Monday, January 30, 2023

Jeng Jeng Kau Tawan Hatiku - Bab 4

 

Bab 4

            HAIL keluar dari bilik air. Rasa segar selepas mandi. Pagi ini dia bertungkus lumus menebas sehingga 1 hektar. Ayahnya turut sama membantu.

            “Esok hang ada kursus kan? Baju dengan seluaq hang muat lagi ka?” soal Mak Doyah apabila melihat kelibat Hail.

            “ Muat lagi la, mak! Berat Hail bukannya lebih dari 100 kg.” Wajah Hail terus bertukar masam. Mood terus berubah selepas ibunya berkata sebegitu. Memang terasa! Gemuk sangat ke dia sampai baju pun tak muat?

            “ Macam mana hang tahu? Hang timbang ke berat badan hang tu? Mak yang tengok hang hari-hari, mak tau la.” Tambah Mak Doyah. Dia bercakap perkara benar. Iyalah sejak balik sini, asyik makan lepas tu tak buat apa-apa cuma beberapa hari ini Hail rajin menebas tanah bapa mertuanya yang seberang jalan. Takkan la nak pergi kursus pakai baju ketat kot!

            Muncung terus mulut Hail. Langkah diteruskan ke biliknya. Dia malas nak melayan kerenah ibunya. Lagi lama dia di situ semakin kecik hati ni.

            Sebaik saja pintu bilik ditutup, Hail berhenti di almari pakaian.

            “Betul ka aku ni gemuk sangat? Rasanya macam berisi sikit saja. Kalau rumah ni ada penimbang, dah lama aku timbang!” Hail mula meragui dirinya.

            Pintu almari terus dibuka.

            Baju t-shirt berjenama miliknya dulu diambil. Ditanggalkan t-shirt lusuh yang dipakainya tadi.

            Apabila dia cuba memakai t-shirt berjenama itu, rasa begitu susah sekali. Dipaksa jugak pakai. Ketat! Dia melihat perutnya yang buncit itu. Cermin almari terus didekati. Dirinya sendiri terkejut melihat tubuhnya sekarang ini.

            “Rasanya ini baju yang lama. Ada baju lain lagi!” Hail masih cuba menindakkan apa yang dia nampak di sebalik cermin itu. Dia terus membuka baju dan mula selongkar almari pakaian dia. Dikeluarkan t-shirt lain pula! Dia cuba sekali lagi. Hakikatnya tetap sama! Ketat! Rasa tak selesa. Sekali lagi dia melihat dirinya di cermin.

            “Hang dah gemuk, Hail! Terima la hakikat! Apa mak cakap tu betul! ”  Hail bercakap seorang diri. Dia terus buang t-shirt yang dipakainya itu ke tepi.

            “Nampaknya petang ni aku kena keluaq pi pekan beli baju baru! Kalau t-shirt pun tak muat, dah tentu seluaq pun tak muat. Tapi aku ada ke duit nak beli? Takkan nak pinjam kat ayah lagi? Dah banyak duit aku pinjam dari ayah! Rasa segan la pulak! Pinjam kat mak? Nak cari nahas namanya. Duti tak dapat tapi sakit hati yang dapat. Hmm… takkan nak pinjam dengan Along? Angah? Baik tak payah, kalau kakak-kakak ipar tahu, mereka berdua tu mesti bagitau mak! Nampaknya bertambah hutang aku kat ayah lagi.” Hail menarik nafas dan menghembus perlahan-lahan.

                                                ***********************************

            SELEPAS solat Asar, Hail membonceng motorsikal Honda EX5 milik ayahnya. Sejak menetap semula di kampung, dia tak pernah lagi jejakkan kaki di pekan Pendang ini. Asyik duduk di rumah kerana malu. Iyalah dulunya dia berpangkat besar. Ada kereta besar! Dari hujung rambut sehingga hujung kaki semuanya berjenama. Tinggal pun dekat apartment mewah. Melancong sana sini. Maklum la bila senang, tak ingat dunia. Bila syarikat dia bangkrupt, dia hilang semuanya dalam sekelip mata. Teman wanita pun lari. Kawan-kawan baik pun mula menjauhkan diri. Dari situ boleh lihat siapa kawan sejati. Itu la semasa senang dulu, tak reti nak bersyukur pada Allah Ta’ala. Asyik seronok saja. Bila sudah jatuh tersungkur baru teringat pada Allah Ta’ala.

            Dari rumahnya hendak ke pekan Pendang hanya mengambil masa selama 20 minit. Tibanya di destinasi yang ingin dituju, dia terus letak motorsikal di hadapan supermarket . Hail berjalan masuk dan mencari bahagian pakaian lelaki. Dia mula mencari dan memilih. Yang penting harga mesti murah. Dia mulakan misi mencari. Dia mencari warna yang sesuai dan juga selesa untuk dipakai.

            Selesai saja urusan memilih, Hail berjalan ke kaunter. Dia hanya ambil sehelai t-shirt, sehelai kemeja dan sepasang seluar. Dia pinjam RM 100 saja.

            “RM 120!” kata juruwang perempuan.

            “Apa! Eh, bukan ka seluaq tu lepas diskaun RM 39.” Tanya Hail dengan wajah terkejut. Sebelum dia datang kaunter ,dia sudah kira semuanya. Jumlah yang sepatutnya bawah RM 100. Macam mana boleh terlebih? Dia melihat duit yang ada di tangannya. Memang tak cukup kalau nak bayar.

            “Ini seluaq lain. Abang tersalah ambil ni. Yang lepas diskaun RM 39, sebelah dia saja. Seluaq ni tak dak diskaun.” Tambah juruwang itu lagi.

            Hail mengeluh perlahan. Dia sudah berkenanan dengan seluar ni. Terpaksa la pilih semula.

            Tiba-tiba duit di tangan Hail diambil, Hail terkejut melihat Akifah.

            “Ini RM 120!” kata Akifah. Ditambah baki wang Hail yang tak cukup tadi. Kebetulan dia nampak Hail masuk ke sini, dia terus ekori dan perhatikan gerak-geri Hail. Terang-terang, Hail tidak menyedari langsung kehadiran dia di situ.

            Jururawang itu terus mengambil wang.

            Hail terpinga-pinga dengan apa yang berlaku. Takkan la dia nak biarkan Akifah bayar lagi. Semiskin-miskin dia pun, ada maruah diri. Berhutang dengan perempuan, dah tentu rasa malu. Dia menoleh ke arah juruwang itu.

            Hail kaku apabila juruwang itu menghulurkan bag plastik dan resit kat dia. Ikutkan hati dia mahu cancel tetapi apa pulak kata Akifah nanti. Serba salah jadinya.

            Dengan lemah, Hail mengambil bag plastik dan resit. Wajah berona merah.

            “Nanti balik rumah, saya bayaq balik.” Hail bersuara. Dia bertentang mata dengan Akifah yang masih memakai uniform jururawat.

            “It’s okey! Tak bayar balik pun tak apa! Ala … RM 20 saja.” Jawab Akifah dengan mesra. Rasa nak gugur jantung ini mendengar suara Hail. Selalunya payah sangat nak dengar.

            “Mana boleh macam tu! Dah hutang kena la bayaq. Balik rumah nanti saya bayaq, saya bawa duit cukup-cukup saja tadi.” Tegas Hail.

            “Hmm… Kalau macam tu, teman saya makan ais kacang  ke cendol ke? Nak tak? Abang Hail teman saya makan ja, kiranya hutang terus langsai.” ajak Akifah. Dia menggunakan peluang ini untuk rapat dengan Hail. Hati berdebar sakan.

            “Maaf, saya ada hal lepas ini. Apa-apa pun terima kasih sebab tolong saya tadi, saya akan bayaq balik duit awak hari ini jugak. Saya tak suka hutang lama-lama dengan orang. Aaa.. Saya minta diri dulu.” Cepat-cepat Hail menolak ajakkan Akifah. Dia hargai pertolongan Akifah tetapi lebih baik dia jauhkan diri. Dia tak mahu ada orang kampung nampak mereka berdua kat sini. Tak pasal-pasal ada gossip pulak. Lebih baik dia angkat kaki.

            Air muka Akifah berubah. Dia segera mengekori Hail yang sudah keluar dari supermarket. Mulut ingin menyatakan sesuatu namun lidahnya kelu untuk meneruskan kata-kata kerana Hail jelas tergesa-gesa cuba melarikan diri dari dia.

            Hail menghidupkan enjin motorsikal dengan segera selepas memakai helmet. Dia sempat melirik ke arah Akifah yang berdiri tidak jauh dari motorsikal.

            “Assalammualaikum!” kata Hail sebelum meninggalkan Akifah. Dia tak menoleh ke belakang langsung. Motorsikal itu bergerak memasuki jalan besar.

            Apabila lampu trafik bertukar merah, Hail menghentikan motorsikal. Dalam hati dia mengeluh. Sejak dia selamatkan Akifah yang terjatuh dalam parit bulan lepas, dia dapat merasakan seperti Akifah cuba mengorat dia. Perasaan dia saja ke? Atau dia yang salah faham! Hatinya mula berteka-teki. Apa yang dia rasa sekarang ini, dia rasa tak selesa tiap kali Akifah ada.

            Bunyi hon kereta mengejutkan Hail.

            Kereta Honda Civic berhenti di sebelah Hail. Cermin kereta diturunkan.

            Wajah bertukar keruh sebaik saja bertentang mata dengan pemilik kenderaan itu.

            “Aik …. Motor dah downgrade ka? Mana perginya motor Benelli hang? Oh ya, dah jual sebab dah tak ada kerja! Kasihan kat hang, terpaksa naik motor kapcai pak hang!” sindir Yusri. Diakhiri kata-katanya dengan ketawa.

            Hail mengetap bibir. Setiap kali jumpa Yusri memang menyakitkan hati betul. Dia tak tahu apa masalah Yusri sebenarnya. Tahu cari gaduh dengan orang saja. Kata kat orang tak ada kerja, Yusri pun tak kerja jugak. Tahu habiskan duit mak ayah saja. Mentang-mentang la anak ketua kampung. Berlagak nak mampus.

            Apabila lampu trafik bertukar hijau, kereta Honda Civic terus memecut laju.

            Hail menggelengkan kepala dengan perangai Yusri. Sejak dari bangku sekolah sehinggalah sekarang, perangai masih kebudak-budakkan. Motorsikalnya bergerak perlahan-lahan pulang ke rumah.




No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...