Friday, December 1, 2023

Dia Menarik Perhatianku - Bab 1

 

Bab 1

            BUNYI ayam berkokok mengejutkan Widad dari tidur. Kelopak mata bergerak dan dibuka perlahan-lahan. Sekali lagi kedengaran ayam berkokok, Widad memandang siling bilik tidurnya. Dia baru teringat yang kini dirinya bukan lagi berada di kota London. Selimut yang ada di kaki ditarik sehingga menutupi seluruh tubuhnya. Sejuk!

            Kelopak mata dipejam semula. Lagipun tidur di rumah sendiri, feeling itu lain sikit. Letak kepala dibantal saja terus lena. Nyenyak tidur sampai ke pagi.

            Ketukkan pintu bilik mengejutkan Widad, kedengaran suara orang memanggil namanya berulang kali.Widad mengeluh perlahan. Ikutkan hati dia malas nak bangun. Semakin kuat pintu biliknya diketuk. Dengan rambut berserabut, Widad bangun dan turun dari katil. Dia berjalan ke arah pintu.

            What!” kata Widad sebaik saja dia membuka pintu bilik. Dengan wajah bengis, dia memandang lelaki yang berdiri di hadapan biliknya.

            What! What! Apa! Ini Malaysia bukannya London. Sikit-sikit nak speaking, ingat sikit asal usul tu, tinggi macam pun belajar, jangan lupa diri!” Balas Wafiy. Dia merenung kakaknya yang baru saja tiba malam tadi. Selepas merantau beberapa tahun di luar negara, akhirnya kakaknya pulang setelah mendapat tawaran bekerja di Kuala Lumpur.

            Mulut Widad terus senget. Mata terbeliak luas melihat adik lelakinya yang muda sepuluh tahun darinya. Perangai tetap tak berubah. Bila bercakap tak pernah berlampik langsung, memang katagori mulut celupar. Kerana jarak umur mereka berdua yang begitu jauh, hubungan mereka berdua tidak rapat. Lagipun dia bersekolah di asrama penuh dan kemudian melanjutkan pelajaran ke luar negara. Selepas itu dia bekerja di London beberapa tahun sebelum mengambil keputusan untuk pulang dan bekerja di Malaysia.

            “Mak suruh turun makan.” Beritahu Wafiy.

            “Nanti la aku turun, aku penat lagi. Jet lag!” balas Widad. Dia tak rasa lapar pun. Masa tidur lagi penting.

            Tiba-tiba Wafiy tersenyum mendengar jawapan Widad. Dia sudah dapat agak jawapan kakaknya.

            “Mak! Kak Widad cakap dia jet lag lagi. Kak Widad tak nak makan lagi.” Jerit Wafiy dengan kuat agarnya ibunya dengar. Sekuat hati dia menjerit.

            Widad terkejut.

            “Widad turun makan! Jangan nak mengada-ada! Jet lag la sangat! Sebelum mak naik atas, baik kamu turun makan! Cepat!” Kedengaran suara ibunya dari dapur sehingga ke tingkat atas rumah. Bergema satu rumah! Bukan main power suara Mak Esah.

            Widad mengetap bibir memandang Wafiy. Nampaknya Wafiy sengaja nak kenakan dia. Dia ingin saja mencubit lengan Wafiy tetapi Wafiy lebih pantas mengelak dan berlari ke arah tangga.

            Wifay sempat lagi menjelir lidahnya dekat Widad. Dia segera menuruni anak tangga sebelum kakaknya bertindak mengejar dia.

            “Tak guna punya adik!” Widad bersuara dengan nada geram.

            “ Widad Warda! Turun makan cepat.” Sekali lagi bergema suara Mak Esah memanggil Widad.

            On the way nak turun la!” jawab Widad. Keluhan berat dilepaskan. Sebelum ibunya naik, lebih baik dia turun dengan segera. Tak larat nak mendengar bebelan ibunya pula. Dengan langkah berat, Widad menuruni anak tangga satu demi satu.  Sesekali dia menggosak kelopak matanya, dia masih lagi mengantuk.

            Beberapa tapak melangkah, Widad tiba di dapur.

            “ Aaa….. Widad, malam tadi kamu gaduh dengan siapa? Berserabut rambut tu macam kena tarik!” tegur Pak Walid yang kemudiannya diakhiri dengan gelak ketawa melihat anak sulungnya itu. Dia sudah pun duduk di kerusi meja makan menunggu Widad. Sarapan pagi sudah pun terhidang di atas meja. Menu pagi ini ialah nasi lemak, ayam goreng dan sambal kerang kegemaran Widad. Isterinya masak makanan kegemaran Widad sempena kepulangan anak sulung mereka. Apabila mendapat tahu yang Widad membuat keputusan untuk bekerja di Kuala Lumpur, dia dan isterinya bersyukur sangat. Iyalah London dengan Malaysia bukannya dekat, kalau jadi apa-apa bukannya senang nak pergi sana. Sekurang-kurangnya bila Widad ada dekat dengan mereka, dia rasa lega.

            “Dah nama baru bangun tidur, dah tentu la rambut berserabut!” balas Widad. Dia menarik kerusi dan terus duduk menghadap makanan. Dalam masa yang sama dia bertentang mata dengan Wafiy, mata sengaja dijegil besar. Masih berdendam.

            Tiba-tiba satu tamparan kuat di belakang badan Widad, apa lagi dia terus menjerit sakit. Pedih dan berbisa!

            “Jerit la! Jerit sampai Atan boleh dengar. Tampar sikit saja, dah jerit sampai satu kampung dengar. Kamu ni Widad, tak senonoh betul! Cuba la basuh muka dulu sebelum makan, tu… air liur basi tu ada kat mulut lagi. Eeee….. pengotor la kamu ni!” kata Mak Esah melihat perangai Widad. Berkerut terus dahi.

            “ Nak sangat turun makan cepat-cepat kan! So stop complain! Widad still penat lagi, kasi la peluang tidur lama sikit.” Ada saja jawapan yang keluar dari mulut Widad.

            “ Menjawab! Tak habis-habis nak menjawab. Dah tidur semalaman, takkan penat lagi. Ingat sikit kamu tu bukan lagi dekat London, ini Perak ….. semua orang dah bangun bila matahari dah terbit. Lepas solat Subuh, orang dah tak tidur lagi. Faham! Umur kamu tu dah masuk 30 tahun, cubalah berubah sikit. Jangan malas, cuba la rajin.” Semakin menjadi-jadi bebelan Mak Esah.

            “ Mak, umur tu hanya nombor saja. Dalam hati ini, selama-lamanya kita muda.” Balas Widad dengan penuh keyakinan.

            Mulut Mak Esah terus senget. Bercakap dengan anak sulungnya ini selalu menyakitkan hati.

            “Aaaa….. Atan tak join breakfast sekali ke?” tanya Widad secara tiba-tiba.

            “Kenapa tiba-tiba tanya pasal Atan pulak?” Air muka Pak Walid terus berubah.

            Mak Esah terus memandang Widad dengan penuh tanda tanya.

            “Kenapa? Tak boleh ke nak bertanya pasal jiran sendiri? Berdosa ke kalau bertanya. ” tanya Widad semula pada Pak Walid dan Mak Esah. Kalau sentuh pasal Atan sikit mesti, pasti mereka berdua gelabah seolah-olah ada rahsia besar yang mereka berdua cuba sorokkan.

            Pak Walid dan Mak Esah diam membisu.

            Wafiy turut sama memandang ibu bapanya. Walaupun sudah 12 tahun mengenali Atan namun ada banyak perkara yang dia tidak tahu pasal Atan.

            “ Berdosa? Dah kenapa nak berdosa pulak, Atan tu selalu sarapan kat rumah dia. Jarang makan kat rumah kita.” Jawab Pak Walid dengan segera.

            “Atan tu pandai memasak bukannya macam kamu Widad. Masak pun kena ikut mood.” Mak Esah sempat lagi menyindir.

            Widad terus mencebik bibir. Tengok sempat lagi sindir dia lepas tu pujuk Atan. Siapa anak kandung yang sebenar ni? Kecik hati pun ada.

            “ Dah! Jom makan! Wafiy, baca doa makan!” arah Pak Walid secara tiba-tiba. Dia terus menadah tangan menunggu anak bongsunya itu membaca doa.

            Selepas melihat semua yang orang sudah menadah tangan, Widad segera menuruti. Wajah Widad masih tidak puas hati. Sebenarnya dia mahu bertanya banyak perkara mengenai Atan namun setiap pertanyaan dia pasti dielak oleh kedua-dua ibu bapanya. Bagi dia, kehadiran Atan begitu misteri sehingga kini.

                                                *******************************

            Selesai saja mengemas di dapur, Widad terus naik ke tingkat atas semula. Dia berjalan masuk ke dalam bilik tidurnya. Dia mula melipat selimut dan mengemas katil dia kemudian tingkap bilik tidurnya dibuka satu persatu. Angin terus masuk ke dalam bilik. Itu sudah jadi rutin harian Widad. Waktu pagi adalah waktu yang cukup berkat. Masa ini dibuka pintu rezeki untuk semua orang. Orang tua-tua selalu pesan supaya bangun seawal pagi supaya rezeki masuk. Pagi adalah ciptaan Allah Taala yang begitu indah.

            Widad tersenyum melihat ke luar tingkap. Pemandangan di luar biliknya tetap sama. Rumah ibu saudaranya Mak Wan terletak bersebelahan dengan rumahnya. Selepas Mak Wan meninggal dua tahun, rumah Mak Wan dihuni oleh Atan sejak 12 tahun yang lalu. Tiba-tiba saja Atan muncul dan menginap di rumah Mak Wan. Kata ayahnya, Atan anak kawan Mak Wan. Lepas itu sama umur dengan Widad. Hanya itu saja maklumat yang dia tahu pasal Atan. Maklumat selanjutnya tentang, dia tak tahu apa-apa. Apabila dia bertanya tentang Atan, ibu bapanya pasti mengelak dan mengubah topik perbualan. Ternyata identiti Atan begitu misteri.

            Pandangan Widad terhenti ke arah Atan yang sedang menyapu sampah di halaman rumah ibu saudaranya. Bagi pendapat Widad, Atan memang baik orangnya malah Wafiy lebih rapat dengan Atan dari kakak kandungnya sendiri. Atan juga rapat dengan ibu bapanya malah Atan bekerja di kebun pisang dan menjaga homestay milik Pak Walid. Kadang-kadang itu, Atan mengambil upah kerja kampung.

            Tiba-tiba Atan berhenti menyapu daun-daun kering yang ada di halaman rumah.

            Widad terkejut apabila Atan memandang ke arah tingkap bilik tidurnya. Macam tahu-tahu saja! Untuk elak rasa janggal, Widad tersenyum dan melambai tangan ke arah Atan.

            Atan berdiri kaku beberapa saat sebelum melemparkan senyuman janggal dekat Widad. Dengan sepantas kilat, Atan menyapu dan mengutip daun-daun kering itu dan segera masuk ke dalam rumah.

            Dahi Widad berkerut setelah menyaksikan apa yang berlaku. Tergamam beberapa saat sebelum mengetap bibir.

            “Wah, kenapa pulak aku rasa sakit hati?” Widad bersuara. Sejak dari dulu lagi dia dapat merasakan yang Atan cuba melarikan diri dari dia. Kelibat Atan sudah pun hilang dari pandangan mata Widad. Keluhan kuat dilepaskan.

                                                            *****************

            Mak Esah yang sedang menyiapkan makanan tengahhari berhenti dan menoleh ke arah Widad yang berjalan melintasi ruang dapur.

            “Nak ke mana tu? Meh sini, tolong mak masak.” Panggil Mak Esah. Anak sulungnya itu kalau tidak disuruh, jangan harap la nak tolong dia di dapur. Kena ketuk, baru buat!

            Widad berhenti dan menoleh memandang ibunya.

            “Sekejap! Widad nak pergi jumpa Atan. Ada souverniers dari London, Widad nak bagi.” Jawab Widad. Tangan kanan yang memegang bag kertas berwarna biru ditunjukkan pada ibunya.

            “Atan tak ada. Dia baru saja keluar dengan ayah kamu.” Beritahu Mak Esah. Dia menyambung memotong bahan-bahan untuk membuat nasi ayam.

            “ Oooo… Ya ke? Dah lama ke dia orang keluar?” tanya Widad. Jelas kedengaran hampa.

            “ Dah sejam keluar. Dia orang pergi jumpa pembekal. Meh, sini! Tolong mak masak lagi bagus. Cepat tolong, cepat la nasi ayam siap. Bila ayah kamu balik nanti, kita boleh terus makan.” Jawab Mak Esah.

            Bibir Widad terus muncung. Melepas lagi nak jumpa Atan! Dia masih tidak berganjak berdiri di depan pintu dapur.

            “Laaa….. Tercegat lagi kat situ? Bertuah punya anak! Nak mak tarik telinga kamu baru nak tolong mak masak ke?” nada suara Mak Esah terus tinggi. Mata terbeliak besar melihat gelagat Widad. Boleh buat dek saja.

            “ Ala… Mak ni tak habis-habis ugut nak tarik telinga Widad. Dah besar panjang pun, nak tarik telinga anak lagi.” Jawab Widad. Dia meletakkan bag kertas itu di atas almari dapur sebelum mendekati ibunya. Selagi dia tidak menuruti arahan ibunya, selagi itu la mulut ibunya takkan berhenti membebel.

            “ Memang dah besar panjang, umur tu dah nak masuk 30 tahun tapi common sense tak ada langsung. Mak tengah masak kat dapur , takkan tak tahu nak tolong. Makan nak tapi nak tolong, jangan harap la! Apa nak jadi dengan kamu ni, hah? Belajar tinggi-tinggi sampai phd tapi kalau kerja rumah satu pun tak reti, sapa yang nak kahwin dengan kamu, hah!” Leteran Mak Esah semakin berpanjangan. Geram punya pasal.

            “ Kalau tak ada orang nak kahwin dengan Widad, buat apa susah-susah nak cari, yang dekat sebelah rumah kan ada. Widad kahwin saja dengan Atan.” Dengan selambanya, Widad menjawab.

            Mak Esah berhenti memotong dan memandang Widad. Kemudian Mak Esah ketawa terbahak-bahak. Lucu sebenarnya. Widad dengan Atan? Apa la yang Widad merepek? Mereka berdua bagaikan langit dengan bumi. Mak Esah menyambung semula memotong. Sikit pun dia tak ambil serius apa yang anak sulungnya cakapkan tadi.

            Dahi Widad berkerut setelah melihat ibunya ketawa. Apa yang lucunya? Dia berjalan mendekati Mak Esah. Tak puas hati dengan reaksi ibunya.

            “ Widad serius, mak! Kalau tiada siapa nak kahwin dengan Widad, Widad kahwin dengan Atan.” Tambah Widad.

            “ Kamu yang nak kahwin dengan Atan bukannya Atan! Jangan nak perasaan sangat yang Atan tu setuju nak kahwin dengan kamu. Atan tu jejaka idaman kampung ni, kamu tahu tak? Kamu ingat Atan tu tak laku ke? Kamu tu bukan pilihan Atan la. Lagipun Atan tu bukan taste kamu kan, jangan la buat Atan scape goat kamu. Berdosa tahu tak! Nanti bila dah kerja kat KL tu, kamu cari la lelaki KL, biar sama taraf dengan kamu.” Mak Esah menggelengkan kepala. Ramai gadis kat kampung ini sukakan Atan tetapi sikit pun Atan tak layan.

            Kembang kempis hidung Widad selepas mendengar kata-kata ibunya yang seolah-olah darjat Atan itu lebih tinggi darinya. Rasa tercabar pun ada.

            “ Aaaa…. Tunggu apa lagi, basuh la daun salad tu.” Mak Esah meninggikan suaranya apabila menyedari Widad masih tercegat di sebelahnya.

            Dengan wajah masam, Widad menuruti arahan Mak Esah. Besen yang berisi daun salad diambil dan dibawa ke sinki. Tanpa rela hati, Widad membasuh daun salad itu satu persatu.

            Mak Esah sempat lagi memerhati gerak geri Widad. Sememangnya dia suka jika Atan menjadi menantu dia tetapi perangai Widad yang gila-gila dan outspoken menyebabkan dia tidak pernah menaruh harapan yang tinggi. Mereka berdua seperti matahari dan bulan.

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...