Friday, January 27, 2023

Jeng Jeng Kau Tawan Hatiku - Bab 3

 

Bab 3

            AKIFAH berjalan keluar dari rumah sewa dan menuju ke arah kereta Perodua Ativa miliknya. Ada sampul surat berwarna putih di wiper kereta. Diambil sampul itu dan dibuka. Ada wang RM 5 dengan nota kecil. Kemudian Akifah tersenyum.

            “Siapa bagi?” tanya Elma yang baru saja mengunci pintu rumah. Dia mengorak langkah menghampiri teman serumahnya . Mereka berdua nak pergi kerja ke klinik desa. Tertanya-tanya siapa yang letak sampul surat di kereta Akifah pada waktu pagi begini.

            Akifah mengeluarkan wang RM 5 dan ditunjukkan pada Elma.

            “Abang Hail!” kata Elma.

            Akifah tersenyum dan menganggukkan kepala dengan laju.

            “Seronok la tu!” usik Elma. Dia tahu Akifah sukakan Hail sejak anak bongsu Mak Doyah menyelamatkan Akifah yang terjatuh dalam parit bulan lepas.

            “Ya!” jawab Akifah tanpa segan silu.

            “ Kau ni macam tak ada lelaki lain, kau nak suka! Abang Hail tu dah la tak ada kerja. Rupa tu ada la sikit. Badan tu asyik membesar saja. Kau tak sesuai la dengan Abang Hail tu. Aaa…Macam beauty and the beast! Cari la lelaki yang secocok dengan kau. Kau tu lawa. Anak doktor pulak tu!” kata Elma. Pada pendapat dia, Akifah boleh cari lelaki yang jauh lebih baik.

            “Ala …Handsome! Badan sado! Semua tu takkan kekal bila sudah tua. Ni …. Hati ni yang penting. Abang Hail bintang di hati dan jugak bintang di jiwa aku. Masa aku jatuh ke parit hari itu, Abang Hail tak teragak-agak nak tolong aku pun walaupun kami belum kenal. Susah nak dapat lelaki baik hati macam Abang Hail.”

            “Orang kalau dah angau, tak guna cakap apa pun! Jom! Nanti lewat sampai klinik pulak!” kata Elma. Dia terus masuk ke dalam perut kereta Akifah.

            Akifah memasukkan semula duit itu ke dalam sampul surat. Dia akan simpan duit ini dengan baik. Jangan harap dia nak guna. Akan disimpan menjadi kenangan.

                                                ******************************

            SELESAI saja menyidai pakaian di ampaian, Mak Doyah berjalan semula masuk ke dalam rumah. Langkah terhenti di depan pintu dapur, dia menoleh. Dia melihat Hail masih tercegat di hadapan tanah bapa mertua yang berhadapan dengan rumah mereka.

            “Apasal pulak dengan Hail tu? Terpacak kat tepi jalan.” Kata Mak Doyah. Sebelum dia menyidai baju tadi, Hail sudah pun berdiri di situ. Tertanya-tanya kenapa Hail tercegat kat situ.

            “ Apa yang menarik kat luaq tu?” tanya Pak Yunus yang muncul di belakang isterinya.

            “Abang ni! Terkejut tahu tak?” marah Mak Doyah. Suka sangat muncul tiba-tiba.

            “Takkan nak kena bagi salam dulu kot! Aa…. Pasal pa? Doyah tengok apa?”

            “Hail! Tercegat kat tepi jalan dari tadi lagi. Apa yang menarik sangat kat tanah ayah tu? Semak samun!”

            “Aaa…. Hail tengah survey tu! Dia buat keputusan nak usahakan tanah ayah!” beritahu Pak Yunus. Malam tadi Hail beritahu keputusannya pasal cadangan Pak Yunus malah Hail sudah pun mendaftar untuk menyertai kursus dan latihan yang dianjurkan oleh pihak Jabatan Pertanian Kedah.

            Mak Doyah ketawa dengan kuat. Geli ketiak ni dengar cakap suaminya.

            “Abang ni buat lawak la! Hail tu nak usahakan tanah ayah? Biar betul? Sanggup ke Hail tu buat kerja kat tengah panas selama ini kan kerja kat tempat air cond saja? Semua tu hangat tahi ayam!”

            “Eh.. Eh! Doyah, awat cakap macam tu! Patutnya sebagai mak, kena sokong pilihan anak-anak! Akhirnya Hail ada matlamat hidup. Daripada Hail duduk termenung mengenangkan nasib , baik Hail bangun dan terus berusaha. Lagipun Hail sudah ada plan! Hail plan nak tanam pokok pisang dengan kelapa pandan. Hail dah daftar nak ambil kursus dan latihan kat Jabatan Pertanian. Warung ayah tu pun, Hail nak perbaiki. Dia ingat nak buka balik Mee Kuah Tok Wan Mat.” Cerita Pak Yunus.

            “Hail betul-betul serius ka?”

            “Ya la! Siap dia sediakan kertas kerja untuk abang lagi.” Kata Pak Yunus dengan wajah serius.

            Mak Doyah terdiam. Kalau betul Hail serius nak buat semua, dia memang tak ada halangan.

 

                                                            ************************

            HAIL terbaring di atas pelantar kayu. Mata terpejam rapat. Penat masih lagi terasa. Maklum la sebelum ini sudah lama dia tak buat kerja. Pagi tadi dia sudah mula membersihkan tanah datuknya. Pokok kecil dan semak samun ditebas sehingga bersih. Sehingga tengahhari dia bekerja. Habis basah lencun baju dia. Peluh memercik keluar.

            Nanti selepas Asar, dia akan membersihkan pula warung datuknya. Dia perlu tengok apa yang perlu diperbaiki. Ayahnya pula setuju untuk mengeluarkan modal. Lagipun dia akan membayar semula selepas mendapat keuntungan nanti.

            Kedengaran azan Asar berkumandang, Hail segera bangun dan mempercepatkan langkahnya masuk ke dalam rumah. 

            Usai solat Asar, Hail keluar dan berjalan ke arah warung milik datuknya. Sudah tiga tahun warung ini ditinggalkan. Nampak usang! Dia ingat lagi semasa datuknya masih ada, orang kampung selalu datang melepak di sini .Semestinya meriah! Orang datang tak henti-henti, ada juga orang datang jauh semata-mata nak rasa mee kuah datuknya. Tetapi selepas datuknya meninggal dunia, warung ini ditutup kerana tiada siapa mahu ambil alih. Maklumlah adik-beradik ayahnya semuanya ada kerjaya sendiri. Masing-masing tidak berminat dengan dunia masakan. Ayahnya peguam, pak ciknya pula doktor manakala mak ciknya pensyarah.

            Hail mula mencabut rumput-rumput yang ada di sekeliling kedai itu. Plan hari ini dia akan membersihkan sekeliling warung ini dulu.

            “ Laa… Awat tak bagitau ayah kata nak bersih kedai hari ini? Ayah dengan mak hang boleh tolong!” kata Pak Yunus sebaik saja mendekati Hail. Selesai solat Asar tadi, dia nampak Hail di warung.

            “ Ala …. Ayah! Setakat nak cabut rumput dengan sapu sampah, seorang saja buat dah cukup!” kata Hail.

            “Lagi ramai buat, lagi cepat habis kerja.” Kata Pak Yunus. Lagi pun selepas bersara empat tahun lepas, dia tak ada buat apa-apa kerja pun.

            Hail tersenyum. Dia menyambung semula kerjanya.

            Tiba-tiba kedengaran bunyi hon kereta. Hail menoleh. Dia melihat kereta Ativa berhenti di hadapan warung.

            “Alamak, dia singgah pulak!” kata Hail dengan nada perlahan. Dia terus menyambung kerjanya. Dia malas nak layan.

            “Assalammualaikum, Pak cik!” Akifah yang baru saja keluar perut keretanya menghampiri mereka berdua.

            “Waalaikumussalam! Akifah, baru balik kerja ke?” jawab Pak Yunus.

            “Ya. Tengah buat apa ni? Macam nak buka warung  saja!” teka Akifah.

            “Memang pun! Hail ni, dia nak buka balik warung mee kuah Tok Wan Mat!” jawab Pak Yunus lagi.

            “Abang Hail pandai masak?”

            “Hail ni memang terror bab memasak. Dulu masa kecik-kecik, dia selalu tolong tok wan dia kat warung.” Pak Yunus tersengih.

            “Kalau macam tu tak sabar la saya nak makan mee kuah Abang Hail.” Akifah tersenyum seraya mencuri pandang ke arah Hail. Namun Hail sikit pun tak memandang ke arahnya. Yang jelas Hail begitu sibuk mencabut rumput di tepi warung. Kehadiran dia tak dipeduli.

            “ Tak tahu la nak buka bila! Sebab banyak benda nak kena buat! Nak repair lagi! Nak kena cat lagi? Ambil masa jugak. Tapi kalau dah nak opening nanti, pak cik letak banner besaq-besaq kat depan warung ni.” Kata Pak Yunus dengan ramah sekali.

            “Kalau dah buka nanti, confirm kami datang beli selalu. Aaa… Pak cik! Ni pisang goreng! Kami beli dekat simpang tiga tadi. Pak cik sekeluarga makan la! Saya minta diri dulu. Assalammualaikum…” Akifah memberi bag plastik itu pada Pak Yunus sebelum berlalu pergi.

            “Terima kasih! Waalaikumussalam!”  ucap Pak Yunus. Dia tersenyum ke arah kereta Ativa yang bergerak meninggalkan mereka berdua.

            “Hang ni ayah tengok tiap kali kalau Akifah dan Elma ada, hang tak pernah cakap dengan depa pun. Depa yang selalu tegur hang. Apa salahnya kalau sesekali bertegur sapa, apa orang cakap beramah mesra! Tak salah kan!” Pak Yunus membuka mulut. Hakikatnya dia perasaan dengan perangai Hail.

            “ Segan la ayah! Tak tahu nak cakap apa dengan depa tu!” jawab Hail. Dia melihat ayahnya.

            “Hmm… Suka hati hang la! Ayah nak masuk sat pi hantaq pisang goreng ni kat mak hang. Sat gi ayah mai.” Kata Pak Yunus. Dia berjalan dengan membawa bag plastic biru itu.

            Hail kembali meneruskan kerjanya. Dia tak mahu ambil peduli langsung pasal orang lain. Jaga hati sendiri lagi penting.






No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...