Monday, January 30, 2023

Jeng Jeng Kau Tawan Hatiku - Bab 5

 

Bab 5

            HUJUNG minggu sudah tiba, Akifah melabuhkan punggungnya di sofa. Semua kerja rumah sudah selesai dibuat. Dia bosan hari ini kerana Elma pulang ke kampung. Dia melihat sekeliling ruang tamu. Mulut sekejap bergerak ke kiri, sekejap pula bergerak ke kanan.

            “Kalau aku ada boyfriend, boleh jugak keluar dating. Eee… Abang Hail ni jual mahal betul? Orang sukakan dia tapi dia larikan diri pulak!” Mulut Akifah terus muncung. Geram dengan perangai Hail. Seperti yang diduga, keesokkan harinya sampul surat berisi wang RM20 ada di cermin keretanya. Memang susah betul nak dekat dengan lelaki yang berjaya mencuri hatinya. Apa perlu dia buat supaya Hail mengerti perasaan dia.

            “Aku tak patut buang masa macam ini, aku kena fikir macam mana nak tambat hati Abang Hail!” Akifah bercakap seorang diri. Otak ligat memikirkan idea.

            Tiba-tiba Akifah mendapat idea, dia melihat jam dinding di ruang tamu. Semakin meleret senyuman dia. Masa yang begitu tepat sekali melancarkan plan dia. Rambut lurus yang separas bahu diikat dengan rapi.

            Laju kaki Akifah melangkah di dapur. Peti sejuk dibuka. Dia melihat barang-barang yang ada di dalamnya. Dia tahu apa yang dia nak masak sekejap lagi.

            “Kalau Abang Hail rasa masakkan aku ni, mesti Abang Hail jatuh cinta gila-gila kat aku! Hasil tangan aku tak pernah menghampakan!”  Semangat Akifah berkobar-kobar. Dikeluarkan semua bahan-bahan yang ingin digunakan untuk memasak.

            Sambil memasak, Akifah tersenyum seorang diri. Semakin meleret senyuman dia apabila membayangkan Hail memuji masakkan dia. Dia ketawa kecil. Dipercepatkan proses memasak.

            Selesai memasak, Akifah mengemas dapur. Dia berjalan ke arah tingkap. Pandangan mata ke arah rumah Mak Endon yang sebelah rumah sewanya. Tiada motorsikal dan kereta di garaj. Ini bermakna, Mak Endon ada di kedai runcit. Kalau la Mak Endon nampak dia bawa makanan pergi rumah Mak Doyah, mesti kecoh.

            Akifah berjalan masuk ke biliknya menukar baju. Dia perlu pakai baju yang elok sikit. Jangan terlalu cantik sangat nanti apa kata Mak Doyah dengan Pak Yunus. Biar pakaian tu casual! Dia rasa tak sabar nak jumpa Hail. Teruja pun ada! Senyuman kegembiraan Akifah memang tidak dapat disembunyikan.

                                                ***************************

            MAK DOYAH begitu sibuk memasak menyiapkan makanan tengahhari. Dia menoleh apabila kedengaran ada orang memberi salam.

            “Waalaikumussalam!” jawab Mak Doyah. Dia melihat ke arah pintu dapur. Kelihatan Akifah berdiri di depan pintu dapur.

            “Aaa…. Akifah! Masuk la! Masuk! Masuk!” pelawa Mak Doyah lagi.

            “Nak bagi lauk kat Mak Doyah. Tadi masak ayam parprik banyak, terlupa pulak yang Elma balik esok.” Kata Akifah. Dia meletakkan bekas makanan di atas meja.

              Nanti hang seorang la makan kat rumah?” kata Mak Doyah. Dia dekati Akifah.

            “Ya.” Jawab Akifah.

            “Mana best makan seorang, hari ini makan sekali dengan family Mak Doyah! Ramai-ramai makan baru seronok!”

            “Segan la, Mak Doyah!” Akifah tersipu-sipu malu. Nampaknya rancangan dia menjadi.

            “Segan? Awat nak segan pulak? Macam la hang tak kenal dengan laki dan anak Mak Doyah. Makan saja dengan kami.” Kata Mak Doyah.

            “Baiklah! Ada apa-apa saya boleh tolong?” tanya Akifah. Dah orang jemput makan, takkan la nak goyang kaki saja.

            “Aaa… Basuh beras tu! Mak Doyah tak sempat nak basuh tadi.” Mak Doyah yang sedang memotong bawang merah menoleh ke arah Akifah.

            Akifah terus saja membasuh beras. Selesai saja kerjanya, Akifah terus bawa bekas beras tadi masuk ke dalam rice cooker. Dia terus menekan butang ‘cook’ pada rice cooker itu.

            Mak Doyah sempat menoleh dan tersenyum melihat telatah Akifah yang jelas tak kekok berada di dapur.

            “Elma balik bila?” Mak Doyah memulakan perbualan mereka berdua.

            “Esok petang!” jawab Akifah.

            “ Tak takut ka tidur seorang?”

            “Takut la jugak, Mak Doyah. Nak balik kampung, jauh sangat! Hujung minggu kalau nak balik kampung, memang tak berbaloi. Sehari saja dah habis masa kat jalan, kalau pergi balik pulak, sudah tentu ambil masa dua hari. Kalau ada cuti panjang saja, baru saya balik kampung kat Muar.” Kata Akifah.    Kalau negeri Johor dengan negeri Kedah dekat, sudah lama dia balik. Cemburu rasanya tiap kali Elma balik kampung kat Ipoh.

            “Kalau Mak Doyah tak ada anak teruna kat rumah ni, boleh jugak Mak Doyah ajak hang bermalam kat sini.” Kata Mak Doyah.

            Akifah tersenyum. Dia faham maksud Mak Doyah.

            “Mak, sat gi …..” Hail yang baru muncul di dapur dengan tuala di bahu terus kaku apabila melihat kehadiran Akifah di situ.

            Wajah Akifah berubah gembira melihat kemunculan Hail.

            “Sat gi apanya?” tanya Mak Doyah semula. Pelik apabila Hail bercakap separuh saja. Dia menyedari Hail terkejut melihat Akifah.

            “Aaa…. Akifah makan tengahhari dengan kita hari ini! Tadi hang cakap apa? Sat gi apa?” tambah Mak Doyah lagi.

            “Sat gi pukul 5 petang, orang yang nak pasang bumbung warung mai. Ayah suruh habaq kat mak! Buat aiq!” Hail menyampaikan pesanan ayahnya. Dari pagi lagi, dia dan Pak Yunus perbaiki warung itu. Selepas bumbung baru dipasang, kerja mengecat akan dilaksanakan pula. Tanpa melihat Akifah, dia terus masuk ke dalam bilik air untuk mandi.

            Akifah perhatikan gerak-geri Hail sehinggalah Hail masuk ke dalam bilik air. Dia terkejut apabila Mak Doyah memanggil dia.

            “ Aaa… Akifah, hang tolong Mak Doyah kupas nenas n! Hang tahu kan buang kulit nenas ni?” Sebiji buah nenas diberikan pada Akifah. Mak Doyah tersenyum. Hari ini dia akan masak gulai nenas ketam.

            “Dah tentu tahu!” jawab Akifah. Dia terus mengambil pisau dan papan pemotong.

            Mak Doyah tersenyum melihat Akifah. Begitu senang Akifah membuang kulit nenas itu. Bertuahnya kalau dapat menantu macam Akifah ni! Rajin pulak tu! Kalau la Hail ni ada kerja, dah tentu dia pinangkan Akifah ni untuk Hail. Dia mengeluh perlahan.

                                                ***********************************

            PETANG ITU, Akifah menolong Mak Doyah menyiapkan minum petang. Sambil membuat kerja, dia berborak dengan Mak Doyah. Ada saja kisah dikongsi bersama. Maklum la Mak Doyah dulu pernah bekerja sebagai jururawat di hospital swasta. Antara mereka berdua ada persamaan. Kiranya mereka berdua serasi.

            “Amboi! Riuh rendahnya!” Pak Yunus bersuara selepas memasuki ruang dapur. Dia melihat isterinya begitu rancak berbual sambil membuat karipap.

            “Dah ada teman berbual, dah tentu riuh rendah. Depa dah sampai ka? Berapa orang?” tanya Mak Doyah.

            “Baru saja sampai! Lima orang! Nanti dah siap, bagitau abang! Nanti abang suruh Hail mai ambil.” Kata Pak Yunus sebelum berlalu pergi.

            “ Akifah, hang bancuh aiq kopi sat. Mak Doyah nak goreng karipap.” Arah Mak Doyah.

            Akifah terus berhenti membuat karipap. Dia bangun dan terus mencapai teko. Dengan segera dia membancuh air.

            Sepuluh minit kemudian, Hail masuk ke dapur.

            “Mak dah siap ka?” tanya Hail.

            “Dah siap dah!” jawab Mak Doyah.

            Hail melihat dulang sudah siap dengan air dan kuih. Semasa Hail mengangkat dulang itu, pinggan karipap hampir saja terjatuh tapi Akifah sempat selamatkan.

            “Kuih karipap ni biar saya yang bawa!” kata Akifah.

            “It’s okey! Saya boleh angkat, letak balik pinggan tu!” tegas Hail,

            “Biar la Akifah tolong, kalau jatuh sekali lagi, depa tu nanti nak makan apa! Mak buat cukup-cukup saja.” Tegur Mak Doyah.

            Pandangan mata Akifah bertemu dengan mata Hail. Dia hanya mampu tersenyum seraya mengangkat pinggan karipap yang ada di tangannya.

            “Yalah!” kata Hail sebelum bergerak pergi. Dia malas nak bergaduh dengan ibunya.

            Akifah tersenyum dan terus mengekori Hail. Dia segera memakai seliper.

            “Kursus yang Abang Hail pergi hari tu macam mana? Okey tak?” tanya Akifah. Dia cuba memulakan perbualan antara mereka berdua.

            “Hmm… Okey!” ringkas jawapan Hail. Dia malas nak melayan.

            “ Ramai tak orang?” tanya Akifah lagi.

            “Boleh la!” jawab Hail tanpa perasaan.

            Mulut Akifah terus senget. Nampak sangat Hail malas nak bercakap dengan dia. Kecik hati pun ada seolah-olah dia terhegeh-hegeh nak cakap dengan Hail.

            “Akifah! Terima kasih tolong bawa. Letak kat atas meja tu!” kata Pak Yunus sebaik saja Hail dan Akifah mendekati dia.

            Akifah tersenyum. Dia terus letak pinggan berisi karipap itu di atas meja empat segi yang terletak tak jauh dari warung. Mata dikerling pada Hail. Kot-kot Hail nak ucapkan terima kasih! Sangkaan dia meleset sama sekali. Sikit pun Hail tak peduli pasal dia.

            “Akifah! Mai lekas makan!” Tiba-tiba Mak Doyah memanggil dari pangkin kayu.

            Akifah menoleh dan mempercepatkan langkah mendekati Mak Doyah. Minuman dan kuih sudah terhidang kat situ.

            “Makan! Mesti hang lapar kan!” kata Mak Doyah. Cawan air berisi air nescafe diberikan pada Akifah. Tanpa bantuan Akifah tadi, mustahil dia dapat siapkan karipap secepat ini.

            Karipap diambil dan terus dimasukkan ke dalam mulut. Akifah mengunyah perlahan-lahan.

            “Sedapnya! Mak Doyah kena bagi saya resipi ni!” puji Akifah dengan mata bulat membesar.

            Mak Doyah ketawa kecil dengan telatah Akifah.

            “Tak patut betul? Panggil Akifah seorang saja!” kata Pak Yunus sebaik saja menghampiri pangkin kayu.

            “ Dah tua pun nak kena panggil lagi ke? Faham-faham la sendiri, rumah sendiri kot!” jawab Mak Doyah.

            “Mak Doyah hang ni kalau bab menjawab memang champion.” Sindir Pak Yunus.

            Akifah ketawa kecil.

            Mak Doyah menjeling ke arah suaminya.

            “ Lama ke kalau pasang bumbung baru?” tanya Akifah.

            “Hari ini saja dah boleh siap! Lagipun esok Hail dah start nak cat.” Jawab Pak Yunus.

            “Larat ke Hail nak cat warung tu seorang? Upah orang kan senang!” kata Mak Doyah.

            “Abang pun tolong jugak!”

            “Biar betul abang nak tolong? Nanti sekerat jalan kerja, yang habiskan Hail seorang jugak!” Mak Doyah tak percaya yang suaminya akan menolong.

            “Saya boleh tolong mengecat! Esok cuti!” Akifah menawarkan diri untuk membantu. Lagipun esok dia tak ada apa-apa nak buat. Yang paling penting, inilah peluang mendekati Hail. Dirinya masih tidak berputus asa untuk menawan hati Hail.

            “Lagi ramai, lagi baguih! Cepat habis kerja!” kata Pak Yunus sebelum makan karipap.

            Mak Doyah menggelengkan kepala. Nampak sangat suaminya mengambil kesempatan dengan kebaikkan Akifah.




 

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...