Friday, December 8, 2023

DIA MENARIK PERHATIANKU - BAB 2

 

Bab 2

            PAGI INI, Widad bangun awal dan menolong ibunya memasak sarapan pagi bersama-sama. Selepas solat Subuh tadi, dia mematikan hasrat untuk tidur semula. Tak sanggup nak dengar leteran Mak Esah lagi, boleh tanggal telinga ini. Menu sarapan pagi ini ialah bihun goreng. Semestinya sarapan pagi ini perlu disiapkan sebelum ayahnya dan Wafiy pergi ke kebun.

            Tangan Widad begitu pantas menyediakan sambal kicap untuk dimakan bersama bihun goreng nanti maklum la keluarga dia kalau makan bihun goreng mesti ada sambal kicap. Tanpa melihat resepi, Widad memotong kasar bawang besar, bawang putih dan cili padi. Kemudian dia menggoreng bahan-bahan potong kasar tadi sehingga layu dan terus angkat. Dimasukkan pula bahan-bahan tadi, kicap manis perahan air limau ke dalam blender. Selesai saja blender, sambal kicap sudah pun siap.

            Dahi Widad berkerut dan melihat ke arah pintu dapur. Tertanya-tanya kenapa ibunya yang keluar mengambil daun pandan di belakang rumah belum balik lagi.

            “Mana mak ini ? Kata nak pergi ambil daun pandan kat belakang! Ini ambil daun pandan ke tanam daun pandan.” Widad membebel seorang diri.

            “ Membebel apa kat dapur ni? Aaa…. Mana mak kamu?” tanya Pak Walid sebaik saja muncul di ruang dapur.

            “ Mak cakap nak keluar ambil daun pandan sekejap tapi dah sepuluh minit keluar tapi tak balik-balik lagi. Mak cakap nak masak ayam pandan thai lunch nanti.” Beritahu Widad.

            Pak Walid melihat ke arah jam dinding di dapur secara tiba-tiba.

            “ Aaa….. Masa begini Mak Kalsom kamu selalu nak pergi kedai Pak Man, mesti nampak mak kamu terus dia orang tengah borak ler tu. Biasa la, macam kamu tak kenal dengan Mak Kalsom tu, selalu saja ada berita sensasi nak cerita kat mak kamu. Mak kamu tu boleh tahan jugak kalau bergossip ni. Ayah pergi panggil mak kamu sekejap, selagi tak panggil balik, jangan harap la mak kamu nak balik.” Cerita Pak Walid apabila melihat jam dinding menunjukkan pukul 8.00 pagi. Dia sudah dapat meneka kerana ini bukan pertama kali terjadi. Pak Walid terus keluar melalui pintu dapur untuk memanggil isterinya pulang.

            “ Tak habis-habis nak membawang!” Widad bercakap seorang diri. Dia mula mengambil meletakkan pinggan kosong di atas meja makan.

            “Assalammualaikum……”

            Widad terus berpaling dan melihat Atan berdiri di muka pintu dapur. Air muka Widad berubah dan senyuman manis terpancar di wajah Widad. Sepantas kilat, kakinya laju menghampiri lelaki tinggi lampai dan bersuara garau itu.

            “Waalaikummussalam. Ya, Atan!” jawab Widad dengan nada manja. Mata terkebil-kebil memandang Atan.

            “Aaa…. Mak Esah ada tak?” tanya Atan. Wajahnya jelas tak selesa. Mata meliar mencari kelibat Mak Esah. Tak sangka Widad yang ada di dapur.

            “Mak tak ada.” Jawab Widad.

            “Aaa…. Pak Walid ada tak?” tanya Atan lagi. Tujuan dia datang sebab nak bagi kuih karipap yang dia buat pagi ini.

            “Tak ada. Alaaa…. Kenapa cari mak ayah? Saya kan ada!” jawab Widad dan terus tersengih dekat Atan. Lagipun dia memang menunggu kedatangan Atan, semalaman dia menunggu Atan tetapi batang hidup tetap tak nampak. Kata ibunya, Atan mengambil upah memotong rumput di kampung ini.

            Atan terdiam beberapa saat. Dia bertentang mata dengan Widad. Perangai Widad sejak dulu lagi memang tak berubah. Suka mengusik orang dan bertanya soalan macam-macam soalan. Hakikatnya dia rimas jika orang bertanya tentang hal peribadi dia.

            “ Saya ada buat kuih karipap untuk semua. Makan la nanti.” Atan menyerahkan bekas makanan berisi kuih karipap itu dekat Widad namun Widad tidak mengambil bekas makanan itu.

            “Karipap! Sekarang ni memang susah nak jumpa lelaki yang pandai memasak. Satu dalam sejuta.” Kata Widad. Dengan sengaja, dia tak ambil bekas makanan dari Atan kerana dia tahu sebaik saja dia mengambil bekas makanan itu, Atan akan segera pulang ke rumah. Ini satu-satunya peluang untuk dia berbual dengan Atan dengan lebih lama. Lagipun souvernier dari London belum lagi diberi dekat Atan.

            Atan gelisah apabila bekas makanan masih belum diambil oleh Widad. Kalau boleh dia mahu beredar dari rumah Pak Walid dengan segera.

            “ Mak cakap awak memang pandai masak dari dulu lagi. Apa saja jenis makanan awak boleh masak, beritahu saja awak terus boleh masak. Kalau saya nak awak masak something untuk saya, boleh tak?” Widad memandang Atan dengan senyuman meleret.

            Tubuh Atan terus kaku selepas mendengar permintaan Widad. Serba salah jadinya. Dia pernah ingat amaran Wafiy padanya supaya jangan bagi muka dekat Widad. Jika tak, hidupnya akan merana.

            “Boleh la. Saya teringin sangat nak makan donut. Mesti awak reti buat donut kan!” pujuk Widad. Mata sengaja terkebil-kebil kononnya meraih simpati agar Atan bersetuju.

            “Widad Warda!” tiba-tiba kedengaran suara Pak Walid.

            Renungan mata Pak Walid dan Mak Esah tepat ke arah anak sulung mereka.

            Mak Esah siap mencekak pinggang lagi.

            Senyuman Widad terus mati dengan kehadiran ibu bapanya. Kenapa mesti balik time ni? Sikit lagi jerat nak mengena. Nak dekat dengan Atan, kena pasang jerat. Kalau tak, Atan akan hilang sekelip mata. Pasti selepas ini Atan mengelak dari dia.

            Atan berasa lega melihat kehadiran Pak Walid dan Mak Esah. Dia menghampiri mereka berdua sepantas kilat.

            “Pak Walid! Mak Esah! Ni karipap saya buat pagi tadi. Aaa… Saya minta diri dulu.” Beritahu Atan dan menyerahkan bekas makanan karipap itu pada Pak Walid. Atan mengambil peluang ini untuk meloloskan diri. Begitu laju Atan berjalan menuju ke rumahnya.

            Dahi Widad berkerut memerhati gelagat Atan. Berdesup jalan masuk dalam rumah, kecik hati pun ada.

            “ Amboi! Amboi! Baru tinggal sekejap, ada saja kamu cuba buat.” Pak Walid menggelengkan kepala dengan telatah Widad.

            “Apa! Suruh buat donut? Suka hati kamu suruh Atan tu buat donut kat kamu. Mak boleh buat donut. Tak payah nak susahkan Atan tu, faham!” kata Mak Esah sambil tangan yang memegang beberapa helai daun pandan dituju dekat Widad. Geram sangat-sangat. Malu pun ada.

            Bibir Widad terus muncung macam itik. Tengok tu, pasal Atan saja tiada siapa boleh sentuh. Kebal sangat ke Atan tu?

            “Masuk cepat!” Mak Esah menolak Widad masuk semula ke dalam rumah.

            Tubuh Widad yang kurus itu terus saja masuk ke dalam rumah selepas ditolak oleh ibunya. Bibir Widad masih lagi muncung kerana tidak puas hati.

            “Tercegat lagi dah kenapa? Jom makan, pagi ini Wafiy sarapan kat luar dengan kawan dia. Perut ayah dah berbunyi, kamu mesti dah lapar.” Pak Walid menyentuh lembut bahu Widad.

            Widad mengangguk kepala dengan laju. Sememangnya perut sudah pun lapar, maklum la sudah pun pukul 8.30 pagi. Dia terus segera duduk di kerusi. Semuanya sudah pun dia siap hidangkan. Sebaik saja, ayahnya membaca doa makan. Dia terus makan lagipun dia sudah plan nak jalan-jalan sekitar kampung hari ini dengan berbasikal.

                                                            *******************

            Seliper yang ada di luar rumah disarungkan dengan segera. Entah siapa yang punya, Widad bedal saja pakai. Asalkan muat, dia tak kisah. Dia berjalan ke arah Mak Esah yang sedang menyapu sampah di bawah pokok rambutan.

            “Mak, basikal kat dalam garaj tu boleh pakai lagi ke?” tanya Widad. Basikal kepunyaan dia semasa zaman sekolah dulu.

            “ Boleh. Hari itu Atan repair, baru-baru ini Wafiq ada naik pergi ke kedai. Kamu nak pergi mana?” Mak Esah terus berhenti menyapu apabila menjawab soalan anaknya.

            “ Dah lama tak round satu kampung, naik basikal lagi best.” Jawab Widad.

            “Elok la. Kelmarin kamu tidur satu hari, hari ini kamu pergi la round satu kampung ini. Kalau rajin, singgah la warung Mak Intan kamu tu. Dia asyik tanya pasal kamu.” Beritahu Mak Esah. Mak Intan merupakan sepupu Mak Esah.

            “ Yalah, nanti Widad singgah sekejap.” Kata Widad. Dia berjalan ke arah garaj. Basikal yang berwarna merah itu dibelek dulu. Tengok dulu tayar, kot-kot angin tak ada ke? Nasib baik ada angin lagi. Tanpa membuang masa, dia terus naik dan menganyuh basikal keluar dari halaman rumah dua tingkat itu.

            Widad tersenyum manakala matanya meliar melihat ke kiri dan kanan. Dia cuba melihat apa perubahan di kampungnya.Ternyata tetap sama. Tiada pun perubahan. Pokok-pokok masih menghijau malah suasana begitu damai sekali. Tenang jiwa sesiapa saja yang datang ke kampung halaman dia.

            Sambil menghayati permandangan kampung dengan berbasikal, Widad menegur siapa saja penduduk kampung yang dia kenal.

            Tiba-tiba Widad berhenti, kedengaran bunyi air sungai yang mengalir. Senyuman lebar di bibir Widad. Dia turun dari basikal dengan segera. Diletakkan basikal itu di tepi jalan. Kaki melangkah laju menuju ke arah bunyi deruan air sungai itu.

            Sebaik saja melihat anak sungai itu, Widad gembira. Melihat tempat kegemaran dia tetap jugak tidak berubah, dia menepuk tangan. Seliper segera ditanggalkan, dia terus masuk ke dalam anak sungai yang hanya di paras betis saja.

            “ Sejuknya!” Widad bersuara. Dia tetap juga berjalan menuju ke arah batu besar yang ada di anak sungai itu. Dengan berhati-hati, dia memanjat batu itu dan terus duduk dengan merapatkan kedua-dua lututnya ke dadanya.

            Semakin meleret senyuman Widad, tempat ini tetap juga tidak berubah sejak dulu lagi. Dia berharap tempat ini akan sentiasa dipelihara dan takkan berubah ditelan zaman.

            Kelopak mata dipejam dan kedengaran bunyi air sungai yang semakin jelas. Bunyinya begitu menenangkan. Memang terapi terbaik. Tempat ini merupakan tempat kegemaran dia sejak kecil lagi. Dia selalu menghabiskan masa di sini untuk rileks dan menenangkan fikiran. Dia menarik nafas dan kemudian dihembus perlahan-lahan. Kelopak mata dibuka perlahan-lahan. Pemandangan yang menghijau ada di depan mata bersama bunyi air sungai begitu damai sekali. Sesungguhnya ciptaan Allah Taala begitu indah, kita wajib menghargai ciptaan Allah Taala selama-lamanya.

            Selepas 15 minit duduk di situ, Widad segera turun dari batu besar itu. Tiba-tiba dia teringat pesanan ibunya supaya singgah di warung Mak Intan. Dia mengharungi anak sungai itu dan memakai seliper semula. Esok hari dia akan datang lagi ke sini. Dipercepatkan langkah menuju ke jalan dan dia terus naik basikalnya semula dan menyambung semula perjalanan sehingga ke simpang empat jalan di hujung kampung.

            Widad tersenyum apabila nampak warung yang bumbung berwarna hijau itu. Dia mengayuh hampiri warung itu dan berhenti betul-betul di hadapannya. Baru saja dia turun dari basikal, kedengaran suara Mak Intan yang menegurnya.

            “Akhirnya Cik Selebriti Kampung kita sampai jugak.” Mak Intan tersengih.

            “Mak Intan ni tak habis-habis panggil Widad Cik Selebriti Kampung, malu la kalau orang dengar.” Balas Widad. Dia segera hampiri Mak Intan dan bersalaman.

            “ Kamu memang layak panggil macam tu, dah la pelajar cemerlang SPM lepas tu masuk tv lagi. Kat kampung kita ini, kamu seorang saja yang belajar sampai Oxford Universiti. Lagi satu kat London, kamu kerja dengan syarikat besar pulak tu. Mak Intan tumpang gembira, tahu tak!” puji Mak Intan dengan suara gembira. Sejak dulu lagi, dia memang rapat dengan Intan. Perangai Intan jauh berbeza dengan anaknya Chempaka. Walaupun berpangkat besar dan berpelajaran tinggi, Widad tetap peramah dan rendah diri.

            “Mak Intan ini!” Widad tersipu-sipu malu apabila dipuji sebegitu.

            “Mak Intan cakap benda betul kan! Aaa…. Syarikat kat KL nanti pun besar jugak ke?” tanya Mak Intan.

            “ Syarikat biasa-biasa saja, Mak Intan.” Jawab Widad.

            “Yalah tu!” Mak Intan tak percaya dengan kata-kata Widad. Dengan kelayakkan yang Widad ada, Widad mampu menyandang jawatan tinggi. Masa kerja kat London, gaji Widad berkepuk-kepuk sehinggakan mampu membeli beberapa ekar tanah di kampung ini.

            Widad tersengih. Matanya meliar ke segenap warung makan itu. Orang yang dicari tiada pun di situ.

            “Cari Chempaka ke?” tanya Mak Intan. Dia menyedari gerak mata Widad.

            Sekali Widad tersenyum.

            “Bila jumpa asyik gaduh, bila tak ada asyik cari pulak. Apa la nak jadi dengan kamu dua ni, hah! Chempaka tak ada. Anak dia Mikail demam, dia bawa pergi klinik. Nanti balik la tu….” Mak Intan menggelengkan kepala. Widad dan Chempaka sebaya tetapi bila jumpa macam anjing dengan kucing. Dulunya masa kecil-kecil mereka berdua rapat tetapi disebabkan mereka berdua sukakan lelaki yang sama, hubungan mereka berdua terus berubah.

            “Ooo…. Dah anak demam, Marzuki mana?” tanya Widad. Ibunya ada cerita tentang perceraian Chempaka dan Marzuki baru-baru ini. Anak baru berusia dua tahun, kasihan kat anak, tak pasal-pasal anak yang jadi mangsa keadaan. Dulu bercinta bagai nak tak, bertahun-tahun cinta sejak sekolah lagi, baru kahwin beberapa tahun saja terus dah bercerai.

            Keluhan kuat Mak Intan kedengaran.

            “ Lepas dah bercerai, Marzuki terus lepas tangan. Tak pernah nak ambil tahu pasal Chempaka dengan Mikail.” Cerita Mak Intan dengan wajah merah padam menahan marah dengan perangai bekas menantunya itu. Sakit hati betul!

            “Eh! Eh! Mana boleh macam tu, ini dah kira lari dari tanggungjawab! Apa punya bapak macam tu!” Widad pula yang berasa geram.

            “ Itu la orang tua-tua pernah cakap, waktu hangat bercinta semuanya indah, selepas berkahwin terus masam pahit masin. Kalau tak bersabar dan bertolak-ansur, bercerai-berai la jadinya. Tapi kes Chempaka ini, bab bersabar dengan bertolak-ansur memang tak payah fikir, kalau suami dah curang, suami dah ada perempuan lain, tak ada gunanya pun. Mak Intan ingat Marzuki tu baik dan jaga Chempaka sampai ke akhir hayat tapi rumahtangga mereka bertahan sekejap saja.” Mak Intan meluahkan isi hatinya. Betapa hancur hati ini melihat perkahwinan Chempaka yang berakhir dengan perpisahan. Dia hanya kasihan dekat Mikail yang akan membesar tanpa kasih sayang seorang bapa.

            Widad diam membisu. Dia tak tahu kata-kata yang mampu menyedapkan hati Mak Intan. Lagipun dia tak mahu la komen lebih-lebih nanti kurang enak la pulak. Iyalah, dulu dia dan Chempaka bergaduh besar sebab berebut cinta Marzuki. Alih-alih Chempaka yang berjaya memikat Marzuki. Maklum la Chempaka memang lawa dari dia. Frust menongeng jugak dia masa itu nasib baik la result UPSR tetap gempak. Kalau tak, dah tentu dia kena kejar dengan ibunya. Kemudian dia masuk asrama penuh selepas itu dia sudah tak nak ambil tahu pasal mereka berdua lagi tetapi apa kan daya, Chempaka saudara mara dia dah tentu apa saja berita pasal Chempaka dan Marzuki sampai ke telinga dia, selalunya ibu dia yang akan jadi tukang cerita. Apabila dia mendapat tahu yang Chempaka dan Marzuki akan berkahwin, dia tak kisah pun. Ketika itu bagus jugak dia bekerja sambil belajar di London, tak payah nak hadir majlis kahwin mereka berdua itu. Rugi habis masa, rugi habis duit. Lagipun hubungan dia dan Chempaka tidak sebaik dulu.

            “Aduh, Mak Intan membebel lebih-lebih pulak. Sorry la sebab terpaksa dengar pasal Chempaka dengan Mikail.” Mak Intan baru tersedar. Macam mana dia boleh terlupa sejarah antara Widad, Chempaka dan Marzuki?

            “Tak aper! Selama ini Widad kan pendengar setia Mak Intan. Dah lupa ke? Aaaa….. Gossip panas terbaru kat kampung ini tak ada ke? Mak Intan dengan Mak Kalsom kan reporter CNN kampung ini. Dah la cepat tahu lepas tu efisien lagi.” Widad mengambil peluang ini untuk mengusik Mak Intan.

            “ Perangai tu tetap tak ubah, suka sangat usik Mak Intan. Aaaa…. Mesti kamu dah lama tak makan laksa Mak Intan kan? Tunggu dalam 30 minit, boleh?” Mak Intan baru teringat yang laksa masih belum siap masak sepenuhnya lagi.

            “ Hari ini tak boleh, dah janji dengan mak nak tolong masak tengahhari nanti. Esok Widad datang makan.” Widad menolak. Lagipun sudah sejam dia berbasikal pusing satu kampung, kalau dia merayap lama-lama mesti ibunya marah. Ibunya paling tak suka orang mungkir janji, jika tak seumur hidup ibunya akan mengungkit. Pernah dulu dia mungkir janji nak membeli peti sejuk, hampir setahun jugak la dia mendengar ibunya mengungkit pasal peti sejuk.

            “Janji tau, esok datang.” Mak Intan mengangguk kepala sebagai tanda faham.

            “ Janji. Widad datang esok, boleh la kita borak lama-lama. Aaa…. Widad balik dulu, Mak Intan.” Widad tersenyum dan bersalaman dengan Mak Intan sekali lagi.

            “Aaaa… Bawa basikal elok-elok, kirim salam kat mak kamu nanti.” pesan Mak Intan.

            “Okey. Bye-bye Mak Intan! Jumpa esok yer!” kata Widad sebelum beredar. Dia terus menaiki basikal dan mengayuh pulang ke rumah.

No comments:

Post a Comment

DIA MENARIK PERHATIAN KU - BAB 5

  Bab 5             SELESAI saja kerja di kebun pisang, Atan dan Wafiy pergi ke homestay pula. Mereka berdua bekerja di situ sehingga pet...