Thursday, January 26, 2023

Jeng Jeng Kau Tawan Hatiku Bab 1

 




Bab 1

            SAWAH PADI yang terbentang luas menjadi tempat kegemaran Hail sejak tiga bulan yang lalu. Sejak diberhentikan kerja di Kuala Lumpur, dia terpaksa pulang ke kampung halaman dia di Kedah. Sudah banyak interview dia pergi tapi tiada satu pun yang berjaya. Kerana kehabisan wang, dia balik ke rumah ibu bapanya. Di sini, dia masih cuba mencari pekerjaan namun nasib tetap sama. Kini dia sudah putus asa untuk mencari kerja.

            Hail yang duduk di pelantar kayu terus mengeluh setiap kali mengenangkan nasibnya. Tambahan pula, teman wanitanya meninggalkan dia kerana dia sudah tiada apa-apa lagi. Dulunya dia marketing manager di sebuah syarikat swasta yang terkenal di ibu negara. Ada duit dan ada kereta Tetapi tiba-tiba saja syarikat itu muflis dan pemilik syarikat itu melarikan diri tanpa membayar sesen pun pada semua pekerjanya. Semasa itu terjadi dunianya terus gelap gelita. Dia sudah plan untuk melamar Sofea. Plan nak beli rumah la! Tapi tak sangka dirinya diuji sebegini. Kereta Mazda dia pun dia terpaksa jual sebab tak mampu bayar termasuklah motorsikal kesayangan dia. Kenapa la dirinya diuji seberat ini?

            “Oiii…. Hail! Hang buat apa tengah panas ni? Masuk! Makan! Tengahhari macam ni hang boleh duduk kat situ?” jerit Mak Doyah dari pintu dapur rumah.

            Hail hanya terdiam. Dia masih duduk di situ.

            “Hail! Hail! Oiii…. Hail Ali B. Yunus! Hang dengaq tak apa mak cakap ni?” Kali ini suara Mak Doyah boleh dengar satu kampung. Mengalahkan speaker! Nama penuh anaknya terus keluar!

            “Ya Allah! Doyah, nak satu kampung dengaq hang panggil Hail ka? Agak-agak la nak panggil macam tu!  Malu la!” tegur Pak Yunus.

            “ Abang! Hati saya tengah panas ni! Malu tu tolak tepi. Anak kita tu dah pekak agaknya. Saya panggil, dia tak sahut pun. Yang dia tahu asyik duduk kat pelengaq tu. Lama-lama boleh jadi batu.” Marah Mak Doyah dengan wajah merah padam. Perangai Hail sentiasa menguji kesabaran dia.

            “Tak baik cakap macam tu kat anak sendiri. Dia ada masalah.”

            “Masalah! Siapa yang tak ada masalah kat dunia? Cuba cakap! Dia ingat dia seorang ada masalah! Kita ni yang tua pun ada masalah. Ingatkan dah besaq panjang, kita boleh releks tapi lain pulak jadinya.” Mak Doyah mula membebel.

            “Sat abang pi panggil Hail! Nanti dia masuk, jangan Doyah dok pot pet pot pet pulak!” kata Pak Yunus. Dia terus menyarungkan seliper di pintu dapur. Langkah menghala ke arah pangkin kayu yang terletak di bawah pokok rambutan gading.

            Mulut Mak Doyah terus muncung. Dia mendengus kuat sebelum masuk ke dapur. Tak habis-habis suaminya nak sebelahkan anak bongsu mereka. Sudah tiga bulan Hail balik sini namun masih jugak tak dapat kerja. Dalam masa tiga bulan ini, Hail lebih banyak  menyendiri dan termenung. Tak buat apa-apa langsung.

                                                            *******************

            PAK YUNUS mendekati Hail. Kehadiran dia masih tidak disedari. Punggung dilabuhkan perlahan-lahan di sebelah Hail. Teringin jugak nak tahu apa yang menarik kerana Hail asyik memandang ke arah sawah padi itu setiap hari.

            Kedengaran Hail mengeluh perlahan-lahan.

            “ Ada kalanya hidup ini buat kita hilang arah!.” Pak Yunus bersuara.

            Hail menoleh. Pandangan tepat ke arah ayahnya.

            “ Ingat, perjalanan hidup ini luas tapi jangan sesekali putus asa mencari hala tuju hidup kita. Banyakkan bersolat dan berdoa agar Allah Ta’ala memberi petunjuk pada kita.” Tambah Pak Yunus sekali lagi.

            Hail tersenyum kelat.

            “Jom masuk! Mak hang panggil makan! Lambat masuk nanti, mak hang bertukaq jadi raksasa pulak.” Pak Yunus ketawa kecil. Dia bangun dan mula berjalan ke arah rumah.

            Hail bangun dan mengekori ayahnya masuk ke dalam rumah.

            “Amboi, nak kena jemput baru nak masuk rumah!” perli Mak Doyah sebaik saja anak dan suaminya melangkah masuk. Dia sudah pun siap menghidang makan tengahhari. Jelingan maut tepat ke arah Hail.

            Tanpa mempedulikan sindiran ibunya, Hail menarik kerusi dan terus duduk. Sepanjang tinggal di sini telinga dia sudah imun dengan kata-kata ibunya. Tak habis-habis nak perli dia. Mentang-mentang la dia penggangur dalam rumah ni.

            “ Bagi la Hail makan dulu! Depan rezeki ni takkan nak bergaduh kot.” Tegur Pak Yunus. Dia menggelengkan kepala dengan telatah isterinya. Bila nampak Hail, mulut tak pernah duduk diam. Asyik perli kerjanya.

            Wajah Mak Doyah terus masam. Ditarik kerusi dan terus duduk berhadapan suaminya.

            Pak Yunus menadah tangan dan terus membaca doa makan. Kemudian mereka bertiga makan bersama-sama.

            Hail terus mengambil lauk pauk yang dimasak ibunya dan diletakkan di dalam pinggan nasinya. Dia makan dengan penuh berselera. Sekejap saja nasi sudah habis, dia terus bangun dan menambah nasi.

            Gerak geri Hail diperhatikan oleh Mak Doyah. Kerja tak tapi kalau bab menghabiskan beras kat dalam rumah ni memang nombor satu. Geram betul!

            “ Hang ni makan ke telan?” Mak Doyah bersuara sebaik saja Hail duduk di kerusinya semula.

            Tanpa mempedulikan ibunya, Hail mencedok gulai nangka ke dalam pinggan nasinya. Dipekakkan saja telinga.

            “ Kerja tak, makan nak! Apa la nak jadi dengan hang ni, Hail? Cuba hang cermin diri hang la ni! Dari kurus handsome tapi la ni dah tukaq jadi beruang. Makan tiduq! Makan tiduq! Kerja satu apa tak mau buat! Pemalas nak mampus.” Sudah bermulanya leteran Mak Doyah.

            Kata-kata ibunya tadi menyebabkan Hail hilang sabar. Dia terus berhenti makan. Sebak hati ini.

            “Mak ni selalu buat Hail stress! Nak makan pun tak senang!” Hail mula membuka mulut melawan.

            “ Hang ingat hang seorang stress! Mak pun stress jugak dengan perangai hang. Dah berbulan-bulan memerap kat rumah. Kalau anak dara boleh jugak bagi kahwin, kalau anak teruna sapa mau kahwin! Dah la tak ada kerja, duit dah tentu habuk pun tak dak! Takkan la bini nak tanggung suami kot!” Semakin meleret leteran Mak Doyah.

            “Tahu la diri ni menumpang rumah mak, tak payah la nak hina Hail sampai macam tu sekali! Tak ada selera nak makan!” Hail terus bangun dan berjalan ke singki. Kecik hati dengan kata-kata ibunya. Laju saja menonong meninggalkan ibu bapanya.

            “Tak berselera apanya? Satu pinggan hang dah habis bedal. Ni nasi hang yang tambah ni sapa nak makan? Hish… budak bertuah ni! Tahu bazir saja.” Mak Doyah mengetap bibir. Perangai anak bongsunya menguji kesabaran betul!

            “Bagi la Hail makan dengan aman damai. Bila Hail tu depan mata, mulut tu tak henti-henti membebel. Sapa tahan! Biar la Hail tenang, otak tengah berserabut tu. Dibuatnya Hail putus asa terus nak cari kerja, Doyah jugak yang susah kan!” kata Pak Yunus sebelum menyambung semula makan. Malas nak layan drama isterinya itu. Bila Hail depan mata, ada saja tak kena.

            Air muka Mak Doyah berubah selepas mendengar cakap suaminya.


No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...