Thursday, January 26, 2023

Jeng Jeng Kau Tawan Hatiku - Bab 2

 



Bab 2

            PAGI INI Hail menggoreng cucur udang yang dibuatnya sebentar tadi. Tiba-tiba saja dia teringin nak makan. Lagipun kuah kacang sudah pun siap. Makan cucur udang dengan kuah kacang memang mantap. Tangannya begitu ligat menggoreng. Lagipun resipi udang goreng ini dia belajar dari arwah datuknya.

            “Masak apa tu?” tanya Pak Yunus yang muncul dari arah belakang Hail.

            “Cucur udang! Tiba-tiba teringat cucur udang tok wan!” jawab Hail.

            “Ayah pun dah lama tak makan! Kadang-kadang tu rindu jugak dengan cucur udang tok wan hang tu. Mak hang masak, rasanya tak sama. Aaa… Sebut pasal mak hang? Mana mak hang? Sunyi sepi saja selalunya kalau ada hang, macam-macam bunyi ,ayah dengaq.” Kata Pak Yunus. Tiba-tiba dia teringat pasal ayahnya. Dalam masa yang sama mencari kelibat isterinya. Pelik! Hanya Hail seorang saja.

            “Mak cakap nak pi ambik lengkuas kat rumah Mak Endon sebelah rumah.” Jawab Hail. Cucur udang yang sudah masak, diangkat dan diletakkan dalam bekas yang hampir penuh dengan cucur udang yang dimasaknya. Api dapur segera ditutup.

            “Alasan! Itu mesti pi nak dengaq gossip terbaru. Sapa tak kenal dengan Mak Endon hang  tu, wartawan CNN kampung ni. Berita terkini dan sensasi semuanya Mak Endon hang tau.” Pak Yunus menggelengkan kepala. Kerusi di meja makan ditarik dan terus duduk. Dia bersiap sedia nak makan.

            Hail meletakkan bekas yang mengandungi cucur udang di tengah -tengah meja bulat itu.

            “Nak panggilkan mak ka?” tanya Hail. Semuanya sudah siap terhidang, tunggu nak makan saja. Kelibat ibunya masih belum balik.

            “ Tak payah, biaq kita makan dulu. Mak hang mesti dah kenyang dengaq gossip Mak Endon hang tu. Aaa…. Hang dah okey dengan mak hang ka?” tanya Pak Yunus. Teringat apa yang berlaku! Iyalah makan malam, Hail tak makan sekali pun.

            “Dah okey dah!” ringkas jawapan Hail. Dia takkan gaduh lama-lama dengan ibunya. Lagipun kebelakangan ini diri dia memang sensitif. Cepat terasa!

            “Mak hang tu memang lagu tu! Berbuih mulut ni bagi nasihat, sikit pun tak dengaq. Ayah nak tanya, hang dah pikiq nak buat apa lepas ni? Apa plan hang?”

            “Tak tau ayah! Otak ni dah tak larat nak pikiq.”

            “Jangan la macam tu! Jangan cepat nak putus asa! Hidup ni kena teruskan! Macam ni ayah hanya bagi idea saja kat hang. Hang pikiq la dulu, apa pun keputusan hang, ayah terima.”

            “Apa dia, ayah?” Nada suara Hail berlainan. Tiba-tiba dia berminat nak tahu.

            “ Tu tanah tok wan hang 40 hektar tu, hang usahakan tanah tu dari dok biaq semak samun macam tu. Ayah ni dah tak larat nak uruskan. Bila kerja lebih-lebih, mula la sakit belakang. Hang nak tanam apa pun, tanam la.” Pak Yunus memberi idea.

            “Tapi Hail tak ada basic pengetahuan pasal pertanian pun.” Jawab Hail dengan dahi berkerut. Nak bercucuk tanam, dia tak pernah terfikir pasal soal ini pun.

            “ Ala… Boleh belajar kan! Lagipun kerajaan kita memerlukan ramai usahawan tani muda untuk menerokai dunia pertanian.  Jabatan pertanian jugak ada tawarkan kursus dan Latihan untuk siapa yang berminat. Daftar saja! Tak rugi pun. Tanam pokok pisang lagi senang, banyak jugak permintaan kat pasaran. Tapi ini cadangan ayah saja.” Tambah Pak Yunus dengan panjang lebar.

            Hail diam membisu berfikir.

            “Ini cadangan ayah kedua pulak!”

            Hail terkejut dan melihat ayahnya semula.

            “Hang kan suka memasak! Warung tok wan hang tu tinggal macam tu ja lepas tok wan hang tak dak. Mee kuah tok wan hang memang kegemaran orang kampung kat situ. Depa asyik dok cakap teringat kat mee kuah tok wan hang. Tahun lepas masa hari raya hang masak mee kuah rasanya sebijik macam tok wan hang buat. Kalau hang berminat nak buka balik mee kuah tok wan hang, ayah memang setuju seratus peratus. Ayah boleh bagi modal.” Pak Yunus memberi cadangan yang kedua.

            Hail terdiam. Otak ligat berfikir. Tiba-tiba teringat warung datuknya yang terletak di hadapan rumah. Selepas tiga tahun datuknya meninggal dunia, warung itu ditinggalkan begitu saja. Hakikatnya sejak di bangku sekolah lagi, tiap kali balik sekolah dia akan menolong datuknya di warung. Memang dia tahu resipi mee kuah datuknya.

            “Apa pun! Hang pikiq dulu habis-habis! Nanti hang bagitau ayah! Jom makan! Sejuk nanti tak sedap pulak!” kata Pak Yunus. Dia terus menceduk kuah kacang ke dalam piring kecil.

            Hail masih kaku di kerusinya. Hilang terus selera dia nak makan. Wajah serius memikir.

 

                                    ************************************

            PETANG INI, ibunya menyuruh pergi ke kedai runcit Pak Abu yang terletak hanya beberapa meter dari rumah. Hail malas nak pergi ke situ lebih-lebih lagi kalau isteri Pak Abu, Mak Endon turut sama ada di situ. Mana taknya, tiap kali jumpa dia mesti bertanya, sudah dapat kerja ke belum! Eee… memang stress! Semua benda Mak Endon nak ambil tahu. Tapi kalau dia tak ikut cakap ibunya, mula la ibunya berleter. Harap-harap la Mak Endon tak ada.

            Dengan seliper buruk, Hail mengheret kakinya ke kedai runcit Pak Abu. Dalam hati tak berhenti berdoa agar hanya ada Pak Abu seorang saja.

            Langkahnya terhenti dan melihat tanah di sebelah kiri jalan. Penuh dengan semak samun.

            “Kalau tak silap ini tanah tok wan yang ayah cakap! Memang luas!” Hail bercakap seorang diri. Selepas beberapa minit berdiri di situ, dia menyambung semula langkah. Bimbang jika lambat nanti ibu singa kat rumah mengamuk.

            Tibanya di kedai Pak Abu, Hail tersenyum apabila melihat Pak Abu di depan kedai. Dia menegur dan terus masuk ke dalam kedai. Dia perlu beli barang-barang yang dipesan ibunya dengan segera.

            Hail memasuki lorong kedai itu dan terkejut dengan kehadiran dua orang wanita yang memakai uniform jururawat. Dengan pantas dia mengubah haluan. Seboleh-bolehnya dia ingin elakkan diri dari berjumpa mereka berdua yang menyewa di rumah Mak Endon.

            Hail mencapai barang-barang dan terus ke kaunter.

            “Ni saja ?” Pak Abu tersenyum.

            “Ni saja yang mak pesan!” jawab Hail. Dia melihat Pak Abu yang sedang mengira.

            “Aaa… Hail! Baru nampak muka hang, ingatkan tak mau keluaq rumah dah!” Mak Endon tiba-tiba saja muncul.

            Wajah Hail terus berubah. Malas dilayan kata-kata Mak Endon sebentar tadi.

            “Berapa, Pak Abu?” tanya Hail. Dia mahu cepat beredar dari situ. Semakin lama dia di situ, dirinya semakin bahaya.

            “RM 55!” jawab Pak Abu.

            “RM 55!” Wajah Hail jelas terkejut. Wang kertas RM 50 dikeluarkan dari poket seluar. Ibunya yang bagi tadi. Dia memang tak ada duit langsung. Semakin pucat wajah Hail.

            “Ini RM 5!” Tiba-tiba saja ada suara di sebelah Hail.

            Hail terkejut dengan kehadiran dua orang jururawat masyarakat itu. Macam mana dia tak sedar yang mereka berdua beratur di belakang dia.

            “Ambil la!” kata Akifah. Wang itu masih dihulurkan pada Hail.

            “Orang dah tolong, ambil la! Hang tu mana ada duit.” Kata Mak Endon dan terus mengambil wang itu dari tangan Akifah. Diberikan wang itu pada suaminya.

            Pak Abu menjeling pada isterinya. Boleh pulak isterinya cakap macam tu kat Hail.

            “Aaa… Terima kasih, nanti saya bayar balik.” Kata Hail pada Akifah tanpa bertentang mata. Diambil bag plastik dan berjalan laju keluar dari kedai runcit Pak Abu.

            “Eee…. Malunya! Mak pun satu, nak beli barang banyak tapi bagi duit sikit saja. Mak Endon pula masa begini jugak dia ada kat kedai.” Hail berjalan dengan laju menuju ke rumahnya. 


No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...