Saturday, December 17, 2011

Siapa Orang Gajiku? Bab 21

BAB 21

            Aina menolak pintu bilik Aril dengan kasar.Matanya tepat dihalakan ke arah Aril yang sedang membaca majalah di sofa yang terletak di tengah-tengah bilik Aril.
            Aril terkejut dengan kehadiran Aina. Matanya terkebil-kebil merenung wanita yang tiba-tiba menerjah masuk ke dalam biliknya. Macam aku pernah jumpa saja wanita ini? Aril berfikir seketika.
            “Abang!” jerit Aina secara tiba-tiba. Sebaik sahaja kakinya menjejakkan kaki di rumah banglo mewah, kakinya pantas menuju ke bilik Aril yang terletak di tingkat 2.
            “Aina!” Aril tidak percaya dengan penampilan adiknya. Aril menutup majalah yang dibacanya dan bangun menghampiri Aina. “Wah, patutlah abang tak kenal. Lain betul adik abang sekarang ni.” Aril tersengih. Dia gembira dengan perubahan diri Aina. Satu permulaan yang baik. Tiba-tiba air muka Aril berubah. “Bagaimana Aina masuk ke sini? Aina tak terserempak dengan mama ke?”
            “Tak. Itu semua tak penting. Yang penting sekarang ini adalah mengenai Julia.” Tegas Aina. Wajahnya serius. Tiada secalit senyuman di bibir Aina.
            Aril tergamam. Dia mulai berasa tidak sedap hati apabila nama Julia disebut oleh Aina. Adakah Aina telah mengetahui perkara yang sebenar?
            “Kenapa abang tak beritahu Aina tentang perkara sebenar? Aina yakin abang tahu semua ini kan!”
            “Aina! Biar abang jelaskan semua ini.”
            “jelaskan apa lagi? Atuk? Atuk tahu ke semua ni!” Tiba-tiba Aina teringat datuknya. Mustahil atuk tak tahu. Antara abang dan atuk tiada rahsia. Mata Aina mula berair.
            “Ya.” Jawab Aril dengan nada perlahan.
            “Kenapa abang tidak beritahu Aina tentang kebenaranya? Kenapa harus abang sembunyikan perkara ini dari pengetahuan Aina? Aina berhak tahu abang.” Tegas Aina.
Air matanya masih mengalir laju membasahi pipinya.
            “Abang tak tahu mahu hati Aina dan mama terluka lagi. Selepas apa yang berlaku, abang tak mahu  kisah lampau arwah Kamalia  menghantui jiwa Aina dan mama. Cukuplah apa yang berlaku beberapa tahun yang lalu.”
            “Jadi abang yakin keputusan abang ni tepat. Jika Aina tidak terserempak dengan lelaki pagi tadi, pasti Aina tak tahu semuanya.”
            “Aina terserempak dengan Tahir?’ Aril terkejut.
            “Ya. Dia tak tahu apa-apa. Gambar yang diterima oleh arwah Kamalia selama ini tiada kaitan dengan dia. Rupa-rupanya dalang sebenar dalam hal ini ialah Julia. Julia!” Aina meninggikan suaranya. Lukanya berdarah kembali. Perasaan bencinya pada Julia semakin dalam.
            “Shissss…..perlahan sikit suara tu. Jika mama dengar, teruk kita nanti.” Nasihat Aril. Aril bimbang jika suara Aina didengari oleh mama. Wajah Aril pucat lesi.
            “Salah ke jika mama tahu semua ini!” Datin Sharifah Mawar masuk ke dalam bilik Aril secara tiba-tiba. Wajahnya masam. Dia telah mendengar segala-galanya. Dari mula hinggalah akhir. Semasa dia menuruni anak tangga menuju ke tingkat 1, dia terdengar suara Aina.
            “Mama!” serentak mereka berdua bersuara. Mereka berpandangan antara satu sama lain.

“Jadi perempuan tu yang menyebabkan kematian Kamalia. Perempuan tak tahu malu. Sepatutnya dari dulu mama hancurkan keluarga dia, biar mereka papa kedana. Miskin! Merempat di kaki lima. Jika atuk kamu berdua tak masuk campur, dah lama perempuan itu terima balasannya.”
“Mama, calm down!” Aina mendekati Datin Sharifah Mawar. Dia mula bimbang.
Aina mengamati wajah ibunya.
            “Aina masih mahu mama bertenang. Selama ini kita ingat Tahir yang menyebabkan kematian Kamalia tetapi hakikatnya perempuan tu yang menyebabkan Kamalia pergi meninggalkan kita. Jika bukan kerana perempuan tu, pasti Kamalia masih berdiri bersama kita di sini. Selagi mama tidak bersemuka dengan perempuan itu, hati mama tak mungkin akan tenang.” Tegas Datin Sharifah Mawar. Dia terus mendail no telefon sahabatnya, Puan Sri Sarimah.
            “Sarimah! Aku perlukan bantuan dari kau. Aku mahu alamat terbaru Tahir.” Kata Datin Sharifah Mawar secara tiba-tiba. Dia segera melangkah keluar dari bilik Aril.
            Aina memalingkan wajahnya. “Abang, call atuk. Biar Aina ikut mama.”
            “Baiklah!”
            Aina segera berlalu keluar mengekori ibunya. Perkara yang selama ini cuba dielakkan akan juga berlalu. Aina resah. Jantungnya berdegup kencang. Langkahnya diatur pantas mengekori ibunya.

                                    *************************************

            Julia terkejut dengan kehadiran tetamu yang tidak diundang itu. Dia bangun. Wajahnya masam. Kehadiran wanita itu tidak dialu-alukan. “Bagaimana kau masuk ke sini, hah!” kata Julia dengan kasar.
            “Kenapa? Kenapa kau takut aku datang ke rumah kau? Oh ya…aku tahu sebabnya, kau takut rahsia yang selama ini kau simpan diketahui oleh suami kau kan!” Datin Sharifah Mawar meninggikan suara.
            Julia tergamam. Pandangannya dialihkan pada wanita muda yang bertudung litup itu. Aku pernah jumpa wanita ini sebelum ini. Siapa? Otaknya ligat berfikir. Oh ya, inilah Aina. Adik Aril dan juga sahabat baik Kamalia.
            “Aku dah tahu segala-galanya. Tiada satu pun yang tertinggal. Dahulu kau boleh perbodohkan keluarga aku tetapi tidak sekarang. Hari ini aku nak ajar kau. Aku nak kau ingat balik siapa kau yang sebenarnya. Kau dah rampas Tahir dari Kamalia? Kau ragut kegembiraan dan kebahagian Kamalia. Kau dah dapat segala-galanya tetapi kau masih tidak puas hati. Sekarang ni, kau dah ragut nyawa Kamalia! Dah puas hati kau sekarang ni?” jerkah Datin Sharifah Mawar.
            Bibir Julia bergerak sedikit. Dia terkejut dengan suara Datin Sharifah Mawar. “Kau ceroboh masuk rumah aku selepas itu kau tuduh aku yang bukan-bukan. Kau ingat aku takut pada kau ke? Aku boleh buat laporan polis. Biar kau merangkuk dalam penjara.”
            “Polis! Sekarang ni kau berani nak melibatkan polis dalam hal ini. Hey, kau tu budak mentah. Sedarlah diri tu. Kau ingat aku suka sangat nak datang ke sini? Jika tidak disebabkan Kamalia, tak ingin aku ada di sini.” Datin Sharifah Mawar menunding jari ke arah Julia. Budak ni memang kurang ajar. Langkahnya diatur mendekati Julia. “Apa tujuan kau hantar gambar tu pada Kamalia? Cuba kau beritahu aku.”
            “Gambar apa? Gambar apa yang kau merepek ni?” Wajah Julia berubah pucat lesi. Dia tidak berani menatap anak mata Datin Sharifah Mawar.
            “Kau jangan nak berlakon di hadapan aku! Aku benci orang yang hipokrit. Selama ini kau adalan pengirim tu kan sebab suami kau tak tahu langsung tentang gambar-gambar yang dihantar pada Kamalia. Betul kan! Jika kau masih lagi tak mahu mengaku, aku tak paksa tetapi aku sendiri akan bersemuka dengan suami kau. Aku mahu suami kau tahu apa yang kau telah lakukan pada Kamalia.”ugut Datin Sharifah Mawar.
            “Kau……”
            “Kau ingat aku tak berani ke? Kau dah hancurkan hidup anak aku. Tak mungkin aku akan biarkan kau hidup senang.” Renungan tajam tepat pada Julia.
            Aina mengeluh. Keadaan semakin genting. Aina resah. Mana abang dan atuk ni?
            “Jadi sekarang ni kau nak ugut aku disebabkan oleh Kamalia. Kerana gambar-gambar tu, kau nak tuduh aku yang bukan-bukan. Kamalia mati disebabkan ajalnya awal. Tiada apa-apa kaitan dengan aku.” Kata Julia dengan nada angkuh. Tiada sedikit pun wajah sesalan.
            “Kurang ajar!” Satu penampar hinggap di pipi Julia. Nafas Datin Sharifah Mawar turun naik. Sakit telinganya mendengar kata-kata yang keluar dari bibir Julia.
            “Mama!”  Aina terkejut dengan tindakan ibunya sebentar tadi.
            Puan Sri Sarimah yang baru tiba telah menyaksikan segala-galanya. Dia menghampiri sahabat baiknya. “Mawar, apa kau dah buat ni?”
            Pertanyaan Puan Sri Sarimah tidak dipedulikan oleh
            Julia memegang pipi yang masih sakit. Pedih. Matanya berair.
            “Auntie!” Tahir terkejut melihat apa yang berlaku. “Saya tahu yang auntie bencikan saya tetapi auntie tiada hak menampar isteri saya. Dia tiada kaitan dalam hal ini.” Marah Tahir. Dia geram apabila isterinya dilayan seperti itu.
            “Tiada kaitan, kau kata!” Datin Sharifah Mawar meninggikan suaranya. “Kamalia mati disebabkan oleh gambar yang dihantar oleh isteri kau.”
            “Gambar!” Air muka Tahir berubah. Gambar ! Gambar apa? Kenapa Aril, Aina dan Auntie Mawar bercakap perkara yang sama? Apa yang sebenarnya yang aku tak tahu selama ini.
            “Aku dah agak kau pasti tak tahu apa-apa kerana semua ini kerja isteri kau.” Datin Sharifah Mawar tersenyum sinis.
            Tahir memandang ke arah Julia. Renungan itu tajam pada Julia masih berdiri kaku disebelahnya.
            Tiba-tiba Julia memegang lengan suaminya, Julia mula panic. Dia takut rahsia yang disimpan selama ini terbongkar. “Abang, jangan dengar cakap perempuan tu. Dia sengaja nak menghancurkan keluarga kita. Julia tak tahu langsung apa yang dia sedang cakapkan.” Julia berbohong. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi keluarganya.
            “ Ooo….Pandai betul kau berbohong. Kau ingat aku datang ke sini dengan tangan kosong ke? Kau silap.” Datin Sharifah Mawar mengambil sesuatu di dalam beg tangan Bonia. Beberapa kepingan gambar dikeluarkan dan dilempar pada Julia dan Tahir. Gambar itu bertaburan di atas lantai.
            Aina terkejut besar. Macam mana mama tahu di mana aku simpan gambar tu? Dia sengaja menyembunyi gambar itu dari ibunya. Dia tak mahu hati ibunya terluka lagi.
            Bulat mata Tahir melihat gambar-gambar yang bertaburan di atas lantai. Tahir mengambil sekeping gambar itu dengan perlahan-lahan. Anak mata Tahir masih tidak berkelip. Tangannya bergetar. Gambar ini diambil untuk dijadikan koleksi peribadi mereka berdua. Hanya mereka berdua sebagai bukti keagungan dan ketulusan cinta mereka. Tetapi bagaimana gambar-gambar ini boleh berada di tangan Auntie Mawar?
            “Sekarang ini bukti sudah berada di depan mata! Kau masih nak menipu lagi ke?” marah Datin  Sharifah Mawar.
            Tahir berpaling ke arah Julia. Tahir mengetap bibir.
            “Cuba kau beritahu kami semua, apa tujuan kau hantar gambar ini pada Kamalia? Apa lagi yang kau tidak puas hati. Kau dah dapat Tahir dan cintanya? Apa lagi yang kau mahu lagi dari Kamalia?” jerkah Datin Sharifah Mawar.
            “Mama! Stop it!” Aina memegang tangan ibunya. Aina tak mahu keluarga Tahir berpecah-belah kerana ibunya.
            “Apa maksud semua ini, Julia? Apa semua ni?” Kini giliran Tahir meninggikan suaranya. Dia perlukan jawapan.
            Julia tergamam. Selama mereka berkahwin, Tahir tidak pernah meninggikan suaranya. Inilah pertama kali Tahir bersikap seperti itu. Hati Julia sakit. Sakit apabila dilayan seperti itu lebih-lebih lagi di hadapan orang lain. Maruah diri Julia terguris.
            “Why, Julia? Why did you do this to Kamalia? Why? Dia tak pernah buat apa-apa pada kita.” Mata Tahir berair. Dia kecewa dengan sikap isterinya.
            “Because you love her more than me.” Jerkah Julia.
            Tahir terkejut.
            “Abang tahu tak apa perasaan Julia, setiap kali mendengar nama Kamalia disebut oleh abang ketika abang sedang tidur. Abang meracau-racau memanggil nama Kamalia. Abang beritahu yang abang hanya mencintai Julia seorang saja tetapi hakikatnya di dalam hati abang, hanya ada Kamalia. Kamalia!” Julia menangis. Dia merenung suaminya.
            “Abang….abang……” Tahir gagap.
            “Ooo….disebabkan cemburu, kau sengaja hantar gambar-gambar tak senonoh ni pada Kamalia!” Datin Sharifah Mawar mencelah.
            “Ya!” jawab Julia tanpa berfikir panjang.
            “Jadi kau rasa tindakan kau betul?”
            “Ya. Aku nak Kamalia tahu yang kami bahagia. Aku mahu hati Kamalia sakit seperti yang aku rasa.”
            “Kau!” Datin Sharifah Mawar cuba untuk mendekati Julia tetapi berjaya dihalang oleh Aina.
            “Mama! Cukup, mama! Arwah Kamalia dah tiada. Apa guna mama buat semua ni lagi? Perkara dah lama berlalu. Just forget it.” Tegas Aina.
            “Lupakan saja!” Bulat mata Datin Sharifah sebaik saja mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Aina. Dia kecewa dengan sikap anaknya. “Aina dah lupa ke? Dah lupa bagaimana Kamalia mati?” jerkah Datin Sharifah Mawar.
            Air mata Aina mengalir membasahi pipinya. Mustahil aku akan lupa semua itu. Aina mengesat air matanya.
            Datin Sharifah Mawar berpaling ke arah mereka berdua. “Kau nak tahu bagaimana Kamalia mati? Kau mesti nak tahu kan! Dia mati bunuh diri disebabkan perasaan cemburu kau tu. Dia mati disebabkan kau, Julia!”  Air mata Datin Sharifah deras mengalir. Setiap kali mengingatkan peristiwa itu, hatinya sebak.
            Tahir dan Julia tercengang.
            Bibir Tahir bergetar. Betul ke dengan apa yang didengarnya sebentar tadi? Tahir memandang ke arah Aina untuk kepastian tetapi Aina memandang ke arah lain. Tahir mengalih pandangannya pada Puan Sri Sarimah.
            “Betul, Tahir! Apa yang dicakap oleh Mawar adalah benar.” Puan Sri Sarimah bersuara.
            Julia meletakkan kedua-dua belah tangan di mulutnya. Dia tidak percaya dengan apa yang diberitahu oleh Datin Sharifah Mawar.
            “Walaupun Kamalia hanya anak angkat aku tetapi aku yang membesarkannya. Aku beri kasih sayang padanya. Aku sayang Kamalia seperti mana aku sayang Aril dan Aina. Kasih aku pada Kamalia tiada tolak bandingnya. Aku tak pernah menjangka Kamalia akan pergi dahulu dari aku. Pergi dengan cara ini. Hati aku hancur, kau tahu tak?” Tegas Datin Sharifah Mawar. Air matanya masih tidak berhenti mengalir. Jantungnya bagaikan disentap apabila melihat tubuh Kamalia yang kaku itu dibawa keluar dari air terjun. Peristiwa itu masih segar di ingatannya.
            “Sekarang ni kau sudah tahu kebenarannya, kan! Aku beri kau masa seminggu untuk berambus dari sini. Aku tak mahu kau menjejakkan kaki di Malaysia lagi. Kau bawa keluarga kau pergi dari sini. Selagi aku masih bernyawa, aku tak mahu lihat muka kau berdua. Faham! Kau jangan ingat apa yang aku cakap ini hanya sekadar cakap kosong sahaja. Aku pernah buat syarikat bapa kau hampir muflis. Kau pasti ingat kan, Julia.”
            Sekali lagi Julia tergamam. Rupa-rupanya itu semua adalah angkara Datin Sharifah Mawar.
            “Jika tidak kerana ayah aku masuk campur, dah lama kau sekeluarga hidup merempat sekarang ini. Aku nak ingatkan kau sekali lagi! Jika aku dapat tahu kau berdua masih berada di sini lagi, aku tidak akan teragak-agak melakukannya. Seorang ibu sanggup melakukan apa sahaja untuk anak-anaknya. Understand!” Datin Sharifah Mawar memberi amaran terakhir pada Tahir dan Julia sebelum mengatur langkah meninggalkan rumah banglo itu.
            Aina mengeluh sebelum mengekori ibunya.
            Tahir kaku. Tiada kata-kata keluar dari bibirnya. Kenangannya bersama Kamalia mula bermain di fikirannya.
            Julia memejamkan matanya. Perasaan bersalah mula bersarang di hatinya. Dia tidak pernah minta kesudahannya seperti ini. Julia memandang ke arah suaminya.

                        *********************************************

            “Abah dah tak tahu apa lagi nak cakap pada Mawar! Kata-kata abah tidak diendahkan langung. Kenapa Mawar mesti ungkit perkara yang sudah lama berlalu? Mawar tak kasihan pada arwah Kamalia? Rohnya tidak tenang, Mawar tahu tak?” marah Tan Sri Syed Abu Bakar. Sebaik sahaja dia dan Aril tiba di pintu pagar rumah Tahir, Datin Sharifah dan Aina melangkah keluar dari rumah itu.
            “Keadilan perlu ditegakkan!”
            “Keadilan apa? Untuk siapa?”
            Aina dan Aril hanya mendiamkan diri. Mereka berdua tidak berani bersuara jika ibu dan datuk mereka bergaduh. Mereka menjadi pemerhati.
            “Kamalia!”
            “Arwah Kamalia dah tiada. Arwah Kamalia dah lama meninggalkan kita. Itu pilihan dia sendiri. Dia ada banyak pilihan lagi tetapi cara itu yang dipilihnya. Tiada pihak yang bersalah dalam hal ini.”
            “Tetapi merekalah puncanya. Punca kenapa Kamalia bunuh diri!” Datin Sharifah Mawar meninggikan suara. Dia bengang lebih-lebih lagi apabila ayahnya sendiri tidak berpihak padanya.
            “Buang perasan dendam tu. Tiada gunanya. Tiada feadah pun. Hati kita takkan tenang jika ada perasaan dendam tersemat di hati kita. Memaafkan orang lain adalah perkara mulia. “
            Datin Sharifah Mawar mendengus. “Maaf! Itu sahaja yang abah mampu cakap! Maaf! Mawar takkan maafkan mereka berdua sehingga Mawar mati. Mustahil Mawar akan memaafkan mereka. Kalau abah nak memaafkan mereka berdua, silakan! Mawar tak menghalang. Bagi Mawar, kesalahan mereka adalah besar sehingga mati pun. Mawar takkan lupa.” Tegas Datin Sharifah Mawar. Dia terus bangun dan meninggalkan mereka yang sedang duduk di ruang tamu.
            “Mawar berhenti! Abah tak habis cakap lagi.” Tan Sri Syed Abu Bakar turut sama bangun. Dia terkejut dengan tindakan anaknya yang tiba-tiba berlalu meninggalkan mereka.
            “Atuk! Biar mama tenang dulu. Mama tengah marah tu. Selepas kemarahan mama reda, Aina akan pujuk mama. Atuk, jangan bimbang. Jangan stress sangat!” Aina bersuara. Aina tak mahu pertengkaran mereka bertambah teruk.
            Tan Sri Syed Abu Bakar duduk. Dia bingung.
            “Betul! Atuk duduk dulu. Tarik nafas perlahan-lahan. Releks, ok!” Aril bangun dan duduk di sebelah Tan Sri Syed Abu Bakar. Aril tersenyum.
            Aina mendongak kepalanya di tingkat atas. Aina risau. Pasti sekarang ini mama tengah menangis. Aku kenal sangat dengan perangai mama. Di luar saja nampak keras tetapi sebenarnya hati mama lembut.

14 comments:

Salina Azni said...

Dpt juga tahu kisah sebenar Kamalia-Tahir-Julia... Kejam betul Julia ni... Tahir pun sama gak... Ceraikan aje Julia tu...Menyampah betul dgn Julia... Hero tk de lah pulak...huhuhu

zequest said...

wawawawawawaaaaa... t'bongkar jgk akhirny rhsia julia... siot je pompuan tuu...

cik writer, smbg2~~ heheh..

eija said...

cian nya kamalia .. Kalo lah aku jd datin mawar aku pn akn btindak yg sma
nape lah kejam sgt julia..

Lily sbg cpt yek.. Seksa btl bla kne tgu n3 1 mgu skli..

Makanan Kesihatan said...

melampaunyer julia..sggup die hntr gmbr mcm tu..tragis btul kamalia tu mati..patutla family aina x bleh trima..

gadis riang said...

pendeknye......baru je nak layan yang panjang2......

Lynn5346 said...

pjg skit next entry pls...teruk betul julia tu! bengang gila kat dia!

aqilah said...

padan muka Julia!!!!! kena sebijik dgn mama Aina!!!!!!!!!!!!bezzzzzzznyaaaaaaaaaaaaaaaaaa

dyaNZa said...

Best2.... kklu blh pnjgkn skt yea...

NieSaa AtieSya said...

sedehnye cite...dok nangis tgh2 mlm ni...huhuhu

kIsAh kAsIh HaTiKu said...

best..sdih pn ader...akak asl pndek sgat n3...huhuhu...

Hanim69 said...

saya x kesah panjang pendek entry cerita ni.... kesian penulis memrah otak mnyusun ayat cerita ni...
Apa2 pn sgt2 best bila rahsia Julia akhirnya terbongkar.... selepas ini... Tahir kena bertindak dgn bijak menangani perbuatan isteri dia.... Aina pulak.... lepas ni mesti kena sindir o kena buli dgn pesakit/ cucu majikan dia...

arai said...

best nyer....
akhir nya rahsia julia terbongkar gak.....
x sabar nk tunggu sambungannya...........

NieSaa AtieSya said...

ala...dh hr isnin, nape x update bab baruu.... :(

RabaahJunaidi said...

saya pun tak kisah pendek ke pjng ke .. asalkan cik writer ada update..
tulah... kalu busuk hati.. cepat/lambat dgn izin Allah akan tunjukan jgk (moral of the story) buat peringatan..
cik writer..nak jgk tahu apa langkah aina yg seterusnya.. :)

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...