Friday, February 19, 2021

CALON MENANTU CIKGU HAWA - BAB 10



 Bab 10

CIKGU HAWA dan Puan Aini berdiri di hadapan rumah ketiga-tiga calon menantu anaknya. Jam sudah menunjukkan tepat pukul 7 pagi.

 

            “Kak Long, Aini rasa tak elok kita masuk rumah depa tanpa pengetahuan depa.”

 

            “ Awat pulak? Ini rumah aku lepas tu hang kan tahu kenapa aku bagi depa tinggal asing-asing …. Aku nak tahu macam mana depa jaga rumah ni. Pembersih ke pengotor, ini saja cara aku nak tahu. Jangan banyak cakap, ikut saja aku.” Cikgu Hawa terus keluarkan kunci. Sasaran rumah pertama dah tentu rumah Talia.

 

            Dengan menggunakan kunci pendua, Cikgu Hawa dan Puan Aini masuk. Suasana sunyi sepi, pasti Talia tengah tidur lagi.

 

            Mata Cikgu Hawa terbuka luas melihat keadaan ruang tamu yang bersepah. Pakaian Talia tersidai di sofa putih. Manakala plastik biscuit dan keropok dibiarkan saja  terbuka tanpa disimpan semula. Beberapa air kotak yang sudah diminum dibiarkan saja di atas meja kecil itu. Kasut pula tidak disusun dan dilempar sana sini. Wajah Cikgu Hawa sudah bertukar merah.

 

            Puan Aini memberi syarat pada kakaknya supaya bersabar.

 

            Cikgu Hawa mengetap bibir. Dia berjalan ke bilik tidur pulak.

 

            Pintu bilik tidur sedikit terbuka.

 

            Puan Aini tolak pintu bilik tidur itu perlahan-lahan. Yang jelas Talia nyenyak tidur di katil malah tidak menyedari kehadiran mereka berdua. Mata Puan Aini meliar ke setiap sudut bilik tidur itu. Memang bersepah. Pakaian berselerak di atas katil dan di lantai. Yang dah dipakai dan belum dipakai bercampur.  Tuala pun dibiarkan saja di lantai. Puan Aini menoleh. Yang jelas wajah kakaknya sudah berubah marah. Dengan segera tangan kakaknya ditarik ke dapur pula.

 

            Alangkah terkejut mereka berdua melihat keadaan dapur. Pinggan mangkuk bertimbun di sinki tanpa dibasuh. Ditambah pula dengan periuk yang sudah diguna dan dibiarkan kering tidak berbasuh di dapur gas.  Sampah pula tidak dimasukkan ke dalam tong sampah yang disediakan. Meja makan empat segi yang ada di dapur dijadikan tempat kumpulnya sampah. Bertimbun pulak tu.

 

            Bibir Cikgu Hawa sudah mula bergetar. Memang pengotor betul budak ni… Perangai pengotor macam ni nak jadi isteri Amir, jangan haraplah. Baru beberapa hari saja duduk, rumah ini dah macam sarang tikus. Darahnya tengah mengeledak seperti gunung berapi. Dia terus melangkah laju ke luar dari rumah.

 

            Puan Aini mengekori kakaknya keluar. Ditutup pintu rumah Talia dengan perlahan-lahan.

 

            Cikgu Hawa pejamkan mata. Ditarik nafas dan dihembus perlahan-lahan. Dia cuba tenangkan perasaannya.

 

            Puan Aini hanya diamkan dan matikan hasratnya untuk bersuara. Kakaknya pasti perlukan masa untuk bertenang selepas saksikan apa yang berlaku tadi.

 

            “Okey! Rumah Mahfuzah pulak.” Ajak Cikgu Hawa selepas buka kelopak matanya.

 

            Puan Aina mengekori kakaknya.

 

                                                ************************

 

            MEERA ketawa terbahak-bahak apabila mendengar cerita Talia. “ Wei, kau ni memang jahatlah. Sempat ke kau kotorkan rumah tu dalam masa yang singkat?”

 

            “Sempat!  Bersepah giler rumah ni aku kerjakan. Nasib baiklah aku terdengar plan Cikgu Hawa dengan adik dia. Yang pasti aku ni pilihan terakhir Cikgu Hawa. ”

 

            “Entah-entah nama kau tak termasuk dalam kategori pilihan pun….” Meera ketawa. Dia telefon Talia selepas selesai shooting drama pagi tadi.  “ Eh, kau okey ke bila rumah tu kotor? Kau kan clean freak!”

 

            “Sebab itu aku tak tidur semalaman, tangan aku asyik nak kemas semua tu balik. Nasib baik, mindset aku ni kuat.  Kalau tak terpaksalah, aku ikat tangan aku ni….” Kata Talia. Dia memang jenis pembersih. Pantang nampak habuk dan tempat bersepah.

 

            Semakin kuat Meera ketawa. “ So apa plan kau seterusnya ? Hari ini nak test apa pula?”

 

            “Tak tahulah. Aku ikut flow saja. Tapi aku rasa bersalah pulak sebab asyik buat Cikgu Hawa naik angin. Dibuatnya Cikgu Hawa tu ada darah tinggi ke sakit jantung ke? Lain pulak jadinya nanti….” Talia luahkan rasa bersalahnya. Tak patut dia buat macam tu kat Cikgu Hawa.

 

            “Tapi kau janganlah buat dia marah terlebih pulak. Bagi marah ringan-ringan saja.”

 

            “Oklah! Esok pagi aku call kau lagi, sekarang aku nak kena kemas balik rumah ni. Semak kepala otak aku ni. Lagipun test seterusnya bermula pukul 11 pagi.”

 

            “Yalah. Aku pun nak kena hafal skrip lagi. Good luck for your next test.” Kata Meera.

 

            “Banyak la kau punya good luck. Okey, bye!” kata Talia sebelum tamatkan panggilan itu.

 

            Talia terus cekak pinggang. Dia geleng kepala beberapa kali melihat keadaan rumah itu. “ Disebabkan tak nak kahwin punya pasal, kerja gila macam ni aku sanggup buat.” Keluhan begitu kuat sekali. Talia mula kutip satu persatu pakaian dan kasut yang berselerak di ruang tamu.

 

                                    *********************************

 

            PINTU dikunci sebelum keluar. Talia tersenyum melihat Mahfuzah juga baru saja keluar dari rumah sebelah. “ Kak Mahfuzah!” tegur Talia dengan penuh ceria.

 

            Mahfuzah turut sama tersenyum.

 

            “ Jom, kita pergi sama-sama!” ajak Talia. Dia menoleh ke rumah Sakinah. “ Kak Sakinah tak ikut sekali ke?”

 

            “Awal-awal lagi Sakinah dah pergi rumah Mak Cik Hawa.”

 

            “Oooo….. Menantu pilihan kan…” Talia tersengih.

 

            Mahfuzah ketawa kecil.

 

            “Awal-awal lagi semua orang dah tahu, Kak Sakinah akan jadi menantu pilihan. Kita berdua ni hanya sekadar iklan dan pelakon tambahan saja. Kononnya nak meriahkan suasana aje….”

 

            Mahfuzah angguk kepala dan setuju dengan kata-kata Talia.  Hari pertama lagi dia sudah nampak keakraban Cikgu Hawa dan Sakinah. “ Akak nak tanya sikit boleh ?”

 

            “Boleh… Tanyalah….”

 

            “Talia datang sini sebab nak kahwin dengan Amir ke? Maksud akak, nak jadi menantu Mak Cik Hawa ke?”

 

            Talia tersengih. “ Kahwin? Amir tu pun Talia tak kenal, macam mana nak kahwin? Talia datang sini pun sebab nenek Talia. Nenek Talia dengan Datin Maimun kawan baik.  So kenalah ikut cakap nenek  bila nenek suruh datang sini. Lagipun Talia tak berharap sangat pun nak jadi menantu Auntie Hawa. Talia sedar Talia ni serba kekurangan. Hehehehe” Kata Talia dan diakhiri dengan ketawa. “ Kak Mahfuzah pulak macam mana?”

 

            “ Hmm…. Family akak banyak terhutang budi dengan Puan Zainab. Puan Zainab banyak tolong kami masa kami susah dulu. Jadi mak ayah akak setuju saja dengan pemintaan Puan Zainab. Akak pun tak berharap sangat. Kalau Sakinah terpilih pun, akak tak kisah.” Cerita Mahfuzah.

 

            “Nampak kita tergolong dalam bot yang sama.” Talia ketawa. Masing-masing setuju hanya kerana nak jaga hati orang lain.

 

            “Talia! Mahfuzah!”

 

            Mereka berdua menoleh. Mereka berdua berbual sampai tak sedar yang mereka sudah sampai di rumah Cikgu Hawa.

 

            “Cepat masuk, dah nak start…..” panggil Puan Aini. Dia berdiri di muka pintu rumah.

 

            “Ya… Ya….!” Jawab Talia. Dia dan Mahfuzah segera tanggalkan kasut dan melangkah masuk ke dalam rumah Cikgu Hawa.

 

                                    ***********************************

 

            CIKGU HAWA tersenyum melihat cara Sakinah menjahit. Begitu cekap Sakinah menjahit. Dia berpuas hati.

 

            Langkah menuju ke Mahfuzah pula. Cikgu Hawa turut sama tersenyum. Ternyata Mahfuzah ada bakat menjahit seperti Sakinah. Nampak sangat Sakinah ada saingan. Dia turut sama akui Mahfuzah juga calon isteri yang sesuai untuk Amir.

 

            Seterusnya, Cikgu Hawa dekati Talia. Senyuman terus hilang. Talia masih lagi terkial-kial cuba masukkan benang ke dalam lubang jarum. Orang lain dah siap jahit butang baju di kemeja, Talia pula masih lagi di peringat permulaan. Apa la yang Talia tahu sebenarnya, satu benda pun tak tahu buat… Macam mana nak jadi isteri yang perfect untuk Amir nanti? Argh… Talia ni masih dalam ketegori budak lagi, awal-awal lagi Talia dah disqualified.

 

            Auntie!” Talia tersengih.

 

            “Nak apa?”

 

            “Aaa…. Tolong ajarkan cara nak masukkan benang ni? Heheheh…. Talia tak tahu .”

 

            “Ini test ! Patutnya buat sendiri. Dulu, masa kat sekolah ada ujian, ada ke cikgu tolong kau jawab soalan ujian kau? Ada ke cikgu buat macam tu?” marah Cikgu Hawa.

 

            Talia terus tundukkan kepala.

 

            “ Kak Long ni, garang tak bertempat ! Apa salahnya kalau ajar sikit, nak masukkan benang saja pun …. “ tegur Puan Aini. “Kalau Kak Long tak nak ajar, biar Aini ajarkan.

 

            “Aini…. Ini…..”

 

            “Masukkan benang dalam lubang jarum tak termasuk dalam test ni pun, Kak Long. Tak ada masalah pun kalau Aini ajar Talia….” Puan Aini mencelah. Kadang-kadang tu perangai kakaknya itu melampau jugak. Cukup tegas dengan Talia. Kasihan pula bila tengok Talia sentiasa dimarahi kakaknya. Talia pula bukan jenis melawan, diam saja bila dimarahi…..

 

            Cikgu Hawa terus terdiam. Dia melihat adiknya ajar Talia masukkan benang ke lubang jarum. Dia hanya mampu memerhati.

2 comments:

Marsya said...

test

michelle said...

Izin promo ya Admin^^
bosan tidak ada yang mau di kerjakan, mau di rumah saja suntuk,
mau keluar tidak tahu mesti kemana, dari pada bingung
mari bergabung dengan kami di ionqq^^com, permainan yang menarik
ayo ditunggu apa lagi.. segera bergabung ya dengan kami...
add Whatshapp : +85515373217 ^_~ :))

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...