupa nak beli sos tiram yang Mak Som . Jika tidak dibeli, bergoyang gegendang telinga ni mendengar leteran Mak Som. Kak tunggu di sini ye.” Pesan Murni.
            “Baiklah. Kak tunggu Murni di sini. Barang-barang tu letak saja di sini.” Aina mengambil beg plastic yang dipegang oleh Murni. Beg-beg plastic yang berisi barang keperluan dapur yang dipesan oleh Mak Som diletakkan di tepinya.
            “Kak tunggu ye.” Pesan Murni sekali.
            “Ya, kak tunggu. Murni ingat kak ni budak kecil lagi ke? Tak payah nak risau. Pergi masuk cepat. Beli barang yang tertinggal tu.”
            Murni tersengih sebelum melangkah masuk.
            Aina menunggu di pintu masuk Pasaraya Wah Tong yang terletak tidak jauh dari rumah Tengku Fauziah. Jika berjalan kaki hanya memakan masa selama 5 minit. Aina memerhati setiap orang yang melangkah masuk ke pasaraya itu. Pelbagai ragam manusia dilihatnya. Aina hanya mampu tersenyum melihat telatah kanak-kanak menangis akibat kehendaknya tidak dipenuhi oleh ayahnya.
            “Aina!”
            Aina kaku.
            “Aina kan!” Suara itu masih lagi kedengaran di telinganya.
            Aina tidak berani berpaling. Dia mengenai pemilik suara itu. Kenapa mesti aku berjumpa dengan dia? Dah tak tempat lain ke?Aina mengetap bibirnya. Dia mahu mengelakkan diri dari lelaki itu.
            “Aina!” tegur lelaki. Dia sudah berdiri di hadapan Aina.
            Aina cuba berlagak seperti biasa. Jika aku dapat menipu abang Iskandar, pasti dia pun akan tertipu juga.
            “Maaf, saya rasa awak dah tersalah orang.”
            Dahi Tahir berkerut. Tak mungkin aku tersalah orang. Walaupun penampilannya kini berbeza, tetapi aku yakin. Wanita ini adalah Aina. “Betul ke Aina tak ingat Abang Tahir lagi.” Tahir cuba menduga. Tujuan dia adalah untuk membeli barang keperluan dapur yang dipesan oleh isterinya. Tak sangka akan terserempak dengan Aina.
            “Maaf. Saya tak kenal encik pun.Saya yakin encik tersalah orang.” Aina cuba mengawal nada suara  Hish….orang kata tak kenal, tak kenalah. Tak faham bahasa ke? Sakit hati Aina. Dia bergerak sedikit . Jauh dari Tahir. Pandangannya dialihkan ke arah lain.
            “Abang tahu abang telah banyak buat salah pada keluarga Aina lebih-lebih lagi pada Kamalia. Abang tahu semua orang menyalahkan abang di atas kematian Kamalia tetapi abang masih tidak faham apa yang sebenarnya berlaku. Kenapa Aril,Auntie Mawar dan atuk menyalahkan abang? Abang masih tak faham. Gambar apa yang dicakap oleh Aril?”
            Aina menggenggam erat tangannya. Kata-kata Tahir sebentar mengembalikan ingatan mengenai penderitaan yang dialami oleh Arwah Kamalia. Masih berpura-pura tak tahu? Aina berpaling. “Tolonglah! Jangan nak berlakon di sini.Nak termuntah aku mendengarnya. Hentikan lakonan kau sekarang ini juga.”
            “Aina!”Tahir tergamam. Percakapan Aina begitu kasar. Tiada lagi perkataan abang meniti di bibir Aina. Hanya aku dank au.
            “Kau ingat dengan lakonan kau ni dapat mengaburi mata aku? Jangan nak berharap la. Tak mungkin aku akan melupakan apa yang berlaku. Apa yang terjadi pada arwah Kamalia, mustahil aku akan lupakan. Sehingga mati aku takkan lupa semua itu. Kenapa arwah Kamalia mencintai lelaki seperti kau? Aku tak faham. Selepas apa yang kau lakukan pada arwah Kamalia, kenapa arwah Kamalia masih mencintai lelaki tak guna yang bernama Tahir. Kau tahu tak, berapa lama masa yang diperlukan oleh arwah Kamalia untuk mengembalikan semangatnya. 6 bulan! 6 bulan! Kau dengar tak? 6 bulan! arwah Kamalia menderita kerana kau tetapi kau bahagia dengan perempuan tu. Di saat arwah Kamalia ingin memulakan kehidupan baru, kau hantar gambar pada arwah Kamalia. Manusia jenis apa kau ni? Kenapa kau busuk hati pada arwah Kamalia? Apa salah dia pada kau? Cuba kau beritahu aku?” Bulat mata Aina merenung Tahir. Aina tidak mempedulikan dengan pandangan orang yang keluar masuk ke pasar raya .
            “Gambar apa? Kenapa kau bercakap perkara yang sama seperti Aril? Gambar apa yang aku hantar pada arwah Kamalia?” soal Tahir. Dia sudah tidak dapat bersabar lagi. Gambar apa yang mereka cakapkan ni?
            “Ooo…dah lupa rupanya. Kalau kau nak, aku boleh bawa gambar tu dan lempar di muka kau. Mungkin pada waktu itu, kau akan ingat segala-galanya. Dah buat, tak berani mengaku pula. Lelaki dayus.” Sindir Aina. Hatinya sakit malah geram dengan sikap lelaki yang pernah dihormati dan disanjungnya pada suatu ketika dahulu.
            “Aina, abang berani bersumpah. Abang tak tahu langsung tentang gambar yang dicakapkan oleh Aina tadi. Abang tak pernah hantar apa-apa pun pada arwah Kamalia.  Jika boleh, abang sendiri nak lihat gambar tu.” Kata Tahir bersungguh-sunggu.
            Aina terkejut dengan reaksi Tahir. Air muka Aina berubah. Aina merenung Tahir untuk mencari kepastian. Dahi Aina berkerut memikirkan sesuatu. Jika bukan dia yang hantar, habis tu siapa? Julia! Julia. Tiba-tiba nama itu terlintas di fikirannya. Aina memejamkan matanya beberapa saat. Kenapa aku tak fikir semua itu? Aina membuat matanya. Dia lihat lelaki itu sedang menanti sesuatu.
            “Aina!” Tahir hairan dengan sikap Aina yang mendiamkan diri. Reaksinya sama seperti Aril. Apa yang sebenarnya berlaku? Aku perlu tahu semuanya. “Cuba ceritakan hal sebenarnya pada abang! Apa yang sebenarnya berlaku? Kenapa reaksi Aina sama seperti Aril? Apa yang cuba disembunyikan oleh Aril dan Aina? Jika perkara ini berkaitan dengan abang, abang mesti tahu.” Pujuk Tahir.
            “Baliklah!” nada Aina sudah berubah. Tidak kasar lagi. Jadi abang dah tahu siapa dalang yang sebenarnya dalam hal ini. Kenapa? Kenapa abang tak beritahu aku? Aku mesti jumpa abang. Aina bertekad.
            “Please, Aina! Tell me the truth. What’s going on here?”Tahir masih tidak berputus asa.
            “Kak Aishah! Apa halnya ni?” Murni tiba-tiba berada di situ. Dia sudah selesai membeli barang. Dia hairan dengan kehadiran lelaki itu. Siapa? Apa sebenarnya berlaku?
            “Tiada apa-apa, Murni! Jom balik, Dah lewat ni.” Aina terus mengambil beg plastic yang berada tidak jauh darinya. Aku perlu beredar dari sini segera. Jika tidak pasti Murni akan syak sesuatu. Aina menarik tangan Murni agar mengikutinya beredar dari situ dengan kadar segera.
            Murni terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Hanya akur dengan permintaan Aina.
            “Wait, Aina!” Tahir terlebih dahulu memegang lengan Aina. Dia menghalang Aina dari beredar dari situ.
            “Baliklah! Lebih baik kau balik. Kau jagalah keluarga kau dengan baik terutamanya isteri kesayangan kau tu.” Nasihat Aina sebelum menarik lengannya yang dipegang oleh Tahir. Langkahnya diatur pantas meninggalkan Tahir yang masih kaku berdiri di situ. Aina menarik nafas lega.

                                                *******************

            Haikal mendekatkan telinga pada dinding yang menjadi dinding pemisah di antara ruang makan dan dapur. Niatnya untuk menyuruh Mak Som menyediakan air kopi terbantut apabila  mendengar nama Aina disebut oleh Murni. Haikal ingin tahu apa yang sedang dibualkan oleh mereka berdua.
            “Apa sebenarnya yang berlaku ni? Kenapa Aishah tergesa-gesa keluar dari rumah? Wajahnya pucat lesi. Kamu berdua bergaduh ke?” soal Mak Som bertubi-tubi.
            “Tak baik tuduh Murni macam tu. Kami tak bergaduh pun tetapi…….” Murni teragak-agak untuk menceritakan apa yang berlaku sebenarnya. Perlukah aku beritahu apa yang berlaku di pasar raya sebentar tadi?
            “Tetapi apa? Ceritalah cepat.” Mak Som meninggikan suaranya.
            “Selepas Murni selesai membeli barang, Murni nampak Kak Aishah bercakap dengan seorang lelaki. Wajah mereka serius sangat. Mereka seperti bergaduh pada waktu itu.”
            “Siapa lelaki tu?” soal Mak Som ingin tahu.
            “Tak tahu. Murni tak berani nak tanya. Wajah Kak Aishah masam saja semasa berjalan pulang. Dia tidak bercakap walau sepatah pun. Murni tak pernah tengok Kak Aishah seperti itu.”
            Dahi Mak Som berkerut. Setahu aku, Aishah seorang diri di Kuala Lumpur. Ahli keluarganya berada di Johor. Nak kata ada boyfried, mustahil. Aina jarang keluar dari rumah.
            “Bila Kak Aishah nampak Murni, Kak Aishah terus mengajak Murni balik. Pada masa yang sama lelaki itu memegang tangan Kak Aishah, Kak Aishah menempis tangan lelaki itu. Kak Aishah kata seperti ini. Baliklah. Lebih baik kau balik. Kau jagalah keluarga kau dengan baik terutamanya isteri kesayangan kau tu.” Murni mengulangi kembali kata-kata Aina pada lelaki itu.
            “Isteri!” Mak Som terkejut.
            “Ya. Mungkinkah Kak Aishah ada hubungan dengan suami orang?”
            “Hish…jangan buat cerita yang bukan-bukan. Aishah tu budak baik. Dia takkan merosakkan kebahagiaan rumahtangga orang.”
            “tetapi Mak Som…..Kita mengenali Kak Aishah hanya 4 bulan sahaja.”
            “Dah…Sudah! Mak Som tak nak dengar lagi. Hal ini hanya di antara kita saja. Kita tak tahu apa sebenarnya yang berlaku. Jangan buat telahan yang bukan-bukan. Lain pulak yang jadinya selepas ini. Mulut tu kunci, faham!” tegas Mak Som,
            Murni hanya menganggukkan kepalanya.
            Haikal mengetap bibir. “Suami orang!”  Wajahnya serius. Haikal mendengus. Tak ada lelaki lain di dunia ni sehingga mencari suami orang untuk dijadikan teman lelaki. Aku tak sangka kau seperti ini, Aishah. Kepercayaannya Haikal hancur. Siapa lelaki itu? Ke mana kau pergi? Aku yakin kau mesti berjumpa dengan kekasih kau kan. Haikal mula beredar dari situ. Perasaan marah membara di hatinya. Haikal tidak sedar bahawa perasaan cemburu telah terbit di hatinya.

7 comments:

Lynn5346 said...

best!! sambung cepat pls..tak sabar nak tahu kisah seterusnya! good job! :D

hazirah izzati said...

wahh!! bestnyerr... Haikal dah start falling in love with Aina ke???

eija said...

wahhh haikal dh ad bunga2 cmburu.. Nie yg xsbr nie..
Nape lah lambat sgt nk tgu n3 br..dr pgi sbtu sy asyk jguk cni jer..
Nsb baik ari nie ad n3 nya.. Thx yek penulis..

Salina Azni said...

Apasal ler Aina n Aril tk nk bgtau gmbr apa kt Tahir? bila ler masalah nk selesai kalau asyik main tarik tali mcm tu... Haikal pun dh salah faham... jgn Haikal terima Sofea semula, dh ler...

Makanan Kesihatan said...

wahhh..best en3 kali ni..haikal dh jeles la. gmbr ap agknyer yg kamilia dpt..curious ni..heheeh

arai said...

best...best.....best....
x sabar nk tunggu smbungannya....
hahahaha.......haikal dh mula jeles.......

aqilah said...

yup!!! makin lama makin best!!!!!!!!
i followwwwwwwwwwwww

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...