Sunday, June 23, 2013

Satu Dua Tiga 2013

Bab 19


            Fuad mendenguk air Nescafe yang dipesan sebentar tadi. Dia baru saja balik dari menunaikan umrah beberapa hari yang lalu. Semalam dia terkejut apabila menerima panggilan dari anak bekas majikannya, Zahari. Kata Zahari, ada perkara penting yang ingin ditanya. Tak sesuai berbual di dalam telefon. Mengenai hal pejabat ke? Penting ke? Zahari berjanji untuk berjumpa di Restoran Makanan Thai di Kuala Perlis. Sesekali Fuad melihat  jam tangan miliknya. Dah 3.10 petang ni. Mana Zahari ni?
            “Assalamualaikum….”
            “Waalaikumussalam.” Fuad menjawab salam dan bingkas bangun. Dia memusingkan badan. Dia tersenyum melihat Zahari yang sedang berjalan mendekati dirinya. Fuad membetulkan cermin mata. Siapa tu?Siapa yang mengekori Zahari dari belakang. Fuad mengamati wajah lelaki itu. Bulat anak matanya.
“Dato’ Kadir!” Akhirnya nama itu tercetus di bibir Fuad. Bibirnya terketar-ketar. Tubuhnya menjadi sejuk secara tiba-tiba. Wajahnya turut sama pucat. Apa….Apa ..dia buat di sini? Kenapa dia datang bersama Zahari? Fuad mula gelisah. Pelbagai soalan mula timbul di fikirannya.
“Uncle, apa khabar?” Zahari menghulur tangan untuk bersalam. Dia tersenyum.
“Sihat alhamdulilah. Dah lama kita tak jumpa ye.” Jawab Fuad. Dia cuba berlagak seperti biasa. Senyuman terukir di bibirnya. Dia menyembunyikan kegelisahan yang sedang bergelora di hati.
            Pandangan dialih kea rah Dato’ Syed Mohd Kadir. Tiba-tiba Fuad kaku seketika.
Wajah Dato’ Syed Mohd Kadir serius. Tiada secalit senyuman. Jantungnya mula berdegup  kencang. Adakah dia sudah tahu segala-galanya? Fuad mula takut.
            Dato’ Syed Mohd Kadir merenung Fuad. Dia menggenggam erat tangannya. Jika diikutkan hati, mahu saja aku belasah lelaki ni. Tetapi Zahari menyuruh aku bersabar. Kata Zahari, kita perlu selidik dulu apa yang berlaku. Mungkin ada sesuatu yang telah berlaku.  Tetapi berani dia menipu aku selama ini? Tetapi kenapa? Dia cuba membendung kemarahannya.
            “Apa khabar, Dato?” soal Fuad. Dia cuba untuk menyembunyikan perasaannya. Jantungnya masih berdegup kencang.
            Dato’ Syed Mohd Kadir terus duduk tanpa mempedulikan soalan Fuad.
            Wajah Fuad pucat. Dia mula takut. Takut tentang kebenaran yang disimpannya selama ini.  Adakah mereka sudah tahu segala-galanya? Tiba-tiba seluruh badan mengeletar.
            “Uncle, apa khabar?” soal Dr. Nazri secara tiba-tiba. Dia tersenyum sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Dia cuba untuk menenangkan keadaaan yang sedang tegang sekarang ini. Zahari menyuruh dia turut sama menemani mereka berdua ke Perlis. Zahari bimbang jika Uncle Kadir diserang penyakit jantung sekali lagi.
            “Baik. Alhamdulilah. Makin handsome.” Faud menyambut tangan Dr. Nazri yang dihulurkan kepadanya.
            “Jemput duduk! Uncle, dah minum ke?” soal Zahari. Dia terus duduk. Diekori Zahari dan Fuad.
            “Aaa…belum.” Fuad menundukkan kepala. Dia merenung meja seketika. Dia menggenggam erat tangan. Aku perlu kuat. Aku perlu berterus-terang. Semua ini salah aku. Pasti mereka sudah tahu segala-galanya. Apa yang aku telah lakukan, aku mesti berani mengaku.. Mungkin kedatangan mereka berjumpa aku hanyalah untuk mendengar kebenaran dari aku.
            “Kita order air dulu ye ….. Uncle Fuad, nak minum apa?” soal Zahari.
            “Sebenarnya Uncle tahu tujuan sebenar kedatangan Zahari berjumpa Uncle hari ini.” Nada suara Fuad perlahan. Walaupun sukar untuk menyatakannya namun aku harus berterus-terang tentang apa yang berlaku selama ini. Beban yang disimpan selama ini harus diluahkan juga.
            Zahari dan Dr. Nazri terkejut.
            “Bagus kau dah tahu! Tak payah aku nak soal kau. Kenapa Fuad? Kenapa kau tipu aku selama ini? Kenapa kau buat aku begini? Apa salah aku pada kau? Kau tipu aku? Kau kata Munirah tak pernah mengeluarkan duit sesen pun. Tapi …..ni, buktinya.” Dato’ Syed Mohd Kadir melemparkan fail yang mengandungi rekod setiap duit yang dikeluarkan oleh Munirah. Suara Dato’ Syed Mohd Kadir yang kuat mengejutkan pelanggan yang sedang menjamu selera di situ.
            Fuad terkejut.
            “Uncle!” Dr Nazri memegang tangan Dato’ Syed Mohd Kadir agar cuba bertenang.
            “Saya minta maaf, Dato’. Saya tak ada niat untuk menipu Dato’”
            “Tak ada niat!” nada suara Dato Syed Mohd Kadir separuh meninggi. Dia cuba mengawal api kemarahannya. “Tapi kau buat juga kan! Hidup aku hancur kerana kau. Apa yang kau nak sebenarnya dari aku? Duit yang aku beri tu tak cukup lagi ke? Kalau tak cukup, aku boleh beri. Kau cakap saja berapa yang kau mahu.” Matanya tepat merenung lelaki yang sebaya dengan dirinya. Aku percayakan dia. Tak sangka dia sanggup menipu aku.
            “Saya benar-benar minta maaf, Dato’. Saya kesal. Apa yang berlaku memang salah saya. Waktu itu, saya benar-benar memerlukan duit untuk membayar kos pembedahan isteri saya.” Fuad mengerutkan dahinya. Jika dia diberi pilihan lain, tak mungkin dia melakukan perbuatan terkutuk ni. Dia benar-benar tiada pilihan. Dia perlu menyelamatkan isterinya.
            Air muka Dato’ Syed Mohd Kadir berubah. Terbit perasaan simpati pada Fuad. 
            Jelas terpancar kekesalan di wajah Fuad. “Tetapi Zahari tak faham, apa yang uncle dapat jika menipu Uncle Kadir?” soal Zahari secara tiba-tiba. Dia musykil.
            “Sebenarnya, ini adalah plan Datin Kartika.”
            “Apa!” Dato’ Syed Mohd Kadir mengetap bibir. Kenapa Kartika turut sama terlibat dalam hal ini?
            Dr. Nazri dan Zahari terkejut apabila nama Datin Kartika disebut.
            “Datin Kartika tahu yang Dato’ sedang cuba mengesan di mana Puan Munirah berada pada waktu itu. Selepas Dato’ jumpa saya hari itu, Datin Kartika datang jumpa saya pada hari itu juga. Dia sanggup membayar kos pembedahan dan rawatan isteri saya jika saya bersetuju untuk membantunya. Pada mulanya, saya enggan tetapi ……. Datin Kartika tahu kisah silam saya dan mengugut saya. Saya tiada pilihan lain. Saya minta maaf  Dato” Fuad menjelaskan segala-galanya. Fuad memandang tepat wajah Dato’ Syed Mohd Kadir.
            “Jadi, dia suruh awak beritahu saya yang Munirah tak pernah keluarkan sesen pun wang!” Dato’ Syed Mohd Kadir mula memahami apa yang berlaku. 
            “Datin Kartika tahu yang itu saja jalan yang Dato’ ada untuk mencari Puan Munirah. Dia tak mahu Dato’ kembali kepada Puan Munirah.” Beritahu Fuad.
            Dato’ Syed Mohd Kadir menghentak tangan kanan di atas meja untuk melepaskan kemarahannya.
            Mereka bertiga terkejut dengan reaksi Dato’ Syed Mohd Kadir.
            “Uncle.” 
            “Pada waktu itu, awak ada beritahu pada Kartika di mana Munirah sebenarnya.” Soal Dato’ Syed Mohd Kadir secara tiba-tiba. Dia kembali tenang. Kini dia sudah dapat berfikir secara waras. Kenapa pula aku harus salahkan Fuad dalam hal ini? Segala-galanya berpunca dari aku! Akulah punca semua ini. Akulah yang beriya-iya ingin mengahwini Kartika. Akulah yang menghalau Munirah keluar dari rumah tanpa belas kasihan. Mungkin inilah balasan untuk aku. Aku tak berhak menyalahkan orang lain dalam hal ini.
            “Ada,Dato! Tetapi saya tipu Datin Kartika. Saya beritahu yang Puan Munirah berada di Australia.”  Beritahu Faud. Pada waktu itu, dia sengaja menipu Datin Kartika. Dia bimbang jika terjadi sesuatu pada Puan Munirah. Puan Munirah baik orangnya.
            “Bagus.” Dato’ Syed Mohd Kadir tersenyum puas.
            “Dato’ ….. Saya benar-benar minta maaf.  Saya sanggup buat apa sahaja untuk menebus kembali kesalahan saya.” Sekali lagi perkataan maaf terbit di bibir Fuad. Dia tak mampu menghilangkan perasaan bersalah yang bersarang di hatinya selama 25 tahun.
            “Fuad! Awak tak bersalah.  Aku yang bersalah. Aku puncanya. Saya silap. Silap memilih antara kaca dan permata. Saya minta maaf Fuad.”  Dato’ Syed Mohd Kadir meminta maaf. Wajahnya sayu. Perasaan marahnya kini sudah hilang.
            “Dato’ …..Saya yang bersalah. Dato’ tak perlu minta maaf pada saya. “
            “Fuad, saya maafkan awak. Awak tak bersalah pun. Awak hanya mangsa keadaan. Terima kasih kerana awak berani berterus-terang dengan saya. Saya amat menghargainya. Saya minta diri dulu. Ada lagi perkara yang perlu saya uruskan.” Dato’ Syed Mohd Kadir bangun. Dia menepuk belakang Fuad perlahan-lahan sebelum berlalu pergi. Aku mesti bersemuka dengan Kartika. Aku nak dengar segala-galanya dari Kartika.
            “Nazri, kau dan Uncle balik dulu. Aku akan ikut kau balik kemudian. Aku ada hal dengan Uncle Fuad.”
            “Baiklah.” Dr. Nazri  bersalam dengan Fuad sebelum mengekori Dato’ Syed Mohd Kadir.
            “Zahari, Uncle minta maaf.” Fuad memegang erat tangan Zahari. Dia tahu dia telah mengecewakan Zahari.
            “Uncle! Zahari faham keadaan Uncle …tetapi kenapa Uncle tak minta bantuan dari abah?” soal Zahari. Abah pernah menceritakan keadaan keluarga Uncle Fuad. Miskin.Uncle Fuad merupakan anak sulung dari 12 adik beradik.. Semuanya ditanggung oleh Uncle Fuad seorang diri.
            “Uncle malu. Dah banyak kali arwah abah Zahari menolong Uncle. Uncle tak sampai hati untuk meminta lagi. “ nada suara Fuad bergetar. Budi baik keluarga Zahari tak akan dia lupa. “Lagipun pada waktu Datin Kartika tahu tentang masa silam Uncle, Uncle tiada pilihan lain.”
            Dahi Zahari sedikit berkerut. Masa silam! “Uncle, jika Uncle tak keberatan …boleh Uncle ceritakan pada Zahari?”
            “Maksud Zahari, masa silam Uncle?”
            Zahari hanya menganggukkan kepala.
            “Uncle pernah dimasukkan ke Pusat Serenti beberapa tahun. Ia berlaku sebelum Uncle berkerja dengan arwah abah Zahari. Uncle malu. Uncle tak mahu sesiapa pun tahu mengenainya sebab itulah ….Uncle terima tawaran Datin Kartika.”
            “Uncle, semua orang ada kisah silam masing-masing. Yang penting, kita harus menerima kisah silam kita untuk menjadi sebahagian dari kehidupan kita. Sebenarnya Uncle, Auntie Munirah sudah pulang ke Malaysia.”
            “Puan Munirah dah balik?” Fuad terkejut. Dia pernah berjumpa dengan wanita itu beberapa kali sebelum wanita itu membawa diri ke Kota London.
            ‘Ya, bersama anaknya Alina.”
            “Alina …..Jadi, Alina tu ……..” nada suara Fuad bergetar. Mungkinkah Alina …?
            “Ya. Anak Auntie munirah dan Uncle Kadir. Auntie Munirah rahsiakannya selama ini”
            Fuad terpana. Ya, Allah! Apa aku dah buat ni? Badannya menjadi kaku.


                                    **********************************
           
            “Mama!” tegur Suziela sebaik sahaja menghampiri ibunya yang sedang membaca majalah hiburan. Beg tangan jenama Guess diletakkan dengan kasar di atas meja. Dia tahu pada waktu ini pasti ibunya akan berehat di ruang santai yang terletak di bahagian kiri kediaman dua tingkat itu. Ruang santai konsep Inggeris Moden adalah pilihan ibu.
            “Hah, dah nak senja baru nampak muka? Ke mana Su pergi ni?” soal Kartika. Majalah hiburan ditutup dengan kasar. Tak pernah nak melekat kat rumah? Asyik merayap saja. Bila suruh kerja, ada saja alasan yang diberi! Tak pernah berubah. Tahu menghabiskan duit aku saja.
            “Jumpa kawan.”
            “Kawan!” Kartika ketawa apabila mendengar jawapan anak bongsunya. Geli hati. “Kawan ke Nazri?” perli Kartika. Sejak di bangku sekolah lagi, Suziela sangat menyukai Nazri. Ke mana Nazri pergi, di situ ada Suziela. Apa nak jadi dengan anak-anak aku ni. Si Sofea pula tergila-gilakan Is. Aduh, sakit kepala aku?
            “Mama perli Su ke?” Nada suara Suziela separuh meninggi. Mama sengaja nak menambahkan lagi kemarahan aku.
            “Terasa ke?” perli Kartika lagi.
            Suziela membuat mimic muka. “Kakak mana?” soal Suziela. Dia menoleh ke kiri dan kanan.
            “Langkawi.”
            “Bercuti ke?” soal Suziela ingin tahu. Kenapa kakak tak beritahu aku pun? Boleh aku ikut sama. Suziela mengetap bibir.
            Kartika menjeling ke arah Suziela. Bercuti! Ya ke bercuti? Tujuan Sofea pergi ke Langkawi adalah kerana Iskandar. Asyik Iskandar! Iskandar! Tak ingin aku nak berbesan dengan Maria.
            “Kartika!” Dato’ Syed Mohd Kadir menyergah Kartika secara tiba-tiba.
            Mereka berdua terkejut.
            Suziela mengusap dadanya perlahan-lahan. Terkejut. “Papa ni, kenapa? Tak reti beri salam ke?”
            “Suziela, masuk ke dalam rumah sekarang ni?” arah Dato’ Syed Mohd Kadir. Dia tak mahu Suziela mendengar perbualan mereka. Sebaik sahaja tiba di KLIA, dia bergegas pulang untuk bersemuka dengan Kartika. Dia tak sangka Kartika sanggup bertindak sejauh ini.
            “Papa!” Suziela menrengek.
            “Masuk!” jerkah Dato’ Syed Mohd Kadir apabila Suziela tidak mendengar arahan.
            Suziela tersentak.
            “Su, jom ikut abang!” Dr. Nazri tiba-tiba berada di situ. Keadaan semakin tegang sekarang.
            “Abang Naz.” Nada suara Suziela berbunga riang. Seharian dia mencari kekasih hatinya namun tidak jumpa. Tiada sesiapa tahu ke mana dia pergi. Telefon pula dimatikan. Segera Suziela menghampiri Dr. Nazri. Dia memegang lengan Dr. Nazri dengan lembut dan senyuman yang menggoda.
            Kartika mengetap bibir melihat telatah Suziela. Pantang nampak lelaki! Aku pun dia boleh lupa
            “Let’s go.” Dr Nazri dan Suziela berjalan seiringan meninggalkan mereka berdua.
            Sebaik sahaja memastikan Dr. Nazri dan Suziela meninggalkan mereka berdua, pandangannya dialihkan semula pada isterinya Kartika.
            Kartika turut sama merenung Dato’ Syed Mohd Kartika. Apa halnya kali ni? Menjerit nama aku! Dah kena sampuk ke laki aku ni!
            “Fuad!” Itulah perkataan yang pertama disebut oleh Dato’ Syed Mohd Kadir.
            Wajah Kartika berubah pucat.
            “Kenapa? Terkejut! Tika ingat abang tak tahu apa yang berlaku antara Tika dan Fuad.” Wajahnya bertukar merah. Menahan marah dan geram.
            “Jadi, apa yang abang nak dengar dari Tika? Kemaafan! Penyesalan!” wajah Kartika serius. Dia takut pun . Aku tak bersalah. Aku hanya mempertahankan hak aku sebagai seorang isteri.
            “Kartika!”
            “Abang tak malu ke? Benda yang abang dah ludah, kini abang jilat balik. Di mana maruah diri abang selama ini, hah?”
            “Maruah diri!” giliran Dato’ Syed Mohd Kadir ketawa. “Maruah diri abang dah lama hilang. Hilang!  Dah hilang sejak Tika curang di belakang abang. Abang tahu apa yang Tika buat di belakang abang selama ini. Berfoya-foya dengan anak-anak ikan peliharaan Tika. Satu KL ni tahu siapa sebenarnya Tika. “
            Kartika mengetap bibir.
            “Abang bersabar dan memberi peluang agar Tika berubah tapi sayang …..Tika sia-siakannya. Hidup Tika dikelubungi dengan dosa dan maksiat. Tika tak pernah nak berubah.”
            “Ooooo…..sekarang ni abang cuba salahkan Tika pula. Ya, selepas isteri tua pulang, abang memang sengaja cari salah Tika. Apa yang berlaku sekarang semuanya dihalakan ke arah Tika. Kenapa? Abang tak pernah buat salah ke?” Bulat anak mata Kartika. Cuba nak ajar aku pula? Diri sendiri pun sama sahaja. “ Abang fikir jika abang ceraikan Tika, perempuan tu akan kembali di pangkuan abang. Abang silap. Sekali hati wanita terluka, parutnya tetap ada. Abang dah lupa apa yang abang pernah buat pada perempuan tu?”
            Dato’ Syed Mohd Kadir terdiam.
            Kartika tersenyum sinis apabila melihat Dato’ Syed Mohd Kadir terdiam.
            “Abang pukul perempuan tu! Abang tampar perempuan tu!Abang layan dia macam binatang. Setiap kata cacian abang pada dia dan keluarga dia. Abang ingat dia dah lupa ke?”
            “Tapi Munirah dah maafkan abang.” Nada suara Dato’ Syed Mohd Kadir bergetar. Mustahil aku akan lupakan semua itu. Aku menyesal. Kini aku sudah berubah. Aku ingin mulakan buku baru bersama Munirah. Salah ke aku?
            “Maaf! Ye,memang perempuan tu maafkan abang tetapi nak kembali ke sisi abang semula ……jangan haraplah. Sampai mati pun perempuan tu takkan kembali ke sisi abang. Tika berani bertaruh. Abang hanya kisah silam dia saja.” Kartika sengaja cuba menyakiti  hati suaminya
            “Kartika!”
            “Tentang Alina …… Ya, dia memang anak abang …..tetapi abang nak tahu tak apa yang Alina beritahu Tika. Dia beritahu yang dia akan pastikan abang ceraikan ibunya.”
            “Bohong! Alina takkan bercakap seperti itu.” Dato’ Syed Mohd Kadir tidak mempercayainya. Adakah Alina turut sama tidak menerima aku? Sebab itu kebelakangan ini, sikapnya semakin berubah. Dia melayan aku dengan mesra seperti dulu. Dia sedih.
            “Terpulanglah pada abang untuk mempercayainya atau tidak. Yang pasti, Tika tak bohong. Mereka berdua bencikan abang. Itu hakikatnya yang perlu abang terima.“
            Tiba-tiba Dato’ Syed Mohd Kadir memegang dada. Kata-kata Kartika memberi tekanan pada dirinya.  Sakit. Dia cuba menahan kesakitan. Wajahnya pucat.
            Kartika terkejut. Dia kaku. Dia tak tahu nak buat apa.
            “Uncle!” jerit Zahari. Segera dia menghampiri dan membawa Dato’ Syed Mohd Kadir ke kerusi. Dia barus sahaja selesai mempakirkan kereta di luar.
             “Auntie!” Zahari melihat ke arah Kartika yang masih berdiri tercegat di situ tanpa membantu suaminya sendiri.
            “Auntie tak tahu! Bukan salah auntie!” segera Kartika berlalu pergi dari situ. Aku tak salah. Dia sakit sebab ada penyakit jantung. Tiada kaitan dengan aku. Kartika mengatur langkah dengan pantas meninggalkan mereka berdua.
            “Auntie!” jerit Zahari. Dia terkejut. Dia tak sangka auntie Kartika sanggup meninggalkan uncle begitu sahaja.
            Dato’ Syed Mohd Kadir masih memegang dadanya. Sakit.
            “Nazri! Nazri!” jerit Zahari dengan kuat. Dia masih cuba mencari ubat di dalam poket kot milik Dato’ Syed Mohd Kadir. Tiada. Mana uncle letak ubat ni? Zahari resah. “Uncle bersabar ye!”
            “Nazri!” jerit Zahari sekali lagi. Dia mula panic. Mana pula Nazri ni?
            “Zahari!” Dr. Nazri segera berlari apabila mendengar namanya dipanggil. Dia terkejut. Apa yang berlaku ni?
            “Aku tak dapat cari ubat. Kita bawa Uncle ke hospital sekarang ni.” Zahari resah.
Mereka membantu Dato’ Syed Mohd Kadir bangun.
            “Baiklah! Aku akan call jururawat aku untuk stand by.” Dr. Nazri segera mendail no telefon hospital.

*************************
            Alisa membuka pintu rumah bila mendengar loceng rumah berbunyi. Siapa yang datang rumah pagi-pagi buta ni? Tak tahu tengok jam ke? Alina mengerling ke arah jam dinding yang menunjukkan pukul tepat pukul 7.00 pagi. Dia melihat kembali ke pintu pagar. Dia terkejut melihat lelaki yang berpakaian kot serba hitam yang berdiri di luar pintu pagar rumahnya. Macam mana lelaki ni boleh tahu rumah aku? Alisa terus keluar dan mendekati Zahari yang tersenyum melihat dirinya. “Kau nak apa?” soal Alisa dengan kasar.
            “Berbincang!”
            “Tentang apa?”
            “Dato’ Kadir!” jawab Zahari.
            “I don’t want to talk about him anymore. Do you understand? Now, go away!” marah Alisa. Jika Zahari dapat mencari rumahnya pasti Datin Kartika juga boleh. Perasaan bimbang mula menular di hati Alisa.
            “Lina, dia ayah kamu! Selaku anak, tak boleh ke kamu bertolak-ansur dengan dia. Lagipun dia sekarang sedang sakit. Kamu tak kasihan ke kat ayah kamu, Alina?” nasihat Zahari.
            “Isteri dan anak-anak dia ada. Mereka boleh jaga.”
            “Tapi kamu tahu kan perangai Datin Kartika dan anak-anaknya.Layanan mereka terhadap ayah kamu macam mana?”
            “Itu hal dia. Pilihan dia. Dulu kan dia tergila-gila sangat kat pelakon tu tetapi kenapa kini bila dah susah, nak cari ibu! Dulu masa dia halau ibu keluar, ada dia fikir tentang ibu pada waktu tu. Anak yatim piatu! Dihalau sehelai sepinggang. Tak ada belas kasihan secubit pun pada ibu. Sekarang, kenapa pulak kami perlu fikirkan tentang dia?”
            Zahari terkejut dengan kata-kata Alina. Nampaknya wanita ini benar-benar membenci ayah kandungnya sendiri. Kebenciannya jelas boleh dilihat di matanya.
            “Ibu hampir terbunuh disebabkan oleh sikap Dato’ Kadir yang begitu mementingkan diri. Fikir perut sendiri saja. Kalau kau nak tahu, kemalangan ibu hari itu adalah kemalangan yang telah dirancang. Ada orang sengaja merosakkan brek kereta ibu. Pasti awak tahu siapa kan?”
            “Mungkin itu adalah telahan awak saja.” Kata Zahari. Apa yang diberitahu Alina sebentar tadi di luar jangkaan. Takkanlah Auntie Kartika sanggup buat begitu? Membunuh ni bukan perkara main-main.
            “Telahan apa,hah! Masa ibu terlantar di hospital, dia dan anak-anak dia datang. Dia mengaku yang dia upah orang rosakkan brek kereta ibu. Tujuan dia untuk membunuh ibu. Nasib baiklah, nyawa ibu masih panjang. Allah S.W.T masih sayangkan ibu. Lina nak buat laporan polis tetapi ibu halang. Dia kata tak nak panjangkan cerita.”
            Zahari mengetap bibirnya menahan geram. Auntie Kartika sudah melampau kali ini.
            “Selepas kejadian semalam, Lina dah tekad. Lina akan bawa ibu pulang. Di sini bukan tempat yang selamat untuk ibu. Jika Datin Kartika berniat nak bunuh Lina kelmarin pasti dia akan mencuba lagi. Orang macam tu tak pernah kenal erti putus asa. Kelmarin, kalau Lina tak sempat mengelak pasti Lina dah jadi arwah sekarang ni. Lina takkan benarkan Datin Kartika mencederakan ibu lagi.”
            “Lina!”
            Alisa terkejut bila mendengar suaranya. Perlahan-lahan Alisa menoleh ke belakang. Dia terkejut melihat ibunya yang berdiri di belakangnya. Alisa kaku. Bila ibu berdiri di belakang aku? Adakah ibu mendengar perbualan kami tadi? “Ibu”
            “Alina! Luka di tangan dan badan Lina semalam bukannya disebabkan Lina terjatuh kan?  Kartika….Kartika…cuba bunuh kamu kan?” Bibir Munirah terketar-ketar. Dia pelik bila Alina pulang dari pasar dengan baju yang kotor dan luka di tangan dan di badanya. Katanya terjatuh dalam longkang.  Apa yang didengarnya sebentar tadi amat membimbangkan? Dia bimbang akan keselamatan anaknya. Kartika sudah melampau kali ni. Dia tak kisah jika sesuatu terjadi padanya tetapi jika melibatkan anaknya, dia takkan biarkan.
            Alisa hanya mendiamkan diri. Dia tidak berniat untuk berbohong pada ibunya. Alisa tak mahu ibunya bimbang.
            “Lina, booking tiket untuk esok! Kita akan balik ke London. Zahari ,kamu beritahu Dato’ Kadir yang penceraikan tetap akan diteruskan. Selepas apa yang terjadi, auntie rasa untuk kebaikkan semua orang, biarlah auntie dan Alina pergi.” Kata Munirah sebelum melangkah perlahan-lahan menggunakan tongkatnya menuju masuk ke dalam rumah.
            Alisa tercengang bila mendengar kata-kata ibunya. Dia seolah-olah tidak percaya dengan apa yang berlaku. Dengan sekelip mata saja, ibu bersetuju untuk pulang. Bagus! Senang macam ni. Aku tak perlu pujuk ibu lagi. Alisa menoleh ke arah Zahari. “Sorry, I have to go. I hope we don’t see each other again. Bye! Bye” Alisa mengenyitkan matanya sambil tersenyum. Alisa terus melangkah masuk ke rumahnya dan membiarkan Zahari berdiri di luar pagar rumahnya.
            Zahari melepaskan keluhannya dengan kuat. Macam mana ni? Jika Uncle Kadir tahu pasal perkara ini, pasti kesihatannya akan lebih terjejas. Dahi Zahari berkerut. Dia taak tahu bagaimana untuk menyampaikan berita ini.

                        ************************************************

            “Baiklah, Tengku! Saya akan siapkan rekabentuk bangunan hotel ini dalam 2 hari. Saya akan reka bangunan berdasarkan dengan criteria-criteria yang Tengku inginkan. Selepas dua hari, saya akan menghubungi Tengku.” Kata Aleya sambil tangannya ligat menyusun kertas yang berselerak di atas meja.
            Iskandar memerhati gelagat wanita itu. Ada sesuatu tentang wanita ini yang dia ingin tahu. Dia seolah-olah takut akan sesuatu. “Dua hari! Cepatnya awak boleh siap ke? Saya tak nak hotel 5 bintang ini tak berkualiti kerana rekaannya siap dalam masa yang singkat. Saya tak kisah kalau awak memerlukan masa untuk menyiapkannya. Sebulan ke? Setahun ke? Saya tak kisah.”
            Aleya merenung lelaki yang sedang duduk di hadapannya. Lelaki ini memang menguji kesabaran aku. Otak dia ada masalah ke? Kalau aku siapkan awal, proses pembinanan akan dimulakan dengan segera. Projek ini takkan tertangguh lagi. Masalah selesai. “Kalau saya hasilkan rekaan yang tidak berkualiti, kenapa Tengku beriya-iya ingin mengupah saya?” soal Aleya.
            “Sebab saya peminat awak. Bangunan yang awak reka sangat unik. I like it.”
            “Thank you!” jawab Aleya endah tak endah. Dia malas melayan lelaki ini. Selepas ini dia akan check out hotel. Penerbangan ke KL pukul 12.00 tengah hari.
            “Selepas ini, apa kata saya bawa awak jalan-jalan di Langkawi! Saya yakin awak belum lagi melawat tempat bersejarah di sini.”
            “Terima kasih sajalah, hari ini saya akan pergi ke KL.”
            “Saya rasa ada sesuatu yang tak kena dengan awak ni, Cik Aleya! Awak seperti tergesa-gesa seolah-olah awak hendak melarikan diri dari sesuatu. Awak ada masalah ke?” soal Iskandar ingin tahu.
            Belum sempat Aleya menjawab, telefon bimbitnya berbunyi. “Excuse me!” Aleya terus bangun bila melihat nama adiknya tertera di skrin telefon bimbitnya. Dia berjalan keluar dari Coffee House itu. Dia tak mahu perbualan mereka didengar oleh Iskandar.
            Setelah melihat Aleya pergi, mata Iskandar tepat melihat k arah sebuah buku yang berada di dalam beg Aleya. Tanpa berfikir panjang, Iskandar terus mengambilnya. Helaian demi helaian dibukanya. Lukisan bangunan di dalam buku itu menarik perhatinya. “Impressive! Creative! Aku tak pernah silap pilih dia.” Tangannya terhenti apabila melihat lukisan potret 4 orang wanita. Seorang wanita yang berusia dalam lingkungan 50-an dan 3 orang wanita lagi adalah Aleya. Wajah mereka sama! Terkebil-kebil mata Iskandar merenung potret itu. “Wanita ni mesti ibunya sebab wajahnya ada iras Aleya tapi dua orang wanita ni siapa? Adik-adik dia ke? Seiras pulak tu. Hmm…mungkin….” Iskandar tiba-tiba tersenyum.”daya imaginasi Aleya ni memang tinggi. Mungkin dia inginkan kembar sebab itu dia lukis wanita yang berwajah seiras dengannya. Pelik betul la akitek ni.” Iskandar terus meletakkan kembali buku Aleya di tempat asalnya. Pandangan Iskandar kaku bila melihat wanita yang sedang berdiri di luar Coffee House.  Sepantas kilat, Iskandar terus menyorak di bawah meja.
            “Aduh! Macam mana dia tahu aku ada di sini? Menyusahkan hidup aku kalau macam ni selalu. Aku mesti pergi dari sini.” Iskandar gelabah. Ke mana saja aku pergi Sofea mesti ikut? Fikirannya ligat berfikir. Dia tersenyum bila melihat seorang pelayan wanita yang sedang mengambil order di meja yang berada di sebelahnya.
            “Piss…Piss….” Panggil Iskandar.
            Pelayan itu terkejut bila melihat Iskandar yang berada di bawah meja. Dia terus mendekati Iskandar. “Encik, ada apa-apa yang boleh saya tolong?”
            “Aaa…Pintu belakang kat mana ye!” Iskandar tersenyum. Malu pun ada. Dia sedar pelanggan yang berada di situ melihat ke arahnya tetapi disebabkan oleh Sofea, dia sudah tak kisah. Iskandar sempat meninggalkan nota pada Aleya sebelum keluar melalui pintu belakang.

                                    *****************************************

            “Assalamualaikum!” kata Aleya sebaik saja menjawab panggilan adiknya.
            “Waalaikumussalam!” jawab Alisa. Dia meletakkan beg yang berisi pakaiannya di atas katil. Semua pakaian sudah siap dikemas.
            “Ibu dan Angah, apa kabar?”
            “Kami sihat, Along! Hmm…sebenarnya tujuan Angah telefon Along sebab nak beritahu esok kami akan bertolak balik ke London. Ibu suruh Along balik sekali.”
            “What! Why? I mean, why suddenly ibu decide to go back to London? What’s about the divorce?” Aleya terkejut besar. Pelik! Selama ini, sudah bermacam-macam cara mereka buat untuk pujuk ibu pulang ke London. Keputusan yang tiba-tiba drastic ini mengejutkan dirinya.
            “It’s a long story, sis! I’ll tell you later. So how’s your work?”
            “I’m glad you call! Tadi sikit saja lagi, Along nak penumbuk mamat tu. Aduh, banyak sangat soalannya, mendidih darah Along mendengar soalannya. Nasib baik la, dia anak Auntie Maria jika tidak dah lama rasa penumbuk Along ni. Penyibuk!” Aleya meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Bersama Tengku Iskandar benar-benar menguji kesabaraannya.
            Alisa ketawa kecil dengan kata-kata kakaknya. Siapa tak kenal dengan sikap panas baran Aleya? Marah saja terus penumbuk jadi penyelesaiannya.
            “Hari ini Along akan balik. Flight Along pukul 12 tengahhari ini.”
            “Baiklah nanti Angah beritahu ibu!”
            “Kirim salam kat ibu ye! Take care, sis!” Aleya tersenyum sebelum menamatkan panggilan Alisa. Hubungan dia dengan adik-adiknya memang rapat. Dah lama dia rindu untuk berjumpa dengan keluarganya. Aleya terkejut bila ada orang menolaknya dari belakang.
            “Apa kau buat di sini, hah?” soal Sofea dengan kasar. Dia merenung Aleya. Panas hatinya bila Aleya turut sama berada di Langkawi.
            “Excuse me!” Air muka Aleya berubah. Main tolak-tolak pulak. Siapa perempuan celup ni? Aleya merenung wanita itu dari atas ke bawah. Skirt jeans pandek sendet dipakainya atas dari lutut dan baju bertali halus berwarna pink.
            “Hey! Alina, kau tak dengar ke soalan aku tadi? Jawab! Apa kau buat di sini?” marah Sofea.
            Alina! Dahi Aleya berubah! Melihat dari gaya wanita ni seperti …. Aleya tiba-tiba tersenyum. Pasti anak-anak Datin Kartika! Lihat dari gaya pun sudah tahu. “Suka hati aku la. Yang kau sibuk sangat, kenapa? Ada aku jaga tepi kain kau?”
            Sofea terkejut bila mendengar kata-kata Alina. Kasar dan biadap.
            “Hey, kau ni tak ada adab sopan ke? Kau sedar tak dengan siapa kau sedang bercakap ni?”
            Aleya tersengih. Ada hati pulak cakap pasal adab sopan dengan orang, diri sendiri pun 2 x 5 saja. “Kau tu kakak tiri aku saja! Kau tak pernah cakap elok-elok dengan aku, kenapa mesti aku bercakap sopan dengan kau?”balas Aleya.
            “Eee….geramnya. Kau ni memang perempuan hipokrit! Iskandar mana?” jerit Sofea.
            Mata Aleya terkebil-kebil melihat Sofea menjerit. Patut la Angah beritahu mereka ni spesis burung gagak! Suara nyaring betul. Iskandar! Aleya terus menoleh ke arah meja yang berdekatan dengan cermin. Dah hilang! Tadi ada kat situ. Dahi Aleya berkerut.
            “Mana Iskandar?” soal Sofea lagi.
            “Mana aku tahu!”
            “Baik kau berterus-terang dengan aku, kau datang sini sebab Abang Is ada kat sini kan? Kau nak rampas Abang Is dari aku kan.Kau tak dapat nak rampas Dr. Nazri dari adik aku jadi kau nak rampas Abang Is pulak dari aku.” Tuduh Sofea. Dia yakin tujuan Alina berada situ kerana Abang Iskandar.
            Aleya menggelengkan kepalanya. Perempuan ni memang dah gila. Obsses! “Kau ni normal ke tak?”
            Tiba-tiba satu penampar hinggap di pipi Aleya, Sofea tersenyum puas. Aleya memegang pipinya yang sakit akibat ditampar oleh Sofea. Aleya mengetap bibirnya menahan geram.
            “Perempuan macam kau patut ditampar. Perampas!”
            Pang! Pang! Dua tamparan hinggap di pipi kanan Sofea terkejut. Sakit! Pedih. Air matanya mengalir selepas ditampar. Dia merenung Aleya yang sedang berdiri di hadapannya. Sofea mengangkat tangannya untuk menampar Aleya lagi. Dia takkan biarkan tetapi sempat dipegang oleh Aleya. Dua lagi tamparan hinggap di pipi kiri Sofea. Sofea jatuh terduduk. Dia tergamam.

            “Sekali lagi kau berani tampar aku, aku akan tampar kau 5 kali ganda. Faham tak?” Aleya memberi amaran dan terus masuk ke dalam Coffee House itu. Dia langsung tidak mempedulikan Sofea yang masih terduduk di kaki lima itu. Tangisan Sofea semakin kuat. Dia memegang kedua-dua belah pipinya yang masih sakit. Alina, nanti aku beritahu mama! Siap la kau nanti! Sofea tiba-tiba menjerit dengan kuat. Orang ramai yang melalui Coffee House itu terkejut dengan jeritan Sofea.

3 comments:

Unknown said...

hhaaaa...padan muka sofea...lawak arr.. cepat laa upload lagi yea writer...:)

eija said...

padan muka ko...hahaha sdap dpt mkn penampar kn....

Unknown said...

asalam`.writer bila nak upload lagi bab seterusnya saya dah x sabar nak baca lagi dan lagi cite nii:)

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...